Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-15 hingga Ke-17

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-15 hingga Ke-17

482
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-15

Ayat ini adalah bayangan kepada maksud husnul ma’ab حُسنُ المَآبِ yang disebut dalam ayat sebelum ini.

۞ قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم ۚ لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan daripada Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hamba-Nya;

 

قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu?

Mahukah kalau Allah ‎ﷻ beritahu yang lebih baik daripada nikmat-nikmat dunia yang disebut dalam ayat sebelum ini? Allah ‎ﷻ suruh tanya dalam bentuk soalan supaya menarik minat manusia untuk tahu jawapannya. Tentulah kita mahu tahu, bukan?

لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Hanya bagi orang yang bertaqwa iaitu mereka yang boleh jaga hukum semasa mereka hidup di dunia. Mereka boleh bersabar daripada tergoda dengan pujukan nikmat dunia. Mereka nampak nikmat-nikmat itu di hadapan mereka tetapi mereka tidak terpengaruh. Mereka letak dunia di tangan sahaja, bukannya di hati.

Yang Allah ‎ﷻ akan sebut ini beribu juta kali lebih bagus daripada perhiasan dunia yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Allah ‎ﷻ mulakan dengan sebut nikmat dalam bentuk jasmaniah (fizikal). Iaitu Allah beritahu ﷻ yang mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya.

Allah ‎ﷻ selalu menyebut sungai di bawah syurga kerana tempat ada airlah yang disukai oleh manusia. Kalau dapat duduk di rumah yang ada air sungai, air laut, itu memang kesukaan manusia. Sebab itu kalau hotel pandang ke arah laut pun (ocean view) sudah lebih mahal dari yang pandang ke arah lain. Tambahan pula kalau hotel itu sendiri di atas air, tentu lagi mahal.

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Kalau tinggal di tempat yang menyenangkan, tetapi sekejap sahaja, itu bukan nikmat sebenar. Macam kita kalau duduk di hotel yang beribu ringgit semalam pun, tetapi dalam hati kita, kita tahu yang kita hanya duduk sekejap sahaja di situ. Esok lusa kena keluar juga.

Akan tetapi ahli syurga itu duduknya adalah selama-lamanya. Maka ahli syurga akan tenang sahaja di sana kerana dia tidak takut yang dia akan dikeluarkan.

وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ

Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih,

Kalau duduk tempat nikmat, duduk pula selama-lamanya, tetapi kalau duduk seorang sahaja pun, tentu tidak menggembirakan kerana kita manusia memang tidak suka tinggal berseorangan. Maka Allah ‎ﷻ berikan teman hidup untuk kita.

Pasangan itu pula daripada jenis yang suci daripada segi fizikal dan akhlak. Daripada segi jasmani, mereka tidak ada kekotoran najis dan bau yang tidak enak. Malah amat cantik dipandang mata. Dan daripada segi akhlak, mereka tidak ada langsung sifat buruk. Contohnya, tidaklah ada perasaan cemburu dan marah-marah seperti pasangan kita sekarang.

وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ

serta keredhaan daripada Allah

Setelah disebut contoh-contoh nikmat jasmani, Allah ‎ﷻ sebut pula nikmat rohani. Nikmat rohani yang akan diberikan adalah keredhaan daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah nikmat yang paling hebat sebenarnya. Tidak ada yang lebih hebat daripada nikmat ini.

Bayangkan, kalau ayah kita kata dia bangga dengan kita pun, kita sudah suka. Bagaimana kalau majikan kita bangga dan puji kita? Pun kita suka, bukan? Bagaimana kalau Perdana Menteri bangga dengan kita? Lagi besar, bukan?

Namun adakah yang lebih besar daripada pujian Allah ‎ﷻ? Tidak ada lagi. Bayangkan Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia redha dengan kita, dengan apa yang kita telah lakukan semasa di dunia, tidak terbayang nikmat itu.

Kalau nikmat dunia, banyak mana pun kita ada, kita pasti tidak akan rasa puas; tetapi kalau dengan nikmat syurga, ditambah dengan redha Allah ‎ﷻ, kita akan puas.

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan Allah sentiasa Melihat akan hamba-hamba-Nya;

Allah ‎ﷻ sedang melihat kita daripada segi jasmani dan rohani, ke manakah kita akan pergi, dan Allah ‎ﷻ melihat tempat yang sedang kita tuju, sama ada ke syurga atau neraka. Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita fikirkan. Semua itu akan dinilai.

Tafsir Ayat Ke-16

Ini adalah sambungan tentang hamba yang sedang menuju ke syurga seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Inilah sifat dan doa mereka. Allah ‎ﷻ sedang perhati apa yang mereka lakukan. Marilah kita ikuti mereka dan semoga kita semua termasuk dalam kelompok ini.

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا وَقِنا عَذابَ النّارِ

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا

orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman,

Mereka mengaku beriman sebelum berdoa meminta ampun. Ini bermaksud mereka bertawassul dengan iman. Mereka menggunakan iman mereka untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Inilah jenis tawassul yang dibenarkan dan digalakkan. Bukannya tawassul dengan Nabi, wali dan malaikat yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Bukanlah semua tawasul tidak dibenarkan. Cuma kena tahu dan belajar manakah jenis tawassul yang dibolehkan. Belajarlah, jangan ikut sahaja apa yang orang lain buat.

فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا

oleh itu, hapuskanlah dosa-dosa kami

Kita kena sedar yang kita banyak dosa dan kita berharap sangat Allah ampunkan dosa kita. Bukan ampunkan sahaja, tetapi maksud ghafara adalah tutup terus dosa itu, jangan sebut-sebut lagi. Maka kalau Allah telah tutup, maka tidaklah kita malu di akhirat kelak.

Kerana hanya Allah  dan kita sahaja yang tahu. Kalau Allah tidak tutup, maka dosa itu akan dipampangkan dan semua akan tahu, maka tentulah kita akan malu, bukan?

وَقِنا عَذابَ النّارِ

dan peliharalah kami dari azab neraka

Kita kena doa kepada Allah supaya selamatkan kita dari masuk neraka. Kita tidak mahu duduk walau sekejap pun. Lihat, dengar dan cium sedikit pun neraka itu kita tidak mahu.

Oleh itu, kita minta kepada Allah ‎ﷻ berilah kepada kita sifat boleh meninggalkan dosa. Kerana kalau asyik buat dosa sahaja akan menyebabkan kita kena masuk ne ‎ﷻ aka sebab neraka adalah tempat cuci dosa.

Tafsir Ayat Ke-17

Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Allah jelaskan apakah sifat hamba yang baik. Ada lima sifat yang akan disebut.

Sekarang kita akan belajar cara-cara untuk kawal nafsu daripada tergelincir kepada keinginan yang salah. Nafsu itu tidak salah, tetapi kena kawal supaya ianya dilakukan kepada benda yang halal sahaja. Macam kereta, kenalah ada brek. Kalau jalan laju sahaja dan brek tidak ada (atau tidak dipakai), tentu akan berlaku kemalangan akhirnya.

Maka, kita kena sedar yang kadang-kadang nafsu kita memang teringin perkara-perkara yang tidak boleh. Ini biasa sahaja kerana kita ini memang makhluk yang ada nafsu. Beza orang beriman dan tidak, orang beriman dapat tahan nafsu mereka. Mereka tidaklah ikut kehendak nafsu mereka.

الصّٰبِرينَ وَالصّٰدِقينَ وَالقٰنِتينَ وَالمُنفِقينَ وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

الصّٰبِرينَ

orang-orang yang sabar

Pertama, kena sabar dalam taat. Hendak taat Allah kena sabar kerana kadang-kadang ianya susah dilakukan dan memang akan banyak dugaan. Jadi tidak payahlah hendak mengadu itu dan ini sukar, kerana memang ianya sukar. Inilah ujian. Kalau ia senang, tidaklah dinamakan ujian, bukan?

Sabar itu hanya ada pada orang yang ada sifat taat. Apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita, itu adalah ujian kepada kita dan kita kena sabar. Dan ia bukan percuma kerana kita akan dapat pahala atas sabar itu. Ia tidak sama seperti orang kafir. Mereka pun terima musibah juga. Tetapi kerana mereka itu hidup dalam derhaka, maka musibah yang menimpa mereka itu adalah permulaan kepada azab.

Benda yang sama sahaja, tetapi kepada orang mukmin, ianya adalah ujian dan sumber pahala manakala benda yang sama kepada orang kafir adalah azab kepada mereka. Ianya adalah azab yang kecil sebelum mereka mendapat azab besar dalam neraka. Kalau mereka sabar dalam dunia pun akhirnya akan masuk neraka juga. Sedangkan kalau kita sabar, dapat pahala.

Sebagai contoh, kalau kita mendapat musibah seperti sakit atau penyakit, kita akan mendapat pengampunan daripada Allah ﷻ– dengan syarat kita sabar dengan ketetapan Allahﷻ  memberikan sakit kepada kita. Kalau kita tidak sabar, tidak dapat apa yang dijanjikan itu kerana kita seperti tidak redha dengan apa yang Allah telah takdirkan kepada kita.

Juga kita kena ada sabar daripada ikut kehendak nafsu yang salah. Kalau kita tidak ikut ajakan nafsu dan bersabar daripada melampiaskan nafsu di dunia dengan cara yang haram, kita akan dapat melampiaskannya di syurga dengan cara halal di syurga.

Contohnya, jika kita sabar daripada berzina di dunia, kita akan dibalas dengan bidadari yang lebih hebat nanti di syurga. Kita tidak minum arak di dunia, nanti akan dapat sungai arak yang lebih sedap lagi. Kita (lelaki) tidak pakai sutera semasa di dunia, maka di syurga nanti pakaian kita akan sutera yang lebih hebat lagi.

وَالصّٰدِقينَ

dan orang-orang yang benar

  1. Benar lagi jujur, tidak licik dalam menipu. Dalam Surah Saba’, ada disebut bagaimana orang yang banyak helah tidak masuk syurga. Licik itu jenis orang yang bijak dalam menipu orang lain. Memang dia rasa dia bijak, dapat apa yang dia hendak, dan suka dia menceritakan bagaimana dia dapatkan sesuatu dengan helah. Memang dia akan dapat apa yang dihajatinya itu tetapi dia tidak jujur.
  2. Ia juga bermaksud jujur dengan diri sendiri. Sedar yang kita ada keinginan dalam diri kita. Sedar yang Allah sudah letakkan ada keinginan nafsu dalam diri kita. Sebab itu Allah menceritakan keindahan dan nikmat dalam syurga kerana memang itu keinginan manusia. Jangan jadi macam orang Nasara yang menidakkan perasaan itu.

Contohnya paderi mereka tidak dibenarkan berkahwin sampai bila-bila. Ini bahaya kerana apabila ditolak nafsu itu, akan menyebabkan ada masalah dengan diri mereka kerana menidakkan sesuatu yang Allah telah jadikan dalam fitrah manusia. Kalau melawan fitrah, pasti akan ada masalah. Kita pun dengar bagaimana paderi-paderi Kristian telah banyak melakukan kesalahan seksual luar tabiat. Ini adalah kerana mereka menolak sifat yang normal, sampai jadi tidak normal.

  1. Menjadi orang yang benar juga bermaksud benar yang di luar dan di dalam hati. Jangan sebut beriman di mulut tetapi tidak di dalam hati. Jangan hati cakap lain, tetapi perbuatan lain daripada apa yang kita cakap.
  • Juga boleh bermaksud membenarkan segala ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi. Apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi diterima oleh kita. Maka kita belajar apa yang disampaikan oleh wahyu dan kita terima apa yang disampaikan. Mungkin pada mulanya ia agak pelik kerana lain daripada yang kita sudah biasa, tetapi kerana ianya dari wahyu, kita terima juga.

  • Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an kita belajar tidak boleh menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah dalam doa. Ini pelik kerana masyarakat kita banyak mengamalkan amalan ini, malah diamalkan oleh para ustaz juga. Tetapi apabila kita belajar yang itu adalah amalan salah, kita sanggup tinggalkan. Inilah dia orang yang membenarkan ajaran wahyu.

    وَالقٰنِتينَ

    dan orang-orang yang sentiasa taat

    Ada sifat kepatuhan dalam diri mereka. Mereka bersedia untuk berkhidmat dalam hal agama. Mereka juga patuh dengan segala arahan daripada Allah dan Nabi. Ini jenis orang yang awal pergi solat. Jenis kalau suruh lompat, dia tanya “berapa tinggi?”, bukan dia kata, “kenapa nak kena lompat ni?”

    Maknanya dia bukan jenis hendak soalkan arahan Allah. Ada orang yang akal dia susah hendak terima maka mulalah dia tanya itu dan ini. Ketahuilah yang kadang-kadang otak dan minda kita tidak dapat terima lagi ‘kenapa’, tetapi kita hendaklah terus melakukan apa yang disuruh oleh wahyu.

    وَالمُنفِقينَ

    dan orang-orang yang membelanjakan hartanya

    Mereka yang rajin infaq harta mereka di atas jalan agama. Mereka yakin dengan janji Allah yang Allah mengatakan Dia akan balas infaq mereka di akhirat.

    ‘Infaq’ itu bermaksud ‘mengeluarkan harta’. Maksud dalam ayat ini tentunya berkenaan mengeluarkan harta untuk kebaikan. Kalau kita membeli belah di pasar pun infaq juga sebenarnya, tetapi itu bukanlah infaq di atas jalan agama.

    وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

    dan orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur

    Mereka rajin memohon ampun di waktu sahur iaitu selepas mereka melakukan Solat Tahajjud.

    Kenapa pula mereka minta ampun? Mereka minta ampun kerana takut Allah hukum mereka. Padahal mereka orang yang baru sahaja melakukan kebaikan. Ini maksudnya istighfar setelah taat. Amat lembut hati mereka sampaikan mereka masih rasa bersalah walaupun semasa sedang melakukan ketaatan.

    Mereka takut kalau tidak cukup apa yang dia sudah buat. Istighfar jenis ini bernilai amat tinggi pada sisi Allah kerana kalau orang yang buat dosa istighfar memang sudah biasa kita dengar, tetapi ini orang yang berbuat kebaikan pula. Memang tidak sama.

    Kenapa waktu sahur disebut? Kita pun sudah tahu yang tidur adalah satu perkara yang manusia amat suka. Bayangkan kalau tidak cukup tidur sahaja, kita sudah tidak selesa. Tetapi ada manusia yang tinggi imannya yang sanggup meninggalkan keselesaan tidur untuk beribadah kepada Allah. Sudahlah mereka sanggup meninggalkan keselesaan, ada duit banyak dengan mengeluarkan infaq, mereka sanggup tinggalkan keselesaan tidur juga. Ini juga melawan nafsu yang besar, iaitu nafsu tidur.

    Nota: Ayat ini sebenarnya mengajar kita cara berdoa. Kalau kita lihat ayat ini secara mendalam, kita belajar bahawa doa yang paling baik adalah pada waktu sahur iaitu dalam sepertiga akhir malam, terutama sekali selepas mengerjakan Solat Tahajjud.

    Waktu sahur adalah waktu yang amat istimewa. Dalam hadis yang sahih, daripada Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

    يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

    “Rabb kita تَبَارَكَ وَتَعَالَى turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 758).

    Allahu a’lam.

    Komen dan Soalan