Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-52 hingga Ke-56

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-52 hingga Ke-56

429
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-52

Inilah taktik yang digunakan oleh orang yang berkuasa untuk menjatuhkan mereka yang hendak membawa kebenaran. Firaun berusaha untuk jatuhkan martabat Nabi Musa a.s. Ini dinamakan ‘Character Assassination’.

أَم أَناْ خَيرٌ مِّن هٰذَا الَّذي هُوَ مَهينٌ وَلا يَكادُ يُبينُ

“Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِّنْ هَٰذَا

Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang ini,

Firaun membuat perbandingan antara dirinya dan Nabi Musa sebab hendak tunjukkan kelebihan dirinya dan kekurangan yang ada Nabi Musa.

الَّذِي هُوَ مَهِينٌ

yang hina keadaannya,

Sekarang Firaun membandingkan dirinya dengan Nabi Musa. مَهِينٌ dari kata dasar هون yang bermaksud ‘lemah’, ‘hina’, ‘tidak penting’, ‘tidak bernilai’. Tentulah keadaan Nabi Musa tidak dikenali (glamour) macam Firaun.

Kalau dari segi kebendaan, kekuatan dan kekayaan, awal-awal lagi Nabi Musa sudah kalah. Firaun kata Nabi Musa itu dari golongan hina yang bukan dari bangsa mereka kerana Nabi Musa dari pendatang luar, maka dia dikira sebagai golongan bawahan.

وَلَا يَكَادُ يُبِينُ

dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

Sekarang dia menghina lagi Nabi Musa dan daripada sirah, kita dapat tahu bahawa Nabi Musa ada masalah gagap. Percakapannya tidak lancar. Ini dijelaskan dengan panjang lebar dalam [ Taha: 27]. Firaun tidak melepaskan peluang itu untuk menjatuhkan lagi kedudukan Nabi Musa.

Tafsir Ayat ke-53

Sekarang Firaun gunakan sebab kekayaan pula kerana itulah neraca manusia.

فَلَولا أُلقِيَ عَلَيهِ أَسوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ أَو جاءَ مَعَهُ المَلائِكَةُ مُقتَرِنينَ

 “(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?”

فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ

Kenapa dia tidak dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang dari emas?

Firaun menghina Nabi Musa kerana baginda nampak biasa sahaja, tidak nampak kekayaan dia yang melimpah sampai ada gelang-gelang dari emas. Kalau kita lihat gambar-gambar Mesir Kuno, kita boleh lihat bagaimana lelaki-lelaki zaman itu dipakaikan dengan gelang-gelang emas.

Ini adalah tanda kekayaan dan kedudukan yang tinggi kepada mereka. Oleh kerana itulah, Firaun mempersoalkan Kerasulan Nabi Musa kerana pada mereka, kalau baginda adalah seorang Rasul, maka tentulah Allah SWT akan memberikan gelang-gelang emas kepada baginda.

أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

atau datang malaikat bersama-sama dengannya?”

Firaun juga kata kenapa tidak ada malaikat yang melekat sahaja dengan baginda seperti ‘Qarin’ ke mana-mana baginda pergi? Ini kerana begitulah keadaannya jikalau orang-orang besar,ke mana-mana sahaja orang besar itu pergi, ada sahaja pengikut-pengikutnya yang akan mengekor di belakang dan di kiri kanannya.

Begitulah juga Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada orang-orang yang kaya dan berpengaruh dari bandar Mekah dan Taif? Mereka juga mempersoalkan kenapa tidak ada malaikat yang iring bersama-sama Nabi Muhammad SAW.

Maka Nabi Muhammad SAW dipujuk di dalam ayat ini, dengan Allah SWT memberi tahu baginda SAW bahawa bukan baginda sahaja yang diejek dan dicemuh sebegitu. Nabi Musa turut sudah di persoalkan begitu juga.

Begitu jugalah yang terjadi pada zaman sekarang. Ramai yang mempersoalkan kedudukan keduniaan guru-guru yang mengajar sunnah. Mereka kata guru-guru itu tidak ada kedudukan dalam masyarakat. Anak murid juga tidak ramai.

Mereka tidak kaya, tidak pernah masuk televisyen macam ustaz-ustaz yang tidak sunnah itu. Selalunya, guru-guru sunnah ini nampak biasa sahaja, tidak pakai serban selalunya.

Ada masyarakat yang jahil, yang kadang-kadang akan kutuk peribadi ustaz-ustaz sunnah itu. Ada yang kata ustaz-ustaz sunnah itu ‘buta’, ‘tidak ada seri’, ‘tiada cahaya iman’ dan macam-macam lagi.

Itu semua adalah cara menilai kedudukan seseorang yang salah. Kelebihan seseorang dalam agama bukan dilihat dari sudut kebendaan dan kemewahan dunia orang itu. Perkara yang Allah SWT pandang adalah taqwa dan kita juga sepatutnya begitu. Itulah yang diajar dalam surah Zukhruf ini.

Apakah penerimaan penduduk Mesir dengan kempen Firaun ini? Kita lihat nanti dalam ayat seterusnya.

Tafsir Ayat ke-54

Kaum Firaun yang memandang kekayaan dunia, memang termakan dengan hujah-hujah Firaun itu. Jiwa mereka memang puja dunia dan mereka takut kalau keduniaan mereka tergugat.

Mereka melihat kekayaan sebagai neraca kebenaran, maka mereka lebih suka mengikut sahaja sesiapa yang berkuasa. Begitu jugalah kebanyakan dari masyarakat kita.

‎فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.

‎فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ

Maka Firaun memperbodohkan kaumnya,

Kalimah فَاسْتَخَفَّ dari kata dasar خ ف ف yang bermaksud ‘ringan’. Firaun nampak kaumnya pandang ringan sahaja tentang perkara-perkara yang melibatkan kehidupan mereka dari sudut dunia dan akhirat. Apa sahaja yang disebut kepada mereka olehnya, mereka akan ikuti.

Selain itu, ia bermaksud, Firaun ‘meringankan’ pemikiran rakyatnya, yang bermaksud memperbodohkan kaumnya. Senang ditolak ke sana dan ke sini. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan strategi terancang supaya rakyatnya tidak pandai berfikir.

Dia dengan sengaja menjadikan kaumnya jahil supaya mereka ikut sahaja. Kaumnya tidak pandai berfikir sendiri maka senanglah mereka dikawal. Begitulah kesannya kalau akal jahil tidak berilmu, antaranya Firaun telah menggunakan kempen besar-besaran.

Macam manusia juga, apabila dikenakan dengan propaganda media massa, mereka terus percaya apa yang disampaikan. Pada mereka, kalau keluar di surat khabar dan televisyen, ia tentunya benar. Manusia sudah malas hendak fikir, mereka terima sahaja apa yang pemerintah berikan. Inilah yang terjadi dari zaman Firaun sendiri.

Masha Allah! dari zaman itu lagi sudah ada, dan sekarang ia diamalkan oleh pemerintah zaman ini juga. Pemerintah akan senang memerintah rakyat yang bodoh yang tidak boleh berfikir sendiri.

Oleh itu, ada kerajaan yang menghalang rakyat mereka dari menggunakan akal kritis mereka. Mereka hanya diberikan dengan pendidikan yang membolehkan mereka membaca dan mengira sahaja. Mereka hendak rakyat mereka berfikiran ‘ringan’ sahaja.

Begitu jugalah dengan mereka yang memegang tampuk agama negara ini iaitu mereka yang dipandang sebagai orang alim, yang menguruskan hal agama di negara kita. Mereka akan kata kepada masyarakat, tidak perlu tukar lah apa yang telah lama diamalkan itu.

Mereka beri macam-macam hujah, yang kalau diberikan kepada mereka yang jahil, mudah untuk mereka terima.

فَأَطَاعُوهُ

lalu mereka mematuhinya;

Sepatutnya golongan Bani Israil itu mengikut Nabi Musa tetapi mereka telah mengikuti kata-kata Firaun. Mereka taat kepada Firaun dan tidak taat kepada Nabi Musa. Mereka lebih percaya kepada Firaun lagi dari mereka percaya kepada Nabi Musa.

Sebenarnya mereka takut kepada Firaun. Padahal Nabi Musa datang dengan bawa dalil-dalil dan hujah dari wahyu. Padahal kaumnya semua nampak yang bala itu diangkat kerana doa Nabi Musa tetapi bila Firaun bagi ucapan besar-besaran itu, mereka ikut apa kata Firaun pula.

Macam zaman sekarang, kalau ada pemimpin yang pandai bercakap, manusia akan terpesona dan akan mengikut kata-kata pemimpin itu. Seperti juga orang kita yang ikut sahaja yang pemimpin mereka katakan tanpa usul periksa.

Lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu adalah pemimpin politik mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin mereka semuanya benar belaka, dan apa yang dilakukan oleh pemimpin politik lawan, semuanya salah.

Manusia ramai yang tidak tahu membezakan mana yang benar dan salah lagi. Begitu juga dalam hal agama. Mereka hanya memilih guru dan ustaz yang terkenal sahaja, yang ada nama, pernah masuk televisyen, radio dan surat khabar sahaja.

Apa sahaja yang diberitahu oleh mereka, diterima bulat-bulat. Tidak lagi diperiksa dengan al-Quran dan Hadis. Ini mungkin kerana masyarakat Islam negara kita telah diajar dari kecil lagi untuk tidak mempersoalkan apa yang diajar oleh ‘ustaz’.

Apa yang mereka beritahu, ‘tentunya benar’, ‘takkan mereka salah’ dan macam-macam lagi. Maka, berterusanlah manusia berada dalam kejahilan. Seolah-olah percambahan ilmu dan pencarian ilmu telah ditutup oleh mereka.

‎إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فٰسِقِينَ

sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.

Oleh kerana mereka tidak taat kepada Rasul tetapi taat kepada Firaun, maka Allah SWT menggelar mereka sebagai kaum yang fasik.

Dalam tafsir disebut ‘fasik’ dalam ayat ini dalam bentuk musyrik. Memang ada syirik dalam hati mereka. Memang kalau tegar syirik susah hendak terima kebenaran tetapi bukankah Firaun yang bersalah dalam hal ini kerana dialah yang memperbodohkan mereka?

Memanglah Firaun telah mengambil kesempatan ke atas mereka tetapi Allah SWT telah memberi setiap manusia dengan akal fikiran untuk menimbang manakah yang benar dan manakah yang salah. Oleh kerana mereka tidak menggunakan akal fikiran mereka, maka mereka telah menjadi kaum yang fasik.

Maka, tidaklah boleh kalau kita hendak menggunakan alasan: “Saya tidak tahu, saya ikut sahaja”. Ini adalah kerana kita kena menggunakan akal yang kritis. Kena pandai tanya kepada guru yang mengajar: “Ustaz, tumpang tanya, Ustaz dapat maklumat ini dari mana?”

Jangan biarkan guru-guru agama ‘memperbodohkan’ kita dengan kata-kata dan ajaran mereka yang tidak ada dalil yang sah. Cukuplah sudah mereka mengambil kesempatan dari kejahilan kita selama ini.

Marilah belajar al-Quran dan Hadis yang sahih supaya kita dapat membezakan manakah yang benar dan manakah yang hanya rekaan sahaja. Relevan sungguh ayat ini dengan keadaan semasa. Menjelaskan banyak perkara, bukan?

Tafsir Ayat ke-55

Setelah mereka mengambil keputusan untuk mengusir Nabi Musa, maka Allah SWT telah mengambil tindakan keras.

فَلَمّا ءآسَفونَا انتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقنٰهُم أَجمَعينَ

Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).

فَلَمَّا ءآسَفُونَا

Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami,

Mereka telah menyebabkan Allah SWT marah dengan perbuatan derhaka mereka itu. Mereka bukan sahaja tolak tetapi mereka hendak menyakiti Nabi Musa dan hendak menghalau baginda.

Perkataan آسَفُونَا diambil dari kata dasar أسف yang boleh bermaksud ‘menyesal’ ataupun ‘kemarahan’. أسف adalah perasaan marah yang bercampur dengan perasaan sedih disebabkan perbuatan yang dilakukan oleh orang lain dan ia lebih berat lagi daripada perkataan marah, َغَضَب.

انتَقَمْنَا مِنْهُمْ

Kami ambil balasan dari mereka,

Allah SWT balas dendam kepada mereka. Allah SWT membalas kesalahan yang mereka lakukan semasa mereka di dunia lagi.

فَأَغْرَقْنٰهُمْ أَجْمَعِينَ

iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut.

Firaun, keluarganya, pembesarnya dan tenteranya semuanya dimusnahkan dalam laut itu. Tidak ada seorang pun yang diselamatkan. Semua sekali dimatikan dalam Laut. Kekayaan mereka di Mesir ditinggalkan begitu sahaja.

Allah SWT bawa mereka semua ke satu tempat dan tenggelamkan semua sekali supaya tidak kacau tempat tinggal mereka. Ini kerana tempat itu hendak diberi balik kepada Bani Israil. Allah SWT buang yang tidak diperlukan sahaja. Begitulah hebatnya perancangan Allah SWT. Lihatlah bagaimana kesalahan mereka dibalas semasa di dunia lagi.

Apabila manusia yang ingkar berbuat zalim kepada penyebar tauhid, Allah SWT akan membalas kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Namun jangan kita doa untuk disegerakan azab kepada mereka yang menolak dakwah kita kerana kita kasihan kepada mereka. Memang doa itu akan makbul.

📍Kisah-kisah azab dan bala yang diberikan kepada umat-umat terdahulu itu bukan hanya sebagai sejarah sahaja, tetapi ia masih boleh terjadi lagi. Maka beringat-ingatlah.

Tafsir Ayat ke-56

Apakah tujuan Allah menceritakan kisah mereka kepada kita?

فَجَعَلناهُم سَلَفًا وَمَثَلًا لِلآخِرينَ

Maka kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.

Kita sepatutnya menjadikan mereka yang sebelum kita sebagai pengajaran buat kita. Dari dahulu sampai sekarang, ramai yang mengkaji tentang Firaun, tentang kehidupannya, tetapi tiada yang kaji tentang kekufurannya dan kenapa dia dimusnahkan.

Kalau golongan arkeologis, mereka kaji kesan peninggalan Firaun, bahasa yang digunakan, pakaian dan adat mereka, malah apa-apa sahaja, tetapi lihatlah bagaimana tidak disebut kenapa mereka dimusnahkan begitu sahaja. Kalimah سَلَفًا bermaksud mereka yang ada dulu sebelum kita. Mereka yang lebih awal dari kita.

Mereka hidup sebelum kita dan mereka sekarang sudah tiada. Mereka menjadi sebahagian daripada sejarah dan kita perlu mempelajari sejarah mereka supaya kita boleh belajar dari kebaikan dan kesilapan mereka yang lampau.

Sejarah akan berulang-ulang kerana kita tidak mengambil pengajaran darinya. Firaun, pembesarnya dan kaumnya yang kufur menjadi pengajaran untuk kita yang datang terkemudian dari mereka.

Mereka bukanlah menjadi contoh yang baik yang perlu diikuti sebaliknya mereka adalah contoh yang perlu dijauhi. Lihatlah bagaimana mereka begitu kaya dan kuat, tetapi kekayaan dan kekuatan mereka itu hanya sementara sahaja.

Hanya di dunia sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan kekuatan dan kekayaan yang melimpah ruah. Perkara ini juga mengajar kepada kita bahawa dengan kuasa dan kekayaan yang ada pada manusia, manusia boleh mempengaruhi manusia lain untuk melakukan kesalahan.

Memang ramai yang terpengaruh dengan kekayaan dan kekuatan yang dimiliki oleh orang lain. Maka kita kenalah berhati-hati dengan mereka yang nampaknya ada kekuatan dan ada kuasa, kerana tidak semestinya mereka itu benar.

📍Kita kena berhati-hati dengan mereka yang kita ikut. Jangan kita ikut sahaja tanpa periksa kerana kalau mereka salah dan kita ikut mereka, kita turut salah juga dan akan dipersoalkan. Kita tidak boleh jawab nanti di hadapan Allah SWT: “Saya ikut sahaja”.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan