Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-47 dan Ke-48

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-47 dan Ke-48

356
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-47

Ini adalah dalil Aqli Ilmi – hanya Allah SWT sahaja yang tahu segala perkara ghaib, maka kenalah kita sembah dan seru Dia sahaja.

Seperti telah disebut sebelum ini, Surah Fussilat ini mengajar kita untuk berdakwah kepada manusia. Dalam kita berdakwah itu, akan ada sahaja yang akan bertanya bilakah akan terjadinya hari Kiamat? Maka, Allah SWT ajar kita bagaimana hendak menjawab soalan sebegitu.

۞ إِلَيهِ يُرَدُّ عِلمُ السّاعَةِ ۚ وَما تَخرُجُ مِن ثَمَراتٍ مِن أَكمامِها وَما تَحمِلُ مِن أُنثىٰ وَلا تَضَعُ إِلّا بِعِلمِهِ ۚ وَيَومَ يُناديهِم أَينَ شُرَكائي قالوا آذَنّاكَ ما مِنّا مِن شَهيدٍ

Kepada (ilmu pengetahuan) Allah SWT jua lah kembalinya soal mengetahui masa datangnya hari kiamat; dan (demikianlah tiap-tiap apa yang akan berlaku, kerana) sebiji buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya, dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan (pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah SWT. Dan pada hari Tuhan menyeru mereka (yang musyrik, dengan bertanya kepada mereka): “Mana dia makhluk-makhluk yang kamu sifatkan menjadi sekutu-sekutu-Ku?” Mereka menjawab: “Kami mengakui kepada-Mu (wahai Tuhan kami), bahawa tidak ada di antara kami seorang pun yang mahu menjadi saksi (kerana anggapan kami dahulu telah nyata salahnya)!”

إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ

Kepada Allah SWT sahaja kembalinya semua ilmu tentang Kiamat;

Apabila susunan perkataan dalam Al-Quran itu dalam bentuk yang abnormal, seperti dalam ayat ini, ia hendak membawa maksud eksklusif – bermakna, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Maksudnya, tidak ada sesiapa lagi yang tahu bilakah akan terjadinya hari kiamat itu. Susunan yang normal dalam bahasa Arab adalah begini: يُرَدُّ إِلَيْهِ عِلْمُ السَّاعَةِ. Tetapi Allah SWT susun ayat ini begini: إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ.

Itulah maksudnya, susunan ayat ini adalah dalam bentuk yang abnormal. Apabila susunan dalam bentuk yang abnormal, bermaksud ada makna yang hendak disampaikan seperti yang kita telah sebut di atas.

Bilakah terjadinya hari kiamat itu tidak diberitahu kepada Nabi Muhammad SAW, Jibrail atau sesiapa pun. Yang pasti, ia akan berlaku, cuma tidak diketahui bilakah ia akan terjadi.

Kalau orang tanya kepada kita bila kiamat, kita kena jawab, ‘hanya Allah SWT yang tahu’ kerana ia adalah dalam ilmu Allah SWT. Dan begitulah juga jawapan Nabi Muhammad SAW kalau ditanya tentang perkara ini.

Maksudnya, ilmu yang penuh tentang Hari Kiamat itu, Allah SWT sahaja yang tahu, kita hanya tahu sedikit sahaja. Cukup buat pengetahuan kita sahaja dan apa yang Allah SWT hendak kita tahu dan tidak lebih dari itu kerana perkara ini adalah perkara ghaib, maka apa-apa sahaja maklumat tentangnya, memerlukan dalil dari nas yang sahih.

Jangan malu untuk mengaku kita tidak tahu. Mungkin kita rasa segan kalau kita tidak dapat jawab. Kita juga jangan rasa ini adalah sebagai lari dari menjawab soalan yang diberikan kepada kita. Allah SWT beri kita alasan kenapakah tidak salah kalau kita jawab begitu.

وَمَا تَخْرُجُ مِنْ ثَمَرَاتٍ مِنْ أَكْمَامِهَا

dan tidak keluar dari buah-buah dari kelopaknya

Ini adalah kerana memang banyak benda dalam dunia ini yang kita tidak tahu. Bukan tentang hari kiamat sahaja kita tidak tahu.

Sebagai contoh, tentang buah-buahan yang membesar dalam kelopaknya. Tidaklah yang tahu berapa banyak dan apa yang keluar dari kelopak tanaman itu melainkan Allah SWT sahaja.

Berapa banyak buah yang akan keluar, kita tidak tahu. Kita hanya boleh agak-agak sahaja dan tidak ada maklumat yang tepat dan penuh tentangnya. Jadi, tidak boleh kita kata buah akan banyak keluar dari pemerhatian kita.

Kita tidak tahu bilangan buah yang akan keluar itu. Bunga dari buah itu mungkin nampak banyak. Tetapi berapa banyak buah yang akan keluar itu ditentukan oleh Allah SWT dan Dia sahaja yang tahu berapa banyak akan keluar. Walaupun kita nampak banyak dan kita sangka akan banyak buah.

Kita juga tidak tahu apakah buah yang kita beli di pasar itu manis atau tidak. Kita ketuklah buah itu macam mana pun, kita cuma boleh agak sahaja sebab pengetahuan kita terhad. Yang pasti tahu hanyalah Allah SWT sahaja.

Kita tidak perlu tahu pun. Jadi tidak perlu malu kalau kita tidak tahu. Petani yang menanam buah-buahan itu pun tidak tahu apakah buah yang mereka tanam itu akan jadi baik atau tidak, manis atau masam. Namun, mereka terus tanam juga.

وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنْثَىٰ

dan apa yang dikandung oleh betina

Seorang perempuan tidak tahu hal kedudukan anak yang dikandungnya itu. Ibu itu tidak tahu bagaimanakah keadaan anaknya itu. Anak yang akan lahir itu, kita tidak tahu akan jadi macam mana. Cantikkah, sihatkah, pandaikah dan sebagainya, kita tidak tahu.

Allah SWT sahaja yang tahu. Bila akan lahir pun hanya Allah SWT yang tahu. Doktor cuma boleh agak sahaja dengan menggunakan segala mesin dan pengetahuan serta pengalamannya.

Disebut dalam ayat ini perkataan أُنْثَىٰ yang bermaksud ‘betina’, kerana bukanlah yang mengandung itu dari jenis manusia sahaja, tetapi dari semua jenis betina. Kambing betina, lembu betina dan sebagainya yang sedang mengandung. Itu pun kita tidak tahu juga bagaimana anak-anak itu akan lahir.

وَلَا تَضَعُ إِلَّا بِعِلْمِهِ

dan tidak dilahirkan, melainkan dengan pengetahuan-Nya;

Kita pun tidak tahu sama ada anak yang akan dilahirkan itu lelaki atau perempuan kecuali doktor telah ‘scan’, dia boleh nampak anggota, dia boleh agak lelaki atau perempuan yang akan keluar dari kandungan itu. Masa mula mengandung, doktor sendiri pun tidak tahu. Bila telah besar sedikit kandungan itu, baru doktor boleh cuba agak.

Boleh jadi syirik kalau kita kata kita tahu. Kita tidak boleh kata: ‘dalam firasat saya, akan keluar anak lelaki ini’, dan kata-kata sebegitu. Dia tidak boleh kata ‘mesti’. Kalau dia kata ‘Insya Allah’, boleh lagi.

Walhal, doktor dengan segala peralatan pun boleh agak sahaja. Berapa banyak perempuan mengandung yang diberitahu oleh doktor bahawa anaknya itu nanti adalah anak lelaki, tetapi apabila lahir, rupanya anak perempuan.

Ini semua adalah hendak memberitahu tentang ilmu Allah SWT. Allah SWT sahaja yang maha tahu dengan sempurna. Kita sebagai manusia tidak tahu tentang perkara-perkara ghaib melainkan apa yang Allah SWT telah beritahu sahaja.

Siapa yang kata dia tahu perkara-perkara ini, dia telah melakukan ‘syirik dalam ilmu’ kerana dia seperti mengatakan dia ada kuasa Allah SWT pula. Itu adalah syirik kerana menduakan sifat Allah SWT.

Allah SWT sahaja yang ada sifat itu tetapi kita pula kata ada makhluk lain yang tahu. Jadi, kena berhati-hati dalam kata-kata kita. Jangan kita sampai kata perkara yang boleh menyebabkan syirik pula.

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ

Dan pada hari diseru (orang-orang musyrikin) itu;

Ini adalah Takhwif Ukhrawi (ancaman akhirat). Ini adalah kejadian di Mahsyar.

Mereka akan diseru dengan kuat, di khalayak ramai supaya semua orang boleh dengar. Apakah seruan itu?

أَيْنَ شُرَكَائِي

Mana dia sekutu-sekutu Aku?

Allah SWT tanya itu kerana hendak menghina.

Kalau orang Kristian, Tuhan tanya: mana dia Nabi Isa?

Kepada orang Hindu, mana dia berhala-berhala kamu dulu? Mana dia?

Huraian ayat ini duduk di dalam surah [ Yunus: 28 ].

Maknanya, sekutu-sekutu itu adalah Nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat.

Ada yang mengadakan majlis-majlis tertentu, amalan beri salam kepada mereka, seru mereka, sedekah Al-Fatihah kepada mereka. Itulah seruan yang syirik.

Bila belajar tafsir Al-Quran, baru tahu bahawa setiap satu yang diseru itu adalah jin belaka.

Kerana nabi, wali malaikat tidak terima pun salam atau seruan yang manusia beri kepada mereka.

Rupanya kita berikan salam kepada jin-jin selama hari ini. Belajar tafsir baru tahu.

Apakah jawapan puak musyrikin itu?

قَالُوا آذَنَّاكَ مَا مِنَّا مِنْ شَهِيدٍ

Mereka berkata: kami memperdengarkan kepada Kamu bahawa tidak ada antara kami ini yang akan menjadi saksi

Mereka telah mula bohong kepada Allah SWT. Mereka tidak mahu mengaku. Sekarang mereka tidak mengaku yang mereka dulu buat syirik, seru selain dari Allah SWT. Mereka kata, tidak akan ada saksi yang akan kata mereka pernah buat. Mereka sangka mereka boleh tipu Allah SWT.

Ataupun, boleh jadi ayat ini bermaksud: mereka yang diseru oleh musyrikin itu tidak akan menjadi saksi bahawa mereka dulu suruh puak-puak musyrik itu puja mereka dahulu. Mereka tidak pernah suruh dan mereka tidak pernah dapat pujaan dari mereka dulu.

Sia-sia sahaja amalan syirik seperti beri salam, hadiah Al-Fatihah, seruan dalam qasidah dan sebagainya itu.

Pernahkah Nabi suruh buat qasidah untuk baginda? Tentu tidak. Baginda suruh selawat sahaja. Apa tidak cukupkah dengan selawat itu sampai hendak ‘Ya Hanana’ pula?

Ataupun bermaksud, mereka pada hari itu tidak bersaksi, tidak mengaku yang Allah SWT ada sekutu.

Waktu itu telah jelas nyata bahawa kekuasaan penuh hanya ada pada Allah SWT sahaja, mana mungkin ada yang berani mengaku ada sekutu bagi Allah SWT?

Ataupun kita boleh kata, pada hari itu tidak nampak pun sembahan-sembahan mereka itu, pujaan-pujaan mereka itu.

Mereka yang telah buat salah semasa di dunia mengharap semoga mereka diberi bantuan tetapi mereka yang diharapkan tidak nampak pun batang hidung mereka.

Jadi kita boleh lihat ada beberapa tafsir tentang perkara ini. Semua makna-makna yang disebut di atas boleh digunakan.

Tafsir Ayat Ke-48

Ayat ini adalah penolakan kepada fahaman adanya Syafaat Qahriyah. Syafaat Kasih Sayang iaitu kalau kita seru roh yang Allah SWT sayang, maka kita akan selamat.

Fahaman ini adalah salah kerana percaya yang Allah SWT akan memberi pengampunan kerana gerun atau malu pada seseorang.

Oleh kerana ada fahaman salah ini, ada yang memuja dan menyeru kepada Ilah seperti Nabi, wali dan malaikat kerana mereka sangka kalau mereka baik dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah SWT segan hendak kenakan azab kepada mereka.

وَضَلَّ عَنهُم ما كانوا يَدعونَ مِن قَبلُ ۖ وَظَنّوا ما لَهُم مِن مَحيصٍ

Dan (pada saat itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka sembah dahulu (yang diharapkan pertolongannya), dan yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri (dari azab seksa).

وَضَلَّ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَدْعُونَ مِنْ قَبْلُ

Hilang dari mereka apa yang dulu mereka seru kepadanya;

Dulu Nabi-nabi, wali-wali, malaikat yang pernah mereka seru tidak mengaku belaka yang mereka pernah suruh mereka disembah.

Yang menyeru sangka kan bahawa entiti-entiti yang mereka seru itu akan memberi pertolongan kepada mereka di akhirat kelak, tetapi tidak.

Mereka tidak ada yang akan menolong. Tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka. Hilang lenyap dari mereka.

وَظَنُّوا مَا لَهُمْ مِنْ مَحِيصٍ

Maka yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri

مَحِيصٍ bermaksud satu tempat yang menyelamatkan kita dari bahaya. Dalam dunia, kalau kita kena kejar, mungkin ada tempat untuk lari dan berlindung. Tetapi di akhirat tidak akan ada tempat seperti itu.

Mereka tidak akan dapat melepaskan diri lagi. Mereka sendiri telah nampak. Mereka sendiri telah tahu nasib mereka.

Kalau di dunia, manusia boleh cari jalan keluar untuk melarikan diri. Macam kita tengok filem aksi, ada sahaja jalan keluar walaupun musuh telah kepung keliling mereka. Tidak ada jalan keluar apabila di akhirat kelak.

Apabila tidak ada sembahan mereka yang membantu mereka di akhirat itu, mereka tahu mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari neraka.

Ini kerana akidah mereka yang salah. Kalau mereka hanya melakukan amalan salah, masih ada harapan lagi untuk keluar dari neraka. Hatta kalau salah bunuh orang pun, ada harapan hendak masuk syurga lagi. Tetapi kalau akidah salah, buat amalan yang syirik, maka tidak akan ada harapan lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan