Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #13 | Ulum Hadith

Kelas #13 | Ulum Hadith

262
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini..wa ba’d

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah.

Pada kelas-kelas yang lepas, telah kita berbincang panjang lebar berkenaan al-Ittisal (bersambungnya sanad) yang merupakan syarat pertama bagi hadith Sahih.

Selesai alhamdulillah kita berbicara berkenaan al-Ittisal serta cara-cara menentukannya dalam kelas-kelas lalu, maka insyaAllah pada malam ini kita akan meneruskan perbincangan dengan syarat kedua hadith Sahih iaitu al-Thiqah.

Baik. Apakah itu al-Thiqah??

Ramai kita memahami thiqah sebagai “orang yang dipercayai”, biasa kita sebut “dia ni thiqah” dengan maksud fulan boleh dipercayai iaitu dia tidak berdusta, baik ibadahnya, baik amal solehnya, terjaga maruahnya, ini adalah kefahaman dari segi umum.

Manakala dari segi istilah hadith, al-Thiqah bermaksud lebih dari itu, seseorang yang boleh dipercayai,terjaga maruahnya, tidak berdusta, banyak amal ibadahnya tidak mesti Thiqah! Bahkan boleh menjadi seorang yang Munkar pada necara ulum hadith!!

Kerana itu guru saya al-Syaikh Thariq ‘Iwadullah seringkali mengulang-ngulang dalam kelas “apabila seseorang dari nuqaad berkata bagi seseorang rawi – fulan rajin ibadahnya, banyak solat malamnya, banyak sedekahnya- ini bukan bermaksud perawi itu thiqah, bahkan ia bermaksud perawi itu dhaif!

Maka apakah itu al-Thiqah dalam necara ulum hadith, di sisi para huffaz hadith?

Al-Thiqah: dari segi istilah bermaksud seseorang yang terkumpul padanya sifat ‘adalah serta dhabt. Perawi hadith yang mempunyai kedua-dua sifat ‘adalah serta dhabt maka dia disebut sebagai thiqah oleh ahli hadith.

Maka secara umumnya apabila ahli hadith berkata bagi seseorang rawi “fulan itu thiqah” bermaksud perawi itu adalah seorang yang ‘adil serta pada masa yang sama dia juga seorang yang dhabit, baik dhabitnya itu dhabit kitab atau dhabit sadr (akan kita jelaskan kemudian maksud setiap satunya nanti insyaAllah). Ini adalah secara umumnya, kenapa saya sebut secara umum? Kerana ada kes di mana ahli hadith berkata bagi seseorang rawi “fulan itu thiqah” namun ia bukan bermaksud definisi istilah, ini akan kita bincang kemudian insyaAllah.

Imbau kembali kelas-kelas kita yang lalu, kita telah sebutkan bahawa syarat hadith Sahih ada 5 iaitu:

  1. Al-Ittisal (bersambungnya sanad)
  2. Para rawi yang ‘adil (‘adalah).
  3. Para rawi yang dhabit (dhabt).
  4. Bebas dari syaz (iaitu munkar).
  5. Bebas dari ‘illah

Syarat kedua dan ketiga di atas, kedua-duanya apabila digabungkan ia dinamakan al-thiqah, kerana itu sebahagian penulis buku ulum hadith menyebut syarat hadith Sahih ada 4 saja, iaitu:

  1. Al-Ittisal (bersambungnya sanad)
  2. Para rawi yang thiqah
  3. Bebas dari syaz (iaitu munkar).
  4. Bebas dari ‘illah

Faham setakat ini?

Thiqah bermaksud “adil dan dhabit secara bersama”. Baik, apakah itu ‘adil, atau ‘adalah?

Al-‘Adalah: dari segi istilah ulum hadith bermaksud seseorang itu adalah seorang yang selalu melazimi taqwa serta selalu menjaga kerhormatan diri (muru’ah, maruah). Ataupun guru saya al-Syaikh Thariq ‘Iwadullah menyebutnya sebagai seseorang yang bagus agamanya serta seorang yang amanah.

Al-‘Adalah inilah yang difahami awam sebagai “thiqah” yang saya sebutkan awal-awal tadi, dengan maksud fulan boleh dipercayai iaitu dia tidak berdusta, baik ibadahnya, baik amal solehnya, terjaga maruahnya. Sebetulnya ini adalah al-‘adalah, bukan al-thiqah.

Para ulama hadith meletakkan beberapa kriteria bagi membolehkan seseorang itu dikategorilan sebagai ‘adil iaitu:

Dia mestilah seorang muslim, bukan kafir. Seseorang yang kafir tidak mungkin ‘adil, bagaimana mungkin untuk kita menerima pengkhabaran tentang Nabi SAW dari seorang yang kafir, sedangkan dia sendiri tidak mempercayai akan Nabi?? Sudah tentu tidak.

Sebagaimana tidak boleh diterimanya persaksian dari seorang kafir (dalam had), begitu jugalah tidak boleh diterima periwayatannya dalam hadith, kerana periwayatan hadith ini lebih mulia serta lebih besar dari persaksian had.

Dia mestilah seorang yang mukallaf, bukan seseorang yang tidak mumayyiz yang tidak tahu apa-apa.

Dia bukanlah seseorang yang selalu memakai dirinya dengan kefasiqan, bukan seseorang yang suka mendekati dosa, baik dosa besar atau kecil.

Tidak meminum arak, tidak berzina serta tidak suka melakukan apa-apa yang mendekati zina.

Berdusta termasuk kefasiqan. Kata guru saya al-Syaikh Thariq ‘Iwadullah “adil adalah mereka yang menjauhi dosa-dosa besar, serta sangat takut dosa-dosa kecil”. Berdusta termasuk fasiq!

Jika seseorang rawi itu berdusta atas nama manusia, kemudian dia bertaubat, maka periwayatan hadithnya diterima setelah dia bertaubat. Namun jika seseorang rawi itu sengaja berdusta atas nama Nabi SAW, maka tidaklah diterima periwayatannya hadithnya secara mutlak walaupun setelah dia bertaubat! Walaupun dia hanya berdusta 1 kali saja atas nama Nabi!

Dia mestilah seseorang yang terpelihara kehormatan dirinya (maruahnya). Penjagaan maruah ini berbeza-beza mengikut tempat dan zaman. Misalnya pada zaman Salaf, makan di jalanan dianggap tidak sopan. Maka jatuh kehormatan diri. Namun pada zaman ini, makan di jalanan adalah biasa, normal. Mungkin antara contoh zaman moden ialah memakai seluar pendek bagi sesebuah masyarakat, dianggap tidak sopan misalnya. Ataupun masih menonton kartun Ultraman, Naruto, serta Doraemon biarpun usia sudah besar panjang, misalnya.

Ia juga berbeza-beza pada tempat yang berbeza. Misalnya pada zaman Salaf, penduduk kufah memandang nabiz adalah halal dan mereka membezakannya dengan khamr (arak), manakala ahli hijaz memandang nabiz itu haram dan mereka samakannya dengan khamr.

Baik, faham setakat ini? Baik, itulah maksud al-‘adalah

Seterusnya komponen kedua al-thiqah, iaitu al-dhabt atau dhabit.

Apakah itu dhabit?

Al-Dhabt: dari segi istilah bermaksud jitu serta kuat ingatan hafazannya, sehingga boleh meriwayatkan hadith dengan hafazan yang sempurna tanpa keraguan.

Seseorang yang ‘adil tidak mesti dhabit. Seseorang yang baginya ‘adalah yang tinggi, terhindar dari dosa besar, amat sedikit dosa kecilnya, banyak amal ibadahnya, dia tifak mesti dhabit! Boleh saja dia teruk dalam hafazan, ingatannya tidak jitu. Maka seseoang yang sebegini tidak dinamakan thiqah.

Seseorang yang direzqikan kekuatan iman serta ketinggian akhlak, mungkin tidak direzqikan nikmat kuat ingatan hafazan, dia ‘adil tapi tidak dhabit. Begitu juga seseorang yang dhabit mungkin juga tidak ‘adil.

Para ulama hadith membahagikan dhabit kepada 2 iaitu dhabt sadr serta dhabt kitab.

Apakah itu dhabt sadr?

Dhabt sadr: seseorang rawi yang mampu meriwayatkan hadith dari hafazan ingatannya bila-bila saja yang diminta dengan amat amat sedikit silapnya.

Apakah itu dhabt kitab pula?

Dhabt kitab: seseorang rawi yang tidak mampu meriwayatkan hadithnya secara spontan dari ingatannya namun perlu melihat buku catatan hadithnya ketika meriwayat, serta bukunya itu pula amat terpelihara dari kesilapan.

Seseorang yang dhabt kitab, apabila dia meriwayat dengan melihat kitabnya maka dia thiqah, namun jika dia meriwayatkannya selepas bukunya hilang atau terbakar maka dia tidak thiqah (secara umumnya).

Faham setakat ini?

Alhamdulillah, baik. Kita sambung sedikit lagi.

Perlu diketahui bahawa thiqah ini baginya martabat-martabat, tingkat-tingkat. Bukan semua para rawi thiqaat (plural bagi thiqah) berada dalam tingkatan serta martabat yang sama.

Bahkan ada perawi thiqah yang lebih thiqah dari yang lain, yang lebih dhabit dari yang lain.

Tingkat yang paling tinggi adalah para al-huffaz al-athbat, misalnya al-Imam al-Zuhri, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Syu’bah, al-Imam Ibn Mahdi, al-Imam Ibn al-Mubarak, al-Imam Yahya al-Qattan, al-Imam Ahmad bin Hambal, al-Imam al-Bukhari serta lainnya.

Tingkat yang bawah pula ialah Syuyukh, istilah syuyukh di sisi ahli hadith bermaksud di bawah martabat huffaz.

Namun perlu diketahui istilah Syaikh dalam ulum hadith tidak mesti bermaksud penilaian Thiqah, bahkan boleh jadi Majhul dan Dhaif. Ada Syuyukh yang thiqaat dan ada syuyukh yang dhuafaa.

Apabila digunakan istilah syaikh bagi para thiqaat, maka ia bermaksud mereka adalah para thiqaat namun bukan terdiri dalam ketegori huffaz kibar, sebaliknya dalam ketegori thiqah yang rendah.

Perlu diketahui para perawi yang thiqah ini semua, bukan bermaksud mereka tidak mungkin melakukan kesilapan ketika meriwayatkan hadith.

Sebab itu semata-mata kesemua rawi dalam rantai sanad itu thiqah, itu bukan bermaksud hadith itu pasti Sahih.

Para thiqaat boleh melakukan kesilapan, sebagaimana kata guru saya al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl “melakukan kesilapan sunnatullah kepada manusia”. Yang maksum hanya para Rasul.

Para thiqaat boleh berbuat silap dalam meriwayat hadith, namun betul mereka lebih banyak berbanding silap.

Kerana itu antara definisi thiqah yang biasa disebut guru saya al-Syaikh Thariq Iwadullah ialah “perawi yang amat sedikit silap dalam meriwayat hadith”. Manakala para dhaif pula ialah “para rawi yang banyak silap dalam meriwayat hadith”.

Ada perawi thiqah yang silap sedikit itu ini tanpa ciri khas, ada pula yang suka berbuat silap apabila meriwayatkan dari gurunya yang tertentu, ada pula yang suka berbuat silap dalam bab ilmu yang tertentu saja tetapi bagus dalam bab ilmu lain, misalnya jika bab meriwayat perihal sirah dan maghazi maka dia hebat namun dalam bab hukum hakam jika menyendiri maka dia dhaif, misalnya seperti Muhammad bin Ishaq. Ada juga thiqah yang bagus ingatan pada zaman mudanya, namun celaru ingatan pada zaman tuanya dan sebagainya.

Baik, begitulah serba ringkas berkenaan definisi thiqah. Kali ini kita berbincang definisi thiqah yang kerap digunakan ahli hadith, iaitu thiqah dari segi istilah yang membawa maksud ‘adil serta dhabit secara bersama. Di sana ada penggunaan istilah thiqah oleh para huffaz hadith salaf namun bukan dari istilah, ini insyaAllah kita akan lihat pada kelas mendatang insyaAllah

Setakat ini dulu kelas kita pada malam ini. Moga kelas malam ini bermanfaat dan boleh difahami.

Kita tutup dengan tasbih kaffarah. Dan saya berpesan kepada semua sebagaimana berpesannya guru saya al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl kepada saya “jangan lupa menela’ah al-Quran”, serta saya berpesan sebagaimana pesanan guru saya al-Syaikh Hamzah al-Malibari kepada saya “jadikan imanan dan ihtisaban sebagai motto kehidupan, bukan hanya dalam bulan Ramadhan, namun dalam semua bulan!”.

 

Komen dan Soalan