Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil Masa Akhir Zakat Fitrah Dan Siapakah Yang Berkewajipan

Masa Akhir Zakat Fitrah Dan Siapakah Yang Berkewajipan

111
0
Iklan
🔴Bila masa akhir bayar zakat fitrah dan siapakah yang wajib menunaikannya.
Jawapan:
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
59. Zakat fitrah paling afdhal dikeluarkan sebelum berangkat ke tempat solat `Id.
 
 أمرنا رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بزكاةِ الفطرِ أن تُؤدَّى قبلَ خروجِ الناسِ إلى الصلاةِ قال فكان ابنُ عمرَ يُؤَدِّيها قبلَ ذلك باليومِ واليومينِ
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1610 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه
“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami untuk menunaikan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar ke tempat solat.” Katanya: “Ibn `Umar menunaikannya seharai atau dua hari sebelum hari `Id.” – Sunan Abi Dawud, no. 1610.
* shahih menurut Syu`aib Al-Arna’uth.
 
فرض رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زكاة الفطرِ طُهرَةً للصائمِ من اللغوِ والرفثِ وطُعْمَةً للمساكينِ من أدَّاها قبلَ الصلاةِ فهي زكاةٌ مقبولَةٌ ومنْ أدَّاها بعدَ الصلاةِ فهيَ صدقةٌ منَ الصدقاتِ
 الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1609 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه
Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan perkataan kotor, sekali gus untuk memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat `Id, maka itu adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat `Id, maka itu hanya sekadar sedekah. – Sunan Abi Dawud, no. 1609.
* hasan menurut Syu`aib Al-Arna’uth.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Waktu asal pelaksanaan zakat fitrah adalah antara solat Subuh dan solat `Id. Namun sebahagian `ulama’ berpendapat zakat fitrah boleh ditunaikan sehari atau dua hari sebelum `Id, sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn `Umar. Bahkan sebahagiannya mengatakan zakat fitrah boleh di awal Ramadhan.
 
2. Orang yang tidak sempat menunaikan zakat fitrah sebelum solat `Id tetap dikehendaki untuk menunaikan zakat fitrah, walaupun statusnya hanyalah seperti sedekah biasa.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
58. Zakat fitrah hukumnya wajib.
 
فرَض رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم زكاةَ الفِطرِ، صاعًا من تمرٍ أو صاعًا من شعيرٍ، على العبدِ والحرِّ، والذكرِ والأنثى، والصغيرِ والكبيرِ، من المسلمينَ، وأمَر بها أن تؤدَّى قبلَ خروجِ الناسِ إلى الصلاةِ .
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1503 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah, satu sha` tamar atau satu sha` gandum, ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, anak kecil dan orang dewasa, yang muslim, dan baginda memerintahkan untuk menunaikannya sebelum orang ramai keluar ke tempat solat. – Shahih Al-Bukhari, no. 1503.
 
فقال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم من سأل وعنده ما يُغنيهِ فإنما يَسْتكثِرُ من النارِ وقال النُّفَيلِيُّ في موضعٍ آخرَ من جمرِ جهنمَ فقالوا يا رسولَ اللهِ وما يُغْنِيهِ وقال النفيليُّ في موضعٍ آخرَ وما الغِنَى الذي لا تَنْبغِي معه المسألةُ قال قدرُ ما يُغَدِّيه ويُعَشِّيه وقال النُّفَيْلِيُّ في موضعٍ آخرَ أنْ يكونَ له شِبَعُ يومٍ وليلةٍ أو ليلةٍ ويومٍ
الراوي : سهل بن الحنظلية | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1629 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan api neraka.” (Kata An-Nufaili dalam riwayat yang lain: “… bara neraka Jahanam.”). Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apa yang dimaksudkan dengan yang cukup baginya?” (Kata An-Nufaili dalam riwayat yang lain: “Apakah yang dimaksudkan dengan cukup yang membuatkan dia tidak layak untuk meminta-minta?”) Jawab baginda: “Sekadar apa yang cukup untuknya makan siang dan malam.” (Kata An-Nufaili dalam riwayat lain: “Apa yang mengenyangkannya sehari semalam, atau semalam sehari.”). – Sunan Abi Dawud, no. 1629.
* shahih menurut Muqbil Hadi Al-Wadi`i.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. An-Nufaili adalah guru kepada Abu Dawud, dan beliau telah meriwayatkan hadits ini sebanyak 2 kali kepada Abu Dawud:
 
(a) Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan api neraka.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apa yang dimaksudkan dengan yang cukup baginya?” Jawab baginda: “Sekadar apa yang cukup untuknya makan siang dan malam.”
 
(b) Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan bara neraka Jahanam.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan cukup yang membuatkan dia tidak layak untuk meminta-minta?” Jawab baginda: “Apa yang mengenyangkannya sehari semalam, atau semalam sehari.”
 
2. Berdasarkan kedua-dua hadits ini, para `ulama’ membuat kesimpulan bahawa zakat fitrah diwajibkan kepada:
 
(a) Setiap muslim, sama ada lelaki atau wanita, sama ada orang yang merdeka atau hamba, sama ada dewasa atau kanak-kanak, dan
 
(b) Mampu mengeluarkan zakat, iaitu mereka yang mempunyai lebihan makanan untuk diri sendiri dan orang yang ditanggungnya pada malam `Id dan keesokan harinya.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan