Utama Blog Halaman 81

Soal Jawab Bersama Doktor: Gastroesophageal Reflux Disease (GERD)

0

Soalan:
Apakah GERD?

Jawapan:
Penyakit GERD (Gastroesophageal Reflux Disease) juga dikenali sebagai Asid refluks iaitu asid di dalam perut mengalami refluks dan naik semula ke dalam saluran esofagus.
Saluran makanan bermula di mulut, kemudian masuk ke dalam saluran esofagus seterusnya masuk ke dalam perut. Di dalam perut, jus gastrik akan dirembeskan untuk mencerna makanan di dalam perut. Jus gastrik tersebut mengandungi asid hidroklorik yang berfungsi untuk membunuh kuman di dalam perut.
Di dalam penyakit asid refluks ini, asid yang terhasil mengalami refluks iaitu asid tersebut naik semula ke dalam saluran esofagus. Ini menyebabkan beberapa simptom seperti pedih ulu hati dan juga sakit dada.
Asid refluks yang teruk akan menyebabkan asid naik hingga ke bahagian tekak dan menyebabkan rasa masam terutamanya ketika bangun daripada tidur. Ia juga boleh menyebabkan komplikasi seperti masalah untuk menelan makanan dan juga serangan asma.

Soalan:
Adakah GERD berisiko untuk terdedah kepada penyakit-penyakit lain?

Jawapan:
Mereka yang mengalami GERD dalam tempoh yang lama berisiko untuk terdedah kepada penyakit kanser esofagus. Pesakit yang mengalami GERD akan menyebabkan asid di dalam perut ternaik ke dalam bahagian esofagus. Ini akan menyebabkan bahagian esofagus tersebut mengalami kecederaan dan keradangan.

Keradangan yang kronik pada bahagian esofagus tersebut akan menyebabkan sel di bahagian itu sentiasa membahagi untuk menggantikan sel yang rosak.
Kawasan yang mengalami pembahagian sel yang banyak ini dipanggil sebagai ‘Barrett’s esophagus’. Dalam perubatan kawasan ini dikategorikan sebagai kawasan pra-kanser iaitu satu tahapan sebelum kawasan tersebut menjadi kanser.

Soalan:
Apakah tanda-tanda yang pesakit tersebut mengalami GERD?
Jawapan:
Beberapa simptom yang akan berlaku jika mereka mengalami GERD adalah:

• Pedih ataupun sakit di bahagian ulu hati
• Mempunyai masalah ataupun susah untuk menelan
• Perut rasa sebu walaupun belum makan
• Batuk yang lama terutamanya waktu malam ataupun waktu tidur
• Tekak asyik berasa masam dan kerap sakit tekak
• Sakit dada atau berdebar-debar
• Pening kepala
• Loya atau alahan pada makanan

Soalan:
Apakah ubatan yang sesuai untuk pesakit GERD?

Jawapan:
• Antacids: Ubat ini bersifat alkali dan berfungsi untuk meneutralkan asid di dalam perut. Contoh ubat adalah Aluminium hydroxide dan magnesium trisilicate.
• H- receptor antagonist: Ubat ini berfungsi untuk mengurangkan rembesan jus gastrik ke dalam perut. Seterusnya ia akan mengurangkan penghasilan asid dalam perut yang mungkin akan menyebabkan keradangan di bahagian esofagus berlaku. Contoh ubat adalah ranitidine dan cimetidine.

Talbis Iblis: Tazyeen

0

Talbis Iblis yang Ketiga: Tazyeen.

Tazyeen bermaksud mencantikkan yang buruk. (Umpama memakai mekap. Apabila dibuang mekap itu, ya rabbi, hendak pandang pun tidak sanggup rasanya).

Iblis memekap (mencantikkan) amalan-amalan yang buruk. Contohnya amalan-amalan bidaah.

Contoh: Qasidah ya Hanana. Dilihat seolah-olah nampak seperti Islamik, sedap alunan lagunya. Sekali dengar satu hati berpusing dalam kepala, hanyut dibuai perasaan. Yang menyanyikan pula berketerampilan ‘Islamik’, memakai serban, berjanggut, licin dan bersih berseri-seri sahaja wajahnya.

Seperti juga zikir tarekat. Zikir pula itu sedap sahaja. Apabila berzikir tidak sedar masa berlalu walaupun sudah berjam-jam lamanya. Seolah-olah sudah jatuh cinta sebab sedap sangat. Lepas habis berzikir terasa bagaikan iman tinggi sudah mencapai tahap malaikat.

Sebagaimana juga seperti kegiatan konsert nyanyian; dapat duit diberikan untuk tujuan bantuan amal. Mereka berkata dengan penuh bangga, “Alhamdulillah, Allah berikan saya suara sedap boleh menyanyi. Dengan hasil nyanyian inilah saya dapatlah sikit membantu keluarga saya dan orang-orang susah…”

Boleh nampak bagaimana syaitan tazyeen? Boleh berikan contoh lagi?

💭💭

Soal Jawab

Soalan:

Kenduri tahlilan?

Jawapan:
Ya benar. Nampak seperti hendak membantu orang yang telah mati.
Bagi makan pula, apa salah dia?
Baca pula ayat Al-Qur’an dan berzikir.
Yang datang meraikan majlis bukanlah mat rempit tetapi imam surau dan ahli surau.


Soalan:
Marhaban, amalan bismillah 3, 5, 7, 9, etc.?

Jawapan:
Ya.

 

Soalan:
Semua perkara mesti berselawat: Hendak bersalam kena selawat, hendak makan ubat kena selawat.

Jawapan:
Ya.

 

Soalan:
Bagaimana pula dengan amalan berdoa di atas nama Nabi dan para malaikat?

Jawapan:
Itu tawasul. Syirik.

 

Soalan:

Biasanya mereka melihat inti amalan tanpa kaifiyat. Kalau ditanya selalu mereka akan berkata yang nabi tidak buat dan tidak tunjuk tetapi inikan benda baik?

Dan bila dikatakan bagaimana ini dibolehkan atau baik sedangkan tiada kata “confirmation” (pengesahan) dari nabi. Alasan mereka ada ulama’ berkata boleh ataupun sahabat Nabi pernah buat yang Nabi tidak buat.

Jawapan:
Ya salah faham ini biasa.

Ulama’ bukan Nabi. Maka kenalah dinilai balik perbuatan mereka.

Yang sahabat buat perkara Nabi tidak buat itu, boleh diperjelaskan setiap satu daripada perbuatan mereka itu. Perbuatan sahabat bukanlah lesen untuk membenarkan bidaah.


Soalan:
Dalam perkara ini bukan orang lain yang merosakkan dan membenarkan bidaah tetapi malangnya dari kalangan ahli agama kita sendiri?


Jawapan:
Saya selalu sebut tetapi keras kalau orang dengar.

Agama Islam dahulu dirosakkan bukan oleh tukang kasut dan petani, tetapi ahli agama iaitu oleh pendeta, paderi, rahib. Agama Islam menjadi Yahudi, menjadi Kristian (asalnya agama Islam) tetapi dirosakkan oleh ‘ahli agama’ mereka.

Maka, samalah dengan agama Islam sekarang dirosakkan oleh ahli agama sendiri.


Soalan:
Mereka pandai memutarbelitkan fakta. Nanti mereka akan berkata, “Bukankah para ulama’ mengikut Nabi. Takkan ulama’ tidak kenal bidaah?”

Jawapan:
Tiada gerenti Ulama’ pasti mengikut Nabi kerana mereka juga manusia.


Soalan:
Benar Ustaz. Nanti akhir sekali mereka akan berikan dalil entah dari mana. “Quote” sana sini sambil diberikan contoh ini itu. Lepas itu mereka akan kata, “Oh, benda ini adalah khilaf”.

Jawapan:
Ya, maka kena dengar apakah hujah mereka dan kita persoalkan semula.

Khilaf itu kalau kedua-duanya ada dalil. Tetapi kalau satu ada dalil dan satu tidak ada dalil, itu bukan khilaf yang patut dilayan.


Soalan:
Semua ini merupakan cabaran hebat untuk berdakwah?

Jawapan:
Ya. sebab itu di dalam [Fussilat:33] kata tidak ada yang lebih baik daripada dakwah dan orang yang berdakwah.

Yang jadi susah itu kerana mereka telah terkena talbis iblis jenis tazyeen. Mereka nampak amalan mereka itu indah. Itu yang susah untuk ditinggalkan.

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-60 dan Ke-61

0

Tafsir Ayat Ke-60

Ini adalah jasa kelapan yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

۞ وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Nabi Musa memohon air untuk kaumnya;

Ini adalah kisah di padang pasir semula. Sebelum ini kita telah diberitahu bahawa mereka telah diberikan dengan teduhan awan dan juga makanan Manna dan Salwa. Jadi dengan adanya air, maka lengkaplah makanan mereka.

Dalam ayat ini, menunjukkan Nabi Musa عليه السلام sendiri yang memohon kepada Allah ‎ﷻ setelah diminta oleh kaumnya.

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Kami berkata: Maka pukullah batu itu dengan tongkat kamu;

Iaitu Nabi Musa عليه السلام disuruh memukul mana-mana batu. Pukul pun sekali sahaja, tidaklah kuat sampaikan memecahkan batu itu. Kita tidak perlu cari batu jenis apa. Ada orang yang taksub sangat sampai hendak cari batu jenis apa untuk dibuat cincin. Tidak penting batu apakah yang telah dipukul oleh Nabi Musa عليه السلام itu. Bukan itu yang hendak disampaikan dalam ayat ini.

Banyak kali kisah tongkat Nabi Musa عليه السلام ini disebut dalam al-Qur’an. Tetapi tidaklah perlu kita hendak mencari jenis apakah tongkat itu dibuat sebab bukan tongkat itu yang ada kuasa. Setiap kali ia digunakan oleh Nabi Musa عليه السلام dalam al-Qur’an, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan baginda menggunakannya.

Contohnya, Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi Musa عليه السلام ketuk Laut Merah, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عليه السلام ketuk pada batu dan Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عليه السلام baling tongkat itu yang kemudiannya bertukar menjadi ular. Kalau Allah ‎ﷻ yang suruh Nabi Musa عليه السلام ketuk, barulah menjadi mukjizat itu. Kalau Nabi Musa عليه السلام mengetuknya sendiri, tidak akan terjadi apa-apa. Itu bermakna, bukan tongkat itu yang mempunyai kuasa.

فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ

Maka terpancarlah dari batu itu;

Apabila Nabi Musa عليه السلام yang memohon kepada Allah ‎ﷻ, air yang keluar itu memancar dengan banyak. Dalam ayat lain [ 7:160 ], ada juga dikisahkan air yang memancar keluar dari batu itu. Tetapi dalam ayat itu, perkataan yang digunakan menunjukkan air yang keluar tidak memancar dengan banyak.

Ini adalah kerana Bani Israil selepas itu telah banyak melakukan kesalahan, maka air itu semakin berkurang. Tambahan pula, dalam ayat dari Surah Baqarah ini, Allah ‎ﷻ sedang menceritakan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya kepada Bani Israil, maka lebih sesuai digunakan perkataan yang menunjukkan nikmat yang diberikan kepada mereka itu dalam bentuk yang banyak.

اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا

12 mata air;

Selepas diketuk batu itu, terpancar 12 mata air untuk setiap kaum Bani Israil. Ini adalah kerana kaum Bani Israil terdiri daripada 12 puak. Satu puak daripada anak cucu Nabi Yusuf عليه السلام, satu daripada anak cucu Bunyamin dan ada sepuluh lagi keturunan adik beradik anak Nabi Yaakob عليه السلام yang lain.

Puak-puak ini hanya mahu minum dengan puak mereka sahaja. Mereka tidak boleh bercampur. Mereka adalah jenis kaum yang berpecah belah. Memang semasa Firaun memerintah mereka, Firaun telah menggunakan konsep pemerintahan ‘Pecah dan Perintah’ supaya Bani Israil tidak dapat bersatu menentangnya.

Tambahan pula, air adalah satu sumber kehidupan yang penting. Manusia boleh berperang disebabkan sumber air. Allah ‎ﷻ tahu, kalau tidak dibahagikan begitu, mereka akan berkelahi. Maka Allah ‎ﷻ telah memberi satu pancutan air kepada setiap puak dalam Bani Israil itu.

Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa semasa laut Merah dibelah, juga terdapat 12 jalan.

قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ

Maka tahulah setiap puak itu tempat minum masing-masing;

Mereka tidak perlu berebut-rebut. Sudah tahu mana satu saluran air untuk puak mereka.

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللهِ

Makanlah, minumlah dari rezeki Allah;

Nikmatilah rezeki yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu. Terimalah nikmat yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan janganlah kamu bertebaran di muka bumi berbuat kerosakan;

Kerosakan di sini adalah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Contohnya, mengharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal. Juga bermaksud jangan melanggar hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ.

Perkataan تَعْثَوْا yang digunakan adalah bermaksud kerosakan yang disebabkan oleh propaganda iaitu merosakkan fikiran manusia dengan idea-idea yang jahat. Ini kita boleh lihat banyak dilakukan oleh puak Yahudi pada zaman sekarang pun.

Kata مُفْسِدِينَ membawa erti orang yang menyebabkan orang lain juga berbuat kerosakan. Sudahlah mereka berbuat kerosakan, tetapi disebabkan mereka sudah buat, ada orang lain yang akan mengikut dan akan lebih banyak kerosakan lagi berlaku. Ini adalah kerana ramai yang mengikut perbuatan Yahudi ini.

Tafsir Ayat Ke-61

Ini adalah ayat yang menceritakan hukuman kedua yang diberikan kepada mereka.

Ayat ini adalah merujuk kepada anak-anak mereka yang menyembah patung anak sapi.

Mereka sekarang sudah dewasa. Sudah berkahwin dan beranak semasa mereka sesat di padang pasir. Ini adalah keadaan sebelum mereka masuk ke dalam Kota.

وَإِذ قُلتُم يا موسىٰ لَن نَصبِرَ عَلىٰ طَعامٍ واحِدٍ فَادعُ لَنا رَبَّكَ يُخرِج لَنا مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها ۖ قالَ أَتَستَبدِلونَ الَّذي هُوَ أَدنىٰ بِالَّذي هُوَ خَيرٌ ۚ اهبِطوا مِصرًا فَإِنَّ لَكُم ما سَأَلتُم ۗ وَضُرِبَت عَلَيهِمُ الذِّلَّةُ وَالمَسكَنَةُ وَباءوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ ۗ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانوا يَكفُرونَ بِآياتِ اللهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ الحَقِّ ۗ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَكانوا يَعتَدونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

وَإِذْ قُلْتُمْ

Dan ingatlah ketika kamu berkata:

‘Kamu’ di sini adalah anak cucu Bani Israil yang menyembah patung anak lembu itu iaitu mereka yang sedang sesat di padang pasir.

يَا مُوسَىٰ لَنْ نَصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وَاحِدٍ

“Wahai Musa, kami tidak sabar dengan satu jenis makanan sahaja”;

Mereka kata mereka sudah bosan dengan makanan dari langit. Mereka sudah tidak suka makan Manna dan Salwa. Mereka teringin makan makanan yang lain. Begitulah sifat manusia yang tidak tahu diuntung.

فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ

“Maka tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”;

Lihatlah bagaimana mereka kata ‘kepada Tuhan kamu’. Mereka tidak kata pun “Tuhan kami”.

Mereka minta Nabi Musa yang doakan untuk mereka kerana mereka tahu, kalau mereka yang doa, mereka tidak akan dapat kerana mereka tahu mereka banyak dosa kepada Allah.

Begitulah sifat meminta orang lain doakan kehendak sendiri sudah mengakar dari dulu lagi. Sepatutnya merekalah minta sendiri tapi hendak minta orang lain juga doakan.

يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ

“Supaya Dia mengeluarkan untuk kami daripada tumbuhan-tumbuhan bumi”;

Mereka sekarang mahu makan makanan dari tanah pula. Sudah dapat makanan dari langit (Manna dan Salwa) mahu makanan dari tanah pula.

مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها

dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”

Makanan ini seperti hendak buat Roti Nan pula. Sebenarnya, mereka tidak pernah lihat dan rasa pun benda-benda itu kerana mereka hanya hidup di padang pasir sahaja dari sejak mereka lahir. Mereka pun membesar di padang pasir tidak pernah bercucuk tanam dan pergi ke pasar mana-mana pun. Jadi mana mereka tahu tentang makanan-makanan itu?

Mereka mendengar cerita-cerita tentang makanan-makanan itu dari tok nenek mereka yang pernah memakan benda-benda itu. Maka, dari cerita-cerita yang mereka dengar itu, mereka teringin untuk makan segala makanan itu.

Atau mungkin memang mereka adalah orang-orang yang pernah tinggal di Mesir dulu iaitu semasa mereka ditindas oleh Firaun. Mereka rindukan kehidupan mereka semasa di Mesir. Walaupun mereka dulu ditindas, tiada kuasa dan diperah oleh Firaun.

Apabila mereka meminta makanan yang mereka biasa makan semasa di Mesir, itu menunjukkan mereka rindu kepada kehidupan yang dulu.

Katakanlah ada orang yang pernah tinggal di penjara dan dia kata dia rindu makanan penjara, dia bukan rindu makanan penjara sebenarnya tetapi dia rindu kehidupan semasa di penjara kerana bila duduk penjara, tidak payah fikir lagi kerana semua telah disediakan.

Mereka tidak menghargai segala pemberian yang Allah SWT berikan kepada mereka dari Manna dan Salwa itu. Mereka lebih inginkan kehidupan semasa mereka ditindas oleh Firaun dulu. Mereka tidak menghargai bagaimana Allah SWT menyelamatkan mereka dan memerdekakan mereka daripada cengkaman Firaun. Apakah mereka hadapi semasa mereka di Mesir dulu:

1. Mereka dimalukan. Kehidupan sebagai hamba abdi yang amat memalukan. Apabila mereka terpaksa menghambakan diri kepada selain daripada Allah SWT adalah kehidupan tidak bermakna.

2. Kelemahan. Tidak ada kuasa langsung. Mereka tidak dapat membuat keputusan langsung tentang diri mereka dan negara mereka sendiri.

3. Penindasan. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka atau keluarga mereka dari ditindas. Keluarga Firaun telah banyak membunuh, merogol dan memalukan Bani Israil.

Walaupun dengan semua kelemahan-kelemahan itu, mereka masih lagi mahukan kehidupan sebegitu kerana pada mereka, kehidupan seperti itu lebih mudah. Macam orang yang sudah biasa duduk dalam penjara, pada dia itulah kehidupan yang mudah.

قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Musa berkata: “Apakah kamu nak ganti benda yang rendah dengan sesuatu yang lebih baik?”;

Nabi Musa menempelak kaumnya dalam ayat ini. Allah SWT telah beri mereka makanan dari langit tetapi mereka hendak ganti dengan makanan yang lain. Padahal mereka bukan pernah makan pun makanan-makanan yang mereka minta itu. Nabi Musa tidak sampaikan permintaan mereka itu kepada Allah SWT kerana itu adalah permintaan yang mengarut.

Tentulah makanan Manna dan Salwa itu lebih tinggi dan lebih baik lagi kerana ianya datang daripada Allah SWT. Kalaupun ia tidak sedap, tetapi ia masih lagi lebih tinggi kerana ia adalah makanan dari langit. Ianya adalah makanan kemerdekaan.

اهْبِطُوا مِصْرًا

Musa berkata: “Pergilah kamu ke bandar”;

Perkataan اهْبِطُوا yang digunakan bermaksud ‘turun dari tempat tinggi ke tempat rendah’. Perkataan yang sama digunakan oleh Allah SWT apabila memberi arahan kepada Adam untuk turun ke dunia [ Ayat 3 ]. Bermakna, Nabi Musa hendak beritahu mereka bahawa mereka sebenarnya minta turun dari kedudukan yang tinggi ke kedudukan yang rendah.

Perkataan مِصْرًا dalam ayat ini bukanlah bermakna ‘Negeri Mesir’ tetapi bermaksud kota lain. Kalau Negeri Mesir, perkataan yang digunakan adalah ‘Misra’, bukan ‘misran’ seperti dalam ayat ini (dengan tanwin). Nabi Musa menggunakan perkataan yang hampir sama dengan ‘Mesir’ sebagai cara untuk perli mereka. Dia nak kata bahawa apa yang mereka cari itu seperti apa yang mereka dapat dulu di Negeri Mesir.

Memang mereka boleh dapat apa yang mereka minta itu tetapi itu adalah kehidupan kehambaan semasa mereka di Mesir dulu. Nabi Musa seperti berkata kepada mereka: “pergilah kamu kepada negara Mesir yang lain pula”. Pergilah kamu kembali kepada kehidupan penuh kehambaan kembali. Nabi Musa perli mereka: kamu hendak duduk dalam kehambaan lagikah?

Penggunaan perkataan di dalam al-Qur’an memang mengandungi makna yang tinggi. Padahal kalau hendak gunakan maksud ‘pekan’, ‘bandar’, ‘tempat tinggal’, ada lagi kalimah lain yang boleh digunakan seperti baladan, qaryatan atau ardan. Namun, Allah SWT gunakan kalimah misran yang berbunyi lebih kurang sama dengan Mesir.

Ataupun maksud baginda: Kalau hendak juga, kamu pergilah ke negeri lain. Dan negeri yang dimaksudkan adalah Palestin. Nabi Musa kata yang dia tidak akan doa kepada Allah SWT apa yang mereka minta itu. Cuma Nabi Musa arahkan sahaja mereka untuk pergi ke Palestin mengikut wahyu daripada Allah SWT. Ada juga tafsir lain yang mengatakan yang ‘misra’ yang dimaksudkan adalah negeri lain, bukan bermaksud Palestin.

فَإِنَّ لَكُمْ مَا سَأَلْتُمْ

“Di situ, kamu akan dapat apa yang kamu minta itu”;

Kerana mereka hendakkan makanan-makanan itulah yang menyebabkan mereka masuk juga ke dalam kota itu.

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ

Dan ditimpa ke atas mereka suatu kehinaan;

Oleh kerana mereka tolak apa yang Tuhan beri dan mahukan benda yang lain, maka Allah SWT timpakan ke atas mereka kehinaan. Inilah hukuman seterusnya yang dimaksudkan. Kehinaan yang mereka terima adalah manusia tidak pandang mulia kepada bangsa Yahudi dari dulu sampai sekarang iaitu mereka menjadi bangsa yang tidak dihargai dan dihormati.

Inilah pada pandangan kaca mata manusia kepada mereka pada zaman sekarang pun. Sentiasa mereka terpaksa menumpang tempat orang lain. Satu dunia kutuk mereka tetapi mereka buat biasa sahaja. Walaupun mereka adalah satu bangsa yang amat cerdik, tetapi mereka dipandang hina oleh penduduk dunia.

Yahudi zaman Nabi Musa itu minta makanan-makanan yang mereka pernah dapat dulu di Mesir. Dulu mereka duduk dalam kehinaan semasa di Mesir kerana mereka jadi hamba kepada bangsa Qibti tetapi kerana permintaan mereka yang tidak patut itu, mereka boleh dapat kehinaan lain pula.

وَالْمَسْكَنَةُ

dan kemiskinan;

Dan mereka hilang semangat (maskanah) untuk menghayati agama.

Boleh juga bermaksud kemiskinan atau kelemahan. Mereka terpaksa minta pertolongan orang lain walaupun mereka kaya. Contohnya sekarang, mereka kena minta tolong kepada Amerika dan British walaupun mereka kaya dan cerdik.

Kehinaan dan kelemahan adalah apa yang mereka lalui semasa di Mesir di bawah penindasan Firaun dulu. Maka kerana mereka telah degil, maka Allah SWT kembalikan mereka macam itu balik. Ini adalah kerana permintaan mereka yang tidak patut. Allah SWT sudah keluarkan mereka dari kesusahan dulu semasa di Mesir, maka Allah SWT kenakan balik kesusahan kepada mereka.

وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ

Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.

Dan mereka akan kembali ke akhirat nanti dengan kemurkaan daripada Allah SWT. Apakah yang lebih teruk daripada kemurkaan Allah SWT? Dulu mereka ditindas oleh Firaun tetapi sekarang mereka lagi teruk – mendapat kemurkaan daripada Allah SWT pula.

Dalam sejarah dunia, sepanjang zaman mereka telah ditindas oleh kerajaan Byzantines, Ethiopia, Assyrians, Rome dan banyak lagi. Allah SWT menerangkan kenapakah mereka sampai jadi macam itu dalam bahagian ayat ini seterusnya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللهِ

Yang demikian itu adalah kerana mereka dulu kufur dengan ayat-ayat Allah;

Lafaz ‘ayat’ dalam ayat ini boleh juga digunakan untuk membawa maksud mukjizat-mukjizat yang mereka telah banyak lihat. Walaupun mereka telah banyak melihat keajaiban mukjizat, tetapi mereka masih lagi tidak mahu beriman.

وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Dan kerana mereka membunuh para-para Nabi tanpa alasan yang benar;

Jikalau nabi-nabi itu ada buat kesalahan seperti membunuh orang, barulah patut kalau hendak bunuh mereka. Namun tentulah tidak ada para Nabi berbuat begitu. Bayangkan Yahudi sanggup membunuh Nabi-nabi mereka sendiri. Dan dosa membunuh nabi adalah sebesar-besar dosa. Begitu juga jikalau membunuh para penyeru tauhid. Dikatakan bangsa Yahudi telah membunuh beribu nabi mereka. Kalau bunuh orang biasa pun sudah dosa besar, apatah lagi bunuh Nabi?

Kita perlu melihat apakah perbuatan Bani Israil itu kerana takut-takut jika kita pun mengikut juga perbuatan mereka. Kita hendaklah belajar dari kesilapan mereka. Nabi SAW pernah kata bahawa ada antara orang Islam yang akan mengikut jejak langkah mereka.

Walaupun kita sudah tidak boleh bunuh Nabi kerana Nabi sudah tidak ada, namun ada kerajaan Islam yang membunuh ulama-ulama mereka yang tidak sebulu dengan pemerintahan mereka. Kalau tidak bunuh pun para ulama’ itu, ramai para ulama’ yang mendapat layanan buruk dari kerajaan Islam termasuk juga ada ulama-ulama dan pendakwah yang dipenjarakan.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad, Bani Israil adalah orang Islam yang sesat. Begitulah kita sekarang. Ramai antara kita tidak tahu tentang agama kerana jahil dengan agama. Mereka sudah jadi macam Yahudi sebenarnya tanpa mereka sedari.

Kenapa mereka jadi begitu? Allah SWT terangkan seterusnya:

ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Yang demikian itu adalah kerana mereka derhaka dan melampaui batas

Mereka jadi begitu kerana degil tidak mahu ikut nasihat. Mereka tidak mahu menerima hidayah dan petunjuk yang diberikan kepada mereka. Mereka hendak buat ikut nafsu mereka sendiri. Mereka melanggar batas-batas yang Allah telah tetapkan kepada mereka.

Semua yang mereka lakukan itu berasal daripada sifat mereka yang menderhakai – tidak buat apa yang disuruh.

Mereka selalu buat perkara yang dilarang yang disuruh mereka tidak buat, yang dilarang pula yang mereka buat. Lama kelamaan, Nabi mereka sendiri pun mereka sanggup bunuh. Lama kelamaan, ayat Allah SWT pun mereka sanggup putar belit.

Inilah perangai Yahudi sebenar yang Allah SWT sampaikan kepada bangsa Arab yang mulanya sangka mereka itu hebat, tetapi rupanya mereka amat teruk. Allah SWT mahu mereka berhenti dari menjadikan Yahudi itu sebagai tempat rujukan.

Allahu a’lam.

Presuposisi 10: We Can Model Excellence by Breaking tasks and Skills Into Small Chunks and Replicate the Strategy of the Performance

0

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq

10. We can model excellence by breaking tasks and skills into small chunks and replicate the strategy of the performance.

Kita boleh jayakan kecemerlangan dengan memecahkan tugasan dan kebolehan kepada pecahan yang lebih kecil dan mencontohi strategi prestasi”.

Bagaimana hendak memakan gajah?Kalau kita terus melihat satu tugasan itu secara keseluruhan, sudah tentu kita akan berasa kita tidak akan mampu melakukannya. Atau kita rasa ia akan memakan masa yang terlalu lama, maka, kita sudah mula hilang semangat untuk melakukannya.

Tetapi kalau kita makan sedikit-sedikit, satu suap demi satu suap, ia boleh dilakukan (tidaklah saya suruh anda makan gajah pula selepas ini).

 

Kalau kita fikirkan gajah itu besar, tentulah kita berasa tidak mampu untuk memakannya. Tetapi kalau kita pecahkan sedikit-sedikit, lama-kelamaan ia akan habis juga. Inilah konsep yang kita hendak bawakan. Jangan tengok keseluruhan hal atau masalah tetapi pecahkan menjadi bahagian yang kita mampu lakukan.

Begitu juga dengan masalah. Kalau masalah dilihat secara pukal, akan menyebabkan kita sesak fikiran dan tertekan. Tetapi kalau kita pecahkan, ia akan nampak tidak mustahil untuk diselesaikan. Selesaikan satu persatu. Kerana itulah kalau di dalam sesi NLP, kita akan tanyakan“coachee” apakah perkara yang dia boleh terus buat pada hari itu? Atau apakah langkah yang dia boleh mulakan.

Selalunya, apabila disuruh berfikir begitu, “coachee“ akan dapat memikirkan sekurang-kurangnya satu perkara yang dia boleh terus buat untuk menyelesaikan masalahnya. Ini kerana fikirannya telah diubah dari melihat masalah secara keseluruhan kepada pecahan bahagian-bahagian yang lebih kecil. Setiap bahagian yang kecil itu dia mampu melakukannya.

Satu lagi konsep yang penting: Geniuses leave clues”(orang bijak meninggalkan tanda). Maksudnya kita boleh tengok orang yang pandai dalam sesuatu perkara dan kita boleh belajar bagaimana dia melakukannya. Namun untuk kita menirunya, bukanlah kita terus menjadi seperti dirinya. Tetapi kita pecahkan menjadi bahagian-bahagian, dan kita cuba contohi satu persatu.

Saya selalu tanya bagaimana seseorang itu mencapai kehebatannya. Maka saya cuba contohi. Sebagai contoh, dia berjaya kerana dia rajin membaca, maka saya cuba ikuti kerajinan itu. Saya akan tanya buku apa yang dia baca.

Atau kalau seseorang itu pandai menjual, saya akan tanya bagaimana dia memulakan percakapan, dan kemudian buat apa, kemudian buat apa? Dan seterusnya.

Pecahkan satu perkara besar menjadi proses. Sebagaimana memasak pun begitu juga, bukan? Kita hendak mencuba resipi orang lain, dia akan pecahkan resipi itu menjadi langkah-langkah tertentu. Maka kita akan ikut satu persatu.

Kalau kita lihat negara Jepun satu negara yang hebat sekarang, kejayaan mereka boleh dikaitkan dengan satu konsep yang mereka amalkan iaitu dikenali sebagai Kaizen.

Selepas kekalahan mereka dalam perang dunia, negara mereka telah teruk binasa. Amerika telah menghantar penasihat untuk membantu membangkitkan semula negara mereka. Konsep yang diajar kepada mereka adalah konsep: “Continuous and never ending improvement” (Pembaikpulihan secara berterusan dan tiada kesudahan). Jepun telah menamakannya sebagai kaizen.

Maka mereka telah mengubah negara mereka sedikit demi sedikit. Dan proses ini berlaku secara berterusan. Mereka akan memecahkan satu-satu proses besar dan mereka fokus kepada bahagian itu. Dan mereka tanya diri mereka: “Bagaimana kita boleh memperbaiki proses kecil ini menjadi lebih efektif dan dapat dilakukan dengan lebih baik?”

Otak kita pun memang tidak mampu untuk menanggung maklumat yang banyak. Oleh sebab itu kalau kita menghafal nombor telefon, kita juga akan pecahkannya menjadi segmen-segmen lebih kecil. Kita tidak hafal nombor itu semua sekali: 0123456789 tapi kita gunakan teknik ‘chunking’: 012 pause, 345 pause, 6789. Kalau tidak percaya, cuba beritahu anak anda nombor telefon anda sekarang.

Ini kerana otak kita memang tidak sukakan perkara yang besar-besar. Otak kita lebih tenang kalau sesuatu perkara itu kecil dan nampak mudah diselesaikan.

Beginilah NLP dimulakan. Para pencipta NLP melihat kepada orang-orang yang hebat dalam psikologi dan mereka pecahkan apakah yang dilakukan oleh pakar-pakar itu dan mereka cuba menirunya. Dan mereka teruskan memperbaiki satu persatu perkara itu. Dan sampai sekarang NLP ini menjalani proses pengubahsuaian untuk memperbaikinya.

Dalam dunia kita pun begitu juga. Dalam apa-apa sahaja, kita boleh selesaikan kalau kita pecahkannya. Yang penting, kita lakukan sesuatu. Pilih apa yang kita hendak buat. Jangan lihat secara keseluruhan. Sebagai contoh, kalau kita hendak menghafal Qur’an dan kita pegang Qur’an dan belek ada 604 mukasurat, tentu kita rasa lemah untuk menghafalnya. Otak kita akan tolak dan merasakan tidak mampu untuk melakukannya.

Namun kalau kita pecahkan mengikut juzuk, dan kemudian pecahkan lagi separuh juzuk, suku juzuk, satu muka atau separuh muka, atau kita mula hafal satu ayat satu hari, maka ia boleh dilakukan. Yang penting, mulakan menghafal.

Saya ada mengenali seseorang yang hendak menulis tafsir Qur’an 30 juzuk dengan cara yang mudah difahami oleh masyarakat awam. Kalau dia fikirkan tugasan yang besar itu, sudah tentu dia tidak memulakannya. Namun dia terus memulakannya. Selepas 6 tahun, dia berjaya menghabiskan 30 juzuk tafsir dan sekarang dalam proses pembaikan. Ia mampu dilakukan, in sha Allah. Semoga anda berjaya memakan gajah!

TBK 10.1.6 al Masih al Dajjal

0

TBK 10.1 al Masih al Dajjal.

10.1.6 Petunjuk dari hadith akan keluarnya Dajjal sebagai Tanda Kiamat (besar).

الأحاديث الدالة على أن خروج الدجال من أشراط الساعة

Walaupun Al-Qur’an tidak memberi isyarat yang jelas akan keluarnya dajjal, namun petunjuk dari hadith adalah begitu jelas sekali, antaranya:

Hadith no 1 :

الأحاديث الدالة على أن خروج الدجال من أشراط الساعة
عم حذيفة بن أسيد الغفاري رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :«إن الساعة لا تقوم حتى تكون عشرة آيات :الدخان والدجال والدابة وطلوع الشمس…….الحديث.

Takhrij:

قال ” إنها لن تقومَ حتى ترَون قبلَها عشرَ آياتٍ ” . فذكر الدخانَ ، والدجالَ ، والدابةَ ، وطلوعَ الشمسِ من مغربِها ، ونزولَ عيسى ابنِ مريم صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ، ويأجوجَ ومأجوجَ . وثلاثةَ خُسوفٍ : خَسفٌ بالمشرقِ ، وخَسفٌ بالمغربِ ، وخَسفٌ بجزيرةِ العربِ . وآخرُ ذلك نارٌ تخرج من اليمنِ ، تطردُ الناسَ إلى مَحشرِهم ” .
الراوي : حذيفة بن أسيد الغفاري | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 2901 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

Baginda Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu melihat sepuluh tanda. Lalu baginda menyebut asap, Dajjal, binatang, terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya ( Di sebelah Barat), turunnya Nabi Isa bin Maryam عليه السلام , tiga pemendapan yang besar, mendapan di Timur, mendapan di Barat, dan mendapan di semenanjung Arab.
Yang akhir, demikian itu adalah keluarnya api dari Yaman yang menggiring manusia ke tempat mahsyar mereka.”
(Sahih Muslim no 2901)

Hadith no 2:

عن أبي هريرة رضي اللله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :«ثلاث إذا خرجنلا ينفع نفسا إيمانها لم تكن آمنت أو أكتسبت في إيمانها خيرا: طلوع الشمس من مغربها والدجال ودابة الأرض

Takhrij:

وعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: “ثَلاَثٌ إِذَا خَرَجْنَ لاَ يَنْفَعُ نَفْساً إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْراً: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الأَرْضِ”.أخرجه مسلم، حديث (158)

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda :
Tiga perkara jika ia telah muncul, maka tidak bermanfaat keimanan seseorang atau imannya bertambah baik, iaitu terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan munculnya Dabbatul Ardh (binatang).

Fiqh hadith:
Bila keluar tiga tanda besar, iman tidak bermakna lagi, usaha menambah iman juga tidak ada manfaat, iaitu:

1. Terbitnya matahari dari Barat.

2. Munculnya Dajjal.

3. Munculnya Dabbah, binatang aneh yang boleh bercakap.

Hadith no 3:
Hadith fitnah paling besar iaitu fitnah Dajjal.

الدجال أكبر فتنة موجودة على ظهر الأرض على الإطلاق.
عن عمران ن حصين رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:«ما بين خلق آدم وقيام الساعة خلق أكبر من الدجال »وفي رواية :«أمر أكبر من الدجال

Berkata Syaikh Abd Rahman al Arifi, seorang pengarang, fitnah dajjal merupakan fitnah paling dahsyat di atas muka bumi secara mutlak.

Bermaksud, inilah ibu segala fitnah.

Takhrij hadith:

مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنَ الدَّجَّالِ

“Tidak ada satu pun makhluk sejak Adam diciptakan hingga terjadinya kiamat yang fitnahnya (cabarannya) lebih besar dari Dajjal.”
(HR. Muslim no. 2946)

Dalam versi lain (قَالَ أَمْرٌ أَكْبَرُ مِنْ الدَّجَّالِ) “urusan yang lebih besar dari fitnah Dajjal”.

An Nawawi رحمه الله menerangkan, “Yang dimaksud di sini adalah tidak ada fitnah dan masalah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal.”
(Syarah sahih Muslim)

Hadith no 4:
Hadith dajjal akhir zaman membezakan amaran Nabi ﷺ berbanding nabi-nabi yang lain

عن ابن عمر رضي الله تعالى عنهما قام رسول الله صلى الله عليه وسلم في الناس فأثنى على الله بما هو أهله ثم ذكر الدجال فقال : ( إني لأنذركموه وما من نبي إلا أنذره قومه لقد أنذر نوح قومه ولكني أقول لكم فيه قولا لم يقله نبي لقومه تعلمون أنه أعور وأن الله ليس بأعور ) . رواه البخاري (2892) ، ومسلم (169).

Dari Ibnu ‘Umar رضي الله عنه dia berkata, Rasulullah ﷺ berdiri di hadapan manusia lalu memuji Allah kerana memang Dialah satu-satunya yang berhak atas pujian kemudian baginda menceritakan Dajjal. Baginda bersabda,

إِنِّى لأُنْذِرُكُمُوهُ ، وَمَا مِنْ نَبِىٍّ إِلاَّ أَنْذَرَهُ قَوْمَهُ ، لَقَدْ أَنْذَرَ نُوحٌ قَوْمَهُ ، وَلَكِنِّى أَقُولُ لَكُمْ فِيهِ قَوْلاً لَمْ يَقُلْهُ نَبِىٌّ لِقَوْمِهِ ، تَعْلَمُونَ أَنَّهُ أَعْوَرُ ، وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِأَعْوَرَ

“Aku akan menceritakannya kepada kalian dan tidak ada seorang nabi pun melainkan telah menceritakan tentang dajjal kepada kaumnya. Sungguh Nabi Nuh telah mengingatkan kaumnya. Akan tetapi aku katakan kepada kalian tentangnya yang tidak pernah dikatakan oleh seorang nabi pun kepada kaumnya, iaitu dajjal itu buta sebelah matanya sedangkan Allah sama sekali tidaklah buta“.
(HR. Bukhari no. 2892 dan Muslim no. 169)

Menurut al hafiz Ibn Hajar رحمه الله , dajjal ini merupakan isu yang amat besar di akhir zaman yang membezakan amaran-amaran yang datang dari nabi terdahulu.

Umat Muhammad ﷺ secara khusus diberi ujian akan dajjal.

2. Nabi ﷺ memberi ciri khusus dajjal, iaitu dia cacat mata, yakni matanya buta sebelah.

Menurut Ibn Hajar رحمه الله yang mensyarah hadith ini, (Fathul bari, 8:97), riwayat Bukhari diutamakan dari yang lain, bahawa mata kanan dajjal yang buta.

Imam nawawi رحمه الله pula berkata, tidak kisah yang mana, mata kiri atau kanan kerana dalam versi Muslim, mata kiri yang buta.

Hadith no 5:
Nabi ﷺ khuatir akan keselamatan umatnya kerana dajjal muncul ketika baginda sudah wafat.

وعن نواس بن سمعان رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:«غير الدجال أخوفني عليكم؟ إن يخرج وأنا فيكم فأنا حجيجه دونكم وان يخرج ولست فيكم فامرؤ حجيج نفسه والله خليفتي على كل مسلم>

Takhrij:

في صحيح مسلم (2937) الإشارة إليه ، فعَنِ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ رضي الله عنه ، قَالَ : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( غَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُنِي عَلَيْكُمْ ، إِنْ يَخْرُجْ وَأَنَا فِيكُمْ ، فَأَنَا حَجِيجُهُ دُونَكُمْ ، وَإِنْ يَخْرُجْ وَلَسْتُ فِيكُمْ ، فَامْرُؤٌ حَجِيجُ نَفْسِهِ ، وَاللهُ خَلِيفَتِي عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ )

Terjemahnya:
Dari Nawwas bin Sam’aan رضي الله عنه , Nabi ﷺ bersabda:
“Bukan dajjal yang paling kutakuti pada kalian. Sesungguhnya jika dia (dajjal) itu keluar sedang aku di tengah-tengah kalian, maka aku akan menjadi pembela kalian. Tetapi jika dia (dajjal) itu keluar sedangkan aku tidak di tengah-tengah kalian, maka setiap orang hendaknya menjadi pelindung terhadap dirinya. Kerana Allah menjadi penggantiku terhadap setiap Muslim.”
(HR Muslim no 2973)

Fiqh hadith:
Berkata Imam nawawi رحمه الله yang merunsingkan nabi ﷺ ialah kemunculan dajjal adalah selepas kewafatan baginda, maka nabi ﷺ memberi dua tips:

1. Setiap orang hendaklah menjaga dirinya sendiri terlebih dahulu dengan iman dan amal yang kuat.

2. Nabi ﷺ menitipkan atau menyerahkan nasib umatnya di tangan Allah ﷻ.

NLP Presuposisi 9: It’s Better to Have Choices Than The Lack of Choices

0

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq.


9. It‘s better to have choices, than the lack of choices.

Lebih baik ada pilihan daripada tidak ada pilihan langsung.


Minda kita akan tertekan kalau kita tidak mampu keluar daripada masalah. Kita akan merasakan yang nasib kita teruk, tidak dapat menyelesaikan masalah, kena terima apa sahaja takdir tanpa ada peluang lagi. Kalau ini yang ada dalam minda kita, maka kesannya kita akan menjadi “stressed”.

Tetapi kalau kita ada pilihan, maka minda akan berasa lega sedikit kerana kita tidaklah terikat kepada satu perkara sahaja. Kita boleh pilih antara pilihan-pilihan yang ada. Walaupun tidaklah semua pilihan itu menarik, tetapi sekurang-kurangnya kita ada pilihan yang paling ‘tidak teruk‘. Jadi minda kita fikir: “Dari buat A, aku boleh buat C.”

Saya berikan satu contoh yang terkena dengan diri saya sendiri. Isteri saya menghidapi “relapsed Leukemia”. Pada tahun 2016 dia telah menjalani 5 sesi kemoterapi dan telah sembuh. Namun pada awal tahun ini, doktor mendapati Leukemia itu telah kembali.

Doktor telah memberikan 3 pilihan:
A. Menjalankan kemoterapi lagi dan kemudian menjalankan pembedahan “Bone Marrow Transplant”.
B. Memasukannya ke dalam Skim Percubaan Ubat.
C. Pakai ubat baru dalam pasaran yang baru sahaja diluluskan oleh FDA.

Ketiga-tiga pilihan di atas tidak memberangsangkan. Kerana semuanya menyebabkan isteri saya akan mengalami kesakitan yang amat teruk terus menerus dan boleh membawa kepada kematian. Dan kebarangkalian ia berjaya juga tidak tinggi kerana statistik kejayaan tidak memberangsangkan pun.

Tetapi, kerana minda saya tidak terikat dengan pilihan yang diberikan, maka ia mencari pilihan lain. Maka saya tidak terikat dengan perubatan Allopathy (perubatan hospital atau “modern medicine”). Saya mencari “alternative therapy” yang telah berjaya dan salah satunya adalah perubatan Ayurveda. Ia adalah sistem perubatan tertua dalam dunia (lebih tua dari “Traditional Chinese Medicine”).

Semasa kami diberikan dengan pilihan A hingga C, hati kami tidak tenang kerana tahu kesannya yang amat teruk daripada ketiga-tiga pilihan itu. Tetapi apabila kami ada pilihan D, maka hati kami lebih tenang.

*Caveat : contoh ini bukanlah ingin menolak “modern medicine” dan hanya ingin memberikan pilihan kepada anda. Anda kenalah membuat pilihan sendiri terutama dalam hal perubatan kerana kesannya yang amat berat (antara hidup dan mati).

Maka, kita kena melatih otak kita untuk mencari pilihan lain. Kena keluar dari ‘kotak minda’ (Outside the Box). Dan ini memerlukan latihan juga. Lebih mudah kalau dilakukan dengan Pengamal NLP kerana mereka akan lebih terlatih untuk “trigger” (mencetus) anda untuk mencari solusi lain. Pengamal NLP akan bertanya: “Ada lagi tak awak agak, solusi lain yang awak boleh cuba?” Selalunya jawapan ada dalam minda anda, tetapi anda sahaja tidak tahu cara untuk mengeluarkannya. Jadi Pengamal NLP akan tahu bagaimana cara untuk mengeluarkannya.

Sikap ini juga dapat mengelakkan diri kita daripada berasa putus asa. Selalunya kita akan berputus asa selepas mencuba sesuatu perkara namun tidak menjadi. Ramai yang otak terus “jammed”, tidak tahu untuk berbuat apa. Tetapi mereka yang ada pilihan akan bertanya kepadanya: “OK… cara ini tidak menjadi, apa lagi yang aku boleh buat?” Bila kita ada sikap begini, kita akan tanya soalan yang lebih baik.

Malangnya, ramai orang yang tidak pandai bertanyakan soalan yang baik. Selalunya soalan mereka tidak mengeluarkan dari masalah, malah membesarkan masalah. Contohnya mereka akan bertanyakan soalan berbaur negatif seperti: “Kenapalah nasib aku macam ini?”; “Kenapalah dia teruk sangat tak tolong aku?”; “Kenapalah hidup ini susah sangat?”; “Bagaimana aku nak salahkan orang lain untuk masalah ini?” dan macam-macam lagi soalan yang tidak bagus.

 

Harapnya anda nampak kelebihan presuposisi ini. Sikap ini sepatutnya sudah ditanam dalam diri kita semenjak daripada kecil lagi. Malangnya ia tidak diajar dan dilatih dalam keluarga dan masyarakat kita. Maka kita kena berusaha untuk mendapatkan kembali sifat ini. Kerana itulah kena pergi ke kelas NLP belajar dengan pengalaman, belajar dengan melihat, belajar membaca dan lain-lain lagi cara.

Jangan biarkan anak-anak anda pun mengalami masalah yang sama. Anda boleh latih anak-anak anda dari kecil lagi untuk mereka tahu yang mereka ada pilihan sebenarnya dalam kehidupan ini. Latih mereka untuk melihat pilihan dan membuat keputusan.

Sebagai contoh, jangan tetapkan pakaian apa yang mereka ingin pakai, tetapi letak tiga pakaian dan suruh mereka pilih. Minda mereka akan biasa dengan pilihan. Tidak kisahlah kalau seluar biru dan baju pink, bukannya mereka nak kena ada pakwe lagi pun!

Bila beli barang di pasar, minta mereka yang buat pilihan.

Bila hendak tengok rancangan TV, suruh mereka buat pilihan. Dan kemudian hormati pilihan mereka (OK, kesan buruk dia adalah lagu “Frozen Let it Go” akan terus berkumandang sampai nak muntah… ini kena latih dari tidak dengar sangat…).

Semoga anda dapat melatih diri anda untuk bertanya soalan-soalan yang proaktif untuk mendapatkan pilihan yang memberangsangkan.

🔖📌

Soal Jawab

Selalunya saya yang akan menetapkan anak-anak memakai baju apa, serta untuk suami juga saya yang uruskan sekali. Pernah sekali anak saya hendak membuat pilihan yang lain tetapi saya menyuruh anak-anak mengikut pilihan saya. Jadi maksudnya, saya perlu bagi dia peluang untuk membuat pilihannya sendiri?

Umur berapakah yang paling sesuai untuk diberikan mereka peluang untuk membuat keputusan sendiri?


Ya, terus mulakan sekarang bagi pilihan kepada mereka. Biar mereka belajar membuat keputusan.

Tiada had umur untuk dimulakan. Asalkan boleh memilih. Anak saya dulu mula-mula tidak tahu hendak memilih. Kemudian dia pandai tunjuk sahaja. Sekarang sudah pandai memadankan apa yang dia suka.

Alhamdulillah. Bila sudah bagi pilihan kepadanya, hormati pilihan dan kehendak apa yang dia hendak pakai. Kecualilah pakaian yang tidak menutup aurat pula.

Anak sulung saya berumur 14 tahun. Dia pernah memberitahu saya adakah dia boleh membuat pilihannya sendiri. Tetapi saya sudah biasa menguruskan mereka. Saya tidak suka keadaan menjadi berserabut kerana sudah disusun dengan sempurna. Maksudnya di sini, saya perlu mula akan memberinya peluang untuk membuat pilihan sendiri?

Jika berkenaan pelajaran akademik pula dia tidak berminat bersukan tetapi cikgu memilih dia untuk menyertainya tetapi dia tidak mahu sertai dengan alasan akan ketinggalan untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan.

Saya kasihankan dia. Walaupun rajin membuat latihan tetapi kebanyakan mata pelajarannya agak lemah. Saya tidak tahu di mana silapnya. Apakah perlu saya memberi kelas kemahiran untuknya ?


Ini berkenaan “The theory of multiple intelligences” yang dipopularkan oleh Howard Gardner. Panjang untuk diceritakan dalam ruang yang terhad ini.

Ringkasnya ibubapa kenalah berikan peluang kepada anak mereka untuk menceburi bidang yang dia sendiri sukai. Jika kita paksa dia ke bidang yang lain, maka semuanya akan jatuh.

Bab keibubapaan boleh ikuti mentor saya, iburose. Follow dia di FB.

Ibubapa selalunya inginkan anaknyaa “word smart” sahaja. Itu jenis kepandaian akademik. Contohnya cemerlang di dalam peperiksaan.

Tetapi bukan semua ada “intelligence” itu. Contohnya ada yang tidak pandai akademik tetapi dia “body smart” iaitu pandai bersukan.

Kesilapan ibubapa adalah inginkan juga anaknya yang “body smart untuk” menjadi “word smart” juga. Tentulah anak itu memberontak dan semangat dia hilang. Akhirnya semua akan hancur.

Bayangkan setiap intelligence itu sebagai satu mutiara dalam kalung mutiara seperti gambar di atas.

Kalau untuk anak yang “body smart” itu kita support benda yang dia suka, kita akan angkat mutiara itu ke atas.

Apa akan jadi dengan mutiara-mutiara yang lain?

Tentu mutiara-mutiara yang lain pun akan naik juga, bukan?

Saya mengaku saya agak tertekan setiap kali menerima keputusan peperiksaan anak. Kedudukan akademik anak saya dari tadika hingga ke darjah empat adalah bagus tetapi kemudiannya merosot teruk selepas itu. Sehingga sekarang saya masih mencari lagi di mana silapnya. Setiap tahun saya akan membeli buku untuknya membuat latihan. Dia buat tetapi saya tidak pasti dia faham ataupun tidak. Menjelang hari peperiksaan dia akan beritahu saya dia boleh buat tetapi malangnya keputusannya adalah sebaliknya. Suami saya melihat saya stress dan dia beritahu jika dia tidak mahir dalam akademik mungkin ada kemahiran yang lain dia mahir. Masalahnya cita-cita dia masih sama ingin menjadi seorang doktor namun akademiknya tidak melayakkannya. Saya tidak mahu dia stress sebab tidak dapat apa yang dicita-citakannya.

Kita berkomunikasi dari “state to state”. (keadaan demi keadaan). Kalau awak pun stress, awak akan berkomunikasi dengan cara stress dan dia pun akan lagi stress. Maka kena tenangkan diri.

Ingat “unconditional love”. Kita sayang anak kita bukan bersebab. Bukan dia pandai baru kita sayang. Tunjukkan kita sayang dia walaupun dia tidak maju dalam pelajarannya.

Suami awak nampaknya lebih terbuka dan faham mungkin dia boleh mencari benda lain yang dia minat. Biasalah tukar-tukar minat sebegini. Bukannya sama sahaja. Zaman saya asalnya semua ingin menjadi bomba atau polis. Sebab itu sahaja karier yang nampak di TV. Mungkin dia pun suka melihat cerita doktor di TV. Tetapi minta dia tengok profesi-profesi yang lain juga.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-58 dan Ke-59

0

Tafsir Ayat Ke-58

Ini adalah ayat berkenaan suruhan Allah ‎ﷻ untuk mereka masuk ke dalam kota. Susunan cerita dalam al-Qur’an tidaklah mengikut kronologi kejadian semasa zaman itu. Sebelum ini merujuk kepada kisah di padang pasir dan sekarang kembali kepada kisah di luar kota pula. Ini adalah kerana apa yang hendak disampaikan oleh al-Qur’an adalah pengajaran kepada manusia, bukannya sejarah ataupun buku cerita.

Ayat ke-58 dan ke-59 ini menceritakan hukuman yang dikenakan kepada tok nenek puak Yahudi yang ada di Madinah. Ada dua hukuman yang dikenakan kepada mereka yang akan disebut nanti. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kepada anak cucu mereka yang duduk di Madinah bagaimana sifat tok nenek mereka dahulu. Dan hendak memperkenalkan siapakah Yahudi yang sebenarnya ini kepada bangsa Arab yang hormat sangat kepada Yahudi itu.

Kata-kata dalam ayat ini adalah tentang anak-anak puak Bani Israil yang sesat di Padang Tih. Bapa-bapa mereka ramai yang telah mati. Bapa-bapa mereka adalah golongan yang menolak arahan Allah ‎ﷻ dan Nabi Musa عليه السلام kepada mereka untuk berperang sebelum masuk ke dalam Kota Palestin.

Selama mereka di Padang Tih, mereka telah diberikan makanan dari langit, Manna dan Salwa dan air diberikan apabila Nabi Musa عليه السلام mengetuk batu dengan tongkat. Tetapi mereka sudah jemu dengan makanan yang Allah ‎ﷻ berikan.

وَإِذ قُلنَا ادخُلوا هٰذِهِ القَريَةَ فَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم رَغَدًا وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا وَقولوا حِطَّةٌ نَغفِر لَكُم خَطاياكُم ۚ وَسَنَزيدُ المُحسِنينَ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘Ya Allah ampunilah dosa kami’; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

وَإِذْ قُلْنَا

Dan ingatlah ketika Kami berfirman:

Allah ‎ﷻ berfirman kepada golongan anak-anak Yahudi yang sesat di Padang Tih.

ادْخُلُوا هَٰذِهِ الْقَرْيَةَ

Masuklah kamu ke dalam bandar

Bandar yang dimaksudkan adalah Bandar Baitulmaqdis di Palestin; selepas mereka sesat selama 40 tahun di padang pasir itu, mereka dititahkan untuk memasuki bandar itu. Ada juga yang kata nama bandar itu adalah ‘Jericho’.

Ada kisah sebelum kisah-kisah yang disebut di dalam ayat ini. Di dalam bandar itu ada kaum yang gagah, pahlawan. Mereka itu telah berbuat banyak kerosakan. Maka Allah ‎ﷻ telah memerintahkan Bani Israil untuk berperang dengan puak dalam bandar itu. Dan selepas dikalahkan mereka itu, Bani Israil boleh duduk di bandar itu. Jikalau mereka menyerang kaum yang ada dalam bandar itu, Allah ‎ﷻ akan memberikan kemenangan kepada mereka.

Namun, mereka tidak mahu kerana takut. Dalam surah lain ada dikisahkan bagaimana mereka suruh Nabi Musa عليه السلام dan Allah ‎ﷻ yang lawan sendiri. Selepas mereka tidak menurut perintah itulah yang menyebabkan mereka telah disesatkan di padang pasir selama 40 tahun itu. Kisah itu telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Begitulah, kisah dalam al-Qur’an tidak semestinya dalam bentuk susunan bilakah kejadian itu terjadi.

Selepas kematian Nabi Musa عليه السلام dan selepas Nabi lain diangkat (Yusha’ bin Noon عليه السلام), iaitu selepas generasi baru lahir, dan selepas mereka melihat kepayahan mereka hidup di padang pasir setelah sekian lama, barulah mereka mahu untuk masuk menentang penduduk bandar itu. Dan selepas mereka mahu berperang, Allah ‎ﷻ telah memberikan kejayaan kepada mereka.

Al-Qur’an tidak perlu memberikan maklumat yang banyak tentang sejarah Bani Israil ini. Tidak perlu disebutkan bilakah kejadian itu terjadi dan di manakah ia terjadi. Memang golongan Yahudi itu mengetahui dengan mendalam sejarah mereka. Mereka amat berbangga dengan sejarah mereka dan kerana itu ia telah diturunkan turun temurun. Maka, Allah ‎ﷻ tidak perlu menyebut banyak pun – Allah ‎ﷻ suruh mereka ingat kembali sahaja.

Lagipun, al-Qur’an bukan buku sejarah. Apa yang hendak disampaikan adalah pengajaran yang boleh diambil dari sesuatu kisah itu.

فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ

Maka makanlah di mana sahaja yang kamu hendak;

Mereka boleh pilih hendak makan di mana sahaja apabila mereka sudah memasuki kota itu.

رَغَدًا

dengan penuh selera;

Maknanya, makanlah banyak mana pun, sepuas-puasnya, tidak ada sekatan. Kata-kata yang sama kita telah baca apabila Allah ‎ﷻ berkata perkara yang sama kepada Adam عليه السلام dan Hawa dalam ayat ke-35 sebelum ini. Sekali lagi kata-kata yang sama telah dikatakan kepada Bani Israil.

وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا

Dan masuklah kamu dalam pintu kota itu dalam keadaan sujud;

Inilah syarat untuk mereka yang dikenakan oleh Allah ‎ﷻ. Seperti juga ada syarat kepada Nabi Adam عليه السلام dan Hawa semasa di Syurga, iaitu tidak boleh makan pokok larangan, begitu juga kepada Bani Israil, syarat yang dikenakan adalah masuk ke dalam kota itu dalam keadaan tunduk. Iaitu kalau mereka menunggang kuda, mereka hendaklah tundukkan kepala mereka – sampai rapat kepala mereka dengan tengkuk kuda itu.

Namun sebaliknya, mereka masuk dengan keadaan mengesot dengan punggung masuk dahulu. Patutnya masuk dengan tunduk lagi mudah, bukan? Tetapi mereka tidak berbuat begitu. Mereka buat tidak seperti yang disuruh kerana mereka bangsa yang degil.

وَقُولُوا حِطَّةٌ

Dan kamu katalah: “permohonan kami adalah pengampunan dosa”;

Maknanya adalah istighfar – memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ. Itulah syarat yang dikenakan kepada mereka – masuk dalam keadaan sujud sambil menyebut حِطَّةٌ. Maksud sambil meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Maksud perkataan itu asalnya adalah ‘menurunkan beban yang dibawa’ – mereka ada banyak dosa bebanan yang mereka tanggung. Maka mereka diajar untuk memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Nabi Adam عليه السلام diajar bagaimana cara memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ, mereka juga telah diajar sendiri oleh Allah ‎ﷻ bagaimana untuk memohon ampun.

Beruntung sekali mereka, untuk memohon ampun pun Allah ‎ﷻ sudah ajar sekali. Macam-macam kelebihan mereka dapat. Mereka sahaja tidak mahu menghargainya.

نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَايَاكُمْ

Kami akan ampunkan dosa kamu;

Allah ‎ﷻ sudah cakap: kalau mereka buat seperti yang disuruh itu, Dia akan mengampunkan dosa mereka. Cuma ikut sahaja apa yang telah disuruh.

وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ

dan Kami akan tambah kepada sesiapa yang berbuat baik;

Allah ‎ﷻ akan menambah darjat mereka yang melakukan kebaikan. Allah ‎ﷻ akan tambah dengan balasan-balasan lain kalau mereka buat begitu.

Tafsir Ayat Ke-59

Ayat di atas adalah apa yang disuruh mereka buat. Namun apakah sebaliknya yang mereka buat?

فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَنزَلنا عَلَى الَّذينَ ظَلَموا رِجزًا مِنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ

Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu, bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).

فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka diubah oleh orang-orang yang zalim itu

Lain yang disuruh, lain pula apa yang mereka buat. Mereka bukan masuk dengan sujud dan tunduk, tetapi mereka masuk dengan punggung mereka kerana melawan arahan Allah ‎ﷻ.

قَوْلًا

perkataan;

Kalimah yang Allah ‎ﷻ suruh mereka cakap pun mereka ubah. Mereka ubah dengan kata: habbatun fi sya’rani – bermaksud: biji gandum dalam tepung. Ataupun ada yang kata mereka menukar perkataan itu jadi: hinthah – Satu perkataan yang bermaksud minta gandum kepada Ilahi.

Maknanya, mereka bukan hendak tunduk kepada Allah ‎ﷻ, tetapi fikirkan gandum sahaja. Mereka fikirkan makanan sahaja. Atau, mereka main-main dengan kalimah dari Allah ‎ﷻ sendiri.

غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ

bukan dari perkataan yang mereka disuruh katakan;

Mereka mengulang-ulang menyebut perkataan itu. Ini adalah satu perbuatan mengejek.

Berdosa besar apabila menukar perkataan yang Allah ‎ﷻ telah pilihkan. Oleh itu, apabila ada di kalangan orang Islam menukar perkataan Allah ‎ﷻ, maka mereka telah membuat satu kesalahan.

Contohnya, ada yang telah telah mengubah perkataan ‘istawa’ yang telah berada dalam al-Qur’an. Mereka mengatakan bahawa perkataan itu bermaksud ‘istawla’ – memerintah. Itu juga adalah satu satu perbuatan mengubah perkataan Allah ‎ﷻ.

فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka Kami timpakan ke atas orang-orang yang zalim itu

Allah ‎ﷻ murka dengan apa yang mereka lakukan dan Allah ‎ﷻ berikan balasan yang buruk. Inilah salah satu dari dua hukuman yang dimaksudkan dalam kumpulan ayat-ayat ini.

رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ

bala dari langit;

Bala yang dimaksudkan di sini adalah penyakit taun. Ramai yang mati kerana ditimpa penyakit taun itu. Ada juga yang kata penyakit yang dikenakan kepada mereka adalah bahagian dalam badan mereka dikeluarkan. Sampaikan kulit mereka seperti tersiat. Allahu a’lam.

بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Dengan sebab mereka berbuat fasik.

Balasan yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kefasikan mereka. Padahal mereka ini adalah anak cucu kepada tok nenek mereka yang telah menyembah patung anak lembu. Yang menyembah patung anak lembu itu semuanya telah dibunuh. Namun mereka yang disuruh masuk ke kota itu masih lagi tidak mengambil pengajaran.

Mereka ini telah sesat di padang pasir selama 40 tahun. Mereka telah diberi kelebihan makan makanan dari langit. Itu adalah satu nikmat dan keajaiban yang sepatutnya menguatkan iman mereka tetapi mereka masih lagi berbuat zalim dan berbuat fasik.

Perkataan yang digunakan dalam ini: يَفْسُقُونَ adalah dalam bentuk “present tense”: menunjukkan mereka masih lagi berbuat fasik. Perkataan كَانُوا bermaksud yang sudah lepas. Bermakna, mereka dahulu berbuat fasik, dan sekarang pun mereka masih berbuat fasik lagi.

Mereka telah diberikan peluang untuk membersihkan dosa mereka dengan menyebut-nyebut perkataan yang Allah ‎ﷻ telah mengajarkan mereka supaya Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa mereka. Ingatlah bagaimana apabila Nabi Adam عليه السلام diajar kalimat untuk digunakan untuk memohon ampun, Allah ‎ﷻ telah berkenan mengampunkan kesalahannya.

Namun apabila diberikan perkataan untuk memohon ampun kepada Bani Israil, mereka telah mengejek perkataan itu dengan menukarnya kepada perkataan yang lain. Maka patut sangatlah azab yang dikenakan kepada mereka.

Allahu a’lam.

Talbis Iblis: Iblis Menyerang Kekuatan Manusia

0

Iblis Menyerang Kekuatan Manusia

Manusia diberikan 3 kekuatan, semenjak daripada Nabi Adam عليه السلام lagi:

1. Quwwah Syahwaniyyah: Kekuatan untuk berkeinginan. Menginginkan manfaat serta pelbagai kehendak.

2. Quwwah Ghadabiyyah: Kekuatan untuk marah. Kekuatan untuk menolak mudharat.

Kedua-dua kekuatan ini adalah normal. Ada kebaikan dan ada keburukan. Kebaikan kalau digunakan dengan baik. Keburukan kalau salah guna atau berlebihan.

Kerana itu ada kekuatan satu lagi:

3. Quwwah Aqliyah: Kekuatan akal yang mengawal syahwat dan ghadab. Hendak digunakan bila, guna bagaimana dan setakat mana.

Iblis akan menghasut manusia untuk menyalahguna salah satu daripada 3 kekuatan ini. Sebab iblis sudah tahu manusia ada ketiga-tiganya. Maka dia akan serang bagi manusia salah guna.

Lihat ayat [Furqan:68]:

وَالَّذينَ لا يَدعونَ مَعَ اللَّهِ إِلٰهًا آخَرَ وَلا يَقتُلونَ النَّفسَ الَّتي حَرَّمَ اللَّهُ إِلّا بِالحَقِّ وَلا يَزنونَ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ يَلقَ أَثامًا

Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya),

Disebut tiga kesalahan dalam ayat ini:

1. Sembah ilah lain berserta Allah ‎ﷻ. Ini adalah syirik.

2. Membunuh jiwa lain tanpa haq.

3. Zina.

Ini adalah kerana gagal menggunakan tiga kekuatan tadi. Ditipu oleh Iblis:

1. Syirik kerana gagal guna akal. Buat benda bodoh.

2. Bunuh orang lain kerana gagal kawal kekuatan ghadabiyah. Marah orang sampai bunuh orang. Ini adalah kemuncak.

3. Berzina apabila gagal mengawal nafsu syahwat.

💭💭

Soal Jawab

Soalan:

No 3 ni bukan setakat zina beratkah? Adakah zina mata, mulut, tangan termasuk sama?

Jawapan:
Semua zina termasuk mata, tangan, mulut, etc.

Dan bukan zina sahaja. Zina tu paling tinggi. Syahwat ni banyak. Makan, main game, tengok bola serta keinginan yang bermacam-macam yang tidak terkawal.

Soalan:
No 2 ni biasa saya sendirilah, tewas juga marah hendak senyum terasa pahit sahaja, macam makan jadam. Bagaimana cara untuk turunkan rasa marah? Duduk, ambil wudhu’ sudah dibuat tetapi rasa mencabar sebab marah sangat?

Jawapan:
Inilah latihan diri kita sebenarnya. Ada orang yang dilahirkan pemarah. Jadi dia kena usaha lebih sedikit untuk didik hatinya.

Jangan salahkan takdir dengan berkata: “Dah Allah buat aku pemarah, nak buat cemana?”

Jangan begitu. Memang Allah ‎ﷻ jadikan kita pemarah, tetapi kita tidak boleh terus redha sahaja dengan kejadian itu. Kita kena latih diri kita.

Banyakkan tarik nafas. Tenangkan diri. Tidak semua terjadi seperti yang kita kehendaki, bukan? Kita selalu marah kerana benda terjadi tidak seperti yang kita inginkan. Maka kena sabar kerana itu adalah takdir Allah ‎ﷻ.

Talbis Iblis: Bid’ah

0

Talbis Iblis yang Kedua: Bid’ah.

Harapnya semua sudah faham bahawa amalan bid’ah ini adalah amalan yang tidak diterima di dalam Islam. Dalilnya amat banyak sekali.

Kesannya kepada agama pun amat berat.

Iblis amat berjaya menggunakan penipuan dengan Bid’ah ini, sampaikan banyak sekali yang terjerumus di dalamnya. Mereka sangka mereka mengamalkan agama, tetapi sebenarnya mereka merosakkan agama.

Memang ia amat halus dan kerana itu ramai tertipu. Mereka tidak dapat membezakan antara bid’ah dan amalan soleh. Maka ramailah yang banyak amalan, tetapi amalannya bid’ah sahaja. Bukan sahaja tidak ada pahala, malah membawa dosa.

Sememangnya ada cabaran untuk kita dakwah kepada umat. Ini adalah kerana semua ulama’ setuju bahawa bid’ah itu salah. Tetapi tidak semua ulama’ bersetuju dan sepakat mana satu amalan bid’ah dan tidak. Maka kerana itu banyak khilaf. Ada yang menolak semua sekali amalan bid’ah, dan ada pula yang agak lembut.

Jadi nampak ulama’ tidak bersepakat dalam hal ini. Sebab itu ada ulama’ membenarkan sesuatu amalan dan ada yang tidak.

Ini biasa sahaja dan kita pun telah belajar bab ikhtilaf. Memang tidak ada ada persetujuan 100%. Maka kena terus belajar dan belajar.

🗯🗯

Soal Jawab

Soalan:
Ustaz boleh berikan amalan bid’ah bagi pihak yang berlembut? Kerana seperti apa yang ustaz kata ijmak kata bid’ah itu salah jadi kalau begitu mereka semestinya sudah ada garis panduan pengertian bid’ah dan sekaligus sudah tahu amalan semua bid’ah tertolak.

Dari mana boleh dikatakan khilaf kerana khilaf berpandukan sunnah yang berpandukan pula kepada dalil yang hanya berbeza tafsiran antara sahabat ataupun ulama’?

Dan apa pendapat ustaz tentang mereka yang membahagikan bid’ah itu sendiri kepada pecahan seperti Imam Syafi’iy menjadi 2 dan Imam Nawawi/Izz Abdus salam menjadi 5? Adakah salah tafsiran kita terhadap pecahan itu yang membuka ruang bid’ah kerana sandaran mereka kepada ulama’ sedemikian?

Jawapan:
Itu dinamakan bid’ah idhofiah. Idhofiah maksudnya: tambahan.

Mereka kata, Nabi pun berzikir. Kita jawab: ya, tapi bukan seperti cara yang awak buat. Awak buat penambahan kepada cara Nabi, maka ia adalah bid’ah juga. Perinciannya: bid’ah idhofiah.

Mereka menggunakan akal untuk mencari logik sesuatu amalan itu. Padahal Islam adalah agama dalil. Akal kena dipandu oleh dalil.

Semua terima bid’ah itu tidak boleh, tetapi garis panduannya tidak semua bersetuju. Begitulah agama Islam ini, ada banyak pendapat. Jadi tidak ada satu garis panduan yang diterima oleh semua orang. Kembali kepada bab ikhtilaf sebelum ini.

Imam Syafi’iy kata bid’ah ada dua: mahmudah dan mazmumah.

Semua orang tahu beliau kata begitu. Tetapi ada tengok tidak tambahan penjelasan daripada beliau?

Beliau kata: yang bertepatan dengan sunnah, ia adalah mahmudah. Yang berlawanan dengan sunnah, ia adalah mazmumah.

Maknanya, kembali kepada perbuatan Nabi juga.

Izz Abdus Salam ulama’ besar. Begitu juga Imam Nawawi.

Bila beliau kata bid’ah terbahagi kepada 5, beliau menggunakan kaedah semua perbuatan ada 5 hukum itu bergantung kepada keadaan. Tidak salah pun beliau cakap, tetapi kenalah faham apakah yang dimaksudkan.

Maka kalau ada yang kata bid’ah hasanah, ya saya pun setuju tetapi bukan dalam bab ibadat. Sebagai contoh pembahagian oleh Izz Abdus Salam:

1. Bid’ah wajib: mengklasifikasi ilmu agama dan mengajarnya. Zaman dahulu tidak ada klasifikasi sebegini namun kerana wajib diajar, maka untuk memudahkan umat, diberikan klasifikasi: mana usuluddin, usul hadis, usul fiqh, sejarah etc.

2. Bid’ah Sunat: buat bangunan sekolah.

3. Bid’ah Haram: baca Qur’an dengan cara yang sampai mengubah maknanya.

4. Bid’ah makruh: contohnya menghias masjid.

5. Bid’ah harus: pelbagai jenis makanan atas satu meja.

Halus bab bid’ah ni. Hendak cari pemahaman pun akan ambil masa. Kalau mula belajar, tentu akan pening.

Tetapi kembali kepada Talbis Iblis. Salah satu cabang talbis adalah tazyeen: mencantikkan. Syaitan akan bagi nampak cantik amalan bid’ah itu sampai pelakunya tidak nampak salah. Maka mereka akan terus melakukannya dan mempertahankannya kalau kita tegur.


Soalan:
Kadangkala manusia tersepit di antara perbuatan sunnah yang dalilnya umum. Dalam keadaan begini ada perkara yang tidak ada pada perbuatan nabi tapi bila dilakukan adakah boleh dikatakan bid’ah? Sebagai contoh Allah dan nabi menyuruh kita berselawat kepada Rasulullah secara umum. Tetapi kalau kita buat umpamanya saya tetapkan ok hari ini saya berselawat kepada nabi misalnya dalam perjalanan ke tempat kerja sebanyak 50 kali dan saya jadikan rutin. Dalilnya umum tetapi dijadikan khusus dengan hari dan bilangan untuk diri saya sendiri. Bolehkah begitu?

Jawapan:
Kalau kita hendak buat amalan kita, ikut kesesuaian kita, tidak mengapa. Macam kita susun kerja kita, maka ibadat kita pun boleh susun. Hendak selawat sekian banyak, hendak baca Qur’an sekian banyak mukasurat, salat sunat dan sebagainya. Bila kita susun, dapat buat banyak perkara.

Tetapi yang jadi bid’ah apabila diletakkan kelebihan kepada sesuatu amalan itu. Contohnya, kalau selawat 50 kali dapat sekian dan sekian. Ini yang jadi bid’ah.

 

Soalan:
Kalau kita buat tanpa menetapkan hari, bilangan dan masanya iaitu bila-bila masa sahaja?

Jawapan:
Boleh juga tetapi kalau hendak buat tersusun pun boleh sebab takut tertinggal.

Sebagai contoh, kalau kita baca Qur’an ‘bila ada masa’, akhirnya tiada masa memanjang. Maka boleh tetapkan, hendak baca satu juz sehari. Ini kita tetapkan atas diri kita sahaja, tidak ada pahala khusus.

 

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-56 dan Ke-57

0

Tafsir Ayat Ke-56

Ini selepas mereka dimatikan, Nabi Musa عليه السلام bimbang kalau baginda yang dituduh telah membunuh mereka itu. Melihatkan kejadian itu, Nabi Musa عليه السلام merayu kepada Allah ‎ﷻ, kalau yang wakil itu dimatikan, apa lagi yang baginda hendak beritahu kepada umatnya yang lain?

Padahal 70 orang itu adalah wakil yang telah dipilih dan dikira yang paling bagus dan lebih cerdik kalau dibandingkan dengan kaum mereka yang lain. Nanti takut baginda dituduh membunuh golongan yang pandai supaya yang tinggal itu golongan yang bodoh sahaja dan senang untuk baginda kawal mereka. Maka, Musa عليه السلام ‎berdoa kepada Allah ‎ﷻ semoga dihidupkan mereka kembali.

ثُمَّ بَعَثناكُم مِن بَعدِ مَوتِكُم لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

ثُمَّ بَعَثْنَاكُمْ مِنْ بَعْدِ مَوْتِكُمْ

Kemudian Kami bangkitkan kamu hidup selepas matinya kamu;

Inilah nikmat keenam yang dimaksudkan iaitu setelah mereka dimatikan, mereka dihidupkan kembali. Banyak cubaan untuk menafsirkan ayat ini dengan cara lain. Ini kerana ada yang susah untuk terima orang yang sudah mati, boleh hidup balik. Yang seeloknya, kita terima bahawa memang Allah ‎ﷻ telah mematikan mereka, dan Allah ‎ﷻ telah menghidupkan mereka kembali. Allah ‎ﷻ mampu untuk melakukannya.

Maka Allah ‎ﷻ menghidupkan mereka semula dan mereka semua bertaubat. Takkan sudah mati tidak bertaubat lagi? Dan apabila mereka pulang, mereka telah memberitahu kisah yang terjadi kepada kaum mereka yang tidak ikut itu.

Walaupun begitu, pun mereka masih tidak terima juga. Sampai mereka kata wakil-wakil itu semuanya telah berpakat dengan Nabi Musa عليه السلام untuk menipu mereka. Mereka tuduh Nabi Musa عليه السلام memberi rasuah kepada 70 orang wakil mereka itu. Begitulah teruknya puak Yahudi itu.

Maka kerana kedegilan mereka, Allah ‎ﷻ telah mengangkat gunung ke atas kepala mereka untuk menakutkan mereka dan paksa mereka taat. Allah ‎ﷻ suruh mereka membuat keputusan sama ada hendak terima atau tidak. Kalau tidak terima, gunung itu akan dijatuhkan ke atas mereka. Selepas mereka berjanji untuk taat, barulah Allah ‎ﷻ mengalihkan gunung itu dan diletakkan di tempat lain. Ini semua disebut dalam al-Qur’an dalam ayat yang lain.

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mudah-mudahan kamu bersyukur.

Allah ‎ﷻ mengatakan supaya ‘mudah-mudahan kamu bersyukur’. Padahal, mereka dibunuh kerana mereka tidak taat. Kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan kata ‘syukur’ dalam ayat ini? Kerana kalau seseorang itu benar-benar bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, dia akan taat kepada arahan Allah ‎ﷻ.

Sebab itu kita kena faham, ‘syukur’ itu bukan hanya menyebut ‘alhamdulillah’ berkali-kali sahaja. Tetapi perlu diikuti dengan perbuatan iaitu kita kena taat kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, kita lakukan. Apa yang Allah ‎ﷻ larang, kita tinggalkan.

Maka, jasa Allah ‎ﷻ adalah Allah ‎ﷻ menghidupkan semula 70 orang wakil itu selepas mereka dimatikan. Tujuan dihidupkan semula itu adalah supaya mereka dapat bersyukur. Bersyukur kerana mereka dapat bertaubat selepas dihidupkan dan tidak terus mati sampai ke neraka.

Maka, para sahabat yang sedang membaca al-Qur’an itu, barulah tahu tentang kisah-kisah puak Yahudi itu. Semua kisah itu tidak diceritakan oleh puak Yahudi di Madinah. Ini adalah rahsia mereka kerana mana mungkin mereka akan membuka pekung mereka sendiri.

Tafsir Ayat Ke-57

Ini adalah nikmat yang ketujuh.

Ini adalah dalam peristiwa berlainan. Apabila mereka sudah terima Taurat, Nabi Musa عليه السلام berkata untuk mengamalkan Taurat itu, kena pulang ke Palestin, tempat asal mereka. Di sanalah nanti mereka boleh mengamalkan syariat seperti yang ada dalam Taurat itu.

Cuma pada masa itu tempat tersebut sedang dijajah oleh golongan yang angkuh dan ganas iaitu golongan Amaliqah. Mereka kena balik dahulu ke Palestin itu dan berperang dengan puak yang sedang mendudukinya waktu itu. Selepas mengalahkan mereka itu, barulah Bani Israil dapat duduk di Palestin.

Apabila dengar sahaja kena berperang, Bani Israil tidak mahu. Nabi Musa عليه السلام berkata, berperang itu syarat sahaja, kerana Allah ‎ﷻ sudah menjanjikan kemenangan. Hanya suruh berperang sahaja dan Allah ‎ﷻ akan halau puak itu dengan qudrat-Nya. Allah ‎ﷻ akan bantu mereka mencapai kemenangan dengan mudah.

Yang hanya ikut Nabi Musa عليه السلام hanya dua orang sahaja, salah seorangnya adalah yang akan naik menjadi Nabi, iaitu Yusha’ bin Nun. Yang selain dari dua orang itu, mereka suruh Nabi Musa عليه السلام dan Allah ‎ﷻ sendiri pergi berperang. Mereka hendak tunggu di luar sahaja, apabila sudah menang baru mereka akan masuk.

Akibat daripada kata-kata kurang ajar mereka itu, Allah ‎ﷻ telah sesatkan mereka di satu padang pasir selama 40 tahun. Nama padang pasir itu adalah Padang Tih. Dalam 40 tahun itulah Nabi Musa عليه السلام wafat bersama dengan mereka yang telah kurang ajar bercakap dengan Nabi Musa عليه السلام dahulunya. Yang hanya boleh keluar dari kesesatan di padang itu hanya anak cucu mereka.

Merekalah yang telah pergi untuk berperang di Palestin dan menawan kota Palestin di bawah pimpinan Nabi Yusha’ عليه السلام. Dalam riwayat, dikatakan yang luas padang itu hanyalah 32 batu persegi sahaja. Tetapi mereka disesatkan oleh Allah ‎ﷻ sampai tidak jumpa jalan keluar. Mereka berpusing-pusing dalam padang yang tidak berapa luas itu. Sesat sampai 40 tahun itu adalah sebagai hukuman Allah ‎ﷻ di atas kedegilan mereka.

Di manakah nikmat yang dimaksudkan? Semasa sesat di padang itu, tentulah tidak ada makanan dan minuman. Namun Allah ‎ﷻ dengan qudrat-Nya, telah membantu mereka – untuk air Nabi Musa عليه السلام disuruh mengetuk batu dan keluar air untuk minuman mereka; dan mereka diberikan dengan makanan yang turun dari langit seperti sejenis burung dan diberikan dengan sejenis manisan (Manna dan Salwa).

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang menyesatkan mereka di situ, tidak boleh pergi mana-mana, maka Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada mereka makanan, pakaian dan sebagainya. Sama juga kalau kerajaan Malaysia memenjarakan banduan, sehingga mereka tidak boleh cari makan sendiri, maka kerajaan Malaysia lah yang kena berikan makanan kepada mereka.

Ini adalah satu keajaiban yang ditunjukkan dan diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ hendak tunjuk yang Dia boleh berbuat apa sahaja asalkan mereka ikut sahaja syariat daripada Allah ‎ﷻ. Oleh itu nikmat yang disebut dalam ayat ini adalah Allah ‎ﷻ telah berikan makanan dan minuman kepada mereka.

وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّباتِ ما رَزَقناكُم ۖ وَما ظَلَمونا وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ

Dan Kami teduhkan atas kamu dengan awan;

Pada siang hari, awan akan meneduhkan mereka dari terik panas matahari. Kata الْغَمَامَ bermaksud awan jenis yang menggembirakan hati mereka – sebagai peneduh. Mereka di padang pasir waktu itu dan tentu tidak ada pelindung dari kepanasan melainkan awan itu.

Sepanjang hari, mereka akan berjalan lebih kurang sejauh 20 batu. Esok mereka akan jalan ke arah lain pula sampai malam. Mereka berpusing-pusing dalam kawasan yang sama selama 40 tahun. Begitulah cara Allah ‎ﷻ sesatkan mereka. Walaupun mereka berada dalam kawasan yang kecil, namun mereka masih sesat lagi. Oleh kerana mereka berjalan dalam kepanasan terik matahari, maka Allah ‎ﷻ berikan teduhan kepada mereka.

وَأَنْزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ

Dan Kami turunkan ke atas kamu Manna dan Salwa;

Allah ‎ﷻ menurunkan makanan daripada syurga kepada mereka: Manna itu seperti campuran madu dan susu. Mereka tidak perlu berusaha untuk mencari makanan itu. Mereka boleh ambil sahaja di ranting-ranting kayu waktu pagi.

Salwa itu seperti burung Puyuh. Apabila turun ke bumi, sudah siap masak. Atau, mereka senang tangkap untuk dimakan burung itu. Maknanya, mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari makanan. Lagi pun, di padang pasir tidak ada makanan.

Tetapi makanan-makanan itu diberi dengan syarat, jangan simpan untuk esok. Kerana esok, mereka akan dapat makanan yang lain pula. Allah ‎ﷻ telah menjanjikan bahawa esok mereka akan dapat lagi apa yang diberikan itu. Allah ‎ﷻ hendak mengajar mereka supaya bergantung dan percaya kepada rezeki dari Allah ‎ﷻ.

Tetapi, mereka simpan juga. Kerana mereka tidak percaya rezeki dari Allah ‎ﷻ. Mereka takut kalau-kalau esok tidak dapat makanan lagi. Kesannya, daging yang mereka simpan itu telah menjadi busuk. Selepas kejadian itu, semua daging yang manusia simpan beberapa lama sahaja, akan menjadi busuk. Sebelum kesalahan yang telah dilakukan oleh Bani Israil ini, daging memang akan tahan lama, tidak busuk-busuk. Kita pun terkesan sekali dengan kesalahan yang dilakukan oleh Bani Israil itu. Ini ada disebut dalam Kitab Sahih Bukhari.

“Kalau bukan kerana bani Israil nescaya makanan dan daging kita tidak akan membusuk dan seandainya bukan kerana Hawa (isteri Nabi Adam) nescaya wanita tidak akan mengkhianati suaminya selama-lamanya.” (HR Bukhari & Muslim).

Untuk minuman, mereka dapat dari air hujan (selain dari air dalam batu). Anak-anak mereka lahir siap dengan pakaian dan pakaian itu membesar sekali sama dengan badan mereka yang membesar. Sampai begitu sekali Allah ‎ﷻ memudahkan kehidupan mereka.

Ada tafsir lain yang mengatakan bahawa Manna itu adalah gandum dan Salwa itu adalah jenis burung yang jinak yang senang ditangkap. Jadi Allah ‎ﷻ telah memberikan dua sumber makanan yang penting kepada mereka untuk kehidupan mereka: gandum mewakili karbohidrat dan daging burung membekalkan protein kepada mereka.

كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ

Makanlah dari makanan yang baik-baik;

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka bahawa Allah ‎ﷻ telah memberikan makanan yang baik kepada mereka. Maka makanlah makanan yang baik-baik itu. Ayat ini juga mengingatkan kepada kita: Allah ‎ﷻ telah berikan rezeki yang baik dan halal kepada kita, maka makanlah yang baik dan halal itu. Jangan cari makanan dan rezeki yang haram.

Satu lagi pengajaran kepada kita adalah: Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ berikan, tentulah baik.

مَا رَزَقْنَاكُمْ

yang telah Kami rezekikan kepada kamu;

Ayat ini mengandungi hukum yang perlu kita ambil tahu: jikalau Allah ‎ﷻ telah suruh kita makan makanan yang halal, tetapi kita tidak makan sebab dikatakan ‘pantang’, itu adalah kufur kepada Allah ‎ﷻ iaitu kita mengharamkan yang Allah ‎ﷻ telah halalkan.

Kecualilah kalau doktor telah larang makan. Atau kita tidak lalu hendak makan kerana tidak kena dengan selera kita, itu tidak apa. Tetapi ada juga yang mengatakan pantang kalau makan sesuatu makanan yang Allah ‎ﷻ telah halalkan.

Contohnya, apabila orang dalam ‘pantang bersalin’, orang perempuan dilarang untuk makan ayam. Padahal, kalau dalam masyarakat Cina, mereka disuruh untuk makan ayam seekor sehari selepas bersalin – kerana memberi kekuatan kepada tubuh mereka. Jadi, apabila Allah ‎ﷻ menghalalkan ayam dan kita mengharamkan dalam waktu ‘tertentu’, maka itu adalah perbuatan kufur.

Mengharamkan benda yang Allah ‎ﷻ telah halalkan, bermakna kita mengambil kerja Tuhan kerana yang boleh mengharamkan, hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Orang yang menyuruh itu, dan kita ikut, orang itu seumpama tuhan kita.

وَمَا ظَلَمُونَا

Dan tidaklah mereka menganiaya Kami;

Allah ‎ﷻ tidak terkesan langsung dengan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ketaatan manusia. Tidak kurang darjat Allah ‎ﷻ kalau tiada sesiapa pun yang menyembah-Nya. Sebaliknya, kitalah yang memerlukan Allah ‎ﷻ redha kepada kita. Untuk mendapat redha Allah ‎ﷻ, hendaklah kita mengikut arahanNya.

وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

tapi merekalah dulu menzalimi diri mereka sendiri;

Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri di dunia dahulu, dengan melakukan perbuatan syirik. Bukan Allah ‎ﷻ yang menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan