Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ma’un – Pengenalan dan Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Ma’un – Pengenalan dan Ayat Pertama

8569
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ma’un

Maksud: Pemberi Pertolongan

Surah ke: 107 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 17 )

Bilangan ayat: 7

Kategori: Makkiyyah (ayat Pertama hingga ke-3), Madaniyyah (ayat ke-4 hingga ke-7

Nama lain : Surah Ad-Din

Pengenalan:

1. Di dalam surah Quraisy telah diberikan arahan kepada Musyrikin Mekah untuk menghambakan diri mereka kepada Tuhan Baitullah.

Manakala surah ini pula, Allah SWT menceritakan perkara / sifat berlawanan dengan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

2. Salah satu golongan yang ditindas di Mekah waktu itu adalah anak yatim. Mereka tidak memiliki kuasa dan tidak dapat mempertahankan diri mereka kerana tiada penaung di dalam masyarakat.

Pada masa itulah, Allah SWT menurunkan surah ini.

3. Ada yang berpendapat bahawa surah ini terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang mengatakan bahagian kedua surah ini (dari ayat ke-4) memperkatakan tentang golongan munafik serta diturunkan di Madinah.

Sedangkan bahagian pertama (ayat pertama hingga ke-3) diturunkan di Mekah.

Tiada sebab khusus mengapa surah ini diturunkan berasingan sama seperti surah lain yang terdapat ayat penurunan Makkiyahh / Madaniyyah dalam satu surah.

Cuma, kita boleh mengambil iktibar:

1. Peringatan di awal surah tidak termaktub kepada penduduk Mekah sahaja, tetapi turut relevan di Madinah (dan hingga ke zaman ini).

2.  Hubung kait yang kuat, kisah pendustaan agama berkaitan anak yatim dengan asbab lalai dalam ibadah (akan kita jumpa pada ayat-ayat yang seterusnya nanti).

3.  Dalam surah-surah sebelum ini telah banyak diberikan hujah-hujah mengenai kebenaran agama Islam. Tetapi masih ramai lagi manusia yang menolaknya.

Maka dalam ayat pertama surah ini Allah SWT mengingatkan dengan ayat :

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ

Sudah kah kamu melihat (orang) yang mendustakan agama?

Suatu pendustaan terhadap agama, iaitu mereka yang mengaku Islam, tetapi tidak memperlakukan yang terbaik kepada anak yatim.

Perbahasan mengenai definisi anak yatim ini luas. Ringkasannya:

1. Di Malaysia :

– Anak yang kematian ibu/bapa atau keduanya

– Anak yang kehilangan penjaga (tidak kira hidup atau mati)

– Anak yang tidak mempunyai penjaga yang mampu (meski penjaga masih hidup)

2. Umumnya, Islam melihat bahawa anak yatim itu adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Ini dijelaskan sendiri oleh Nabi SAW yang mana telah bersabda:

لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ

Maksudnya: Tidak ada keyatiman setelah baligh [ Riwayat Abu Daud (2873). Dinilai Sahih oleh Al-Albaani ].

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa yang dinamakan anak yatim itu adalah mereka yang kehilangan bapa dan belum mencapai umur baligh. Sekiranya telah mencapai umur baligh, maka penggunaan istilah yatim tidak digunakan kepada mereka.

Terdapat juga pendapat yang kuat dalam kitab-kitab fiqh, mengatakan “jika anak tersebut kehilangan ibu/bapa, TETAPI mempunyai wali (penjaga) yang mampu maka ia terkeluar dari istilah yatim. Piatu itu tambahan dalam bahasa Melayu, merujuk kepada ketiadaan kedua-duanya (ibu/bapa).

Tafsir Ayat Pertama:

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ

Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

Allah SWT sedang berkomunikasi dengan Rasulullah SAW kerana DIA menggunakan ‘ت’ dalam kalimah أَرَأَيتَ.

Seolah-olah Allah SWT mengkhabarkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan “menceritakan” mengenai perangai mereka (orang Quraisy) yang buruk.

Ini adalah ayat Zajrun (ancaman). Allah SWT menegur perbuatan mereka yang mendustakan ajaran-ajaran agama. Ini berlaku apabila agama memberitahu mengenai kebaikan, tetapi mereka tidak mengejar kebaikan.

Dari bahasa yang digunakan, Allah SWT sedang memuji Rasulullah SAW dan akhlak baginda, dibandingkan dengan Musyrikin Mekah. Kerana itu Allah SWT seolah-olah “mengajak” Baginda untuk melihat keburukan yang dibuat oleh orang Quraisy.

Kalimah

أَرَأَيتَ

Adakah engkau lihat?

Ia merujuk kepada Nabi Muhammad SAW yang sedang melihat apa yang dilakukan oleh kaum Quraisy. Baginda melihat sendiri bagaimana mereka melakukan keburukan dalam hal agama dan hal kemanusiaan.

Mereka menipu dalam agama dan mengherdik anak yatim (akan disebutkan dalam ayat-ayat selepas ini).

Dalam surah Al-Ma’un, uslub (cara firman) ini digunakan oleh Allah SWT untuk menetapkan keyakinan kepada baginda, memberi semangat, memuji usaha dan akhlak baginda.

Siapakah orang yang dimaksudkan dengan pendusta agama?

Ada dua pendapat tentang siapakah mereka:

Pertama : Ia merujuk kepada seseorang yang khusus,

(Mungkin A’as bin Wa’il, Akhnas bin Shuraiq, dan ada juga yang mengatakan ia berkenaan Abu Lahab).

Selepas ini juga akan disebut mengenai kisah Abu Lahab yang juga menjadi penjaga harta baitulmal dan sepatutnya dialah yang mengeluarkan wang untuk membantu orang yang lemah.

Kedua : Ia disebut secara umum / bukan merujuk orang yang tertentu.

Sesiapa sahaja yang kena dengan sifat itu, merekalah yang dimaksudkan. Apabila Allah SWT menyebut secara umum, maka sesiapa sahaja boleh termasuk dengan kecaman Allah SWT itu. Maka sesiapa sahaja yang ada sifat itu, mereka sendiri akan terasa.

Maka setiap kali melihat keburukan, patut rasa bersyukur sebab kita masih diberi iman dan petunjuk Allah SWT di jalan kebenaran bukan mengutuk hingga terjebak sifat “merasa lebih baik”.

Kita mempelajari sifat-sifat ini untuk semak diri kita dan juga semak orang lain jika kita seorang pemimpin (ketua keluarga dan lain-lain), kemudian membawa kepada langkah kebaikan. Kita juga boleh semak agar “berhati-hati” dengan orang sekeliling kita.

Keperluan semak orang lain adalah untuk membawa kepada langkah kebaikan. Selebihnya dari tu, maka adalah lebih baik kita berdiam diri dan doakan kesejahteraan sebab kelak di hadapan Allah SWT, untung nasib kita pun belum tahu.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارً

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka” [ At-Tahrim: 6 ].

Dalam ayat ini, Allah SWT berfirman:

الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ

Mereka yang “mendustakan” agama

Ini tidak sama dengan sebutan:

الّذي يَكفُر بِالدّينِ

(mereka yang ‘kufur’ dengan agama).

Mereka dikatakan: menipu tentang agama (bukan kufur dengan agama) yakni mereka menolak apa kata hati mereka dan tetap juga menolak kebenaran. Sedangkan mereka tahu akan kebenaran yang dikatakan itu..

Kalimah

يُكَذِّبُ

Dalam fi’il mudhari’ (present tense).

Dari segi balaghah, ini bermaksud orang itu sentiasa menipu tentang agama,

(kerana apabila dalam bentuk fi’il mudhari’, ia memberi isyarat : berterusan)

Seseorang yang berpegang kepada agama Islam tetapi tidak menjalankan tugas sebagai seorang Muslim juga boleh dikatakan sebagai pendusta kepada agama.

Ada nisbah berat masing-masing antara kufur dan dusta:

1. Kufur : langsung tidak percaya

2. Dusta : percaya tetapi tidak mahu ikut

Ibrah dan Kesimpulan:

1. Surah ini adalah mengenai kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh Quraisy. Punca masalah itu ialah kerana mereka tidak percaya kepada Hari Pembalasan di akhirat kelak.

Mereka tidak percaya bahawa segala perbuatan mereka di dunia ini akan dibalas di akhirat kelak. Oleh itu mereka tidak takut untuk melakukan kekejaman dan dosa.

2.  Saranan untuk melihat / memerhatikan sifat pendustaan agama bukanlah untuk mencari kesalahan atau keburukan orang yang melakukan tetapi ia adalah untuk diinsafi agar tidak berlaku dalam perbuatan kita pula.

3.  Sesungguhnya pendustaan agama boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati agar tidak melakukan amal buruk yang terkandung dalam surah ini.

Orang Quraisy menolak untuk mempercayai hari Pembalasan adalah kerana:

1. Kesombongan untuk mempercayai cakap orang lain.

2. Nenek moyang mereka yang mengajarkan demikian.

3. Cintakan dunia. Sifat orang yang percayakan akhirat, akan perlahan-lahan hilang cinta terhadap dunia.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan