Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Humazah – Pengenalan dan Tafsir Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Humazah – Pengenalan dan Tafsir Ayat Pertama

18539
0
Iklan

Tafsir Surah Al Humazah

Maksud: Pengumpat

Surah ke: 104 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 32 )

Bilangan ayat: 9

Kategori: Makkiyyah

33 kalimat, 134 huruf.

Pengenalan

Dalam surah ini, Allah SWT hendak memberitahu bahawa orang yang memuja dunia akan dimasukkan ke dalam neraka juga akhirnya.

Ulama tafsir mengatakan, tidak ada lagi penjelasan yang lebih menakutkan tentang neraka, berbanding surah ini. Ini kerana Allah SWT menyebut dalam surah ini dengan lafaz “Naarullah” [ yang bermaksud : Api Allah SWT ]

Di dalam surah-surah lain, selalunya Allah SWT menyebut “Naaru Jahanam” (Api Neraka Jahannam) atau lain-lain nama yang digunakan. Tetapi apabila Allah SWT mengaitkan api itu dengan Diri-Nya (dalam surah ini), ianya memberi isyarat bahawa api itu dinyalakan sendiri oleh Allah SWT!

Api yang kita buat tentunya tidak sama dengan api yang dibuat oleh Allah SWT. Oleh itu, ini adalah sesuatu perkara yang amat dahsyat!

Allah SWT memberi penekanan mengenai neraka dengan kuat dalam surah ini, kerana ini adalah surah terakhir di dalam turutan Al-Quran yang menyebut mengenai akhirat dan neraka.

Manakala surah-surah selepasnya, tidak lagi membincangkan mengenai akhirat. Oleh itu, sesuai perbincangan yang terakhir, maka Allah SWT berikan peringatan yang paling menakutkan.

1. Api yang “special” dari Allah SWT kepada kaum yang ingkar.

2. Api yang lebih dahsyat dari neraka yang lain.

3. Api yang kekal dan lama seksaannya.

Tafsir Ayat Pertama:

وَيلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

وَيلٌ

Bermaksud : kemusnahan / kecelakaan.

Asal kalimah ini adalah وَي sahaja (tanpa ل) yang juga bermaksud ‘kemusnahan’. Akan tetapi selalunya ditambah dengan ل yang bermaksud ‘untuk’ seperti وَيلَكَ [kemusnahan untuk kamu].

Disebabkan penggunaannya selalu ditambah huruf ل , maka kalimah ini terus memakai ل menjadi sebutan “Wail”.

Kalimah ini digunakan apabila seseorang itu sangat marah dan kecewa. Di dalam surah Al-Humazah ini, Allah SWT kecewa dengan kerakusan manusia yang ada harta tetapi tidak membelanjakannya untuk kebaikan, yakni untuk jalan Allah SWT dan untuk orang yang memerlukan bantuan.

Mereka hanya menumpukan perhatian dan usaha mereka untuk mendapatkan lebih harta. Oleh itu bagi mereka itu, Allah SWT menjanjikan kecelakaan (Wail). Terdapat satu lagi surah yang dimulai dengan وَيلٌ iaitu surah Al Mutaffifin.

Persamaan kedua-duanya ialah mengenai orang yang mempunyai perangai yang buruk, kerana tamak.

وَيلٌ

Juga boleh bermaksud perasaan menderita – ini adalah kerana mereka yang diperkatakan dengan sedemikian rupa, hati mereka akan menderita kerana mereka diperlakukan dengan sedemikian.

Ada juga pendapat yang mengatakan : bermaksud satu bahagian di dalam neraka.

Fakta yang lain, kalimah :

وَيلٌ

Digunakan sebanyak 27 kali di dalam Al-Quran, DAN terdapat 10 kali penggunaan dalam Surah Mursalaat.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَنْ تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۚ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah SWT sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.(Ali ‘Imran – 116)

لِكُلِّ

Bermaksud : Semua mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ

Kalimah

هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ

Bermaksud perbuatan itu selalu dilakukan. Adalah dalam wazan فُعَلَ . Kedua-dua kalimah hampir dekat sebutannya, berkebetulan maksud dan maknanya juga adalah hampir serupa.

Ibnu Abbas mengatakan:

Humaza : Bermaksud belakang

Lumaza : Berhadapan muka.

Yang kita boleh fahami iaitu :

Humazah : Mengumpat (mengata di belakang)

Lumazah : Mengutuk atau mencerca di hadapan

Dalam Tafsir Ibn Kathir pula, disebut:

al-Hammaz : melalui ucapan

al-Lammaz : melalui perbuatan

Dari sudut pandangan apa sekali pun, kita dapat memahami bahawa kedua-dua (Humazah atau Lumazah) ini adalah berkaitan menyinggung atau mengguris perasaan saudara yang lain.

Oleh yang demikianlah, kita dapat mengetahui, kenapa Allah SWT memberi amaran dengan kalimah “Wail” di awal surah lagi.

Ini antara rahmat Allah SWT yang mempertahankan hambanya yang tidak berdosa. Cuma berbalik kepada insan tersebut sama ada benar-benar dia menjaga dirinya agar tidak terjebak dengan umpatan yang dimaksudkan orang lain.

Mereka yang benar-benar dalam kebenaran tetapi diumpat tidak perlu risau dan sedih. Dari surah ini memperlihatkan betapa Allah SWT membela orang yang dizalimi. Terdapat hadis bahawa orang yang zalim mendapat kelebihan seperti sabda Nabi SAW:

Hadis dari Anas r.a , Rasulullah SAW bersabda:

اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب

Hendaklah kamu berwaspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh Allah SWT.”

[HR Ahmad – sanad hasan]

Dan ingatlah, kalau ia janji Allah SWT, maka janji Allah SWT itu adalah sesuatu yang patut ditakuti. Maka janganlah kita termasuk ke dalam golongan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ.

Berhati-hatilah dengan percakapan kita.

Kadang-kadang kita buat lawak dan tidak sangka yang perkara itu adalah perkara yang besar, tetapi belajarlah apa yang Allah SWT katakan dalam ayat ini.

Allah SWT berfirman dalam [ Hujurat: 11]:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا يَسخَر قَومٌ مِن قَومٍ عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِنهُم وَلا نِساءٌ مِن نِساءٍ عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِنهُنَّ ۖ وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم وَلا تَنابَزوا بِالأَلقابِ ۖ بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمانِ ۚ وَمَن لَم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela diri mu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Apabila diletakkan ة (ta marbutah) pada kalimah :

هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ

Ia menunjukkan sesuatu yang “banyak”. Membawa maksudnya: Ramai orang yang melakukan “Humazah dan Lumazah” iaitu kutukan dan celaan kepada orang lain. Juga bermaksud ia bukan sekali sekala sahaja.

Ibrah dan Kesimpulan :

1. Surah Al-Humazah ini memberikan gambaran bahawa Allah SWT mengajarkan hamba-Nya yang beriman agar menjaga tata-tertib sesama manusia.

Lalu memberikan gambaran keindahan Islam yang lengkap dalam semua aspek kehidupan.

2.  Dari peringatan yang terdapat dalam muqaddimah surah Al-Humazah : Dapat kita ketahui bahawa menjaga hubungan sesama manusia juga termasuk daripada tuntutan iman.

Maka amatlah tidak wajar bagi mereka yang ingin beramal dengan cara Al-Quran dan Sunnah namun meninggalkan akhlak yang diwahyukan Allah SWT dalam kitab Al-Quran dengan mengumpat mahupun mengutuk orang lain.

3.  Sesungguhnya peringatan mengenai Humazah dan Lumazah ini sangat keras. Tetapi zaman hari ini, ramai manusia yang menganggap ia normal dan menjadi gelak tawa. Seolah-olah “bahan-membahan” atau “gossip” yang ada hari ni menjadi suatu perkara yang indah dan halal di sisi Allah SWT.

Maka hendaklah kita mengambil peringatan dan bertaubat dari melakukan perkara yang mungkar ini.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan