Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Sentuh Kulit Batal Wuduk – Pandangan Mazhab

Sentuh Kulit Batal Wuduk – Pandangan Mazhab

4128
0
Iklan

Boleh ke kita menggunakan mazhab Maliki dan Hanafi ketika kita menyentuh isteri tidak batal wuduknya?

Untuk mengamalkan sesuatu hukum feqah di dalam mazhab lain selain daripada Mazhab Syafie perlulah kita mengetahui nas dan dalil yang digunakan oleh mazhab lain sahih atau pun tidak. Untuk para ulama yang mampu menggali ilmu-ilmu feqah dari keempat- empat mazhab mereka boleh membuat pemilihan.

Dalam masalah ini para ulama berbeza pendapat kepada 3 golongan:

1. Berpandangan menyentuh atau bersentuhan antara lelaki dan wanita (termasukk suami dan isteri) membatalkan wuduk dalam apa keadaan sekalipun, sama ada sentuhan itu berserta syahwat ataupun tidak. Inilah pandangan mazhab al-Imam al-Syafie r.a..

Dalilnya mazhab pertama antaranya:

i- Ayat al-Quran:

أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء

Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wuduk.

2. Berpandangan menyentuh wanita tidak membatalkan wuduk sama ada sentuh dengan syahwat ataupun tidak. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi r.a..

Dalil mazhab kedua antaranya:

1. Hukum asal orang yang berwuduk adalah kekal wuduknya selama-mana tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wuduknya. Maka dalam bab menyentuh wanita ini tidak ada dalil yang menunjukkan ia membatalkan wuduk. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam erti kata kulit dengan kulit semata-mata.

Selain itu terdapat hadis yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wuduk, dan hadis-hadis ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jima’ atau bersetubuh. Hadis-hadis tersebut ialah:

1. Daripada ‘Aisyah r.’anha:

كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا

Maksudnya: “Aku pernah tidur di hadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu aku pun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)

iii. Daripada ‘Aisyah juga:

فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tangan ku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.” (HR Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah r.ha. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah r.ha. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wuduk baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Para ulama dari mazhab al-Syafie mengemukakan jawapan terhadap hadis ini. Namun jawapan mereka dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, iaitulah mereka berpendapat barangkali sentuhan yang berlaku antara Nabi S.A.W. dan ‘Aisyah itu berlaku dengan berlapik. Alasan ini dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, sehingga al-Syaukani berkata: “Takwilan ini merupakan takalluf dan bersalahan dengan zahir (dalil).”

Berpendapat bersentuhan antara lelaki dan perempuan dengan syahwat membatalkan wuduk jika tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk. Ini adalah mazhab Malik dan Hambali. Bersyarat, iaitu terbatal wuduk jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wuduk. Ini adalah pendapat mazhab Hambali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah. Pendapat ini juga berdasarkan hadis-hadis Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wuduk.

Perkataan “Ghamazni” dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.

Pandangan ini merupakan hasil daripada menggabungkan antara nas-nas yang ada dalam masalah ini, iaitu ayat al-Quran yang bermaksud: “Atau apabila kamu menyentuh wanita (kamu perlu berwuduk)” kerana zahir ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wuduk dengan hanya bersentuhan antara lelaki dan wanita, dengan hadis-hadis yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi dan ‘Aisyah, dan baginda tidak memperbaharui wuduk.

Sebahagian ulama, terutama yang berpendapat tidak batal wuduk dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita berpendapat, cara menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hambali ini benar jika ayat al-Quran di atas memaksudkan dengan bersentuhan itu adalah semata-mata bersentuhan antara kulit. Akan tetapi terdapat pentafsiran yang sahih yang menunjukkan ayat tersebut memaksudkan jima’ atau bersetubuh bukan semata-mata bersentuhan. Ini seperti yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a. dan pentafsiran ini dipilih oleh Ibn Jarir, dan pentafsiran Ibn ‘Abbas ini didahulukan berbanding pentafsiran lain, kerana Nabi S.A.W. pernah berdoa kepada Ibn ‘Abbas dengan doa baginda yang berbunyi:

اللهم فقّهه في الدين وعلمّه التأويل

Maksudnya: Ya Allah fakihkanlah ia (Ibn ‘Abbas) dalam hal-ehwal agama dan ajarkanlah dia tafsir (al-Quran).” (HR Ahmad, al-Albani telah mensahihkan hadis ini di dalam Tahkik al-Tohawiah)

Selain itu banyak ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh (المس) dengan maksud jima’ atau bersetubuh, antaranya firman Allah S.W.T.:

لاَّ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاء مَا لَمْ تَمَسُّوهُنُّ أَوْ تَفْرِضُواْ لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: “Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 236)

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ

Maksudnya: “Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (Surah al-Baqarah ayat 237)

Di dalam ayat yang lain lagi Allah berfirman dengan menggunakan kalimah menyentuh dengan maksud bersetubuh:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ahzab ayat 49)

Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wuduk dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita. Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dan ulama semasa seperti al-Syeikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, para ulama dari Lujnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama yang lain lagi.

Sebahagian ulama mazhab Syafie berpendapat sentuhan di antara lelaki dan wanita tanpa syahwat adalah tidak batal wuduk, pendapat ini di terima oleh Majils Fatwa Tabung Haji Malaysia untuk jemaah haji yang bertawaf di Kaabah.

Wallahu a’lam.

 

Komen dan Soalan