Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-7

Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-7

2633
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ghafir Ayat Ke-7

Ayat ini adalah tentang orang yang sanggup menerima dan mengamalkan amalan dan fahaman tauhid dalam setiap keadaan. Ini sebenarnya bukanlah mudah kerana tentu ada ujian dan tentangan dari manusia. Menjadi orang ‘pelik’ kerana tegar di jalan sunnah dalam masyarakat yang mengamalkan budaya atok-nenek memang mencabar. Mereka yang menerima ujian itu adalah mereka yang menjalankan kerja menyampaikan wahyu Allah kepada manusia yang lain.

Jika duduk senyap tidak buat sesuatu, memang tidak akan kena ganggu, kena keji dan sebagainya. Maka, jika buat seperti yang sepatutnya, memang akan ada ujian. Duduk senyap memang senang, tetapi kita tidak buat kerjalah maknanya.

Kepada mereka yang berjaya melepasi ujian itu, mereka akan dapat doa malaikat. Allah SWT menceritakan tentang doa para malaikat ini sebagai penawar hati dan penyejuk hati kepada penyebar tauhid. Maknanya, tidak mengapalah kalau menerima ujian, kerana mendapat doa dari para malaikat.

Malaikat itu mendoakan kepada manusia yang beriman sempurna kerana apabila Allah SWT sayang kepada hamba-Nya, maka malaikat pun kena sayang juga kepada hamba itu. Mari kita baca doa malaikat untuk orang-orang mukmin:

الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ آمَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka”.

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ

“Malaikat-malaikat yang memikul Arash”.

Arash Allah SWT adalah makhluk Allah SWT yang paling besar. Tidak ada sesiapa yang tahu apakah hakikat Arash itu kecuali Allah SWT. Yang kita dapat tahu daripada ayat ini, ada malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Mereka dikenali sebagai Hamalatul Arsh. Ada lapan malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Dalam [Al-Haqqah: 17], Allah SWT berfirman,

وَالمَلَكُ عَلىٰ أَرجائِها ۚ وَيَحمِلُ عَرشَ رَبِّكَ فَوقَهُم يَومَئِذٍ ثَمانِيَةٌ

“Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhan-mu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu”.

Dalam ayat ni, disebut bagaimana pada Hari Mahsyar, ada lapan malaikat yang memikul Arash itu. Arash itu adalah ciptaan Allah SWT yang paling dekat dengan Allah SWT. Jadi, malaikat-malaikat yang memikulnya tentulah malaikat-malaikat yang hebat-hebat kerana diberikan dengan kelebihan tugas itu.

وَمَنْ حَوْلَهُ

“Dan malaikat-malaikat yang di sekeliling Arash”.

Allah SWT memperkatakan bukan sahaja tentang malaikat-malaikat yang memikul Arash tapi malaikat-malaikat yang di sekeliling Arash itu. Maknanya kita dapat tahu yang ada malaikat-malaikat yang berada berdekatan dengan Arash.

Jadi, ini semua adalah malaikat-malaikat yang terpilih. Malaikat muqarraboon. Apakah yang mereka lakukan?

يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

“mereka senantiasa bertasbih memuji Tuhan mereka”.

Mereka berterusan bertasbih dan meninggikan Allah SWT dari kata-kata makhluk yang tidak patut tentang Allah SWT. Maknanya, mereka pun berfahaman tauhid juga. Kerana mereka menidakkan segala fahaman-fahaman syirik yang dikatakan oleh makhluk yang musyrik. Mereka terus-menerus mengatakan yang Allah SWT tidak seperti sangkaan salah makhluk yang ada fahaman syirik. Mereka menegaskan yang Allah SWT tidak seperti yang disyirikkan oleh makhluk-Nya.

وَيُؤْمِنُونَ بِهِ

“dan mereka itu beriman dengan Allah SWT Taala”.

Mereka beriman benar-benar dengan Allah SWT. Mereka juga mengamalkan tauhid. Jadi, kalau makhluk-Nya yang lain tidak beriman, ada Allah SWT kisah? Tidak langsung. Kerana Allah SWT tidak memerlukan keimanan manusia. Tidak berkurang kehebatan Allah SWT kalau manusia dan jin tidak beriman. Terdapat malaikat-malaikat yang bertugas dan beribadat dan beriman kepada Allah SWT dengan tidak ada rasa lemah dan bosan.

Oleh itu, amalkanlah tauhid kerana kalau kita pun mengamalkan tauhid, kita pun akan termasuk dalam kalangan mereka kerana tauhid yang kita kena terima dan yang malaikat kena terima, sama sahaja.

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا

“Dan sentiasa meminta ampun bagi orang-orang yang beriman”.

Inilah kelebihan mereka yang beriman kepada Allah SWT. Malaikat-malaikat itu meminta ampun bagi pihak mereka yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu adalah malaikat-malaikat yang rapat dengan Allah SWT dan mereka meminta ampun untuk pihak orang yang beriman! Alangkah hebatnya kedudukan mereka yang beriman.

Apakah kata-kata mereka?

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا

Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu”.

Tidak ada yang di luar dari rahmat dan ilmu Allah SWT. Apakah maksud ini? Sebagai contoh, kerana rahmat Allah SWTlah orang yang kufur dapat makan, dapat harta, boleh buat macam-macam. Kalau tidak kerana rahmat Allah SWT, mereka tidak akan dapat apa-apa dari dunia ini. Allah SWT Maha Berkuasa untuk melakukan sesuatu apa pun, sampaikan kalau Allah SWT mahu memberikan rahmat-Nya kepada sesiapa jua, tidak ada sesiapa yang boleh halang.

Tidak ada apa yang di luar dari ilmu Allah SWT. Tidak ada apa-apa perkara pun yang Allah SWT tidak tahu. Malaikat mengaku yang hanya Allah SWT sahaja yang tahu segala-galanya. Allah SWT sahaja yang tahu siapakah yang layak mendapat rahmat atau tidak, kerana ilmu Allah SWT itu luas. Mereka mengaku mereka tidak tahu sebagaimana Allah SWT.

Apakah ini? Malaikat mula berdoa dengan memuji-muji Allah SWT. Maka kita hendak doa pun begitulah juga.

فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا

“Maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat”.

Mereka memohon kepada Allah SWT supaya memberi ampun kepada mereka yang bertaubat.

Taubat apakah yang dimaksudkan? Oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam doa, maka taubat yang dimaksudkan adalah taubat dari melakukan kesalahan dalam berdoa – sebelum itu mungkin mereka tidak terus berdoa kepada Allah SWT, tetapi menggunakan perantaraan dalam berdoa. Dan apabila mereka sudah tahu bahawa itu adalah salah setelah mempelajari wahyu Allah SWT, baru mereka tahu dan mereka telah bertaubat dari kesilapan itu. Kalau tidak belajar wahyu, bagaimanalah agaknya manusia hendak tahu bahawa salah kalau mengamalkan perantara dalam doa?

وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ

“Dan orang-orang yang mengikuti jalan-Mu”.

Setelah mereka bertaubat, mereka menerima tauhid dan mempunyai fahaman tauhid. Mereka sudah mula ikut jalan syariat seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT sebagaimana yang disampaikan di dalam wahyu-Nya. Ini juga memerlukan pembelajaran tafsir dan sunnah untuk mengetahui apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang perlu ditinggalkan. Maka, yang dimaksudkan adalah mereka telah mula belajar dan mengamalkan syariat seperti yang sepatutnya.

وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

“Dan jauhilah mereka dari azab neraka jahanam”.

Mereka juga berdoa kepada Allah SWT untuk menyelamatkan orang-orang mukmin itu dari neraka. Oleh kerana malaikat-malaikat itu adalah malaikat yang rapat dengan Allah SWT, maka tentunya doa mereka makbul.

Sebenarnya Allah SWT hendak beritahu bahawa mereka yang ikut jalan tauhid adalah selamat. Doa malaikat sebagai isyarat sahaja. Kalau para malaikat itu tidak berdoa untuk mereka pun, mereka akan selamat.

Kenapa agaknya para malaikat itu mendoakan untuk orang yang beriman itu? Apakah yang mereka akan dapat? Tidak ada apa. Namun, mereka ikhlas berdoa kepada mereka yang beriman, bertaubat, ikut jalan Allah SWT. Ini juga menunjukkan kelebihan mereka yang melakukan ketiga-tiga perkara itu. Apabila manusia dan jin melakukan ketiga-tiga perkara itu, makhluk-makhluk lain pun sayang kepada mereka. Iman yang ada dalam hati adalah pengikat kasih antara makhluk.

Ini juga mengajar kita supaya mendoakan juga kepada orang-orang lain yang beriman kerana tautan kasih antara yang beriman itu memang telah ada. Doakanlah kebaikan untuk ahli keluarga dan kawan-kawan kita.

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan amalan tauhid?

Jawapan: Tauhid kita dan para malaikat adalah sama sahaja. Bila ada fahaman tauhid, maka tentu ada amalannya. contohnya, hanya sembah Allah SWT sahaja, hanya doa kepada Allah SWT sahaja – ini sudah termasuk ‘amalan’.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan