Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Ke-5 dan Ke-6

Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Ke-5 dan Ke-6

1232
0
Iklan

Tafsir Surah At-Tiin

Tafsir Ayat Ke-5

Ayat ke-4 telah menceritakan perihal kejadian manusia yang sempurna. Maka ayat seterusnya membincangkan bagaimana manusia boleh terjebak dalam keburukan atau diturunkan ke tempat yang rendah (neraka).

Dalam ayat ke-4 sebelum ini, Allah beritahu yang manusia itu dicipta dalam sebaik-baik kejadian. Tetapi nanti ada yang akan dijatuhkan.

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ

“Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.” [At-Tiin 95:5].

Sebelum ini Allah telah memberitahu yang Dia telah mencipta manusia dalam sebaik-baik kejadian. Akan tetapi, kerana kejahatan dan kesalahan orang itu sendiri, Allahlah yang telah merendahkan orang itu.

Oleh itu, ayat ini tidaklah memperkatakan tentang kesilapan Allah dalam mencipta (kerana seolah-olah berlawanan dengan ayat sebelum ini) tetapi mereka yang direndahkan itu adalah atas kesalahan di pihak manusia itu sendiri.

Asfala: Paling bawah

Seperti mana dalam firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. [An-Nisaa’ 4:145].

Dalam ayat ini menunjukkan orang munafik akan berada di tempat “paling bawah” di dalam neraka.

Apakah maksud أَسفَلَ سافِلينَ? (pada dalam ayat At-Tiin ini)

Ada beberapa pendapat:

PERTAMA: Daripada muda/kuat > Kembali tua/nyanyuk.

Apabila manusia sudah tua, dia sudah tidak boleh buat macam apa yang dia boleh buat semasa dia muda. Dulu kuat, tapi bila sudah tua, sudah lemah tidak boleh buat apa-apa, termasuk dalam melakukan perkara ibadat. Waktu ini, manusia memerlukan orang lain untuk menjaganya.

Tetapi pendapat pertama ini tidaklah berapa kuat kerana kebanyakan Mufassir berpandangan, kerendahan yang dimaksudkan bukanlah kerendahan dari segi fizikal, tetapi dari segi moral.

Adakah bermaksud semakin tua semakin tidak bermoral? Bukanlah begitu. Ia bermaksud kembali kepada keadaan bawah (lemah kerana tua). Ia berkaitan dengan keadaan fizikal.

KEDUA: Daripada mulia > kembali kepada kehinaan.

Manusia sendiri telah menjatuhkan maruah diri mereka. Sedangkan Allah sudah mencipta manusia dalam penciptaan yang mulia dan sebaik-baik kejadian.

Bagaimana? Dengan mengkufuri nikmat Allah SWT dengan tidak mengendahkan ayat-ayat-Nya (peringatan dari Allah).

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بَعْدَ إِيمَٰنِهِمْ ثُمَّ ٱزْدَادُوا۟ كُفْرًا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُو۟لَٰئِكَ هُمُ ٱلضَّآلُّونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.” [Ali ‘Imran: 90].

Kita ada membincangkan hal ini dalam ayat sebelumnya.

Sekiranya manusia tidak mengambil peringatan, jadilah ia seperti binatang. Bahkan lebih buruk (iaitu binatang ternak!)

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A’raaf 7:179]

KETIGA: Daripada seorang yang taat > kembali ke neraka (akibat keingkaran)

Ada juga yang kata ayat ini hendak menceritakan tentang mereka yang tidak taat yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Digunakan perkataan ثُمَّ yang menunjukkan masa yang lama (jarak antara manusia yang merendahkan dirinya dan keputusan memasukkan ke neraka).

Bermakna, tidaklah Allah terus memasukkan manusia yang telah merosakkan dirinya itu ke dalam neraka. Jarak masa yang lama itu kerana Allah berikan peluang kepada manusia untuk bertaubat.

Beberapa pendapat tentang Asfala Safilin. Semuanya tentang “jatuh” ke bawah.

Bagaimana untuk mengelakkan daripada jatuh hina ke tempat terbawah?

Tafsir Ayat ke-6:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. [At-Tiin 95: 6]

Perkataan “illa” di sini adalah bermaksud pengecualian. Tidak kurang kitab tafsir yang membahaskan bab pengecualian ini (istisna muttasil/munqati’). Tetapi saya berpendapat, kita ambil perbahasan secara umum.

Maka, hendaklah pelihara dua elemen, “dalaman dan luaran”.

Pertama: Elemen DALAMAN ( Iman )

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا

“Kecuali orang-orang yang beriman”. (At-Tiin: 6)

Iman mestilah diperbaiki kerana ia akan memberi kesan kepada luaran kita. Kita melakukan sesuatu kerana ada dorongan dari dalaman. Oleh itu, kalau kita bersihkan dalaman kita, perbetulkan niat kita, perbuatan kita pun akan jadi baik juga.

Jadi ubat pertama untuk penyakit telah diberikan dalam ayat ini ialah memperbaiki iman.

Ada terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan mengenai ciri-ciri orang yang benar-benar beriman.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” [Al-Anfaal: 2]

– Orang beriman miliki hati yang lunak/lembut dan terkesan apabila disebut nama Allah

– Orang beriman sentiasa bertambah iman apabila dibacakan ayat Allah

– Kepada Allah mereka berserah/meminta segalanya

Dalam ayat yang lain:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). [Al-Hujuraat: 15]

– Orang beriman benar-benar percayakan Allah dan Rasul, kemudian tidak ragu-ragu

– Berjuang dengan harta benda

– Sanggup berjuang dengan jiwa

Maka langkah pertama untuk menjaga diri agar tidak jatuh ke lembah hina, ialah dengan memelihara Iman.

Pandangan lain, maksud ikut Allah dan Rasul itu bermakna ikuti “Al-Quran dan Sunnah”.

Namun dalam pendekatan melalui media secara umum ini, saya akan ikut prosedur “penerbangan” yg umum, iaitu pemahaman secara terbuka. Maka, untuk menghayatinya, saya serahkan pada kefahaman dan ilmu masing-masing.

Bagaimana cara untuk kita memelihara iman yang sentiasa ada turun naiknya? Sabar dan berdoa kepada Allah. Antara doa yg kita selalu buat tetapi tanpa sedar iaitu solat! Maka, kena jaga solat dengan sebaik-baiknya.

Perkara kedua ialah elemen luaran: Amal Soleh.

Ia merupakan perkara yang tidak boleh ditinggalkan bagi seseorang yg mengaku beriman. Oleh kerana itu, kita boleh lihat ayat dalam Al-Quran “Iman dan Amal Soleh” selalu berpasangan. Menunjukkan kepada kita akan keperluan yang penting terhadap keduanya.

Atau ringkasan:

  1. a) Seseorang yang mulia boleh jatuh hina
  2. b) Melainkan dia menjaga iman (urusan dalaman dirinya)
  3. c) Dan melakukan amal soleh (perbuatan/tindakan luaran)

Lebih dari itu Allah nyatakan balasan: UPAH dan BONUS

فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

“maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus” [At-Tiin: 6].

أَجرٌ

Bayaran upah yang diberikan kepada seseorang selepas dia melaksanakan kerjanya. Mereka yang telah melakukan amal kebaikan, ibarat Allah akan beri “upah” kepada mereka (pahala).

غَيرُ مَمنونٍ

Tanpa diputuskan. Pahala yang diberikan kepada mereka tidak akan diputuskan. Kerana itulah, ada orang yang buat amal sedikit sahaja, tetapi balasan kepada mereka adalah banyak. Mereka yang dimasukkan ke dalam syurga, akan terus tinggal di dalam syurga itu dan nikmat kepada mereka tidak akan diputuskan.

Jika bos bagi bonus, ia adalah kerana suatu penghargaan agar dapat memberi galakan lebih kepada pekerja untuk taat setia melakukan pekerjaan.

Dalam ayat ini, Allah bukan sekadar mengatakan balasan baik. TETAPI juga balasan yg berterusan. Seumpama suatu bonus dari Allah SWT yang memberi galakan.

Manakan tidaknya, kebiasaan manusia memang suka mendapat sesuatu yg berterusan tanpa bekerja lebih. Contohnya seperti dalam perniagaan MLM “upline” akan dapat sagu hati berterusan. Itu yang membuatkan ramai yang suka turut serta dan berusaha mencari orang di bawahnya.

Contoh lain, seperti dividen dalam Tabung Haji. Buka akaun, simpan duit, duit berkembang.

Tuan/puan, ini keuntungan yang lebih besar! Pahala yang tidak putus-putus. Bekalan yang sangat diperlukan untuk melalui hari yang kekal abadi (akhirat). Bukan setakat dividen/bonus di atas dunia sahaja.

Semoga ayat ini mendorong kita untuk berusaha menjaga iman dan beramal soleh dalam kehidupan sementara di atas dunia ini

Ibrah dan Kesimpulan:

1.Allah telah menciptakan manusia sebaik kejadian, Maha Penyayang Allah yang juga Penjaga kita dari segala kehinaan. Perihal orang yang jadi hina, kerana merekalah yang “keluar” dari jagaan Allah SWT.

2. Iman dan amal soleh mestilah selari, seiring dan sejalan. Tidak membuat salah satu, maka jatuh semula ke lembah kehinaan.

3.  Balasan yang sangat baik bagi orang yang menjaga iman dan amal soleh, bahkan bonus yg berterusan dari Allah SWT.

Semoga ia menjadi motivasi bagi kita untuk menjaga iman dan amal

وَالَّذِينَ يُمَسِّكُونَ بِالْكِتَابِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُصْلِحِينَ

“Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).” (Al-‘A`rāf:170)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan