Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-18 dan Ke-19

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-18 dan Ke-19

2388
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiya

Tafsir Ayat ke-18

Ayat ini adalah Dakwa/Maksud surah ini iaitu perkara yang paling penting dalam surah ini. Ia menceritakan tentang syariat – iaitu tariqah ilahiyah – (jalan ketuhanan).

Kalimah syariat berasal dari ش ر ع yang bermaksud ‘jalan untuk ambil air’. Jadi ia adalah sesuatu yang amat penting dan dapat menyelamatkan manusia kerana manusia memerlukan air dalam kehidupannya.

ثُمَّ جَعَلنٰكَ عَلىٰ شَريعَةٍ مِّنَ الأَمرِ فَاتَّبِعها وَلا تَتَّبِع أَهواءَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

ثُمَّ جَعَلْنٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ

Kemudian Kami jadikan engkau di atas satu Syariat dari arahan ugama;

Syariat adalah ‘peraturan’ dan ayat ini memberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ sudah berada atas landasan syariat. Maknanya, syariat itu sudah sedia ada dan hanya perlu diikuti sahaja tanpa ada tambahan dan kurangan. Dari segi bahasa, ‘syariat’ bermaksud ‘jalan yang jelas membawa kepada sumber air’.

Oleh itu, syariat Allah ﷻ itu semestinya sesuatu yang ‘jelas’. Bagi yang mengikutnya akan mendapat kebaikan sebagaimana kita memerlukan air untuk kehidupan kita. Maka, kalau ada sumber agama yang tidak jelas dan menggunakan dalil ‘agak-agak’ sahaja, janganlah kita terus terima dan ikuti.

Syariat itu ada dua bahagian utama iaitu tentang akidah dan amal ibadah. Kalau syariat bab akidah, ia telah ditetapkan sama bagi setiap Nabi dan umat masing-masing sepanjang zaman. Ia sama sahaja dan tidak berubah-ubah dari dulu sampai bila-bila.

Namun, syariat bahagian hukum dan ibadah, ia berubah-ubah mengikut zaman. Sebagai contoh, syariat Nabi Musa عليه السلام dan syariat Nabi Muhammad ﷺ tidak sama. Selepas sahaja Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, maka syariat-syariat lain termansukh dan yang terpakai hanyalah syariat Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Satu perkara yang kita kena tahu adalah syariat itu bukan hanya hukum-hakam dan halal, haram, makruh dan sunat sahaja. Ia merangkumi banyak lagi perkara dan ada juga bermaksud cara hidup yang baik iaitu cara etika universal. Sebagai contoh, berbuat baik dengan orang, bercakap baik, jangan menipu, jangan menindas, jangan memotong dalam barisan dan sebagainya.

📍Apabila Allah ﷻ berfirman dalam ayat ini yang Dia yang menjadikan Nabi di atas landasan syariat, itu bermaksud syariat itu datang dari Allah ﷻ, bukan dari Nabi ﷺ . Ini kerana baginda ﷺ cuma menjalankannya sahaja, dengan mengajar dan memberi contoh tauladan supaya manusia senang untuk tahu apakah syariat itu.

فَاتَّبِعْهَا

maka turutlah Syariat itu,

Bila jalan yang jelas dan syariat sudah ada, maka ikut sahaja keduanya itu. Syariat itu telah ada dijelaskan dalam Al-Quran dan juga Sunnah. Malah disyarahkan oleh ulama-ulama kerana kita tidak mampu hendak fahami sendiri.

Maka, kenalah belajar dua sumber ini untuk mengetahui apakah syariat dan kenalah belajar dengan berguru. Ini kerana kalau kita membaca sendiri, susah hendak faham nanti. Lagi bahaya, boleh jadi salah faham pula.

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk mengikut syariat yang Allah ﷻ telah sampaikan. Ini adalah amrun ibqa’ie sebab Nabi ﷺ memang sudah mengikut syariat.

📍Maksudnya, terus melakukan apa yang sedang dilakukan – bukanlah Nabi ﷺ baru hendak ikut syariat pula. Ikut itu maksudnya percaya, hayati dan tabligh (sampaikan) sebagaimana yang diajar oleh Al-Quran. Dalam kata lain, ikut seperti yang dibuat oleh Nabi ﷺ .

Janganlah kita mencari jalan selain dari syariat Allah ﷻ. Kita juga sudah melafazkan Syahadah untuk ikuti Nabi Muhammad ﷺ dan ajarannya. Kalau kita sudah berikrar begitu, kenapa hendak mengikuti lagi jalan-jalan yang lain?

Kenapa hendak mengikuti ajaran guru-guru yang tidak menggunakan Al-Quran dan Sunnah, termasuk kitab-kitab tulisan manusia yang tidak merujuk kepada ayat-ayat Allah ﷻ?

Kenapa masih lagi hendak membuat perkara bid’ah dalam agama? Kenapa hendak mengamalkan tawassul yang dilarang sedangkan Nabi ﷺ tidak pernah mengajar cara berdoa begitu.

Entah berapa ramai yang melafazkan Dua Kalimah Syahadah tetapi tidak memahami apakah yang disebutkan itu. Mulut mereka katakan berjanji hendak mengikut Nabi ﷺ, tetapi dalam amalan, masih mengikut akal, hujah dari kitab-kitab dan guru mereka.

Oleh itu, hendaklah kita faham syahadah yang dilafazkan setiap hari itu, sekurang-kurangnya dalam tahiyat solat kita. Ini kerana pentingnya syahadah itulah, Allah ﷻ selalu ingatkan kita sampaikan mewajibkan kita mengucapnya setiap hari tetapi berapa ramai yang ambil peringatan?

Berapa ramai yang ingkar dengan kata-katanya sendiri? Kata hendak ikut ajaran Nabi ﷺ, tetapi ajaran orang lain juga yang mereka ikuti.

وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui

Ini pula perkara yang jangan dilakukan. Maknanya, ada yang kena ikuti dan ada yang tidak boleh. Ramai yang keliru dengan perkara ini. Mereka hanya tahu tentang perkara yang perlu dilakukan tetapi tidak tahu ada perkara yang perlu ditinggalkan.

Termasuk dalam perkara ini adalah larangan membuat amalan bid’ah. Ini kerana segala amalan yang kita hendak lakukan kenalah ada dalil. Kalau bukan dari nas yang sahih, maka itu adalah ikut hawa nafsu. Namun, masyarakat banyak yang bagi alasan ‘tidak ada larangan’.

Mereka terus mengamalkan juga amalan-amalan bid’ah kerana mereka kata Nabi Muhammad ﷺ ‘tidak pernah larang’. Ini adalah hujah yang amat dangkal sekali. Hal ini terjadi adalah kerana mereka tidak belajar agama dan main-main sahaja dengan agama (tidak kisah dan ambil endah).

📍Hendaklah kita ikut orang yang tahu. Tahu apa? Tahu Al-Quran dan Sunnah – maknanya tahu ilmu wahyu. Itulah dua syarat utama yang perlu kita lihat dalam guru dan orang yang hendak kita ikuti dalam kehidupan kita. Mereka yang tidak tahu Al-Quran dan Sunnah itu adalah orang yang tidak boleh dijadikan sebagai panduan kita.

Ketahuilah bahawa orang-orang yang membuat amalan bid’ah itu adalah mereka yang tidak tahu dan jahil mengenai tafsir Al-Quran dan hadis. Maka jangan belajar dengan mereka yang belum belajar wahyu. Terdapat ramai lagi yang telah belajar wahyu, jadi kalau ada guru yang mengajar, tanya dia, adakah dia sudah habis belajar tafsir Al-Quran?

Adakah salah tanya begitu? Kalau dia sendiri tidak tahu, kita takut ada ajaran salah yang disampaikannya. Ini penting kerana kita kena menjaga agama dan tidak mungkin hendak ambil agama dari orang yang tidak layak pula.

Jangan mengikut orang yang ikut hawa nafsu mereka. Apakah yang dimaksudkan dengan Hawa Nafsu? ‘Hawa nafsu’ itu adalah dakwaan dan hujah tanpa dalil yang sah. Dalil yang sah hanyalah dari Al-Quran dan Hadis Sahih sahaja.

Kalau hujah bukan datang dari dua sumber itu, maka kita kena berhati-hati. Tidak kira dari guru sebesar mana pun yang memberi hujah kerana hujah manusia belum tentu benar. Landasan agama kita memerlukan dalil yang sah.

Ramai yang membuat amalan dan fahaman agama mengikut dalil hawa nafsu, kehendak hati dan akal sahaja. Ini tidak boleh dan orang-orang sebegini jangan kita ikut. Tinggalkan sahaja mereka sebab bahaya kalau kita mendengar ceramah dan hujah yang disampaikan. Ini kerana mungkin mereka pandai berhujah dan dapat mengelabui mata kita pula.

Tafsir Ayat ke-19

Kalau ikut juga mereka yang tidak tahu?

إِنَّهُم لَن يُغنوا عَنكَ مِنَ اللهِ شَيئًا ۚ وَإِنَّ الظّٰلِمينَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۖ وَاللهُ وَلِيُّ المُتَّقينَ

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).

إِنَّهُمْ لَن يُغْنُوا عَنكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun daripada Allah;

‘Daripada’ Allah ﷻ maksudnya ‘dari azab Allah ﷻ. Kalau kita mengikut mereka yang tidak tahu agama, Al-Quran dan Hadis, membuat perkara yang berlawanan dengan apa yang disampaikan oleh wahyu dan syariat, mereka masih tidak dapat menyelamatkan kita juga.

Mereka juga tidak dapat memberi pertolongan kepada kita. Bagaimana mereka hendak menyelamatkan kita, sedangkan mereka sendiri tidak selamat? Maka janganlah berlindung dengan alasan: “alah, ramai orang yang buat, takkan salah”, “tok guru itu kata boleh buat begitu….”, “ustaz itu selamba sahaja buat, takkan salah kalau begitu?”.

Ini adalah contoh hujah-hujah yang bukan berlandaskan syariat. Hujah berlandaskan syariat adalah yang ada dalil dari Al-Quran dan sunnah. Hujah-hujah itu adalah bathil dan tidak akan menyelamatkan sesiapa jua dari Allah ﷻ.

وَإِنَّ الظّٰلِمِينَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sesetengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain;

‘Zalim’ itu bermaksud berbuat syirik. Apabila tidak memahami Al-Quran, bermakna mereka tidak tahu apakah kehendak Allah ﷻ dalam hal akidah. Oleh kerana mereka tidak tahu, maka tentu akan melakukan banyak kesalahan lebih-lebih lagi tentang hal tauhid dan syirik.

Ini kerana Al-Quran itu menerangkan tentang tauhid dan syirik. Itulah malangnya kalau tidak belajar tafsir Al-Quran. Apabila tidak belajar tafsir Al-Quran, maka syaitan akan mengambil peluang untuk menipu orang itu. Senang sahaja syaitan hendak bisikkan perkara yang salah kerana mereka tidak tahu ajaran Al-Quran.

Maka, mereka tidak dapat membandingkan bisikan syaitan itu dengan Al-Quran. Itulah sebabnya Al-Quran itu adalah ‘neraca’ kerana ia dapat membezakan mana yang benar dan salah. Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa golongan yang mengamalkan syirik itu bertolongan dan memberi semangat kepada sesama mereka.

Malahan ada juga puak yang sokong menyokong antara mereka kerana ada yang sama fahaman. Oleh itu mereka rasa tidaklah salah sebab ada juga yang berfahaman sama. Namun, ingatlah yang Allah ﷻ tidak akan membantu mereka.

وَاللهُ وَلِيُّ الْمُتَّقِينَ

dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa.

Mereka yang jahil itu tidak dapat menolong kita dari azab Allah ﷻ; yang dapat menolong kita waktu itu adalah Allah ﷻ sahaja. Bayangkan, kalau Allah ﷻ sendiri yang menjadi penolong kita? Mana lagi bagus? Penolong yang tidak boleh menyelamatkan kita, atau Allah ﷻ?

📍Tentulah Allah ﷻ itu lebih baik. Maka, hendaklah kita bertaqwa supaya Allah ﷻ hendak menjadi penolong kita dan ikuti apa yang disampaikan dalam syariat Allah ﷻ.

Taqwa itu bermaksud menjaga hukum dalam setiap perbuatan kita. Dalam setiap amalan dan perbuatan kita, kita akan memikirkan sama ada Allah ﷻ suka kita buat atau tidak perkara itu.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Al-Jathiya (Ayat ke-18 dan Ayat ke-19)

📍Kalau kita minta sumber tentang sesuatu dakwaan agama tetapi jawab ustaz itu, “kalau untuk kuliah umum memang tidak diberikan sumber sebab orang awam tidak memahami bahasa arab. Lagipun tiada guna tahu sumber sebab tidak faham hendak rujuk sendiri. Maka orang awam ikut dan percaya apa yang disampaikan oleh ustaz itu sebab dipercayai keilmuannya.

🔵 Itu jawapan selamat sebab tidak mampu beri, agaknya. Kalau tidak beri semua pun, boleh diberikan dengan ringkas. Orang awam perlukan yang ringkas-ringkas sahaja.

📍Bagaimana cara kita hendak tegur atau menasihati orang yang berbuat syirik? Ada kawan saya yang anaknya muntah dan berak tidak berhenti selama 5 hari. Walaupun sudah ke klinik masih tidak sembuh. Lalu ada orang cadangkan suruh pakai tali kasut hitam yang sudah terpakai, orang tua-tua ajarkan katanya. Itu termasuk syirik?

🔵 Ini khurafat. Percaya kepada perkara yang tidak ada dalil, karut dan tidak masuk akal. Nasihat selalunya hanya laku kepada orang yang belajar. Maka kena ajak belajar tetapi nasihat tetap kena nasihat. Cari masa yang sesuai dan cakap dengan baik. Orang akan dengar nasihat dari orang lain kalau: dia hormat orang itu atau terhutang budi dengan dia. Maka, kena cari peluang sebegitu.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan