Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil Tatacara mengerjakan solat `Id

Tatacara mengerjakan solat `Id

232
0
Iklan
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
74. Tatacara mengerjakan solat `Id.
 
أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ كبَّر في العيدَين : في الأولى سبعًا قبل القراءةِ ، وفي الآخرة خمسًا قبلَ القراءةِ
الراوي : عمرو بن عوف المزني | المحدث : الترمذي | المصدر : سنن الترمذي 
الصفحة أو الرقم: 536 | خلاصة حكم المحدث : حسن وهو أحسن شيء روي في هذا الباب
“Nabi ﷺ bertabir dalam kedua-dua solat `Id sebanyak 7 kali dalam raka`at pertama sebelum qira’ah (membaca Al-Fatihah dan surah pilihan), dan sebanyak 5 kali dalam raka`at kedua sebelum qira’ah.” – Sunan At-Tirmidzi, no. 536. Kata At-Tirmidzi: Hasan, dan inilah hadits yang paling baik yang diriwayatkan dalam bab ini.
* tiada hadits yang shahih dalam bab ini menurut Ahmad.
* kata Al-Bukhari: “Tiada hadits yang lebih shahih daripada riwayat ini dalam bab ini, dan inilah peganganku.”
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Menurut At-Tirmidzi:
 
(a) Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah mengerjakan solat `Id dengan 7 kali takbir dalam raka`at pertama, 5 kali takbir dalam raka`at kedua. Ini jugalah pegangan `ulama’ Madinah, Malik, Asy-Syafi`i, Ahmad, dan Ishaq.
 
(b) Diriwayatkan pula daripada Ibn Mas`ud: “(Takbir untuk solat `Id adalah) 9 kali takbir; 5 kali takbir dalam raka`at pertama sebelum qira’ah, dan dalam raka`at kedua dimulakan dengan qira’ah terlebih dahulu, kemudian bertakbir 4 kali termasuk takbir untuk ruku`. Ini pegangan `ulama’ Kufah, dan Ats-Tsauri.
 
2. Tatacara untuk mengerjakan solat `Id:
 
(a) Mulakan solat seperti biasa dengan takbiratul ihram, membaca doa istiftah.
 
(b) Kemudian bertakbir (takbir zawa’id, iaitu takbir tambahan selain takbiratul ihram) sebanyak 7 kali.
 
(c) Tiada riwayat yang shahih daripada Nabi ﷺ tentang mengangkat kedua-dua tangan ketika takbir zawa’id. Namun, ini diamalkan oleh Ibn `Umar.
 
(d) Tiada riwayat yang shahih daripada Nabi ﷺ tentang zikir yang dibaca antara takbir-takbir zawa’id. Namun, menurut Ibn Mas`ud mengatakan antara takbir hendaklah bertahmid dan memuji Allah. Bahkan, diriwayatkan bahawa sebahagian salaf membaca:
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللهُ وَاَللهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي
 
(e) Membaca Al-Fatihah dan surah pilihan. Diriwayatkan dalam hadits shahih bahawa Rasulullah ﷺ, pernah membaca surah Qaf dalam raka`at pertama, sedangkan pada waktu yang lain baginda membaca surah Al-A`la.
 
(f) Kemudian ruku`, i`tidal, sujud seperti solat biasa.
 
(g) Bertakbir ketika bangkit untuk raka`at kedua.
 
(h) Selepas bangkit untuk raka`at kedua, bertakbir (takbir zawa’id) sebanyak 5 kali, mengangkat tangan dan membaca zikir sebagaimana yang disebutkan dalam point (c) dan (d).
 
(i) Membaca Al-Fatihah dan surah pilihan. Berdasarkan riwayat-riwayat yang shahih, apabila baginda membaca surah Qaf pada raka`at pertama, maka baginda akan membaca surah Al-Qamar pada raka`at kedua, dan sekiranya baginda membaca surah Al-A`la pada raka`at pertama, maka baginda akan membaca surah Al-Ghasyiyah pada raka`at kedua.
 
(j) Kemudian ruku`, i`tidal, sujud, tasyahhud, dan salam untuk mengakhiri solat `Id tersebut.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan