Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

1126
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-13

قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا ۖ فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ وَأُخرىٰ كافِرَةٌ يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي ٱلأَبصَـٰرِ

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi daripada golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu

Allah ﷻ bukan sekadar memberi ancaman kosong sahaja, malah Allah ﷻ memberikan contoh perkara yang telah berlaku. Allah ﷻ berikan contoh bagaimana Dia telah menolong golongan yang benar dan mengalahkan golongan sesat.

Yang dimaksudkan adalah Perang Badr. Surah Ali Imran ini memang ada menyebut tentang Perang Badr dan Perang Uhud. Maka kita belajar sedikit sebanyak tentang sejarah dalam surah ini.

فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ

satu pasukan berperang pada jalan Allah

Yang dimaksudkan adalah tentera Muslim. Mereka waktu itu seramai 313 orang sahaja. Perjuangan mereka adalah kerana hendak menegakkan kalimah Allah ﷻ. Musuh mereka yang kafir itu pula berjuang kerana menjaga harta mereka. Jadi, walaupun tentera Muslim waktu itu sedikit, tetapi oleh kerana yakin dengan Allah ﷻ, maka mereka berani menghadapi pihak musuh yang lebih ramai dan lebih lengkap (daripada segi peralatan perang) daripada mereka.

Balaghah: kita tahu pihak yang berperang pada jalan Allah ﷻ ini adalah pihak mukmin. Memang tidak dilafazkan dalam ayat ini kerana ia dihazafkan untuk mencantikkan bahasa. Ini kerana kalau disebut akan menyebabkan panjang dan ia tidak perlu kerana dapat difahami apabila kita melihat kepada bahagian yang lain iaitu dalam bahagian ayat selepas ini disebut yang pihak yang lagi satu adalah pihak ‘kafir’.

Jadi, Allah ﷻ tidak menyebut pihak mukmin kerana telah disebut lawannya, iaitu pihak kafir itu. Kita dapat ambil pemahaman daripada lawannya. Apabila telah disebut lawannya, tidak perlu lagi disebutkan dengan panjang lagi.

وَأُخرىٰ كافِرَةٌ

dan yang satu lagi dari golongan kafir

Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Bilangan mereka waktu itu seramai seribu orang. Mereka tiga kali ganda lebih ramai daripada puak Islam.

Dalam potongan ayat ini juga ada balaghahnya. Tidak disebut yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut tetapi kita dapat faham bahawa mereka berperang di atas jalan taghut kerana dalam potongan ayat sebelum ini telah disebut bagaimana pihak yang lagi satu (tentera Mukmin) berperang pada jalan Allah ﷻ. Maka dihazafkan maklumat yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut kerana telah disebut lawannya.

يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ

Mereka melihat lawan dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya

Siapa yang nampak siapa? Ada dua tafsir dalam ayat ini:

  1. Waktu itu kumpulan kafir nampak puak mereka berkali-kali ganda lebih ramai daripada puak Islam padahal bilangan mereka sebenarnya tiga kali ganda lebih ramai.
  2. Ataupun boleh juga bermaksud, mereka nampak puak Islam itu yang berkali-kali ganda lebih ramai daripada mereka, walaupun realitinya, mereka yang lebih ramai.

وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ

Dan Allah sentiasa menolong dengan pertolongan-Nya, sesiapa yang dikehendaki-Nya,

Walaupun puak kafir waktu itu lebih ramai daripada orang Islam, tetapi Allah ﷻ tolong orang beriman dan beri kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badr itu. Ramainya orang bukanlah alamat yang mereka pasti akan dapat kemenangan. Kemanangan bergantung kepada kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan menang.

إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ

Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang melihat

Ini adalah satu pengajaran sampai bila-bila masa.

Yang melihat adalah mereka yang kuat pemikiran sampai mendapat mengambil natijah daripada kesudahan sesuatu perkara. Mereka inilah yang boleh nampak realiti sesuatu perkara. Mereka tidak hanya melihat sahaja tetapi mereka memikirkan sekali apakah kesudahan yang boleh terjadi. Mereka boleh nampak yang tersurat kerana mereka menggunakan akal mereka.

Tafsir Ayat Ke-14

Allah ﷻ beritahu kenapa musyrikin menjadi degil – kerana kelebihan keduniaan yang ada pada mereka.

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ مِنَ النِّساءِ وَالبَنينَ وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعٰمِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu syahwat,

Segala nikmat yang ada dalam dunia ini hanyalah sampel sahaja, bukan yang “original” (asli). Sebagaimana handphone sampel tentunya tidak sama dengan handphone yang sebenar, bukan? Di syurga, nikmat yang ada nanti adalah yang asli. Contohnya madu di dunia adalah sampel kepada madu di syurga. Begitu juga dengan sutera, emas, perak dan macam-macam lagi.

Sampel itu nilainya tidak sama dengan yang asli, namun dinampakkan cantik sahaja di mata orang kafir itu. Yang sampel mereka nampak macam asli. Mereka nampak sampel itu cantik sahaja dan kerana itu mereka kejar sampai bersungguh-sungguh.

Sampaikan apabila sampel itu digugat, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menentang mereka yang menggugatnya. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang mereka nampak boleh menggugat keduniaan mereka, maka mereka lawan Nabi ﷺ habis-habisan.

Senarai yang diberikan dalam Al-Qur’an ini adalah untuk lelaki sahaja. Allah ﷻ tidak berikan senarai untuk perempuan kerana kehendak golongan perempuan amat kompleks. Kemahuan lelaki senang sahaja untuk disenaraikan (tiga ‘ta’: harta, wanita, tahta).

Manusia yang jauh daripada kebenaran itu hendak memuaskan nafsu syahawat mereka kesemua sekali. Mereka cinta dan hendak sangat untuk memuaskan nafsu. Bukannya kita tidak boleh memenuhi nafsu kita itu, tetapi yang salahnya adalah jika tidak ikut tertib yang diajar oleh Nabi ﷺ.

Sebagai contoh, tidak salah kalau kita hendak memenuhi nafsu makan, tetapi kenalah makan makanan yang halal; tidak salah untuk kita memuaskan nafsu hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan asalkan ia dilakukan dengan cara yang halal iaitu dengan pernikahan. Islam adalah agama yang praktikal dan tidak menolak kemahuan nafsu.

Jadi, nafsu itu ada banyak jenis, yang pertama sekali adalah kehendak kepada wanita, kemudian anak, dan kemudian harta yang bertimbun dan seterusnya. Dan sekarang Allah senaraikan kebiasaan yang dikehendaki nafsu manusia (terutama sekali lelaki)

مِنَ النِّساءِ

iaitu dari perempuan-perempuan

Yang pertama sekali, mereka mahukan wanita. Sebanyak mungkin yang boleh mereka dapati. Tanyalah kepada semua lelaki yang normal, inilah perkara pertama yang mereka kejar. Kalau zaman kuno dahulu, kedudukan wanita adalah rendah daripada lelaki, maka mereka jadikan wanita itu sebagai pemuas nafsu mereka sahaja.

Zaman sekarang, hubungan sesama lelaki dan perempuan sudah seperti tidak ada batasnya. Di mana-mana sahaja boleh nampak wanita yang cantik-cantik dan dihiasi dengan bermacam perkara yang menambahkan kecantikan mereka. Maka dugaan nafsu kepada wanita itu amatlah tinggi sekali.

Maka, dengan dugaan hebat seperti itu, adakah lelaki mampu untuk menahan dirinya? Kita tidak dapat nafikan yang ramai yang tergelincir.

Tidak salah kalau seorang lelaki hendak kepada wanita dan malah kalau hendak ramai wanita. Kehendak itu kadang-kadang tidak dapat dikawal. Tetapi yang mengawal kita adalah minda kita dan akhlak kita. Terutama sekali minda yang dipandu agama. Kita tidak ambil kesempatan kerana kita tahu sesuatu perkara itu salah di sisi agama.

وَالبَنينَ

dan anak-pinak

Yang kedua, mereka mahukan pengaruh. Disebut ‘anak-anak’ dalam ayat ini kerana anak-anak adalah lambang pengaruh, terutama sekali kalau anak lelaki.

Keinginan kepada anak-anak adalah normal. Anak-anak memang menjadi kebanggaan kepada para bapa. Mereka mungkin tidak cakap kepada anak itu (kadangkala golongan bapa penyegan hendak memuji anak), tetapi mereka amat berbangga dengan kejayaan anak. Allah ‎ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini bahawa ini adalah salah satu kehendak nafsu manusia. Kalau jumpa kawan-kawan dia, mesti dia akan cerita anak dia buat ini, buat itu.

Ada “instinct” (naluri) dalam diri seorang bapa untuk kelangsungan hidupnya. Dia memang tahu yang dia akan mati. Namun jauh di sudut hati dia, kalau dia ada anak, dia akan rasa yang anaknya itulah yang akan meneruskan keturunannya.

Seorang ayah juga ada keinginan mahukan anaknya menjaganya nanti di hari tuanya. Kerana dia tahu dia akan tua dan akan lemah. Waktu itu, dia akan bergantung kepada anaknya itu.

وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ

dan harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak;

Nafsu mahukan harta yang berlonggok-longgok. Kebanyakan manusia memang suka mengumpul harta. Dan memang tidak pernah cukup. Kalau sudah ada sejuta, mereka hendakkan sejuta lagi. Kalau sudah menjadi millionaire, dia hendak menjadi billionaire pula.

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu dia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048)

Disebut dalam ayat ini adalah ’emas dan perak’. Zaman sekarang kita tidak memegang emas dan perak lagi sebagai wang tukaran tetapi wang kertas kita sebenarnya adalah tersandar kepada emas dan perak dalam simpanan di dalam bank simpanan. Kita membawa wang kertas itu sebagai sandaran emas dan perak sahaja.

وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ

dan kuda peliharaan yang diasuh

Ini adalah isyarat kepada kenderaan. Zaman ketika ayat Al-Qur’an ini diturunkan, kuda adalah tunggangan dan kenderaan yang terpakai waktu itu. Sekarang tentunya tidak ramai yang menggunakan kuda lagi.

Digunakan dalam ayat ini: Kuda yang terpilih. Ini adalah kerana kenderaan pun ada banyak jenis. Tidak sama kereta Proton dan kereta BMW dan tidak sama kereta BMW dan kereta Rolls Royce. Manusia mahukan kenderaan yang terbaik sekali iaitu yang laju, yang mewah dan yang cantik.

Walaupun manusia sudah tidak menaiki kuda lagi, tetapi elemen kuda masih ada lagi. Lihatlah logo kereta-kereta mewah itu, banyak yang menggunakan lambang kuda, bukan? Kalau tidak ada lambang kuda pun, bukankah semua kereta dikira kekuatannya dengan ‘kuasa kuda’? Kalau kawan beli kereta baru, kita tanya dia : berapa “horsepower” kereta ini?

وَالأَنعٰمِ

dan binatang-binatang ternak

Ini merujuk kepada aset kekal. Kalau zaman Nabi ﷺ, ia adalah binatang ternakan. Zaman sekarang, ia merujuk kepada aset-aset dalam simpanan kita. Contohnya kepada barangan kedai kita, simpanan dalam gudang dan macam-macam lagi. Manusia akan cuba kumpul aset dunia sebanyak mungkin kerana aset ini nilainya selalu bertambah dari masa ke semasa.

وَالحَرثِ

serta tanaman yang dituai

Segala usaha manusia pada ternakan dan tanaman adalah untuk mendapatkan hasil di hujungnya. Kalau zaman sekarang dalam perniagaan, yang ditunggu adalah keuntungan di hujung tahun (fiscal year). Itulah yang ditunggu-tunggu oleh manusia.

ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا

Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia yang sementara.

Semua yang mereka kejar itu adalah kesenangan sementara sahaja semasa mereka hidup di dunia. Sampai saat kematian, mereka akan tinggalkan semuanya sekali.

Jangan anggap lain pula ayat ini. Bukan tidak boleh digunakan dan diambil manfaatnya daripada semua perkara yang telah disebutkan itu, namun kenalah mengikut tertib seperti yang Nabi ﷺ. Kena dapatkan dengan cara yang halal dan digunakan dengan cara yang halal. Dan jangan teruk sangat sampai menolak agama dan sampai lupa hendak amalkan agama.

Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah menolak dan melawan Nabi ﷺ sebab semua perkara ini. Mereka lihat ajaran baginda akan menggugat mereka, harta dan pengaruh mereka, maka kerana itu mereka tolak baginda.

Puak Islam pun suka juga kepada keindahan dunia tetapi mereka tidak menjadikan dunia itu sebagai penyebab untuk mereka hanyut dan alpa dengan dunia. Harta dan kemewahan sepatutnya dipegang di ‘tangan’ sahaja dan bukan sampai ke ‘hati’. Sebagai contoh, para sahabat itu sanggup meninggalkan segala keindahan dunia itu untuk pergi berjihad juga.

وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya

Semua perkara yang disebut di atas tidak akan memuaskan nafsu kita pun sebenarnya. Kalau sudah mendapat apa yang mereka kejar, mereka tidak rasa puas pun. Ada sahaja yang kita nampak lebih baik daripada apa yang kita ada, bukan? Kalau sudah ada isteri cantik, nanti akan nampak wanita yang lebih cantik daripada isteri kita; kalau sudah kaya, akan ada sahaja orang yang lebih kaya dan sudah timbul rasa tidak puas.

Ketahuilah bahawa hati kita ini tidak akan puas selama kita hidup di dunia ini. Kepuasan yang sebenar hanya ada di syurga sahaja. Inilah salah satu dalil yang mengatakan adanya syurga. Kerana kita sedar yang apa-apa sahaja di dunia ini tidak akan memuaskan kita, maka tahulah kita bahawa akan ada tempat yang kita akan rasa puas sepuas-puasnya, dan itulah di syurga.

Syurga itulah sebaik-baik tempat kembali. Maka hendaklah kita kejar syurga ini dengan beramal dengan amalan yang baik. Jangan terpesona sangat dengan dunia sampai lupa akhirat.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada utusan Nasrani dari Najran yang datang ke Madinah dengan segala kemewahan, sampaikan salib yang mereka pakai pun diperbuat daripada emas. Mereka keberatan untuk menerima Islam kerana mereka takut kemewahan mereka itu akan ditarik balik.

Juga dikatakan ada sahabat yang terpesona dengan kemewahan yang ada pada utusan Najran itu. Maka kerana itu diturunkan ayat ini kepada mereka sebagai peringatan.

Juga pada zaman sekarang ada orang yang nampak kebenaran Islam, tetapi tidak mahu masuk Islam kerana takut kemewahan mereka ditarik. Ada yang takut keluarga mereka akan buang mereka, ada yang takut perniagaan mereka akan jatuh, ada takut kawan sudah tidak mahu berkawan dengan mereka lagi. Maka Allah ﷻ ingatkan jangan sampai begitu sekali. Itu semua adalah dunia sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan