Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ma’un – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

Tafsir Surah Al-Ma’un – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

6131
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ma’un

Pada perbahasan yang lalu, kita telah membincangkan :

A) Perkara mendustakan agama termasuklah berlaku tidak baik kepada anak yatim.

B) Sifat buruk manusia yang tidak suka membantu orang miskin.

C) Perihal kejahatan manusia dengan manusia yang lain.

Allah SWT menyebut tentang sifat buruk mereka dengan Allah SWT pula, iaitu di dalam solat.

Tafsir Ayat Ke-4

فَوَيلٌ لِلمُصَلّينَ

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,

Apabila Allah SWT gunakan huruf ف di dalam ayat ini, ianya adalah kesinambungan dari ayat yang sebelumnya iaitu Allah SWT sedang “mencelakakan mereka” yang solat.

Bagaimana? Semoga dapat kita fahami dengan baik agar tidak tersalah faham dengan firman Allah SWT.

Kalimah

فَوَيلٌ

Maka kecelakaanlah

Terdapat banyak ayat-ayat lain dalam Al-Quran di mana Allah SWT menyebut tentang kecelakaan.

Sebagai contoh, dalam Surah At-Tuur (52) : 11

فَوَيلٌ يَومَئِذٍ لِلمُكَذِّبينَ

Maka kecelakaan yang besarlah di hari itu bagi orang-orang yang mendustakan,

Apabila Allah SWT sudah kata ‘celaka’, maka malanglah nasib mereka yang dicelakakan itu. Tetapi dalam ayat ini, Allah SWT sebut:

يَومَئِذٍ

(hari itu) Yang bermaksud hari akhirat

AKAN TETAPI kecelakaan yang disebutkan dalam Surah Al-Ma’un ini dalam bentuk umum sahaja. Ia bermakna bukan sahaja di akhirat, bahkan sejak dunia lagi boleh tertimpa kecelakaan Allah SWT.

Tetapi mengapakah kecelakaan yang dimaksudkan adalah untuk “mereka yang solat”..?

Kenapa Allah SWT marah kepada mereka yang solat? Bukankah solat itu perbuatan yang baik?

Ayat ini juga adalah untuk “mengejutkan” orang yang solat. Allah SWT berfirman dengan bersambung ayat selepas ini (ayat ke-5), tetapi Allah SWT tidak berbuat begitu. Ini kerana Allah SWT hendak menarik perhatian semua orang.

Kalimah ‘solah’ sudah digunakan sebelum Al-Quran diturunkan lagi. Kepada masyarakat Arab waktu itu, ia sudah bermaksud ‘sembahyang’ dan ‘doa’. Oleh itu ayat ini untuk menarik perhatian musyrikin Mekah dan juga orang Islam sendiri.

Kedua-duanya akan terkesan dengan ayat ini.

Kalimah

مُصَلّينَ

Bukan sahaja bermaksud ‘orang yang solat’, tetapi ia bermaksud ‘orang yang selalu solat’.

Kerana ia dalam isim fa’il (pembuat). Jadi, ini menyebabkan semua mereka yang solat akan takut dan tertanya-tanya: “aku pun solat juga, adakah aku termasuk dalam ayat ini?

Ada pun dalam Al-Quran, Allah SWT juga pernah mengutuk orang munafik yang solat. Kerana sifat orang munafik itu mereka tidak menjaga solat. Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nisa (4) : 142;

إِنَّ الْمُنافِقِينَ يُخادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُمْ وَإِذا قامُوا إِلَى الصَّلاةِ قامُوا كُسالى يُراؤُنَ النَّاسَ وَلا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah SWT (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah SWT pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah SWT (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Antara isyarat ayat ke-4 ini dengan ayat sebelumnya, kita dapat tahu bahawa orang yang ada masalah dengan menzalimi manusia, selalunya akan ada masalah dengan kewajipan dengan Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-5:

الَّذينَ هُم عَن صَلاتِهِم ساهونَ

(iaitu) orang-orang yang lalai tentang solatnya,

Ayat ini adalah sambungan kepada ayat sebelumnya. Seperti telah kita sebutkan, Allah SWT boleh menyambung terus ayat ini dengan ayat sebelumnya. Tetapi Allah SWT tidak melakukan begitu agar kita memberi perhatian kepada setiap ayat.

Kesannya adalah, kalimah “solat” disebut dua kali dalam kedua-dua ayat ini (memberi kesan penekanan kerana dua kali ia disebutkan).

Mereka yang lalai di dalam solat, tidak mendapat kebaikan dari solat itu. Allah SWT telah sebut dalam Surah Al-Ankabut (29) : 45;

إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Kalau solat itu sudah mencegah orang yang mengerjakannya dari perbuatan keji, kenapa pula mereka itu sanggup menindas dan menidakkan hak orang lain? Ini yang kita hendak jelaskan.

Apakah maksud “lalai dalam solat” pada ayat ini? Ada DUA pendapat yang diberikan oleh Mufassir :

Pertama :

Ada yang mengatakan yang dimaksudkan adalah solat orang munafik. Mereka itu solat kerana hendak menunjuk-nunjuk sahaja kepada orang lain. Mereka solat berjemaah bersama dengan para sahabat yang lain kerana mereka mahu turut dilihat sebagai orang Islam.

Kedua :

Ada juga yang mengatakan ayat ini tentang solat pemimpin Quraish. Mereka juga ada mengamalkan solat. Kita jangan lupa bahawa mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim a.s. yang mula-mula membuka Mekah semula. Dan Nabi Ibrahim juga mengamalkan solat seperti yang disebut dalam Surah Ibrahim (14) : 37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلاةَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunan ku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat,

Oleh itu, keturunan awal Quraish Mekah itu memang mengerjakan solat. Dan amalan solat itu diturunkan turun temurun kepada keturunan mereka.

CUMA mereka tidak lagi solat seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW yang datang kepada mereka.

Kalimah

ساهونَ

Diambil dari kata dasar س ه و yang bermaksud terlupa sesuatu kerana lalai disebabkan ada benda yang lebih penting dalam fikiran kita.

 

Ia adalah dalam format fa’il (pembuat), iaitu mereka yang melakukan kelalaian dan kelupaan itu. Juga boleh bermaksud, “tidak ambil kisah” sama ada solat atau tidak.

 

Kadang-kadang ramai memandang ringan solat itu, sampaikan jika terlepas, merasakan tidak bersalah. Sedang Allah SWT mengingatkan kita bahawa solat itu adalah amat penting. Berdasarkan banyak dalil-dalil tentang perkara ini.

Antaranya:

A) Surah Toha (20) : 14

Bagaimana pertama kali Allah SWT memperkenalkan diri-Nya kepada Nabi Musa a.s.

إِنَّني أَنَا اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاعبُدني وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكري

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah SWT, tidak ada ilah selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.

B) Surah Al An’am (6) : 162

Solat lebih penting dari kehidupan dan kematian.

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan semesta alam.

C) Surah Al Baqarah (2) : 143

Solat disamakan dengan “iman”

وَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم

(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah SWT petunjuk hidayah dan Allah SWT tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah SWT amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman).

Imam Ash Shawkani mengatakan – Allah SWT menegur mereka yang tidak menjaga solat mereka :

A) Ada yang kadang solat dan kadang tidak. (Ikut suka mereka sahaja).

B) Ada yang tidak menjaga syarat-syarat dan kewajipan dalam mengerjakan solat.

C) Ada pula yang solat seperti ayam mematuk makanan di tanah. (Mereka solat tetapi solat dengan laju dan tidak menjaga tumakninah).

D) Ada yang melengahkan solat dan hanya melakukannya di hujung-hujung waktu.

Oleh itu, perbahasan lalai bukan sahaja berkaitan khusyuk. Tetapi keseluruhan aspek yg terdapat dalam ibadah solat ini.

Ibrah dan Kesimpulan

Pertama :

Perhatian dan peringatan Allah SWT kepada orang yang solat, secara tidak langsung mengajar kita (yang telah melakukan kebaikan) untuk turut bermuhasabah dalam amal ibadah semasa yang kita lakukan supaya kekal konsisten dalam objektif yang digariskan oleh Allah SWT.

Kedua :

Orang beriman yang bijaksana sepatutnya sentiasa menjaga ibadah dengan ikhlas. Contoh kecelakaan kepada golongan yang solat, sepatutnya turut dilihat dalam segenap aspek ibadah yang lain. Agar kita kembali kepada Allah SWT dalam keadaan beruntung.

Ketiga :

Sentiasa tingkatkan kualiti amalan kita. Ini kerana amatlah rugi sekiranya amalan kita tidak dapat memberikan kesan yang baik terhadap hubungan kita sebagai hamba Allah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan