Utama Konvensyen UiTO Kertas Kerja Konvensyen UiTO 2016 – Legasi Syiah Safawi sebagai Ancaman Dunia...

Kertas Kerja Konvensyen UiTO 2016 – Legasi Syiah Safawi sebagai Ancaman Dunia Masa Kini

436
0
Iklan

Legasi Syiah Safawi Sebagai Ancaman Dunia Islam Masa Kini

Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain @Fikri Alamghiri

Pengenalan

Begitu banyak perkara yang perlu diselidiki dan dikaji bagi memahami sejarah umat Islam yang begitu panjang dan penuh berliku. Namun sejarah itu pastinya berulang kembali dalam situasi dan lokasi yang berbeza dengan irama yang hampir sama pada setiap masa. Sebahagian besar masyarakat tidak tahu dan sering terlupa serta begitu banyak mencuaikan perkara silam yang pernah berlaku kepada datuk nenek moyang mereka.

Maka ada baiknya mereka kembali mengkaji dan cuba memahami sejarah dan sunan Ilahiyah yang sering sahaja berulang kepada setiap individu, etnik dan juga sesebuah masyarakat tersebut. Penjelasan ini sebagai satu persediaan dalam menghadapi apa jua cabaran yang mendatang dari aspek serangan akidah, sejarah, politik, sosio ekonomi dan juga kemasyarakatan.

Kajian berkaitan sejarah hitam Kerajaan Syiah Safawi (Safavid) mungkin tidak pernah didengari di kalangan anggota masyarakat kita. Malah tidak ada satu pun bahan bercetak yang memfokuskan penulisan berkaitan tajuk ini dan disebarkan di dalam masyarakat Malaysia.

Kepentingan Kajian Sejarah Kerajaan Syiah Safawi

Antara sebab terpenting dalam kita membaca dan mengkaji sejarah Kerajaan Syiah Safawi ini adalah disebabkan beberapa faktor utama, antaranya ialah:

1.  Era Safawi ini bukanlah begitu jauh dari zaman kita, mereka muncul pada tahun 1501M di bawah pimpinan Ismail al-Safawi dan mampu bertahan sekitar 300 tahun sahaja sebelum berkubur pada tahun 1786M.

2.  Kerajaan Safawi yang diasaskan oleh Ismail al-Safawi ini hanya berlegar di dalam wilayah Iran sahaja. Beberapa wilayah seperti wilayah barat hingga ke Baghdad di Iraq dan melebar ke wilayah Kandahar di Afghanistan antara kota yang pernah dikuasai oleh mereka.

3.  Kerajaan Safawi ini bermazhab Syiah Imam 12 sebagai mazhab rasmi negara. Mereka mempertahankan mazhab akidah mereka dengan kekuatan senjata dan keganasan selama lebih kurang 3 kurun dari serangan kerajaan Sunni Turki Uthmaniyah di barat dan kerajaan Mughal India di bahagian timur.

4.  Pergelutan yang panjang di antara kerajaan Uthmaniyah dan Safawi ini bukan sahaja sekadar peperangan merebutkan sempadan wilayah. Namun ia juga merupakan peperangan ideologi yang begitu sengit bagi pihak Safawi dalam usaha mewujudkan ketuanan dan juga menzahirkan akidah batini mereka yang dianggap paling sahih untuk disebar luaskan.

5.  Syiah Safawi juga begitu ekstrem dalam mengembangkan akidah mereka selepas hilangnya penguasaan Syiah lain seperti Bani Buwaih di Baghdad dan kerajaan Fatimiyah di Mesir (yang kemudiannya kini di Libya). Maka Safawi berperanan untuk menghidupkan kembali usaha ini hingga kekal sebagaimana yang wujud pada hari ini.

6.  Kebangkitan Safawi ini tidak terlepas dari dokongan kaum Yahudi yang sentiasa memainkan peranan utama sepanjang kurun. Perkara ini akan dilihat dari catatan sejarah sejak dulu hingga kini.

7.  Tumbuhnya pemikiran Safawi di setiap pelusuk negara umat Islam sehinggalah di nusantara ini merupakan kesan dari bahaya perancangan Safawi silam. Mereka bangkit melalui akidah yang menyimpang, perlawanan dan juga mampu membiakkan dakyah di kalangan masyarakat awam yang mampu membinasakan sesebuah masyarakat tersebut. Justeru itu, kita akan memperincikan kelompok ini yang banyak memberi kesan dan ancaman kepada masyarakat Islam pada hari ini.

Siapakah Safawi?

Kelompok ini dinisbahkan kepada Safiyuddin bin Jibrail al-Ardabili (650-735H/1252-1334M). Ada yang menyatakan beliau berketurunan Azeri, Turkmen dan juga Kurdis yang berasal dari Ardabil dalam wilayah Azerbaijan berdekatan dengan laut Qazwin/Kaspia. Beliau adalah seorang yang bermazhab Syafii dan pemimpin kelompok tasawuf di zamannya. Sebahagian penulis menyatakan bahawa dia berketurunan dari Imam Musa al-Kazim, hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana setiap ahli sufi akan menasabkan dirinya kepada ahli keluarga Nabi SAW bagi memudahkan usaha untuk menyebarkan ideologi mereka di kalangan masyarakat yang begitu cepat terpengaruh dalam hal sebegitu. Apa yang jelas beliau adalah berketurunan Kurdis.

Pada mulanya gerakan tasawuf ini bertujuan untuk memerangi orang-orang ingkar dan golongan ahli bidaah dalam amalan agama. Safiyuddin kemudiannya menukarkan ajaran sufi ini kepada Tarekat Safawiyah sebagai tindak balas kepada pencerobohan tentera Mongol di wilayah Azerbaijan pada masa itu. Tarekatnya ini tersebar meluas di seluruh wilayah tersebut termasuk Parsi, Iraq, Syam, Anatolia, Kaukasus dan Mesir.

Gerakan tasawuf yang bersifat lokal ini menjadi gerakan keagamaan yang mempunyai pengaruh besar dan ini membuatkan Safiyuddin menempatkan seorang wakil yang diberi gelaran khalifah untuk memimpin murid-murid di daerah masing-masing. Selepas kepimpinan ini diwarisi secara turun temurun diikuti dengan anaknya Sadruddin Musa (m. 794H/1392M), maka gerakan Safawi mewakili sebuah kebangkitan Islam popular yang menentang pengaruh ketenteraan yang menguasai wilayah ketika itu. Akhirnya, ia mampu menjadi satu gerakan yang begitu fanatik dan terpesong dengan fahaman batiniyah yang menyesatkan.

Sadruddin telah membina Mesh-had atau makam ayahnya dan ia menjadi pusat tumpuan di kalangan para pengikutnya untuk memohon hajat, bernazar dan bertabaruk. Hasil sumbangan derma itu adalah antara perkara penting yang boleh menggerakkan gerakan tarekat mereka. Malah diceritakan betapa besarnya pengaruh tarekat ini di wilayah tersebut, ia mampu membawa para pemerintah, pembesar dan sultan untuk datang menziarahinya dan di antara mereka itu termasuklah Timur Lenk.

Semasa era kepimpinan cucu Safiyuddin iaitu Khawaja Ali (m. 832H/1428M) pada tahun 801H/1339M, beliau mula cenderung ke arah fahaman Syiah. Namun, Khawaja Ali bukanlah seorang yang taksub dengan mazhab baharunya itu, tetapi anaknya iaitu Ibrahim (m. 851H/1447M) merupakan seorang yang begitu fanatik terhadap mazhab Syiah Imam 12 dan pernah membawanya bertempur dengan ahli Sunnah di Dagestan. Kepimpinannya diteruskan pula oleh anaknya iaitu Junaid (m. 861H/1462M) yang mula mengiklankan secara terbuka bahawa gerakan Safawi berpegang dengan mazhab Syiah Imam 12 selepas satu pertemuan dengan pihak penyokongnya di Diyarbakir yang dikuasai oleh Syiah Nusairiyah, namun usahanya itu tidak kekal lama kerana beliau terbunuh dalam peperangan dengan pihak Sunni kerajaan Shirvan di selatan Kaukasus.

Beliau digantikan pula oleh anaknya iaitu Haidar (m. 893H) yang memegang tampuk kuasa pada tahun 859H/1455M. Pengikutnya adalah golongan Turkmen yang fanatik dan amat membenci Sunni dan digelar sebagai Qizilbash iaitu ‘orang yang berkopiah merah’. Haidar juga pernah bersengketa dengan raja Shirvan yang bermazhab Sunni dan akhirnya terbunuh di Tabaristan setelah bertembung dengan pemerintah Shirvan bernama Farrukh Yassar. Beliau meninggalkan 3 orang anak lelaki dan yang paling kecil adalah Ismail (m. 930H/1524M).

Shah Ismail al-Safawi dan Kebangkitan Kerajaan Syiah Safawi

Haidar terbunuh dalam satu pertempuran ketika Ismail masih kecil dan umurnya baru setahun. Ibunya bernama Martha Binti Hassan al-Thawil adalah anak kepada Catherine yang masih beragama Kristian adalah berketurunan Greece (Yunani). Nendanya Catherine ini adalah keluarga terakhir pemerintah Greece yang telah dikalahkan oleh kerajaan Uthmaniyah. Dari ini, Shah Ismail telah diberikan didikan oleh ibu dan nendanya dengan didikan yang begitu ‘berkesan’.

Beliau ditabalkan sebagai pemerintah Safawi pada usia 12 tahun dan beberapa kali berperang dengan kerajaan Shirvan sebagaimana datuk dan ayahnya. Pada tahun 1500M, beliau berjaya mengalahkan Farrukh Yassar yang telah membunuh ayahnya. Di dalam kitab al-Badr al-Thali’ fi Mahasin al-Qarn al-Sabi’ diceritakan bahawa Shah Ismail yang terlalu marah dengan Farrukh Yassar yang ditawan telah memasaknya di dalam sebuah periuk yang besar serta memerintahkan agar tenteranya memakan daging tersebut.

Setelah itu beliau bergerak bersama 7,000 tenteranya hingga ke Azerbaijan dan berjaya menawan kawasan yang luas. Pada tahun 907H/1501M, Shah Ismail telah mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah kerajaan Safawi dengan ibu kotanya adalah Tabriz, Iran.

Bagaimana Shah Ismail al-Safawi menyebarkan fahamannya?

Penaklukan Tabriz menandakan berdirinya kerajaan Safawi dan Shah Ismail turut mengisytiharkan mazhab Syiah Imam 12 sebagai mazhab rasmi pemerintahannya. Para penasihatnya merasa keberatan dengan hal ini kerana bimbangkan reaksi penduduk Tabriz yang majoritinya adalah Sunni, tetapi Shah Ismail tetap dengan pendiriannya. Dia berusaha mendapatkan sebuah kitab Syiah yang menjelaskan prinsip-prinsip dasar Syiah Imam 12 di kota itu. Malangnya dia hanya berhasil mendapatkan sebuah manuskrip sahaja di sebuah perpustakaan peribadi yang terpencil. Hal ini menggambarkan betapa terbatasnya pengaruh Syiah di Iran pada masa itu.

Sepanjang masa pemerintahannya, Shah Ismail kian bersikap keras terhadap masyarakat Sunni. Pemerintahannya mula diwarnai dengan pemujaan terhadap Ali dan 12 orang imam Syiah serta mencela secara terbuka kepada tiga orang khalifah iaitu Abu Bakar, Umar dan Utsman. Walaupun menetapkan Syiah Imam 12 sebagai mazhab rasmi kerajaannya, Ismail dan para pengikutnya lebih beramal dengan fahaman Rafidhah (ghuluw) yang cenderung mempertuhankan Ali bin Abi Thalib.

Bahkan, adakala dia turut mempertuhankan dirinya sendiri. Seruan dakwahnya adalah mengutuk dan mencela ketiga-tiga orang khalifah dengan memeriksa penduduk Parsi agar melakukannyya secara terbuka sama ada di jalanan, di atas mimbar dan juga di pasar-pasar.

Sumber sejarah menceritakan bahawa dalam usaha Shah Ismail menyebarkan dakyah Syiah sebagaimana disebutkan oleh Qutbuddin al-Hanafi di dalam bukunya, “Dia telah membunuh lebih 100 ribu jiwa yang tidak pernah berlaku pada zaman jahiliyah dan juga Islam serta umat yang terdahulu sepertimana yang telah dilakukan oleh Ismail al-Safawi ini. Beliau turut membunuh ramai para ulama sehingga tidak tinggal seorang pun ahli ilmu di Iran (Bilad al-‘Ajam). Dia turut membakar seluruh kitab-kitab keilmuan dan al-Quran mereka. Dia adalah seorang yang sangat ghuluw berbanding dengan bapa dan datuknya.”

Pada tahun 1508M, beliau telah mengisytiharkan arahan untuk mengutuk 3 orang khulafa di atas mimbar, membunuh begitu ramai ahli sunnah dan turut membongkar kubur Imam Abu Hanifah. Segala bentuk kekejaman dan kezaliman ini adalah sesuatu yang ganjil dan jarang berlaku di kalangan orang yang waras akal fikirannya. Malahan, Dr. Mustafa al-Shibi berpendapat:

“Ismail ini adalah seorang pelampau sufi yang diketahui antara elemen kesufian adalah percaya terhadap kasyaf (ladunni) iaitu ilham ghaib. Ini kerana dia menyatakan kepada pengikutnya, bahawa dia tidak akan bergerak kecuali ada perintah dari roh Imam 12, dia juga maksum dan tidak ada sebarang halangan untuk dia berhubung dengan Imam al-Mahdi.” Pandangan sebegini yang membentuk ideologi Walayatul Faqih yang ditanam oleh Khomenei sejak Revolusi Iran pada tahun 1979 hingga kini.

Shah Ismail turut menekankan konsep sambutan hari syahidnya Hussain r.a. demi mempengaruhi masyarakat awam bagi menarik simpati kepada perjuangannya. Hari sambutan ini adalah dari tinggalan Bani Buwaih yang diperintahkan oleh Mu’iz al-Daulah bin Buwaih pada tahun 352H. Ibn Katsir menggambarkan peristiwa ini dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

Semua pasar ditutup, kaum wanita keluar dengan pakaian tebal dari rambut yang tebal serta muka mereka dirundung kesedihan, mengerbang rambut mereka sambil menampar wajah mereka kerana kesedihan. Pada 10 Zulhijjah pula, mereka diperintahkan agar memperlihatkan perhiasan di Baghdad, dibuka pasar-pasar hingga larut malam sebagaimana di dalam majlis perayaan yang lain. Mereka juga memukul gendang dan kompang dan dinyalakan api di pintu rumah para pembesar sebagai syarat kegembiraan menyambut hari Ghadir Khum. Maka hal ini jelas dari perayaan pelik dan berleluasanya bidaah yang mungkar di kalangan mereka.”

Antara bidaah lain yang berjaya dilaksanakannya adalah dengan memerintahkan agar ditambahkan kalimah syahadah yang ketiga dalam azan, malah ada sumber yang menyatakan dia menambah nama-nama para imam mereka seluruhnya dalam azan. Begitu juga dengan dibuat batu dari tanah Karbala sebagai tempat sujud yang tidak pernah berlaku hinggalah pada zaman Bani Buwaih dan Fatimiyah, lantas diteruskan lagi oleh kerajaan Safawi kepada rakyatnya.

Sengketa di Antara Safawi dan Uthmaniyah

Antara tahun 1503 dan 1510, Shah Ismail berhasil menguasai bahagian tengah Iran, Khurasan, Azerbaijan, Diyar Bakir di Mesopotamia hinggalah Baghdad di Iraq. Perluasan kuasa Safawi dan penetapan mazhab Syiah sebagai ideologi kerajaan, akhirnya memprovokasi negara jirannya yang Sunni, khususnya Turki Uthmaniyah. Kemarahan Turki Uthmaniyah terhadap Safawi kian meningkat terutamanya jaringan pengikutnya di Anatolia yang menjadi sumber bagi pasukan Qizilbash yang memberontak dan menimbulkan kekacauan terhadap Turki Uthmaniyah. Peristiwa ini benar-benar terjadi pada akhir pemerintahan Sultan Beyazid II pada tahun 1511 dan pemberontakan ini berhasil ditumpaskan pada tahun berikutnya.

Selepas Sultan Beyazid II digantikan oleh anaknya iaitu Sultan Selim. Beliau segera mengambil tindakan keras terhadap pemerintah Safawi. Dr. Ali al-Salabi menceritakan:

“Sultan Selim sebagai seorang pemerintah Sunni telah mengisytiharkan dalam majlis Syura kerajaannya pada tahun 920H/1514M. Bahawa, negara Iran yang bermazhab Syiah adalah satu ancaman, bukan sahaja kepada negara Turki Uthmaniyah tetapi kepada seluruh negara Islam. Beliau melihat adalah satu jihad dalam memerangi negara Syiah Safawi ini.”

Pada bulan Ogos 1514, Sultan Selim membawa 200 ribu tentera Turki Uthmaniyah, melintasi Anatolia dan Azerbaijan, sehingga akhirnya berhadapan dengan pasukan Safawi di Chalderan, di barat laut Iran dan pertempuran pun berlaku.

Pasukan Safawi kalah teruk dalam pertempuran itu, antara lain disebabkan jumlah pasukan Turki Uthmaniyah yang lebih ramai serta teknologi persenjataan Turki yang lebih maju. Pasukan Turki Uthmaniyah memasuki Tabriz setelah memenangi pertempuran ini, tetapi Sultan Selim tidak mampu mendesak pasukannya untuk meneruskan pemburuan dan serangan terhadap tentera Safawi dalam musim dingin di Tabriz. Akhirnya, mereka terpaksa meninggalkan tempat itu dan Tabriz kembali dikuasai oleh Safawi.

Kekalahan tersebut menjadi pukulan hebat terhadap kerajaan Safawi dan Shah Ismail secara peribadi. Sifat ‘ketuhanan’ Shah Ismail dan keyakinannya bahawa dia tidak mampu dikalahkan menjadi luntur. Sejak kekalahan itu, Shah Ismail lebih banyak tinggal di istana pemerintahannya dan tidak pernah lagi memimpin pasukannya secara langsung dalam menentang pihak musuh. Dinasti Safawi terus bertahan selepas Shah Ismail dan pada umumnya mereka menerapkan sikap anti-Sunni dan menjemput para ulama Imam 12, khususnya dari kawasan Jabal Amil di Lubnan untuk datang ke Iran dan ini menjadikan wilayah ini semakin kuat berakidah dengan ajaran Syiah Imam 12.

Ancaman Kerajaan Safawi Kepada negara Umat Islam Yang Lain

Selepas itu Shah Ismail telah menjalinkan hubungan dengan negara Kristian dalam usaha menyekat pengaruh Turki Uthmaniyah. Mereka mengadakan perjanjian persepakatan dengan pihak Portugis dalam menguasai Teluk Hormuz dalam usaha membantu pihak Portugis menguasai Bahrain dan Qatif (Saudi) serta bekerjasama menentang kekuatan tentera Uthmaniyah. Jalinan surat menyurat di antara Shah Ismail dengan Alburqueque berlaku selama beberapa tahun dalam usaha untuk menawan seluruh bandar pelabuhan di sekitar laut Merah dari Aden, Qatif hinggalah ke Jeddah. Manakala harapan Safawi adalah untuk menawan kota Makkah dan Madinah dari tangan Sunni.

Inilah contoh teladan yang ditonjolkan oleh Shah Ismail kepada generasinya yang bersekongkol dengan pihak Kristian selepas ditiru dari datuk nenek moyang mereka di kalangan kerajaan Fatimiyah yang pernah bersekongkol dengan tentera Salib dalam menguasai beberapa wilayah di Syam dan Mesir. Peranan utama ini diteruskan lagi oleh Syiah sehingga jatuhnya Baghdad di tangan Hulagu Khan pada tahun 656H yang didalangi oleh al-Thusi dan Ibn al-‘Alqami. Khomeini memberi pujian atas tindakan ini sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya al-Hukumah al-Islamiyah: “Mereka berdua ini telah menyumbangkan kepada Islam satu sumbangan yang besar!”.

Selain itu, Shah Ismail turut bekerjasama dengan pihak Mamalik untuk menyekat pengaruh Uthmaniyah di Laut Merah dan pihak Uthmaniyah berjaya menggagalkan kerjasama ini dengan tumpasnya Mamalik dalam perang Merjdabiq.

Usaha ini diteruskan lagi oleh anaknya iaitu Shah Tahmasp yang telah menjalinkan perjanjian dengan diplomat Eropah dalam usaha menentang kuasa Uthmaniyah. Manakala cucunya pula iaitu Shah Abbas I telah meminta bantuan Inggeris untuk melatih tenteranya dengan persenjataan moden ketika itu. Usaha sama mereka itu berjaya mengeluarkan kuasa Portugal dari selat Hormuz dan menawan Baghdad pada tahun 1623H selepas pengepungan yang berlangsung selama 3 bulan.

Shah Abbas I telah melakukan kekejaman yang sama terhadap penduduk Baghdad sebagaimana datuknya dan berkemungkinan lebih kejam. Beliau memerintahkan agar dihancurkan dua makam tokoh ulama Sunni di sana iaitu Imam Abu Hanifah dan Abdul Qadir al-Jilani, membunuh penduduk yang tidak berdosa, membunuh para ulama Sunni dan sebagainya. Malah pada tahun 1708M, Shah Hussin al-Safawi telah berutus surat dengan raja Perancis untuk memohon bantuan angkatan laut Perancis bagi menawan Muscat, Oman.

Jenayah Safawi Pada Masa Lampau

Era Shah Ismail I

1.  Menjadikan mazhab Syiah Imam 12 atau Imamiyah sebagai pegangan seluruh negara menggantikan mazhab Syafii, sesiapa yang mengingkari keputusan ini bakal dikenakan hukuman mati.

2.  Semua ahli Sunnah dipaksa untuk beramal dengan mazhab Syiah Imam 12 kerana tidak kurang sejuta orang Sunni dihukum mati oleh Shah Ismail I dalam masa hanya beberapa tahun.

3.  Penduduk Sunni juga dipaksa mencela sahabat dan mereka diminta melakukannya selama beberapa lama, sekiranya enggan mereka boleh dikenakan hukuman pancung. Maka berleluasalah perbuatan mencela sahabat ini di jalan-jalan dan juga pasar-pasar serta mimba-mimbar masjid.

4.  Tenteranya adalah kelompok Sufi ekstrem pro-Syiah yang digelar sebagai Qizilbash yang dilatih untuk membanteras pengikut Sunni bermazhab Syafii.

5.  Semasa menguasai Baghdad selepas ditentang oleh penduduknya habis-habisan, Shah Ismail I telah mengarahkan panglimanya Hussin Lalah untuk menghancurkan seluruh kota, membunuh semua penduduk dan ulamanya, mengorek semula kuburan Sunni dan membakar tulang temulang mereka.

6.  Mereka juga menghancurkan sekolah dan masjid-masjid milik Sunni, mereka mengenakan seksaan kepada ahli sunnah yang enggan mengikut ajaran syiah dengan azab yang teruk dan membunuh mereka.

7.  Mereka juga membunuh setiap Arab yang menggunakan nama keturunan Khalid bin al-Walid di seluruh Baghdad hanya kerana nama.

8.  Shah Ismail I memperluaskan ritual bidaah Syiah dengan perkara yang tiada sebelumnya. Dia sering memerintahkan agar dicela sahabat dan tiga khulafa sebagai ujian kepada rakyatnya.

9.  Sentiasa mengamalkan ritual Tathbir iaitu memukul kepala hingga luka dengan pisau yang disebut al-Thubar, memukul belakang badan dengan al-Zanajil hingga lebam dan luka, memukul muka dan dada dengan berpakaian hitam sejak awal bulan Muharam hanya bagi memperingati tragedi syahidnya Hussain di Karbala.

10.  Menambah syahadah dengan kalimah, “Asyhadu anna ‘Aliyan waliyullah”.

11.  Bersujud di atas batu Karbala (Turbah Hussainiyah).

12.  Mewajibkan mayat Syiah dikebumikan di Najaf walau didatangkan dengan susah payah dari tempat yang jauh.

13.  Mengubah kiblat semua masjid Syiah kerana anggapan masjid Sunnah semuanya tersalah kiblat.

14.  Pada zamannya juga, ulama Syiah mengharuskan seseorang itu bersujud kepada manusia sebagai tanda hormat dan keadaan ini menjadi suatu perkara yang melampau hingga bersujud kepada kuburan.

15.  Para ulama Syiah diberikan gaji yang besar, tanah dan juga ladang serta upah dari wakaf, agar mereka boleh berfatwa dengan kehendak Shah Ismail I.

16.  Pada 23 Zulhijjah mereka akan menyambut hari Ghadir Khum kerana Nabi Muhammad telah mengisytiharkan pada hari tersebut kekhalifahan Ali sepulangnya dari haji.

17.  Pada 9 Rabi’ul Awwal mereka juga menyambut hari pembunuhan Umar ibn al-Khattab dengan membuat patung, melaknat, menikam dan membakarnya.

18.  Mengumpul penganut Syiah dan ulamanya dari Lubnan, Bahrain dan sebagainya untuk datang ke Iran dan menetap di sana.

Era Shah Tahmasp I

1.  Shah Tahmasp I telah menaiki takhta dalam usia 11 tahun pada tahun 930H/1524M dengan sokongan Qizilbash.

2.  Dia seorang yang gemar berfoya-foya, minum arak dan hiburan. Para diplomat Eropah sering menziarahinya sebagai sokongan untuk menentang kerajaan Uthmaniyah. Kelekaannya pada wanita dan harta itu menyebabkan negaranya kucar kacir dengan meluasnya rasuah hingga dikatakan dia meninggal dunia akibat diracun oleh salah seorang isterinya.

3.  Tokoh Syiah Lubnan bernama Nuruddin al-Karki telah memberikan gambaran Wilayah al-Faqih dengan menjadikan raja Safawi sebagai wakil ‘Pembantu Imam Ghaib’ dan tarafnya adalah maksum.

Era Shah Abbas al-Kabir

Shah Abbas al-Kabir dilahirkan pada tahun 1571M di Herat, Afghanistan dan menduduki takhta pada tahun 996H/1587M dalam usia 16 tahun. Beliau memperbaharui angkatan tenteranya dengan bantuan British. Akhirnya dia mula menyerang kerajaan Uthmaniyah.

2.  Dia adalah seorang yang kejam dan melakukan banyak perkara sesat seperti melarang jemaah Iran ke Makkah dan cukup dengan mengkhususkan agar menziarahi makam Imam al-Ridha yang dibunuh di kota Mesyhad di Iran pada tahun 817H yang menjadi kota suci bagi Syiah. Dia sendiri sering pergi ke sana dengan berjalan kaki dengan perjalanan sejauh 1,300KM.

3.  Dia telah memaksa kaum Kurdis Sunni yang berada di dalam wilayahnya agar menganut Syiah. Namun, permintaannya itu ditolak dan ini mengakibatkan beliau telah membunuh dan menghalau ke wilayah Khurasan sebagai pemisah antara dia dengan wilayah Uzbek yang Sunni. Dalam masa beberapa hari sahaja dia telah membunuh 70 ribu orang Kurdis dan mengusir lebih 15 ribu keluarga Kurdis ke Khurasan.

4.  Dia juga akan membunuh tawanan Turki dan Uzbek, sekiranya tidak dibunuh dia akan membutakan mata tawanan tersebut.

5.  Para ulama Sunnah akan diseksa dengan dipotong telinga dan hidung mereka, lalu diberikan kepada pengikut Sunnah agar dimakan.

6.  Dia juga pernah mengepung satu kota kerana mencari seseorang yang dikehendakinya. Jika orang tersebut dilindungi maka dia bertindak menyerang seluruh kota tersebut sebagaimana yang berlaku di kota Hamadan.

7.  Dia begitu menghormati kaum Kristian sama ada penduduk Iran atau warga Eropah. Penghormatannya itu hingga dia membenarkan agama Kristian disebarkan di Iran. Dia juga pernah membina sebuah kota berdekatan Isfahan yang disebut Julfa dan terlalu menghormati kaum Kristian yang datang dari Eropah tanpa dikenakan cukai, melarang pendeta Syiah mengganggu dan berdebat dengan mereka, menghadiahkan daging khinzir kepada mereka, memerintahkan agar diberikan arak dan berkongsi bersama mereka meskipun pada bulan Ramadan, membina gereja kepada mereka, menyambut bersama-sama dalam perayaan mereka serta mendengar khutbah mereka. Keadaan ini membuatkan pihak paderi Kristian berani mengajaknya agar menganut Kristian tetapi ditolaknya dengan baik.

8.  Dia merayakan hari ‘kelahiran’ para Imam 12 sebagaimana dia akan memperingati juga hari kematian mereka.

9.  Dia mengekalkan segala bentuk perayaan yang telah dimulakan oleh Shah Ismail I

10.  Ketika dia menawan Baghdad, dia telah merencanakan untuk menyembelih seluruh ahli Sunnah di Baghdad, dia menipu agar seluruh penduduk Iraq menyerahkan senjata sebagai perjanjian damai. Akhirnya seluruh kaum lelaki diseksa dan dibunuh, kaum wanita dan kanak-kanak ditawan, dijual untuk dijadikan hamba. Dia mengubah sekolah-sekolah sebagai kandang kuda, meruntuhkan segala masjid dan kuburan ahli Sunnah.

11. Dia turut meminta dari Syiah di seluruh Karbala dan kota suci Syiah yang lain untuk menyertai pembunuhan ahli Sunnah di Baghdad.

12. Menamakan dirinya sebagai ‘Anjing Celaan Ali’ dan diukir di atas cincinnya.

Ancaman Safawi pada Masa Kini

Sejak beberapa kurun lampau, kejayaan puak Syiah menyebarkan dakyah mereka di kalangan masyarakat Arab dengan kalam yang lunak dan akhirnya mereka berjaya mensyiahkan hampir separuh penduduk Iraq. Dalam peranan yang sama, kaum Yahudi menggunakan peluang ini di sebalik tabir demi merealisasikan ketuanan mereka. Siapa sahaja yang kuat, di situlah mereka berlindung dan memberikan sokongan. Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Paderi Astonis al-Kremli:

“Sewaktu Shah Ismail membunuh masyarakat Sunni dan sebahagian besar kaum Kristian di kota Baghdad, kaum Yahudi tidak sedikit pun terancam kerana mereka telah memberikan hadiah yang hebat dan juga harta yang banyak selagi yang diperlukan oleh Shah Ismail pada masa itu. Bahkan, Shah Ismail tidak langsung menzalimi kaum Yahudi dan membiarkan sahaja mereka dengan kerja mereka.”

Keadaan ini sama dengan apa yang berlaku di negara Iran Moden selepas Revolusi Iran yang mana ia membangkitkan semula ideologi Safawi dalam usaha memerangi ahli Sunnah. Perancangan mereka yang begitu sistematik dapat dilihat dengan kerjasama yang erat bersama pihak Barat. Ini tidak lain dari usaha membina semula perluasan kuasa Syiah di Timur Tengah.

Wilayah Ahwaz

Perkara yang jarang kita sentuh kerana ‘kejahilan’ kita adalah tentang kewujudan wilayah Arab di bumi Iran yang disebut sebagai wilayah Ahwaz. Kawasan ini semasa zaman Safawi sejak 5 kurun lalu disebut sebagai Arabstan dan ditukar juga dengan nama Khuzistan. Kebanyakan nama-nama bandar dan jalan di wilayah tersebut telah ditukarkan kepada bahasa Parsi pada era kerajaan Pahlavi sejak tahun 1936M.

Situasi ini berlaku selepas Shah Reza Pahlavi melucutkan jawatan pemimpin wilayah tersebut iaitu Syeikh Khuz’al al-Ka’bi, semenjak tekanan Iran ke atas wilayah tersebut sejak tahun 1925M. Wilayah Ahwaz ini mempunyai penduduk berketurunan Arab seramai 5 juta orang dengan 85% minyak petrol yang dikuasai oleh Iran dalam wilayah mereka.

Kabilah Arab di sini adalah dari Bani Ka’ab, Kinanah, Khazraj, Rabi’ah dan juga Bani Tamim. Kini, masyarakat Arab adalah warga kelas kedua atau ketiga dan dipinggirkan. Sedangkan di dalam wilayah mereka adalah kawasan yang paling subur dengan 3 buah sungai yang mengalir di tengahnya.

Biasanya aktivis Arab yang cuba bangkit untuk mendapatkan hak mereka ini akan dihukum sebagai pemberontak dan keputusannya adalah hukuman mati. Dinyatakan terdapat lebih 5000 orang pemuda Sunni yang ditangkap dan dipenjarakan atas pelbagai tuduhan dan bakal dihukum mati berasal dari wilayah ini.

Pada era Pahlavi lagi, mereka telah dihalang untuk menggunakan bahasa Arab dalam pertuturan mereka, segala bentuk pendidikan Arab juga dihalang, semua nama Arab juga perlu ditukar kepada nama Parsi termasuklah nama jalan, lorong, kampung dan bandar. Bahkan ada sebahagian penghuni kampung Arab dipindahkan dan diletakkan penduduk di kalangan bangsa Parsi di kawasan yang subur tersebut. Ini juga sebahagian unsur perkauman yang diterapkan dalam lapangan politik di Iran.

Isu Sengketa Syiah – Sunnah

Negara Iraq – tentera Revolusi Iran

Negara Syria – tentera Revolusi Iran

Negara Yaman – tentera Houthi

Negara Bahrain – parlimen terbahagi dua

Negara Bangladesh – wujudnya dakwah Syiah

Negara Filipina – wujudnya dakwah Syiah ekstrem

Negara Indonesia – wujudnya TV Syiah

Negara Malaysia – wujudnya hauzah di Melaka

Penutup

Ancaman dakyah Syiah ini berterusan dalam setiap era sebagai satu ideologi yang tidak pernah lekang dari generasi mereka. Biarpun kerajaan Safawi telah hilang dan lenyap dari muka bumi ini, namun usaha ini masih kekal dengan tumbuhnya kerajaan lain di bumi Parsi dengan membawa gerak nafas yang sama. Objektif mereka adalah selari dalam usaha menyebar luaskan ideologi Syiah dengan cara yang ekstrem.

Tambahan pula, mereka berpegang dengan bakal munculnya Imam Mahdi dari gua Sirdab yang akan memusnahkan musuh-musuh mereka pada masa hadapan. Sebelum peristiwa gilang gemilang ini bakal terjadi, mereka dengan penuh yakin terus berusaha untuk menyiapkan ‘anak-anak mutaah’ mereka dengan segala bentuk persediaan yang rapi bagi menghadapi musuh Sunni mereka.

Semoga Allah Taala mengukuhkan keimanan kita dalam menghadapi kejahatan dari kaum Syiah ini. Amin!

 

 

Komen dan Soalan