Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-27 dan Ke-28

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-27 dan Ke-28

370
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Dalam ayat ke-26 sebelum ini Allah SWT beritahu Dia memberi limpahan kurnia kepada kita semua.

Mungkin timbul persoalan, kenapa Allah SWT tidak bagi kurnia sama sahaja kepada semua? Kenapa ada kaya dan miskin?

Tafsir Ayat Ke-27

Ini adalah jawapan kepada persoalan: kalau Allah SWT itu Maha Kaya, kenapa Dia tidak beri semua makhluk-Nya kaya juga?

۞ وَلَو بَسَطَ اللهُ الرِّزقَ لِعِبادِهِ لَبَغَوا فِي الأَرضِ وَلٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مّا يَشاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبادِهِ خَبيرٌ بَصيرٌ

 

Dan kalaulah Allah SWT memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah SWT menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.

وَلَوْ بَسَطَ اللهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ

Dan kalaulah Allah SWT memewahkan rezeki bagi hamba-Nya,

Kalimah بَسَطَ bermaksud ‘mengembangkan sesuatu’.

Bermakna dikembangkan rezeki sampai manusia jadi kaya dan mewah.

Allah SWT boleh sahaja hendak buat apa sahaja, termasuk hendak memewahkan sesiapa sahaja, bukan?

Kadang-kadang Allah SWT tidak beri rezeki kepada orang beriman. Kita pun kadang-kadang hairan kenapa orang yang baik dan orang yang beriman tidak dikurniakan dengan rezeki yang banyak.

Secara umumnya, kekayaan sekarang berada dengan kaum kafir dan bukannya orang Islam.

Orang Islam pula selalunya miskin, tidak berkuasa dan tidak berpengaruh dalam dunia. Sedangkan kepada mereka yang kufur dan musyrik, Allah SWT beri banyak kelebihan keduniaan kepada mereka.

Kenapa begitu? Allah SWT jawab dalam ayat ini:

لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ

nescaya mereka akan melampaui batas di bumi

Orang-orang kaya ramai yang melampaui batas. Bukanlah semua, tetapi kebanyakannya.

Bayangkan kalau semua manusia ini kaya? Kita ada sikit sahaja yang kaya raya dalam dunia ini pun sudah berapa banyak masalah kita hadapi. Mungkin 5% sahaja orang kaya dalam dunia ini, tetapi dari merekalah yang menjadi punca kerosakan dalam dunia ini.

Sebagai contoh, siapakah pengusaha arak dalam dunia ini?

Dengan arak itu, menyebabkan kadar jenayah yang tinggi di sesuatu kawasan dan negara itu.

Sebagai contoh, apabila satu-satu komuniti mula dijualkan arak dengan terbuka, kadar jenayah akan meningkat di komuniti itu.

Hanya kerana mereka mahukan kekayaan yang banyak, mereka telah merosakkan masyarakat dan mereka tidak kisah pun apa yang akan berlaku. Kerana pada mereka, yang lebih penting adalah menjadi kaya dan kaya lagi.

Ada manusia yang apabila mereka susah atau biasa-biasa sahaja, mereka jadi baik dan beriman. Tetapi apabila dia mendapat kemewahan keduniaan, dia sudah mula lupakan agama.

Mula sibuk hendak menghabiskan wangnya, berjalan sana-sini, beli berbagai barang dan sebagainya.

Sudah mula kurang buat amal, sudah tidak datang ke kelas agama dan sebagainya.

Bukanlah kita kata semua orang, tetapi kebanyakan orang akan jadi begitu. Takut ada orang kaya yang baca ni, marah pula… janganlah marah, ini adalah kenyataan.

Kalau kita ada banyak barang, memang sifat kita akan membazir.

Ada satu kereta, hendak kereta satu lagi. Semua manusia kalau boleh hendak hidup senang. Akhirnya jadi malas, jadi lemak. Kita tengoklah anak orang kaya, perangai mereka lain dengan perangai orang miskin.

Bandingkan dengan mereka yang kurang hartanya, terhad barang yang mereka ada.

Mereka akan berdikit menggunakan harta yang Allah SWT beri. Mereka bercakap baik sahaja dengan orang lain.

Sebab itu Allah SWT hadkan rezeki kepada kita. Allah SWT maha tahu tentang hamba-Nya, kerana Dia yang cipta kita, maka Dia buat keputusan dengan bijaksana.

Kalau semua orang kaya di dunia ini pun, susah juga, bukan? Siapa mahu jadi kuli kerja di pejabat dan gudang?

Allah SWT tidak mewahkan hamba-Nya yg beriman ini juga sebenarnya tanda sayang Allah SWT kepada hamba-Nya kerana Allah SWT tahu jika kaya, orang ini akan rosak. Ada orang yang tidak boleh menangani kekayaan.

Orang selalu sangka miskin sahaja ujian sedangkan kaya juga ujian dan ujian kekayaan ini lagi mencabar, bukan? Kaya boleh juga mengakibatkan lalai dari mengingati Allah SWT.

وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ

akan tetapi Allah SWT menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

Sebagai penekanan bahawa semua rezeki dari Allah SWT. Tidak ada yang selain Allah SWT yang boleh beri rezeki.

Rezeki utama dalam bentuk air. Kerana kalau air tidak ada, habis semua. Manusia akan susah atau mati terus kalau tidak ada air. Dan Allah SWT beri air itu ikut kadar keperluan kita. Kalau diberikan semua air sekali gus, tentu semua tempat akan banjir, bukan?

Allah SWT tahu kadar mana yang diperlukan oleh makhluk-Nya. Allah SWT tahu apa yang diperlukan hamba-Nya.

Kalau Allah SWT hendak menjaga agama hamba-Nya, maka Allah SWT akan beri cukup-cukup sahaja untuknya kerana Allah SWT tahu kalau diberikan lebih lagi, akan menyebabkan dia itu akan terpesong dari agamanya.

Dan ada orang yang Allah SWT beri lebih dan ada orang yang Allah SWT beri kurang. Allah SWT tahu keperluan satu individu antara individu yang lain.

Ada orang yang boleh tahan dengan ada harta yang banyak, dan ada yang tidak.

Ada orang yang sibuk bekerja, tidak banyak duit untuk berlibur, makan apa yang ada sahaja. Orang itu akan senyap sahaja, tidak kacau orang dan tidak buat kerosakan.

Tetapi kalau tiba-tiba dia diberikan harta yang banyak, tiba-tiba perangai dia bertukar jadi lain macam. Banyak kita boleh lihat orang sebegini, bukan?

إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.

Allah SWT tahu keperluan hamba-Nya. Allah SWT Maha Tahu manakah hamba yang boleh tahan dengan harta yang banyak dan mana yang tidak. Allah SWT selamatkan manusia yang tidak boleh tahan dengan harta yang banyak dengan diberikan sedikit sahaja.

Jadi, kalaulah kita tidak diberikan dengan harta yang banyak, mungkin kita pun termasuk orang yang sebegini kerana Allah SWT tahu kalau kita dapat harta yang banyak, kita akan melampaui batas. Maka bersyukurlah anda tidak kaya.

Jangan kita salahkan Allah SWT kalau kita dapat kurang. Ingatlah kedudukan kita di sisi Allah SWT. Kita ini hamba-Nya dan Dia adalah Tuhan.

Dan ingatlah yang Allah SWT sentiasa melihat apa yang kita lakukan dengan rezeki yang Dia berikan. Sama ada kita gunakan rezeki itu untuk kebaikan atau tidak. Setiap perbelanjaan kita akan ditulis dan akan ditanya nanti.

Orang miskin yang banyak dalam syurga seperti disebut dalam hadis:

Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Sesuatu yang perlu dikaji, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? Menurut ilmu lughah atau Bahasa Arab, dalam konteks yang sama kita diberitahu perkara sebaliknya iaitu disebut mafhum mukhalafah (makna di sebaliknya), iaitu tidak ramai orang kaya di syurga.

Tafsir Ayat Ke-28

Dalil Aqli

وَهُوَ الَّذي يُنَزِّلُ الغَيثَ مِن بَعدِ ما قَنَطوا وَيَنشُرُ رَحمَتَهُ ۚ وَهُوَ الوَلِيُّ الحَميدُ

Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji.

وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ

Dan Dia lah yang menurunkan hujan

Kita yang hidup di khatulistiwa ini, mungkin tidak rasa sangat nikmat hujan ini kerana kita selalu dapat hujan sepanjang tahun hinggakan berlebih-lebih hujan sampai kadang-kadang banjir.

Sekali sekala sahaja kemarau. Sampaikan kalau ada hujan turun, kita macam tidak suka, kita kata: “alaaa… hujan pula… susah lah nak….”.

Allah SWT selalu sebut hujan dalam Al-Quran kerana ianya adalah nikmat yang amat besar sekali.

Lihatlah bagaimana Allah SWT turunkan hujan itu mengikut keperluan kita. Allah SWT turunkan hujan sepanjang tahun, bukannya Allah SWT turunkan semuanya sekali di awal tahun.

Kalau keseluruhan hujan untuk tahun itu diberikan satu masa, maka tentulah akan banjir sesuatu tempat itu dan tidak elok pula.

Antara nikmat Allah SWT adalah Allah SWT turunkan sedikit demi sedikit hujan itu. Maka, ianya dapat dimanfaatkan oleh kehidupan.

Dalam ayat ini, perkataan الْغَيْثَ digunakan. Sedangkan ada perkataan lain juga untuk hujan – مَطَر. Ini adalah kerana الْغَيْثَ adalah hujan yang diturunkan selepas kemarau iaitu waktu yang manusia amat mengharap kepada hujan. الْغَيْثَ dari kata dasar غوث yang bermaksud ‘kelegaan’.

Dan الْغَيْثَ juga bermaksud hujan itu turun dengan banyak. Selepas kemarau, tiba-tiba hujan turun, teramatlah suka manusia dengan hujan itu.

Sedangkan kalau hari biasa hujan turun, sampai ada yang merungut bila hujan turun. Sampai ada yang kata: “alamak, hujan turun la pulak, aku nak keluar ni. Kenapalah hujan pagi-pagi ni? Tak tahu ke aku nak keluar?”

مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا

setelah mereka berputus asa,

Allah SWTlah yang menurunkan hujan selepas manusia sudah tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi kerana mereka tahu yang mereka tidak ada kuasa untuk menurunkan hujan. Memang hanya berharap kepada Allah SWT sahaja.

Bayangkan perasaan manusia apabila diberikan dengan hujan selepas lama hujan tidak turun. Tentu amat lega.

Negara kita jarang mengalami masalah kekurangan hujan namun sekali sekala ianya berlaku juga.

Masalahnya, masyarakat kita tidak tahu bagaimana hendak memohon kepada Allah SWT apabila hujan lama tidak turun. Kerana jahil, masyarakat kita masih juga mahu melakukan Solat Hajat berjemaah.

Solat Hajat berjemaah adalah amalan yang bidaah. Sepatutnya yang dilakukan adalah Solat Istisqa’ – Solat Minta Hujan.

Itulah cara solat yang diajar dan diamalkan oleh Nabi. Ada negara Islam yang apabila dua minggu sahaja hujan tidak turun, mereka terus Solat Istisqa’.

Solat ini dilakukan di tempat umum seperti padang terbuka. Jemaah solat hendaklah memakai pakaian yang lusuh untuk menggambarkan kesusahan yang mereka sedang alami.

Bawa sekali dengan binatang ternakan kerana binatang ternakan juga memerlukan hujan.

Feqah Solat Istisqa’ ini boleh dipelajari di tempat lain.

Kadangkala satu-satu nikmat itu berlainan penerimaannya oleh manusia. Kadang-kadang Allah SWT beri pertolongan di saat-saat seseorang itu telah berputus harap. Waktu itu, terasa sungguh nikmat itu.

Hikmahnya, apabila pertolongan itu diberikan waktu itu, mereka akan rasa teramat lega, dan teramat bersyukur. Kalau sebut ‘alhamdulillah’ waktu itu pun, bunyi sudah lain – disebut dengan penuh kelegaan dan dengan penuh syukur kepada Allah SWT.

Perangai manusia, kalau selalu sahaja dapat apa yang dikehendaki, manusia tidak menghargai nikmat itu.

Orang yang selalu makan sedap, dia tidak kisah pun bila dia dapat makan makanan yang sedap. Tetapi orang kampung yang jarang dapat makan sedap, sekali dapat makan steak, dia akan teruja sangat. Begitulah perumpamaannya.

وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ

dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata.

Allah SWT lah yang menyebarkan rahmat-Nya kepada seluruh makhluk-Nya. Semua makhluk akan dapat rahmat dari Allah SWT sama ada manusia, binatang, serangga, semua sekali.

Semua akan dapat rezeki masing-masing. Dalam bentuk yang mereka perlukan. Makanan untuk lembu lain dengan makanan untuk semut kerana Allah SWT beri bahagian ikut keperluan masing-masing.

Begitulah, rezeki dalam bentuk hujan jatuh ke merata-rata kawasan yang luas. Bandingkan kalau air dari dalam bumi, seperti mata air dan telaga, ia hanya terhad dalam kawasan yang kecil sahaja tetapi apabila hujan turun, ia pergi ke merata tempat.

Rezeki itu bukan dalam bentuk hujan sahaja. Macam-macam jenis rezeki yang Allah SWT berikan. Cuma Allah SWT selalu beri contoh hujan dalam Al-Quran untuk isyarat kepada rezeki.

Seperti yang selalu disebut, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa.

Kita disuruh berdoa hanya kepada Allah SWT, dan terus kepada Allah SWT sahaja. Kerana Dia sahaja yang dapat memberi apa yang kita perlukan.

Begitulah yang ditekankan dalam ayat ini. Kalau hujan sudah lama tidak turun, maka doalah kepada Allah SWT. Jangan pergi jumpa Bomoh Hujan pula – ini syirik.

Kalau hanya Allah SWT sahaja yang boleh beri rezeki kepada kita, dalam bentuk hujan dan lain-lain bentuk rezeki, maka minta kepada Allah SWT lah sahaja, jangan pula minta kepada yang lain.

وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ

Dan Dia lah pelindung, lagi Yang Maha Terpuji.

Ayat ini mengajar kita bagaimana Allah SWT memberikan rezeki mengikut kadar keperluan.

Diberikan-Nya sedikit demi sedikit harta dan keperluan kepada manusia. Kerana Allah SWT tahu, kalau hamba-Nya diberikan dengan harta yang banyak sekali gus, akan menyebabkan manusia itu terpesong, jadi tidak tentu arah.

Ini seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Macam juga hujan, diberikan sedikit demi sedikit, kerana kalau diberi banyak terus, bukannya jadi nikmat, tetapi jadi musibah.

Manusia akan jadi lain kalau tiba-tiba jadi kaya. Kalau kita lihat budak-budak selepas kira duit raya mereka pun cukuplah.

Perangai mereka telah jadi lain macam: hendak beli itu lah, ini lah. Hendak makan itu, makan ini. Sibuk mereka dengan duit raya mereka itu.

Orang dewasa pun begitu juga. Kalau ada duit banyak, selalunya mereka boleh jadi hanyut dengan kemewahan.

Jadi, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah SWT telah ‘menyusun’ rezeki yang hendak diberikan kepada kita. Allah SWT tidak beri banyak untuk keselamatan iman kita juga sebenarnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan