Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukruf – Tafsir Ayat Ke-35 hingga Ke-37

Tafsir Surah Az-Zukruf – Tafsir Ayat Ke-35 hingga Ke-37

286
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-35

‎وَزُخرُفًا ۚ وَإِن كُلُّ ذٰلِكَ لَمّا مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا ۚ وَالآخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلمُتَّقينَ

Serta berbagai barang perhiasan (keemasan). Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.

وَزُخْرُفًا

Serta berbagai barang perhiasan (keemasan).

Ia mungkin bermaksud emas ataupun perhiasan iaitu perhiasan yang bergemerlapan dan keemasan. Ada jumlah muqaddar di dalam ayat ini kerana ianya ditulis pendek sahaja. Jadi ayat yang penuh adalah: Kami boleh berikan mereka emas melimpah.

Allah SWT boleh sahaja lakukan semua yang telah disebut tadi. Adakah Allah SWT hendak buat segala bumbung, tangga, atau kerusi panjang mereka itu dengan perak atau emas? Tidak. Ini kerana Allah SWT tidak mahu manusia sangka, kalau jadi kafir akan senang hidup mereka.

‎وَإِن كُلُّ ذَٰلِكَ لَمَّا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia;

Allah SWT beri kemewahan kepada manusia yang ingkar itu kerana ia tidak bernilai. Dalam hadis ada disebut yang maksudnya: kalaulah dunia ini bernilai sebelah sayap nyamuk sahaja, tentulah Allah SWT tidak beri walau seteguk air kepada orang yang kafir.

Maknanya, dunia ini dan segalanya tidak bernilai langsung. Sama nilai dengan sebelah sayap nyamuk, bahkan juga tidak sampai. Kalau ia bernilai, Allah SWT tidak beri minum kepada orang yang ingkar dengan-Nya.

Memang mereka boleh menikmati kesenangan dan kemewahan semasa di dunia. Namun, ia hanya di dunia sahaja dan ia tidak kekal. Sama ada kita mati dahulu, atau barang-barang yang dibanggakan itu akan rosak dahulu. Segala kemewahan itu tidak boleh dibawa ke akhirat.

‎وَالْآخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلْمُتَّقِينَ

dan (sebaliknya) akhirat di sisi Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.

Kalau dunia tidak bernilai, apakah yang bernilai? Itulah Taqwa. Itulah yang menjadi bekal yang berkekalan untuk kita. Itulah yang kita patut kejar.

Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa wahyu tidak diberikan kepada mereka yang kaya? Allah jawab bahawa kekayaan itu tidak bernilai langsung. Manusia sahaja yang memandang kelebihan kepada kekayaan, tetapi Allah SWT tidak memandang begitu.

Perkara yang Allah SWT pandang, adalah tahap ketaqwaan seseorang itu. Kekayaan dunia tidak bermakna apa-apa kecuali kalau digunakan untuk menegakkan agama Allah SWT.

Tafsir Ayat ke-36

Ini adalah Zajrun kepada mereka yang masih berdegil tidak mahu menerima hujah yang ada dalam al-Quran. Juga mengandungi takhwif ukhrawi. Ayat yang kita semua patut ingat dan hafal belaka sebab sangat penting.

وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطانًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ

 

Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ

Dan sesiapa yang tidak peduli pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT) Yang Maha Pemurah,

Kalimah يَعْشُ dari kata dasar عَشوٌ yang bermaksud ‘berniat untuk pergi ke sesuatu tempat pada malam hari’. Kalau kita berkelana di malam hari, tentulah susah untuk kita melihat, bukan? Pandangan kita akan kabur atau tidak jelas pada malam hari.

Oleh itu, perkataan يَعْشُ bermaksud ‘disamarkan’, ‘digelapkan’ pandangan. Tidak melihat dengan jelas. Apabila يَعْشُ ditambah dengan kata عَن, ia bermaksud ‘tidak peduli’. Buat tidak kisah kepada sesuatu.

Satu lagi makna, baca al-Quran tetapi tidak faham apa yang dibaca. Jangan tahu lafaz dan mengeja sahaja. Ada ramai yang baca al-Quran tetapi mereka tidak mahu hendak faham apa yang mereka baca. Sedangkan Nabi SAW mengajar dua-dua sekali – baca dan faham makna kerana dengan baca sahaja tidak boleh kenal Allah SWT.

Maksud utama ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ adalah al-Quran. Oleh itu, seorang guru al-Quran kena ajar makna al-Quran itu sekali, bukan mengajar anak murid pandai membaca sahaja. Maksud ayat ini adalah tentang mereka yang tidak peduli apa yang Allah SWT sampaikan dalam al-Quran.

Untuk peduli dan faham apa yang disampaikan dalam al-Quran, kena belajar Tafsir al-Quran kerana kalau tidak belajar Tafsir al-Quran, kita tidak akan faham apa yang dimaksudkan dalam al-Quran. Jika membaca sendiri terjemah juga tidak faham. Seseorang yang tidak belajar Tafsir al-Quran, dia tidak akan nampak apakah kehendak Allah SWT kepada kita.

Dia akan menjadi seperti seorang yang ‘buta’. Seseorang yang buta tidak akan nampak apa-apa pun walaupun benda itu berada di hadapannya. Seseorang yang tidak belajar Tafsir al-Quran tidak akan faham apa yang hendak disampaikan oleh al-Quran itu walaupun al-Quran itu berada di hadapannya dan walaupun dia selalu membacanya.

Berapa ramai yang membaca al-Quran tetapi tidak tahu langsung apa yang dibacanya. Memang sedap dia baca, lengkap dengan tajwid dan mendayu-dayu, tetapi langsung tidak faham apa yang dibacanya. Apabila tidak faham, dia akan langgar segala perkara yang dia baca itu, kerana dia tidak tahu apakah yang dia baca.

Kalimat ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ juga boleh bermaksud ‘ingat (zikir) kepada Allah SWT. Bila kita ingat kepada Allah SWT, maka syaitan akan melarikan diri. Apabila manusia lupa kepada Allah SWT, syaitan akan datang semula kepada manusia itu. Contoh macam kalau azan dikumandangkan, syaitan akan lari dan kemudian akan datang balik. Ini adalah maksud kedua.

Apakah kesan kepada mereka yang tidak belajar Tafsir al-Quran?

نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا

Kami akan adakan baginya Syaitan

Kalimah ‎نُقَيِّضْ dari kata dasar قيض yang bermaksud selaput telur di bawah kulit telur. Selaput itu melekat dan menyeliputi telur itu. Jadi نُقَيِّضْ bermaksud diseliputi, dikawal oleh sesuatu hingga menyebabkan orang yang dikawal itu tidak dapat melarikan diri dan melepaskan diri.

Maksud ayat ini, kalau tidak belajar tafsir al-Quran, Allah SWT akan ‘hadiahkan’ kepada mereka yang tidak mahu belajar itu, syaitan. Syaitan itu akan yang menghasut dan menyesatkannya. Syaitan itu akan ‘melekat’ kepada orang itu dan dia tidak dapat melepaskan diri lagi sebab ke mana sahaja dia pergi, syaitan itu akan ikut dia.

فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

lalu menjadilah Syaitan itu teman rapatnya

Syaitan itu akan menjadi teman yang tidak renggang daripadanya, macam selaput telur melekat dengan telur itu. Mereka tidak berenggang kerana sudah ada talian antara mereka. Maksudnya tidak dilepaskan oleh syaitan. Kalau syaitan biasa, mereka datang dan pergi tetapi syaitan jenis qarin ini akan terus bersama dengan orang itu sampai ke neraka.

Teman ini bukanlah teman yang baik kerana syaitan adalah musuh kita dan dia mahu melihat kita sesat. Syaitan Qarin itu akan bertindak macam bos kepada manusia itu, di mana manusia itu akan dikawal dan diperintah oleh syaitan itu.

Waktu itu mereka sudahlah jauh daripada al-Quran. Mereka yang jauh dari al-Quran adalah ibarat seorang yang buta. Bayangkan, sudahlah buta, dipandu pula musuh yang hendak melihat kita sesat! Tentu dia akan bawa kita masuk longkang, masuk gaung!

Apakah yang dilakukan oleh qarin itu? Ia ada disebut dalam [ Fussilat: 25 ].

‎۞ وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَحَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خاسِرينَ

Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

Maksudnya, syaitan-syaitan itu akan mencantikkan perkara yang salah. Amalan syirik mereka nampak macam baik. Mereka buat tawassul yang salah, tetapi syaitan itu membisikkan bahawa mereka buat amalan yang benar; amalan bidaah yang mereka amalkan, dinampakkan cantik, macam amalan dalam agama pula.

Oleh kerana sangka amalan salah mereka sebagai baik lah, yang menyebabkan ramai dari kalangan kita suka buat perkara bidaah. Contohnya, mereka yang berqasidah di stadium, di padang-padang itu rasa mereka melakukan sesuatu yang indah dan cantik dan baik dalam agama. Padahal tidak! Mereka cuma nampak baik sahaja kerana syaitan telah mengelabui mata mereka.

Tafsir Ayat ke-37

Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang jikalau seseorang itu tidak belajar tafsir al-Quran, mereka akan diberikan dengan syaitan sebagai qarin (yang duduk melekat dengan mereka). Maka apakah yang akan dilakukan oleh qarin-qarin itu? Mustahil hanya duduk menenggek sahaja, bukan?

وَإِنَّهُم لَيَصُدّونَهُم عَنِ السَّبيلِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ

Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ

Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu akan menghalangi mereka dari jalan yang benar,

Qarin-qarin itu akan menghalang orang itu dari jalan Allah SWT. Kalau ada peluang hendak menjadi baik, syaitan akan halang dan pesongkan orang itu ke jalan yang lain.

Sebagai contoh, baru hendak pergi ke kelas pengajian sahaja, syaitan akan pesongkan bawa dia ke tempat yang lain. Syaitan akan halang dia dari belajar, kerana kalau orang itu belajar, dia akan dapat bezakan mana amalan salah dan mana amalan yang benar.

Bila syaitan-syaitan itu sudah berjaya sahaja menangkap kita, mereka tidak akan melepaskan kita menuju ke jalan yang benar. Ada sahaja hal sampai langsung tidak pergi ke kelas Tafsir al-Qur’an. Semua benda lain nampak baik, nampak lebih menarik dari belajar Tafsir al-Qur’an.

Satu lagi senjata yang digunakan oleh syaitan adalah taswif – tangguh-tangguhkan sampai akhirnya tidak buat langsung. Orang yang kena penyakit taswif ini, mereka bukan tolak al-Quran tetapi mereka tangguh untuk belajar dan faham. Ada sahaja hal dengan keluarga, dengan kerja, dengan rumah, dengan permainan, dan macam-macam lagi.

Semua itu menghalang mereka untuk datang belajar. Mereka akan disibukkan dengan hal-hal keduniaan. Inilah bahayanya kalau tidak menghiraukan pembelajaran Tafsir Qur’an. Tidak teringat langsung hendak belajar.

Kalau ada yang ajak belajar sekali, ada sahaja alasan yang diberikan dan memang kalau di negara kita ini, tidak banyak pembelajaran Tafsir dijalankan. Kalau ada pun, amatlah sedikit. Maka, pembelajaran tafsir adalah pelik kepada mereka. Mereka akan hairan kalau ada orang belajar Tafsir al-Qur’an.

Maka, apakah yang terjadi di kalangan masyarakat kita kesan dari itu? Mereka banyak yang mengamalkan syirik dan bidaah. Mereka banyak yang tidak tahu hal agama. Banyak yang buat amalan yang salah dan ada fahaman yang salah tentang Allah SWT dan tentang agama.

Pada mulanya mereka hanya diberikan dengan seekor syaitan sahaja tetapi lama kelamaan, syaitan itu akan membiak dan mereka menjadi semakin ramai. Ini kerana apabila tidak belajar Tafsir al-Qur’an, banyak perkara salah yang mereka lakukan. Setiap kali perkara salah dilakukan, seekor syaitan akan ditambah lagi. Maka bertambah banyaklah syaitan-syaitan itu. Mereka sangka mereka mengumpul pahala, tetapi sebenarnya mereka mengumpul syaitan!

وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ

sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Keadaan yang lagi parah, mereka sangka mereka orang yang beriman, sudah bagus dalam agama. Kalau kita tanya kepada orang-orang yang tidak belajar Tafsir Quran dan mereka telah belajar agama selain daripada al-Quran dan Sunnah, mereka akan rasa bahawa mereka telah terpimpin dan telah mendapat hidayah.

Mereka sangka kerana telah lama belajar dengan guru itu dan ini, pondok itu dan ini, pesantren itu dan ini dan macam-macam lagi, maka mereka sudah sangka mereka telah beriman, pandai dalam agama, jadi mereka rasa mereka orang yang terpimpin dan berada dalam jalan yang benar.

Mereka tidak tinggal solat, mereka puasa dan sebagainya. Itu tidak dinafikan tetapi, oleh kerana mereka sangka mereka benar, maka mereka tidak cari jalan untuk memperbetulkan diri mereka. Sebab itulah mereka yang amalkan bidaah itu lagi teruk dari mereka yang buat maksiat.

Bagaimana pula? (Ramai yang marah dengan kenyataan ini). Ini adalah kerana, mereka yang buat maksiat itu tahu yang mereka sedang buat perkara yang salah. Maka mereka masih ada lagi menyimpan harapan untuk bertaubat apabila sudah penat buat maksiat nanti, atau apabila hidayah sampai kepada mereka.

Akan tetapi yang mengamalkan bidaah dan sangka mereka telah buat amalan baik dalam agama, mereka tidak nampak kesalahan mereka. Mereka tidak akan minta ampun atas kesalahan mereka kerana pada mereka, buat apa mereka hendak bertaubat, sedangkan mereka sedang buat amalan agama! Itulah sangkaan mereka yang salah. Maka mereka berterusan melakukan dosa amalan bidaah.

Mereka hanya sedar apabila sudah sampai di akhirat nanti. Lihatlah kesan bahayanya kalau tidak belajar tafsir al-Quran dan Sunnah. Itu bermakna kita telah meninggalkan satu fardu yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita. Allah SWT telah suruh kita belajar apa yang disampaikan dalam al-Qur’an dalam firman-Nya dalam [ Qasas: 85 ]:

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ مَن جَاءَ بِالْهُدَىٰ وَمَنْ هُوَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): “Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata “.

Ayat ini bermaksud Allah SWT memfardukan kepada kita untuk mempelajari Tafsir al-Quran kerana kefarduan yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah hanya membaca sahaja, tetapi membaca dengan faham. Kemudian amalkan dan sebarkan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan