Utama Blog Halaman 305

Hiburan pada hari `Id.

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
81. Hiburan pada hari `Id.
 
دخل أبو بكرٍ، وعندي جاريتين من جواري الأنصارِ، تُغِّنيان بما تقاولتِ الأنصارُ يومَ بُعاثَ، قالت: وليستا بمُغنِّيتين، فقال أبو بكرٍ: أمزاميرَ الشيطانِ في بيتِ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم؟ وذلك في يومِ عيدٍ، فقال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: يا أبا بكرٍ، إن لكلَّ قومٍ عيدًا، وهذا عيدُنا.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري 
الصفحة أو الرقم: 952 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح] 
“Abu Bakar masuk (ke rumahku), di dalamnya 2 orang gadis Ansar menyanyikan peristiwa Bu`ats,” kata `A’isyah: “Kedua-duanya bukanlah daripada kalangan penyanyi.” Lalu Abu Bakar berkata: “Seruling syaitan di dalam rumah Rasulullah ﷺ?” Sedangkan waktu tersebut adalah hari `Id. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum ada perayaan, dan ini adalah perayaan kita.” – Shahih Al-Bukhari, no. 952.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Sebahagian `ulama’ berhujah dengan hadits di atas, dan berpendapat bahawa nyanyian adalah sesuatu yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Bakar, dan Rasulullah ﷺ sendiri tidak mengingkari kata-kata Abu Bakar tersebut. Namun begitu, baginda telah memberikan satu kelonggaran untuk menyanyi dan bermain alat muzik pada hari `Id.
 
2. Namun, sebahagiannya menolak hujah di atas, kerana jika nyanyian adalah suara syaitan, adakah ini bererti pada hari `Id nyanyian tidak lagi menjadi suara syaitan, dan selepas `Id nyanyian akan kembali menjadi suara syaitan? Atau pun adakah ini bererti suara syaitan dibenarkan pada hari `Id?
 
3. Sekiranya kita memilih pendapat yang mengharuskan, kita harus tahu bahawa terdapat beberapa syarat yang telah digariskan ketika ingin mendengar lagu dan muzik:
 
(a) Liriknya tidak mengandungi unsur-unsur yang haram atau dilarang, seperti syirik, pemujaan, seks, dan sebagainya.
 
(b) Tidak dinyanyikan dengan suara yang boleh menimbulkan fitnah.
 
(c) Tidak dijadikan kebiasaan.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Mengkhususkan ziarah kubur pada hari `Id.

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
82. Mengkhususkan ziarah kubur pada hari `Id.
 
1. Sebagaimana yang diketahui, umat Islam dituntut untuk menziarahi kubur, tanpa menetapkan waktu-waktu tertentu, agar dapat menimbulkan keinsafan, mengingat kematian, dan mendoakan mayit.
 
2. Namun, mengkhususkannya pada hari `Id tidak pernah disyari`atkan, bahkan tiada `ulama’ yang menganjurkannya.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Haram bersalaman dengan berlainan jantina yang bukan mahram

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
80. Haram bersalaman dengan berlainan jantina yang bukan mahram.
 
قلتُ لأنسٍ : أكانتِ المُصافَحَةُ في أصحابِ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ؟ قال : نعمْ .
الراوي : أنس بن مالك | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 6263 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح] 
Aku (Qatadah) bertanya kepada Anas: “Adakah para sahabat Nabi ﷺ saling bersalam-salaman?” Jawab Anas: “Ya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 6263.
 
واللهِ ما مَسَّتْ يدُه يدَ امرأةٍ قطُّ في المُبايَعَةِ ، وما بايَعَهنَّ إلا بقولِه .
الراوي : أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2711 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
“Demi Allah! Tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita lain ketika membai`ah. Tidaklah baginda membai`ah mereka, melainkan dengan ucapannya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 2711.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Berdasarkan kedua-dua hadits di atas, dapat kita simpulkan bahawa amalan bersalaman memang wujud di kalangan para sahabat Nabi ﷺ, namun ini hanya berlaku sesama jantina.
 
2. Maka tidak hairan sekiranya kita mendapati bahawa pendapat daripada keempat-empat mazhab juga melarangnya, melainkan sebahagian `ulama’ membolehkannya sekiranya aman daripada fitnah dan syahwat (sehinggakan mereka membezakan hukum antara wanita muda dan tua).
 
3. Antara kemungkaran yang sering terjadi pada hari `Id Al-Fitri adalah ikhtilath (iaitu percampuran antara lelaki dan wanita); sama ada bersalaman, bertepuk tampar, bergurau senda, sehinggakan ada saling yang berpelukan ketika bergambar. Ini semua merupakan kemungkaran yang sepatutnya dicegah oleh sesiapa yang melihatnya.
 
4. Bagi seorang lelaki dibolehkan baginya untuk bersalaman dengan mana-mana lelaki. Sedangkan daripada kalangan wanita, dia hanya boleh bersalaman dengan mahramnya, iaitu:
 
(a) Ibu (sama ada kandung atau tiri), nenek, moyang.
 
(b) Anak perempuan (sama ada kandung atau tiri), cucu perempuan, cicit perempuan.
 
(c) Kakak dan adik kandung.
 
(d) Adik beradik tiri, yang lahir daripada hasil perkahwinan bapa kandung dengan ibu tiri, atau hasil perkahwinan bapa tiri dengan ibu kandung.
 
(e) Kakak atau adik kepada bapa kandung atau ibu kandung (ibu saudara).
 
(f) Anak kandung kepada saudara kandung (anak saudara).
 
(g) Ibu susuan, adik-beradik susuan.
 
(h) Isteri kepada anak kandung (menantu).
 
(i) Ibu kepada isteri (mertua).
 
5. Sedangkan golongan-golongan berikut pula adalah bukan mahram, yang diharamkan bersalaman dengannya:
 
(a) Adik beradik tiri, yang lahir hasil perkahwinan ibu tiri dengan bekas suaminya, atau hasil perkahwinan bapa tiri dengan bekas isterinya.
 
(b) Isteri kepada adik beradik bapa dan ibu (ibu saudara).
 
(c) Adik beradik bapa mertua atau ibu mertua.
 
(d) Isteri kepada abang atau adik kandung (kakak atau adik ipar).
 
(e) Adik beradik isteri (kakak dan adik ipar).
 
(f) Anak kepada adik beradik isteri (anak saudara).
 
(g) Sepupu perempuan.
 
(h) Sepupu perempuan kepada ibu dan bapa.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa
Disediakan oleh: Ustaz Adli Khalim

Hukum ucapkan tahniah dan memohon maaf pada Hari ‘Id

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
78. Mengucapkan tahniah ketika bertemu orang lain.
 
كنتُ مع أبي أمامةَ الباهليِّ وغيرِه من أصحابِ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ، فكانوا إذا رجعوا من العيدِ يقولُ بعضُهم لبعضٍ : تقبَّل اللهُ منَّا ومنك
الراوي : محمد بن زياد | المحدث : الإمام أحمد | المصدر : المغني
الصفحة أو الرقم: 3/294 | خلاصة حكم المحدث : إسناده جيد
“Aku (Muhammad bin Ziyad) bersama Abu Umamah Al-Bahiliy dan selainnya daripada sahabat-sahabat Nabi ﷺ, apabila mereka pulang daripada solat `Id, mereka mengucapkan kepada satu sama lain: Semoga Allah menerima (amalan) daripada kami dan daripada engkau.” – Al-Mughni, 3/294.
* isnadnya jayyid (baik) menurut Ahmad.
 
كان أصحابُ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ إذا التقوْا يومَ العيدِ يقولُ بعضُهم لبعضٍ : تقبل اللهُ منَّا ومنكَ
الراوي : جبير بن نفير (تابعي) | المحدث : ابن حجر العسقلاني | المصدر : فتح الباري لابن حجر
الصفحة أو الرقم: 2/517 | خلاصة حكم المحدث : إسناده حسن
“Sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ apabila bertemu pada hari `Id, mereka mengucapkan kepada satu sama lain: Semoga Allah menerima (amalan) daripada kami dan daripada engkau.” – Fath Al-Bari, 2/517.
* isnadnya hasan menurut Ibn Hajar.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Tiada riwayat yang shahih daripada Nabi ﷺ mengucapkan tahniah kepada kaum muslimin pada hari `Id. Namun, terdapat riwayat daripada para sahabatnya dalam masalah ini. Oleh itu, dibolehkan untuk mengucapkan ucapan tersebut (iaitu ucapan تقبل اللهُ منَّا ومنكَ) ataupun ucapan lain yang semakna dengannya, contohnya: Selamat hari raya.
 
= = = = = = = = = =
79. Tidak boleh mengkhususkan memohon maaf pada hari `Id.
 
من كانت عنده مَظلمةٌ لأخيه فليتحلَّلْه منها ، فإنَّه ليس ثَمَّ دينارٌ ولا درهمٌ ، من قبلِ أن يُؤخَذَ لأخيه من حسناتِه ، فإن لم يكُنْ له حسناتٌ أخذ من سيِّئاتِ أخيه فطُرِحت عليه
الراوي : أبو هريرة | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 6534 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
“Sesiapa yang melakukan kezaliman kepada saudaranya, hendaklah dia meminta halal daripadanya (yakni meminta maaf daripadanya), kerana dinar dan dirham tidak lagi bermanfaat (di hari Qiyamah), sebelum diambil kebaikan yang dilakukannya dan diberikan kepada saudaranya. Sekiranya dia tidak lagi mempunyai kebaikan, akan diambil keburukan saudaranya dan diberikan kepadanya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 6534.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Terdapat banyak nas Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menganjurkan kita untuk meminta maaf kepada orang lain. Namun, tiada satu pun yang mengajarkan kita untuk meminta maaf hanya pada hari `Id Al-Fitri, sebagaimana yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.
 
2. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang hanya sempat bertemu saudara dan rakannya pada musim perayaan `Id Al-Fitri, maka dianjurkan untuk memohon maaf pada saat pertama kali mereka berjumpa (tidak sepatutnya menunggu sehingga tiba hari `Id Al-Fitri).
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Solat Id: Pergi dan pulang melalui jalan yang berbeza

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
77. Pergi ke tempat solat dan pulang daripadanya melalui jalan yang berbeza, sebaik-baiknya dengan berjalan kaki sekiranya tiada keuzuran.
 
كان النبيُّ صلى الله عليه وسلم ، إذا كان يومُ عيدٍ ، خالف الطريقَ.
الراوي : جابر بن عبدالله | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري 
الصفحة أو الرقم: 986 | خلاصة حكم المحدث: [صحيح]
“Nabi ﷺ pada hari `Id, baginda akan melalui jalan yang berbeza (ketika berangkat ke tempat solat dan ketika balik).” – Shahih Al-Bukhari, no. 986.
 
عن عليِّ بنِ أبي طالبٍ قال : من السُّنَّةِ ، أن تخرجَ إلى العيدِ ماشيًا ، وأن تأكلَ شيئًا قبل أن تخرجَ
الراوي : علي بن أبي طالب | المحدث : الترمذي | المصدر : سنن الترمذي 
الصفحة أو الرقم: 530 | خلاصة حكم المحدث : حسن 
Daripada `Ali bin Abi Thalib, katanya: “Antara amalan sunnah adalah berangkat ke tempat solat `Id dalam keadaan berjalan, dan makan sesuatu sebelum berangkat ke tempat solat.” – Sunan At-Tirmidzi, no. 530.
Kata At-Tirmidzi: Hasan.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Kata At-Tirmidzi, para `ulama’ suka sekiranya seseorang berjalan ke tempat solat, dan tidak menaiki kenderaan kecuali adanya suatu keuzuran.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Berkhutbah selepas solat `Id dan hukumnya..

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
75. Berkhutbah selepas solat `Id.
 
 شهِدْتُ العيدَ معَ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ وأبِي بكرٍ وعمرَ وعثمانَ رضِيَ اللهُ عنهمْ ، فَكَلُّهم كانوا يصلُّونَ قبلَ الخطْبَةِ .
الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 962 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
“Aku menyaksikan `Id bersama Rasulullah ﷺ, Abu Bakar, dan `Umar, dan `Utsman radhiyallahu `anhum, semuanya mengerjakan solat `Id sebelum khutbah.” –
Shahih Al-Bukhari, no. 962.
 
خرجَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يومَ فطرٍ أو أضحى . فخطبَ قائمًا ثمَّ قعدَ قعدةً ثمَّ قامَ
الراوي : جابر بن عبدالله | المحدث : الألباني | المصدر : ضعيف ابن ماجه
الصفحة أو الرقم: 235 | خلاصة حكم المحدث : منكر سندا ومتنا والمحفوظ أن ذلك في خطبة الجمعة
“Rasulullah ﷺ keluar pada hari `Id Al-Fitri atau Al-Adha, lalu baginda berkhutbah dalam keadaan berdiri, kemudian baginda duduk, dan kemudian baginda berdiri.” – Dha`if Sunan Ibn Majah, no. 235.
* Munkar menurut Al-Albani.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Khutbah `Id disampaikan selepas solat, berbeza dengan khutbah Juma`at. Inilah yang diamalkan oleh Rasulullah ﷺ, Abu Bakar, `Umar, dan `Utsman, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas.
 
2. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang khutbah selepas solat `Id; adakah imam menyampaikan 1 khutbah atau 2 khutbah?
 
(a) Jumhur daripada keempat-empat mazhab mengatakan khutbah `Id sama seperti khutbah yang lain (yakni 2 khutbah) dan diselangi dengan khatib duduk sebentar antara 2 khutbah. Bahkan ada yang mendakwa bahawa 2 khutbah selepas solat `Id adalah ijma`.
 
(b) Sebahagian `ulama’ yang lain pula mengatakan khutbah `Id hanyalah satu khutbah, kerana hadits yang menjadi pegangan jumhur adalah dha`if.
 
= = = = = = = = = =
 
76. Tidak diwajibkan mendengar khutbah selepas solat `Id.
 
 شهدتُ مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ العيدَ فلما قضى الصلاةَ قال إنا نخطبُ فمن أحبَّ أن يجلسَ للخطبةِ فلْيجلسْ ومن أحبَّ أن يذهبَ فلْيذهبْ
الراوي : عبدالله بن السائب | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1155 | خلاصة حكم المحدث : هذا مرسل عن عطاء
“Aku (`Abdullah bin As-Sa’ib) mengerjakan solat `Id bersama Rasulullah ﷺ. Setelah selesai solat, baginda bersabda: “Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Sesiapa yang suka untuk duduk mendengar khutbah, hendaklah dia duduk. Sesiapa yang suka untuk pergi, hendaklah dia pergi.” – Sunan Abi Dawud, no. 1155.
* Mursal menurut Abu Dawud.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Sebahagian `ulama’ mengatakan tidak wajib mendengar khutbah `Id, sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat di atas. Sebahagian yang lain pula tetap mewajibkannya memandangkan riwayat tersebut tidak shahih.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Masa Akhir Zakat Fitrah Dan Siapakah Yang Berkewajipan

0
🔴Bila masa akhir bayar zakat fitrah dan siapakah yang wajib menunaikannya.
Jawapan:
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
59. Zakat fitrah paling afdhal dikeluarkan sebelum berangkat ke tempat solat `Id.
 
 أمرنا رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بزكاةِ الفطرِ أن تُؤدَّى قبلَ خروجِ الناسِ إلى الصلاةِ قال فكان ابنُ عمرَ يُؤَدِّيها قبلَ ذلك باليومِ واليومينِ
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1610 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه
“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami untuk menunaikan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar ke tempat solat.” Katanya: “Ibn `Umar menunaikannya seharai atau dua hari sebelum hari `Id.” – Sunan Abi Dawud, no. 1610.
* shahih menurut Syu`aib Al-Arna’uth.
 
فرض رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زكاة الفطرِ طُهرَةً للصائمِ من اللغوِ والرفثِ وطُعْمَةً للمساكينِ من أدَّاها قبلَ الصلاةِ فهي زكاةٌ مقبولَةٌ ومنْ أدَّاها بعدَ الصلاةِ فهيَ صدقةٌ منَ الصدقاتِ
 الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1609 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه
Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan perkataan kotor, sekali gus untuk memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat `Id, maka itu adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat `Id, maka itu hanya sekadar sedekah. – Sunan Abi Dawud, no. 1609.
* hasan menurut Syu`aib Al-Arna’uth.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Waktu asal pelaksanaan zakat fitrah adalah antara solat Subuh dan solat `Id. Namun sebahagian `ulama’ berpendapat zakat fitrah boleh ditunaikan sehari atau dua hari sebelum `Id, sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn `Umar. Bahkan sebahagiannya mengatakan zakat fitrah boleh di awal Ramadhan.
 
2. Orang yang tidak sempat menunaikan zakat fitrah sebelum solat `Id tetap dikehendaki untuk menunaikan zakat fitrah, walaupun statusnya hanyalah seperti sedekah biasa.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
58. Zakat fitrah hukumnya wajib.
 
فرَض رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم زكاةَ الفِطرِ، صاعًا من تمرٍ أو صاعًا من شعيرٍ، على العبدِ والحرِّ، والذكرِ والأنثى، والصغيرِ والكبيرِ، من المسلمينَ، وأمَر بها أن تؤدَّى قبلَ خروجِ الناسِ إلى الصلاةِ .
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1503 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah, satu sha` tamar atau satu sha` gandum, ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, anak kecil dan orang dewasa, yang muslim, dan baginda memerintahkan untuk menunaikannya sebelum orang ramai keluar ke tempat solat. – Shahih Al-Bukhari, no. 1503.
 
فقال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم من سأل وعنده ما يُغنيهِ فإنما يَسْتكثِرُ من النارِ وقال النُّفَيلِيُّ في موضعٍ آخرَ من جمرِ جهنمَ فقالوا يا رسولَ اللهِ وما يُغْنِيهِ وقال النفيليُّ في موضعٍ آخرَ وما الغِنَى الذي لا تَنْبغِي معه المسألةُ قال قدرُ ما يُغَدِّيه ويُعَشِّيه وقال النُّفَيْلِيُّ في موضعٍ آخرَ أنْ يكونَ له شِبَعُ يومٍ وليلةٍ أو ليلةٍ ويومٍ
الراوي : سهل بن الحنظلية | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1629 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan api neraka.” (Kata An-Nufaili dalam riwayat yang lain: “… bara neraka Jahanam.”). Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apa yang dimaksudkan dengan yang cukup baginya?” (Kata An-Nufaili dalam riwayat yang lain: “Apakah yang dimaksudkan dengan cukup yang membuatkan dia tidak layak untuk meminta-minta?”) Jawab baginda: “Sekadar apa yang cukup untuknya makan siang dan malam.” (Kata An-Nufaili dalam riwayat lain: “Apa yang mengenyangkannya sehari semalam, atau semalam sehari.”). – Sunan Abi Dawud, no. 1629.
* shahih menurut Muqbil Hadi Al-Wadi`i.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. An-Nufaili adalah guru kepada Abu Dawud, dan beliau telah meriwayatkan hadits ini sebanyak 2 kali kepada Abu Dawud:
 
(a) Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan api neraka.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apa yang dimaksudkan dengan yang cukup baginya?” Jawab baginda: “Sekadar apa yang cukup untuknya makan siang dan malam.”
 
(b) Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan bara neraka Jahanam.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan cukup yang membuatkan dia tidak layak untuk meminta-minta?” Jawab baginda: “Apa yang mengenyangkannya sehari semalam, atau semalam sehari.”
 
2. Berdasarkan kedua-dua hadits ini, para `ulama’ membuat kesimpulan bahawa zakat fitrah diwajibkan kepada:
 
(a) Setiap muslim, sama ada lelaki atau wanita, sama ada orang yang merdeka atau hamba, sama ada dewasa atau kanak-kanak, dan
 
(b) Mampu mengeluarkan zakat, iaitu mereka yang mempunyai lebihan makanan untuk diri sendiri dan orang yang ditanggungnya pada malam `Id dan keesokan harinya.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Tatacara mengerjakan solat `Id

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
74. Tatacara mengerjakan solat `Id.
 
أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ كبَّر في العيدَين : في الأولى سبعًا قبل القراءةِ ، وفي الآخرة خمسًا قبلَ القراءةِ
الراوي : عمرو بن عوف المزني | المحدث : الترمذي | المصدر : سنن الترمذي 
الصفحة أو الرقم: 536 | خلاصة حكم المحدث : حسن وهو أحسن شيء روي في هذا الباب
“Nabi ﷺ bertabir dalam kedua-dua solat `Id sebanyak 7 kali dalam raka`at pertama sebelum qira’ah (membaca Al-Fatihah dan surah pilihan), dan sebanyak 5 kali dalam raka`at kedua sebelum qira’ah.” – Sunan At-Tirmidzi, no. 536. Kata At-Tirmidzi: Hasan, dan inilah hadits yang paling baik yang diriwayatkan dalam bab ini.
* tiada hadits yang shahih dalam bab ini menurut Ahmad.
* kata Al-Bukhari: “Tiada hadits yang lebih shahih daripada riwayat ini dalam bab ini, dan inilah peganganku.”
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Menurut At-Tirmidzi:
 
(a) Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah mengerjakan solat `Id dengan 7 kali takbir dalam raka`at pertama, 5 kali takbir dalam raka`at kedua. Ini jugalah pegangan `ulama’ Madinah, Malik, Asy-Syafi`i, Ahmad, dan Ishaq.
 
(b) Diriwayatkan pula daripada Ibn Mas`ud: “(Takbir untuk solat `Id adalah) 9 kali takbir; 5 kali takbir dalam raka`at pertama sebelum qira’ah, dan dalam raka`at kedua dimulakan dengan qira’ah terlebih dahulu, kemudian bertakbir 4 kali termasuk takbir untuk ruku`. Ini pegangan `ulama’ Kufah, dan Ats-Tsauri.
 
2. Tatacara untuk mengerjakan solat `Id:
 
(a) Mulakan solat seperti biasa dengan takbiratul ihram, membaca doa istiftah.
 
(b) Kemudian bertakbir (takbir zawa’id, iaitu takbir tambahan selain takbiratul ihram) sebanyak 7 kali.
 
(c) Tiada riwayat yang shahih daripada Nabi ﷺ tentang mengangkat kedua-dua tangan ketika takbir zawa’id. Namun, ini diamalkan oleh Ibn `Umar.
 
(d) Tiada riwayat yang shahih daripada Nabi ﷺ tentang zikir yang dibaca antara takbir-takbir zawa’id. Namun, menurut Ibn Mas`ud mengatakan antara takbir hendaklah bertahmid dan memuji Allah. Bahkan, diriwayatkan bahawa sebahagian salaf membaca:
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللهُ وَاَللهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي
 
(e) Membaca Al-Fatihah dan surah pilihan. Diriwayatkan dalam hadits shahih bahawa Rasulullah ﷺ, pernah membaca surah Qaf dalam raka`at pertama, sedangkan pada waktu yang lain baginda membaca surah Al-A`la.
 
(f) Kemudian ruku`, i`tidal, sujud seperti solat biasa.
 
(g) Bertakbir ketika bangkit untuk raka`at kedua.
 
(h) Selepas bangkit untuk raka`at kedua, bertakbir (takbir zawa’id) sebanyak 5 kali, mengangkat tangan dan membaca zikir sebagaimana yang disebutkan dalam point (c) dan (d).
 
(i) Membaca Al-Fatihah dan surah pilihan. Berdasarkan riwayat-riwayat yang shahih, apabila baginda membaca surah Qaf pada raka`at pertama, maka baginda akan membaca surah Al-Qamar pada raka`at kedua, dan sekiranya baginda membaca surah Al-A`la pada raka`at pertama, maka baginda akan membaca surah Al-Ghasyiyah pada raka`at kedua.
 
(j) Kemudian ruku`, i`tidal, sujud, tasyahhud, dan salam untuk mengakhiri solat `Id tersebut.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Tiada azan dan solat sunat sebelum solat `Id.

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
72. Tiada azan sebelum solat `Id.
 
صليتُ مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ العيديْنِ . غيرَ مرةٍ ولا مرتينِ . بغيرِ أذانٍ ولا إقامةٍ .
الراوي : جابر بن سمرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 887 | خلاصة حكم المحدث : صحيح
“Aku (Jabir) solat kedua-dua `Id bersama Rasulullah ﷺ bukan sekali atau dua kali, tanpa azan dan tanpa iqamah.” – Shahih Muslim, no. 887.
 
= = = = = = = = = =
 
 
73. Tiada solat sunat sebelum solat `Id.
 
أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم خرج يومَ الفطرِ ، فصلى ركعتين ، لم يصل قبلَها ولا بعدَها ، ومعه بلالٌ.
الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري 
الصفحة أو الرقم: 989  | خلاصة حكم المحدث: [صحيح]
“Rasulullah ﷺ keluar untuk solat `Id Al-Fitri, lalu baginda solat 2 raka`at, dan tidak lagi solat sebelumnya atau selepasnya, dan bersamanya Bilal.” – Shahih Al-Bukhari, no. 989.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Tempat mengerjakan solat `Id

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
71. Tempat mengerjakan solat `Id.
 
كان رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يخرجُ يومَ الفطرِ والأضحى إلى المصلى، فأولُ شيءٍ يبدأُ به الصلاةُ، ثم ينصرفُ، فيقومُ مقابلَ الناسِ، والناسُ جلوسٌ على صفوفِهم ، فيعِظُهم ويوصيهم ويأمرُهم
الراوي : أبو سعيد الخدري | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري 
الصفحة أو الرقم:  956  | خلاصة حكم المحدث: [صحيح]
“Rasulullah ﷺ keluar pada hari `Id Al-Fitri dan `Id Al-Adha ke tempat solat. Perkara pertama yang baginda lakukan adalah solat. Setelah baginda selesai, baginda berdiri dan menghadap ke arah orang ramai sedangkan mereka masih duduk dalam saf-saf mereka. Baginda menasihati mereka, berwasiat kepada mereka, dan memerintahkan mereka.” Shahih Al-Bukhari, no. 956.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Menurut An-Nawawi, hadits Abu Sa`id Al-Khudri di atas merupakan dalil bahawa solat `Id sebaik-baiknya dilakukan di tanah lapang dan ini lebih afdhal (lebih utama) daripada mengerjakannya di masjid.
 
2. Namun, sekiranya terdapat suatu keuzuran (seperti hujan, angin kencang), maka dibolehkan untuk mengerjakannya di dalam masjid.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Popular

Iklan

Iklan