Utama Blog Halaman 37

SOAL JAWAB DALAM BICARA SUNNAH THTL: SALAH FAHAM TENTANG SEDEKAH SUBUH

0

🔴 Adakah benar sedekah di waktu Subuh lebih baik dari waktu lain seperti yang dibawakan dalam video yang berleluasa di media sosial?

Di dalam video itu, Habib tersebut mengulas riwayat di bawah. Bab tajuk Sedekah Subuh.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda,

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا ، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

“Ketika hamba berada di setiap pagi, ada dua malaikat yang turun dan berdoa, “Ya Allah berikanlah ganti pada yang gemar berinfaq (rajin memberi nafkah pada keluarga).” Malaikat yang lain berdoa, “Ya Allah, berikanlah kefakiran bagi yang enggan bersedekah (memberi nafkah).” (HR. Bukhari No. 1442 dan Muslim No. 1010)


Hadith ini menceritakan tentang infaq, nafkah terhadap keluarga, maksudnya pagi-pagi lagi sudah keluar untuk mencari rezeki.

Hadith ini bukanlah bermaksud, pagi-pagi lagi sudah menderma di tabung masjid sebab masjid di Saudi tidak disediakan tabung derma. Malah di zaman salaf juga tiada tabung masjid.

Hadith ini maksudnya infaq, nafkah kepada keluarga masing-masing.

Setiap hadith hendaklah dilihat pada syarahnya sebelum beramal. Bukannya boleh diambil hadith atau ayat Al-Qur’an dan kemudian terus diamalkan. Bahaya jika dibuat begitu.

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-27 hingga Ke-30

0

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-27

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۖ وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ ۖ وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

Engkaulah (wahai Tuhan) yang menyumbat waktu malam ke dalam waktu siang

Allah ‎ﷻ berkuasa melakukan apa sahaja, termasuklah untuk menukar kejadian siang dan malam. Ada kala malam ‘disumbat’ masuk dalam siang sampai malam jadi panjang.

Perkataan تولِجُ bukan bermaksud ‘masukkan’ tetapi ‘menyumbat’. Bayangkan kita menyumbat pakaian kita ke dalam beg yang sudah sendat.

وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan Engkaulah yang menyumbatkan waktu siang ke dalam waktu malam.

Allah ‎ﷻ boleh menyumbatkan siang ke dalam waktu malam sampai siang menjadi panjang.

Kejadian ini kita boleh lihat di negara-negara yang ada banyak musim. Kadang-kadang tempoh waktu malam menjadi panjang dan kadang-kadang tempoh waktu siang menjadi panjang oleh kerana peredaran musim sepanjang tahun. Itu semua Allah‎ ﷻ yang mengaturkannya.

Sebagaimana Allah ‎ﷻ mengatur peredaran musim, Allah ‎ﷻ juga mengatur peredaran kekuasaan manusia. Ada yang hamba menjadi raja dan ada raja Allah ‎ﷻ turunkan menjadi hamba. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tetapi akhirnya Allah boleh jatuhkan sahaja dengan mudah.

وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ

Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati,

Allah ‎ﷻ juga boleh bawa keluar kehidupan daripada kematian. Dari benda yang mati, boleh keluar sesuatu yang hidup. Contohnya, daripada air mani yang mati, Allah ‎ﷻ boleh jadikan manusia; daripada telur ayam yang mati, Allah ‎ﷻ boleh keluarkan anak ayam; dan banyak lagi contoh.

Ini juga imbalan bagaimana dari negeri Mekah yang mati tauhid dan akidah itu, lahir seorang Nabi dan umat yang menegakkan hukum tauhid. Hasilnya mereka ‘hidup’ dengan beragamakan ajaran tauhid.

وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ

dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup.

Allah‎ ﷻ juga boleh keluarkan mati daripada kehidupan iaitu apabila telah sampai masa, setiap makhluk akan mati.

Ia juga bermaksud, daripada binatang yang hidup seperti ayam, boleh keluarkan telur ayam yang mati.

Ada juga yang berpendapat, maksud ayat ini adalah Allah ‎ﷻ boleh jadikan seorang mukmin daripada keluarga yang kafir dan menjadikan orang kafir daripada keluarga yang mukmin kerana orang yang benar-benar beriman adalah dari hatinya yang beriman. Bukanlah keluarganya yang menentukan imannya. Akan tetapi tentu kalau keluarga beriman, akan lebih mudah mengeluarkan anak yang beriman.

Allah ‎ﷻ juga boleh keluarkan anak yang pandai daripada ayah yang bodoh, dan anak yang bodoh daripada ayah yang pandai. Kepandaian dan kebodohan tidak ada di dalam DNA kita. Ia adalah rezeki daripada Allah yang dibantu oleh kehendak dan usaha kita.

وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya

Allah ‎ﷻ memberi rezeki tidak terhitung banyaknya kepada makhluk. Allah ‎ﷻ tidak mengira berapa banyak Dia beri sebab sebanyak mana pun diberi, langsung tidak merugikan diri-Nya.

Ayat ini adalah doa yang hebat. Apabila kita faham ayat ini dan kita baca dalam doa kita, ia akan ingatkan kita supaya tidak terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan suasana dalam dunia ini. Kita akan terbangkit rasa tauhid, iaitu ingat dan sedar bahawa segalanya dalam kekuasaan Allah ‎ﷻ dan tidak ada elemen dan entiti lain yang boleh menentukan sebaliknya.

Maka kita akan bersyukur apabila Allah ‎ﷻ beri nikmat kepada kita dan bersabar apabila Allah ‎ﷻ cabut nikmat itu kerana kita sedar yang semua itu di dalam ketentuan Allah ﷻ. Allah ﷻ uji kita dengan berbagai cara.

Selepas kita membaca lafaz ayat ini, boleh kita bacakan doa apa sahaja kehendak kita kerana dalam berdoa, kita harap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bila pengharapan kita lebih tinggi kepada Allah ﷻ, maka doa kita lebih mudah dimakbulkan.

Berharaplah sahaja kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, dalam mendapatkan rezeki pun kena berharap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan bergantung kepada makhluk walaupun kita mungkin berniaga atau bekerja makan gaji. Tetapi pelanggan dan gaji itu semua adalah dalam tangan Allah ﷻ. Kita telah baca sebelum ini bagaimana semua kuasa-kuasa dan kejadian-kejadian itu Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh buat, maka minta kepada Allah ‎ﷻ lah sahaja.

Tafsir Ayat Ke-28

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۖ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.

Ini adalah undang-undang kejayaan. Dalam kehidupan dunia, orang tauhid patutnya tidak berkawan baik dengan orang yang berakidah syirik. ‘Wali’ dalam ayat ini bermaksud kawan rapat yang kita harapkan bantuan mereka dalam kesusahan.

Ayat ini awal sekali diterima oleh para sahabat. Pada zaman sahabat, tentunya mereka banyak bersahabat dengan rakan mereka yang sama-sama musyrik dengan mereka dahulu. Arab Madinah pula sudah lama berbaik dengan puak Yahudi. Tentu susah hendak meninggalkan kawan-kawan musyrik mereka itu sebab sudah lama kenal dan berkawan dengan mereka. Islam beritahu yang boleh kawan biasa sahaja dengan mereka tetapi jangan jadikan mereka sebagai wali.

Islam tidaklah melarang berkenalan dan berbaik dengan non-Muslim. Tetapi untuk hidup berkawan, ada cara-caranya yang diajar dalam Islam:

Pertama, berkawan atas dasar sahabat sesama Muslim iaitu mereka yang sama akidah dan mengamalkan syari’at yang sama dengan kita. Ini adalah persahabatan yang terbaik. Perhubungan ini dinamakan muwallat – tunjuk baik luar dan dalam.

Kedua, yang dinamakan muwlasat, iaitu kita berhubungan dengan orang lain atas dasar untuk tolong orang susah. Tidak semestinya yang ditolong itu akidahnya kena betul baru kita kena tolong. Jadi kalau kita hendak menolong orang kafir, sama-sama buat kebaikan dengan mereka, ini tidak mengapa. Islam tidak melarang dalam hal ini, malah Islam menganjurkan.

Ketiga, dinamakan mudharat. Ini adalah apabila luaran kita tunjuk baik dengan orang yang berlainan akidah, tetapi dalam hati kita, kita marah kerana dalam keadaan tertentu kena tunjuk baik walaupun kita tidak suka. Ini juga penting untuk dilakukan supaya suatu hari nanti, kita dapat dekatkan dia dengan agama.

Namun begitu, janganlah kita ikut dia buat maksiat pula. Janganlah sampai begitu. Patutnya kita boleh tegur dia atas kesalahan dia, tetapi kita tangguhkan teguran itu kerana kita simpan teguran itu pada satu masa lain yang sesuai. Tegur tetap kena tegur, cuma kita tangguhkan sahaja. Ini kerana hendak menegur waktu itu mungkin tidak sesuai kerana susah hendak faham, terutama apabila memerlukan masa yang lama untuk menjelaskan sesuatu permasalahan agama.

Contohnya hendak jelaskan tentang konsep syirik dan bid’ah, tentu memakan masa kalau hendak beritahu kepada mereka yang tidak faham lagi. Kita tidak boleh menegur pada waktu itu kerana hati mungkin tengah marah dan kita tidak redha dengan apa yang orang itu lakukan.

Lainlah kalau kesalahan itu jelas sangat, maka kena tegur pada waktu itu juga. Contohnya, kalau dia sedang berzina atau mencuri, maka tidak boleh ditunggu lagi, hendaklah ditegur terus sebab sudah jelas kesalahan itu.

Oleh itu, berbuat baik dan bersahabat yang sepatutnya adalah sesama Mukmin, bukan dengan orang kafir kecuali kalau keadaan mudharat, iaitu kalau kita tidak berbaik dengan dia, maka boleh menyusahkan kita.

Dan kalau dengan non-Muslim, kita berkawan biasa-biasa sahaja. Bukanlah kita sentiasa berkepit dengan dia ke mana-mana dan kita menceritakan segala rahsia dan kesusahan kita kepadanya. Itu kita lakukan kepada orang Mukmin kerana mereka boleh beri nasihat berdasarkan agama, bukannya nafsu semata-mata seperti non-Muslim.

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ

Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia daripada Allah dalam sesuatu apapun

Yang tidak boleh adalah muwalat – berbaik luar dan dalam dengan orang kafir. Muwalat itu kita berbaik dengan orang dan dalam hati pun kasih juga kerana sesama Muslim dan sama akidah dan sama-sama mengikut sunnah. Zahir dan batin kita muliakan dia. Dengan orang kafir tidak boleh kerana kalau kita buat, dikutuk oleh Allah ‎ﷻ.

Sesiapa yang buat begitu, dia tidak ada dalam agama Allah ‎ﷻ walau sedikit. Ini kerana dia dikira redha kepada kekufuran yang dilakukan oleh kawan mereka yang kufar itu. Padahal bila kita rapat dengan seseorang, kita kena tegur dan ajak dia ke arah kebaikan. Tetapi adakah kita lakukan begitu dengan orang bukan Islam?

إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً

kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka

Melainkan jika mudharat untuk melindungi diri daripada bahaya mereka iaitu perkara itu tidak dapat dielakkan. Contohnya mereka itu pemimpin, ketua kita di tempat kerja, rakan sekerja kita dan sebagainya.

Mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai pelindung kita, tetapi bolehlah ada hubungan dengan mereka. Maka kalau kerajaan Islam adakan “peace treaty” dengan Amerika adalah dibolehkan, tetapi jangan jadikan Amerika sebagai pelindung kita.

Begitu juga di dalam negara kita, ada yang non-Muslim menjadi pemimpin negara. Kita tetap kena hormat kepada mereka sebagai pemimpin yang dilantik. Tetapi kalau boleh, janganlah kita pula melantik mereka kerana pemimpin sepatutnya adalah daripada kalangan orang Islam.

Maka dalam pilihanraya, kita kena pilih pemimpin yang Muslim, tidak kira dari mana parti politiknya.

وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap diri-Nya

Allah ‎ﷻ ajar supaya kenal Dia dan kenal sifat-Nya. Kena ambil tahu tentang Allah ‎ﷻ. Kena letak Allah ‎ﷻ di hadapan dalam membuat keputusan. Jadi kena pegang hukum yang Allah ‎ﷻ letak. Kena takut Allah ‎ﷻ lebih daripada takut kepada makhluk.

وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

Kalimah المصير adalah tempat akhir kita. Setelah pergi merata-rata, akhirnya pergi ke satu tempat sebagai destinasi akhir kita. Maka ingatlah yang akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita. Apa yang kita hendak jawab kalau perbuatan kita tidak taat kepada-Nya?

Tafsir Ayat Ke-29

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu

Sama sahaja pada Allah ‎ﷻ, apa sahaja yang kita lakukan dan rasa, Dia Maha Mengetahui. Sama ada muwallat, muwassat dan mudharat nampak pada luaran sama sahaja, namun apa yang ada di dalam dada kita, Allah ‎ﷻ tahu. Orang nampak kita layan seseorang itu sama sahaja, tetapi dalam hati kita, mereka tidak tahu. Dan yang dikira adalah pada dalaman kita. Iaitu apakah niat kita.

أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ

atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya;

Sama sahaja kepada Allah ‎ﷻ, kerana Ilmu-Nya sempurna. Kalau dalam hati pun Allah tahu, tentulah Allah ﷻ juga tahu yang dilahirkan oleh mulut kita.

وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam dada kita, segala yang terjadi di langit dan bumi pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Tidak ada perkara yang berlaku tanpa pengetahuan-Nya. Malah apa sahaja yang berlaku adalah kerana izin-Nya.

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Bukan sahaja ilmu Allah‎ ﷻ sempurna, kuasa Allah ‎ﷻ juga sempurna. Dia boleh buat apa sahaja yang Dia mahu dan kita tidak dapat halang langsung, tidak dapat persoal langsung.
Maka kita sebagai manusia kena belajar redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Apa sahaja yang berlaku, terimalah ia sebagai ujian dari Allah ﷻ. Katakan pada diri: “oh, Allah nak uji aku begini hari ini.. “.

Tafsir Ayat Ke-30

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا وَما عَمِلَت مِن سوءٍ تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya.

يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا

hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, dihadapkan ke hadapannya

Ingatlah yang kita akan jumpa balik amalan yang kita buat di dunia dahulu. Mungkin kita pun sudah lupa kebaikan yang kita pernah buat itu. Tetapi Allah ﷻ dan Dia telah rekod semua sekali perbuatan kita. Maka di akhirat akan ditunjukkan semuanya kepada kita walau sekecil mana pun seperti memberi senyuman kepada orang lain.

Kalimah محضرا maksudnya ia akan dibawa ke hadapan kita.

Dan Allah ﷻ tunjuk semula kerana Allah ﷻ hendak balas. Segala penat lelah kita menjalankan amal yang baik itu semasa di dunia akan dibalas dengan berlebihan lagi. Nanti kita sudah tidak ingat susah payah kita dahulu kerana terlalu suka dengan balasan yang berlipat kali ganda itu. Jadi susah payah itu di dunia ini sahaja.

وَما عَمِلَت مِن سوءٍ

dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.

Malangnya, semuanya akan ditunjuk, termasuk juga perbuatan buruk kita. Besar dan kecil pun. Sebagai contoh, mungkin kita ada jeling tengok perempuan yang bukan mahram. Ini pun akan ditulis juga dan akan ditunjukkan dosa kita itu. Itu kalau ia tidak diampunkan semasa di dunia lagi.

تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا

dia ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.

Semua orang akan berharap kalaulah ada cara untuk menjauhkan benda buruk yang dia pernah buat dahulu. Kalimah أمداً maksudnya masa yang lama sangat. Maksudnya jauh sangat sampai hendak pergi ke situ pun tidak boleh dikira masanya.

Kemudian Allah‎ ﷻ tambah pula kalimah بعيداً yang bermaksud jauh sangat. Apabila digabungkan dua perkataan ini, hendak menunjukkan betapa orang itu hendak dijauhkan sangat dosa dia itu sejauh-jauhnya.

وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya

Allah ‎ﷻ ajar kita supaya takut kepada-Nya. Allah ‎ﷻ beritahu Sifat-sifat-Nya dalam Al-Qur’an supaya kita kenal Dia dan berhati-hati dengan peringatan yang diberikan oleh-Nya. Jangan buat tidak tahu sahaja. Jangan baca kosong sahaja ayat-ayat ini.

وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya

Selepas Dia takutkan kita dengan Sifat keras-Nya, Allah ‎ﷻ sebut pula sifat lembut-Nya pula. Begitulah Allah ‎ﷻ dalam memperkenalkan Diri-Nya, akan menyebut kedua-dua jenis Sifat-Nya itu. Ada Sifat jenis Jalal dan Jamal.

Apakah Sifat رَءوفٌ itu? Ini seperti bila kita tengok kesusahan orang yang kebuluran dan kita hendak tolong mereka. Hati kita remuk bila tengok keadaan mereka. Begitulah juga, Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang Dia tahu apa yang kita lalui. Allah ‎ﷻ tahu apa kita hendak, apa kita rasa, apa yang kita lalui, segalanya Allah ‎ﷻ tahu. Namun Allah ‎ﷻ berikan semua yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu sebagai ujian kepada kita.

Maka amat indah sekali sifat ini kalau kita faham. Kita akan semakin kenal dan sayang kepada Allah ‎ﷻ. Barulah kita dapat rasa bahawa tidaklah kita Allah‎ ﷻ tinggalkan kita. Walaupun kita susah, tetapi kita sedar yang Allah ﷻ sedang perhatikan sahaja semua perkara yang kita sedang lalui itu. Dan ia akan dibalas nanti dengan kebaikan. Kerana apabila kita redha dengan semua kesusahan itu, kita akan diberi pahala.

Kawan paling rapat kitalah yang kenal dan tahu apa yang kita lalui. Kadang-kadang kita tidak perlu cakap pun, kita tahu dia tahu. Sekarang Allah ‎ﷻ kata Dialah kawan itu. Alangkah indahnya.

Allah ‎ﷻ juga tahu yang kadang-kadang dalam kita menjaga amal dan perbuatan kita, kadangkala tergelincir juga. Maka cepat-cepatlah mohon keampunan daripada Allah ‎ﷻ dan berhenti daripada meneruskan kesalahan itu.

Allahu a’lam.

At-Tazkirah Qurthubi: Roh Seseorang Tidak Akan Keluar Sebelum Diberitahu Terlebih Dahulu

0

At-Tazkirah Qurthubi
Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Kod/Bab 17: Roh Seseorang tidak akan Keluar Sebelum Ia diberitahu terlebih Dahulu

(باب لا تخرج روح عبد مؤمن أو كافر حتى يبشر و أنه يصعد بها )

17-1: Atsar Ibn Mubarak daripada Muhammad bin Ka’ab al Qurazi (Dhaif, Mauquf)

ابن المبارك قال : أخبرنا حيوة قال : أخبرني أبو صخر عن محمد بن كعب القرظي قال : إذا استنقعت نفس العبد المؤمن جاءه ملك الموت فقال : السلام عليك يا ولي الله ، الله يقرئك السلام ثم نزع بهذه الآية الذين تتوفاهم الملائكة طيبين يقولون سلام عليكم

Ibn Mubarak (w. 181H) meriwayatkan daripada sanad Muhammad bin Ka’ab Al Qurazi (w. 108H, Madinah, Muhaddith Tabi’in), yang berkata, “Apabila jiwa orang mukmin telah tenang, maka datanglah kepadanya Malakul maut yang berkata, “Assala mulaika kepadamu. “Wahai wali Allah ‎ﷻ , Allah ‎ﷻ mengucap salam kepadamu.” Lantas beliau (malaikat) pun mencabut nyawanya sebagaimana firman Allah ‎ﷻ

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ ۙ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ:

(Iaitu) Orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamu’alaikum, masuklah kamu ke dalam syuga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” [Al Nahl ayat 32]

Tahqiq:
Muhaqqiq Abu Al Barra Muhammad bin Khalid, menilainya dhaif kerana perawi Abu Sakhr atau Yazid bin Abu Sumayyah adalah dhaif.

17-2: Atsar Ibn Mas’ud رضي الله عنه (amat dhaif)

و قال ابن مسعود : إذا جاء ملك الموت ليقبض روح المؤمن قال : ربك يقرئك السلام

Berkata Ibn Mas’ud رضي الله عنه ,” Apabila Malakul Maut datang untuk mencabut roh orang mukmin, maka beliau berkata kepadanya, “Tuhan‎ ﷻ kamu mengucapkan salam kepadamu.”

Tahqiq: Multaqa
رواه الثعلبي في ( تفسيره ) (8/ 52) ــ ط. إحياء التراث 1422هـ ــ بإسناده إلى ابن مسعود .
وفي إسناده عمر بن مدرك القاص وهو ضعيف بل قال يحيى بن معين: كذاب . وترجمته في ( لسان الميزان ) (4/ 330) .
وزاد السيوطي نسبته في ( الدر المنثور ) (6/ 623) إلى المروزي في الجنائز وابن أبي الدنيا وأبي الشيخ.

Atsar riwayat Tha’labi dalam tafsir Tha’labi, 8:52 Pustaka Ihya’ Al Turath, Beirut, sanadnya sampai kepada Ibn Mas’ud رضي الله عنه .
Dalam sanadnya ada perawi bernama Umar bin Mudrik Al Qash, dhaif, bahkan kata Yahya bin Ma’in, pendusta, biografi ada dalam Lisan Al Mizan, Ibn Hajar, 4:330.
Juga lihat Tafsir Al Syuyuti, Durr Al Manthur, 6:623, dikutip daripada Al Marwazi (Al Janaiz), Ibn Abi Dunya dan Abu Syaikh

17-3: Atsar Al Barra’ bin ‘Azib (dhaif)

و عن البراء بن عازب في قوله : تحيتهم يوم يلقونه سلام فيسلم ملك الموت على المؤمن عند قبض روحه ، لا يقبض روحه حتى يسلم عليه

Daripada Al Barra’ bin ‘Azib رضي الله عنه (sahabat, w/72H, Kufah) berkata ketika membaca ayat Al-Qur’an:

تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ ۚ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا

Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah: Salam; Dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka. [Al Ahzab: 44]

“Malakul maut akan memberi salam sebelum mencabut nyawa orang mukmin; Beliau (Malakul) tidak sesekali akan mencabut nyawanya (orang mukmin) sebelum terlebih dahulu memberi salam”. (HR Ibn Abi Syaibah. Al Musyannaf 34767; Al Baihaqi, Al Syu’ab, 403)

Tahqiq:
الراوي : البراء بن عازب | المحدث : البوصيري | المصدر : إتحاف الخيرة المهرة
الصفحة أو الرقم: 2/499 | خلاصة حكم المحدث : مدار إسناد الحديث على محمد بن مالك وهو ضعيف

Didhaifkan oleh Al Busyiri, ittihaf Al Khairat, 2:499, kerana perawi dhaif Muhammad bin Maalik

17-4: Hadith Abu Hurairah (sahih)

ابن ماجه عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : تحضر الملائكة فإذا كان الرجل صالحاً قالوا : أخرجي أيتها النفس الطيبة كانت في الجسد الطيب . أخرجي حميدة وأبشري روح وريحان ورب راض غير غضبان . فلا يزال يقال لها ذلك حتى تخرج ، ثم يعرج بها إلى السماء ، فيفتح لها فيقال : من هذا ؟ فيقولون : فلان بن فلان فيقال : مرحباً بالنفس الطيبة كانت في الجسد الطيب . ادخلي حميدة و أبشري بروح و ريحان و رب راض غير غضبان . فلا يزال يقال لها ذلك حتى تنتهي إلى السماء التي فيها الله تعالى . فإذا كان الرجل السوء قال : اخرجي أيتها النفس الخبيثة كانت في الجسد الخبيث . أخرجي ذميمة و أبشري بجحيم وغساق لآخر من شكله أزواج . فلا يزال يقال لها ذلك حتى تخرج ، ثم يعرج بها إلى السماء فيستفتح لها فيقال : من هذا ؟ فيقال : فلان . فيقال : لا مرحباً بالنفس الخبيثة كانت في الجسد الخبيث . ارجعي ذميمة فإنها لا تفتح لك أبواب السماء . فترسل من السماء ثم تصير إلى القبر . خرجه عن أبي بكر بن أبي شبيبة (رواه ابن ماجه (3456)، وأحمد (2/364) (8754)، والطبري في ((مسند عمر)) (2/503). وقال: إسناده صحيح، وقال البوصيري في ((زوائد ابن ماجه)) (2/333): هذا إسناد صحيح رجاله ثقات، وقال الذهبي في ((العرش)) (29): صحيح على شرط الشيخين.)

Terjemahan:
Imam Ibn Majah daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
” Malaikat hadir apabila mayat itu adalah seorang lelaki yang soleh, maka mereka berkata, “Keluarlah wahai jiwa yang tenang, yang berada di dalam jasad yang baik. Keluarlah engkau dalam keadaan terpuji dan bergembiralah engkau dengan peristirehatan, wewangian, dan Tuhan‎ yang tidak murka.” Para Malaikat selalu mengucapkan demikian hingga rohnya diangkat naik ke langit. Kemudian dimintakan izin naik baginya, maka ditanyakan, “Siapakah orang ini?” Mereka (para Malaikat yang menghantarnya) mengatakan, “Si Fulan.” Maka dijawab, “Selamat datang dengan jiwa yang baik yang dahulu berada di dalam tubuh yang baik. Masuklah engkau dalam keadaan terpuji, dan bergembiralah dengan tempat peristirehatan, wewangian, dan Tuhan yang tidak murka.” Dan dikatakan hal tersebut hingga sampai ke langit, di mana dia menemui Allah‎ ‎ﷻ .

Apabila lelaki itu orang yang jahat, maka mereka (para Malaikat) mengatakan, “Keluarlah hai jiwa yang buruk yang berasal daripada tubuh yang buruk. Keluarlah engkau dalam keadaan tercela dan rasakanlah air panas yang mendidih dan air yang sangat dingin serta azab yang lain yang serupa itu berbagai macam.” Ucapan itu dikatakan kepadanya terus-menerus hingga keluar (daripada tubuhnya), kemudian dibawa naik ke langit. Lalu dimintakan izin masuk untuknya, dan ditanyakan, “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab, “Si Fulan.” Mereka berkata, “Tidak ada ucapan selamat datang bagi jiwa yang buruk yang berasal daripada tubuh yang buruk, kembalilah engkau dalam keadaan tercela. Kerana sesungguhnya tidak akan dibukakan untukmu semua pintu langit.” Kemudian rohnya dilepaskan di antara langit dan bumi, dan pada akhirnya kembali ke kuburnya. (HR Ibn Majah 3456. Ahmad, Musnad, 8754; Tobary, Musnad Umar, Abu Bakar ibn abi Syaibah, al mushanaf), dinilai sahih oleh At Tobari, Al Busyiri, Zawaid Ibn Majah, sahih, disahihkan juga oleh Al Zahabi dalam Al Arasy.

Al Albani, sahih Ibn Majah, no 3456

الراوي : أبو هريرة | المحدث : الألباني | المصدر : صحيح ابن ماجه
الصفحة أو الرقم: 3456

17-5: Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (sahih Muslim)

حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ الْقَوَارِيرِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ حَدَّثَنَا بُدَيْلٌ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيقٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ إِذَا خَرَجَتْ رُوحُ الْمُؤْمِنِ تَلَقَّاهَا مَلَكَانِ يُصْعِدَانِهَا قَالَ حَمَّادٌ فَذَكَرَ مِنْ طِيبِ رِيحِهَا وَذَكَرَ الْمِسْكَ قَالَ وَيَقُولُ أَهْلُ السَّمَاءِ رُوحٌ طَيِّبَةٌ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ الْأَرْضِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْكِ وَعَلَى جَسَدٍ كُنْتِ تَعْمُرِينَهُ فَيُنْطَلَقُ بِهِ إِلَى رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ يَقُولُ انْطَلِقُوا بِهِ إِلَى آخِرِ الْأَجَلِ قَالَ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا خَرَجَتْ رُوحُهُ قَالَ حَمَّادٌ وَذَكَرَ مِنْ نَتْنِهَا وَذَكَرَ لَعْنًا وَيَقُولُ أَهْلُ السَّمَاءِ رُوحٌ خَبِيثَةٌ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ الْأَرْضِ قَالَ فَيُقَالُ انْطَلِقُوا بِهِ إِلَى آخِرِ الْأَجَلِ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَرَدَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَيْطَةً كَانَتْ عَلَيْهِ عَلَى أَنْفِهِ هَكَذَا

Telah menceritakan kepadaku [Ubaidullah bin Umar Al Qawariri] telah menceritakan kepada kami [Hammad bin Zaid] telah menceritakan kepada kami [Budail] daripada [Abdullah bin Syaqiq] daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه ] berkata: “Apabila roh orang mukmin telah keluar daripada jasadnya, ia akan dijemput oleh dua malaikat yang akan membawanya naik, lalu Hammad berkata dan menyebutkan baunya yang harum seraya berkata: Baunya seperti minyak wangi, dan para penghuni langit berkata: Telah datang roh yang baik dari bumi, semoga Allah ‎ﷻ mendo’akanmu dan mendo’akan jasad yang telah kau tinggal. Lalu roh dibawa menghadap Rabbnya ‘Azza Wajalla. Kemudian ia berkata: Bawalah ia sampai ke tempat yang paling akhir (yakni Sidratul Muntaha). Dan sesungguhnya orang kafir apabila rohnya telah keluar daripadanya. Hammad berkata: ia menyebutkan baunya yang busuk dan cercaan yang ditujukan kepadanya, lalu para penghuni langit berkata: Telah datang satu roh yang buruk dari bumi. Ia berkata: lalu dikatakan: Bawalah ia hingga sampai ke tempat yang paling akhir (yakni sijiin) Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ meletakkan kain tipis yang ada padanya pada hidung beliau seperti ini.” (HR Muslim no. 5119)

17-6: Hadith Ubadahy bin Ash Shamit (sahih Al Bukhari)

البخاري . عن عبادة بن الصامت عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : من أحب لقاء الله أحب الله لقاءه ، و من كره لقاء الله كره الله لقاءه

“Barangsiapa yang senang berjumpa dengan Allah ﷻ , Allah‎ ﷻ pun senang berjumpa dengannya. Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah‎ ﷻ , maka Allah‎ ﷻ pun tidak suka bertemu dengannya”
(Sahih Bukhari, no 6142)

Fiqh hadith:
Apabila kita sedang sakaratul maut, bila kita rasa senang ingin bertemu Allah‎ ﷻ , maka Allah‎ ﷻ senang atau redha untuk bertemu dengan kita.

17-7 Hadith Aisyah رضي الله عنها (Sahih Muslim)

فقالت عائشة ـ أو بعض أزواجه : إنا لنكره الموت فقال : ليس ذاك و لكن المؤمن إذا حضره الموت بشر برضوان من الله و كرامته فليس شيء أحب إليه مما أمامه فأحب لقاء الله و أحب الله لقاءه و إن الكافر إذا حضره الموت بشر بعذاب الله و عقوبته فليس شيء أكره إليه مما أمامه فكره لقاء الله و كره الله لقاءه ، أخرجه مسلم و ابن ماجه من حديث عائشة و ابن المبارك من حديث أنس رضي الله عنه

Aisyah رضي الله عنها atau sebahagian isteri Baginda ﷺ berkata: “Sesungguhnya kami memang tidak senang dengan kematian”. Nabi ﷺ bersabda: “Jangan begitu, tetapi seorang Mukmin apabila kedatangan maut (mati) akan diberi khabar gembira dengan keredhaan dan kemurahan Allah‎ ﷻ , sehingga tidak ada sesuatu yang lebih disukai daripada apa yang akan dihadapinya, maka ia senang bertemu dengan Allah‎ ﷻ dan Allah‎ ﷻ senang bertemu dengannya. Dan sesungguhnya orang-orang kafir, apabila kedatangan maut diberi khabar gembira dengan azab dan seksaan Allah‎ ﷻ , maka tidak ada sesuatu yang lebih dibenci daripada apa yang dihadapinya. Ia tidak senang bertemu dengan Allah‎ ﷻ dan Allah‎ ﷻ tidak senang bertemu dengannya”. (HR Muslim, 2684), juga ada dalam sahih al Bukhari.

17-8 Hadith Aisyah رضي الله عنها Ummul Mukminin (sahih Muslim)

فقد روي عن عائشة رضي الله عنها في تفسير هذا الحديث أنها قالت لشريح بن هاني و قد سألها عما سمعه من أبي هريرة و ليس بالذي تذهب إليه ، و لكن إذا شخص البصر و حشرج الصدر و اقشعر الجلد تشنجت الأصابع فعند ذلك من أحب لقاء الله أحب الله لقاءه ، و من كره لقاء الله كره الله لقاءه . خرجه مسلم

Diriwayatkan daripada Aisyah رضي الله عنها , bahawa Aisyah رضي الله عنها pernah berkata kepada Syuraih bin Hani’ *, ketika ditanya tentang apa yang Aisyah رضي الله عنها dengar daripada Abu Hurairah رضي الله عنه (lihat siri 17-4 dan 17-5 ), kata Aisyah رضي الله عنها , “Bukan seperti yang kamu katakan itu, tetapi ketika penglihatan telah menatap, dada bergemuruh, kulit mengedut, dan jari-jari mengejang, ketika itulah, barangsiapa ingin bertemu dengan Allah‎ ﷻ , maka Allah‎ ﷻ pun ingin bertemu dengannya. Dan barangsiapa tidak suka bertemu dengan Allah‎ ﷻ maka Allah‎ ﷻ pun tidak suka bertemu dengannya.” (HR Muslim)

Tahqiq:
(Sahih Muslim no 2685)

الراوي : أبو هريرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 2685

Abu Miqdam Syuraih bin Hani’ bin Yazid Al Harithi, wafat 98H, sahabat Ali bin Abu Thalib رضي الله عنه , tabi’in)

شُرَيْحُ بْنُ هَانِئِ بْنِ يَزِيدَ الْحَارِثِيُّ أَبُو
الْمِقْدَامِ

17-9 Hadith Aisyah رضي الله عنها Ummul Mukminin (mauquf/dha’if)

و روي عنها أيضاً في تفسيره أنها قالت إذا أراد الله بعبد خيراً قيض به قبل موته بعام ملكاً فسدده و وقفه حتى يقول الناس : مات فلان خير ما كان ، فإذا أحضر و رأى ثوابه تهوع نفسه أو قال تهوعت نفسه ، فذلك حين أحب لقاء الله و أحب الله لقاءه ، و إذا أراد الله بعبده شراً قيض له قبل موته بعام شيطاناً فأضله و فتنه حتى يقول الناس مات فلان شر ما كان فإذا أحضر و رأى ما ينزل به من العذاب تبلغ نفسه فذلك حين يكره لقاء الله و كره الله لقاءه

Juga daripada Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: “Jika Allah‎ ﷻ menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka setahun sebelum kematiannya, Allah‎ ﷻ menitahkan seorang Malaikat untuk membimbing orang itu dan memberinya taufiq sehingga orang ramai berkata, “Si fulan telah meninggal dalam keadaan baik saja.” Saat ketika si fulan akan meninggal dan ketika rohnya melihat pahala amalannya, maka dia ingin sekali bertemu Allah‎ ﷻ dan Allah‎ ﷻ pun ingin bertemu dengannya.”

Apabila Allah‎ ﷻ menghendaki keburukan kepada seseorang (disebabkan dirinya sendiri), maka setahun sebelum kematiannya, Allah‎ ﷻ membiarkan syaitan menyesatkan dia, lantas orang ramai berkata, “Dia meninggal dalam keadaan teruk”. Ketika si fulan benar-benar akan meninggal, dan ketika dia melihat azab yang bakal menimpanya, maka saat itu dia enggan bertemu Allah‎ ﷻ dan sebaliknya Allah‎ ﷻ pun tidak mahu bertemu dengannya.” (HR Ad Dailami, Musnad Al Firdaus,) Ibn Abi Syaibah, Musanaf, Al Baihaqi, qadha dan qadhar, Al Syuyuti, Jami’ Al kabir, Abdul Razzaq, Mauquf

Takhrij:
رواه الديلمي وابن أبي شيبة في مصنفه، والبيهقي في القضاء والقدر بألفاظ مختلفة. جمع الجوامع أو الجامع الكبير للسيوطي no 1262; أخرجه أيضا : عبد الرزاق موقوفا (3/587 ، رقم 6749)

Tahqiq:
Islam web, mungkin Sahih atau Dhaif, tidak ada ahli ilmu yang membuat komentar

ولا يمكننا الجزم بتصحيحه أو تضعيفه؛ لأننا لم نجد لأهل العلم كلاما فيه

Tahqiq Multaqa; Mauquf /Dhaif

17-10 Hadith Anas (jami’ Tirmidzi, Sahih)

و خرج الترمذي في أبواب القدر عن أنس قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إن الله عز و جل إذا أراد بعبد خيراً استعمله . فقيل : كيف يستعمله يا رسول الله ؟ قال : يوفقه لعمل صالح قبل الموت . قال أبو عيسى هذا حديث صحيح

Dikeluarkan oleh At Tirmidzi pada Bab Al Qadar, daripada Anas رضي الله عنه , bahawa Rasulullah ﷺ bersabda : “Apabila Allah‎ ﷻ menghendaki kebaikan untuk seorang hamba, maka Dia akan memperkerjakan”. Mereka (sahabat) bertanya : “Bagaimana Allah‎ ﷻ memperkerjakan?” Baginda ﷺ menjawab : “Allah‎ ﷻ akan memberinya taufik untuk melakukan amal salih sebelum meninggal.”

Tahqiq:
رواه الإمام أحمد (11625) والترمذي (2142) وصححه الألباني في السلسلة الصحيحة 1334.

(HR Ahmad, 11625, Tirmidzi, 2142), dinilai sahih oleh Ayaikh Al Albani, Ailsilah al Sahihah 1334. Sahih Al Jaami’ no 305

Versi lain: Hadith Amr bin Hamiq Al Khuza’iy, Sahih.

قال الشيخ المؤلف رحمه الله و منه الحديث الآخر : إذا أراد الله بعبده خيراً عسله . قالوا يا رسول الله و ما عسله ؟ قال : يفتح الله له عملاً صالحاً بين يدي موته متى يرضى عنه من حوله

Nabi ﷺ bersabda, “Apabila Allah‎ ﷻ mengkehendaki kebaikan untuk seorang hamba, maka Dia akan memaniskannya dengan madu”. Sahabat bertanya : “Apa maksud memaniskannya dengan madu? Beliau ﷺ menjawab : “Allah‎ ﷻ membukakan untuknya pintu amal soleh menjelang kematiannya hingga orang di sekelilingnya redha kepadanya.” (Musnad Imam Ahmad no. 21387)

Tahqiq: Sahih
Al Albani, Silsilah Al Sahihah, no 1114

الراوي : عمرو بن الحمق | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الصحيحة
الصفحة أو الرقم: 1114

17-11 Tafsir Al Waqi’ah: 89

و عن قتادة في تفسير قوله تعالى : فروح و ريحان قال : الروح : الرحمة ، و الريحان : تتلقاه به الملائكة عند الموت

Dan daripada Qatadah رحمه الله (tabi’in Basrah, mufassir, w. 118H) ketika mentafsir ayat:

فَرَوْحٌ وَرَيْحَانٌ وَجَنَّتُ نَعِيمٍ

Maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta jannah kenikmatan [Al Waqi’ah: 89]

Kata Qatadah رحمه الله , Rauh bermaksud Rahmat, kasih sayang; Raihan bermaksud kesenangan.

Tafsir ayat ini ialah orang mukmin ketika dijemput saat kematiannya dalam bentuk kasih sayang, rahmat dan kesenangan. (Tafsir Al Baghawi, 4:291).

17-12 Tafsir Al Mukminun: Ayat 99, hadith Ibn Jarir (Munqati’/Dhaif)

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) [23:99]

و روى ابن جريج عن النبي صلى الله عليه و سلم أنه قال لعائشة : في تفسير قوله تعالى : حتى إذا جاء أحدهم الموت قال : رب ارجعون إذا عاين المؤمن الملائكة قالوا : نرجعك إلى الدنيا ؟ فيقول إلى دار الهموم و الأحزان ؟ و يقول قدماً إلى الله عز و جل

Berkata Ibn Juraij (w. 149H, tabi’in Mekah) daripada Nabi ﷺ , bahawa Baginda ﷺ berkata kepada Aisyah رضي الله عنها (ummul Mukminin), tentang tafsir Al Mukminin ayat 99, apabila orang mukmin melihat para Malaikat, Malaikat bertanya, apakah kamu mahu kami kembalikan ke dunia?” Maka jawab orang mukmin,” Kembali ke negara kesusahan dan kesedihan? “Maka teruskan menuju Allah‎ ﷻ .”

و أما الكافر فيقولون : نرجعك إلى الدنيا ؟ فيقول : ارجعون * لعلي أعمل صالحاً الآية

Ada pun orang kafir, maka para malaikat berkata kepadanya, ” Mahukah kamu agar dapat kembali ke dunia? Mereka menjawab:

لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ

Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan [Al Mukminun: 100]

Tahqiq:
Dikeluarkan oleh Ibn Jarir Tobary, tafsir Tobari, 18:40; sanadnya munqathi’ sebab terputus sanad antara Ibn Juraij (tabi’in) dengan Nabi ﷺ .

سكب العبرات للموت والقبر والسكرات – ج 3:262

Sayyid bin Husin Al Afaani, Sakbul Abaraat lilmaut, Wal Qubur Wal Sakarat, Maktab Muaz bin Jabal, cairo, 3:262

17-13: Polemik Allah‎ ﷻ di langit (حتى ينتهي إلى السماء التي فيها الله )

Imam Al Qurthubi رحمه الله menjelaskan Manhaj akidahnya, di mana beliau menganut akidah Asyairah, bila beliau mentakwil hadith roh naik ke langit.

و أما قوله في الحديث حتى ينتهي إلى السماء التي فيها الله تعالى فالمعنى أمر الله و حكمه و هي السماء السابعة التي عندها سدرة المنتهى التي إليها يصعد ما يعرج به من الأرض و منها يهبط ما ينزل به منها . كذا في صحيح مسلم من حديث الإسراء .
و في حديث البارء أنه ينتهي به إلى السماء و سيأتي إن شاء الله تعالى .

Pada hadith sebelumnya, di mana roh keluar dan dibawa naik ke langit untuk menemui Allah‎ ﷻ . Takwilnya ialah menemui perintah dan keputusan Allah‎ ﷻ .* Di langit ke-7, Sidratul Muntaha, tempat tujuan segala sesuatu yang dibawa naik dari bumi dan dari sana turun segala sesuatu ke bumi (Hadith Isra’ Mi’raj, Riwayat Muslim)
Juga hadith Al Barra’ sebelum ini, perihal nyawa selepas dicabut akan dibawa ke langit.
—————————

Menurut muhaqqiq Dr Muhammad Sadiq, ini adalah takwil golongan Asyairah, roh naik ke langit menemui Allah‎ ﷻ ditakwil dengan menemui perintah dan keputusan Allah ‎ﷻ ‎(أمر الله و حكمه ) sedangkan di sisi salafiyah, roh di bawa ke langit menemui Tuhan‎, maka ia difahami sesuai dengan ertinya tanpa tasybih dan tamthil (penyerupaan ).

17-14: Hadith Abu Hurairah, musnad Al Bazzar, sahih

و قد خرج البزار في مسنده من حديث أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : إن المؤمن إذا احتضر أتته الملائكة بحريرة فيها مسك و ضبائر ريحان فتسل روحه كما تسل الشعرة من العجين و يقال : يا أيتها النفس المطمئنة * ارجعي إلى ربك راضية مرضياً عنك إلى روح الله و كرامته ، فإذا خرجت روحه و ضعت على ذلك المسك و الريحان و طيت عليها الحريرة و ذهب بها إلى عليين و إن الكافر إذا احتضرا أتته الملائكة بمسح فيه جمرة ، فتنزع روحه انتزاعاً شديداً و يقال : أيتها النفس الخبيثة اخرجي ساخطة مسخوطاً عليك إلى هوان الله و عذابه ، فإذا خرجت روحه وضعت على تلك الجمرة ، و يطوى عليها المسح و يذهب بها إلى سجين

(HR Al Bazzar Baghdad, w. 292H) Dalam Musnadnya, hadith Abu Hurairah رضي الله عنه , daripada Nabi ﷺ :

“Sesungguhnya orang mukmin di ambang kematiannya, maka datanglah malakul maut kepadanya membawa kain sutera berisi minyak kasturi yang amat harum baunya, maka rohnya ditarik keluar seperti menarik rambut dari adunan tepung (dough). Kemudian dibacakan kepadanya ayat: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhai Nya.” [89:27-28]
Kemudian roh itu bila sudah keluar akan diletak bersama kasturi dan raihan (wangian) kemudian dibungkus dengan kain sutera dan dihantar ke Illiyin.

Berlainan pula dengan orang kafir, bila hampir mati, Malaikat datang membawa kain yang kasar benangnya berisi bara api lalu Malaikat mencabut rohnya dengan rakus dan dikatakan kepada roh itu, “Wahai roh yang jelek, keluarlah kamu dengan kemurkaan Allah‎ ﷻ dan azab-Nya” Apabila roh telah keluar, diletakkan bersama bara api itu dan ditutup dengan kain yang kasar tersebut dan kemudian dihantar ke Sijjin.”

Tahqiq: Sahih
(HR Ibn Tulun) (Damsyiq, 953H) Dalam Tahrir Al Murassakh no 268, Muhaqqiq: Abu Abdul Rahman Al Misyri Al Atsari, Al Syuyuti, Dur Al Manthur, 6/167. Disahihkan oleh Ibn Rajab Al Hanbali, Ahwal Al Qubur (أهوال القبور وأحوال أهلها إلى النشور) ms 193. (HR Musnad Al Bazzar, no 8900).

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-21 hingga Ke-26

0

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-21

Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) dan takhwif ukhrawi (penakutan azab akhirat).

Mereka yang kufur daripada Kristian Najran itu asyik bertanya kepada Nabi Muhammad SAW padahal mereka sudah ada kitab wahyu. Kedatangan mereka itu berjumpa dengan baginda adalah kerana mereka tidak puas hati bila dengar ada pula umat selain mereka yang dapat kitab, maka mereka hendak datang tanya.

Maka Allah beri ancaman kepada mereka dalam ayat ini.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah

Ini adalah ayat ancaman kepada mereka yang ingkar tidak mahu hendak pakai ajaran daripada wahyu. Walaupun telah diajak kepada Islam, tetapi masih ramai yang berdegil tidak mahu juga beriman. Ini adalah kerana mereka menutup telinga dan hati mereka daripada kebenaran. Maka mereka akan mendapat ancaman dalam ayat ini.

Apa lagi kesalahan yang mereka lakukan?

وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ

dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar,

Allah SWT tegur golongan Bani Israel yang banyak tanya soalan kepada Nabi Muhammad SAW itu. Allah SWT kata tidak payahlah mereka hendak tunjuk pandai. Nabi kamu sendiri pun kamu bunuh. Walaupun mereka itu keturunan Yahudi yang duduk tinggal di Madinah dan tidak pernah membunuh Nabi, tetapi saki baki perangai jahat itu masih ada lagi dalam diri mereka. Buktinya, mereka pernah ada komplot untuk membunuh Nabi Muhammad SAW sendiri.

Ya, memang benar Bani Israel banyak membunuh Nabi-Nabi daripada kalangan mereka. Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Zakariya a.s  dan anaknya Nabi Yahya a.s. Mereka juga cuba buat komplot untuk bunuh Nabi Isa a.s sendiri, tetapi telah gagal. Kalau ada Nabi yang cakap sesuatu yang tidak kena dengan jiwa mereka, mereka akan cuba untuk bunuh.

وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ

serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil

Juga mereka bunuh guru-guru yang mengajar ajaran tauhid dengan benar. Begitulah yang terjadi sekarang kepada para pendakwah tauhid. Ramai yang tidak disukai dan ditentang dan ditohmah. Kalau ajar agama sahaja tidak mengapa, tetapi kalau sudah sentuh tentang tauhid, ramai yang akan melenting.

Sampaikan ada yang mendapat teguran daripada orang ramai, malah ada yang ditohmah sehingga dipenjarakan. Ini terjadi zaman berzaman. Sebagai contoh, lihat sejarah apa yang terjadi kepada Ibnu Taimiyyah dan juga Imam Syafie. Dan sampai zaman sekarang ini pun masih ada lagi perkara ini berlaku.

فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

maka sampaikanlah berita gembira kepada mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Sekarang Allah SWT perli mereka. Beri ‘berita gembira’ tetapi sebenarnya berita yang diberikan adalah amat menakutkan.

Tafsir Ayat Ke-22

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,

Gugur amalan mereka kerana kufur. Salah satu cabang kufur adalah syirik. Buat dosa besar tidak gugur amalan lagi.

Amalan yang baik ada kesannya di dunia lagi dan akan dibalas lagi di akhirat. Sebagai contoh, solat yang baik akan menenangkan hati kita; infaq akan menambah rezeki kita; itu semua adalah contoh kebaikan yang Allah SWT beri semasa di dunia lagi. Tetapi mereka langsung tidak dapat kebaikan di dunia itu dan di akhirat pun tidak ada pahala buat dijadikan bekal.

Musyrikin Mekah sangka mereka tentunya dapat banyak kebaikan kerana mereka menjaga kaabah. Namun Allah SWT jawap yang mereka langsung tidak akan dapat apa-apa kebaikan.

وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

Di akhirat nanti tidak akan ada pembantu untuk mereka. Puak Kristian sangka yang Nabi Isa yang mereka puja dan sembah itu akan membantu mereka. Tapi Allah jawap jangan harap.

Tafsir Ayat Ke-23

Ini adalah ayat teguran kepada Ahli Kitab. Mereka sudah ada kitab wahyu di tangan mereka, tetapi perangai mereka tidak seperti yang sepatutnya. Sepatutnya apabila sudah ada kitab wahyu di tangan, maka kitab itu hendaklah menjadi panduan kepada mereka. Namun itu tidak terjadi.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak daripada mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ

Tidakkah engkau pelik memikirkan terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab,

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Ahli Kitab yang diberi sedikit sebanyak maklumat tentang wahyu Allah SWT. Mereka sudah ada Kitab Taurat dan mereka tahu serba sedikit ilmu daripadanya.

Perkataan نَصيبًا (sebahagian) bermaksud bahagian yang boleh diambil manfaat daripadanya. Memang ada banyak pengajaran di dalam Kitab Taurat itu. Allah  SWT memberi isyarat dalam ayat ini yang mereka telah diberikan nikmat yang amat besar.

يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim di antara mereka.

Patutnya apabila mereka sudah tahu serba sedikit tentang kitab, maka lembut sikitlah hati mereka untuk menerima kebenaran sepatutnya. Patutnya apabila mereka diajak untuk belajar kitab Al-Qur’an pula, biar sempurna ilmu mereka dan supaya hukum agama tertegak, mereka ikutlah. Merekalah yang sepatutnya beriya-iya untuk belajar dan belajar sampai habis.

Mereka sepatutnya menggunakan kitab itu untuk berhukum sesama mereka supaya menegakkan keadilan. Sekali lagi tentang keadilan disebut.

ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

satu puak daripada mereka berpaling ingkar terus menerus menolak

Tetapi ada yang degil berpaling. Kalimah فَريقٌ bermaksud ada puak yang buat pecahan yang baru dan buat kumpulan baru. Kalau dalam parti politik, ini mereka yang buat parti serpihan.

Mereka terus menerus degil tidak mahu ikut seluruh syariat. Mereka tahu tetapi tidak mahu ikut (hanya kerana degil sahaja). Ini sama seperti orang kita yang sudah tahu tentang kepentingan Al-Qur’an. Dan memang mereka sayang pun kepada Al-Qur’an dan kerana itu mereka selalu baca setiap hari, mahal ada yang hafal pun.

Namun, malangnya mereka tidak jadikan Al-Qur’an sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka. Kalau kita beritahu yang perbuatan mereka berlawanan dengan Al-Qur’an, mereka tidak terima. Ini kerana mereka hanya baca sahaja Al-Qur’an itu, tidak memahaminya.

Tafsir Ayat Ke-24

Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Inilah punca kenapa golongan ahli kitab itu berani menolak kebenaran. .

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.

Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka (perasan) yang mereka akan masuk neraka paling lama pun selama 40 hari sahaja. Sebab itu mereka berani buat apa sahaja kerana mereka sangka mereka kalau masuk neraka pun tidak lama.

Oleh kerana ada akidah ini, jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tetapi mereka sangka kalau masuk pun sekejap sahaja. mereka sangka mereka itu umat terpilih. Macam seorang ayah, tidaklah hendak hukum lama sangat anak kesayangan dia, bukan?

Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tetapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu daripada ilmu nahu bahasa Arab. Dalam Surah Baqarah, ayat 80, digunakan lafaz مَعدودَةً. Oleh kerana kalimah yang digunakan berlainan, ia bermaksud jumlah yang lebih banyak.

Oleh itu, مَعدوداتٍ adalah bilangan yang kurang daripada مَعدودَةً. Kenapa digunakan kalimah yang berbeza (tetapi bila diterjemahkan sama sahaja)? Ini adalah kerana dalam Surah Ali Imran ini, tidak banyak diberitahu dosa-dosa mereka. Sedangkan dalam Surah Baqarah, lafaz مَعدودَةً itu keluar selepas banyak dosa-dosa puak Yahudi disebut.

وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam agama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendeta dan ulama’ agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya (tanpa usul periksa lagi). Mereka tidak periksa sama sekali sama ada yang disampaikan itu ada dalil atau tidak. Ini macam masyarakat kita juga, kalau ustaz cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri.

Begitulah akidah sesat golongan ahli kitab. Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mungkin pada mulanya ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tetapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia sudah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak.

Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Muslim akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Tentu anda pernah dengar kata-kata sebegini. Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tidak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk neraka sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga.

Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka sangka neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahajakah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu.

Tafsir Ayat Ke-25

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

فَكَيفَ إِذا جَمَعناهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya;

Bagaimana agaknya mereka pada Hari Kiamat itu? Bahasa yang digunakan menunjukkan ketakjuban. Hari itu pasti datang dan mereka akan mendapat balasan mereka. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan mereka lalui nanti. Tidakkah mereka pernah terfikir? Tidakkah mereka takut?

Maka kita pun kena ingat selalu perkara ini. Kena kenang apalah balasan untuk kita di akhirat kelak. Jangan fikir hal dunia sahaja tetapi fikirkan juga hal-hal akhirat yang pasti datang. Mahu fikir atau tidak, ia tetap datang (kerana ia tidak syak lagi, pasti akan datang).

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت

dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan,

Manusia akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya di dunia. Kalau dia pernah melakukan kesalahan akidah sesat, maka dia akan kekal dalam neraka (bukan sementara sahaja).

Apa sahaja yang Allah lakukan, ianya pasti adil. Apa sahaja balasan yang Allah berikan, memang ia patut diberikan kepada orang yang menerimanya.

Ayat ini juga dalil bahawa kita hanya mendapat hasil daripada usaha kita sahaja. Maka, kalau sedekah atau hadiah pahala tidak sampai. Maka jangan berharap subsidi pahala daripada anak beranak. Kena usahakan sendiri.

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Mereka tidak akan diberikan azab melainkan apa yang mereka buat sahaja. Tidaklah macam di dunia, kadang-kadang mahkamah kenakan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Allah SWT tidak zalim dan tidak pernah tersilap. Apa-apa sahaja yang Allah SWT lakukan, tidak pernah dan tidak akan zalim.

Tafsir Ayat Ke-26

Ini adalah natijah daripada fahaman yang tauhid, maka doa pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini mengajar kita untuk minta kepada Allah SWT sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi SAW, itu tanda orang yang ada masalah dengan tauhid.

Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Ayat ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Mereka mungkin tidak tahu kerana mereka masih mengamalkan amalan bid’ah (Majlis Tahlil). Mereka hanya ikut-ikut sahaja amalan tok nenek dahulu tanpa melihat kepada dalil.

Jadi ayat ini adalah doa yang bagus untuk kita amalkan. Kalau kita lihat di dalam Al-Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut:

  1. Ada jenis doa yang Allah SWT pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Maknanya kita boleh minta dengan cara kita sendiri.
  2. Tetapi ada doa yang Allah SWT sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah SWT gunakan di dalam ayat ini. Allah SWT sendiri suruh kita sebut dengan cara seperti yang tertulis kerana ada perkataanقل ‏ (katakanlah) di awal ayat ini.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!

Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah SWT. Ia diterjemahkan: “Ya Allah!”. Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu.

Dialah Allah dan Dia sahaja yang memiliki kerajaan yang sebenar. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.

Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. ‘Memiliki’ maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen.

Tetapi kalimah المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah SWT menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah  SWT memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.

تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah SWT yang beri kuasa kerajaan di dunia. Ini adalah antara perkara yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja.

Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-Raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campurtangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan.

Begitulah juga dengan Nabi Muhammad SAW bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama. Ini kerana apabila hendak menegakkan undang-undang agama Islam, maka kenalah ada kerajaan dan kuasa dahulu.

وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah SWT boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikan-Nya. Ada kerajaan yang besar yang tidak sangka boleh diambil. Sepertimana  Allah SWT ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Kerajaan di Malaysia pun begitu juga. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tetapi akhirnya jatuh juga. Itu memang tidak disangka.

Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang akan pandang kita dan kata: “Engkau dah gila?”. Tetapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah SWT. Allah SWT boleh beri dan Allah SWT boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ.

Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah SWT boleh memberi dan menarik nubuwwah daripada mana-mana golongan sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain. Sebagaimana dulu Allah SWT beri wahyu kepada Bani Israel, tetapi kemudian Allah SWT telah tarik dan beri kepada Bani Ismail iaitu Nabi Muhammad SAW dari Bani Ismail – bangsa Arab.

وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tetapi mulia di mata orang.

Sebagai contoh, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama’ yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.

وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ

dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah SWT boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Daripada pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.

بِيَدِكَ الخَيرُ

di tangan-Mu kebaikan

Segala kebaikan adalah kepada Allah SWT. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah SWT buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah SWT telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah SWT telah rancang dan jalankan. Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah SWT lakukan.

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah SWT boleh lakukan apa sahaja yang Allah SWT mahu. Keputusan Allah SWT tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah SWT hendak lakukan?

Allah SWT hendak memberitahu yang sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israel, ramai Nabi daripada kalangan mereka. Tetapi sekarang Allah SWT sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad SAW daripada bangsa Arab. Lahir dari Tanah Arab yang kering kontang itu dan telah mengubah dunia.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-18 hingga Ke-20

0

Tafsir surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-18

Perkara yang akan disampaikan ini sudah ada dalam kitab-kitab sebelum Al-Qur’an. Diulang kembali dalam Al-Qur’an untuk kita pula.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَأُولُو العِلمِ قائِمًا بِالقِسطِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah bersaksi bahawasanya tiada ilah melainkan Dia,

Allah SWT yang hanya Dia sahaja ilah. Jadi di dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu yang Dia sendiri menjadi saksi. Dia tidak jadikan selain Dia, ilah-ilah yang lain. Tidak kira siapa pun, sama ada wali, Nabi atau malaikat malah jin.

Hanya Allah SWT sahaja ilah bagi makhluk. Tidak ada tempat menumpang harap yang lain bagi makhluk melainkan kepada Allah SWT sahaja. Hanya Allah SWT sahaja tempat kita sembah, tempat kita berdoa dan tempat kita taat sebenar-benar taat.

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

dan malaikat-malaikat

Para malaikat juga bersaksi yang hanya Allah SWT sahaja ilah. Maknanya ini adalah tamparan khusus bagi mereka yang menjadi para malaikat sebagai ilah. Ini seperti Musyrikin Mekah yang meminta kepada para malaikat kerana mereka berakidah yang para malaikat itu ‘anak perempuan Allah’.

Maka kalau kita pun berharap kepada para malaikat juga, samalah sahaja dengan Musyrikin Mekah. Maka bagaimana dengan golongan pesilat yang ada amalan seru malaikat seperti: “Jibril di depanku, Mikail di kananku……”. Ini adalah amalan minta pertolongan kepada para malaikat. Adakah mereka sangka para malaikat itu makan gaji dengan mereka boleh arah-arah pula para malaikat itu untuk jaga dia?

وَأُولُو العِلمِ

serta orang-orang yang berilmu

Para Nabi yang diberi ilmu wahyu yang sebenar, juga bersaksi perkara yang sama. Mereka telah sampaikan kepada para pengikut mereka. Kalau kita pun sudah mendapat ilmu tentang akidah ini, maka kita pun dikira orang berilmu juga dan boleh termasuk di dalam golongan ini.

Tetapi berapa ramai yang tidak ada ilmu wahyu dan amat jauh daripada wahyu? Mereka sangka mereka telah banyak belajar ilmu agama, tetapi ilmu wahyu (tafsir Al-Qur’an dan syarah hadith) belum belajar lagi. Oleh kerana itulah ada amalan-amalan mereka yang pelik-pelik dan seru sana dan sini.

قائِمًا بِالقِسطِ

menegakkan keadilan

Mereka dalam keadaan menegakkan keadilan iaitu menegakkan tauhid.

Mereka yang mempunyai akidah tauhid akan menegakkan keadilan dalam dunia. Keadilan bukan sahaja ada dalam agama Islam, tetapi ia juga dipandang tinggi dalam semua manusia sejagat walaupun bukan Muslim. Semua orang mahu adil di dalam dunia ini.

Namun ia ditekankan lebih lagi dalam agama Islam. Islamlah agama yang menekankan kesamarataan kepada semua manusia sebelum manusia Barat mengenali apa itu Human Rights. Memang mereka jaga Human Rights tetapi itu adalah perkara baru dalam sejarah dunia. sedangkan Human Rights sudah ada disebut di dalam Islam sejak diturunkan Al-Qur’an ini.

Memang hak manusia itu penting, tetapi bagaimana pula dengan hak Allah SWT ? Adakah itu tidak lebih penting daripada hak kita? Maka apakah hak Allah SWT? Hak Allah SWT adalah hanya Dia sahaja disembah, diibadati, dijadikan tempat pengharapan dan tempat kita meminta tolong.

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

tiada ilah melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Kita hanya sembah dan berdoa kepada Allah WT sahaja kerana Dia sahaja yang ada sifat ilah. Dia sahaja yang ada sifat Aziz dan Hakeem.

Sifat Aziz bermaksud Allah Maha Perkasa dan boleh hukum sesiapa yang derhaka pada bila-bila masa sahaja kalau Dia mahu.

Namun, Dia juga al-Hakim yang tangguh hukuman kepada makhluk dengan kebijaksanaan-Nya.

Allah Maha Berkuasa dan Dia boleh buat apa-apa sahaja tetapi Allah SWT menggunakan kuasa itu dengan penuh kebijaksanaan. Bandingkan kalau manusia yang ada kuasa besar, selalunya mereka akan salah guna kuasa itu. Ini kita boleh lihat dalam dunia sekarang.

Tafsir Ayat Ke-19

Ilmu tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah’ kena dipelajari sehingga jelas bagi kita. Dan maklumat telah banyak diberikan dalam wahyu, akan tetapi ada juga berlaku banyak perselisihan dalam kalangan manusia.

Sekarang Allah SWT jelaskan kenapa ada perselisihan itu. Kita juga boleh tahu kenapa ada perselisihan dalam kalangan masyarakat Muslim kita juga.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ ۗ وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ

Sesungguhnya ugama di sisi Allah ialah Islam

Ingatlah bahawa hanya Akidah dan cara hidup Islam sahaja yang diterima. Apabila dikatakan ‘agama’, ia terdiri daripada akidah dan cara hidup (bukan hanya bab ibadah sahaja).

Dan cara hidup pula merangkumi dua perkara – hubungan dengan Allah yang dipanggil ‘ibadat’ dan hubungan dengan makhluk yang dipanggil ‘adat’. Keduanya kena ikut cara Islam iaitu syariat. Semua ada diajar di dalam wahyu dan disampaikan oleh Rasul SAW kita.

Kalimah ‘Islam’ bermaksud menyerahkan diri bulat-bulat 100% kepada Allah SWT. Maka, agama yang dikehendaki oleh Allah SWT adalah menyerahkan diri kita kepada Allah SWT dengan sepenuhnya. Kalau setakat dalam kad pengenalan sahaja pakai nama ‘Muslim’, tetapi tidak taat kepada perintah Allah SWT, maka tidak bermakna langsung status Muslim mereka itu. Kerana yang penting adalah kita Muslim di mata Allah SWT. Jangan orang pandang kita Muslim, tetapi sebenarnya tidak di sisi Allah SWT.

وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ

Dan tidaklah berselisih orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu

Kita pun tahu bahawa telah ada perselisihan dalam kalangan Yahudi dan Nasrani. Yang berselisih itu adalah di antara ulama’ dalam kalangan mereka, sebab itu digunakan lafaz ‘mereka yang diberi Kitab’. Maknanya mereka yang ada ilmu agama.

Samalah dalam masyarakat Islam pun, dalam kalangan ahli agama pun ramai yang bercakaran. Ramai yang hendak menegakkan fahaman yang mereka anuti. Kadangkala pertelingkahan mereka itu di luar norma kebiasaan manusia. Kadangkala kita pun rasa malu dengan perbuatan dan pertengkaran mereka.

Kenapa ahli agama ini berselisih? Ulama-ulama daripada kalangan Ahli Kitab itu telah merasa diri mereka berkuasa dan merekalah yang membuat agama ikut acuan mereka sendiri.

Sebagai contoh, kita pun tahu bahawa agama asal Nabi Isa a.s adalah tauhid. Tetapi ianya telah dipesongkan oleh sesetengah golongan paderi mereka. Terdapat pertentangan antara mereka yang memegang fahaman tauhid dan mereka yang memegang fahaman triniti. Tetapi kerana yang berfahaman triniti itu yang kuat dengan Raja Rom waktu itu, maka fahaman triniti yang dipegang dan dipakai dan mereka yang berfahaman tauhid telah dicari dan dibunuh selagi ada.

إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan

Maknanya mereka yang berselisih itu sebenarnya ada ilmu tentang kitab (iaitu ilmu wahyu). Maknanya mereka ini bukannya masyarakat awam. Manusia awam memang sudah selalu berselisih sebab mereka itu jahil. Tetapi sepatutnya ulamalah yang kena tahu yang mana benar dan mana yang tidak.

Malangnya ada ulama’ yang ikut syariat dan ada yang tidak. Ini biasa sahaja dari dahulu lagi. Maka kita yang orang awam ini kenalah pandai membezakan mana yang menggunakan dalil yang sahih, jangan pakai terima sahaja semua kata ulama’ dan ustaz.

Cara untuk bezakan adalah dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana inilah asas agama. Apabila kita sudah ada asas, maka kita dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak benar kerana kita sudah ada kayu ukur.

بَغيًا بَينَهُم

semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Semua perselisihan itu terjadi kerana dengki rupanya disebabkan mereka ingin memiliki kedudukan tinggi di dunia. Semua mahu tunjuk pandai kerana hendak duduk di atas. Ramai yang hendak mempertahankan kedudukan mereka kerana takut anak murid sudah tidak percaya kepada mereka.

Mereka sanggup melakukan perkara yang memalukan dalam kalangan orang awam. Pening orang awam tengok mereka yang dipanggil ulama’ melondehkan sesama sendiri. Mana satu yang benar pun mereka sudah tidak tahu. Orang awam pula banyak yang jahil yang akan ikut sahaja siapa yang memegang tampuk kekuasaan.

Contoh sekarang di negara ini, ramai yang menilai siapa yang benar, dengan melihat siapakah yang terkenal, siapakah yang masuk TV, pendapat siapa yang dipakai di dada akhbar dan sebagainya. Mereka sudah tidak mahu belajar sendiri tetapi cuma mahu taklid buta sahaja. Mereka cuma melihat mana ustaz yang popular. Tambahan pula sekarang banyak siaran realiti yang mengeluar ramai ustaz-ustaz selebriti.

وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Kita kena ingat yang Allah SWT cepat sahaja dalam membuat keputusan. Bukan macam mahkamah di negara kita yang bertahun-tahun pun tidak selesai kes lagi.

Allah SWT boleh segera buat keputusan kerana segala maklumat di Tangan-Nya. Dan keputusan Allah SWT itu akan adil. Allah SWT tidak kira sama ada mereka itu ulama’ atau tidak, ustaz atau orang biasa. Malahan kalau orang yang ada ilmu lagi bahaya kerana kalau mereka yang buat salah, mereka dahulu yang paling awal kena seksa.

Tafsir Ayat Ke-20

فَإِن حاجّوكَ فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ وَمَنِ اتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم ۚ فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hamba-Nya.

فَإِن حاجّوكَ

Maka jika mereka berhujah membantahmu

Mereka yang menentang itu berbantah tentang hal tauhid, bukannya perkara lain. Ini adalah kerana perkara akidah adalah yang paling besar. Apabila selisih hal akidah inilah yang menyebabkan manusia pecah belah dengan amat teruk sekali.

فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ

maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah

Sekarang Allah SWT ajar supaya jawab sahaja begini. Jangan cakap banyak lagi dengan mereka. Ini kerana sudah banyak hujah yang diberikan kepada mereka.

Digunakan lafaz ‘wajah’ dalam ayat ini tetapi yang dimaksudkan semua sekali – jiwa, hati dan diri semua sekali. Maknanya, walaupun sebut wajah sahaja, tetapi maksudnya semua sekali. Maksudnya, serah diri kepada Allah SWT dengan ikut syariat.

وَمَنِ اتَّبَعَنِ

dan demikian juga orang-orang yang mengikutku

Maksudnya sesiapa sahaja yang ikut syariat Nabi Muhammad SAW. Kalau mereka kata mereka ikut baginda, mereka juga akan serahkan seluruh diri mereka ikut Nabi SAW dan syariat Islam. Maka, kalau kita mengaku sebagai umat baginda, maka hendaklah kita serahkan diri kita kepada Allah SWT dan taat kepada segala suruhan-Nya.

وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم

Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi”: “Sudahkah kamu menyerahkan diri?

Sekarang Allah SWT suruh Nabi Muhammad SAW tanya kepada Ahli Kitab dan penduduk Mekah yang tidak ada kitab: adakah kamu mahu menyerahkan diri 100% kepada Allah SWT dalam hal akidah dan amalan agama?

Tanya mereka: adakah mereka ikut ajaran Nabi-Nabi mereka sendiri yang mengaku mereka itu Muslim? Sebagai contoh, Yahudi kata mereka ikut ajaran Nabi Musa a.s ; Kristian pula kata mereka ikut ajaran Nabi Isa a.s; dan orang-orang Arab kata mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim a.s.

Sekarang tanya mereka: sudahkah mereka kaji apakah fahaman dan amalan Nabi-Nabi mereka itu? Bukankah Nabi-Nabi itu semuanya Muslim (seperti yang mereka sendiri kata)? Oleh itu, adakah kamu mahu kembali kepada ajaran Nabi-Nabi itu dan meninggalkan ajaran-ajaran daripada rabbi, daripada paderi dan daripada ulama-ulama kamu yang berlawanan dengan ajaran para Nabi?

فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا

Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk;

Sekiranya mereka mahu serah diri, barulah mereka dikira terpimpin yang sebenarnya. Barulah mereka boleh kata mereka telah menerima hidayah. Kalau tidak, mereka hanya perasan sahaja.

وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ

dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan

Kalau mereka tidak terima, maka Nabi SAW diingatkan yang tugas baginda hanya untuk sampaikan sahaja. Baginda tidak dipertanggungjawabkan sama ada mereka ikut atau tidak. Yang penting, baginda sudah sampaikan.

Begitu jugalah dengan kita. Kita hanya dipertanggungjawabkan untuk sampaikan ajaran wahyu ini kepada seramai yang boleh. Akan tetapi, malangnya ramai yang tidak akan dengar. Biarlah, janji kita sudah sampaikan. Mereka terima atau tidak, itu di luar kuasa kita.

Maka ayat ini mengajar kita tentang usaha dakwah. Kadang-kadang mungkin kita rasa kalau kita cakap pun, hanya buang masa sahaja kerana kita rasa orang yang didakwah tidak akan dengar. Atau kita rasa tidak sedap hati untuk berdakwah, sebab walaupun kita sudah dakwah tetapi orang yang didakwah tidak ikut pun. Ramai yang putus asa dalam berdakwah.

Akan tetapi Allah SWT beritahu dalam ayat ini yang tidak mengapa kalau mereka tidak ikut, kerana tugas kita adalah untuk sampaikan sahaja. Kita tetap akan dapat pahala setelah kita sampaikan. Dan kita akan meningkatkan iman kita setelah kita berdakwah. Maka jangan jemu berdakwah dan mengajar. Ini adalah tugas kita semua, kena sampaikan dakwah agama Islam kepada manusia.

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

Allah SWT sedang melihat usaha kita  berdakwah. JIka kita tidak dakwah, Allah SWT pun lihat kita dan akan azab kita kerana tidak meneruskan tugas Nabi SAW.

Allah SWT juga sedang melihat mereka yang berpaling. Allah SWT catit dalam kitab amalan mereka bagaimana mereka telah menolak dan malah mungkin menentang para pendakwah tauhid.

Maka tidak perlulah kita risau sangat dengan apa yang terjadi. Janji Allah SWT nampak usaha kita.

Allahu a’lam.

SOAL JAWAB DALAM BICARA THTL : SALAT BERJAMA’AH SEMASA WABAK COVID-19

0

🔴 Bolehkah salat berjama’ah tetapi terpaksa menjarakkan antara jama’ah dan tidak merapatkan saf, sedangkan Nabi ﷺ menyuruh merapatkan saf?
Setahu saya sekiranya kita sudah tahu wabak ini berjangkit, maka sebaiknya salat di rumah masing-masing sahaja”.

Dalam keadaan normal, sememangnya dikehendaki untuk merapatkan saf ketika salat berjama’ah.

Dalilnya:

وَعَنْ أَنَسٍ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( سَوُّوا صُفُوفَكُمْ ؛ فَإنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ )) مُتَّفَقٌ عَلَيهِ .

وَفِي رِوَايَةٍ لِلْبُخَارِي : (( فَإنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إقَامَةِ الصَّلاَةِ )) .

Daripada Anas رضى الله عنه berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Luruskanlah saf-saf kamu kerana lurusnya saf termasuk kesempurnaan salat.” (Muttafaqun ‘alaih)
(HR. Bukhari, no. 723 dan Muslim, no. 433).

1. Fiqh Imam Hanbali.
Salat berjama’ah wajib hukumnya, maka hadir salat berjama’ah itu sudah memenuhi kefarduannya.

2. Fiqh Imam Syafi’iy.
Salat berjama’ah itu fardu kifayah. Maka orang yang mengikut mazhab tersebut, tidak usahlah pergi ke masjid sepanjang PKP dan PKPP. Maka jika sudah ada yang mendirikan salat berjama’ah, atau 40 orang salat Jumaat di masjid, salat pula jarak 1 meter, maka sebaiknya tidak perlu pergi.

Isu kedua:
Salat merapatkan saf itu sekiranya dalam situasi yang normal.
Apabila dalam keadaan darurat covid, maka dikeluarkan perintah oleh penguasa atau Sultan untuk menjarakan.Oleh itu haruslah mengikutnya sebagaimana arahan al-Qur’an.

Firman Allah‎ ﷻ.

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

“Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu.”
[QS. At-Taghabun: 16]

، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ،”

Dan apa sahaja yang aku perintahkan, maka kerjakanlah semampu kamu.”
(Matan Arbain an-Nawawiyah no 9.)

Fiqh hadith:
Dapat melaksanakan salat berjama’ah itu sudah cukup bagus, cuma kekurangan adalah dari segi penjarakan 1 – 2 meter kerana disebabkan oleh isu keselamatan.

  1. Apa yang kita buat semasa darurat, pahalanya adalah sama seperti salat berjama’ah keadaan normal.
    Dalilnya:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

“Jika seseorang hamba sakit atau melakukan safar (perjalanan jauh), maka dicatat baginya pahala sebagaimana kebiasaan dia ketika mukim dan ketika sihat.”
(HR. Bukhari, no. 2996)

Oleh itu orang yang biasa salat berjama’ah sebelum covid dengan merapatkan saf, maka dia akan mendapat pahala berjama’ah yang sama, walaupun ada jarak 1 – 2 meter

@bicarathtl
#SnJfiqhsunnahC

Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 10/2020

0

Permasalahan Wanita

Soalan 1:

Doktor, adakah kerap merasa sakit di bawah perut petanda kepada penyakit tertentu?

Jawapan:

Kemungkinan ada jangkitan pada pundi kencing atau mungkin juga tanda-tanda ovulasi.

[Jangkitan pundi kencing (radang pundi kencing) ialah jangkitan saluran kencing akut yang disebabkan oleh bakteria di dalam pundi kencing malah dalam sesetengah kes, keadaan ini boleh terjadi semula dalam tempoh masa yang panjang. Radang pundi kencing ini mungkin juga adalah tindakbalas kepada beberapa jenis ubat, terapi radiasi atau bahan yang boleh menyebabkan radang atau komplikasi daripada penyakit lain.

Rawatan yang sesuai boleh membantu untuk meredakan komplikasi jangkitan pundi kencing ini. Simptom yang paling serius ialah jangkitan pada buah pinggang. Rawatan yang biasa diberikan ialah antibiotik dan rawatan untuk jenis radang pundi jenis yang lain bergantung kepada penyebabnya.

Ovulasi merupakan nama satu proses yang berlaku dalam setiap kitaran haid apabila perubahan hormon mencetuskan ovari untuk melepaskan telur.]

https://hellodoktor.com/kesihatan/keadaan-kesihatan/jangkitan-pundi-kencing-2/#gref

Soalan 2:

Bolehkah wanita mengandung mengambil minuman glukolin atau glukosa untuk menambah tenaga?

Jawapan:

Boleh tetapi pengambilan susu adalah lebih baik.

[Glukolin adalah gula berasal daripada buah anggur dan kerap digunakan sebagai suplemen tambahan yang mengandungi kalsium dan vitamin D. Glukolin diperolehi daripada suplemen minuman bertenaga yang dibuat daripada gula anggur. Kandungan kalsium dan vitamin D di dalamnya dikatakan dapat menambahkan tenaga dengan cepat setelah dikonsumsi.]

https://manfaat.co.id/manfaat-gula-glucolin

Soalan 3:

Doktor, mengapa bahagian perut sebelah kiri saya kerap bergetar seperti ada bayi yang menendang dari dalam rahim sedangkan saya tidak mengandung?

Jawapan:

Kemungkinan otot “twitching”.

[Terdapat pelbagai punca “muscle twitching” dan kebanyakannya adalah normal. Antaranya:

  • Keletihan
  • Selepas senaman atau aktiviti sukan
  • Anxiety
  • Mengambil kafein yang banyak
  • Kekurangan nutrisi seperti kalsium, Vit B and Vit D
  • Dehidrasi
  • Kesan ubat-ubatan.]

https://www.doctoroncall.com.my/tanya//soalan/twitching-muscle-di-anggota-badan/25856

Soalan 4:

Doktor, adakah normal bacaan tekanan darah 130/80  bagi ibu mengandung 8 bulan?

Jawapan:

Bacaan adalah normal jika bergantung pada bacaan sebelumnya.

[Hipertensi adalah satu masalah kesihatan yang kerap berlaku dalam kalangan wanita mengandung.  Hipertensi semasa mengandung adalah terdiri daripada beberapa kategori:

  • Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung lagi);
  • Hipertensi akibat mengandung; dan
  • Pra-eklampsia

Hipertensi boleh didefinisikan sebagai tekanan darah sistolik >140 mmHg dan/atau tekanan darah diastolik >90 mmHg. Sebarang kejadian tekanan darah tinggi yang dikesan semasa pemeriksaan perlu diambil secara serius, dan ujian saringan bagi protinuria (protein dalam air kencing) perlu dilakukan bagi mengesan kemunculan pra-eklampsia. Selain daripada pemantauan tekanan darah dan protinuria, odema turut dikaitkan dengan kejadian pra-eklampsia. Pemantauan fungsi buah pinggang dan hati juga perlu dilakukan bagi mengelakkan komplikasi yang lain.  Wanita hamil yang berisiko tinggi memerlukan pemeriksaan dan pemantauan yang rapi, serta rujukan awal daripada doktor pakar.]

http://www.myhealth.gov.my/hipertensi-semasa-mengandung/

Sakit di bahagian leher

Soalan 5:

  1. Apabila saya menggerakkan leher kekanan, kiri, atas dan kebawah akan berbunyi seperti skru longgar. Saya mengalami kesakitan di leher beberapa hari ini. Apakah punca bunyi tersebut?
  2. Jika kesakitan tersebut merupakan petanda kepada sesuatu penyakit adakah ia berbahaya?

Jawapan:

  1. Kemungkinan sudah ada gejala ‘spondylosis’ pada tulang leher dan untuk kepastian perlu melakukan ujian x-ray.
  2. Tidak membawa kepada kematian tetapi penyakit tersebut akan berpanjangan.

[Istilah spondylosis digunakan untuk menunjukkan proses penuaan semulajadi yang melibatkan susunan perubahan degeneratif dalam struktur tulang belakang.  Spondylosis awal dikaitkan dengan perubahan degeneratif dalam cakera intervertebral di mana penyerapan cakera berlaku, sehingga menyebabkan kehilangan ketinggian cakera keseluruhan dan pengurangan keupayaan cakera untuk mengekalkan atau menanggung beban bersama paksi di sepanjang tulang belakang di bahagian leher (“cervical”).]

https://physiomobile.my/pengenalan-cervical-spondylosis/?v=0c23032714f8

Bahaya tidur dalam kereta

Soalan 6:

Benarkah duduk lama didalam kereta yang tidak bergerak dengan enjin kereta dan pendingin hawa terpasang adalah merbahaya?

Jawapan:

Benar.  Adalah merbahaya jika berlaku kebocoran dan karbon monoksida masuk ke dalam dan ini boleh menyebabkan kematian. Jika ingin tidur dalam kereta, pastikan cermin kereta diturunkan sedikit.

[Kejadian individu mati lemas ketika tidur akibat terhidu gas karbon monoksida dalam kereta yang dihidupkan enjinnya telah beberapa kali direkodkan di negara ini. Karbon monoksida terdiri daripada satu unsur karbon dan satu unsur oksigen yang mana ia adalah sejenis gas toksid yang tidak berwarna, berbau dan berasa yang kurang padat sedikit daripada udara dengan formula kimia CO. Gas ini merupakan toksik kepada manusia dan haiwan apabila didapati dalam kepekatan tinggi kerana mengakibatkan gangguan pada darah. Dalam atmosfera, keterdapatannya berbeza mengikut tempat, ia berjangka hayat pendek dan mempunyai peranan dalam penghasilan ozon paras bumi.]

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1882121

Pening kepala dan Vertigo

Soalan 7:

Doktor, sahabat saya sering merasa pening kepala seperti melayang-layang. Dia mengalami keadaan ini daripada semenjak selepas dia melahirkan anaknya.  Adakah simptom ini berkaitan dengan Vertigo?

Jawapan:

Perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan tekanan darah dan paras haemoglobin dalam darah.

Soalan 8:

Doktor, apa yang perlu saya lakukan jika saya mempunyai semua ciri-ciri di atas kecuali telinga berdesing?

Jawapan:

Perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan, minta rujuk pada pakar neurologi dan pakar telinga hidung tekak (ENT).

[Vertigo ialah suatu keadaan di mana pesakit akan merasa tidak stabil. Pesakit akan berasa pening seolah-olah rasa berpusing atau rasa seperti sekeliling kita berpusing. Vertigo kebiasaannya berpunca daripada masalah bahagian dalam telinga.  Simptom-simptom Vertigo boleh berlaku dalam beberapa minit atau jam atau lebih dan simptom ini akan berlaku secara berulang.]

https://physiomobile.my/vertigo/?v=0c23032714f8

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-15 hingga Ke-17

0

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-15

Ayat ini adalah bayangan kepada maksud husnul ma’ab حُسنُ المَآبِ yang disebut dalam ayat sebelum ini.

۞ قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم ۚ لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan daripada Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hamba-Nya;

 

قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu?

Mahukah kalau Allah ‎ﷻ beritahu yang lebih baik daripada nikmat-nikmat dunia yang disebut dalam ayat sebelum ini? Allah ‎ﷻ suruh tanya dalam bentuk soalan supaya menarik minat manusia untuk tahu jawapannya. Tentulah kita mahu tahu, bukan?

لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Hanya bagi orang yang bertaqwa iaitu mereka yang boleh jaga hukum semasa mereka hidup di dunia. Mereka boleh bersabar daripada tergoda dengan pujukan nikmat dunia. Mereka nampak nikmat-nikmat itu di hadapan mereka tetapi mereka tidak terpengaruh. Mereka letak dunia di tangan sahaja, bukannya di hati.

Yang Allah ‎ﷻ akan sebut ini beribu juta kali lebih bagus daripada perhiasan dunia yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Allah ‎ﷻ mulakan dengan sebut nikmat dalam bentuk jasmaniah (fizikal). Iaitu Allah beritahu ﷻ yang mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya.

Allah ‎ﷻ selalu menyebut sungai di bawah syurga kerana tempat ada airlah yang disukai oleh manusia. Kalau dapat duduk di rumah yang ada air sungai, air laut, itu memang kesukaan manusia. Sebab itu kalau hotel pandang ke arah laut pun (ocean view) sudah lebih mahal dari yang pandang ke arah lain. Tambahan pula kalau hotel itu sendiri di atas air, tentu lagi mahal.

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Kalau tinggal di tempat yang menyenangkan, tetapi sekejap sahaja, itu bukan nikmat sebenar. Macam kita kalau duduk di hotel yang beribu ringgit semalam pun, tetapi dalam hati kita, kita tahu yang kita hanya duduk sekejap sahaja di situ. Esok lusa kena keluar juga.

Akan tetapi ahli syurga itu duduknya adalah selama-lamanya. Maka ahli syurga akan tenang sahaja di sana kerana dia tidak takut yang dia akan dikeluarkan.

وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ

Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih,

Kalau duduk tempat nikmat, duduk pula selama-lamanya, tetapi kalau duduk seorang sahaja pun, tentu tidak menggembirakan kerana kita manusia memang tidak suka tinggal berseorangan. Maka Allah ‎ﷻ berikan teman hidup untuk kita.

Pasangan itu pula daripada jenis yang suci daripada segi fizikal dan akhlak. Daripada segi jasmani, mereka tidak ada kekotoran najis dan bau yang tidak enak. Malah amat cantik dipandang mata. Dan daripada segi akhlak, mereka tidak ada langsung sifat buruk. Contohnya, tidaklah ada perasaan cemburu dan marah-marah seperti pasangan kita sekarang.

وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ

serta keredhaan daripada Allah

Setelah disebut contoh-contoh nikmat jasmani, Allah ‎ﷻ sebut pula nikmat rohani. Nikmat rohani yang akan diberikan adalah keredhaan daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah nikmat yang paling hebat sebenarnya. Tidak ada yang lebih hebat daripada nikmat ini.

Bayangkan, kalau ayah kita kata dia bangga dengan kita pun, kita sudah suka. Bagaimana kalau majikan kita bangga dan puji kita? Pun kita suka, bukan? Bagaimana kalau Perdana Menteri bangga dengan kita? Lagi besar, bukan?

Namun adakah yang lebih besar daripada pujian Allah ‎ﷻ? Tidak ada lagi. Bayangkan Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia redha dengan kita, dengan apa yang kita telah lakukan semasa di dunia, tidak terbayang nikmat itu.

Kalau nikmat dunia, banyak mana pun kita ada, kita pasti tidak akan rasa puas; tetapi kalau dengan nikmat syurga, ditambah dengan redha Allah ‎ﷻ, kita akan puas.

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan Allah sentiasa Melihat akan hamba-hamba-Nya;

Allah ‎ﷻ sedang melihat kita daripada segi jasmani dan rohani, ke manakah kita akan pergi, dan Allah ‎ﷻ melihat tempat yang sedang kita tuju, sama ada ke syurga atau neraka. Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita fikirkan. Semua itu akan dinilai.

Tafsir Ayat Ke-16

Ini adalah sambungan tentang hamba yang sedang menuju ke syurga seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Inilah sifat dan doa mereka. Allah ‎ﷻ sedang perhati apa yang mereka lakukan. Marilah kita ikuti mereka dan semoga kita semua termasuk dalam kelompok ini.

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا وَقِنا عَذابَ النّارِ

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا

orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman,

Mereka mengaku beriman sebelum berdoa meminta ampun. Ini bermaksud mereka bertawassul dengan iman. Mereka menggunakan iman mereka untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Inilah jenis tawassul yang dibenarkan dan digalakkan. Bukannya tawassul dengan Nabi, wali dan malaikat yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Bukanlah semua tawasul tidak dibenarkan. Cuma kena tahu dan belajar manakah jenis tawassul yang dibolehkan. Belajarlah, jangan ikut sahaja apa yang orang lain buat.

فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا

oleh itu, hapuskanlah dosa-dosa kami

Kita kena sedar yang kita banyak dosa dan kita berharap sangat Allah ampunkan dosa kita. Bukan ampunkan sahaja, tetapi maksud ghafara adalah tutup terus dosa itu, jangan sebut-sebut lagi. Maka kalau Allah telah tutup, maka tidaklah kita malu di akhirat kelak.

Kerana hanya Allah  dan kita sahaja yang tahu. Kalau Allah tidak tutup, maka dosa itu akan dipampangkan dan semua akan tahu, maka tentulah kita akan malu, bukan?

وَقِنا عَذابَ النّارِ

dan peliharalah kami dari azab neraka

Kita kena doa kepada Allah supaya selamatkan kita dari masuk neraka. Kita tidak mahu duduk walau sekejap pun. Lihat, dengar dan cium sedikit pun neraka itu kita tidak mahu.

Oleh itu, kita minta kepada Allah ‎ﷻ berilah kepada kita sifat boleh meninggalkan dosa. Kerana kalau asyik buat dosa sahaja akan menyebabkan kita kena masuk ne ‎ﷻ aka sebab neraka adalah tempat cuci dosa.

Tafsir Ayat Ke-17

Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Allah jelaskan apakah sifat hamba yang baik. Ada lima sifat yang akan disebut.

Sekarang kita akan belajar cara-cara untuk kawal nafsu daripada tergelincir kepada keinginan yang salah. Nafsu itu tidak salah, tetapi kena kawal supaya ianya dilakukan kepada benda yang halal sahaja. Macam kereta, kenalah ada brek. Kalau jalan laju sahaja dan brek tidak ada (atau tidak dipakai), tentu akan berlaku kemalangan akhirnya.

Maka, kita kena sedar yang kadang-kadang nafsu kita memang teringin perkara-perkara yang tidak boleh. Ini biasa sahaja kerana kita ini memang makhluk yang ada nafsu. Beza orang beriman dan tidak, orang beriman dapat tahan nafsu mereka. Mereka tidaklah ikut kehendak nafsu mereka.

الصّٰبِرينَ وَالصّٰدِقينَ وَالقٰنِتينَ وَالمُنفِقينَ وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

الصّٰبِرينَ

orang-orang yang sabar

Pertama, kena sabar dalam taat. Hendak taat Allah kena sabar kerana kadang-kadang ianya susah dilakukan dan memang akan banyak dugaan. Jadi tidak payahlah hendak mengadu itu dan ini sukar, kerana memang ianya sukar. Inilah ujian. Kalau ia senang, tidaklah dinamakan ujian, bukan?

Sabar itu hanya ada pada orang yang ada sifat taat. Apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita, itu adalah ujian kepada kita dan kita kena sabar. Dan ia bukan percuma kerana kita akan dapat pahala atas sabar itu. Ia tidak sama seperti orang kafir. Mereka pun terima musibah juga. Tetapi kerana mereka itu hidup dalam derhaka, maka musibah yang menimpa mereka itu adalah permulaan kepada azab.

Benda yang sama sahaja, tetapi kepada orang mukmin, ianya adalah ujian dan sumber pahala manakala benda yang sama kepada orang kafir adalah azab kepada mereka. Ianya adalah azab yang kecil sebelum mereka mendapat azab besar dalam neraka. Kalau mereka sabar dalam dunia pun akhirnya akan masuk neraka juga. Sedangkan kalau kita sabar, dapat pahala.

Sebagai contoh, kalau kita mendapat musibah seperti sakit atau penyakit, kita akan mendapat pengampunan daripada Allah ﷻ– dengan syarat kita sabar dengan ketetapan Allahﷻ  memberikan sakit kepada kita. Kalau kita tidak sabar, tidak dapat apa yang dijanjikan itu kerana kita seperti tidak redha dengan apa yang Allah telah takdirkan kepada kita.

Juga kita kena ada sabar daripada ikut kehendak nafsu yang salah. Kalau kita tidak ikut ajakan nafsu dan bersabar daripada melampiaskan nafsu di dunia dengan cara yang haram, kita akan dapat melampiaskannya di syurga dengan cara halal di syurga.

Contohnya, jika kita sabar daripada berzina di dunia, kita akan dibalas dengan bidadari yang lebih hebat nanti di syurga. Kita tidak minum arak di dunia, nanti akan dapat sungai arak yang lebih sedap lagi. Kita (lelaki) tidak pakai sutera semasa di dunia, maka di syurga nanti pakaian kita akan sutera yang lebih hebat lagi.

وَالصّٰدِقينَ

dan orang-orang yang benar

  1. Benar lagi jujur, tidak licik dalam menipu. Dalam Surah Saba’, ada disebut bagaimana orang yang banyak helah tidak masuk syurga. Licik itu jenis orang yang bijak dalam menipu orang lain. Memang dia rasa dia bijak, dapat apa yang dia hendak, dan suka dia menceritakan bagaimana dia dapatkan sesuatu dengan helah. Memang dia akan dapat apa yang dihajatinya itu tetapi dia tidak jujur.
  2. Ia juga bermaksud jujur dengan diri sendiri. Sedar yang kita ada keinginan dalam diri kita. Sedar yang Allah sudah letakkan ada keinginan nafsu dalam diri kita. Sebab itu Allah menceritakan keindahan dan nikmat dalam syurga kerana memang itu keinginan manusia. Jangan jadi macam orang Nasara yang menidakkan perasaan itu.

Contohnya paderi mereka tidak dibenarkan berkahwin sampai bila-bila. Ini bahaya kerana apabila ditolak nafsu itu, akan menyebabkan ada masalah dengan diri mereka kerana menidakkan sesuatu yang Allah telah jadikan dalam fitrah manusia. Kalau melawan fitrah, pasti akan ada masalah. Kita pun dengar bagaimana paderi-paderi Kristian telah banyak melakukan kesalahan seksual luar tabiat. Ini adalah kerana mereka menolak sifat yang normal, sampai jadi tidak normal.

  1. Menjadi orang yang benar juga bermaksud benar yang di luar dan di dalam hati. Jangan sebut beriman di mulut tetapi tidak di dalam hati. Jangan hati cakap lain, tetapi perbuatan lain daripada apa yang kita cakap.
  • Juga boleh bermaksud membenarkan segala ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi. Apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi diterima oleh kita. Maka kita belajar apa yang disampaikan oleh wahyu dan kita terima apa yang disampaikan. Mungkin pada mulanya ia agak pelik kerana lain daripada yang kita sudah biasa, tetapi kerana ianya dari wahyu, kita terima juga.

  • Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an kita belajar tidak boleh menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah dalam doa. Ini pelik kerana masyarakat kita banyak mengamalkan amalan ini, malah diamalkan oleh para ustaz juga. Tetapi apabila kita belajar yang itu adalah amalan salah, kita sanggup tinggalkan. Inilah dia orang yang membenarkan ajaran wahyu.

    وَالقٰنِتينَ

    dan orang-orang yang sentiasa taat

    Ada sifat kepatuhan dalam diri mereka. Mereka bersedia untuk berkhidmat dalam hal agama. Mereka juga patuh dengan segala arahan daripada Allah dan Nabi. Ini jenis orang yang awal pergi solat. Jenis kalau suruh lompat, dia tanya “berapa tinggi?”, bukan dia kata, “kenapa nak kena lompat ni?”

    Maknanya dia bukan jenis hendak soalkan arahan Allah. Ada orang yang akal dia susah hendak terima maka mulalah dia tanya itu dan ini. Ketahuilah yang kadang-kadang otak dan minda kita tidak dapat terima lagi ‘kenapa’, tetapi kita hendaklah terus melakukan apa yang disuruh oleh wahyu.

    وَالمُنفِقينَ

    dan orang-orang yang membelanjakan hartanya

    Mereka yang rajin infaq harta mereka di atas jalan agama. Mereka yakin dengan janji Allah yang Allah mengatakan Dia akan balas infaq mereka di akhirat.

    ‘Infaq’ itu bermaksud ‘mengeluarkan harta’. Maksud dalam ayat ini tentunya berkenaan mengeluarkan harta untuk kebaikan. Kalau kita membeli belah di pasar pun infaq juga sebenarnya, tetapi itu bukanlah infaq di atas jalan agama.

    وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

    dan orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur

    Mereka rajin memohon ampun di waktu sahur iaitu selepas mereka melakukan Solat Tahajjud.

    Kenapa pula mereka minta ampun? Mereka minta ampun kerana takut Allah hukum mereka. Padahal mereka orang yang baru sahaja melakukan kebaikan. Ini maksudnya istighfar setelah taat. Amat lembut hati mereka sampaikan mereka masih rasa bersalah walaupun semasa sedang melakukan ketaatan.

    Mereka takut kalau tidak cukup apa yang dia sudah buat. Istighfar jenis ini bernilai amat tinggi pada sisi Allah kerana kalau orang yang buat dosa istighfar memang sudah biasa kita dengar, tetapi ini orang yang berbuat kebaikan pula. Memang tidak sama.

    Kenapa waktu sahur disebut? Kita pun sudah tahu yang tidur adalah satu perkara yang manusia amat suka. Bayangkan kalau tidak cukup tidur sahaja, kita sudah tidak selesa. Tetapi ada manusia yang tinggi imannya yang sanggup meninggalkan keselesaan tidur untuk beribadah kepada Allah. Sudahlah mereka sanggup meninggalkan keselesaan, ada duit banyak dengan mengeluarkan infaq, mereka sanggup tinggalkan keselesaan tidur juga. Ini juga melawan nafsu yang besar, iaitu nafsu tidur.

    Nota: Ayat ini sebenarnya mengajar kita cara berdoa. Kalau kita lihat ayat ini secara mendalam, kita belajar bahawa doa yang paling baik adalah pada waktu sahur iaitu dalam sepertiga akhir malam, terutama sekali selepas mengerjakan Solat Tahajjud.

    Waktu sahur adalah waktu yang amat istimewa. Dalam hadis yang sahih, daripada Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

    يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

    “Rabb kita تَبَارَكَ وَتَعَالَى turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 758).

    Allahu a’lam.

    Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

    0

    Tafsir Surah Ali-Imran

    Tafsir Ayat Ke-13

    قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا ۖ فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ وَأُخرىٰ كافِرَةٌ يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي ٱلأَبصَـٰرِ

    Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi daripada golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

    قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا

    Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu

    Allah ﷻ bukan sekadar memberi ancaman kosong sahaja, malah Allah ﷻ memberikan contoh perkara yang telah berlaku. Allah ﷻ berikan contoh bagaimana Dia telah menolong golongan yang benar dan mengalahkan golongan sesat.

    Yang dimaksudkan adalah Perang Badr. Surah Ali Imran ini memang ada menyebut tentang Perang Badr dan Perang Uhud. Maka kita belajar sedikit sebanyak tentang sejarah dalam surah ini.

    فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ

    satu pasukan berperang pada jalan Allah

    Yang dimaksudkan adalah tentera Muslim. Mereka waktu itu seramai 313 orang sahaja. Perjuangan mereka adalah kerana hendak menegakkan kalimah Allah ﷻ. Musuh mereka yang kafir itu pula berjuang kerana menjaga harta mereka. Jadi, walaupun tentera Muslim waktu itu sedikit, tetapi oleh kerana yakin dengan Allah ﷻ, maka mereka berani menghadapi pihak musuh yang lebih ramai dan lebih lengkap (daripada segi peralatan perang) daripada mereka.

    Balaghah: kita tahu pihak yang berperang pada jalan Allah ﷻ ini adalah pihak mukmin. Memang tidak dilafazkan dalam ayat ini kerana ia dihazafkan untuk mencantikkan bahasa. Ini kerana kalau disebut akan menyebabkan panjang dan ia tidak perlu kerana dapat difahami apabila kita melihat kepada bahagian yang lain iaitu dalam bahagian ayat selepas ini disebut yang pihak yang lagi satu adalah pihak ‘kafir’.

    Jadi, Allah ﷻ tidak menyebut pihak mukmin kerana telah disebut lawannya, iaitu pihak kafir itu. Kita dapat ambil pemahaman daripada lawannya. Apabila telah disebut lawannya, tidak perlu lagi disebutkan dengan panjang lagi.

    وَأُخرىٰ كافِرَةٌ

    dan yang satu lagi dari golongan kafir

    Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Bilangan mereka waktu itu seramai seribu orang. Mereka tiga kali ganda lebih ramai daripada puak Islam.

    Dalam potongan ayat ini juga ada balaghahnya. Tidak disebut yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut tetapi kita dapat faham bahawa mereka berperang di atas jalan taghut kerana dalam potongan ayat sebelum ini telah disebut bagaimana pihak yang lagi satu (tentera Mukmin) berperang pada jalan Allah ﷻ. Maka dihazafkan maklumat yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut kerana telah disebut lawannya.

    يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ

    Mereka melihat lawan dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya

    Siapa yang nampak siapa? Ada dua tafsir dalam ayat ini:

    1. Waktu itu kumpulan kafir nampak puak mereka berkali-kali ganda lebih ramai daripada puak Islam padahal bilangan mereka sebenarnya tiga kali ganda lebih ramai.
    2. Ataupun boleh juga bermaksud, mereka nampak puak Islam itu yang berkali-kali ganda lebih ramai daripada mereka, walaupun realitinya, mereka yang lebih ramai.

    وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ

    Dan Allah sentiasa menolong dengan pertolongan-Nya, sesiapa yang dikehendaki-Nya,

    Walaupun puak kafir waktu itu lebih ramai daripada orang Islam, tetapi Allah ﷻ tolong orang beriman dan beri kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badr itu. Ramainya orang bukanlah alamat yang mereka pasti akan dapat kemenangan. Kemanangan bergantung kepada kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan menang.

    إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ

    Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang melihat

    Ini adalah satu pengajaran sampai bila-bila masa.

    Yang melihat adalah mereka yang kuat pemikiran sampai mendapat mengambil natijah daripada kesudahan sesuatu perkara. Mereka inilah yang boleh nampak realiti sesuatu perkara. Mereka tidak hanya melihat sahaja tetapi mereka memikirkan sekali apakah kesudahan yang boleh terjadi. Mereka boleh nampak yang tersurat kerana mereka menggunakan akal mereka.

    Tafsir Ayat Ke-14

    Allah ﷻ beritahu kenapa musyrikin menjadi degil – kerana kelebihan keduniaan yang ada pada mereka.

    زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ مِنَ النِّساءِ وَالبَنينَ وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعٰمِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

    Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

    زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ

    Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu syahwat,

    Segala nikmat yang ada dalam dunia ini hanyalah sampel sahaja, bukan yang “original” (asli). Sebagaimana handphone sampel tentunya tidak sama dengan handphone yang sebenar, bukan? Di syurga, nikmat yang ada nanti adalah yang asli. Contohnya madu di dunia adalah sampel kepada madu di syurga. Begitu juga dengan sutera, emas, perak dan macam-macam lagi.

    Sampel itu nilainya tidak sama dengan yang asli, namun dinampakkan cantik sahaja di mata orang kafir itu. Yang sampel mereka nampak macam asli. Mereka nampak sampel itu cantik sahaja dan kerana itu mereka kejar sampai bersungguh-sungguh.

    Sampaikan apabila sampel itu digugat, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menentang mereka yang menggugatnya. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang mereka nampak boleh menggugat keduniaan mereka, maka mereka lawan Nabi ﷺ habis-habisan.

    Senarai yang diberikan dalam Al-Qur’an ini adalah untuk lelaki sahaja. Allah ﷻ tidak berikan senarai untuk perempuan kerana kehendak golongan perempuan amat kompleks. Kemahuan lelaki senang sahaja untuk disenaraikan (tiga ‘ta’: harta, wanita, tahta).

    Manusia yang jauh daripada kebenaran itu hendak memuaskan nafsu syahawat mereka kesemua sekali. Mereka cinta dan hendak sangat untuk memuaskan nafsu. Bukannya kita tidak boleh memenuhi nafsu kita itu, tetapi yang salahnya adalah jika tidak ikut tertib yang diajar oleh Nabi ﷺ.

    Sebagai contoh, tidak salah kalau kita hendak memenuhi nafsu makan, tetapi kenalah makan makanan yang halal; tidak salah untuk kita memuaskan nafsu hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan asalkan ia dilakukan dengan cara yang halal iaitu dengan pernikahan. Islam adalah agama yang praktikal dan tidak menolak kemahuan nafsu.

    Jadi, nafsu itu ada banyak jenis, yang pertama sekali adalah kehendak kepada wanita, kemudian anak, dan kemudian harta yang bertimbun dan seterusnya. Dan sekarang Allah senaraikan kebiasaan yang dikehendaki nafsu manusia (terutama sekali lelaki)

    مِنَ النِّساءِ

    iaitu dari perempuan-perempuan

    Yang pertama sekali, mereka mahukan wanita. Sebanyak mungkin yang boleh mereka dapati. Tanyalah kepada semua lelaki yang normal, inilah perkara pertama yang mereka kejar. Kalau zaman kuno dahulu, kedudukan wanita adalah rendah daripada lelaki, maka mereka jadikan wanita itu sebagai pemuas nafsu mereka sahaja.

    Zaman sekarang, hubungan sesama lelaki dan perempuan sudah seperti tidak ada batasnya. Di mana-mana sahaja boleh nampak wanita yang cantik-cantik dan dihiasi dengan bermacam perkara yang menambahkan kecantikan mereka. Maka dugaan nafsu kepada wanita itu amatlah tinggi sekali.

    Maka, dengan dugaan hebat seperti itu, adakah lelaki mampu untuk menahan dirinya? Kita tidak dapat nafikan yang ramai yang tergelincir.

    Tidak salah kalau seorang lelaki hendak kepada wanita dan malah kalau hendak ramai wanita. Kehendak itu kadang-kadang tidak dapat dikawal. Tetapi yang mengawal kita adalah minda kita dan akhlak kita. Terutama sekali minda yang dipandu agama. Kita tidak ambil kesempatan kerana kita tahu sesuatu perkara itu salah di sisi agama.

    وَالبَنينَ

    dan anak-pinak

    Yang kedua, mereka mahukan pengaruh. Disebut ‘anak-anak’ dalam ayat ini kerana anak-anak adalah lambang pengaruh, terutama sekali kalau anak lelaki.

    Keinginan kepada anak-anak adalah normal. Anak-anak memang menjadi kebanggaan kepada para bapa. Mereka mungkin tidak cakap kepada anak itu (kadangkala golongan bapa penyegan hendak memuji anak), tetapi mereka amat berbangga dengan kejayaan anak. Allah ‎ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini bahawa ini adalah salah satu kehendak nafsu manusia. Kalau jumpa kawan-kawan dia, mesti dia akan cerita anak dia buat ini, buat itu.

    Ada “instinct” (naluri) dalam diri seorang bapa untuk kelangsungan hidupnya. Dia memang tahu yang dia akan mati. Namun jauh di sudut hati dia, kalau dia ada anak, dia akan rasa yang anaknya itulah yang akan meneruskan keturunannya.

    Seorang ayah juga ada keinginan mahukan anaknya menjaganya nanti di hari tuanya. Kerana dia tahu dia akan tua dan akan lemah. Waktu itu, dia akan bergantung kepada anaknya itu.

    وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ

    dan harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak;

    Nafsu mahukan harta yang berlonggok-longgok. Kebanyakan manusia memang suka mengumpul harta. Dan memang tidak pernah cukup. Kalau sudah ada sejuta, mereka hendakkan sejuta lagi. Kalau sudah menjadi millionaire, dia hendak menjadi billionaire pula.

    Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, Nabi ﷺ bersabda:

    لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

    “Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu dia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048)

    Disebut dalam ayat ini adalah ’emas dan perak’. Zaman sekarang kita tidak memegang emas dan perak lagi sebagai wang tukaran tetapi wang kertas kita sebenarnya adalah tersandar kepada emas dan perak dalam simpanan di dalam bank simpanan. Kita membawa wang kertas itu sebagai sandaran emas dan perak sahaja.

    وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ

    dan kuda peliharaan yang diasuh

    Ini adalah isyarat kepada kenderaan. Zaman ketika ayat Al-Qur’an ini diturunkan, kuda adalah tunggangan dan kenderaan yang terpakai waktu itu. Sekarang tentunya tidak ramai yang menggunakan kuda lagi.

    Digunakan dalam ayat ini: Kuda yang terpilih. Ini adalah kerana kenderaan pun ada banyak jenis. Tidak sama kereta Proton dan kereta BMW dan tidak sama kereta BMW dan kereta Rolls Royce. Manusia mahukan kenderaan yang terbaik sekali iaitu yang laju, yang mewah dan yang cantik.

    Walaupun manusia sudah tidak menaiki kuda lagi, tetapi elemen kuda masih ada lagi. Lihatlah logo kereta-kereta mewah itu, banyak yang menggunakan lambang kuda, bukan? Kalau tidak ada lambang kuda pun, bukankah semua kereta dikira kekuatannya dengan ‘kuasa kuda’? Kalau kawan beli kereta baru, kita tanya dia : berapa “horsepower” kereta ini?

    وَالأَنعٰمِ

    dan binatang-binatang ternak

    Ini merujuk kepada aset kekal. Kalau zaman Nabi ﷺ, ia adalah binatang ternakan. Zaman sekarang, ia merujuk kepada aset-aset dalam simpanan kita. Contohnya kepada barangan kedai kita, simpanan dalam gudang dan macam-macam lagi. Manusia akan cuba kumpul aset dunia sebanyak mungkin kerana aset ini nilainya selalu bertambah dari masa ke semasa.

    وَالحَرثِ

    serta tanaman yang dituai

    Segala usaha manusia pada ternakan dan tanaman adalah untuk mendapatkan hasil di hujungnya. Kalau zaman sekarang dalam perniagaan, yang ditunggu adalah keuntungan di hujung tahun (fiscal year). Itulah yang ditunggu-tunggu oleh manusia.

    ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا

    Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia yang sementara.

    Semua yang mereka kejar itu adalah kesenangan sementara sahaja semasa mereka hidup di dunia. Sampai saat kematian, mereka akan tinggalkan semuanya sekali.

    Jangan anggap lain pula ayat ini. Bukan tidak boleh digunakan dan diambil manfaatnya daripada semua perkara yang telah disebutkan itu, namun kenalah mengikut tertib seperti yang Nabi ﷺ. Kena dapatkan dengan cara yang halal dan digunakan dengan cara yang halal. Dan jangan teruk sangat sampai menolak agama dan sampai lupa hendak amalkan agama.

    Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah menolak dan melawan Nabi ﷺ sebab semua perkara ini. Mereka lihat ajaran baginda akan menggugat mereka, harta dan pengaruh mereka, maka kerana itu mereka tolak baginda.

    Puak Islam pun suka juga kepada keindahan dunia tetapi mereka tidak menjadikan dunia itu sebagai penyebab untuk mereka hanyut dan alpa dengan dunia. Harta dan kemewahan sepatutnya dipegang di ‘tangan’ sahaja dan bukan sampai ke ‘hati’. Sebagai contoh, para sahabat itu sanggup meninggalkan segala keindahan dunia itu untuk pergi berjihad juga.

    وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

    Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya

    Semua perkara yang disebut di atas tidak akan memuaskan nafsu kita pun sebenarnya. Kalau sudah mendapat apa yang mereka kejar, mereka tidak rasa puas pun. Ada sahaja yang kita nampak lebih baik daripada apa yang kita ada, bukan? Kalau sudah ada isteri cantik, nanti akan nampak wanita yang lebih cantik daripada isteri kita; kalau sudah kaya, akan ada sahaja orang yang lebih kaya dan sudah timbul rasa tidak puas.

    Ketahuilah bahawa hati kita ini tidak akan puas selama kita hidup di dunia ini. Kepuasan yang sebenar hanya ada di syurga sahaja. Inilah salah satu dalil yang mengatakan adanya syurga. Kerana kita sedar yang apa-apa sahaja di dunia ini tidak akan memuaskan kita, maka tahulah kita bahawa akan ada tempat yang kita akan rasa puas sepuas-puasnya, dan itulah di syurga.

    Syurga itulah sebaik-baik tempat kembali. Maka hendaklah kita kejar syurga ini dengan beramal dengan amalan yang baik. Jangan terpesona sangat dengan dunia sampai lupa akhirat.

    Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada utusan Nasrani dari Najran yang datang ke Madinah dengan segala kemewahan, sampaikan salib yang mereka pakai pun diperbuat daripada emas. Mereka keberatan untuk menerima Islam kerana mereka takut kemewahan mereka itu akan ditarik balik.

    Juga dikatakan ada sahabat yang terpesona dengan kemewahan yang ada pada utusan Najran itu. Maka kerana itu diturunkan ayat ini kepada mereka sebagai peringatan.

    Juga pada zaman sekarang ada orang yang nampak kebenaran Islam, tetapi tidak mahu masuk Islam kerana takut kemewahan mereka ditarik. Ada yang takut keluarga mereka akan buang mereka, ada yang takut perniagaan mereka akan jatuh, ada takut kawan sudah tidak mahu berkawan dengan mereka lagi. Maka Allah ﷻ ingatkan jangan sampai begitu sekali. Itu semua adalah dunia sahaja.

    Allahu a’lam.

    Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-8 hingga Ke-12

    0

    Tafsir Surah Ali-Imran

    Tafsir Ayat Ke-8

    Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu. Allah ﷻ sekarang menyebut tentang doa mereka. Doa ini banyak sekali dibaca oleh masyarakat kita. Mari sekarang kita lihat apakah tafsir bagi ayat (doa) ini.

    رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

    (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

    رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا

    Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,

    Ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita hendak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah kerana hati kita akan terus tertanya-tanya.

    Mereka yang telah mendalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta supaya Allah ﷻ jangan palingkan hati mereka. Mereka minta ditetapkan hati mereka atas iman. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

    Walaupun sudah berilmu, masalah boleh juga ada kerana orang berilmu juga ada penyakit, iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu untuk kata mereka ada benda yang mereka tidak tahu. Jadi, ada antara mereka yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.

    Allah ﷻ sudah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar, kalau kamu masuk juga – Allah ﷻ boleh memalingkan hati kita. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah ﷻ menjaga hati kita daripada masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah ﷻ tetapkan hati kita.

    وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً

    dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu

    Mintalah rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah ﷻ; Keyakinan kepada hukum Allah ﷻ seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat.

    Sebenarnya, semua rahmat datang daripada Allah ﷻ, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh memberi rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu daripada Allah ﷻ sahaja, bukan daripada entiti lain.

    إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

    sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya

    Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah ﷻ, iaitu dengan memuji-Nya. Sama ada puji Allah ﷻ di awal doa atau di hujung doa. Jadi, ini adalah satu contoh doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua.

    Tafsir Ayat Ke-9

    Selain daripada doa di atas, mereka juga doa begini.

    رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

    Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.

    رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

    Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, pada suatu hari yang tidak ada syak padanya

    Kita mengiyakan yang Allah ﷻ akan menghimpunkan semua makhluk-Nya termasuk manusia pada Hari Kiamat nanti. Dan hari itu tidak syak lagi akan berlaku.

    Manusia berpecah belah dalam bermacam-macam fahaman, tetapi akan datang suatu masa yang semuanya akan duduk berhimpun di satu tempat menunggu pengadilan daripada Allah ﷻ.

    Entah apalah nasib kita di sana nanti. Kita hendaklah doa dan berharap yang ia adalah baik untuk kita. Kenalah kita berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini supaya harapan kita itu ada asasnya kerana tidaklah boleh hanya berharap kosong sahaja, namun usaha juga kena ada.

    إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

    Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.

    Allah ﷻ tidak akan memungkiri janji-Nya. Hari kebangkitan itu pasti akan berlaku, pada waktu yang Allah ﷻ telah tentukan, dan pasti semua makhluk akan dikumpulkan di tempat yang Allah ﷻ telah tentukan.

    Kita kena ingat janji Allah ﷻ untuk membalas dengan kebaikan mereka yang berbuat baik dan janji Allah ﷻ juga untuk mengazab mereka yang lalai dan ingkar. Oleh kerana kita tahu Allah ﷻ tidak mungkin mungkir janji inilah yang kita mesti memastikan yang akidah dan amalan kita sentiasa terjaga.

    Jadi, itulah doa-doa yang dibaca oleh mereka yang rasikh ilmu mereka.

    Tafsir Ayat Ke-10

    إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

    Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka daripada (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

    إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم

    Sesungguhnya orang-orang kafir, tidaklah dapat menyelamatkan harta benda mereka

    Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Harta mereka tidak boleh membantu mereka langsung, tidak kira walau kaya macam mana sekalipun.

    Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai pada waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak akan mempunyai nilai langsung. Maka kalau orang ingkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka.

    Maka, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infaqkan.

    وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئً

    dan juga anak pinak mereka daripada Allah sedikit pun

    Juga anak atau pengaruh untuk menyelamatkan mereka daripada azab Allah ﷻ tidak akan berguna sedikit pun.

    Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta dan anak pinak. Ramai yang sibuk mengumpul harta kerana mereka hendak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tetapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!

    Asbabun Nuzul ayat ini. Selepas kejayaan umat Islam di Badr, puak Yahudi telah telah cuba menyakitkan perasaan para sahabat yang baru pulang daripada kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang para sahabat itu baru hadapi tidak ada apa-apa sebenarnya; dan nanti mereka kata puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar.

    Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat. Jangan bangga diri dengan kelebihan keduniaan yang ada.

    وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

    dan mereka itulah bahan bakaran api neraka

    Ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi (menakutkan manusia dengan azab di akhirat). Mereka akan jadi bahan bakar api neraka. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi semakin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Ini kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri menjadi sakit disebabkan bertambah kepanasannya.

    Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan.

    Tafsir Ayat Ke-11

    كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

    (Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.

    كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

    sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka

    Allah ﷻ hendak beritahu yang kekufuran golongan kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta. Ini seperti yang berlaku kepada Firaun juga. Disebabkan dia kaya dan ada pengaruh besar, maka dia tidak mahu mendengar dakwah Nabi Musa عليه السلام.

    Bukan hanya Firaun sahaja, malah kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama. Ini memang kebiasaan yang berlaku zaman berzaman.

    Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah melawan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda merupakan seorang anak yatim dan miskin. Mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama seperti yang telah dikenakan kepada Firaun.

    كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم

    mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka.

    Kerana mereka tidak mahu juga pakai ayat Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan azab mereka. Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ itu bermaksud tidak mahu ikut apa yang disampaikan dalam wahyu. Mungkin tidak disebut mereka ‘tolak’ wahyu, tetapi apabila mereka tidak mahu ikut apa yang disampaikan, maka itu menjadi tanda yang mereka menolak ajaran wahyu.

    وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

    Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.

    Allah ﷻ mengingatkan kita betapa beratnya azab daripada-Nya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal. Ini hendak menakutkan kita. Jangan main-main dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Allah ﷻ beri amaran dalam ayat ini.

    Tafsir Ayat Ke-12

    Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Di dunia lagi Allah ﷻ sudah boleh tunjuk.

    قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

    Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

    قُل لِّلَّذينَ كَفَروا

    Katakanlah kepada orang-orang kafir itu

    Allah ﷻ suruh beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi sama ada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi iaitu mereka yang menentang ajaran wahyu.

    سَتُغلَبونَ

    Kamu akan dikalahkan

    Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka akan dikalahkan. Memang sekarang mereka nampak mereka kuat, tetapi nanti mereka akan dikalahkan.

    وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ

    dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahanam

    Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.

    وَبِئسَ المِهادُ

    dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan

    Neraka itu bukanlah tempat berehat tetapi tempat dikenakan azab. Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada neraka itu. Maka sepatutnya kita takut dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.

    Allahu a’lam.

    Popular

    Iklan

    Iklan