Utama Blog Halaman 294

02.06.02#290415: HADITS DHA’IF & PERBAHASANNYA (الضعيف ومسائله)

0

Nota 02.06.02 Pembahagian Hadits al-Mardud (المردود)

HADITS DHA’IF & PERBAHASANNYA (الضعيف ومسائله)

Susunan: BroSyarief

Secara UMUM, kesemua hadits-hadits Mardud juga disebut sebagai Dha’if, dan dibahagikan kepada banyak peringkat yang akan dinyatakan kemudian.

Dha’if secara bahasa bermaksud Lemah, sebagaimana ia juga digunakan dalam BM. Iaitu berlawanan dengan Kuat.

Adapun menurut ulama hadits, Dhaif merujuk kepada ‘Hadits-hadits yang tak terhimpun lengkap padanya syarat-syarat hadits Maqbul’.

Hadits-hadits yang Mardud atau Dha’if mempunyai pecahan yang sangat banyak sehingga para ulama hadits berbeza pendapat akan jumlahnya.

Tetapi ia diringkaskan terbahagi kepada dua kategori sebab yang utama menyebabkan hadits itu tertolak:

1) السقط من الإسناد – Gugur Periwayat pada Sanad
2) الطعن في الراوي – Kritikan Terhadap Periwayat

Dan hadits-hadits Dha’if juga mempunyai peringkat-peringkat, bermula dari yang paling kurang tahap kelemahannya sehinggalah yang paling dahsyat.

1) al-Mudho’’af (المُضَعَّف) – Yang diperselisihi kelemahannya
2) al-Dha’if (الضعيف) – Lemah
3) al-Dha’if Jiddan (الضعيف جدا) – Sangat lemah
4) al-Munkar (المنكر)
5) al-Wahi (الواهي)
6) Awha al-Asaanid (أوهى الأسانيد)
7) al-Maudhu’ (الموضوع) – Palsu

Nota seterusnya akan mengupaskan hukum menyampaikan dan menyebutkan hadits Dha’if dan hukum beramal dengannya.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Kelas #14 | Ulum Hadith

0

 

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini. Wa ba’d

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah.

Sebelum kita mula, suka saya memperingatkan bahawa kita sekrang berada dalam bulan Zul-Qaedah. Zul-Qaedah iaitu salah satu bulan al-Haram yang mulia. Zul-Qaedah, Zul-Hijjah serta Muharram. Dianjurkan membanyakkan amal sunnah, serta menjauhi persengketaan. Dan juga bagi mereka yang masih berbaki puasa qadha Ramadhan, boleh menggantinya pada bulan ini.

Sama-sama mempertingkatkan amal pada bulan Haram ini, memperkukuh keikhlasan aqidah, moga Allah menjadikan kita semua para hambaNya yang beribadah kepadanya dengan keikhlasan

Baik.

Pada minggu lepas, kita telah berdiskusi berkenaan topik al-Thiqah. Kita telah lihat definisi Thiqah dari segi istilah iaitu perawi yang mempunyai “adil dan dhabit” secara bersama, maka dia thiqah. Telah kita berbincang berkenaan apa itu ‘adil dan apa itu dhabit secara rinci pada kelas yang lalu.

Pada malam ini insyaAllah kita akan lihat dengan lebih lanjut berkenaan istilah Thiqah, jika dulu kita melihatnya dari segi istilah, malam ini kita akan melihat penggunaannya secara luar istilah.

Al-Thiqah secara istilah ialah perawi yang baginya sifat ‘adil serta dhabit secara bersama. Ini adalah maksud istilah. Namun kita perlu berhati-hati, kerana para huffaz hadith biasa menggunakan istilah Thiqah ini bukan dengan maksud istilah.

Sebahagian huffaz hadith biasa menggunakan istilah Thiqah dengan maksud ‘adil sahaja tanpa dhabit. Sebahagiannya pula menggunakan istilah thiqah ini bagi perawi majhul yang meriwayatkan satu hadith yang tidak diingkari. Dan pelbagai lagi.

Bahkan sebahagian mutaakhkhirin biasa menggunakan istilah thiqah bukan dengan maksud ‘adil dan bukan dengan maksud dhabit!. Mereka gunakan istilah thiqah bagi mereka yang telah hadir ke majlis sama’ hadith semata-mata, walaupun dia tidak ‘adil dan tidak dhabit.

Thiqah di sini bermaksud fulan itu memang benar hadith majlis sama’ (mendengar) dan qiraah (membaca) hadith dari Syaikh itu, dan telah thabit dia bertemu dan mendengar hadith itu dari Syaikh itu. Maka dia di sebut sebagai thiqah, walaupun dia tidak ‘adil dan tidak dhabit!

Pelajar : Ertinya ada perbezaan definisi diantara `ulama?

Dr. Fathi : Bukan berbeza definisi, tetapi penggunaan istilah yang sama dengan maksud yang bukan istilah.

Definisi thiqah secara istilah tetap sama dan ia disepakati, iaitu perawi yang baginya berkumpul sifat ‘adil dan dhabit. Mereka yang begini disebut thiqah dari segi istilah, dan hadith mereka diterima secara asasnya. Namun di sana ada sebahagian huffaz menggunakan istilah thiqah bukan dengan maksud istilah.
Misalnya mereka berkata kepada seorang rawi “dia thiqah dan tidak dibuat hujah”.

Apa ini? Thiqah namun tidak dibuat hujah??

Thiqah di sana bukan dengan maksud istilah. Thiqah di sana bermaksud ‘adil. Iaitu dia seorang yang baik agamanya, dipercayai. Namun dia tidak dhabit. Maka hadithnya Dhaif secara asasnya

Pelajar : Bagaimana ingin kenal maksud thiqah seperti yg disebutkan `ulama itu Dr?

Dr. Fathi : Kita akan lihat contohnya nanti.

Baik.

Al-Syaikh al-‘Allamah al-Mu’allimi al-Yamani dalam bukunya al-Istibsar menyenaraikan penggunaan istilah thiqah oleh para nuqaad hadith dengan maksud yang berbeza. Beliau menyenaraikan 7 :

  1. Sebahagian nuqaad menggunakan istilah thiqah hanya untuk mereka yang tinggi darjat ‘adil dan dhabitnya.
  2. Sebahagian nuqaad pula menggunakan istilah thiqah bagi semua tingkatan ‘adil dan dhabit, walaupun rendah.
  3. Sebahagian yang lain pula menggunakannya dengan maksud ‘adil semata-mata, tanpa dhabit
  4. Sebahagiannya pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang meriwayatkan 1 hadith dan hadithnya turut diriwayatkan oleh mereka yang lain (yang thiqah dan tidak majhul).
  5. Sebahagian yang lain pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang meriwayatkan 1 hadith dan hadithnya mempunyai shahid.
  6. Sebahagian lainnya pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang meriwayatkan 1 hadith, dan hadithnya tidak diingkari
  7. Sebahagian pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang hadithnya diriwayatkan oleh mereka yang thiqah.

Demikian 7 contoh penggunaan istilah al-Thiqah.

Pelajar : No 7 dan 4 itu nampak seperti sama Dr?

Dr. Fathi : Tak sama.

No.4, perawi itu majhul, namun dia hanya riwayat 1 hadith saja, dan 1 hadith yang dia riwayat itu pula turut diriwayatkan juga oleh mereka yang lain yang thiqah. Maka dalam kes ini, sebahagain huffaz tidak memanggilnya majhul namun menyebutnya sebagai thiqah.

Hadithnya itu Sahih. Bukan kerana dia, tetapi kerana ia sememangnya Sahih dan dibawa oleh mereka yang lain yang thiqah. Maka tidak salah menyebut si majhul itu sebagai thiqah.

No.7, perawi itu majhul, namun hadith-hadithnya diambil oleh para thiqah, iaitu para thiqah meriwayatkan hadith-hadithnya, terutamanya para imam-imam thiqah yang dikenal tidak akan meriwayat hadith kecuali dari mereka yang thiqah. Maka di sini, ia indikasi bahawa fulan majhul itu thiqah

Baik, saya jelaskan satu-persatu.

Bagi jenis 1&2, tiada masalah, ia sebenarnya adalah penggunaan dari segi isitlah. Hanya saja sebahagian hanya akan menggunakan istilah thiqah bagi perawi yang tinggi darjat ‘adil dan dhabitnya, sebahagian lain tidak kisah, asal adil dan dhabit maka di nama thiqah.

Bagi jenis ke-3, ini penggunaan bukan istilah. Perawi itu ‘adil namun dia tidak dhabit. Maka hadithnya secara asasnya Dhaif. Ingat penggunaan istilah thiqah bagi dia bukan dengan maksud ‘adil dan dhabit, tetapi ‘adil saja. Adil saja tidak cukup untukt hadith diterima.

Bagi ke-4&5, perawi majhul itu meriwayatkan 1 hadith, dan 1 hadith itu juga diriwayatkan oleh para thiqaat. Maka secara tidak langsung, si majhul ini adalah thiqah, kerana hadithnya betul menepati para thiqaat. Dan dia hanya bawa 1 hadith itu saja.

Bagi ke-6, dia majhul namun hadithnya tidak diingkari, semua para huffaz menerima Sahih hadithnya, maka secara tidak langsung dia thiqah

Yang ke-7 telah saya jelaskan sebelum ini.

Penting untuk kita mengetahui hal ini agar kita tidak salah faham kenyataan para imam-imam hadith. Misalnya al-Imam Ibn Sa’ad pengarang kitab al-Tabaqat. Beliau sering menggunakan istilah thiqah dengan maksudn’adil saja. Misalnya berkata Ibn Sa’ad kepada Musa bin ‘Ubaidah: “seorang yang thiqah, banyak hadithnya, dia bukanlah hujah”.

Apa ini? Tadi kata thiqah, kemudian bukan hujah pula???

Perlu kita faham thiqah yang dimaksudkan Ibn Sa’ad itu adaah ‘adil. Maksudnya dia seorang yang ‘adil, banyak hadith, tidak dibuat hujah kerana dia tidak dhabit.

Contoh lain, ditanya kepada al-Imam Uthman bin Abi Syaibah berkenaan ‘Ash’ash, maka jawab al-Imam Ibn Abi Syaibah “thiqah”, ditanya lagi kepadanya “adakah dia boleh dibuat hujah?”, maka jawab al-Imam “adapun untuk dibuat hujah, tidak”.

Thiqah apa jika tidak dibuat hujah??

Fahamlah di sini maksud thiqah itu ialah ‘adil saja bukan dhabit.

Faham?

Perkara ini juga penting apabila kita mengkaji status seseorang rawi yang kita lihat seperti wujud percanggahan penilaian. Misalnya satu rawi yang sama, seorang imam jarh dan ta’dil menyatakan dia thiqah, seorang lagi berkata dia kazzab!

Maka adakah di sini telah wujud perbezaan pendapat??

Tidak mesti

Kerana boleh jadi imam yang berkata dia thiqah itu, thiqah yang dia maksudkan ialah ‘adil semata-mata, iaitu agamanya bagus. Manakala imam yang berkata dia kazzab itu bermaksud dia tidak dhabit dan berdusta dalam periwayatan hadith.

Mereka memberi hukum atas dua perkara yang berbeza. Namun secsra hakikatnya perawi itu Dhaif dengan kesepakatan kedua imam itu. Boleh juga untuk seorang rawi yang sama, seorang imam berkata dia soduq (segi istilah: ia thiqah yang bawah), namun imam yang lain berkata fia dhaif. Adakah telah wujud perbezaan dalam menilai rawi ini?

Tidak mesti!

Kerana boleh jadi imam yang berkata dia soduq itu, dia maksudkan ‘adil, iaitu dia bercakap benar dalam percakapannya tidak menipu, namun dari segi hafazan hadithnya dia amat lemah tidak dhabit, maka dia dhaif dalam hadith.

Imam yang berkata dia dhaif itu pula memberi komentar berkenaan riwayat hadithnya. Maka secara hakikatnya tiada khilaf bagi penilaian rawi itu, bahkan sepakat kedua imam itu akan dhaifnya perawi itu tadi.

Maka setakat itu saja kelas kita pada malam ini. Kita akhiri dengan tasbih kafarah. Dan saya berpesan kepada semua penuntu ilmu hadith sebagaimana pesan guru saya Mahir al-Fahl “jangan lupa menela’ah al-Quran”.

Bertemu lagi pada kelas mendatang insyaAllah.

 


 

Soalan yang berkaitan minggu ke-14:

S: Saya ada soalan ustaz, kalau rawi itu dituduh kazzab tu bukan kah الطعن pada ‘adalah?. Kalau macam itu macam mana nak dijamakkan antara thiqah dengan kazzab? atau kazzab boleh juga dengan maksud banyak sangat salah? Sebab kalau dikira kalimah kazzab itu kritikan pada ‘adalah maka salahlah imam ibn sa’d untuk itlaqkan kalimah thiqah dengan maksud ‘adl iaitu terselamat dari celaan pada ‘adalah. Mohon penerangan dari ustaz.

J: Kazzab boleh juga maksudnya banyak salah, dan boleh juga dijama’kan dengan maksud kazzab itu ialah kazzab mazhab dan pendapatnya dalam fiqh bukannya dalam periwayatan hadith. Maka dalam ini dia thiqah dalam hadith.

 

Iman Yang Paling Utama dan Cabang-cabangnya

0

Oleh Ustaz Azril Ismail

Bismillah,Alhamdulillah
Wa Solatu Wa Salaamu Ala Rasulillah.
Assalamualaikum.

Himpunanan bicara cabang- cabang Iman

Sila ulang baca, ulang sampaikan InsyaAllah
Hari ini dan esok.

“Telah menceritakan kepada kami Zuhair bin Harb, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Suhail, dari Abdullah bin Dinar, dari Abu Shalih, dari Abu Hurairah, dia berkata, “”Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “”Iman itu ada tujuh puluh tiga sampai tujuh puluh sembilan, atau enam puluh tiga sampai enam puluh sembilan cabang. Yang paling utama adalah perkataan, LAA ILAAHA ILLALLAHU (Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah). Dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. Dan malu itu adalah sebagian dari iman.“””

Hadis Riwayat Muslim dalam Sahihnya

Bismillah walhamdulillah
wa solatu wa salaamu ala Rasulillah.
selawat.

Baik hadis mengenai cabang-cabang iman ni.. disebut oleh Al BUKHARI MUSLIM dan Imam Ahmad. Semuanya riwayat dari Abu HURAIRAH RA.

Pertama sekali Iman..
kedua cabang cabang
ketiga cabang paling afdol..
keempat sifat malu
kelima cabang paling rendah..

Baik ada 5 perkara yang kita perlu tahu,faham dan amal untuk hadis ini. Iman sesuatu yang diperintah oleh Allah swt untuk kita benarkan dalam hati, sampaikan dengan lafaz dan diamalkan dengan tindakan..

Cabang cabang, dengan maksud ianya berhubung dengan Iman tadi, setiap sesuatu yang bercantum dan mempunyai asal dari Iman maka ianya adalah cabang cabangnya. Iman atau bahagian Iman atau Cabang Iman yang paling utama.. PERKATAAN.

La ilaha illa Allah.
qaul yakni perkataan adalah sebutan yang memberi maksud dan ianya ditutur atas tujuan tertentu.
Baik apakah PERKATAAN tersebut

La – tiada (menafikan)
ilaha – Tuhan (yang ada kuasa)
illa – kecuali (hanya atau isbat atau menetapkan)
siapa ? apa ?
ALLAH ( nama bagi Tuhan yang Esa , yang menyebut diriNya didalam wahyu yang diturunkan kepada semua nabi nabi)

Baik dengan ucapan ini maka telah tercantum dan terhubunglah dengan IMAN.. dan setiap tindakan yang sabit dalam perintah yang dimaksudkan dalam kalimah ini ianya cabang cabang bagi Iman.

Siapa yang mula mula ajar dan sampaikan dan tinggikan kalimah ini ?
Rasul Rasul yang ajar kalimah ni.. dan Rasul yang terakhir adalah Muhammad saw.

Perkara ke empat, Malu. Apa sebenarnnya Malu, malu akan jadi atau akan dirasai bila kita perbuat sesuatu yang diluar kebiasaan dan amalan setempat. Misalnya orang Melayu malu bila ditegur pakai baju baru, bila di tegur merah muka dan rasa something.. malu bila ada yang puji. Kenapa perasaan ni datang, sebab kita buat tu diluar kebiasaan kita..
Malu yang dimaksudkan sini adalah Malu daripada berbuat luar kebiasaan Iman…

Perkara ke lima bahagian dan cabang Iman paling rendah.. buang duri atau halangan dijalanan. Kenapa paling rendah sebab perkara ini boleh dibuat oleh mereka yang tiada Iman dengan Allah.. dan semua orang boleh buat.. dengan kata lain kalau orang yang beriman dengan Allah dan RasulNYA tak buat benda ni mana bukti iman dia.. Mana pergi malu dia ?

Baik, cerita sikit Abu Hurairah sahabat yang riwayatkan hadis ni datang belajar dengan Rasulallah saw pada tahun ke 7 H. maknanya 3 tahun sebelum kewafatan baginda saw. Dalam 3 tahun tu beliau belajar semua cabang cabang Iman.. Dalam Musnad Ahmad bab Musnad Abu Hurairah, ke empat-empat matan hadis cabang iman ni ada disebut..

Wallahu a’lam bi sowwab.

Insya Allah kita sambung
Cabang İman yang pertama sekian banyak yang di sebut dalam hadis 60 hingga 79 cabang lebih, maka yang pertama kita membicarakan cabang iman dalam hal PERKATAAN LA İLAHA İLLA ALLAH
ianya cabang utama..dan paling afdol.
seperti yang disebut semalam apa definisi İman ? boleh sorang forward ..
Iman sesuatu yang diperintah oleh Allah swt untuk kita benarkan dalam hati, sampaikan dengan lafaz dan diamalkan dengan tindakan. Perkataan La ilaha illa Allah ni juga diperintah oleh Allah swt untuk dibenarkan dalam hati, untuk di taqrir dan ditabligh melalui lafaz lidah atau bahasa isyarat yang difahami.. serta diamalkan.

Terjadinya Perang Siffin: Tanda Kiamat Ke-9

0

Tanda Kiamat Ke-9/131
Terjadinya Perang Siffin (perang besar antara sahabat)

Dalil hadith akan perkhabaran Nabi saw itu ialah:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَقْتَتِلَ فِئَتَانِ عَظِيمَتَانِ يَكُونُ بَيْنَهُمَا مَقْتَلَةٌ عَظِيمَةٌ دَعْوَتُهُمَا وَاحِدَةٌ
الراوي : أبو هريرة المحدث : البخاري
المصدر : صحيح البخاري الصفحة أو الرقم: 7121

Terjemahan: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga dua kelompok besar saling berperang dan banyak terbunuh di antara dua kelompok tersebut, yang seruan mereka adalah satu” HR Bukhari, no 7121 dan juga Muslim

Selepas fitnah pembunuhan Uthman ra dan perang Jamal, inilah tanda Kiamat kecil yang dimaksudkan oleh hadith di atas menurut Imam Ibn Hajar dalam al-Fath (Jld 13).

Siffin adalah di tepi sungai Furat di Iraq dan jumlah kematian di kedua-dua belah pihak ialah besar sekitar 70,000 menurut Ibn Hajar.

Fiqh hadith:
1. Ia adalah tanda kecil Kiamat yang telah terjadi pada tahun 37H

2. Perang siffin merubah senario umat islam selamanya, antaranya:

a) Munculnya fitnah puak Khawarij, juga tanda Kiamat no. 10
b) Adanya dua khalifah dalam satu umat Islam, Kerajaan Islam Syria pimpinan Muawiyah ra dan kerajaan Islam yang sah di Kufah pimpinan Ali ra.

3. Sikap ASWJ terhadap perang di antara sahabat Nabi saw

a) Sikap yang sahih ialah boleh membaca kisah perang Siffin semata-mata atas dasar ingin tahu dengan membaca dari sumber sejarah yang muktabar dan neutral, antaranya Ibn al-Arabi, al-Awashim, ta’alid Muhibudin al-Khatib, Fathul Bari, dan Ibn Katsir, al-Bidayah.
b) Mengkritik dan mengomentari dan menghukum siapa yang salah dalam perang tersebut adalah dilarang keras. Walaupun sahabat bukan maksum, tapi mereka adalah manusia yang terbaik yang lahir dari asuhan nabi dan perang tersebut adalah antara kesalahan mereka dalam ijtihad masing-masing dan Allah telah mengampuni mereka berdua, Ali dan Muawiyah).
c) Terjadinya perang tersebut adalah mukjizat yang Nabi telah khabarkan melalui hadith di atas, ia berlaku utk pengajaran dan iktibar utk umat yang kemudian

Rumusan:

Sikap Ahli sunnah ialah menahan diri dari membuat ulasan terhadap mana-mana pihak dalam perang jamal dan siffin kerana ia menyalahi sunnah dan hadith dimana Nabi melarang umat kemudian dari membicarakan akan sahabat baginda.

Sekian tamat.

 

Maaf tuan…kalau saya salah tempat bertanya…perangn siffin tu bila berlaku…
Jawapan: Ni bilik pasal Kiamat dan tandanya. Sejarah bilik lain…

Perang Siffin adalah perang sedara antara Muawiyah dan Ali, ini tanda kecil Kiamat. Ia berlaku pada tahun 37 hijrah. Perang badar masa Nabi, berlaku tahun 2 Hijrah. Kena beli buku Raheeq Makhtum, kitab seerah

 

Adakah peperangan Siffin dan Jamal itu sama ??
Jawapan: Perang Jamal, perang antara Aisyah dan Ali; Perang Siffin antara tentera Muawiyah dan Ali

 

Adakah yang menjadi tentera-tentera Saidina Ali orang-orang Syiah ?? Bagaimana?
Jawapan: Syiah dalam arabic maksudnya penyokong…maka tentera ali dinamakan syiah ali dan tentera muawiyah, syiah muawiyah.
Selepas tu barulah jadi syiah rafidah, yakni syiah yang melampaui batas. Menjadikan Ali divine atau sakti atau maksum
Syiah melampau ni muncul selepas terbunuhnya al-Husin bin Ali di Karbala
pada tahun 61 hijrah. Siffin pada tahun 37 hijrah…dari 37 hijrah hingga 61 hijrah tu syiah mula menyeleweng.

 

Assalam Ustaz THTL siapa kepala syiah masa tu adakah Abdullah bin Saba’
Jawapan: Abdullah bin Saba’ ni yahudi, dia tukang cucuk je…mungkin kat sini tak sesuai nak hurai isu syiah…nanti lari dari fokus

 

Sebelum peperangan Siffin dan Jamal siapakh khalifah yang sebenarnye…kenapa berlaku demikian tuan THTL…
Jawapan: Sebaik sahaja Uthman terbunuh, ahlil Medinah membaiah Ali, maka Ali adalah yang sah. Namun masa tu musim haji dan ramai sahabat berada di mekah, antaranya Aisyah ummul mukminin dan Talhah. Para sahabat yang berada di mekah termasuk Aisyah. Krisis Aisyah, Talhah ni terjadilah perang jamal.

Muawiyah yang menjadi gabenor Syria juga enggan memberi bai’ah selagi Ali tidak menangkap pembunuh Uthman. Maka krisis ini membawa kepada perang siffin.

 

Bagaimana pendirian memandang kes ini tuan…kerana mereka semua sahabat nabi saw… sedangkan Ali adalah khalifah dan pemerintah?
Jawapan: Ali ra terperangkap antara bai’ah khalifah dan penangkapan pembunuh Uthman. Pembunuh Uthman tidak dapat ditangkap kerana bilangan pemberontak yang ramai dan pada masa tu tak ada Polis dan forensik.
Saya dah kasi pandangan ahli sunnah terhadap fitnah sahabat, kita tidak membicarakan siapa yang salah kerana sahabat semuanya adil dan mujtahid.

 

Bagaimana Ali ra boleh berpindah pemerintahan ke negara Iraq tuan? Sebelum ni 3 khalifah di Madinah.
Jawapan: Dia nak fokus kepada wilayah yang baru dan mengimbangi kekuatan Muawiyah di syria.
Jika Ali kontrol Iraq, Iran dan wilayah timur, maka dia memiliki kekuatan seimbang
perang siffin ni sebenarnya perang antara syria dan Iraq…
sahabat medinah dan mekah tak masuk campur. Siffin pun lokasinya di Iraq.

 

Orang Parsi, Iraq dan iran….dari dulu memang bermasalah?
Jawapan: Mereka adalah superpower dan rasa amat hina bila kena jajah dengan bangsa arab yang depa anggap primitif dan bekas jajahan takluk mereka…maka syiah adalah agenda Farsi untuk menebus kembali kehinaan mereka…sekarang mereka berjaya merampas kembali Iraq dan sekarang di Yemen melalui Houti, mereka juga berkembang di Lebanon, GCC dan Pakatan.

 

Saya ada persoalan yang lebih sikit, ustaz siapakah pembunuh sebenar saidina husain di karbala’ 61 h? saya banyak cerita yang celaru ada setengah kata yazid adakata syiah???
Jawapan: Khalifah yang sah ketika itu ialah Yazid bin Muawiyah. Beliau dilantik oleh majlis syura yang dipengerusikan oleh muawiyah,
manakala al-Husin bin Ali tidak menerima kepimpinan yazid dan dia menuju ke Iraq, pusat kuasa ayahnya Ali bin Abi Thalib. Yazid mengarahkan tenteranya pimpinan Ubaidillah bin Ziyad untuk menghalang al-Husin dari sampai ke Iraq bukan membunuhnya. Maka yang membunuh al-Husin ialah Ubaidillah bin Ziyad yang mengendalikan Ops sekat al-Husin. tapi dia tidak dihukum oleh Yazid.

02.06.01#280415 : KATEGORI-KATEGORI HADITS AL-MARDUD

0

Nota 02.06.01 Pembahagian Hadits al-Mardud (المردود)

KATEGORI-KATEGORI HADITS AL-MARDUD

Susunan: BroSyarief

Setelah perbincangan berkaitan kategori hadits yang Maqbul (Diterima) iaitu Sahih dan Hasan bersama pembahagian dan persyaratannya, kita sekarang pergi kepada kategori yang berlawanan dengannya, iaitu kategori hadits yang Mardud, yang bermaksud ‘Ditolak’ (aka Rejected).

Ulama hadits membuat pembahagian kategori hadits Mardud kepada pecahan yang sangat banyak, sehingga ada yang mencecah ratusan kategori. Tetapi, setelah dikaji dan dipermudahkan, ianya tak lebih dari 50 kategori. Imam Ibn Hibban meletakkan 49 pembahagian, manakala al-Hafiz al-‘Iraqi meletakkan 42 pembahagian.

Di bawah ini disenaraikan ringkasan pembahagian di bawah kategori hadits Mardud yang boleh dibahagikan kepada dua kategori utama berdasarkan sebab utama tertolaknya hadits, iaitu:

A. Gugur Periwayat dari Sanad (سقط من الإسناد)
B. Kritikan pada Periwayat (طعن في الراوي)

—–

A. ‘Gugur Periwayat dari Sanad’ terbahagi kepada 2 kategori:

01. Gugur secara Jelas (سقط ظاهر)
02. Gugur secara Tersembunyi (سقط خفي)

—–

01. Gugur secara Jelas, di bawahnya ada 4 jenis:

i. Al-Mu’allaq (المعلق)
ii. Al-Mursal (المرسل)
iii. Al-Mu’dhol (المعضل)
iv. Al-Munqati’ (المنقطع)

02. Gugur secara Tersembunyi pula ada 2 bentuk:

i. Al-Mudallas (المدلس)
ii. Al-Mursal Al-Khafiy (المرسل الخفي)

—–

 

B. ‘Kritikan pada Periwayat’ pula terbahagi kepada 2 kategori:

01. Perspektif Kredibiliti Personaliti Periwayat (العدالة)
02. Perspektif Kredibiliti Intelek Periwayat (الضبط)

—–

01. Berkaitan Kritikan pada al-‘Adalah, jatuh kepada 5 pembahagian:

i. Al-Kazb (الكذب) : Al-Mawdhu’ (الموضوع)
ii. Tuhmah bi Al-Kazb (تهمة بالكذب) : Al-Matruk (المتروك)
iii. Al-Fisq (الفسق) : Al-Munkar (المنكر)
iv. Al-Bid’ah (البدعة) : Al-Dha’if Jiddan (الضعيف جدا)
v. Al-Jahalah (الجهالة) : Al-Dha’if (الضعيف)

02. Adapun di bawah kategori Kritikan pada Dhobt, terdapat 5 jenis:

i. Katsratu Al-Ghalath (كثرة الغلط) : Al-Munkar atau Al-Dha’if (المنكر او الضعيف)
ii. Katsratu Al-Ghoflah (كثرة الغفلة) : Al-Munkar atau Al-Dha’if (المنكر او الضعيف)
iii. Su’ Al-Hifz (سوء الحفظ) : Al-Dha’if (الضعيف)
iv. Al-Wahm (الوهم) : Al-Ma’lul (المعلول)
v. Mukholafatu Al-Tsiqaat (مخالفة الثقات) : Al-Syaz dan Al-Munkar (الشاذ والمنكر)

—–

v. Dan di bawah kategori Mukholafatu Al-Tsiqaat pula ada 5 kategori:

– Al-Idraj (الإدراج) : Al-Mudraj (المدرج)
– Al-Qalb (القلب) : Al-Maqlub (المقلوب)
– Al-Ziyadah (الزيادة) : Al-Mazid fi Muttasil Al-Isnad (المزيد في متصل الإسناد)
– Al-Idhtirab (الإضطراب) : Al-Mudhtarib (المضطرب)
– Al-Tashhif (التصحيف) : Al-Mushohhaf (المصحف)
– Al-Tahrif (التحريف) : Al-Muharrof (المحرف)

Demikian butiran pembahagian secara umum mengikut pelbagai kategori dan perspektif. Nota-nota seterusnya akan mengupas setiap istilah-istilah ini dengan butiran secara umum.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Hadis 20: Cop Kenabian Seperti Bulu-bulu Yang Berkumpul

0

Hadis 20, Dari Saitama, Jepun

20- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَزْرَةُ بْنُ ثَابِتٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي عِلْبَاءُ بْنُ أَحْمَرَ الْيَشْكُرِيّ،ُ قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو زَيْدٍ عَمْرُو بْنُ أَخْطَبَ الْأَنْصَارِيُّ، قَالَ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا زَيْدٍ، ادْنُ مِنِّي فَامْسَحْ ظَهْرِي»، فَمَسَحْتُ ظَهْرَهُ، فَوَقَعَتْ أَصَابِعِي عَلَى الْخَاتَمِ. قُلْتُ: وَمَا الْخَاتَمُ؟، قَالَ: شَعَرَاتٌ مُجْتَمِعَاتٌ.

 

20- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu `Asim, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Azrah bin Sabit, dia berkata: Telah bercerita kepada saya `Ilba’ bin Ahmar Al-Yasykuriy, dia berkata: Telah bercerita kepada saya Abu Zayd `Amr bin Akhtab Al-Ansariy, dia berkata: Telah berkata kepada saya Rasulu Llah:

«Ya Aba Zayd, dekatilah saya dan sentuhlah belakang saya». Maka saya pun telah menyentuh belakangnya, dan jari-jari saya telah sampai ke atas cop. Saya telah berkata: Dan apakah itu cop? Dia berkata: Bulu-bulu yang berkumpul.

 

Syarah Adou_Fr:

Di dalam hadis ini, kata-kata: (شَعَرَاتٌ مُجْتَمِعَاتٌ) bulu-bulu yang berkumpul, ini ialah ucapan Abu Zayd `Amr. Dia menyebutkan ucapan ini apabila ditanya oleh `Ilba’ bin Ahmar Al-Yasykuriy, ketika dia sedang bercerita kepada `Ilba’ tentang panggilan Nabi kepadanya.

 

Para pensyarah hadis ini menyatakan bahawa jawaban Abu Zayd `Amr menunjukkan bahawa dia tidak melihat cop di belakang Nabi, tetapi dia hanya memegang bahagian belakang tubuh Nabi dan dia telah menyentuh cop itu. Justeru, dia menyatakan bahawa cop itu ialah bulu-bulu yang berkumpul.

Walau bagaimanapun, disebut di dalam Musnad Ibnu Abi Syaybah, dalam Bab: Hadis Abi Zayd `Amr bin Akhtab, bahawa Aba Zayd `Amr telah berkata:

(رَأَيْتُ الْخَاتَمَ عَلَى ظَهْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ)

Saya telah melihat cop di atas belakang Rasuli Llah.

 

Dan di dalam Musnad Ahmad, Bab: Hadis Abi Zayd `Amr bin Akhtab, disebutkan bahawa Aba Zayd `Amr telah berkata – selepas Nabi menyuruhnya menghampirinya dan menyentuh belakangnya –: (وَكَشَفَ ظَهْرَهُ، فَمَسَحْتُ ظَهْرَهُ، وَجَعَلْتُ الْخَاتَمَ بَيْنَ أَصَابِعِي) Dan dia telah menyingkap belakangnya, maka saya telah menyentuh belakangnya, dan saya telah menjadikan cop itu di antara jari-jari saya.

Hadis ini menunjukkan bagaimana para sahabat akan bercerita pengalaman mereka bersama Nabi, terutama apabila ia menunjukkan dekatnya mereka kepada Nabi, atau sesuatu yang tidak dikongsi bersama para sahabiy yang lain. Ini kerana pengalaman itu adalah sesuatu yang sangat penting, yang tidak akan dilaluï oleh mereka yang datang selepas Nabi mati.

 

Daripada hadis ini, ia menjadi hujah bahawa anggota tubuh Nabi, ia bukanlah untuk diambil keberkatan, kerana Nabi sebagai seorang yang sangat menyayangi umatnya, pasti akan menyuruh setiap daripada para sahabat – ketika Nabi masih hidup – untuk menyentuh atau mengambil keberkatan daripada tubuhnya.

Begitu juga dengan cop di belakang Nabi, ia juga bukan apa-apa, kerana jika ia ialah sumber untuk keberkatan, pasti Nabi akan berpesan kepada Abu Zayd `Amr agar mengingat, memelihara, atau melukis semula cop itu, agar hidup Abu Zayd `Amr akan sentiasa diberkati.

Lebih lagi, Abu Zayd `Amr – yang telah berperang bersama Nabi sebanyak tiga belas kali – menyatakan bahawa cop itu ialah bulu-bulu yang berkumpul. Justeru, ia ialah bulu, dan bukan tulisan atau gambar rajah! Maka celakalah para penipu yang cuba menipu dan menyesatkan umat Muhammad, kemudian mengambil keuntungan duniawi untuk mengisi perut dan nafsu mereka.

 

Lihatlah bahawa Abu Zayd `Amr tidak pula mengesyorkan apa-apa kepada `Ilba’ bin Ahmar Al-Yasykuriy supaya mengambil berkat daripada cop tersebut, dan dia juga tidak berusaha melukiskan rajah cop itu, atau menyatakan apa-apa yang lebih tentang cop itu. Adakah ada sesiapa dari kalangan orang-orang yang beriman yang mahu menuduh seorang sahabiy – iaitu Abu Zayd `Amr – menyembunyikan agama daripada umat Islam?

Ketahuïlah bahawa Aba Zayd `Amr inilah orang yang meriwayatkan hadis khutbah Nabi – selain Huzayfah –, dan dia berkata: (فَحَدَّثَنَا بِمَا كَانَ وَمَا هُوَ كَائِنٌ) Maka dia – iaitu Nabi – telah bercerita kepada kami dengan apa yang telah berlaku dan akan berlaku!

 

Justeru, kecintaan kita kepada Nabi adalah atas kemuliaan yang Tuhan telah tetapkan dan anugerahkan kepadanya, dan kita menurut jalan yang dinyatakan oleh Tuhan bagaimana untuk menzahirkan cinta tersebut iaitu: (فَاتَّبِعُونِي) «Maka ikutlah saya». Begitu juga ucapan Harun – saudara Musa – iaitu (فَاتَّبِعُونِي وَأَطِيعُوا أَمْرِي) «Maka ikutlah saya dan ta`atilah perintah saya».

Secara jelas, kita akan dapat melihat kebatilan, kejahilan dan kepalsuan sesetengah orang yang mendakwa sayang, atau menyorakkan cinta – terhadap Nabi –, sebaliknya mereka tidak mengikut Nabi dan tidak menta`ati perintah Nabi.

 

Sejak bilakah Nabi menyuruh menyanyi? Siapakah yang sanggup memfitnah dan memburukkan Nabi sebegitu rupa, melainkan orang yang bodoh, bebal, yang tidak mengenali Nabi! Tidakkah antara risalah kerasulan adalah menyuruh manusia mengingati Allah? Allah merakamkan di dalam Al-Qur’an:

فَإِذَا أَمِنتُمْ فَاذْكُرُواْ اللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُمْ

«Maka apabila kamu telah aman, maka ingatilah Allah sebagaimana Dia telah mengajar kamu» [Al-Baqarah: 239]

 

Adakah Allah mengajar mengingati-Nya dengan menyanyi? Bahkan Nabi tidak pernah mengajar agar menyanyi! Maka jauhilah kebatilan, dan kembalikan kepada jalan yang ditunjukkan oleh Allah dan Nabi-Nya Muhammad.

 

شرح الديارية

لأحاديث الشمائل المحمدية

للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة

(المتوفي سنة 279 هجرية)

Syarhu d-Diyariyyah

Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah

Kelas #13 | Ulum Hadith

0

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini..wa ba’d

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah.

Pada kelas-kelas yang lepas, telah kita berbincang panjang lebar berkenaan al-Ittisal (bersambungnya sanad) yang merupakan syarat pertama bagi hadith Sahih.

Selesai alhamdulillah kita berbicara berkenaan al-Ittisal serta cara-cara menentukannya dalam kelas-kelas lalu, maka insyaAllah pada malam ini kita akan meneruskan perbincangan dengan syarat kedua hadith Sahih iaitu al-Thiqah.

Baik. Apakah itu al-Thiqah??

Ramai kita memahami thiqah sebagai “orang yang dipercayai”, biasa kita sebut “dia ni thiqah” dengan maksud fulan boleh dipercayai iaitu dia tidak berdusta, baik ibadahnya, baik amal solehnya, terjaga maruahnya, ini adalah kefahaman dari segi umum.

Manakala dari segi istilah hadith, al-Thiqah bermaksud lebih dari itu, seseorang yang boleh dipercayai,terjaga maruahnya, tidak berdusta, banyak amal ibadahnya tidak mesti Thiqah! Bahkan boleh menjadi seorang yang Munkar pada necara ulum hadith!!

Kerana itu guru saya al-Syaikh Thariq ‘Iwadullah seringkali mengulang-ngulang dalam kelas “apabila seseorang dari nuqaad berkata bagi seseorang rawi – fulan rajin ibadahnya, banyak solat malamnya, banyak sedekahnya- ini bukan bermaksud perawi itu thiqah, bahkan ia bermaksud perawi itu dhaif!

Maka apakah itu al-Thiqah dalam necara ulum hadith, di sisi para huffaz hadith?

Al-Thiqah: dari segi istilah bermaksud seseorang yang terkumpul padanya sifat ‘adalah serta dhabt. Perawi hadith yang mempunyai kedua-dua sifat ‘adalah serta dhabt maka dia disebut sebagai thiqah oleh ahli hadith.

Maka secara umumnya apabila ahli hadith berkata bagi seseorang rawi “fulan itu thiqah” bermaksud perawi itu adalah seorang yang ‘adil serta pada masa yang sama dia juga seorang yang dhabit, baik dhabitnya itu dhabit kitab atau dhabit sadr (akan kita jelaskan kemudian maksud setiap satunya nanti insyaAllah). Ini adalah secara umumnya, kenapa saya sebut secara umum? Kerana ada kes di mana ahli hadith berkata bagi seseorang rawi “fulan itu thiqah” namun ia bukan bermaksud definisi istilah, ini akan kita bincang kemudian insyaAllah.

Imbau kembali kelas-kelas kita yang lalu, kita telah sebutkan bahawa syarat hadith Sahih ada 5 iaitu:

  1. Al-Ittisal (bersambungnya sanad)
  2. Para rawi yang ‘adil (‘adalah).
  3. Para rawi yang dhabit (dhabt).
  4. Bebas dari syaz (iaitu munkar).
  5. Bebas dari ‘illah

Syarat kedua dan ketiga di atas, kedua-duanya apabila digabungkan ia dinamakan al-thiqah, kerana itu sebahagian penulis buku ulum hadith menyebut syarat hadith Sahih ada 4 saja, iaitu:

  1. Al-Ittisal (bersambungnya sanad)
  2. Para rawi yang thiqah
  3. Bebas dari syaz (iaitu munkar).
  4. Bebas dari ‘illah

Faham setakat ini?

Thiqah bermaksud “adil dan dhabit secara bersama”. Baik, apakah itu ‘adil, atau ‘adalah?

Al-‘Adalah: dari segi istilah ulum hadith bermaksud seseorang itu adalah seorang yang selalu melazimi taqwa serta selalu menjaga kerhormatan diri (muru’ah, maruah). Ataupun guru saya al-Syaikh Thariq ‘Iwadullah menyebutnya sebagai seseorang yang bagus agamanya serta seorang yang amanah.

Al-‘Adalah inilah yang difahami awam sebagai “thiqah” yang saya sebutkan awal-awal tadi, dengan maksud fulan boleh dipercayai iaitu dia tidak berdusta, baik ibadahnya, baik amal solehnya, terjaga maruahnya. Sebetulnya ini adalah al-‘adalah, bukan al-thiqah.

Para ulama hadith meletakkan beberapa kriteria bagi membolehkan seseorang itu dikategorilan sebagai ‘adil iaitu:

Dia mestilah seorang muslim, bukan kafir. Seseorang yang kafir tidak mungkin ‘adil, bagaimana mungkin untuk kita menerima pengkhabaran tentang Nabi SAW dari seorang yang kafir, sedangkan dia sendiri tidak mempercayai akan Nabi?? Sudah tentu tidak.

Sebagaimana tidak boleh diterimanya persaksian dari seorang kafir (dalam had), begitu jugalah tidak boleh diterima periwayatannya dalam hadith, kerana periwayatan hadith ini lebih mulia serta lebih besar dari persaksian had.

Dia mestilah seorang yang mukallaf, bukan seseorang yang tidak mumayyiz yang tidak tahu apa-apa.

Dia bukanlah seseorang yang selalu memakai dirinya dengan kefasiqan, bukan seseorang yang suka mendekati dosa, baik dosa besar atau kecil.

Tidak meminum arak, tidak berzina serta tidak suka melakukan apa-apa yang mendekati zina.

Berdusta termasuk kefasiqan. Kata guru saya al-Syaikh Thariq ‘Iwadullah “adil adalah mereka yang menjauhi dosa-dosa besar, serta sangat takut dosa-dosa kecil”. Berdusta termasuk fasiq!

Jika seseorang rawi itu berdusta atas nama manusia, kemudian dia bertaubat, maka periwayatan hadithnya diterima setelah dia bertaubat. Namun jika seseorang rawi itu sengaja berdusta atas nama Nabi SAW, maka tidaklah diterima periwayatannya hadithnya secara mutlak walaupun setelah dia bertaubat! Walaupun dia hanya berdusta 1 kali saja atas nama Nabi!

Dia mestilah seseorang yang terpelihara kehormatan dirinya (maruahnya). Penjagaan maruah ini berbeza-beza mengikut tempat dan zaman. Misalnya pada zaman Salaf, makan di jalanan dianggap tidak sopan. Maka jatuh kehormatan diri. Namun pada zaman ini, makan di jalanan adalah biasa, normal. Mungkin antara contoh zaman moden ialah memakai seluar pendek bagi sesebuah masyarakat, dianggap tidak sopan misalnya. Ataupun masih menonton kartun Ultraman, Naruto, serta Doraemon biarpun usia sudah besar panjang, misalnya.

Ia juga berbeza-beza pada tempat yang berbeza. Misalnya pada zaman Salaf, penduduk kufah memandang nabiz adalah halal dan mereka membezakannya dengan khamr (arak), manakala ahli hijaz memandang nabiz itu haram dan mereka samakannya dengan khamr.

Baik, faham setakat ini? Baik, itulah maksud al-‘adalah

Seterusnya komponen kedua al-thiqah, iaitu al-dhabt atau dhabit.

Apakah itu dhabit?

Al-Dhabt: dari segi istilah bermaksud jitu serta kuat ingatan hafazannya, sehingga boleh meriwayatkan hadith dengan hafazan yang sempurna tanpa keraguan.

Seseorang yang ‘adil tidak mesti dhabit. Seseorang yang baginya ‘adalah yang tinggi, terhindar dari dosa besar, amat sedikit dosa kecilnya, banyak amal ibadahnya, dia tifak mesti dhabit! Boleh saja dia teruk dalam hafazan, ingatannya tidak jitu. Maka seseoang yang sebegini tidak dinamakan thiqah.

Seseorang yang direzqikan kekuatan iman serta ketinggian akhlak, mungkin tidak direzqikan nikmat kuat ingatan hafazan, dia ‘adil tapi tidak dhabit. Begitu juga seseorang yang dhabit mungkin juga tidak ‘adil.

Para ulama hadith membahagikan dhabit kepada 2 iaitu dhabt sadr serta dhabt kitab.

Apakah itu dhabt sadr?

Dhabt sadr: seseorang rawi yang mampu meriwayatkan hadith dari hafazan ingatannya bila-bila saja yang diminta dengan amat amat sedikit silapnya.

Apakah itu dhabt kitab pula?

Dhabt kitab: seseorang rawi yang tidak mampu meriwayatkan hadithnya secara spontan dari ingatannya namun perlu melihat buku catatan hadithnya ketika meriwayat, serta bukunya itu pula amat terpelihara dari kesilapan.

Seseorang yang dhabt kitab, apabila dia meriwayat dengan melihat kitabnya maka dia thiqah, namun jika dia meriwayatkannya selepas bukunya hilang atau terbakar maka dia tidak thiqah (secara umumnya).

Faham setakat ini?

Alhamdulillah, baik. Kita sambung sedikit lagi.

Perlu diketahui bahawa thiqah ini baginya martabat-martabat, tingkat-tingkat. Bukan semua para rawi thiqaat (plural bagi thiqah) berada dalam tingkatan serta martabat yang sama.

Bahkan ada perawi thiqah yang lebih thiqah dari yang lain, yang lebih dhabit dari yang lain.

Tingkat yang paling tinggi adalah para al-huffaz al-athbat, misalnya al-Imam al-Zuhri, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Syu’bah, al-Imam Ibn Mahdi, al-Imam Ibn al-Mubarak, al-Imam Yahya al-Qattan, al-Imam Ahmad bin Hambal, al-Imam al-Bukhari serta lainnya.

Tingkat yang bawah pula ialah Syuyukh, istilah syuyukh di sisi ahli hadith bermaksud di bawah martabat huffaz.

Namun perlu diketahui istilah Syaikh dalam ulum hadith tidak mesti bermaksud penilaian Thiqah, bahkan boleh jadi Majhul dan Dhaif. Ada Syuyukh yang thiqaat dan ada syuyukh yang dhuafaa.

Apabila digunakan istilah syaikh bagi para thiqaat, maka ia bermaksud mereka adalah para thiqaat namun bukan terdiri dalam ketegori huffaz kibar, sebaliknya dalam ketegori thiqah yang rendah.

Perlu diketahui para perawi yang thiqah ini semua, bukan bermaksud mereka tidak mungkin melakukan kesilapan ketika meriwayatkan hadith.

Sebab itu semata-mata kesemua rawi dalam rantai sanad itu thiqah, itu bukan bermaksud hadith itu pasti Sahih.

Para thiqaat boleh melakukan kesilapan, sebagaimana kata guru saya al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl “melakukan kesilapan sunnatullah kepada manusia”. Yang maksum hanya para Rasul.

Para thiqaat boleh berbuat silap dalam meriwayat hadith, namun betul mereka lebih banyak berbanding silap.

Kerana itu antara definisi thiqah yang biasa disebut guru saya al-Syaikh Thariq Iwadullah ialah “perawi yang amat sedikit silap dalam meriwayat hadith”. Manakala para dhaif pula ialah “para rawi yang banyak silap dalam meriwayat hadith”.

Ada perawi thiqah yang silap sedikit itu ini tanpa ciri khas, ada pula yang suka berbuat silap apabila meriwayatkan dari gurunya yang tertentu, ada pula yang suka berbuat silap dalam bab ilmu yang tertentu saja tetapi bagus dalam bab ilmu lain, misalnya jika bab meriwayat perihal sirah dan maghazi maka dia hebat namun dalam bab hukum hakam jika menyendiri maka dia dhaif, misalnya seperti Muhammad bin Ishaq. Ada juga thiqah yang bagus ingatan pada zaman mudanya, namun celaru ingatan pada zaman tuanya dan sebagainya.

Baik, begitulah serba ringkas berkenaan definisi thiqah. Kali ini kita berbincang definisi thiqah yang kerap digunakan ahli hadith, iaitu thiqah dari segi istilah yang membawa maksud ‘adil serta dhabit secara bersama. Di sana ada penggunaan istilah thiqah oleh para huffaz hadith salaf namun bukan dari istilah, ini insyaAllah kita akan lihat pada kelas mendatang insyaAllah

Setakat ini dulu kelas kita pada malam ini. Moga kelas malam ini bermanfaat dan boleh difahami.

Kita tutup dengan tasbih kaffarah. Dan saya berpesan kepada semua sebagaimana berpesannya guru saya al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl kepada saya “jangan lupa menela’ah al-Quran”, serta saya berpesan sebagaimana pesanan guru saya al-Syaikh Hamzah al-Malibari kepada saya “jadikan imanan dan ihtisaban sebagai motto kehidupan, bukan hanya dalam bulan Ramadhan, namun dalam semua bulan!”.

 

Hadits 2: Masa Depan Islam

0

#SilsilahShahihah: Hadits 2: Masa depan Islam

Allah telah menghimpunkan untukku bumi. Oleh itu, aku dapat melihat belahan barat dan timurnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke bumi yang dihimpunkan (diperlihatkan) kepadaku.

إِنَّ اللهَ زَوَى لِيَ الأَرْضَ، فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا، وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مَنْهَا

Diriwayatkan oleh Muslim (2889), Abu Dawud (4252), At-Tirmidzi (2176) dan beliau menshahihkannya, Ibn Majah (2952), Ahmad (5/278, 5/284, 4/123).

Munculnya Saluran Satelit : Tanda Kiamat Ke-8

0

Tanda Kiamat Ke-8/131 : Munculnya banyak saluran satelit

Dalil hadith:

عن حذيفة قال : ليوشكن أن يصب عليكم الشر من السماء حتى يبلغ الفيافى ، قيل : وما الفيافى يا أبا عبد الله قال : الأرض القفر (ابن أبى شيبة) [كنز العمال 31338]
أخرجه ابن أبى شيبة (7/482 ، رقم 37399)

Terjemahan: Dari Huzaifah: sesungguhnya akan menimpa kamu semua kejahatan dari langit sampai ke kawasan fayafi.” diajukan soalan kpd beliau,”apa itu al-Fayafi, ya abu Abdillah?”, Jawab Huzaifah, “bumi yag terpencil.” HR Ibn Abi Syaibah, no 37399, juga Kanz al-Ummah, no 31338
status hadith, Dr al-Arifi berkata sanadnya sahih, juga menurut Abdul Basith bin Yusof alGhareeeb, murid Albani dalam kitab hadith Huzaifah dalam Fitan, hadith no 161:

عبد الباسط بن يوسف الغريب وصف الكتاب:الكتاب : جزء حديثي في أحاديث حذيفة في الفتن
المؤلف : عبد الباسط بن يوسف الغريب
ابن أبي شيبة (7|482)
وهذا إسناد صحيح

Fiqh hadith:
Kejahatan dari langit ni luas maksudnya, yakni apa saja yg berada di atas manusia, yang menyelubunginya
1. Bahaya langit terbuka kepada TV Cable, satelit dan internet. Kata Dr al-Arifi, hari ni ada lebih dari 13,000 channel TV. maka darinya datang pelbagai fitnah dan bala. Ia bukan sahaja dilanggani oleh org bandar, bahkan kawasan terpencil dan padang pasir pun sudah sampai piring TV Satelit.
syarah: di KSA, pakej biasa ada lebih dari 1,500-2,000 saluran TV Satelit. Manakala internet pula websites yang paling top dilawati sentiasa laman web lucah atau porno.
2. Satu lagi maksud bencana dari langit ialah akan datang berleluasanya perang dan pengintipan dengan penggunaan Drone. Drone adalah robot yg berada di langit dan akan datang ia berkemampuan menyerang dan memusnahkan manusia. Zaman dulu, bila seseorang bersembunyi dalam padang pasir, ia tidak dapat dikesan, namun dgn adanya drone, ia akan dapat dikesan. WA Tamat

Soalan: Apa pula kaitan dengan al fayati seperti dalam hadis atas

Jawapan: Fayafi tu maksudnya pendalaman pun ada astro

Diskusi Tafsir – Nota 2

0

Nota 02

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Surah Al-Fatihah (1:2)

ٱلْحَمْدُ – pujian 
لِلَّهِ – bagi Allah 
رَبِّ – Tuhan/Pemelihara 
ٱلْعَٰلَمِينَ – alam semesta

Tafsir Al-Hamdulillah

Ibnu Jarir menuturkan bahawa makna Alhamdulillah ialah segala syukur hanyalah dipersembahkan kepada Allah semata, bukan kepada apa yang disembah selain-Nya, juga bukan kepada semua mahkluknya, alasannya kerana nikmat-Nya yang di berikan kepada semua hamba dan mahluknya tidak dapat dihitung dan tidak terhad. Nikmat itu antara lain tersedianya semua saranan untuk taat kepada-Nya, kemampuan semua organ tubuh yang sanggup melaksanakan perintahnya, dan rezeki yang diberikan kepada semua mahluknya, oleh kerana itu segala pujian hanya untuk dan bagi Allah swt dari awal sampai akhir.

الحمد

Sebuah ungkapan bagi sesuatu yang sangat baik dan sanjungan bagi zat yang terpuji, yang memiliki banyak keutamaan, seperti ungkapan pujian dan syukur.
* al madhu dan asy syukru

 Pujian bagi Allah, Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbirkan Sekalian Alam ” – Al-qurra’ as-sab’ah (tujuh ahli qira’ah) membacanya dengan memberi harakat dhammah pada huruf dal pada kalimat alhamdulillah, yang merupakan mubtada’ dan khabar.

Ibnu Jarir Rahimahullah mengatakan, alhamdulillah merupakan pujian yang disampaikan Allah untuk diri-Nya sendiri. Di dalamnya terkandung perintah kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memuji-Nya. Seolah-olah Dia mengatakan, “Ucapkanlah alhamdulillah.”

Alif dan lam pada kata alhamdu dimaksudkan untuk melengkapi bahwa segala macam jenis dan bentuk pujian itu hanya untuk Allah semata.

Ertinya: “Segala puji bagi Allah Rabb seru sekalian alam.”

Makna Alhamdu adalah pujian kepada Allah kerana sifat-sifat kesempurnaan-Nya. Dan juga kerana perbuatan-perbuatanNya yang tidak pernah lepas dari sifat memberikan kurnia atau menegakkan keadilan. Perbuatan Allah senantiasa mengandung hikmah yang sempurna. Pujian yang diberikan oleh seorang hamba akan semakin bertambah sempurna apabila diiringi dengan rasa cinta dan ketundukkan dalam dirinya kepada Allah. Kerana pujian semata yang tidak disertai dengan rasa cinta dan ketundukkan bukanlah pujian yang sempurna.

Makna dari kata Rabb adalah Murabbi (yang mentarbiyah; pembimbing dan pemelihara). Allahlah Zat yang memelihara seluruh alam dengan berbagai macam bentuk tarbiyah. Allahlah yang menciptakan mereka, memberikan rezeki kepada mereka, memberikan nikmat kepada mereka, baik nikmat lahir maupun batin. Inilah bentuk tarbiyah umum yang meliputi seluruh makhluk, yang baik maupun yang jahat. Adapun tarbiyah yang khusus hanya diberikan Allah kepada para Nabi dan pengikut-pengikut mereka. Di samping tarbiyah yang umum itu Allah juga memberikan kepada mereka tarbiyah yang khusus iaitu dengan membimbing keimanan mereka dan menyempurnakannya. Selain itu, Allah juga menolong mereka dengan menyingkirkan segala macam penghalang dan rintangan yang akan menjauhkan mereka dari kebaikan dan kebahagiaan mereka yang abadi. Allah memberikan kepada mereka berbagai kemudahan dan menjaga mereka dari hal-hal yang dibenci oleh syariat.

Dari sini kita mengetahui betapa besar keperluan alam semesta ini kepada Rabbul ‘alamiin karena hanya Dialah yang menguasai itu semua. Allah satu-satunya pengatur, pemberi hidayah dan Allah lah Yang Maha kaya. Oleh sebab itu semua makhluk yang ada di langit dan di bumi ini meminta kepada-Nya. Mereka semua meminta kepada-Nya, baik dengan ucapan lisannya maupun dengan ekspresi dirinya. Kepada-Nya lah mereka mengadu dan meminta tolong di saat-saat genting yang mereka alami (lihat Taisir Lathiifil Mannaan, hal. 20).

Diskusi Alhamdulillahi Robbil ‘Alamiin

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Puji ada 4 macam, iaitu :

1. Qodim ala Qodim : pujian Allah kepada Allah sendiri sendiri. Contohnya banyak kita jumpai di AlQuran, seperti :

(Al Baqarah : 30) إنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“Sesungguhnya Aku lebih tau apa yang tidak kalian ketahui”

2.       Qodim ala hadits : pujian Allah kepada mahluknya. Contohnya dalam ayat :

(Qs. Al Qalam : 4) وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيم
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar di atas budi pekerti yang luhur”

3.      Hadits ala Qodim : pujian makhluk kepada Allah. Sebagai umat Islam tentunya harus sering melakukan ini. Seperti ucapan kita “Ya Allah.. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penyayang”.

4.      Hadits ala hadits : pujian mahluk kepada mahluk lainnya, seperti ucapan kita kepada kerabat kita “Kamu baik sangat” atau seperti “Tambah cantik kamu sekarang” atau mungkin “Indah sekali pelanginya” dan sebagainya.

Dan segala puji di atas hanyalah milik Allah.

Al hamdulillah
Dalam bahasa Arab al itu lebih kurang sama artinya dengan kata “the” dalam bahasa Inggeris. Kata al dipergunakan untuk menunjukan keluasaan yang bererti meliputi semua segi atau jenis sesuatu pokok, atau untuk melukiskan kesempurnaan serta keluasaan yang meliputi semua tingkat dan darjat. Al dipakai juga untuk menyatakan sesuatu yang telah disebut atau suatu pengertian atau juga.

Popular

Iklan

Iklan