Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-38 hingga Ke-42

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-38 hingga Ke-42

353
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-38

Sebelum ini telah disebut mereka yang telah dihadiahkan dengan qarin yang membisikkan perkara buruk tentang agama, mengajak membuat keburukan dan sebagainya.

Tafsir Ayat ke-38

Mereka hanya sedar apabila berada di akhirat kelak dan apabila dimasukkan ke dalam neraka. Itulah bahayanya.

حَتّىٰ إِذا جاءَنا قالَ يٰلَيتَ بَيني وَبَينَكَ بُعدَ المَشرِقَينِ فَبِئسَ القَرينُ

Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman”.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَنَا

Sehingga apabila dia datang kepada Kami

Ia datang kepada Allah SWT pada Hari Kiamat, sama ada Hari Kiamat yang besar, atau Kiamat Kecil kepada setiap manusia, iaitu mati. Setiap manusia akan datang bertemu Allah SWT. Mereka datang bersama dengan qarin-qarin mereka. Waktu itu baru menyesal yang amat sangat.

قَالَ يٰلَيْتَ بَيْنِي وَبَيْنَكَ بُعْدَ الْمَشْرِقَيْنِ

berkatalah dia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya antaraku denganmu sejauh dua timur!

Mereka melafazkan kata-kata ini dengan rasa yang amat sesal dan amat marah. Mereka harap supaya antara mereka dan qarinnya itu amat jauh sekali. Selalunya kalau dengan kawan rapat kita, kita hendak selalu duduk rapat dengan mereka, bukan?

Namun dengan qarinnya yang menyesatkannya itu, dia berharap kalaulah di dunia dahulu mereka amat jauh dan di akhirat kelak juga, mereka hendak jauh dari qarin mereka itu. Itulah bahayanya kalau kita salah berkawan. Walaupun kita orang baik, tetapi kalau silap pilih kawan, kita akan terikut-ikut dengan perangai buruknya. Oleh itu, pandai-pandailah pilih kawan rapat kita.

Kenapa digunakan perkataan ‘dua timur’? Kita tahu matahari naik dari arah timur. Namun, tempat naiknya itu tidak sama sepanjang tahun. Ia berubah-ubah dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Maksudnya, yang dimaksudkan antara ‘dua timur’ itu adalah jarak terjauh antara tempat naik matahari itu. Maknanya, sejauh yang mungkin. Begitulah perasaan mereka yang telah ditipu dengan qarinnya yang jahat itu.

فَبِئْسَ الْقَرِينُ

sejahat-jahat teman

Memang mereka itu adalah sejahat-jahat dan seburuk-buruk teman. Mereka menyesatkan manusia dari jalan yang benar. Ini memang jenis kawan yang tidak berguna langsung. Ini adalah kata-kata penyesalan yang disebut oleh mereka yang ingkar untuk belajar Tafsir al-Quran sehinggakan tidak mengendahkan apakah yang diajar dalam al-Quran. Mereka akan kata begini di Mahsyar nanti. Mereka sendiri akan laknat syaitan mereka itu waktu itu.

Semoga kita tidaklah tergolong antara mereka itu. Maka kenalah cari kelas pengajian tafsir al-Quran sebelum terlambat.

Tafsir Ayat ke-39

Lalu dikatakan kepada mereka sebagai jawapan kepada harapan mereka itu

وَلَن يَنفَعَكُمُ اليَومَ إِذ ظَّلَمتُم أَنَّكُم فِي العَذابِ مُشتَرِكونَ

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.

وَلَن يَنفَعَكُمُ الْيَوْمَ إِذ ظَّلَمْتُمْ

“Pada hari ini, tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, jika kamu menzalimi diri kamu sendiri.

Sebelum ini, telah disebut bagaimana mereka yang ditipu berharap semoga mereka dijauhkan dari qarin mereka yang telah menyesatkan mereka. Allah SWT beritahu dalam ayat ini, kalau mereka dijauhkan di akhirat kelak, ia tidak akan memberi manfaat dan faedah kepada mereka. Ini kerana mereka dua-dua akan masuk neraka bersama-sama. Sesalan dan laknat mereka kepada syaitan mereka itu sudah tidak berguna waktu itu. Sudah terlambat.

‘Menzalimi diri sendiri’ bermaksud melakukan syirik kepada Allah SWT. Sepatutnya kita hanya buat ibadat dan doa kepada Allah SWT sahaja tetapi kita ibadat dan berdoa juga kepada selain Allah SWT.

أَنَّكُمْ فِي الْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ

kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.

Maksudnya, mereka yang melakukan syirik dan bersama-sama syaitan dan juga guru-guru yang sesat yang mengajar mereka amalan sesat itu akan bersama-sama menerima azab di dalam neraka. Bagi yang mengajar dan yang diajar akan sama-sama masuk neraka. Tidaklah mereka boleh menolong mereka yang lain.

Mereka bersama semasa di dunia, melakukan kesalahan, dan di akhirat nanti mereka juga akan bersama menerima azab.

Tafsir Ayat ke-40

Ayat Zajrun (teguran keras)

أَفَأَنتَ تُسمِعُ الصُّمَّ أَو تَهدِي العُميَ وَمَن كانَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Maka (mengapa engkau berdukacita wahai Muhammad) adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak mendengar, atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta (mata hatinya), dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?

أَفَأَنتَ تُسْمِعُ الصُّمَّ

Adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak mendengar,

Selepas sudah belajar tafsir al-Quran, seseorang itu akan kasihan kepada orang lain yang masih tidak tahu tentang al-Quran ini. Termasuklah juga Nabi Muhammad SAW, orang yang pertama sekali menerima wahyu al-Quran.

Baginda tidak buang masa untuk beritahu umat baginda tentang al-Quran dan tauhid kepada manusia tetapi ramai manusia yang tolak baginda. Bayangkan, manusia sehebat Nabi Muhammad SAW juga ada orang tolak, apatah lagi kita? Maka Nabi SAW bersedih kerana kaum kerabat baginda turut tolak baginda.

Malah yang paling kuat menentang baginda SAW adalah keluarga baginda sendiri. Sampaikan Abu Lahab itu ikut belakang baginda SAW semasa baginda dakwah dan melarang orang lain dari dengar bacaan al-Quran dari baginda SAW.

Mereka beritahu kepada orang luar yang Nabi Muhammad SAW itu adalah gila dan bahawa mereka itu ahli keluarga Muhammad SAW itu (jadi mereka tentu kenal baginda). Maka orang hendak dengar baginda menjadi susah hendak dengar kerana keluarga baginda sendiri pun tolak. Maka kalau keluarga kita sendiri tolak kita, ia perkara biasa sahaja.

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Muhammad SAW ditanya: adakah baginda SAW boleh memperdengarkan orang yang pekak? Orang yang pekak dalam ayat ini adalah mereka yang tidak mahu belajar Tafsir al-Quran.

Mereka diibaratkan sebagai orang yang pekak kerana qarin-qarin dari kalangan syaitan itu tidak beri mereka berada di atas jalan yang benar, tidak beri manusia mendengar ajaran-ajaran al-Quran. Oleh kerana itu kalau kita beritahu kepada mereka tentang kebenaran, mereka tidak mahu dengar. Mereka tidak faham apa yang kita sampaikan kepada mereka.

Mereka dengar, tetapi tidak faham. Mereka ini adalah golongan yang sudah ditutup pintu hati mereka dari terima kebenaran lagi – kufur ‘Peringkat Empat’ (Khatmul Qalbi).

Maka, janganlah kita patah hati kalau orang yang kita dakwahkan tidak menerima apa yang kita beritahu kepada mereka. Mereka tidak terima kerana memang mereka pekak! Mereka pekak kerana Allah SWT telah tutup pintu hati mereka.

أَوْ تَهْدِي الْعُمْيَ

atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta

Bayangkan kalau seorang yang buta datang kepada kita dan minta kita tunjukkan jalan kepada mereka. Kalau kita tunjukkan jalan kepada mereka, masih mereka tidak nampak, bukan?

Begitulah juga dengan mereka yang buta mata hatinya dari al-Quran. Kalau kita tunjukkan kebenaran kepada mereka, mereka tidak boleh hendak nampak. Kita menjadi hairan kenapa mereka tidak dapat faham. Itu adalah kerana mereka telah dibutakan oleh qarin-qarin mereka.

وَمَن كَانَ فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?

Allah SWT memberitahu kepada Nabi Muhammad SAW dan kita juga, bahawa kita tidak akan dapat memberi hidayah kepada mereka yang berada atas kesesatan yang nyata itu.Inilah bahayanya kalau mereka sudah diberikan dengan qarin-qarin itu.

Namun, walaupun begitu kita tetap kena sampaikan juga al-Quran ini kepada orang lain kerana kita tidak tahu siapakah yang telah ditutup pintu hati itu. Jangan kita pula memandai buat keputusan dan hukum yang seseorang itu telah ditutup pintu hatinya.

Untuk menyelesaikan masalah mereka itu, kena heret juga mereka untuk belajar tafsir al-Quran supaya mereka dapat faham dan qarin-qarin itu akan pergi dengan sendiri. Tidak perlu hendak buat majlis buang qarin, buang saka dan sebagainya, mereka akan pergi dengan sendiri.

Tafsir Ayat ke-41

Ayat Takhwif Duniawi.

Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak mempedulikan ayat-ayat al-Quran, tidak mahu belajar Tafsir al-Quran. Jadi, apakah sambungan firman Allah SWT tentang mereka?

فَإِمّا نَذهَبَنَّ بِكَ فَإِنّا مِنهُم مُّنتَقِمونَ

Oleh itu (bertenanglah engkau, kerana) kalaulah Kami wafatkan engkau (sebelum Kami perlihatkan kepadamu azab yang akan menimpa mereka), maka sesungguhnya Kami tetap menyeksa mereka.

فَإِمَّا نَذْهَبَنَّ بِكَ

Kalaulah Kami ambil engkau

Perkataan نَذْهَبَنَّ dari kata dasar ذ ه ب yang bermaksud ‘pergi’, ‘bawa’, ‘ambil’. Maksudnya dalam ayat ini adalah ‘wafat’kan – iaitu diambil nyawa Nabi Muhammad SAW.

Maksudnya, jikalau Allah SWT wafatkan baginda sebelum Allah SWT perlihatkan kepada baginda SAW dengan azab yang akan menimpa mereka yang tidak mahu mempelajari dan berpegang dengan al-Quran, tidak menghiraukan al-Quran.

Ini kerana ayat sebelum ini tentang mereka yang tidak mahu belajar tafsir al-Quran kerana Nabi Muhammad SAW tetap akan mati apabila sudah sampai masanya. Mungkin baginda tidak dapat melihat kesudahan mereka yang menolak untuk menerima wahyu al-Quran.

Kalimah نَذْهَبَنَّ juga boleh bermaksud, kalau Allah SWT ‘bawa’ keluar dari Nabi Muhammad SAW dari Mekah. Apa akan jadi kalau Allah SWT pindahkan baginda dari Mekah? Tidakkah rugi penduduk Mekah itu? Tidakkah bahaya untuk mereka?

فَإِنَّا مِنْهُم مُّنتَقِمُونَ

maka sesungguhnya Kami tetap menyeksakan mereka.

Apakah balasan kepada mereka yang tidak menghiraukan ayat-ayat al-Quran? Balasan kepada mereka adalah azab. Walaupun mungkin Nabi tidak nampak azab yang dikenakan kepada mereka, tetapi Allah SWT hendak beritahu kepada baginda, mereka tetap juga akan dikenakan dengan azab itu. Jangan risau tentang perkara itu. Apabila Allah SWT kata ‘tetap’, ia pasti akan berlaku.

Maksud kedua, kalau Allah SWT membawakan Nabi Muhammad SAW keluar dari Mekah, tentu mereka akan dikenakan dengan azab yang akan menghancurkan mereka. Mereka tidak kena azab waktu itu adalah kerana Nabi SAW ada bersama mereka. Kalaulah Nabi SAW sudah tiada di situ lagi, tentu mereka sudah kena azab kerana kesyirikan yang mereka telah lakukan.

Dalam sejarah para Rasul, kita boleh melihat bagaimana bila seseorang Rasul itu disuruh pergi meninggalkan kaumnya, maka itu tanda bahawa mereka akan dikenakan dengan azab. Maka bahaya kalau Nabi sudah tinggalkan mereka dan pergi ke tempat lain. Mereka sahaja yang tidak faham.

Tafsir Ayat ke-42

أَو نُرِيَنَّكَ الَّذي وَعَدنٰهُم فَإِنّا عَلَيهِم مُّقتَدِرونَ

Atau sekiranya Kami (hendak) memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka (dari azab seksa itu), maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.

أَوْ نُرِيَنَّكَ الَّذِي وَعَدْنٰهُمْ

Atau sekiranya Kami memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka

Atau mungkin sahaja Allah SWT tunjukkan kepada baginda, bagaimana mereka dikenakan dengan azab seksa itu yang telah dijanjikan kepada mereka. Mereka telah dijanjikan dengan ancaman azab jikalau tidak menghiraukan al-Quran. Mereka boleh dikenakan azab itu di hadapan mata Nabi Muhammad SAW.

Memang ada balasan yang memang Nabi SAW nampak sendiri, seperti kejadian Perang Badar dan Uhud. Peperangan itu adalah cara bagaimana Allah SWT tunjukkan azab yang dikenakan kepada penentang baginda SAW. Oleh kerana itulah dalam Perang Badr, yang kena bunuh adalah pemuka-pemuka Quraish dan penentang baginda SAW yang paling kuat.

فَإِنَّا عَلَيْهِم مُّقْتَدِرُونَ

maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.

Allah SWT berkuasa untuk memberi azab kepada mereka. Allah Maha Berkuasa dalam segala-gala hal. Allah Maha Berkuasa ke atas mereka dan Allah SWT boleh beri azab kepada mereka bila-bila masa jua.

Allah SWT boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki ke atas mereka. Ikut Allah lah sama ada Dia hendak mengazab mereka depan mata Nabi atau tidak, di dunia atau di akhirat sahaja. Ini kerana ada kemungkinan Allah SWT tidak azab mereka di dunia, tetapi diazab di akhirat kelak.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan