Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-4

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-4

250
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Pertama

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah SWT tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa.

Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah SWT tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad SAW pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi SAW memberitahu maknanya. Sedangkan kewajipan Nabi untuk menjelaskan perkara yang tidak jelas kepada kita.

Ada perkara yang Allah SWT tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, apabila Nabi SAW pun tidak menjelaskannya kepada kita, maka itu bermaksud, Nabi Muhammad SAW pun tidak tahu.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka juga tidak tahu.

Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu atau pandang rendah kepada mereka pula. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawab: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka.

Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Al-Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Quran yang Allah SWT telah jadikan untuk kita.

Tafsir Ayat Ke-2

عسق

Ain, Siin, Qaaf.

Unik sekali dalam surah ini, dua ayat yang pertama adalah ayat muqattaah. Selalunya ada satu sahaja. Ini menambahkan kelainan pada surah ini.

Tetapi kita tidak tahu dengan pasti kenapa Allah SWT lakukan demikian. Seperti kita telah sebut di atas, kita tidak mendapat maklumat dari Nabi SAW apakah maksudnya.

Tafsir Ayat Ke-3

Ini adalah Dakwa yang pertama: Sepertimana Nabi-Nabi terdahulu diwahyukan dengan Dakwa Tauhid, begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW.

كَذٰلِكَ يوحي إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ اللهُ العَزيزُ الحَكيمُ

Sebagaimana yang terkandung dalam surah ini dan surah-surah yang lain – diwahyukan kepada mu (wahai Muhammad) dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripada mu, oleh Allah SWT Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

كَذَٰلِكَ يُوحِي إِلَيْكَ

Begitulah diwahyukan kepada mu (wahai Muhammad)

Selepas diberikan ayat muqattaah dalam ayat sebelumnya, Allah SWT terus berkata, ‘begitulah’. Sebagaimana akal kita tidak dapat mencapai maksud ayat-ayat muqattaah itu, akal kita pun tidak dapat mencapai bagaimana wahyu diturunkan kepada hamba-Nya.

Atau, ‘Begitulah’ – sebagaimana telah diwahyukan kepada kamu wahai Muhammad SAW, begitulah juga wahyu-wahyu lain telah diberikan kepada Rasul-rasul sebelum kamu iaitu wahyu-wahyu yang sama juga – tidak boleh syirik dalam doa.

‘Wahyu’ bermaksud mesej yang diberikan dengan cepat dan secara rahsia. Supaya orang-orang di sekitar tidak tahu. Ini adalah maksud literal perkataan ‘wahyu’.

Dalam segi syariat, maksud ‘wahyu’ adalah maklumat dari Allah SWT yang diberikan kepada Nabi dan Rasul dalam berbagai cara. Antaranya, melalui Jibril. Ia adalah satu proses yang amat berat. Kisah penurunan wahyu Al-Quran boleh dipelajari dari hadis-hadis.

Wahyu diberikan kepada manusia kerana Allah SWT hendak memberi hidayah kepada manusia. Semasa Nabi Adam diturunkan, Allah SWT telah beritahu yang hidayah akan diberikan kepada manusia dan Allah SWT memenuhi janji-Nya dengan diturunkan kitab-kitab wahyu seperti Taurat, Injil, Zabur dan kepada kita, telah diturunkan Al-Quran ini sebagai panduan untuk kita.

Terdapat banyak sekali ayat-ayat dan ajaran yang ada dalam Al-Quran. Tetapi yang paling penting sekali adalah tentang akidah tauhid. Tambahan pula surah Syura ini adalah Surah Makkiah yang banyak menekankan tentang akidah dan pemantapan tauhid.

Inilah topik perbincangan yang berulang-ulang dan diberikan penjelasan dengan berbagai-bagai cara kepada kita kerana tujuan wahyu itu adalah untuk kenal Allah SWT. Dan kenal Allah SWT mestilah kenal dalam akidah tauhid. Kalau kita kenal Allah SWT, tetapi tidak kenal tauhid, itu maksudnya belum kenal lagi dengan sebenarnya kerana mereka yang belajar tafsir Al-Quran, akan kenal Allah SWT dalam akidah tauhid. Mereka tidak akan menduakan Allah SWT dalam apa segi pun.

وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ

dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripada mu,

Ini bermakna wahyu ini bukanlah perkara yang baru, melainkan ia telah diberikan juga kepada Rasul-Rasul dan umat-umat yang terdahulu.

Dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, wahyu yang terpenting adalah tentang akidah tauhid. Maka, Allah SWT hendak menekankan bahawa akidah tauhid yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan Rasul-Rasul sebelum baginda itu sama sahaja; kalau dari segi syariat mungkin berbeza, tetapi kalau akidah, sama sahaja dari dulu sampai bila-bila.

Ayat ini juga hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad SAW bahawa apa yang baginda terima itu adalah benar. Bukan baginda sahaja yang menerima wahyu itu kerana sebelum baginda pun sudah ada Rasul lain yang menerima wahyu yang sebegitu juga. Janganlah baginda risau dan sangsi dengan apa yang baginda terima itu.

اللهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

oleh Allah SWT Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah SWT menyebut dua sifat-Nya di dalam ayat ini.

Pertamanya, kita kena sentiasa ingat bahawa yang menyampaikan wahyu itu adalah Allah SWT. Jadi, jangan kita buat main-main dengan wahyu-Nya itu. Kenalah kita pelajari dan taati dengan bersungguh. Kalau orang hantar surat kepada kita pun, kita akan baca, bukan? Takkan Allah SWT hantar ‘surat’ Dia kepada kita tetapi kita tidak teringin hendak baca pula?

Dan Allah SWT memberitahu sifat-Nya adalah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Allah SWT berkuasa untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi-Nabi. Tidak ada masalah bagi Allah SWT untuk memberikan wahyu itu kerana dia Maha Berkuasa.

Selain Sifat-Nya yang Maha Berkuasa, Allah SWT juga bersifat Maha Bijaksana. Selalunya orang yang berkuasa, dia tidak menggunakan kebijaksanaan, sebaliknya dia akan menyalahgunakan kekuasaannya. Lihatlah bagaimana ramainya pemerintah yang berkuasa yang telah berlaku zalim.

Namun, Allah SWT ada dua-dua sifat itu. Walaupun Allah SWT berkuasa penuh, tetapi Allah SWT menggunakan kuasa-Nya itu dengan penuh bijaksana. Segala apa yang diberikan dari-Nya adalah dari kebijaksanaan-Nya. Maka kita tidak layak menolak dan mempertikaikan apa yang Allah SWT wahyukan dan arahkan kepada kita. Kita kena ikut sahaja. Antara yang kita kena ikut adalah tentang Tauhid dalam doa.

Tafsir Ayat Ke-4

Allah SWT menceritakan lagi kepada kita tentang sifat-Nya dan siapakah Dia. Ini adalah khulasah (ringkasan) kepada pemahaman tentang wahyu.

لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Dia lah yang mempunyai dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Dia lah Yang Tertinggi keadaan-Nya, lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).

 لَهُ مَا فِي السَّمٰوٰتِ

Kepunyaan-Nya yang ada di langit

Apa sahaja yang ada di langit adalah kepunyaan-Nya. Kita pun tidak tahu apakah yang ada di langit itu. Tetapi, apa sahaja yang ada, ia adalah milik Allah SWT.

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi;

Allah SWT adalah pemilik segala-galanya sama ada di langit atau di dunia dan di mana-mana sahaja. Kalau kita fikir, kita pun ada juga memiliki sesuatu di dunia ini, tetapi ketahuilah bahawa pemilik sebenar itu adalah Allah SWT. Kita nampak sahaja macam memiliki harta itu, tetapi hakikatnya, kita tidak menguasainya.

Termasuk yang dimiliki oleh Allah SWT adalah para Nabi, wali dan malaikat. Oleh kerana mereka itu dimiliki oleh Allah SWT, maka kenapa kita berdoa kepada mereka ataupun menggunakan mereka sebagai perantaraan (tawassul) di dalam doa kita? Mereka tidak boleh beri apa-apa kerana mereka tidak memiliki apa-apa kerana Allah SWT kata dalam ayat ini yang Dia yang memiliki segala yang di langit dan di bumi.

Apabila Allah SWT kata Dia mempunyai langit dan bumi, ia juga bermaksud yang Dia sahaja yang menguruskan langit dan bumi itu.

Jangan kita ada pegangan macam Musyrikin Mekah pula. Mereka percaya Allah SWT yang menjadikan alam ini, tetapi Dia ada memberikan kuasa pengurusan kepada makhluk seperti wali, Nabi dan malaikat.

Ini kita ada bincangkan dalam Usul Tauhid.

وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

dan Dia lah Yang Tertinggi keadaan-Nya, lagi Maha Hebat (kekuasaanNya).

Allah SWT lah yang paling tinggi meliputi segala makhluknya. Dia lah yang paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari-Nya atau pun sama kedudukan dengan-Nya.

Tidak ada yang lebih hebat daripada Allah SWT.

Kalau Allah SWT itu Maha Tinggi dan Maha Hebat, maka kita sebagai makhluk-Nya yang kerdil dan lemah ini hendaklah hanya memuja kepada-Nya, berdoa kepada-Nya dan buat ibadat kepada-Nya sahaja.

Janganlah kita puja, doa dan buat ibadat kepada makhluk yang lain bersama dengan Allah SWT. Banyak masyarakat Islam kita, puja, doa dan buat ibadat kepada Allah SWT tetapi dalam masa yang sama, mereka pun puja, doa dan buat ibadat kepada entiti lain juga.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan