Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Syura – Tafsir Ayat Ke-8 dan Ke-9

Tafsir Surah Asy-Syura – Tafsir Ayat Ke-8 dan Ke-9

813
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-8

Allah SWT memberitahu Qudrat-Nya dalam ayat ini. Allah SWT boleh buat apa sahaja.

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَهُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن يُدخِلُ مَن يَشاءُ في رَحمَتِهِ ۚ وَالظّٰلِمونَ ما لَهُم مِّن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Dan jika Allah SWT menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah SWT yang satu); akan tetapi Allah SWT (tidak merancang yang demikian bahkan Dia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya; dan orang-orang yang zalim, tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَهُم أُمَّةً واحِدَةً

Dan jika Allah SWT menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat.

Allah SWT boleh sahaja jadikan semua makhluk-Nya beriman belaka. Atau semua makhluk–Nya kafir belaka. Allah SWT mampu untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Tetapi Allah SWT tidak mahu untuk buat begitu. Allah SWT berikan manusia kebolehan untuk memilih sama ada untuk beriman atau tidak. Terpulang kepada makhluk, tetapi kalau tidak taat kepada-Nya, akan dikenakan dengan balasan azab.

Mungkin ada yang tanya, kalau Allah SWT sangat berkuasa, kenapa Allah SWT tidak buat semua manusia dan jin taat sahaja? Jawapannya, Allah SWT boleh jadikan semua makhluk beriman, sebagaimana Allah SWT jadikan semua malaikat itu beriman dan taat sahaja tanpa soal. Akan tetapi Allah SWT tidak mahu jadikan begitu dan semua ini adalah atas kebijaksanaan-Nya. Mungkin kita sendiri tidak nampak kenapa, tetapi Allah SWT Maha Tahu.

وَلَٰكِن يُدْخِلُ مَن يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ

akan tetapi Allah SWT memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmatNya.

Allah SWT memasukkan seseorang itu dalam rahmat-Nya dengan menjadikannya beriman. Ini kerana mereka sendiri mahu beriman dan mereka buat amalan baik sebagai persiapan untuk menuju akhirat.

Mungkin amalan mereka itu tidak cukup untuk menempatkan mereka ke dalam syurga, tetapi kerana ikhlasnya mereka, dan ada usaha dari mereka, Allah SWT terima juga dan masukkan mereka ke dalam syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Maknanya, Allah SWT yang berikan kita rahmat iman itu. Bukannya kita dapat sendiri atau dengan usaha kita. Kita beriman dan beramal soleh bukannya kerana kita baik, kita pandai atau sebagainya, tidak. Kita jadi begitu kerana Allah SWT yang beri kita peluang itu.

Maka jangan kita bangga sangat. Sebaliknya hendaklah kita bersyukur kepada Allah SWT. Dan salah satu tanda kita bersyukur itu adalah dengan menyampaikan dakwah itu kepada orang lain.

وَالظَّالِمُونَ مَا لَهُم مِّن وَلِيٍّ

dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan

Zalim bermaksud zalim dengan diri sendiri kerana apabila diajarkan wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Mereka yang sebegitu tidak akan mendapat sesiapa pun yang mahu menjadi pelindung kepada mereka.

وَلَا نَصِيرٍ

dan tidak ada pertolongan.

Ramai yang sangka mereka akan dapat pertolongan dari taghut-taghut yang mereka sembah sebagai wali. Tetapi itu tidak akan terjadi.

Tafsir Ayat Ke-9

 Ayat Zajrun.

 أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ۖ فَاللهُ هُوَ الوَلِيُّ وَهُوَ يُحيِي المَوتىٰ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Adakah patut mereka menjadikan sesuatu yang lain dari Allah SWT sebagai pelindung-pelindung (yang disembah dan dipuja) sedangkan Allah SWT jualah Pelindung yang sebenar-benarnya, dan Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati. Dan (ingatlah), Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

أَمِ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

Patut kah mereka mengambil selain dari Allah SWT sebagai wali-wali mereka?

Tidak patut sama sekali kerana entiti-entiti yang mereka ambil sebagai wali itu, tidak mempunyai kekuasaan apa-apa. Allah SWT tidak pernah lantik mereka pun. Allah SWT tidak pernah beritahu pun perkara ini.

فَاللهُ هُوَ الْوَلِيُّ

padahal Allah SWT jualah wali yang sebenar-benarnya,

Tidak patut kerana Allah SWT lah wali yang sebenarnya. Sepatutnya, makhluk hanya mengambil Allah SWT sahaja sebagai wali. Berharap hanya kepada-Nya, taat hanya kepada-Nya sahaja. Kita telah sebut bagaimana ‘wali’ antaranya bermaksud ‘pelindung’. Maka kita sebagai umat Islam hendaklah menjadikan Allah SWT sebagai pelindung kita. Dan kita juga telah memberitahu bahawa wali itu juga perlu ditaati. Maka kita kenalah taat kepada Allah SWT sahaja sepenuhnya.

وَهُوَ يُحْيِي الْمَوْتَىٰ

dan Dia lah yang menghidupkan yang mati.

Kenapa Allah SWT sahaja sebenar-benar wali? Kerana hanya Allah SWT sahaja yang boleh menghidupkan yang sudah mati. Ini bukanlah kerja selain Allah SWT boleh buat dan HANYA Allah SWT sahaja yang mampu melakukannya. Kerana Allah SWT sahaja yang Maha Kuasa. Nabi, wali dan malaikat tidak boleh buat begitu. Semua sudah tahu perkara ini.

Kalau Allah SWT boleh melakukan satu perkara yang hebat, menghidupkan yang telah mati, maka bolehkah Allah SWT menyelesaikan masalah kita? Tentu boleh. Maka, hendaklah kita berdoa kepada-Nya sahaja. Selain dari Allah SWT tidak boleh. Jadi kalau minta kepada selain Allah SWT itu memang tidak masuk akal.

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan (ingatlah), Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Tidak ada entiti lain yang Maha Berkuasa seperti Allah SWT. Maka, janganlah kita sembah dan berdoa kepada entiti selain Allah SWT.

Allah yang menentukan segalanya. Ini termasuk dalam perkara Qadha dan Qadar. Dan kita pun tahu yang kita kena beriman dengan Qadha dan Qadar. Maka apa-apa sahaja yang Allah telah tentukan, maka kita kena redha dan kena terima.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan