Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-19 dan Ke-20

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-19 dan Ke-20

428
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-19:

Kenapa Allah SWT perlu dianggap sebagai penolong kita? Kenapa kita hanya boleh berdoa kepada Allah SWT sahaja?

اللهُ لَطيفٌ بِعِبادِهِ يَرزُقُ مَن يَشاءُ ۖ وَهُوَ القَوِيُّ العَزيزُ

Allah SWT Maha Lembut tadbir-Nya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) kepada hamba-hamba-Nya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendak-iNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

اللهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ

Allah SWT Maha Halus kepada hamba-hamba-Nya;

Maksud ‘halus’ itu adalah ‘sayang’. (Bukanlah maksudnya halus kecil itu). Maknanya Allah SWT baik dan berlembut dengan hamba-Nya.

Dia tahu apa yang hamba-Nya lalui. Dia tahu kita susah dengan dugaan yang kita hadapi setiap hari. Tetapi Dia berikan juga segala kesusahan dan kepayahan semasa di dunia kerana itu semua sebagai ujian. Bukan kerana Allah SWT tidak suka.

Kalimah لَطِيفٌ juga boleh bermaksud ‘halus’. Kalau benda yang halus, kita tidak berapa nampak, bukan? Kena pakai mikroskop baru boleh nampak.

Maka, apabila dikatakan Allah SWT itu لَطِيفٌ, ia bermaksud Allah SWT tahu segala-gala tentang hamba-Nya, walaupun perkara yang halus mulus pun. Tidak ada benda yang kita boleh sembunyikan dari-Nya.

Allah SWT tahu segala hajat dan keperluan hamba-Nya. Maka, hadapkanlah sahaja doa kita kepada-Nya, jangan hadapkan kepada selain dari Allah SWT kerana tidak ada selain Allah SWT yang tahu.

يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ

Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Allah SWT lah sahaja yang memberi rezeki kepada kita.

Dan walaupun Allah SWT tahu segala hajat dan keperluan hamba-Nya, tetapi Allah SWT beri rezeki ikut kehendak Dia. Itu adalah haq-Nya untuk memilih siapa yang dapat apa. Kita kena redha sahaja dengan apa yang diberikan kepada kita.

Allah SWT lah sahaja yang berkuasa memberi rezeki. Tidak ada entiti lain yang boleh beri rezeki.

Dan Allah SWT itu amat lembut kepada makhluk-Nya. Lihatlah bagaimana orang kafir pun dapat rezeki juga. Kadang-kadang mereka dapat lebih banyak dari orang Islam. Padahal mereka tolak Allah SWT, mereka sembah selain Allah SWT, mereka buat kezaliman dan sebagainya. Tetapi Allah SWT tetap memberi rezeki kepada mereka.

وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ

dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa dia Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja kerana Dia Maha Kuat. Tetapi ada juga manusia yang berani untuk mempersoalkan tentang-Nya.

Allah SWT mampu untuk membalas dengan azab kepada mereka yang mempersoalkan-Nya, ayat-ayat-Nya, Nabi-nabi-Nya, tetapi Allah SWT tidak melakukannya di dunia kerana Allah SWT bersifat لَطِيفٌ.

Ada musibah Allah SWT beri sebagai ujian. Dan ada yang Allah SWT beri sebagai ‘azab kecil’. Kerana itu ada orang baik kena musibah, dan orang jahat pun kena musibah.

Kepada orang jahat, musibah itu adalah azab kecil kepadanya. Kepada orang baik, musibah itu adalah dugaan dan ujian untuknya dan dapat memberikan pahala kepadanya.

Tetapi, kita manusia tidak tahu mana satu. Kerana itu tidak boleh kita hendak memandai kata: ha… itulah kau jahat sangat! ni Allah SWT dah bagi azab kat kau!

Maka, jangan memandai pula ya. Pernah dulu bila Acheh kena Tsunami, ramai jer yang kata ini sebab mereka buat dosa dan sebagainya. Ini salah kerana kita bukan Tuhan. Kita tidak tahu kenapa Allah SWT berikan musibah itu kepada mereka.

Tafsir Ayat Ke-20:

Ini adalah dorongan kepada kita untuk buat persiapan awal kepada akhirat.

مَن كانَ يُريدُ حَرثَ الآخِرَةِ نَزِد لَهُ في حَرثِهِ ۖ وَمَن كانَ يُريدُ حَرثَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن نَصيبٍ

Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ

Sesiapa yang menghendaki hasil tuaian di akhirat,

‘Tuaian’ bermaksud menuai hasil setelah dilakukan usaha menanam. Sebagaimana petani menanam padi dan mengharap untuk menuai padi itu selepas ia boleh dituai. Maknanya, mengharapkan sesuatu dari usaha yang kita lakukan. Oleh itu, sesiapa yang hendak menuai dengan banyak, maka kenalah bercucuk tanam dari sekarang.

Kita semua melakukan sesuatu, tetapi apakah sebabnya kita melakukan apa yang kita lakukan itu? Apakah tujuan kita melakukan perkara atau amalan itu?

Ada yang melakukan sesuatu itu kerana hendakkan faedah di akhirat. Itulah sebabnya kita solat, puasa, bayar zakat, infak dan amalan-amalan baik yang lain. Kita lakukan amalan itu semua kerana kita mengharapkan pahala dan semoga dengan pahala itu kita dapat masuk syurga.

Itulah harapan seorang mukmin yang benar. Bukanlah kita melakukan amalan tanpa mengharapkan apa-apa. Setiap perbuatan kita, ada sesuatu yang kita harapkan.

Janganlah kita dengar kata-kata puak tarekat yang kata kononnya kalau buat amalan dan mengharapkan balasan pahala adalah salah. Mereka kata, kalau mengharapkan pahala atau syurga dalam beribadat, itu sudah tidak ikhlas.

Pendapat mereka itu berlawanan dengan ayat ini. Lihatlah bagaimana Allah SWT pun kata tentang mereka yang melakukan amalan sambil mengharapkan faedah di akhirat.

Mereka yang masuk tarekat itu adalah mereka yang senang ditipu, dan itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Quran. Mereka hanya diajar berzikir sampaikan mereka tidak ada masa untuk mendapatkan ilmu yang benar.

Apabila mereka tidak belajar, mereka senang ditipu oleh guru-guru mereka. Guru-guru itu pula dapat ilmu dari khayalan mereka sahaja, atau bisikan dari syaitan yang hendak menyesatkan mereka.

Maka, mereka terus berada dalam kejahilan. Tetapi mereka rasa mereka pandai, itu sebab susah nak ajar mereka dan mereka ajak mereka ke arah jalan yang benar.

Selalunya, apabila kita kata tentang ‘amalan’, kita terus terfikir amalan yang dilakukan oleh fizikal kita. Tetapi sebenarnya ada amalan yang berbentuk ‘amalan hati’.

Sebagai contoh, kalau kita niatkan dalam hati kita sepanjang hari, niat untuk beri nasihat kepada orang lain, itu sudah dikira sebagai amalan hati yang baik dan sudah dikira sebagai amal. Sepanjang waktu akan dapat pahala. Ini adalah sunnah Nabi kerana hati Nabi memang begitu, sentiasa hendak memberi nasihat.

Akan tetapi, kalau kita ada niat yang buruk, niat yang jahat, itu akan merosakkan segala amalan dan pahala kita. Sebagai contoh, kalau ada dengki dalam hati kita melihat kejayaan orang lain, itu akan merugikan kita.

Sebagaimana seorang penuai yang menunggu masa untuk menuai hasil tanaman dia, tetapi sebelum dapat tuai, dirosakkan oleh cuaca, belalang atau apa-apa sahaja. Tidakkah itu rugi sekali?

نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ

Kami akan menambah untuknya dalam tuaiannya;

Mereka yang mengharapkan faedah di akhirat, akan mendapat balasan yang berganda-ganda dari usahanya yang telah dilakukan. Sebab Allah SWT itu Maha Pemurah, maka Allah SWT hendak beri lebih lagi dari apa yang kita lakukan.

Pertamanya, Allah SWT akan tambah taufik kepada kita, supaya kita boleh melakukan lebih banyak lagi amal kebaikan. Kerana kita kena ingat, kita boleh buat amal kebaikan dengan banyak adalah kerana taufik Allah SWT; kalau Allah SWT tidak beri taufik, kita pun tidak boleh melakukan amal kebaikan apa pun.

Keduanya, Allah SWT akan balas berlipat kali ganda. Kita buat sikit sahaja, tetapi Allah SWT balas dengan banyak sekali. Allah SWT tidak balas sama dengan kebaikan yang kita lakukan, sebaliknya Allah SWT akan beri berkali-kali kali ganda! Lihatlah apa yang Allah SWT kata dalam surah [ Baqarah: 261 ].

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah SWT akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah SWT Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

Lihatlah bagaimana Allah SWT berfirman dalam ayat ini bahawa sedekah yang diberikan akan digandakan sampai 700 kali ganda! Dan Allah SWT boleh untuk menggandakan bertambah-tambah lagi mengikut kehendak-Nya.

Mereka yang mengharap faedah di akhirat, bukan hanya dapat kebaikan akhirat sahaja, tetapi mereka juga akan mendapat kebaikan di dunia juga. Allah SWT Maha Pemurah sampaikan Allah SWT tidak beri kita tunggu sampai di akhirat untuk mendapat kebaikan. Semasa di dunia lagi Allah SWT telah beri.

Maknanya, orang itu akan dapat akhirat dan juga dunia. Oleh itu jadikanlah akhirat sebagai objektif kita, dan kita akan dapat kebaikan di dunia juga. Allah SWT boleh beri kelebihan di dunia lagi, kerana ia tidak bernilai mana. Sebab ia tidak bernilailah, yang Allah SWT boleh beri kepada orang kafir pun.

Jadi, kalau Allah SWT boleh beri kepada orang kafir, kenapa Allah SWT tidak boleh beri kepada manusia yang beriman dan beramal soleh?

Satu persoalan yang mungkin timbul adalah: bagaimana pula kalau kita melakukan perbuatan yang memang berbentuk keduniaan? Seperti makan, minum, bekerja, bermain sukan dan sebagainya? Adakah ia terkeluar dari kategori mendapat faedah di akhirat?

Adakah kita tidak dapat hasil di akhirat kalau kita buat perkara yang tidak jelas nampak sebagai ‘ibadah’. Kerana, kalau amalan solat, puasa, zakat dan sebagainya, itu sudah jelas ada kaedah dengan akhirat kerana ia termasuk dalam kategori ‘ibadah khusus’.

Bagaimana pula dengan perbuatan berbentuk keduniaan?

Allah SWT amat pemurah sampaikan kalau kita buat amal untuk dunia pun boleh dikira sebagai amal untuk akhirat juga dan kita akan mendapat faedah di akhirat kelak hasil dari perbuatan kita yang bersifat keduniaan.

Ini adalah kerana, kita buat amal dunia pun kerana memenuhi perintah Allah SWT. Sebagai contoh, kita pergi ke kedai kerana membeli makanan. Kerana Allah SWT suruh kita makan. Seperti yang Allah SWT telah sebut dalam surah [ Baqarah: 172 ].

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah SWT, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.

Lihatlah, bagaimana mencari makanan yang bagus pun adalah arahan dari Allah SWT. Maka, kalau kita memeriksa kandungan sesuatu makanan pun bermakna kita mengikuti arahan dari Allah SWT iaitu ketika kita memastikan yang makanan yang kita makan itu baik.

Kita makan pun untuk menjaga kesihatan dan Allah SWT suruh kita jaga kesihatan kita. Supaya kita sihat untuk melakukan amal ibadat.

Maka semasa kita melakukan amal keduniaan itu, hendaklah kita memperbetulkan niat kita. Kita kena sedar bahawa apa sahaja yang kita lakukan itu adalah kerana memenuhi perintah Allah SWT.

Dan kena ada niat yang kita melakukan sesuatu itu kerana hendak menjadi hamba yang baik. Dan usaha ke arah melakukan ibadah.

Dan ingatlah bahawa Allah SWT bersifat Maha Pemurah dan suka memberi. Oleh kerana itu, Allah SWT suka kalau kita menikmati nikmat yang diberikan-Nya kerana Allah SWT suka memberi dan Allah SWT suka kalau kita menerima nikmat-Nya itu.

Oleh itu, apabila makhluk menggunakan nikmat itu dengan baik, dan bersyukur dengan pemberian itu, Allah SWT pun suka juga.

Ada syarat yang perlu diikuti untuk mendapat pahala akhirat semasa melakukan perbuatan keduniaan.

Pertama, niat kena betul. Kita buat semua perkara kerana mengharapkan redha Allah SWT. Kita kena ikhlas dalam melakukan sesuatu. Bukan kerana kita mengharap pujian dari manusia dan balasan dari manusia.

Kalau kita buat sesuatu kerana Allah SWT, kita pun senang hati melakukannya. Tetapi kita kena pastikan yang kita buat perkara yang dalam lingkungan halal.

Keduanya, cara perbuatan itu kena betul. Ikut sunnah seperti yang dilakukan Nabi, selagi ada.

Sebagai contoh, cara pakai baju, tidur, makan dan sebagainya boleh mengikut sunnah kerana ada contoh dari nabi. Kalau Nabi melakukan sebegitu, maka bermakna Allah SWT pun suka begitu, maka hendaklah kita ikut selagi boleh.

Walaupun begitu, tentu ada juga perbuatan yang tidak ikut sunnah, sebagai contoh, bawa kereta. Nabi tidak pernah bawa kereta, jadi macam mana kita hendak ikut sunnah baginda, bukan?

Kita masih lagi kaitkan dengan akhirat dalam perkara sebegitu dengan buat ibadat masa memandu. Contohnya, kita boleh berzikir semasa memandu.

Sebelum memandu, baca doa seperti yang diajar oleh Nabi. Dan kita memandu dengan cara yang baik. Jangan ganggu orang, membahayakan nyawa sesiapa dan sebagainya. Jangan membazir dan sebagainya.

Kadang-kadang kita lupa hendak berniat pada setiap kali kita melakukan sesuatu perbuatan itu. Mungkin susah untuk kita memasang niat untuk akhirat setiap kali kita berbuat sesuatu aktiviti.

Contohnya, memang kita sudah biasa makan dengan tangan kanan tetapi tidaklah kita berniat kita makan dengan tangan kanan itu kerana Allah SWT atau kerana ikut sunnah Nabi.

Ulama pun ada yang kata tidak semestinya kena berniat setiap kali melakukan sesuatu. Walaupun begitu, ada juga ulama yang berpendapat kena berniat setiap kali.

Seeloknya, kita memperbaharui niat kita dari masa ke semasa supaya kita sedar bahawa apa yang kita lakukan itu adalah kerana mengikut sunnah dan mengharapkan balasan-Nya. Ingatkan diri kita dari masa ke semasa.

Saya pernah berjumpa dengan seorang lelaki yang berjambang seperti yang dianjurkan oleh Sunnah. Tetapi, bila ditanya, dia tidak pun ada berniat untuk menjalankan sunnah, tetapi sebab dia ‘suka’ sahaja.

Amatlah rugi kerana dia sudah buat perkara sunnah, tetapi kerana dia tidak ada niat untuk mengikut sunnah, berkemungkinan dia tidak mendapat pahala sunnah berjambang itu.

Maka, ayat ini juga mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita lakukan. Sepatutnya kita buat semua perkara yang menjurus kepada akhirat. Kurangkan buat perkara yang tidak boleh dikategorikan sebagai jalan ke akhirat.

Banyak perkara yang kita buat yang tidak kena mengena dengan akhirat seperti menulis di twitter, Facebook dan sebagainya yang tidak ada nilai untuk akhirat. Hanya memberitahu perkara kosong sahaja dan ada kalanya membawa kepada dosa sahaja.

‘Niat’ adalah amalan hati. Niat hendak menolong orang, niat hendak pergi kelas, niat hendak buat kebaikan, niat hendak mendoakan orang, niat hendak berjihad.

Semua itu kadang-kadang tidak sempat kita hendak buat tetapi telah dapat pahala.

Juga sabar dengan apa yang terjadi. Kita kena musibah dan kita sabar. sebenarnya tidak buat apa-apa pun, kan? Tetapi kita tidak memberontak, tidak marah, tahan diri, teruskan senyum dapat pahala tambahan ini. Tidak buat apa pun telah dapat pahala.

وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا

dan sesiapa yang mahukan hasil tuaian di dunia

Ini adalah tentang mereka yang hanya mahukan dunia semata-mata. Ramai manusia yang berusaha keras untuk mendapatkan hasil di dunia. Dia bekerja siang dan malam supaya hartanya banyak.

Dia berjogging dan bersenam setiap hari supaya dia sihat dan badannya cantik. Malah, banyak lagi perbuatan yang manusia lakukan hanya kerana dunia sahaja.

Tidaklah salah semua perbuatan itu. Tetapi kena lihat niatnya atau, lihatlah tujuannya melakukan perkara itu. Yang tidak elok adalah kalau dia hanya mahukan kebaikan di dunia semata-mata, tanpa mengharap kebaikan di akhirat.

نُؤْتِهِ مِنْهَا

Kami beri kepadanya sebahagian darinya

Kalau manusia melakukan perbuatan hanya mengharapkan dunia sahaja, maka Allah SWT akan beri dunia kepadanya. Bukan dapat semua pun tapi ‘sebahagian’ sahaja.

Kerana perkataan من bermaksud ‘sebahagian’. Memang manusia ada banyak keinginan tetapi dia tidak dapat semua. Kalau dia berniaga, tentulah dia hendak untung banyak, berjuta-juta untung dia hendak, tetapi Allah SWT tidak beri sampai berjuta.

Memang dapat, tetapi tidaklah dapat semua yang dia hendak. Ini adalah kerana Allah SWT boleh beri, tetapi ikut sekadar Dia hendak beri.

Kepada mereka yang mahukan dunia sahaja, Allah SWT boleh beri. Tetapi mereka tidak mendapat bahagian di akhirat.

Ini amat merugikan sekali. Walaupun dapat bahagian di dunia, tetapi bahagian dunia itu tidak kekal. Apa yang kita mahukan sebenarnya adalah bahagian di akhirat.

وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.

Allah SWT akan beri apa yang mereka hendak itu semasa di dunia lagi supaya mereka tidak boleh tuntut lagi di akhirat.

Tidak ada pahala untuk ditimbang di neraca timbangan. Allah SWT tidak beri hasil kepada mereka sebab mereka tidak mahu pun akhirat. Kerana pemberian Allah SWT bergantung kepada niat seseorang. Kalau niatnya hendakkan akhirat, maka Allah SWT akan memberi akhirat kepadanya.

Kalau seseorang itu niatnya mahu dunia sahaja maka Allah SWT akan memberi kelebihan di dunia sahaja. Tetapi dia tidak mendapat kebaikan dari bahagian akhirat langsung.

Itulah sebabnya penting untuk kita faham tentang niat. Segala perbuatan bergantung kepada niat seperti telah disebut dalam hadis riwayat Umar berkenaan niat.

ٍعَنْ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Dari Umar radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SWT bersabda, “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.” (HR. Bukhari, Muslim, dan empat imam Ahli Hadits)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan