Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil Haram bersalaman dengan berlainan jantina yang bukan mahram

Haram bersalaman dengan berlainan jantina yang bukan mahram

537
0
Iklan
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
80. Haram bersalaman dengan berlainan jantina yang bukan mahram.
 
قلتُ لأنسٍ : أكانتِ المُصافَحَةُ في أصحابِ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ؟ قال : نعمْ .
الراوي : أنس بن مالك | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 6263 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح] 
Aku (Qatadah) bertanya kepada Anas: “Adakah para sahabat Nabi ﷺ saling bersalam-salaman?” Jawab Anas: “Ya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 6263.
 
واللهِ ما مَسَّتْ يدُه يدَ امرأةٍ قطُّ في المُبايَعَةِ ، وما بايَعَهنَّ إلا بقولِه .
الراوي : أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2711 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
“Demi Allah! Tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita lain ketika membai`ah. Tidaklah baginda membai`ah mereka, melainkan dengan ucapannya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 2711.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Berdasarkan kedua-dua hadits di atas, dapat kita simpulkan bahawa amalan bersalaman memang wujud di kalangan para sahabat Nabi ﷺ, namun ini hanya berlaku sesama jantina.
 
2. Maka tidak hairan sekiranya kita mendapati bahawa pendapat daripada keempat-empat mazhab juga melarangnya, melainkan sebahagian `ulama’ membolehkannya sekiranya aman daripada fitnah dan syahwat (sehinggakan mereka membezakan hukum antara wanita muda dan tua).
 
3. Antara kemungkaran yang sering terjadi pada hari `Id Al-Fitri adalah ikhtilath (iaitu percampuran antara lelaki dan wanita); sama ada bersalaman, bertepuk tampar, bergurau senda, sehinggakan ada saling yang berpelukan ketika bergambar. Ini semua merupakan kemungkaran yang sepatutnya dicegah oleh sesiapa yang melihatnya.
 
4. Bagi seorang lelaki dibolehkan baginya untuk bersalaman dengan mana-mana lelaki. Sedangkan daripada kalangan wanita, dia hanya boleh bersalaman dengan mahramnya, iaitu:
 
(a) Ibu (sama ada kandung atau tiri), nenek, moyang.
 
(b) Anak perempuan (sama ada kandung atau tiri), cucu perempuan, cicit perempuan.
 
(c) Kakak dan adik kandung.
 
(d) Adik beradik tiri, yang lahir daripada hasil perkahwinan bapa kandung dengan ibu tiri, atau hasil perkahwinan bapa tiri dengan ibu kandung.
 
(e) Kakak atau adik kepada bapa kandung atau ibu kandung (ibu saudara).
 
(f) Anak kandung kepada saudara kandung (anak saudara).
 
(g) Ibu susuan, adik-beradik susuan.
 
(h) Isteri kepada anak kandung (menantu).
 
(i) Ibu kepada isteri (mertua).
 
5. Sedangkan golongan-golongan berikut pula adalah bukan mahram, yang diharamkan bersalaman dengannya:
 
(a) Adik beradik tiri, yang lahir hasil perkahwinan ibu tiri dengan bekas suaminya, atau hasil perkahwinan bapa tiri dengan bekas isterinya.
 
(b) Isteri kepada adik beradik bapa dan ibu (ibu saudara).
 
(c) Adik beradik bapa mertua atau ibu mertua.
 
(d) Isteri kepada abang atau adik kandung (kakak atau adik ipar).
 
(e) Adik beradik isteri (kakak dan adik ipar).
 
(f) Anak kepada adik beradik isteri (anak saudara).
 
(g) Sepupu perempuan.
 
(h) Sepupu perempuan kepada ibu dan bapa.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa
Disediakan oleh: Ustaz Adli Khalim

Komen dan Soalan