Utama Blog Halaman 65

Kesalahan Di dalam Salat / 29

0

Soalan: 

Apakah hukum membunyikan jari di dalam masjid?



Jawapan:

Hukum membunyikan jari ketika salat ialah makruh.

Dalil hadith:

Daripada Syu’bah mantan budak Ibnu Abbas رضي الله عنهما, beliau menceritakan:

صليت إلى جنب بن عباس ففقعت أصابعي فلما قضيت الصلاة قال : لا أم لك تقعقع أصابعك وأنت في الصلاة

“Aku pernah salat di samping Ibnu Abbas, kemudian aku membunyikan jariku. Setelah selesai salat beliau mengatakan, Kamu tidak sopan kerana membunyikan jari ketika sedang salat.” (HR. Ibnu Abi Syaibah, no. 7280 dan sanadnya dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani رحمه الله‎ di dalam Irwa’ al-Ghalil).

Kesimpulannya, membunyikan jari hanya dilarang ketika salat, adapun ketika di luar salat tidak mengapa atau harus.

Allahu a’lam.

Soal Jawab Bersama Doktor: Masalah Buasir

1

Soalan:

Apakah tanda-tanda penyakit buasir?

Jawapan:
Buasir atau haemorroid yang diikuti dengan keradangan pada masalah usus perut, kolon, rektum dan anus dan merupakan perkara yang sering dialami oleh segelintir individu. Buasir ialah pembengkakan di salur rektum yang menyebabkan pendarahan dan sakit saat membuang air besar. Ia boleh berlaku kepada lelaki ataupun perempuan.

Apabila salur vena di dalam rektum membengkak, akan keluar bonjolan yang akan menyebabkan masalah kepada saluran rektum yang mendatangkan pelbagai komplikasi kronik. Kebiasaannya, penghidap buasir akan merasa tidak selesa, sering mahu buang air besar, perit, gatal pada bahagian dubur & diikuti dengan pendarahan apabila membuang air besar.

Soalan:

Apakah punca masalah buasir?

Jawapan:

Buasir adalah penyakit yang sering berlaku. Ia boleh terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira umur. Ia sering dikaitkan dengan meneran semasa membuang air besar dan keadaan sembelit. Wanita mengandung mungkin mengalami buasir kerana pembesaran janin menyebabkan tekanan ke bahagian dubur dan juga akibat perubahan hormon. Selain itu, berucap dengan kuat dan bersemangat, orang yang berlebihan berat badan, homoseksual, berdiri dalam jangka waktu yang lama setiap hari atau selalu mengangkat benda berat mungkin menghidapi masalah ini. Kesemua keadaan tersebut menyebabkan penambahan tekanan kepada salur vena di rektum dan dubur dan menyebabkan pembengkakan dan pembesaran.

Soalan:

Apakah rawatan yang sesuai untuk penyakit tersebut?

Jawapan:

Gejala penyakit ini seringkali boleh sembuh selepas beberapa hari tanpa memerlukan rawatan. Buasir yang berlaku semasa kehamilan selalunya bertambah pulih selepas melahirkan anak.

Perubahan gaya hidup membantu mengurangkan ketegangan pada saluran darah di dalam dan sekitar dubur anda. Antara cara mengelakkan masalah ini termasuklah:

  • Meningkatkan jumlah pengambilan serat dalam diet secara berperingkat- sumber serat yang baik adalah seperti buah, sayuran, beras, pasta dan roti bijirin penuh dan juga kekacang.
  • Banyakkan minum banyak cecair – terutamanya air putih dan cuba elakkan atau mengurangkan kafein dan alkohol
  • Segera ke tandas sekiranya terasa ingin membuang air besar- hal ini kerana najis akan menjadi lebih keras dan kering jika anda melengahkan waktu ke tandas dan anda menyebabkan anda perlu meneran. Ini adalah salah satu risiko buasir.
  • Kurangkan berat badan. Bersenam dapat membantu mencegah sembelit, mengurangkan tekanan darah, dan membantu menurunkan berat badan
  • Terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk buasir yang teruk. Salah satu daripada pilihan ini ialah (Banding). Prosedur bukan pembedahan ini dilakukan dengan menjerut jalur elastik yang sangat ketat di sekitar pangkal benjolan yang keluar untuk memotong bekalan darahnya. Benjolan tersebut akan tercabut sendiri selepas kira-kira seminggu.
  • Pembedahan boleh dijalankan untuk membuang atau mengecilkan buasir.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-136 dan Ayat Ke-137

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-136

Ini adalah khulasah (ringkasan) kepada agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Inilah millah Ibrahim. Allah ‎ﷻ jelaskan di sini kerana bimbang jika ada yang hanya mengagak-agak sahaja apakah pegangan agama baginda. Inilah yang perlu kita pegang.

قولوا آمَنّا بِاللَّهِ وَما أُنزِلَ إِلَينا وَما أُنزِلَ إِلىٰ إِبراهيمَ وَإِسماعيلَ وَإِسحاقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَما أوتِيَ موسىٰ وَعيسىٰ وَما أوتِيَ النَّبِيّونَ مِن رَبِّهِم لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِنهُم وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Qur’an), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi daripada Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang daripada mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا

Katakanlah kamu sekalian: Kami beriman dengan Allah dan apa sahaja yang diturunkan kepada kami;

Ini adalah arahan Allah ‎ﷻ untuk ucapan daripada kita. Bukan ucap sahaja tetapi kena pegang iktikad ini kerana bab iman bukan sekadar lafaz sahaja. Ini kerana munafik pun boleh lafaz tetapi mereka tidak beriman.

Kena tambah perkataan ‘wahyu’ di sini. Bukan hanya ‘apa-apa’ sahaja. Agama ini diambil dari wahyu semuanya. Walaupun ia adalah hadith, itu pun wahyu juga sebenarnya kerana Nabi ﷺ tidak reka agama ini – baginda tidak bercakap tentang agama daripada nafsunya sendiri atau daripada akalnya sendiri. Apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu adalah daripada Allah ‎ﷻ, tetapi guna perkataan Nabi ﷺ sendiri dan dikeluarkan dalam bentuk hadith. Ia adalah wahyu juga kerana kalau bukan wahyu, itu adalah bid’ah.

Yang disuruh berkata dalam ayat ini adalah ‘orang-orang Muslim’ – kalau kita lihat perkataan itu, ia adalah dalam bentuk jamak – plural. Ayat yang hampir sama ada dalam Surah Ali Imran, tetapi suruhan dalam Surah Ali Imran itu dalam bentuk mufrad – singular. Ini adalah kerana Surah Baqarah ini banyak berkenaan dengan Bani Israil dan masalah dengan Bani Israil ini adalah mereka terlalu berbangga dengan kaum mereka.

Mereka perasan mereka adalah umat terpilih (the Chosen One) sampai mereka rasa mereka boleh buat apa yang mereka hendak dan Allah ‎ﷻ tetap sayang kepada mereka dan tidak mengazab mereka. Oleh itu, Allah ‎ﷻ memerintahkan kepada ‘seluruh’ umat Islam untuk menyatakan aqidah mereka. Ini adalah isyarat bahawa kedudukan mereka sebagai umat terpilih akan diambil alih oleh umat Islam pula.

Selepas kita disuruh menyatakan keimanan kepada Allah ‎ﷻ, kita disuruh menyatakan keimanan kepada وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا – kitab yang diturunkan kepada kita – yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Ini mengajar kita berdakwah kepada manusia – kita kena nyatakan kepercayaan kita kepada Al-Qur’an dahulu sebelum kita kata ada kebenaran dalam kitab-kitab yang lain.

Ketahuilah yang Al-Qur’an lebih penting daripada kitab-kitab yang lain. Dalam bahagian seterusnya, baru dinyatakan kita juga percaya ada kitab yang diturunkan kepada Nabi-nabi yang lain. Ini untuk mencari persamaan antara agama kita dengan agama mereka. Ini kerana memang ada persamaan antara agama Islam dan agama sebelumnya. Cuma agama mereka banyak yang telah diubah.

وَمَا أُنْزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ

Dan apa sahaja wahyu yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim

Kita mengaku bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام juga telah diberi dengan wahyu. Itulah yang disebut suhuf-suhuf Nabi Ibrahim عليه السلام. Ia di dalam bentuk skrol.

وَإِسْمَاعِيلَ

dan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Ismail

Nabi Ismail عليه السلام juga mendapat wahyu. Tetapi tidaklah di dalam bentuk kitab.

وَإِسْحَاقَ

dan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Ishak

Nabi Ishak عليه السلام turut mendapat wahyu juga. Tetapi tidaklah di dalam bentuk kitab.

وَيَعْقُوبَ

dan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Ya’kub

Nabi Ya’qub عليه السلام mendapat wahyu juga. Tapi tidaklah di dalam bentuk kitab.

وَالْأَسْبَاطِ

dan wahyu yang diturunkan kepada kalangan anak cucu Nabi Ya’qub

Untuk keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الْأَسْبَاطِ untuk merujuk kepada anak keturunan mereka. Untuk keturunan Nabi Ismail عليه السلام, Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz qaba’il. Sama sahaja maksudnya. Cuma kita boleh bezakan manakah keturunan yang dimaksudkan dengan melihat kepada lafaz yang digunakan. Kalau disebut الْأَسْبَاطِ, maka ia merujuk kepada keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام dan anaknya Nabi Ishak عليه السلام. Kalau untuk keturunan Nabi Ismail عليه السلام, digunakan kalimah qaba’il.

وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ

dan apa sahaja wahyu yang diberikan kepada Nabi Musa;

Iaitu Kitab Taurat dan ajaran wahyu yang lain (kerana bukan semua dalam bentuk kitab).

وَعِيسَىٰ

dan apa sahaja wahyu yang diberikan kepada Nabi Isa;

Yang dimaksudkan adalah wahyu termasuk Kitab Injil.

Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام diletakkan sekali kerana Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi terakhir Yahudi mengikut pendapat Yahudi dan Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi kepada Nasrani. Kita menyatakan bahawa kita percaya kepada semua sekali nabi-nabi itu. Walaupun mereka berdua bukanlah Nabi yang kita ambil syariat daripada mereka, tetapi mereka tetap Nabi kita.

وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ

dan apa sahaja wahyu yang diberikan kepada para-para Nabi dari Tuhan mereka;

Semua wahyu yang diberikan kepada para Nabi yang lain, semuanya kita terima. Ini adalah kerana sama sahaja wahyu yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ dalam bentuk akidah tauhid.

لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ

Kami tidak membezakan di antara Nabi-nabi itu;

Semua para Nabi itu kita terima, kita tidak tolak; dan kita tidak tafriq (kita tidak bezakan). Walaupun kita terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi akhir zaman dan menjadi ikutan kita, tidaklah kita tolak para Nabi yang sebelum baginda.

Apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini? Ayat ini menyatakan bahawa kita tidak boleh tidak menerima mana-mana Nabi. Jangan bezakan antara Nabi-Nabi itu kerana mereka itu semua memang berstatus Nabi. Jangan jadi seperti Yahudi, mereka tidak menerima kenabian Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Manakala Nasrani pula tidak menerima kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah salah (mereka telah tafriq).

Kita kena terima semua para Nabi itu kerana semua Nabi-nabi itu telah dilantik oleh Allah ‎ﷻ . Tidak menerima mana-mana Nabi yang telah dipilih oleh Allah ‎ﷻ , dinamakan perbuatan ‘tafriq’ dan itu dilarang.

Namun begitu, dalam masa yang sama, kita tahu bahawa status antara seorang Nabi dengan Nabi yang lain tidak sama. Ada Nabi yang Allah ‎ﷻ bercakap terus dengannya, ada Nabi yang mendapat status ‘Khalilullah’ dan berbagai-bagai lagi kelebihan yang diberikan kepada Nabi-Nabi tertentu. Dan kita tahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman. Baginda juga telah diberikan dengan mukjizat Al-Qur’an. Kita sendiri tidak tahu apakah perbezaan status-status itu. Itu dinamakan ‘tafdhil‘ – iaitu mengatakan bahawa adalah Nabi-Nabi yang dilebihkan kedudukan mereka daripada yang lain. Ini tidak salah.

Tidak ada beza di antara Nabi-Nabi itu dari segi akidah. Tetapi berbeza daripada cara pelaksanaan hukum. Nisbah beza dalam ayat ini adalah dari segi akidah sahaja.

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan kepada Allah, kami berserah diri;

Kita kena isytihar yang kita berserah diri dalam iman dan amal kepada Allah ‎ﷻ. Dan ini dapat dicapai dengan menggunakan syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Sekali lagi perkataan ‘Muslim’ digunakan. Ini sebagai isyarat kepada Bani Israil untuk menjadi Muslim. Sebelum ini mereka berkata supaya jadi Yahudi atau Nasrani. Tetapi Allah ‎ﷻ mengingatkan lagi kepada mereka untuk masuk Islam dengan segera sebelum terlambat.

Inilah adalah kesimpulan ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام dan semua nabi-nabi.

Tafsir Ayat Ke-137

Allah ‎ﷻ mengangkat kedudukan sahabat dalam ayat ini.

فَإِن آمَنوا بِمِثلِ ما آمَنتُم بِهِ فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما هُم في شِقاقٍ ۖ فَسَيَكفيكَهُمُ اللَّهُ ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

فَإِنْ آمَنُوا

Maka sekiranya ahli-ahli Kitab itu juga beriman;

Kalaulah orang Yahudi dan Nasara itu beriman. Itulah yang telah diajak kepada mereka dengan banyak sekali di dalam Surah Al-Baqarah ini. Berbagai-bagai cara Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka untuk memujuk – dengan cara lembut dan juga dengan cara keras. Dan kalaulah mereka itu beriman, itu tentulah amat baik bagi mereka, kerana barulah mereka akan selamat.

Tetapi beriman yang bagaimana?

بِمِثْلِ مَا آمَنْتُمْ بِهِ

sepertimana kamu semua beriman;

Perkataan ‘kamu’ yang dimaksudkan adalah sahabat-sahabat Nabi. Maknanya, kalau hendak beriman, kenalah ikut sama macam mereka. Kerana merekalah yang benar-benar beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Allah ‎ﷻ. Mereka telah melihat bagaimana Nabi ﷺ mengamalkan Islam. Mereka yang berjuang bersama dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Dan merekalah yang Allah ‎ﷻ telah beri pengiktirafan di atas iman mereka. Orang-orang selepas itu termasuk zaman sekarang, belum tentu lagi. Maka Yahudi dan Nasrani kena beriman seperti para sahabat itu, barulah mereka akan selamat.

Bukan mereka sahaja yang kena ikut para sahabat Nabi ﷺ‎, kita pun kena ikut. Kerana itulah kita tekankan kena ikut Sunnah. Dan Sunnah itu adalah bagaimana Nabi Muhammad ‎ﷺ dan para sahabat beramal dengan agama. Mereka itu menjadi kayu pengukur. Kalau mereka tidak buat sesuatu dalam hal agama, maka kenalah kita berhati-hati.

Tidak faham perkara inilah yang menyebabkan masyarakat kita senang hati sahaja mengamalkan bid’ah. Mereka tidak periksa sama ada sesuatu amalan itu Nabi ﷺ‎ dan sahabat ada buat ataupun tidak. Atau, mereka memang tahu yang amalan itu tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ‎ dan sahabat, tetapi mereka tetap juga hendak buat. Ini memang degil dan jahil sungguh. Dan berbagai-bagai hujah bathil mereka akan beri untuk benarkan juga amalan bidaah mereka itu.

فَقَدِ اهْتَدَوْا

maka merekalah orang-orang yang dapat petunjuk;

Kena ikut apakah fahaman dan amalan sahabat Nabi ﷺ‎. Tidak boleh ikut kata-kata tok guru atau ulama’ atau sesiapa sahaja tanpa usul periksa. Kita ikut apa yang ustaz beritahu sepertimana yang sahabat Nabi ﷺ‎ buat. Kalau pendapat pada guru dan ustaz sahaja, tidak boleh ikut lagi. Kena ada nas daripada perbuatan sahabat Nabi ﷺ‎.

Ini adalah kerana guru atau ulama’ adalah manusia dan ada buat silap. Mereka mungkin ada buat kesilapan dalam pentafsiran atau sebagainya. Masalah sekarang adalah masyarakat kita percaya sangat kepada guru agama dan ustaz mereka. Mereka tidak meminta dalil daripada guru mereka lagi. Pada mereka, kalau guru mereka buat, tentulah guru atau ustaz itu mengikut perbuatan Nabi ﷺ‎. Tetapi ketahuilah yang tidak semestinya begitu.

Yang benarnya adalah sahabat Nabi ﷺ‎ kerana mereka melihat bagaimana baginda mengamalkan Islam. Mereka tidak akan buat perkara yang Nabi ‎ﷺ tidak buat. Oleh itu, kena ikut dalil Al-Qur’an, Hadith dan sahabat Nabi ﷺ‎. Kerana mereka hidup bersama dengan Nabi ﷺ dan mereka lihat sendiri bagaimana Nabi ﷺ mengamalkan Islam. Mereka tahu mana yang patut diikuti dan mana yang tidak. Dan kerana mereka hidup dengan Nabi ﷺ, jadi kalau mereka ada buat perkara yang salah, Nabi ﷺ wajib terus tegur mereka.

Contohnya, yang hanya boleh kahwin 9 hanyalah Nabi ﷺ sebab sahabat tidak ikut pun perbuatan Nabi ﷺ itu. Jadi, kalau ada perbuatan Nabi ﷺ tetapi sahabat tidak buat, itu bermakna ia adalah khas untuk Nabi ﷺ sahaja. Seperti kisah Nabi ﷺ mencacak pelepah kurma pada kubur. Sahabat tidak ikut pun. Maknanya, itu bukanlah untuk kita ikut. Kita panggil ia bukannya ‘sunnah’. Walaupun ia adalah hadith yang sahih, tetapi ia tidak sunnah, iaitu tidak perlu diikuti.

Kadang-kadang ada juga Nabi ﷺ tidak buat, tetapi ijma’ sahabat Nabi ﷺ buat. Contohnya adalah Saidina Uthman رضي الله عنه memulakan azan dua kali pada Salat Jumaat. Itu pun kita boleh ikut. Kerana Nabi ﷺ sudah kata boleh ikut mereka, iaitu boleh ikut pendapat yang dikeluarkan oleh khalifah ur rashidin al mahdiyyin. Ini pun ada pengkhususan juga – kena amalan Khalifah, bukan hanya sahabat sahaja. Ini adalah kerana kalau khalifah buat dan tidak ditegur oleh para sahabat yang lain, barulah ia jadi ‘sunnah’. Kalau setakat seorang sahabat sahaja buat, ia belum mencapai status sunnah lagi.

Satu lagi adalah fatwa Saidina Umar رضي الله عنه supaya salat Terawih dibuat berjemaah mengikut seorang imam sahaja dan dibuat 20 rakaat. Itu juga boleh diikuti kerana beliau mengarahkan dalam kedudukan beliau sebagai Khalifah umat Islam. Dan para sahabat Nabi ﷺ yang tidak ada yang membangkang. Para Sahabat رضي الله عنهم itu tidak takut dengan manusia, hanya takut kepada Allah ‎ﷻ.

Maknanya, kalau perbuatan Saidina Umar dan Uthman رضي الله عنهما itu salah, tentulah mereka akan membangkang. Maka, keputusan kolektif mereka dinamakan ijma’. Maknanya, semua sahabat setuju dengan ijtihad Uthman dan Umar رضي الله عنهما. Pernah juga pendapat Saidina Umar رضي الله عنه ditolak oleh sahabat yang lain. Pernah beliau hendak menetapkan mahr bagi seluruh umat Islam tetapi terus ditegur, maka tidak dijalankan.

Oleh itu, kita kena jadikan Nabi ﷺ dan sahabat sebagai ukuran dan cara penghayatan agama. Jangan ketepikan sahabat. Bukan Al-Qur’an sahaja yang sunnah. Kena faham maksud ‘sunnah’. Sunnah itu termasuk fahaman dan amalan para sahabat. Sebab ada hadith yang memang sahih tetapi sahabat tidak amal pun. Sebab ada kemungkinan ia sudah mansukh. Maka kalau ia sudah mansukh, ia bukan sunnah. Sebab kalau kita lihat hadith, Nabi ﷺ tidak kata baginda tinggalkan Al-Qur’an dan hadith buat panduan kita, tetapi baginda sebut baginda tinggalkan ‘Al-Qur’an dan Sunnah‘.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengangkat darjat sahabat sebagai ukuran syariat. Bukan kita yang angkat. Maka kedudukan mereka amat tinggi. Maka janganlah kita pandang rendah kepada mereka dan berkata tidak baik tentang mereka. Sebab kedudukan mereka itulah Allah ‎ﷻ beritahu kepada Yahudi dan Nasara, mereka kena jadikan sahabat sebagai neraca.

وَإِنْ تَوَلَّوْا

Dan sekiranya mereka itu berpaling

Iaitu berpaling daripada menerima Islam, berpaling dari pada beriman seperti para sahabat.

فَإِنَّمَا هُمْ فِي شِقَاقٍ

maka sesungguhnya mereka itu sesat dalam persimpangan yang sangat jauh;

Maknanya mereka berada dalam permusuhan dengan kamu (Umat Islam). Jadi, kalau tidak ikut sunnah Nabi ﷺ, maka mereka bermusuh dengan kita.

فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ

maka cukuplah Allah untuk kamu terhadap mereka;

Ayat ini bermaksud yang Allah ‎ﷻ sudah cukup bagi Nabi Muhammad ﷺ untuk menjaga daripada gangguan mereka. Ini kerana apabila mereka tidak mahu ikut sahabat, mereka akan melawan umat Islam. Apabila mereka lawan, akan ada bahaya dan kemungkinan kesusahan kepada Nabi ‎. Maka Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia akan jaga baginda, maka baginda tidak perlu risau. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Ia juga mungkin bermaksud yang iman Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang sudah pasti selamat. Lihatlah penggunaan bahasa dalam ayat ini. Perkataan ‘engkau’ dalam ayat ini adalah merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dalam bahagian awal ayat, Allah ‎ﷻ bercakap kepada seluruh umat Islam, tetapi kemudian dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ berfirman: فَسَيَكْفِيكَ – cukuplah untuk engkau (Muhammad ﷺ).

Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang telah selamat. Umat Islam yang lain belum tentu lagi. Kita kena usaha lagi kerana kita belum tentu lagi. Jangan kita jadi macam Bani Israil – mereka sangkakan yang apabila Nabi mereka telah selamat, mereka pun selamat juga.

وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apakah mereka katakan di hadapan dan di belakang Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Jadi kalau mereka ada perancangan jahat terhadap umat Islam dan agama Islam sendiri, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ akan jaga dan beri kan balasan setimpal terhadap mereka.

Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah beri bantuan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk mengusir Bani Quraizah dan lain-lain golongan Yahudi dari Madinah.

Allahu a’lam. 

Konvensyen UiTO Ke-5 2019: Keluarga Sakinah Negara Rahmah

0

Konvensyen UiTO Ke-5 2019
Sabtu, 30 November 2019
Dewan Perdana Seri Kalsom, Adamson Hotel Kuala Lumpur
Keluarga Sakinah Negara Rahmah

Yuran Penyertaan
RM30 (ahli UKHUWAH)
RM50 (bukan ahli)

Pendaftaran:

1. Fizza – 0125416854
2. Hananzita – 0122128484
3. Mazlan – 0122643121
4. Mohd Sa’at – 0149727812

Bayaran:

Maybank
Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia
562058070928

Pembentang Kertas Kerja:
Ustaz Abu Mishkat – Acuan Negara Rahmah
Ibu Rose – Firm & Loving Parenting
Ustaz Azlizan Nueq – Dari Suami Untuk Suami
Pn Sumayyah Marzuki – Postpartum Syndrome
Pn Adreena Rahman – Keluarga & Wasiat

Rumusan Konvensyen:
Tuan Hassan Tuan Lah
Ustaz Daud At-Tetouani

Anjuran:
Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia PPM-004-10-04062019)

Kerjasama:
Dokumentari Kuliah Studio (DKS)

Borang keahlian ahli UKHUWAH boleh klik di👇🏾
http://bit.ly/AhliUkhuwah

Link untuk sertai grup Peserta Konvensyen UiTO Ke-5 2019
http://t.me/KonvensyenUiTO2019

Tarikh tutup Penyertaan adalah pada atau sebelum 10 November 2019.

uito.org

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-133 hingga Ayat Ke-135

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Ayat Ayat Ke-133

Beginilah cara Nabi Ya’qub عليه السلام memberi wasiat agama kepada anak-anak baginda. Dan lihat bagaimana jawapan anak-anak baginda.

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ آبائِكَ إِبراهيمَ وَإِسماعيلَ وَإِسحاقَ إِلٰهًا واحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ

Adakah kamu hadir ketika ajal sudah hampir kepada Nabi Ya’qub?

Setelah diberitahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام itu, Ahli Kitab jawab yang wasiat baginda lain, bukan begitu. Maka, Allah ‎ﷻ tanya kembali kepada mereka, adakah mereka hadir waktu wasiat itu disampaikan? Atau mereka pakai dengar-dengar sahaja apa yang disampaikan oleh pendeta-pendeta mereka?

Sekarang, Allah ‎ﷻ tanya soalan ini kepada kita pula. Adakah kita hadir waktu itu? Tentulah kita tidak ada masa itu. Tuhan tanya itu kerana hendak memberitahu kepada kita. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu, kita pun tidak tahu.

Ketika telah datang alamat-alamat kematian kepada Nabi Ya’qub ‎عليه السلام, baginda telah memanggil kesemua anak-anaknya.

إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ

Ketika Nabi Ya’qub berkata kepada anaknya:

Nabi Ya’qub عليه السلام adalah cucu kepada Nabi Ibrahim عليه السلام, anak kepada Nabi Ishak عليه السلام. Ada 12 orang anaknya semua sekali.

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي

“Apakah yang kamu akan sembah selepas aku?”

Maksud ‘selepas aku’ adalah ‘selepas aku mati’.

Perkara yang penting yang ditanya oleh Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya adalah apakah yang mereka akan sembah apabila baginda sudah tiada nanti. Baginda menggunakan perkataan مَا تَعْبُدُونَ – apakah yang akan kamu sembah – Kalau baginda tanya siapakah yang kamu akan sembah, tentulah mereka sudah tahu jawapannya – Allah ‎ﷻ. Tetapi Nabi Ya’qub عليه السلام menggunakan perkataan ‘apa’ kerana manusia boleh menyembah macam-macam – berhala, harta, perempuan, pangkat dan sebagainya.

Perkataan مِنْ بَعْدِي – selepas aku tiada – itu bermaksud suatu jangkamasa yang lama sesudah baginda tiada di dunia ini. Itulah yang dirisaukan oleh baginda. Kerana baginda tahu, kalau selepas baginda mati sahaja, tentulah anak-anaknya masih akan sembah Tuhan. Tetapi kalau lama selepas itu bagaimana? Belum tentu lagi. Jadi baginda hendak pastikan yang walaupun baginda sudah lama mati, mereka akan hanya menyembah Allah ‎ﷻ. Baginda beri wasiat supaya mereka ingat wasiat bapa mereka.

قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ

Anak-anaknya jawab: “Kami sembah Tuhan kamu dan Tuhan kepada datuk nenek kamu Ibrahim dan Ismail dan Ishak

Inilah tanda yang anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام itu beriman belaka. Maka jangan kita kutuk mereka.

Menarik jawapan mereka itu: mereka kata mereka akan menyembah Tuhan, Tuhan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام. Ini menunjukkan Tuhan kepada semua Nabi itu adalah Tuhan yang sama. Bukan lain-lain – bukanlah Tuhan Nabi Ibrahim عليه السلام lain dan Tuhan Nabi Ya’qub عليه السلام lain. Ini adalah tempelak kepada Ahli Kitab yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ daripada rumpun yang sama. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa Tuhan kepada semua Nabi-Nabi itu termasuk Nabi Muhammad ﷺ adalah Tuhan yang sama.

إِلَٰهًا وَاحِدًا

Iaitu Tuhan yang satu

Tuhan yang sama – Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tekankan bahawa ilah hanya ada Satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Sebagaimana yang telah diterima juga oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan keturunan baginda, keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام. Maka Yahudi dan Nasara sebenarnya ikut siapa? Takkan tidak ikut pegangan akidah Nabi-nabi mereka sendiri?

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan adalah kami kepada Tuhan itu berserah diri bulat-bulat”

Yang memberi jawapan sebegini adalah anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام. Satu lagi nama Nabi Ya’qub عليه السلام adalah ‘Israil’. Bermakna, mereka itu semua adalah Bani Israil – Anak-anak Israil – anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام.

Nabi Ya’qub عليه السلام mempunyai 12 orang anak, maka Bani Israil ada 12 suku semuanya. Anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام yang 12 orang itu telah mengatakan bahawa mereka itu ‘Muslim’. Jadi apa alasan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak mahu menerima Islam, sedangkan datuk nenek mereka sendiri mengaku bahawa mereka adalah Muslim?

Bani Israil tidak menerima Islam kerana mereka telah lupa apakah pegangan agama nenek moyang mereka dahulu. Begitu juga orang Islam sekarang. Kita telah lupa apakah pegangan agama datuk nenek kita dahulu. Agama kita adalah agama Islam yang tulen. Tetapi oleh kerana kita telah lama dijajah oleh Barat, maka mereka telah mencemarkan agama kita. Mereka telah memasukkan budaya mereka ke dalam masyarakat kita. Sampaikan kita menjadi keliru.

Contohnya, kita boleh lihat bagaimana majlis perkahwinan kita telah ada elemen-elemen barat. Budaya agama Hindu pun ada juga. Kita sudah tidak pasti mana satu amalan agama yang benar. Barat telah mengajar datuk nenek kita untuk hanya mengamalkan Islam dalam hal-hal tertentu sahaja – semasa nikah, semasa mati dan sebagainya – tetapi dalam perkara yang lain, pegang sedikit-sedikit sahaja. Jadi keturunan kita sebelum ini, tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya.

Maka, kita pun sangka begitulah amalan agama yang benar. Padahal, ia tidak begitu. Kalau kita hendak mengamalkan amalan Islam yang sebenar, tidak mahu terlibat dalam persandingan majlis perkahwinan contohnya, ramai yang melenting marah dan kata kita tidak sayangkan adat Melayu. Padahal, bersanding itu tidak ada dalam adat Islam. Kalau kita pergi jauh lagi sebelum zaman mereka, kita akan nampak bagaimana keturunan kita yang dahulu mengamalkan Islam yang lebih tulen.

Maka, anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام itu adalah orang yang baik-baik. Itu adalah keturunan Bani Israil dan mereka berbangga dengan keturunan mereka itu. Tetapi, janganlah kita hanya bercakap tentang kehebatan orang terdahulu. Kita pun kenalah juga amalkan sebagaimana mereka juga. Kena tengok apakah akidah dan agama mereka supaya kita boleh ikut rapat.

Tafsir Ayat Ke-134

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم ما كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

تِلْكَ أُمَّةٌ

Itulah suatu umat

Iaitu dari Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ishak عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan seterusnya; mereka itu telah mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka di dalam satu pegangan akidah yang sama.

قَدْ خَلَتْ

zaman mereka telah berlalu;

Bani Israil amat berbangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Mereka sentiasa mengajar anak-anak mereka tentang kisah umat-umat yang terdahulu. Tetapi kisah mereka telah lama berlalu.

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka balasan dari apa yang mereka lakukan

Umat-umat terdahulu itu telah melakukan amalan-amalan mereka. Mereka akan mendapat balasan daripada amalan-amalan mereka. Kalau mereka buat baik, mereka akan mendapat balasan baik.

وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu akan dapat balasan dari apa yang kamu lakukan

Amalan umat terdahulu adalah untuk mereka. Balasan untuk kita pula adalah apa yang kita lakukan. Kita tidak akan mendapat habuan daripada amalan umat-umat terdahulu itu. Kita kena buat amalan kita sendiri.

Maka jangan berbangga sangat kalau kita keturunan Nabi, keturunan ulama’ itu dan ini, tetapi pegangan agama kita salah. Ramai yang berbangga dan rasa selamat kalau mereka keturunan orang alim, orang baik-baik.

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan;

Kita tidak akan ditanya tentang apa yang umat-umat terdahulu telah lakukan. Yang kita kena tanya adalah amalan kita sahaja. Itu sahaja yang akan ditanya. Jangan kita jadi macam Bani Israil yang hanya berbangga dengan amalan datuk nenek mereka, tetapi lupa hendak berbuat amalan baik untuk diri mereka sendiri.

Ramai antara kita hanya menceritakan tentang kehebatan ulama’-ulama’ terdahulu, keturunan kita yang dahulu, namun lupa tentang diri kita sendiri. Kita ceritakan tentang Tok Kenali contohnya, tetapi kita tidak mengikut jejak langkahnya. Tidak ada siapa pun tanya siapa datuk nenek mereka yang terdahulu.

Begitu juga salah faham dengan golongan Habib sekarang. Ramai yang sedang ikut mereka tanpa usul periksa. Ini adalah salah kerana tidak semestinya apa yang mereka bawakan itu benar walaupun mereka keturunan Nabi pun.

Orang jahil sahaja yang mahu mengikuti mereka – iaitu mereka yang tidak tahu agama sendiri sampaikan ajaran yang sesat pun boleh diterima.

Kita juga tidak perlu hendak fikirkan apa yang jadi kepada golongan terdahulu yang tidak mengamalkan sunnah, tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sebagainya.

Memang bukan tanggungjawab kita untuk tahu. Mereka akan dapat balasan mereka dan kita akan dapat balasan atas perbuatan kita.

Tafsir Ayat Ke-135

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصارىٰ تَهتَدوا ۗ قُل بَل مِلَّةَ إِبراهيمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik”.

وَقَالُوا كُونُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ

Dan mereka berkata: Jadilah kamu Yahudi atau Nasara

Ini adalah ayat muqaddar – Yahudi kata kena ikut Yahudi baru terpimpin dan Nasara kata ikut mereka baru terpimpin. Tidaklah mereka kata: “Ikutlah salah satu antara Yahudi dan Nasara, kamu akan terpimpin.”

Cuma Allah ‎ﷻ tidaklah bahagikan ayat ini begini: Yahudi kata kena ikut Yahudi; Nasara kata kena ikut Nasara. Ini adalah kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah i’jaz – memendekkan kalimah supaya nampak cantik. Allah ‎ﷻ tidak perlu menggunakan bahasa yang penuh.

Begitulah ajaran mereka yang suka mengangkat kelebihan puak. Tetapi agama Allah ‎ﷻ tidak begitu. Allah ‎ﷻ tidak mementingkan puak tetapi Allah ‎ﷻ memandang iman dan amal sahaja.

Namun begitu memang ada pendapat yang mengatakan, mereka sama-sama berkata: “Masuklah Yahudi atau Nasara.” Ini kerana mereka benci kepada Islam. Mereka kata: “Masuklah salah satu daripada Yahudi atau Nasara, asalkan jangan Islam!” Allahu a’lam.

تَهْتَدُوا

nescaya kamu akan terpimpin;

Mereka kononnya sangka Yahudi atau agama Nasara itulah yang betul, bukannya Islam. Itu adalah kata-kata mereka sahaja. Yahudi dan Nasara sebenarnya tidak baik sesama mereka. Tetapi apabila mereka menentang agama Islam, mereka bergabung. Mereka kata biarlah masuk Yahudi atau Nasrani, asalkan bukan Islam.

Mereka bersatu menentang kita, tetapi yang sedihnya kita pula yang berpecah belah sesama kita. Di mana-mana kita lihat perpecahan sesama Muslim. Semua membezakan antara kumpulan masing-masing (Syiah, Sunnah, ASWJ, Aswaja, Tabligh, Salafi, dan lain-lain lagi). Mereka tidak melihat yang mereka semuanya ‘Muslim’. Ini adalah salah satu dari Talbis Iblis. Iblis dan syaitan memang suka umat Islam berpecah dan kita semua telah termakan dengan bisikan syaitan itu. Tahniah semua.

قُلْ بَلْ

Kata kepada mereka: Bahkan sebenarnya;

Allah ‎ﷻ suruh kita menolak kata-kata mereka itu. Kita kena tolak kerana agama mereka itu tidak benar. Agama mereka telah lama dirosakkan oleh pemuka agama mereka. Maka Allah ‎ﷻ suruh katakan: “Kami tidak akan ikut Yahudi dan Nasara.”

مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

ajaran Nabi Ibrahimlah yang lurus:

Sebaliknya katakan yang kita sebenarnya ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام yang juga asal bagi agama Yahudi dan Nasara itu. Tetapi bukannya mengikut syariat baginda, tetapi mengikut ajaran baginda untuk tidak syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Ada ‘idhofah’ (penambahan) dalam ayat ini. Ada lafaz yang dihazafkan (tidak dimasukkan). Yang lengkapnya adalah: “Kami hanya akan ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.”

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan tidaklah Nabi Ibrahim itu termasuk orang yang pernah buat syirik kepada Allah;

Selalu disebutkan kepada kita dalam Al-Qur’an bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام adalah satu manusia yang tidak pernah membuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah sifat baginda yang terhebat. Bayangkan baginda seorang diri sahaja yang mengamalkan tauhid pada zamannya. Selepas itu baginda dakwah kepada isterinya. Lepas itu anak saudara baginda, iaitu Nabi Luth عليه السلام.

Mereka sahaja yang muwahhid pada zaman itu. Kemudian baginda telah menghabiskan masanya hanya untuk berdakwah kepada orang lain namun tidak ada yang mahu menerima Islam. Kerana itulah kalau lihat hadith tentang para Nabi, Nabi Ibrahim عليه السلام memang tidak banyak pengikut.

Tetapi kenapa ditekankan dalam ayat ini yang baginda tidak musyrik? Kerana di dalam sejarah Ahli Kitab, Nabi Ibrahim عليه السلام di hujung hayatnya telah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Begitu teruk sekali mereka ubah kitab mereka sampaikan mereka kata seorang Rasul yang mulia telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maka, Allah ‎ﷻ telah membersihkan nama baginda dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain. Kerana itulah kalimah penolakan yang digunakan adalah ما dan bukan لا kerana apabila ما digunakan, ia hendak menolak pemahaman salah manusia.

Satu lagi sebab, Orang Mekah perasan mereka juga Hanif (lurus) kerana mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini adalah kebiasaan bangsa Arab dahulu, sesiapa yang ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام mereka gelar Hanif. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak kata bahawa yang Hanif itu bukan mereka, gelaran itu mereka sahaja gelar diri mereka sendiri dalam masa yang sama, mereka telah melakukan syirik.

Jadi Allah ‎ﷻ kutuk mereka dengan mengatakan mereka itu perasan sahaja mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Hanif Ibrahim adalah Hanif yang tauhid tidak syirik. Tetapi Hanif Musyrikin Mekah itu pula mengandungi ajaran syirik, maka memang tidak sama. Oleh sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan Nabi Ibrahim عليه السلام tidak berfahaman dan beramal dengan amalan syirik dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain.

Memang begitulah manusia, ramai yang perasan mereka muwahhid. Termasuklah umat Islam di negara ini pun. Mereka sangka mereka telah faham tauhid dan agama mereka agama yang tauhid. Tetapi kerana jahil dengan wahyu dan tidak tahu mana tauhid dan mana syirik, ramai yang mengamalkan syirik tanpa sedar.

Allahu a’lam. 

TBK 10.2.3 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0

Tanda Besar Kiamat
10.2 Turunnya Nabi Isa
نزول عيسى بن مريم عليه السلام

10.2.3  Kehamilan 
Kisah Kehamilan Maryam
قصة حمل مريم بعيسى عليه السلام

Menjawab isu ‘Son of God’
Maryam (B.Arab), Miriam (B.Hebrew), Mary (Bible) adalah anak kepada Imran (B.Arab), Yehoyaqim (B.Hebrew) dan Joachim (Bible) adalah wanita suci. Torah (Taurat) dan Bible semua mengakuinya dan menisbahkan Maryam sebagai ‘Virgin Mary’ (Maryam yang dara sunti), akan tetapi sebaik sahaja Maryam hamil, maka aqidah mereka berubah kerana keajaiban tersebut (wanita dara yang suci tiba-tiba mengandung). Maka dari keajaiban ini, muncullah ‘Jesus Son of God’ atau Nabi Isa عليه السلام adalah anak Tuhan.

Menurut Dr Al-Areefi:

لنجعل خلقه دليلا على كمال قدرتنا على أنواع الخلق,فإنه عز وجل:

– خلق آدم من غير ذكر ولا أننثى
– خلق حواء من ذكر بلا أنثى
– خلق عيسى من أنثى بلا ذكر
– خلق بقية الخلق من ذكر وأنثى

Allah ﷻ menjadikan penciptaan Nabi Isa عليه السلام sebagai bukti kesempurnaan Allah ﷻ dalam pelbagai ragam dalam penciptaan makhluk:

◾️ Penciptaan Nabi Adam عليه السلام tanpa lelaki dan wanita (ibu dan ayah).

◾️ Penciptaan Hawa’ (Eve) daripada Adam tanpa perempuan.

◾️ Penciptaan Nabi Isa عليه السلام daripada wanita tanpa lelaki.

◾️ Penciptaan makhluk lain (secara normal) melalui lelaki dan perempuan (jantan dan betina).

Keajaiban Nabi Isa عليه السلام apalah sangat berbanding dengan keajaiban Nabi Adam عليه السلام tanpa ibu dan ayah:

إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَ ۖ خَلَقَهُۥ مِن تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ ﴿٥٩﴾

“Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: Jadilah (seorang manusia), maka jadilah dia.
[Al-Maidah: 59]

@tanda2kiamat

At-Tazkirah Qurthubi: Bab Ingat Mati, Akhirat dan Zuhud akan Dunia – Bab Ziarah Kubur

0

At-Tazkirah Qurthubi al Qurthubi (W671H)
Kod 4.0 Bab Ingat Mati, Akhirat dan Zuhud akan dunia (باب ما يذكر الموت والآخرة ويزهد فى الدنيا)

4.1: Hadith Abu Hurairah Bab Ziarah Kubur

مسلم عن أبي هريرة قال : زار النبي صلى الله عليه و سلم قبر أمه فبكى و أبكى من حوله فقال : استأذنت ربي أن أستغفر لها فلم يؤذن لي و استأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي . فزوروا القبور فإنها تذكر الموت

“Nabi saw menziarahi kubur ibundanya, lalu baginda menangis dan orang-orang disekitar baginda pun ikut menangis. Lantas baginda bersabda, “Aku pernah meminta izin kepada Rabb-ku untuk meminta ampunan buat ibundaku, tetapi Allah tidak mengizinkannya. Dan aku pun memohon izin untuk menziarahi makam ibuku, maka Dia mengizinkanku. Maka hendaklah kalian berziarah kubur, kerana hal itu dapat mengingati kematian.” (HR Muslim no 976).

______________________________

* Kubur Aminah, ibunda Nabi saw, adalah di Wadi Abwa, 23 batu dari Madinah ke Juhfa. Ia ditutup oleh penguasa Arab Saudi dan menjadi kawasan larangan. “No visitors allowed” (Tiada pelawat dibenarkan).

4.2: Hadith Ibn Mas’ud ra

و عن ابن ماجه ، عن ابن مسعود أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال : كنت نهيتكم عن زيارة القبور . فزورها . فإنها تزهد في الدنيا و تذكر الآخرة

“Daripada Ibnu Mas’ud ra, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Pada mulanya aku melarang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu menziarahinya kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzuhudkan (menjadikan hidup tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia) dan mengingati akhirat.” (HR Ibn Majah no 1571)

Tahqiq al albani:

كنتُ نهيتُكم عن زيارةِ القبورِ ، فزُوروها ، فإنها تزهدُ في الدنيا ، وتُذكِّرُ الآخرةَ
الراوي : عبدالله بن مسعود | المحدث : الألباني | المصدر : ضعيف ابن ماجه
الصفحة أو الرقم: 307

Hadith dhaif, dhaif Ibn Majah 307

4.3: Fiqh Ziarah Kubur

فصل : زيارة القبور للرجال متفق عليه عند العلماء ، مختلف فيه للنساء . أما الشواب فحرام عليهن الخروج . و أما القواعد فمباح لهن ذلك و جائز ذلك لجميعهن إذا انفردن بالخروج عن الرجال و لا يختلف في هذا إن شاء الله تعالى

1. Ittifaq ulama’ (disepakati) bolehnya lelaki menziarahi kubur.
2. Khilaf akan dibolehkan untuk kaum wanita.
3. Adapun anak gadis, maka ia haram ziarah kubur

و على هذا المعنى يكون قوله عليه الصلاة و السلام : زوروا القبور عاماً . و أما موضع أو وقت يخشى فيه الفتنة من اجتماع الرجال و النساء فلا يجوز و لا يحل ، فبينا الرجل يخرج ليعتبر فيقع بصره على امرأة فيفتتن ، و بالعكس فيرجع كل واحد من الرجال و النساء مأزوراً مأجوراً و هذا واضح

4. Maksud hadith “ziarahilah kubur” adalah lafaz umum untuk semua jantina.
5. Faktor yang menyebabkan wanita dilarang ialah faktor percampuran jantina di kubur dalam satu-satu masa. Maka jika ramai lelaki di kubur, maka wanita pada masa itu tidak boleh ziarah.

4.4: Fiqh Ziarah Kubur bagi Wanita

و قد رأى بعض أهل العلم : أن لعن النبي صلى الله عليه و سلم زوارات القبور كان قبل أن يرخص في زيارة القبور ، فلما رخص دخل الرجال و النساء و ما ذكرناه لك أولاً أصح و الله أعلم

Ahli ilmu (Imam Ibn abdil Bar, at tamhid, 7:232) berpendapat maksud hadith “laknat Nabi saw kepada wanita yang ziarah kubur”:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ –صلى الله عليه وسلم– زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ

“Rasulullah SAW melaknat para wanita yang sering berziarah kubur”. (HR. Ibnu Majah no. 1641, 1642, 1643; Tirmidzi no. 1076; dan Ahmad no. 8904. Dinilai sahih oleh Syaikh Albani dalam Ahkamul Janaiz: 235)

Larangan ini sebelum hadith keringanan bolehnya ziarah kubur, maka ia telah hapus/mansukh dengan rukhsah (keringanan), lelaki dan wanita boleh menziarahi kubur secara umum. Inilah pendapat yang benar.

4.5: Atsar Ali bin Abi Thalib r.a

روي عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه أنه خرج إلى المقبرة فلما أشرف عليها قال : ياأهل القبور أخبرونا عنكم ، أو نخبركم . أما خبر من قبلنا : فالمال قد اقتسم ، و النساء قد تزوجن ، والمسكن قد سكنها قوم غيركم ، ثم قال : أما و الله لو استطاعو لقالوا : لم نر زاداً خيراً من التقوى

“Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a ketika ia lazim keluar menuju perkuburan, lantas ia berkata: “Wahai penghuni kuburan, beritahu kami keadaan kalian atau kami yang akan beritahu keadaan kami (di dunia). Adapun berita daripada kami; harta pesaka kalian telah dibahagikan, janda-janda kalian telah dinikahkan semula, ahli waris yang miskin telah diuruskan.” Kemudian Ali berkata,” Demi Allah jika mereka mampu menjawab, mereka (ahlil kubur) akan memberitahu: “Kami tidak melihat sebaik-baik bekal ialah Taqwa.” (Atsar riwayat Ibn Abdil Barr, al Istizkaar, 2:164)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-130 hingga Ke-132

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-130

Setelah diterangkan dengan panjang lebar tentang Nabi Ibrahim عليه السلام, Allah ‎ﷻ seumpama hendak menyampaikan kepada Ahli Kitab: Wahai Yahudi dan Nasara, kamu juga anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام seperti juga Arab Mekah.

Kamu semua daripada rumpun yang sama. Cuma sekarang yang mendukung umat akhir zaman adalah daripada anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام juga iaitu Nabi Ismail عليه السلام, maka kamu pun marilah ikut sekali. Sama-sama tegakkan tauhid bersama mereka. Jangan dengki kepada mereka sebab kamu semua daripada keturunan yang sama. Doa yang sampai melahirkan mereka adalah daripada doa Nabi kamu juga iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kalau kamu ikut, kamu boleh dapat pahala dua kali ganda – pahala beriman dengan Kitab kamu dan pahala beriman dengan Al-Qur’an. Maka, kamu tidak rugi pun, malah kamu akan dapat lebih daripada Arab Mekah kerana mereka hanya dapat beriman dengan Al-Qur’an sahaja kerana mereka dahulu tidak ada kitab.

Maka pilihan bijak adalah dengan ikut Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, banyak ayat-ayat yang diberikan kepada mereka adalah sebagai pujukan kepada mereka. Kalau tidak mahu ikut juga, Allah ‎ﷻ beri ayat ini.

وَمَن يَرغَبُ عَن مِلَّةِ إِبراهيمَ إِلّا مَن سَفِهَ نَفسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصطَفَيناهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّالِحينَ

Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain daripada orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ

Sesiapa yang membenci kepada ugama Nabi Ibrahim,

Millah (agama) Nabi Ibrahim عليه السلام sekarang ini telah dihidupkan semula oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kalau kamu membenci ajaran Nabi Muhammad ﷺ, seperti kamu membenci ajaran agama Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Mereka yang membenci agama Nabi Ibrahim عليه السلام adalah membenci agama Allah ‎ﷻ sebenarnya. Ini kerana Nabi Ibrahim عليه السلام mengajak kepada agama Allah ‎ﷻ yang lurus.

Kita semua memandang tinggi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Sama ada dalam kalangan Islam dan juga dalam kalangan Ahli Kitab. Tetapi ada kalangan orang yang tidak beragama (agnostic dan atheist) memandang sinis kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan kisah tentang baginda. Mereka juga mengatakan apa jenis Tuhan yang buat begitu kepada Nabi yang disayangi-Nya?

Kenapa Tuhan menyusahkan Nabi Ibrahim عليه السلام? – membakarnya, memisahkan baginda daripada ahli keluarganya dan mengarahkan baginda untuk membunuh anaknya sendiri? Mereka pun kata: Jikalau itulah perbuatan yang mulia, maka kenalah kita orang Islam pun membunuh anak kita.

Itu adalah kata-kata orang yang tidak tahu tentang agama. Arahan itu diberikan hanya kepada Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja. Kalau arahan itu tidak dikenakan kepada kita, maka kita pun tidak boleh buat begitu.

إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ

tidak lain melainkan dia membodohkan dirinya sahaja;

Golongan ahli Kitab yang benci kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام sebenarnya memperbodohkan diri mereka sahaja kerana ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام adalah sama dengan ajaran Nabi Muhammad ﷺ, iaitu tidak boleh syirik kepada Allah ‎ﷻ. Kalau mereka tidak suka dengan ajakan tauhid, maka mereka akan memperbodohkan diri mereka.

Orang-orang yang bodoh sahaja yang tidak suka kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka menjadikan dirinya bodoh. Atau menjadikan diri mereka hina. Maksudnya, mereka tidak akan dihormati di dunia dan tidak ada harga di akhirat. Itu akan hanya merugikan diri sendiri.

وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا

Dan sesungguhnya Kami telah pilih Nabi Ibrahim itu di dunia ini;

Allah ‎ﷻ telah pilih baginda sebagai imam untuk manusia di dunia. Kita telah jelaskan apa maksud ‘imam’ dalam ayat yang lain sebelum ini.

Perkataan اصْطَفَ bermaksud pemilihan yang dibuat kerana orang yang dipilih itu adalah orang yang suci. Dan pemilihan itu adalah pilihan Allah ‎ﷻ sendiri. 100% pilihan Allah ‎ﷻ. Kita sendiri tidak tahu dengan pasti kenapa Allah ‎ﷻ pilih. Namun yang pasti, Allah ‎ﷻ yang pilih. Ahli Kitab tahu bahawa Allah ‎ﷻ ada hak untuk memilih sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka terima bahawa Allah ‎ﷻ telah memilih Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi mereka ada masalah pula apabila Allah ‎ﷻ memilih Nabi Muhammad ﷺ.

وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ

dan sesungguhnya Nabi Ibrahim itu di akhirat kelak termasuk daripada Nabi-Nabi di peringkat soleh;

Nabi Ibrahim عليه السلام mempunyai kesolehan yang tinggi. Oleh itu, baginda berada di peringkat yang tinggi. Ini bukan soleh yang biasa, namun soleh peringkat Nabi. Jadi kita kena jadi orang yang soleh untuk bersama dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Tafsir Ayat Ke-131

Apabila diajak ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, puak Yahudi ada alasan pula. Mereka kata Nabi mereka pesan jangan mati melainkan ikut ajaran Nabi Musa عليه السلام. Jadi mereka kata mereka terikat dengan wasiat itu.

Maka Allah ‎ﷻ menjelaskan bahawa tidak ada wasiat sebegitu. Apa yang mereka kata itu adalah dakwaan kosong sahaja. Wasiat yang ada adalah mengikut tauhid sahaja. Dari segi cara amalan, tidak ada. Sedangkan ada dalam kitab mereka pun suruh ikut Nabi akhir zaman. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mulakan tentang apakah agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

إِذ قالَ لَهُ رَبُّهُ أَسلِم ۖ قالَ أَسلَمتُ لِرَبِّ العالَمينَ

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ

Ketika Tuhannya berkata kepada Nabi Ibrahim:

Inilah sebenarnya ajaran dan suruhan terpenting dari Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام.

أَسْلِمْ

Serahkanlah diri kepada Aku;

Makna Islam itu bermakna ‘serah diri kepada Allah ‎ﷻ’. Sanggup mengesakan Allah ‎ﷻ bulat-bulat, 100%. Serah diri kepada Allah ‎ﷻ dalam tauhid dan amal, iaitu menjalankan segala arahan-Nya tanpa soal.

Tetapi kita sekarang tafsir Islam ini sebagai ‘selamat’ sahaja. Maknanya, itu adalah tafsiran yang tidak lengkap lagi. Sebenarnya, maksudnya yang lebih tepat adalah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita serahkan diri kepada Allah ‎ﷻ, bermakna kita menjadi hamba kepada-Nya. Apa sahaja arahan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita, kita terima dan kita amalkan tanpa soal. Bila kita buat begitu, barulah kita akan ‘selamat’.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mula memberi isyarat tentang ‘Islam’ iaitu hendak memberitahu kepada Ahli Kitab bahawa Islamlah agama yang sebenar. Memang semua agama Allah ‎ﷻ dari zaman Nabi Adam عليه السلام lagi dinamakan ‘Islam’. Tetapi golongan agama merekalah yang ubah nama kepada ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Mereka telah ubah agama mereka, nama pun mereka sudah ubah.

قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

Kata Nabi Ibrahim: Sesungguhnya aku berserah diri bulat-bulat kepada Tuhan yang mencipta, menjaga sekalian alam.

Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab ajakan Allah ‎ﷻ dengan menggunakan perkataan أَسْلَمْتُ. Perkataan itu dalam “past tense”. Kenapa Nabi Ibrahim عليه السلام buat begitu? Ini adalah keindahan bahasa Al-Qur’an. Kalau dikatakan dalam “past tense”, itu menunjukkan lebih pasti lagi. Kalau digunakan dalam “present tense:, ada kemungkinan keislamannya itu tidak kekal. Kalau dalam bahasa Inggeris, kita boleh katakan ia bemaksud “It’s a done deal”.

Nabi Ibrahim عليه السلام juga menggunakan kata رَبِّ dalam kata-katanya. Ini kerana baginda hendak menekankan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan dan dia adalah hamba Allah ‎ﷻ. Inilah ringkasan Al-Qur’an [Kita hamba Allah ‎ﷻ; dan Allah ‎ﷻ rabb kita].

Kenapakah kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dibawa dalam ayat ini? Surah Baqarah ini ditujukan kepada Ahli Kitab dan ia berkenaan mereka. Mereka kenal siapakah Nabi Ibrahim عليه السلام itu. Mereka pun terima baginda sebagai Rasul yang agung. Dan kerana karektor Nabi Ibrahim عليه السلام ini dikenali oleh Ahli Kitab dan juga orang Islam sendiri.

Jadi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kepada semua orang. Allah ‎ﷻ kenalkan siapa baginda dan apakah pegangan agama baginda. Oleh itu, Islamlah pegangan agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

Tafsir Ayat Ke-132:

وَوَصّىٰ بِها إِبراهيمُ بَنيهِ وَيَعقوبُ يا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ لَكُمُ الدّينَ فَلا تَموتُنَّ إِلّا وَأَنتُم مُسلِمونَ

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ

Nabi Ibrahim mewasiatkan perkara yang sama kepada anaknya;

Baginda sampaikan ajaran agama dan terutama sekali pegangan akidah kepada anak-anak baginda. Maka beginilah yang kita kena lakukan. Kena ajar anak-anak kita. Berikan mereka pegangan agama yang benar.

وَيَعْقُوبُ

dan begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub:

Nabi Ya’qub عليه السلام mengikut langkah Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda juga telah menyampaikan pegangan agama ini kepada keturunan baginda.

يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ

wahai anakku, sesungguhnya Allah sudah memilih ugama untuk kamu.

Agama yang hanya diterima dan diredhai oleh Allah ‎ﷻ adalah Islam sahaja. Jangan kita kata agama-agama lain sama sahaja. Itu adalah salah kerana agama yang hanya diterima adalah Islam sahaja. Memang agama-agama lain ada kebaikannya, tetapi tidak lengkap. Tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ.

Apabila digunakan perkataan لَكُمُ – ‘untuk kamu’ – itu bermaksud ia diberikan dalam bentuk rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana digunakan huruf jar ل. Berbeza kalau digunakan dalam bentuk ‘alaikum’ – ke atas kamu – kalau dalam bentuk itu, ia bermaksud satu tanggungjawab. Dalam ayat ini, apabila Allah ‎ﷻ menggunakan huruf ل, Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa agama Islam itu diberikan kepada kita sebagai satu rahmat kepada kita.

Siapakah anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام? Mereka terdiri daripada Nabi Yusuf عليه السلام, Bunyamin dan 10 lagi adik-beradiknya yang lain. 10 adik-beradiknya yang lain itu telah disebut kisah mereka tentang apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Ya’qub عليه السلام dan Nabi Yusuf عليه السلام. Mereka telah meninggalkan Nabi Yusuf عليه السلام di dalam telaga kerana mereka dengkikan baginda. Kemudian mereka telah menipu bapa mereka – Nabi Ya’qub عليه السلام. Ini diceritakan dengan panjang lebar dalam Surah Yusuf عليه السلام.

Kalau kita lihat keturunan mereka, tentulah kita rasa mereka sepatutnya menjadi orang yang baik, kerana bapa mereka Nabi, datuk mereka Nabi (Nabi Ishak عليه السلام) dan moyang mereka juga Nabi (Nabi Ibrahim عليه السلام). Namun hakikatnya mereka tidak begitu. Maka ini mengajar kita, tidak ada jaminan kalau keturunan baik, seseorang itu akan menjadi baik juga. Iman tidak boleh diwarisi. Seseorang itu kena cari sendiri.

Maka janganlah kita terus percaya kepada seseorang itu jikalau dia dikatakan dari keturunan ulama’ terdahulu termasuklah kalau dia dikatakan seseorang itu daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Kena tengok dahulu apakah yang dilakukannya dan apakah ajaran yang dibawanya.

فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Maka jangan sekali-kali kamu mati melainkan kamu dalam keadaan berserah diri bulat kepada Allah.

Nabi Ya’qub عليه السلام telah berdoa dan juga menasihati anak-anak baginda. Tidak cukup kalau kita hanya mendoakan sahaja keselamatan dan keimanan keturunan kita. Kita kena juga bagi nasihat kepada mereka.

Kita memang risaukan tentang apakah agama anak cucu kita nanti. Jangan tidak ambil kisah langsung. Apa yang kita boleh buat adalah memberi mereka pendidikan yang sempurna dan kemudian menasihati mereka. Kita hanya boleh buat yang terbaik yang kita mampu lakukan. Selepas itu, terpulang kepada mereka.

Akhirnya, anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام telah bertaubat dan menjadi insan yang baik dan beriman. Jangan pula kita kutuk mereka. Apa yang terjadi kepada mereka adalah pengajaran buat kita.

Kita dapat tahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عليه السلام kepada anaknya ini daripada Al-Qur’an kerana Tuhan beritahu dalam Al-Qur’an dan kita belajar tafsir Al-Qur’an. Oleh itu, lihatlah wasiat yang diberikan oleh para Nabi yang disebut di atas. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ sebutkan wasiat mereka dalam ayat ini. Kita sendiri kena wasiat kepada anak-anak kita pun begini juga.

Dan kita sendiri jangan mati melainkan dalam berserah diri kepada Allah ‎ﷻ iaitu tidak buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana yang dikira adalah iman kita ketika kita di ambang maut. Hanya sesiapa yang tidak berbuat syirik sahaja akan dapat menerima doa daripada anak mereka. Kalau mereka ada berbuat syirik, walaupun anak mereka mendoakan untuk mereka, tetapi tidak diterima doa itu. Alangkah ruginya kalau begitu.

Satu pengajaran daripada ayat-ayat ini adalah: Kita kena ajar wasiat itu kepada anak-anak kita. Dalam Surah Luqman juga, Luqman mewasiatkan kepada anaknya supaya jangan mati melainkan dalam agama Islam. Bila anak kita hampir masuk akil baligh, kena ajar kepada mereka tentang agama. Ajar mereka siapa Tuhan dan siapa Nabi. Kemudian ajar mereka mengucap. Supaya mereka masuk Islam di hadapan kita secara rasmi.

Memang keturunan mereka memang sudah Muslim, tetapi kita hendakkan mereka masuk Islam secara rasmi. Iaitu masuk Islam dalam keadaan mereka faham tentang apakah itu Tuhan dan apakah itu Islam. Bukan sebab emak ayah dia Muslim. Kita dulu mungkin tidak ada yang buat begitu kepada kita. Tidak ada sesiapa ajar kita maksud syahadah itu dengan benar. Sampaikan kita tidak tahu bila kita dahulu mula masuk Islam (Siapa ingat bilakah dia masuk Islam?)

Maka ingatlah untuk mengajar syahadah kepada anak-anak kita. Kalau kita tidak buat begitu, ada kemungkinan mereka tidak sayang kepada agama kerana mereka tidak faham dan sangka itu adalah ‘agama keturunan’ sahaja. Inilah kefahaman kebanyakan masyarakat kita sekarang. Mereka melihat agama ini sebagai keturunan sahaja, tidak tahu langsung bab agama.

Lihatlah sekali lagi digunakan perkataan ‘Muslim’ dalam ayat ini juga. Penggunaan kata Muslim dan Islam banyak digunakan sekarang dan dalam berbagai-bagai cara. Semuanya untuk memberi isyarat kepada Bani Israil supaya masuk Islam. Mereka kena sedar yang Islamlah agama sebenar dan itulah agama sebenar datuk nenek mereka pun.

Allahu a’lam. 

TBK 10.2.2 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0

Tanda Besar Kiamat
10.2 Turunnya Nabi Isa
نزول عيسى بن مريم عليه السلام

10.2.2  Nasab.

Sekitar nama ‘Jesus Christ.’

Terdapat pelampau agama yang melarang menyebut dan menulis ‘Jesus Christ’ kerana menyalahi aqidah dan istilah Al-Qur’an, Isa Al-Masih. Betulkah demikian? Jika menyebut ‘Jesus Christ’, bermaksud Jesus anak Tuhan.

Penjelasan:
Jesus adalah panggilan orang Barat untuk Nabi Isa عليه السلام, samalah juga seperti mereka memanggil; –

• Nabi Ibrahim عليه السلام, Abraham,
• Nabi Ismail عليه السلام, Ishmael,
• Nabi Ishak عليه السلام, Isaac,
• Nabi Yusuf عليه السلام, Joseph,
• Nabi Yaakub عليه السلام, Jacob,
• Nabi Musa عليه السلام, Moses,
• Nabi Harun عليه السلام, Aaron,
• Nabi Daud عليه السلام, David,
• Nabi Sulaiman عليه السلام, Solomon ,
• Nabi Nuh عليه السلام, Noah,
• Nabi Ayub عليه السلام, Job,
• Nabi Zakaria عليه السلام, Zachariah,
• Nabi Yahya عليه السلام, John,
• Nabi Yunus عليه السلام, Jonah
dan selain mereka ‘alaihimus solatu wassalam.

Jesus dalam bahasa Ibrani yang menggunakan huruf Romani ditulis sebagai Yeshua, ia bermaksud ‘Penyelamat’ atau ‘Pembawa risalah’.
Ia diterjemahkan sebagai ‘Ieosus’ dalam bahasa Greek, kemudian diterjemah sebagai ‘Yesus’ dalam bahasa Inggeris lama, kemudian menjadi ‘Jesus’ dalam bahasa Inggeris moden.
Itu sahaja.

Kita memanggil Isa, Ibrahim, Musa, Sulaiman dalam versi Arab. Ini kerana menghormati panggilan versi terakhir, dan itulah wahyu yang penyudah dalam bahasa Arab.

Maka jika kita ingin menyebut nama nabi dalam bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris, maka tidak menjadi kesalahan menyebut nama-nama tersebut dalam bahasa tersebut. Bahkan ajaran semitic atau ajaran agama samawi itu lebih nampak dekat sebagaimana yang Allah ﷻ sendiri menyebut mereka dengan panggilan mesra ‘Ahlil Kitab’. Nama Nabi Isa عليه السلام ini ada dalam semua versi samawi atau semitic. Jesus dalam bahasa Inggeris moden, Yeshua dalam bahasa Hebrew dan Isa bin Maryam dalam bahasa Arab Al-Qur’an. Sama juga dengan isu Allah ﷻ, Allah ﷻ dalam Al-Qur’an, God dalam Bible dan Yahweh, Elohim dalam Hebrew.

@tanda2kiamat

TBK 10.2.1 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0

Tanda Besar Kiamat
10.2 Turunnya Nabi Isa

نزول عيسى بن مريم عليه السلام

10.2.1 Muqaddimah 
Mengenal Nabi Isa عليه السلام secara dekat dan personal.

◾️ Nasab Nabi Isa عليه السلام.

Siapa Maryam, Zakaria dan Keluarga Imran, Yahya dan Isa –
kesemuanya adalah daripada Bani Israil. Maryam lahir daripada pasangan Imran dan Hanna. Imran wafat ketika Maryam dalam kandungan ibunya Hanna. Oleh kerana keduanya sudah bernazar untuk menyerahkan bayi mereka kepada sinagog (kuil Yahudi), maka Maryam diserahkan kepada sinagog Yahudi sebaik saja kelahirannya. Hak penjagaan bayi Maryam diambil oleh Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya Isya. Kemudian Nabi Zakaria عليه السلام juga dikurniakan anak lelaki bernama Yahya. Isteri Nabi Zakaria عليه السلام, Isya dan ibu Maryam iaitu Hanna adalah adik-beradik. Maka Maryam adalah anak saudara kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Manakala NabiYahya عليه السلام dan Maryam adalah sepupu. Maka Nasab Isa عليه السلام adalah Isa bin Maryam bin Imran.

Menurut Dr Al-Areefi,

نزول عيسى عليه السلام
عيسى عليه السلام نبي من أنبياء الله عز وجل من أولي العزم المقربين أختصه الله عز وجل بأن يولد من أم دون أب وكانت مريم أم عيسى عليه متميزة بصلاحها وتتعبد في المحراب والله عز وجل يرزقها

Muqaddimah turunnya Nabi Isa عليه السلام:
Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi dari siri anbiyaa Allah ﷻ yang termasuk Nabi Ulul Azmi, di mana Allah ﷻ menjadikan baginda satu keunikan dengan kelahiran tanpa ayah. Adapun Maryam pula terkenal dengan kesolehannya, sentiasa beribadat di Mihrab (sinagog) dan Allah ﷻ memberi rezeki kepadanya secara langsung.

قال الله عز وجل:{ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (٣٧) }

“Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, baginda dapati makanan di sisinya. Zakaria berkata, “Hai Maryam, dari mana kamu memperoleh (makanan) ini?” Maryam menjawab, “Makanan itu dari sisi Allah.”
“Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.”
[Ali-Imran: 37]

Tambahan:
1. Benarkah Nabi Zakaria عليه السلام dan Nabi Yahya عليه السلام dibunuh dengan kejam oleh Bani Israil?

Ibnu Katsir رحمه الله‎ mengatakan dalam tafsirnya bahawa dakwaan Nabi Zakaria عليه السلام dibunuh dan digergaji dalam pokok adalah Israiliyyat. Begitu juga Nabi Yahya عليه السلام dibunuh oleh Raja Syria adalah kisah Israiliyyat kerana berlawanan dengan nas:

إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ ٱلْأَشْهَٰدُ ﴿٥١﴾

“Sesungguhnya kami menolong rasul-rasul kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).”
[Ghafir: 51]

Bermaksud nabi-nabi Allah ﷻ tidak boleh dibunuh dengan kejam oleh manusia.

@tanda2kiamat

Popular

Iklan

Iklan