Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-44 dan Ke-45

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-44 dan Ke-45

267
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-44

Kita telah sebut bahawa tiada dalil yang sahih untuk melakukan syirik kepada Allah SWT. Dan kalau ada dalil yang dibawa orang, itu adalah dalil yang salah dan ia datang dari bisikan syaitan. Dan kalau berterusan mengamalkan amalan syirik itu, maka Allah SWT boleh buat keputusan untuk terus menyesatkan orang itu.

Ia juga mengandungi Takhwif Ukhrawi.

وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن وَلِيٍّ مِّن بَعدِهِ ۗ وَتَرَى الظّٰلِمينَ لَمّا رَأَوُا العَذابَ يَقولونَ هَل إِلىٰ مَرَدٍّ مِّن سَبيلٍ

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah SWT, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?”

وَمَن يُضْلِلِ اللهُ

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah SWT,

Bukanlah Allah SWT zalim untuk menyesatkan sesiapa. Allah SWT beri hidayah kepada semua makhluk-Nya. Tetapi apabila hidayah telah berkali-kali diberikan kepada mereka, mereka masih tidak mahu terima, masih menolak dan menentang, maka Allah SWT akan tutup pintu hidayah kepada mereka.

Mereka tidak akan menerima lagi hidayah selepas itu walaupun apa hujah dan dalil yang diberikan kepada mereka. Itulah maksudnya: ‘disesatkan oleh Allah SWT’. Iaitu Allah SWT ‘kunci mati’ hati mereka dari beriman.

فَمَا لَهُ مِن وَلِيٍّ مِّن بَعْدِهِ

maka tidak ada baginya sesudah Allah SWT sesiapapun yang dapat menolongnya.

Ini adalah sesat ‘peringkat ke-empat’ di mana mereka tidak ada peluang lagi. Apabila pintu hidayah telah ditutup oleh Allah SWT, tidak ada sesiapa pun yang boleh menolongnya.

Tidak ada sesiapa yang boleh beri hidayah lagi kepada mereka. Kalau kita cuba ajar mereka pun, mereka tidak akan faham kerana Allah SWT telah kunci mati hati mereka dari terima hidayah.

Dan Allah SWT akan azab mereka dan mereka tidak akan ada penolong. Kalau Musyrikin Mekah dahulu, mereka menyangka berhala-berhala dan segala pujaan mereka akan menyelamatkan mereka. Ada juga dari kalangan mereka yang memohon dan menyembah malaikat-malaikat yang mereka anggap sebagai ‘anak perempuan Allah SWT’.

Begitu juga penganut Kristian, mereka sangka Nabi Isa a.s yang mereka sembah itu akan menjadi penolong mereka nanti di akhirat. Pengikut Buddha pula sangka Gautama Buddha akan menjadi penjamin mereka.

Mereka itu semua akan terkejut dan hampa apabila di akhirat kelak. Sangkaan mereka itu tidak akan menjadi kenyataan. Tidak ada sesiapa yang akan memberi pertolongan kepada mereka dan menjamin mereka.

Begitu juga orang Islam kita: ada yang sangka sembahan mereka seperti Nabi Muhammad SAW, Sheikh Abdul Qadir Jalani, Tok Kenali dan wali-wali yang lain, guru-guru mereka, atau sebagainya, akan menjadi penjamin bagi mereka.

Namun, itu adalah anggapan sia-sia sahaja. Mereka mungkin bawa hujah dari tok guru mereka, mimpi mereka, kitab-kitab karangan manusia dan macam-macam lagi, semua bukanlah dalil tetapi dalil khayalan sahaja.

Mereka yang tidak belajar tafsir Al-Quran dengan benar sahaja yang akan tertipu dengan dalil-dalil sebegitu. Itulah sebabnya penting anak-anak kita diajar dengan Al-Quran supaya mereka ada penimbang untuk membeza manakah ajaran yang benar dan tidak senang ditipu.

Jangan jadi mereka yang hendak jadi baik, tetapi pergi masuk kumpulan tarekat. Memang akan kena tipu sahaja lah.

وَتَرَى الظّٰلِمِينَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ

 Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab

Allah SWT suruh kita bayangkan keadaan di neraka itu ,iaitu apabila ahli-ahli neraka diperlihatkan neraka yang menyala-nyala kepada mereka. Tidak dapat dibayangkan dengan akal kita betapa hebatnya dan dahsyatnya azab yang mereka akan nampak itu.

Ahli neraka itu adalah mereka yang zalim. Zalim ada banyak jenis. Zalim kepada orang lain, adalah mereka yang menganiaya orang lain. Selain dari itu, ada yang zalim kepada diri sendiri dan ada yang zalim kepada Allah SWT. Zalim kepada Allah SWT bermaksud mereka melakukan syirik kepada Allah SWT. ‘Zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini lebih kepada zalim kepada Allah SWT iaitu berbuat syirik.

يَقُولُونَ هَلْ إِلَىٰ مَرَدٍّ مِّن سَبِيلٍ

Mereka akan berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali?”

Iaitu mereka berharap untuk kembali ke dunia. Mereka berkata ini dalam keadaan yang menyesal sangat kerana mereka sudah tahu kesalahan mereka.

Mereka tanya kepada kawan-kawan mereka. Dengan berharap ada sesiapa yang tahu jalan hendak keluar dari azab neraka. Mereka akan minta juga kepada guru-guru dan pemimpin mereka yang mereka ikut semasa mereka di dunia; mereka juga akan minta kepada Penjaga Neraka.

Kenapa mereka hendak sangat kembali? Kerana hendak memperbaiki kesalahan-kesalahan mereka semasa di dunia. Dulu semasa mereka di dunia, mereka telah menzalimi Allah SWT, diri mereka sendiri dan orang lain.

Dulu mereka buat amalan syirik, amalan bidaah, bermacam-macam dosa. Apabila di akhirat, mereka menyesal kerana mereka sudah nampak kebenaran. Janganlah kita jadi begitu. Kenalah kita belajar Al-Quran secara talaqqi supaya kita tidak menyesal seperti mereka nanti.

Dalam surah [ al-An’am: 27 ] Allah SWT telah berfirman:

وَلَوْ تَرَىٰ إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami boleh dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

Mereka mahu balik ke dunia supaya mereka dapat menjadi orang Mukmin. Mereka mahu buat amalan baik, yang sunnah, dan mahu tinggalkan amalan syirik dan bidaah kerana mereka telah sangat menyesal. Bila sudah nampak azab baru hendak beriman.

Tidak kah kita pun hendak jadi macam itu juga? Sebab waktu itu sudah terlambat. Memang tidak akan dikembalikan ke dunia lagi. Dunia pun telah hancur lebur pun, jadi hendak hantar ke mana? Waktu itu adalah waktu untuk mereka menerima azab hasil dari apa yang mereka lakukan semasa di dunia.

Oleh itu, janganlah percaya sahaja kepada kata-kata guru dan manusia lain. Mereka kena bawa dalil dan dalil yang diberikan itu pun kena diperiksa juga sama ada benar atau tidak, sahih atau tidak, sama fahaman dengan salafussoleh atau tidak kerana ada yang bawa dalil, tetapi pemahaman dalil itu tidak seperti yang difahami oleh golongan salafussoleh.

Tafsir Ayat Ke-45

Allah SWT menerangkan keadaan Hari Kiamat sebagai Takhwif Ukhrawi.

وَتَرٰهُم يُعرَضونَ عَلَيها خٰشِعينَ مِنَ الذُّلِّ يَنظُرونَ مِن طَرفٍ خَفِيٍّ ۗ وَقالَ الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ الخٰسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا إِنَّ الظّلِمينَ في عَذابٍ مُّقيمٍ

Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang beriman pula berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal”.

وَتَرٰهُمْ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا

Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka

Maksud didedahkan itu adalah mereka akan dipanggang kepada api neraka. Allah SWT suruh kita bayangkan kalau kita melihat mereka waktu itu. Alangkah menakutkan, alangkah ngerinya!

Mereka akan dipanggang kepada api neraka dan dalam ayat yang lain, ada disebut bagaimana mereka tidak ada penahan dari kepanasan api neraka itu dan mereka hanya boleh menahan dengan muka mereka sahaja. Ini adalah kerana tangan dan kaki mereka telah diikat.

Ini ada disebut dalam Surah Zumar.

Allah SWT suruh kita bayangkan kalau kita melihat mereka dipanggang; bagaimana pula kalau kita yang dipanggang?

خٰشِعِينَ مِنَ الذُّلِّ

dalam keadaan tunduk dengan sebab kehinaan

‘Khusyuk’ adalah apabila tubuh kita tunduk taat. Iaitu apabila tubuh kita kaku ketakutan tidak dapat bergerak. Begitulah keadaannya apabila kita khusyuk dalam solat.

Tubuh kita akan kaku dan tidak bergerak melainkan apa yang disyariatkan sahaja dalam ibadat solat.

Tidaklah dalam solat itu tangan kita bergerak ke sana sini, main janggut, main baju dan sebagainya. Itulah tanda seorang yang tidak khusyuk. Mata kita pun kena tunduk semasa dalam solat, tidaklah mata kita meliar ke mana-mana.

Begitulah juga, orang yang masuk dalam neraka, akan tunduk takut dan taat. Dulu semasa di dunia mereka tidak mahu tunduk dan taat, sekarang baru hendak taat. Namun, sudah terlambat.

Kalimah الذُّلِّ pula adalah perasaan hina yang timbul kerana kita ditekan, apabila kita berada di bawah kawalan orang lain, tidak ada daya dan kuasa pada diri kita untuk menolong diri kita sendiri.

Tentunya perasaan ini akan timbul apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka dan mereka pun tahu yang sangat-sangat tahu yang mereka memang tidak boleh melakukan apa-apa lagi.

Waktu itu mereka hanya kena terima sahaja apa yang dikenakan kepada mereka. Penyesalan yang tidak ada hujungnya. Mereka tunduk kerana rasa hina sungguh.

Jika kita telah tahu kebenaran dan tiada daya upaya (tidak berani) untuk menyampaikan kepada orang lain adakah dikira berdosa? Itu kerana iman yang lemah. Seperti hadis yang menyebut apabila melihat kemungkaran:

  1. tolak dengan tangan
  2. tolak dengan mulut
  3. tolak dengan hati dan ini iman yang paling lemah.

Semoga Allah SWT ampunkan. Tugas kita sampaikan sahaja dan beri nasihat sahaja.

Namun, bila ada peluang, cuba lagi. Mungkin masa dulu kita ajak hati dia tidak terbuka, mungkin juga Allah SWT boleh buka hati dia di lain kali.

يَنظُرُونَ مِن طَرْفٍ خَفِيٍّ

sambil memandang (ke neraka itu) hanya dengan mengerling

Mereka hanya mampu mengerling dengan rasa malu sahaja. Ada orang yang apabila malu-malu, hanya dapat melihat dengan mengerling sahaja. Dan juga ada yang mengerling kerana takut melihat dengan tepat. Maksudnya melihat tanpa benar-benar melihat.

Takut hendak tengok sesuatu, tetapi dalam masa yang sama, hendak tahu juga iaitu tengok dalam keadaan takut. Macam seorang pelajar yang membuka kertas peperiksaan dan dia tahu yang dia tidak akan berjaya. Mereka buka kertas keputusan itu dengan ketakutan, dengan perlahan dan dengan mengerling sahaja.

Dalam ayat yang lain, ada dikatakan mereka itu dibangkit dalam keadaan buta. Dalam ayat ini, mereka dikatakan sebagai boleh menjeling pula.

Untuk menjamakkan ayat-ayat ini, kita kena tahu bahawa mereka itu memang dibangkit dalam keadaan buta, mereka cuma diberi lihat benda yang menakutkan sahaja, iaitu ditunjukkan neraka kepada mereka.

وَقَالَ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman pula berkata

Waktu itu orang-orang yang beriman akan berkata. Dulu semasa di dunia, mereka tidak boleh berkata begitu, kerana mungkin mereka orang yang lemah. Nampak macam mereka menunjuk-nunjuk pula. Tetapi mereka berkata begitu kerana mereka suka sangat. Apakah kata-kata mereka?

إِنَّ الْخٰسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

 Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri

Apakah lagi kerugian yang paling besar selain daripada mereka yang dimasukkan ke dalam neraka? Mereka rugi kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Quran secara talaqqi sampai mereka faham apa yang mereka baca dalam Al-Quran.

Mereka ada peluang untuk masuk ke syurga, tetapi mereka tidak menjalankan apa yang perlu dilakukan untuk membolehkan mereka masuk ke dalam syurga semasa mereka di dunia. Mereka tidak taat kepada Allah SWT semasa di dunia.

Ada pendakwah yang telah datang kepada mereka memberitahu kebenaran, tetapi mereka tidak mahu terima. Mereka tolak, mereka hina. Mereka diajak belajar tafsir Al-Quran, tetapi mereka tak mahu.

وَأَهْلِيهِمْ

dan keluarga mereka

Kenapa keluarga mereka pun akan rugi juga? Kerana dia ajar anak isteri dia dengan kesesatan yang dia amalkan. Kalau dia ada buat perkara yang syirik atau fahaman yang syirik, dia ada ajar keluarganya tentang perkara itu. Macam ada orang yang ajar anaknya sabung ayam. Dia ajar macam mana hendak basuh ayam itu, latih ayam itu.

Padahal, menyabung ayam adalah haram kerana ada perjudian. Tetapi kerana ayahnya yang ajar, anak itu sangka itu perkara yang boleh dilakukan. Jadi, bukan mereka sahaja yang masuk neraka, tetapi anak beranak sekali masuk neraka disebabkan mereka. Sudahlah mereka rugi, mereka rugikan sekali ahli keluarga mereka.

يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

pada hari kiamat

Mereka sangka mereka akan selamat. Kerana mereka tidak pernah memikirkan keadaan mereka di akhirat. Oleh itu, apabila mereka melihat dan merasai sendiri keadaan di Hari Kiamat itu, mereka akan tahu bahawa mereka itu sebenar-benar rugi.

Kalau kita rugi di dunia pun kita sudah rasa menyesal, apatah lagi kalau rugi di akhirat kelak. Tidak sama rugi di dunia dan rugi di akhirat. Rugi di dunia sementara sahaja, tetapi rugi di akhirat adalah untuk selama-lamanya.

أَلَا إِنَّ الظّٰلِمِينَ فِي عَذَابٍ مُّقِيمٍ

Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal”.

Ini adalah Tasdiq Ilahi – Allah SWT membenarkan apa yang dikatakan oleh mereka itu.

Azab itu bukanlah sekejap sahaja, ia akan berkekalan. Apabila kita melakukan amalan syirik, kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Apabila dimasukkan ke dalam neraka, dosa syirik tidak akan diampunkan sampai bila-bila. Oleh itu, mereka akan kekal dalam neraka. WALAUPUN mereka orang Islam. Ini disebut dalam surah [ An-Nisa: 48 ]:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

 

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan