Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

2795
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Qari’ah

Perbincangan sebelum ini, kita telah membincangkan:

1. Muqaddimah surah Al-Qari’ah serta kaitan antara surah yang sebelum.

2. Maksud Al-Qari’ah serta gambaran kedahsyatan kiamat yang Allah SWT tunjukkan.

3. Hikmah di sebalik gaya bahasa Allah SWT iaitu satu amaran keras dari Allah SWT berkaitan kiamat.

Maka pada ayat yang seterusnya ini, kita akan menyambung lagi peristiwa yang berkisar tentang hari kiamat ini.

Tafsir Ayat Ke-4:

يَومَ يَكونُ النّاسُ كَالفَراشِ المَبثوثِ

“Pada hari itu manusia adalah seperti kelkatu yang bertebaran”,

النّاسُ

Allah SWT menggunakan kalimah “An-Nas” dalam ayat ini untuk merujuk bahawa keadaan itu berlaku kepada seluruh manusia.

Kalimah manusia dalam ayat yang lain, ada kalanya Allah SWT menggunakan kalimah :

الإِنسانَ

Contoh seperti di dalam surah Al-Aadiyat sebelum ini:

إِنَّ الْإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ

“Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya”.

Oleh itu, kita boleh jelas melihat dua kalimah ( An-Nas dan Al-Insan ) mempunyai maksud yang sama ( MANUSIA ) tetapi merujuk kepada dua keadaan berbeza, iaitu:

1. An-Nas [ dalam surah Al-Qari’ah ini ] : Bila kejadian tersebut terjadi kepada semua manusia ( pasti semua manusia melalui hari kebangkitan ).

2. Al-Insan [ dalam surah Al-A’diyat ] : Hanya sebahagian manusia yang tidak bersyukur. Masih ada sebilangan kecil manusia yang bersyukur.

Akan tetapi saya ingatkan, ia tidak mutlak atau muktamad semestinya begitu. Akan tetapi kita hanya membincangkan kelazimannya.

الفَراشِ

Bermaksud anai-anai, pepijat atau kelekatu.

Sifat makhluk ini pada hidup biasa kita, akan dilihat ia berterbangan tidak tentu arah. Melanggar lampu bila dipasang. Seolah-olah mencari cahaya untuk selamat.

Begitulah Allah SWT hendak memberi gambaran mengenai perihal manusia apabila bangkit dari kubur yang sekian lama berada dalam kegelapan.

Bahawa manusia akan menjadi kelekatu-kelekatu itu yang akan bertempiaran bergerak ke sana dan ke sini, dalam semua arah.

مَبْثُوث

berpecah, ke sana dan ke sini, tidak ada arah tujuan.

Itulah gambaran bagi kita apabila bangkit dari kubur nanti. Sehingga keadaan mula tenang sedikit, terdapat petunjuk ( dalil ) LAIN yang menceritakan keadaan manusia tatkala hari kebangkitan ini.

Surah [ Al-Qamar ( 54 ): 7 ]

خُشَّعًا أَبْصَارُهُمْ يَخْرُجُونَ مِنَ الْأَجْدَاثِ كَأَنَّهُمْ جَرَادٌ مُّنتَشِرٌ

“(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran”.

Gambaran kedua keadaan manusia ialah seperti “Belalang”

Jika tuan/puan mengikuti kajian khusus dalam Al-Quran, dua dalil ini sering dijadikan hujah Orientalis kononnya “Al-Quran saling bertentangan kandungannya”.

Sebenarnya tiada yang bertentangan pun. Cuma Allah SWT memberikan lagi sebuah gambaran agar manusia dapat mempelajari proses yang seterusnya.

Gambaran menjadi seperti belalang bermaksud :

Keadaan manusia dah mula reda ( sebelum tu kalut macam kelekatu ). Lalu daripada kubur, manusia akan berjalan ke Mahsyar. Di sini lah ada keadaan manusia yang “terlompat sana-sini” untuk mencari di mana kah tempat PERHIMPUNAN AKHIRAT itu.

Keadaan seperti belalang itu menunjukkan, betapa ada golongan manusia yang berjalan ke pelbagai tempat, namun masih tidak menjumpai Mahsyar. Itu adalah antara penghinaan Allah SWT kepada mereka yang selama ini tidak mahu mengikuti petunjuk Allah SWT semasa hidup di dunia.

Turutannya seperti berikut: bangkit dari kubur – kemudian jalan ke mahsyar – di mahsyar akan cari syafaat dulu – kemudian di mahsyar akan dapat kitab amalan – kemudian dipanggil utk hisab ( audit kitab amalan ) – kemudian pergi ke mizan ( timbangan ) – kemudian soal jawab dengan Allah SWT ( ini lah tempat 4 soalan yang akan ditanya Allah SWT kepada kita )

 

Tafsir Ayat Ke-5:

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ المَنفوشِ

“dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan”.

العِهنِ

Benang bulu kambing biri-biri yang berbagai warna.

Dalam masyarakat Arab, bulu kambing biri-biri yang banyak digunakan bagi menggantikan kapas. Namun gambaran yang sama ialah, sifat “berterbangan” bulu atau kapas tersebut. Itu lah yang akan terjadi kepada gunung-ganang.

المَنفوشِ

Perbuatan memproses bulu biri-biri itu perlu dipukul-pukul. Apabila ini dilakukan, maka akan berterbangan bulu-bulu halus.

Bayangkan Allah SWT menyebut mengenai gunung-ganang yang kukuh dan teguh sekarang ini akan menjadi seperti bulu biri-biri yang akan berterbangan. Ini adalah kerana gunung ganang dari segala tempat yang berbagai warna itu akan berlanggaran sesama sendiri.

Ayat ini juga ada disebut dalam [ Al-Ma’arij (70) : 9 ]:

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ

dan gunung-gunung menjadi seperti bulu

  1. Semua manusia akan melalui keadaan huru hara seperti kalkatu.
  2. Tetapi ada manusia yang akan dapat pertolongan Allah SWT, segera bertenang.
  3. Begitu juga apabila melalui “fasa belalang”, ada yang terlompat lama tidak sudah ke sana ke mari.
  4. Tetapi ada manusia yang segera jumpa tempat perhimpunan Mahsyar tersebut.

Itu adalah penerangan kejadian kiamat dalam bentuk secara zahir, namun sifat gunung juga boleh diertikan sebagai “Kekuatan / Meneguhkan / Prinsip”.

Kerana itu gunung juga adalah antara ayat-ayat Allah SWT yang disarankan untuk diambil iktibar daripada kejadiannya.

Sebagaimana ia tersebut salah satu dari empat perkara yang terdapat dalam saranan Allah SWT dalam Surah [ Al-Ghasyiah ( 88 ) : 17 – 20 ].

أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ

“(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?”

وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ

“Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.?”

وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ

“Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?”

وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

“Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?”

Kita patut sedari sebenarnya sifat gunung juga patut menjadi iktibar kepada manusia. Ia kukuh, kuat dan tetap pada kedudukannya.

Bahkan, ia menjadi “nusibat” yang bermaksud pasak kepada bumi ( rujuk semula surah Al-Ghasyiah). Itulah yang sepatutnya manusia contohi. Kekuatan sepatutnya digunakan secara baik.

Perbincangan kita mengenai peristiwa akhir zaman ini, juga berkaitan dengan keruntuhan kekuatan yang ada. Sama ada individu mahupun kumpulan besar.

Dalam bahasa mudah, Allah SWT ingin mengatakan bahawa semua kekuatan akan musnah! Kemusnahan yang berlaku dengan pergeseran sesama mereka ( Al-Qari’ah = dentuman pelanggaran).

Akhir kerugian yang sama rata. Semua kekuatan akan lebur seperti debu yang berterbangan.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Semua manusia akan melalui proses yang dahsyat sejak dari dalam kubur lagi, bahkan sehingga hari kebangkitan manusia tetap akan menjadi seperti kelekatu yang sangat huru hara.

Semoga gambaran ini memberikan kita motivasi untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin menghadapi hari tersebut. ( antara Sunnah untuk melalui peristiwa Kubur ini ialah mengamalkan Surah Al-Mulk )

Kedua :

Gambaran gunung yang hancur seperti debu, adalah suatu peringatan kepada manusia agar berwaspada terhadap apa yang mereka usahakan sewaktu di atas dunia.

Ini kerana segala nikmat akan hancur umpama debu, maka berusahalah agar menjadikan ia sebagai “pahala ke akhirat” selagi mana kita masih boleh.

Ketiga :

Segala kekuatan akan hancur, yang kekal hanyalah Allah SWT. Maka sentiasalah berusaha menjadi hamba Allah SWT. Agar kita terselamat dari malapetaka kiamat.

Semoga kita insaf dan mengambil iktibar dengan peristiwa kiamat ini. Kena ingat, semua akan hancur.

Oleh itu, lembutkan hati dengan kalam Allah SWT jangan tunggu Allah SWT leburkan kekerasan hati kita itu seperti debu berterbangan.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan