Utama Blog Halaman 27

Norma Baharu Laksanakan Ibadah Qurban Semasa PKP: Qurban UKHUWAH 1442H

0

NORMA BAHARU LAKSANAKAN IBADAH QURBAN SEMASA PKP
Qurban sambil Infaq anjuran Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia (UKHUWAH) dengan kerjasama MyPusaka

*Setiap penyertaan 1 bahagian Qurban sebanyak RM20 akan disumbangkan terus ke akaun UKHUWAH.

MyQurban. Norma baharu ibadat Qurban dalam situasi Pandemik Covid19
Konsepnya:

👍Peserta daftar, bayar dan aqad secara online
👍Penyembelihan berpusat di fasiliti yang mendapat tauliah Jabatan Vaterinar
👍Daging diproses, dimasak dan dibungkus kepada “retort pouch” 500gm , oleh kilang yang mempunyai tauliah Halal.
👍Setiap Peserta akan menerima 40 pek bungkusan seberat 500gm setiap satu
👍Daging yang diproses, sedia untuk dimakan dan tahan disimpan sehingga 18 bulan
👍Daging akan diagihkan kepada golongan sasar oleh NGO kebajikan terpilih sepanjang tahun
👍Peserta juga boleh memberi senarai tempat agihan dengan kos penghantaran yang akan ditentukan kemudian
👍Harga 1 bahagian Qurban adalah RM890 termasuk urusan pengendalian.

Sila tonton video penerangan Ini
https://youtu.be/kcbmUh5P9pk

📌SILA klik untuk daftar Qurban.

https://mypusakahq.onpay.my/order/form/mqukhuwah/33

DAFTAR segera sebelum bahagian Qurban yang diperuntukkan habis ditempah!

Kami akan maklumkan semua aktiviti MyQurban di FB Page. Sila visit, like dan follow
https://www.facebook.com/MyQurbanxMyPusaka/

⁉️Sebarang pertanyaan sila hubungi:

http://www.wasap.my/60192831337/QurbanUkhuwah

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-155 hingga Ke-160

0

Tafsir Surah Ali Imran 
Tafsir Ayat Ke-155

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ ٱلشَّيطَـٰنُ بِبَعضِ ما كَسَبوا ۖ وَلَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera

Sebelum ini telah disebutkan tentang dua kumpulan yang hendak meninggalkan medan perang. Satu daripada puak Aus dan satu lagi daripada puak Khazraj.

Dua kumpulan bertembung yang dimaksudkan adalah tentera Islam dan Musyrikin Mekah.

إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ ٱلشَّيطَـٰنُ بِبَعضِ ما كَسَبوا

sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian daripada perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan

Mereka ‘cuba’ digelincirkan oleh bisikan syaitan kerana itu mereka balik semasa perang masih berlangsung. Lafaz استَزَلَّهُمُ yang digunakan memberi isyarat bahawa syaitan ‘cuba’ untuk gelincirkan mereka tetapi tidak berhasil. Boleh baca serba sedikit tentang kejadian itu di sumber yang lain.

Ini disebabkan kesalahan yang mereka lakukan dahulu, iaitu akidah tidak percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila ada masalah seperti itu, ia membuka jalan kepada syaitan untuk memasukkan was-was ke dalam hati kita. Begitulah yang biasa berlaku; dosa boleh menyebabkan syaitan menggelincirkan kita. Oleh itu, kalau kita hendak selamat, maka hendaklah kita kawal diri kita daripada melakukan dosa.

لَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم

sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka,

Allah ‎ﷻ telah memaafkan kesalahan mereka dengan menjadikan mereka mukmin yang sebenar selepas itu. Jika Allah ‎ﷻ sudah maafkan, siapa kita hendak kritik mereka? Maka kita mesti berhati-hati dalam menceritakan kisah ini.

Jangan lupa cakap bahawa mereka itu telah dimaafkan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ pilih mereka untuk melakukan kesilapan itu supaya kita dapat tahu apakah perkara yang kita tidak boleh buat, dan apakah kesan kalau kita buat kesilapan itu. Jika semua sahabat tidak berbuat salah, bagaimana kita hendak belajar?

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah‎ ﷻ itu Maha Pengampun lagi Maha Penyabar. حَليمٌ bermaksud Dia tahu apa yang kita lalui. Oleh itu, Dia tidak terus beri azab kepada kita atas kesalahan kita. Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Maka ambil peluang tersebut selagi ada.

Tafsir Ayat Ke-156

Ini adalah satu lagi perangai orang munafik.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا وَقالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ أَو كانوا غُزًّى لَّو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم ۗ وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh”. (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur

Jangan jadi seperti orang munafik. Orang Kufur yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang Munafik. Ya, mereka dipanggil sebagai orang kafir. Ini kerana walaupun zahir mereka nampak Muslim, tetapi batin mereka kufur.

Dalam ayat ini, Allah‎ ﷻ pesan jangan jadi seperti mereka. Oleh itu, kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh elak daripada melakukan sifat-sifat itu. Ini kerana sifat nifak ini amat-amat bahaya. Kita takut kita pun ada sifat-sifat mereka tanpa kita sedari.

وَقالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ

dan mereka telah berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi,

Apakah sifat golongan munafik waktu itu? Mereka berkata kepada saudara seagama mereka ketika mereka keluar untuk apa-apa urusan agama. Antara terpenting yang dilakukan dalam urusan agama adalah keluar berdakwah kerana dakwah perlu dijalankan.

Memang para sahabat amat kuat melakukan dakwah ke segenap dunia. Sebab itu ada banyak kubur para sahabat yang letaknya berjauhan dari Tanah Arab, sampaikan ada yang ada di China. Ini adalah kerana mereka tahu mereka kena sampaikan agama itu dan mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga, wang dan nyawa mereka untuk menjalankan kerja dakwah. Kita bagaimana?

Namun golongan munafik tidak suka berdakwah, sama ada dengan dakwah lisan atau dakwah jihad. Nanti kita akan lihat apa kata mereka kepada orang yang keluar dakwah.

أَو كانوا غُزًّى

atau keluar berperang

Dan mereka juga berkata sesuatu kepada para sahabat yang mukmin yang keluar berjihad di jalan Allah ‎ﷻ.

Telah banyak kita belajar tentang ayat-ayat jihad dalam surah Baqarah sebelum ini dan surah ini juga, maka kita sudah tahu kepentingan dijalankan jihad itu. Ia memerlukan banyak pengorbanan dan tentunya salah satu daripada pengorbanan itu adalah jiwa sendiri. Kalau keluar berjihad, tentunya ada yang cedera dan ada ramai yang mati.

Apa kata puak-puak Munafik itu?

لَّو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا

Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh

Inilah kata-kata yang keluar daripada mulut mereka: “Kalaulah mereka itu (para sahabat yang keluar jihad) duduk-duduk di sisi kami sahaja”; iaitu tidak keluar berdakwah, tidak keluar berjihad, orang munafik kata tentu mereka tidak akan dibunuh.

Inilah kata-kata orang kafir sebenarnya. Bila mereka kata begitu, zahirlah sifat munafik mereka. Sifat munafik itu duduknya dalam diri manusia, kerana itu kita tidak tahu kalau lihat pada luaran sahaja tetapi kalau mereka sudah keluar daripada mulut mereka sendiri, kita sudah dapat pengenalan sifat kekufuran mereka.

Itulah cara untuk tahu siapa yang ada sifat munafik. Maka, kalau kita sudah tahu, maka kita kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu tidak boleh dibuat kira untuk bersama dengan kita menjalankan kerja-kerja agama.

لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم

Allah jadikan yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka

Allah‎ ﷻ jadikan kata-kata mereka itu sebagai penyesalan dalam hati kepada mereka. Mereka akan menyesal kerana mereka telah berkata begitu. Penyesalan itu akan berlaku di akhirat kelak.

وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ

Allah yang menghidupkan dan yang mematikan,

Hidup dan mati bukan kerana musafir atau jihad, tetapi ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Ada yang pergi berjihad tetapi tidak mati; ada yang tidak berjihad tetapi mati juga. Adakah kalau mereka duduk-duduk di rumah dengan anak bini, mereka boleh yakin dan pastikan yang mereka tidak akan mati? Tentu tidak, bukan?

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

Apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ akan balas; begitu juga kalau kita lakukan keburukan, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah‎ ﷻ akan balas. Termasuk juga kata-kata kita yang tidak sepatutnya, seperti kata-kata golongan munafik itu.

Tafsir Ayat Ke-157

Ini adalah jawapan kedua kenapa kadang-kadang Allah ‎ﷻberi kekalahan kepada orang Mukmin dalam peperangan dan ayat ini adalah ayat tabshir kepada mukminin.

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ أَو مُتُّم لَمَغفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَحمَةٌ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah

Sekiranya kamu dibunuh semasa berada pada jalan Allah ‎ﷻ, iaitu semasa menjalankan kerja-kerja dakwah atau berjihad fisabilillah.

أَو مُتُّم

atau kamu mati

atau kamu mati dengan cara biasa (bukan di medan jihad) tetapi mati dalam menyempurnakan hukum Allah ‎ﷻ.

لَمَغفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ

sesungguhnya keampunan daripada Allah

Maka kamu akan mendapat pengampunan daripada Allah ‎ﷻ. Inilah yang amat-amat kita harapkan. Kita berharap sangat supaya segala dosa kita dihapuskan kerana kalau kita beriman, tetapi ada juga dosa-dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka juga untuk membersihkan dosa kita.

Selepas dosa sudah bersih, barulah kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Masalahnya, kita tidak tahu berapa lama kita akan berada di neraka itu. Maka, kita minta ampunlah sahaja kepada Allah‎ ﷻ supaya segala dosa kita diampunkan (sedikit, besar atau banyak mana pun).

Sekarang Allah ‎ﷻ berjanji akan memberi pengampunan kalau sedang berjihad kerana itu, hendaklah kita berjuang fisabilillah dan mati semasa menyempurnakan hukum Allah ‎ﷻ supaya kita tidaklah mati katak sahaja.

وَرَحمَةٌ

dan rahmat

Allah‎ ﷻ juga berjanji akan memberikan rahmat kalau kita melakukan jihad. Kita memang mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana dengan rahmat-Nya sahaja kita boleh masuk syurga. Ini sebagaimana dinyatakan dalam hadith berikut:

Dalam hadith Jabir bin Abdillah رضي الله عنه disebutkan sabda Nabi ﷺ,

لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ، وَلَا يُجِيرُهُ مِنَ النَّارِ، وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ

Tidak ada amalan seorangpun yang boleh memasukkannya ke dalam syurga, dan menyelamatkannya daripada neraka. Tidak juga denganku, kecuali dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ

(HR. Muslim No. 2817)

Nabi ﷺ telah beritahu kita bahawa tidak ada sesiapa, termasuk baginda sendiri yang masuk ke dalam syurga hasil daripada amal ibadat yang dilakukan semasa di dunia. Kita hanya dapat masuk dengan rahmat Allah ‎ﷻ sahaja. Ini kerana segala amal ibadat kita, tidak kira berapa banyak, tidak akan cukup untuk membalas segala nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

adalah lebih baik daripada apa yang mereka itu himpunkan

Pengampunan daripada Allah ‎ﷻ dan rahmat-Nya itu lebih baik daripada apa yang dikumpulkan oleh orang-orang munafik itu. Mereka tidak mahu berjuang di jalan Allah ‎ﷻ, dan tentunya tidak mahu infaq atau berkorban apa-apa sahaja. Ini kerana mereka hendak mengumpul kekayaan dunia.

Namun apa yang mereka kumpulkan itu, tidak langsung dapat dibandingkan dengan apa yang akan diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada orang mukmin yang mati di jalan-Nya. Maka dari sini kita kena pandai nilai apa yang lebih menguntungkan diri kita.

Tafsir Ayat Ke-158

Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kalau sesiapa yang mati semasa berjihad di jalan Allah ‎ﷻ, atau mati biasa semasa mengerjakan suruhan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan membalas dengan keampunan dan rahmat daripada-Nya.

وَلَئِن مُّتُّم أَو قُتِلتُم لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

Demi sesungguhnya! Jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).

وَلَئِن مُّتُّم أَو قُتِلتُم

Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh,

Sama ada mati cara biasa atau mati berjihad.

لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan

Kepada Allah ‎ﷻ akan dikumpulkan semua sekali. Tidak pergi ke tempat lain lagi. Maka, apakah yang kita akan persembahkan kepada Allah ‎ﷻ? Apakah dengan dosa atau dengan pahala? Adakah kita beritahu kita sudah jalankan tanggungjawab yang Dia berikan, atau sebaliknya? Jika sebaliknya, apakah hendak dijawab nanti?

Tafsir Ayat Ke-159

Walaupun para sahabat ada yang melakukan kesalahan, tetapi Nabi ﷺ tidak menghukum mereka. Mereka masih boleh duduk-duduk bersama majlis Nabi ﷺ. Nabi ﷺ kata semua yang terjadi itu adalah takdir Allah ‎ﷻ. Cuma Nabi ﷺ berilah nasihat supaya perkara itu jangan bagi terjadi lagi.

Nabi ﷺ boleh bersabar dengan mereka kerana Nabi ﷺ telah diberikan dengan sifat tabah dan sabar. Itu menunjukkan betapa untungnya sahabat Nabi ﷺ, kerana mendapat seorang pemimpin seperti Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat ini adalah tasliah kepada sahabat Nabi ﷺ.

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ ۖ فَاعفُ عَنهُم وَاستَغفِر لَهُم وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ ۖ فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka

Dengan sebab rahmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Nabi ﷺ, maka Nabi ﷺ masih dapat berlembut dengan mereka walaupun kesalahan besar yang mereka telah lakukan di Uhud. Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawasanya sifat berlembut itu datangnya daripada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ mahu supaya Nabi ﷺ berlembut kepada umatnya kerana baginda mewakili rahmat Allah ‎ﷻ. Walaupun kesalahan mereka berat, sampai ramai yang mati, mereka masih boleh duduk-duduk dengan Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ tidak marah mereka.

Ini adalah sifat pemimpin yang baik dan Nabi ﷺ ada sifat ini. Kita juga kena ambil pengajaran daripada sifat ini. Jangan garang sahaja sepanjang masa. Jangan tunjuk sifat marah-marah tidak tentu hala.

وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ

dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Allah ‎ﷻ beritahu yang kalau Nabi ﷺ berlidah tajam فَظًّا (cakap yang menikam hati), atau غَليظَ القَلبِ – hati keras tidak mudah memaafkan orang, nescaya para sahabat yang berjuang bersama baginda itu akan lari daripada baginda. Namun oleh kerana sifat baginda yang lembut terhadap mereka, mereka tidak lari. Mereka tahu mereka salah tetapi mereka masih boleh duduk dengan baginda, kerana Nabi ﷺ masih melayan mereka dengan baik. Ini mengajar kita tentang kepemimpinan.

Kita kena berlembut dengan orang bawahan kita kerana kena jaga emosi mereka. Bayangkanlah para sahabat itu bukan calang-calang manusia. Mereka sanggup bermatian kerana Islam dan kerana Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul utusan Allah ‎ﷻ.

Namun kalau mereka pun kena maki dengan Nabi ﷺ, mereka pun akan lari juga dari sisi baginda kerana tidak tahan telinga dan pecah jiwa mereka. Jadi kalau kita berada dalam kedudukan tinggi dalam keluarga, dalam kelas pengajian, dalam persatuan, dalam halaqah dan sebagainya, kena ambil tahu perkara ini. Walaupun sama-sama belajar, tetapi kalau pemimpin atau ustaz itu jenis kaki maki, tuduh anak murid tanpa usul periksa, anak murid pun boleh lari.

Bukannya anak murid itu tidak mahu belajar, tolak Islam atau munafik, tetapi perangai ustaz itu yang menjauhkan anak murid. Janganlah bila anak murid sudah tidak datang kelas pengajian, tuduh anak murid ‘sudah rasa pandai’… atau pelbagai tuduhan lagi dilemparkan pula. Kena tengok kepada diri sendiri dahulu, apa kesalahan yang diri sendiri sudah buat.

Sama jugalah dengan pemimpin dalam persatuan dan apa-apa perkumpulan pun. Walaupun perkumpulan itu menyokong kuat untuk menegakkan agama Islam. Bukannya mereka sudah tidak mahu tolong agama Islam, tetapi mereka sudah tidak sesuai dengan pemimpin yang memimpin persatuan itu.

Kita jangan pula kata: Nabi ﷺ bolehlah memaafkan mereka sebab baginda itu Nabi. Kita kena ingat yang akhlak Nabi itu adalah contoh ikutan kita kerana Nabi ﷺ bukan memainkan peranan sebagai Rasul sahaja, tetapi juga sebagai ayah, sebagai ketua, sebagai sahabat, dan pelbagai tugas lagi. Ini kerana Nabi ﷺ memakai banyak ‘topi’ dan kita kena peka kepada perlakuan Nabi ﷺ (supaya kita boleh belajar daripada baginda). Kalau bukan akhlak dan contoh Nabi ﷺ yang kita ikuti, contoh siapa lagi?

فَاعفُ عَنهُم

Oleh itu maafkanlah mereka

Maaf sahajalah kesilapan mereka. Semua manusia akan melakukan kesilapan. Para sahabat pun telah belajar daripada kesilapan mereka. Ada ayat-ayat Al-Qur’an yang sudah tegur mereka yang akan kekal sampai ke hari Kiamat dan Allah ‎ﷻ pun sudah maafkan mereka.

وَاستَغفِر لَهُم

dan pohonkanlah ampun bagi mereka,

Nabi ﷺ disuruh minta ampun kepada Allah ‎ﷻ bagi pihak mereka. Mereka pun tentunya sudah berkali-kali meminta pengampunan dan Nabi ﷺ pun disuruh untuk ampunkan mereka.

وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ

dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan

Dan sentiasa meminta cadangan mereka dalam urusan-urusan khas. Masih boleh lagi bermesyuarat dengan mereka. Tunjukkan yang pemdapat mereka diambilkira. Tentu perasaan mereka akan lebih lega kalau dilakukan sebegitu.

Maknanya, jangan sisihkan mereka. Kalau kita tidak marah kepada mereka, tetapi pendapat mereka tidak didengari lagi, tidak diajak mesyuarat lagi, tentulah mereka akan terasa juga, bukan?

Ayat ini juga mengajar pemimpin untuk mendengar pendapat orang bawahan. Betul-betul dengar. Bukan menunjuk macam dengar sahaja, tetapi kemudian idea mereka dimasukkan ke dalam tong sampah. Lagi teruk, semasa mereka beri cadangan pun tunjuk muka tidak percaya.

فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ

Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah,

Cuma dalam mesyuarat, kita tidak boleh tengok kepada kehendak majoriti atau minoriti. Kena tengok dan nilai segala keputusan dan pemimpin kena pilih mana yang terbaik dalam semua pendapat itu. Bukannya buat undian pula kerana bukan semua pendapat yang ramai itu yang terbaik.

Memang minta pendapat ahli bawahan, tetapi akhirnya keputusan di tangan ketua. Ketua kena tanya pendapat yang lain supaya dapat idea-idea lain yang dia mungkin tidak terfikir (kerana bukanlah semua ketua itu pandai-pandai belaka).

Dan kemudian kena ingat, kalau sudah nekad kepada satu keputusan, maka peganglah keputusan itu. Selepas itu, apa sahaja yang berlaku, bukanlah disebabkan oleh keputusan mesyuarat yang salah. Hendaklah serah kepada Allah ‎ﷻ dan bertawakal. Jangan salahkan pilihan semasa mesyuarat dulu.

Apa yang berlaku adalah keputusan Allah ‎ﷻ. Bermesyuarat adalah dasar ikhtiar. Kemudian kena serahkan kepada Allah ‎ﷻ. Kejayaan atau kegagalan di tangan Allah ‎ﷻ. Jangan selepas itu hendak kena hantuk kepala ke dinding dan cakap: “Ish, kalaulah aku pakai keputusan yang lain….!”. Itu buang masa kerana ia telah berlalu dan tidak dapat diulang kembali.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ mahu kita bertawakal dan menyerah kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tawakal itu kena ada dengan redha dengan segala keputusan Allah ‎ﷻ. Dimulakan dengan sedar yang Allah‎ ﷻ itu Tuhan dan kita ini hamba sahaja. Sebagai hamba, kena redha dengan apa yang ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Kena sedar yang usaha kita sebagai manusia adalah terbatas. Kita memang kena usaha, tetapi selepas usaha, kena serah keputusan kepada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-160

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم ۖ وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu;

Orang mukmin sedar yang pertolongan Allah ‎ﷻ akan diberi kepada mukminin yang menjaga syarat (antaranya kena bertaqwa dan taat kepada pemimpin perang).

Dan kita kena sedar yang kita amat memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah‎ ﷻ tolong, tidak akan ada kuasa lain yang dapat mengalahkan kita. Kalimah غالِبَ adalah apabila ada kuasa yang lebih kuat daripada kita yang paksa kita melakukan sesuatu. Tidak kira apa yang mereka ada. Bukankah sudah banyak contoh peperangan yang tentera Islam bilangannya sedikit, tetapi mereka tetap menang? Ini kerana Allah ‎ﷻ yang beri kemenangan itu.

وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ

dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah?

Kalau Allah ‎ﷻ sudah tinggalkan kita, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita langsung, walaupun satu dunia hendak menolong kita.

Perkataan يَخذُلكُم berasal daripada خدل yang bermaksud kawan yang meninggalkan kawannya semasa kawannya itu amat memerlukan pertolongan. Kita memang amat memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ, bukan? Namun bagaimana kalau Allah ‎ﷻ tinggalkan kita? Tentulah amat malang sekali. Maka, hendaklah kita jaga syari’at supaya mendapat pertolongan Allah ‎ﷻ.

Jadi lafaz خدل bermaksud meninggalkan kawan semasa kawan itu memerlukan pertolongan. Inilah yang telah dilakukan oleh puak munafik apabila 300 daripada mereka meninggalkan Nabi ﷺ dan para sahabat di medan Uhud. Sekarang Allah ‎ﷻ kata, kalau Dia tinggalkan kita sewaktu kita memerlukan-Nya, bagaimana? Jika Allah ‎ﷻ biarkan kita kerana akidah kita salah atau kita tidak jaga hukum, tidak ada sesiapa yang akan dapat bantu kita.

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Maka orang yang beriman, kena tawakal kepada Allah ‎ﷻ. Kena jaga hukum Tuhan. Maka itulah sifat orang Mukmin. Maka kita kena sematkan perasaan ini dalam diri kita. Kena usaha untuk dapat tawakal, kena pujuk dan pupuk hati kita. Ia tidak senang kerana sebagai manusia, kita ada sedikit sebanyak rasa kita ada kuasa tetapi kita kena serahkan semua itu kepada Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam.

Kesalahan Di dalam Salat / 32

0

Kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan lokasi Salat (جماع أخطاء المصلّين في أماكن صلاتهم)

Bahagian 1: Sujud di atas tanah Karbala’  (السجود على تربة كربلاء)

* السجود على تربة كربلاء، واتخاذ قرص منها للسجود عليه عند الصّلاة، واعتقاد الأجر والفضل في ذلك 

*Sujud di atas tanah Karbala’ atau mengambil batu-bata Karbala’ sebagai alas sujud dengan kepercayaan adanya pahala dan keutamaan dalam hal itu.

Mari kita perhatikan hujah-hujah yang menyanggahi kepercayaan ini;

ليس في شيء من الأحاديث الصحيحة ما يدل على قداسة كربلاء ، وفضل السجود على أرضها 

i) tidak ada satu pun hadith sahih akan kesucian tanah Karbala’, apatah lagi sujud di atasnya. Jika ia benar-benar sunnah, tanah dan batu di tanah haram Mekah dan Madinah lebih diutamakan.

 

ولكنه من بدع الشّيعة ، وغلوّهم في تعظيم أهل البيت وآثارهم

ii) perbuatan tersebut sebenarnya adalah bid’ah puak Syi’ah lantaran melampauinya kecintaan mereka kepada ahlul bait dan peninggalan mereka. Kesucian tanah Karbala’ adalah menurut akal ulama’ mereka sahaja dan bersumber kepada hadith-hadith yang palsu.

 

Hadith-hadith Karbala’ dalam karya Syi’ah

قال العلّامة الألباني : فقد وقفت على رسالة لبعضهم ، وهو المدعو السيد عبد الرضا (!!) المرعشي الشهرستاني بعنوان ((السجود على التربة الحسينيّة)

Berkata Allamah al-Albani رحمه الله, 

Aku telah mengulas satu risalah mereka (tentang fadhilat tanah Karbala’) karya al-Sayyid Abdul Ridha al-Mar’asyi al-Syahrastani yang bertajuk al-Sujud ala at-Turbah al-Husainiyah (sujud di atas tanah Kehusinan)

 

👁‍🗨 Hadith pertama:

 وورد أن السجود عليها أفضل ، لشرفها وقداستها وطهارة مَنْ دفن فيها

Sujud di atas tanah Karbala’ adalah paling utama lantaran kesucian dan kemuliaannya; kesucian kerana seorang yang dimakamkan di sana (al-Husin bin Ali رضي الله عنه)

 

👁‍🗨 Hadith kedua: 

فقد ورد الحديث عن أئمة العترة الطاهرة عليهم السلام ، أن السجود عليها ينور إلى الأرض السابعة 

Telah disebutkan juga hadith yang bersanad daripada para imam ahlul bait yang suci (maksum) “Bahawa sujud di atas tanah Karbala’ akan menerangi 7 lapis bumi.”

 

👁‍🗨 Hadith ke tiga: 

وفي آخر : أنه يخرق الحجب السبعة ، وفي آخر: يقبل الله صلاة من يسجد عليها ما لم يقبله من غيرها 

Sujud di atas tanah Karbala’ boleh membakar 7 hijab.”

 

👁‍🗨 Hadith ke empat:

“Allah ‎ﷻ akan menerima salat orang yang sujud di atas tanah Karbala’ ketika di tempat lain tidak akan diterima.”

 

👁‍🗨 Hadith ke lima:

(السجود على التربة الحسينية: (ص15).) أن السجود على طين قبر الحسين ينوّر الأرضين

Sujud di atas tanah dari Kubur al-Husin (bin Ali رضي الله عنه) dapat menerangi beberapa lapisan bumi”. (al-Syahrastani, sujud atas tanah al-Husainiyah, ms. 15)

 

Rumusan 

Berikut adalah rumusan kepada pembohongan Syiah dalam pemalsuan hadith seputar fadhail tanah Karbala’:

🚫 Semua hadith-hadith kelebihan sujud di atas batu Karbala’ adalah palsu:

ومثل هذه الأحاديث ظاهر البطلان عندنا ، وأئمة أهل البيت ـ رضي الله عنهم ـ براء منها ، وليس لها أسانيد عندهم ، ليمكن نقدها على نهج علم الحديث وأصوله ، وإنما هي مراسيل ومعضلات

Berkata Syeikh al-Albani, “Hadith-hadith tersebut adalah batil, imam-imam ahlul bait pun berlepas diri daripada pemalsuan tersebut, sanadnya tidak bersambung dan ia tidak memenuhi piawaian ilmu hadith untuk dikritik dan dianalisa sanad dan matannya.”

 

🚫 Tiada hadith keutamaan Karbala’ dalam karya ahli sunnah:

فاعلم أيها المسلم : أنه ليس عند السيوطي ولا الهيثمي ، ولو حديث واحد ، يدل على فضل التربة الحسينية وقداستها 

Kita ketahui bahawa yang mengumpulkan kesemua hadith ialah Imam as-Suyuti dan al-Haithami, tiada satu hadith pun seputar kelebihan tanah atau pasir karbala dalam karya-karya hadith mereka.

 

🚫 Manipulasi atsar Masruq bin Ajda’ (wafat 62H):

فرواة ابن أبي شيبة في ((المصنف)) : (2/43/2) من طريق يزيد بن إبراهيم عن ابن سيرين قال : نبئتُ أن مسروقاً كان يحمل معه لبنة في السفينة ، يعني : يسجد عليها.

Ibn Abi Syaibah dalam musyanafnya daripada jalur sanad Yazid bin Ibrahim daripada Muhammad bin Sirin berkata, “Aku diberi khabar bahawa Masruq membawa tanah Madinah jika dia belayar (untuk sujud).”

Kata al-Albani, atsar ini bermasalah kerana Ibn Sirin meriwayatkan dengan sighah aku diberi khabar, maksudnya bukan haddathana. Lagipun ia adalah atsar tabi’in, Masruq adalah tabi’in. Syiah menggunakan atsar dhaif ini sebagai hujah untuk mensucikan tanah Karbala’.

 

🚫 Rumusan al-Albani رحمه الله, kesucian tanah Karbala’ adalah daripada cerita dongeng Syiah:

فتأمل أيها القارئ الكريم ، مبلغ جرأة الشيعة على الكذب ، حتى على النبي r في سبيل تأييد ما هم عليه من الضلال ، يتبيّن لك صدق مَنْ وصفهم مِنَ الأئمة : ((أكذب الطوائف الرافضة))

Begitulah nekadnya puak syiah melakukan pembohongan, termasuk atas nama Nabi ﷺ, mereka anggap pembohongan itu sebagai kebenaran. Maka imam-imam kita menukilkan, “Yang paling teruk bohongnya adalah puak Rafidhah” 

(Silsilah al-Sahihah 3:162-166)

 

🚫 Rumusan Mulla Ali al-Qari dan al-Syaukani ﺭﺣﻤﻜﻢ ﺍﻟﻠﻪ:

قال الشيخ علي القاري رحمه الله تعالى : (( يستحب ترك موافقة الرافضة فيما ابتدعوه و صار شعاراً لهم، كما هو مقرر في المذهب ، كوضع الحجر فوق السجادة 

“Disunnahkan meninggalkan apa yang disepakati oleh kaum Syiah Rafidhah baik yang jelas bid’ah atau yang menjadi syiar mereka, antara bid’ah mereka ialah meletakkan batu-batu Karbala’ di tempat sujud mereka. 

(Tazyin al-ibarah ms.12, dan Sail al-Jarar 1:217)

Wallahu a’lam.

BELANGSUKAWA: AJK Ukhuwah – Haffiza Majid Dalam Kenangan

0

📌BELANGSUKAWA💝
Puan Haffizabi bt M E Abdul Majid
(1967 – 2021)
Ahli Ukhuwah 2019-2020
AJK Ukhuwah 2020-2022
Admin UiTO.org 2015-2020
Tim Penerbitan Ukhuwah 2020-2022

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا، وَأَكْرِمْ نُزُلَهَا، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهَا، وَاغْسِلْهَا بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهَا مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهَا دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهَا، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهَا، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهَا، وَأدْخِلْهَا الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Dengan penuh hormat dan takzim Persatuan Ukhuwah Teguh [email protected] merakamkan rasa dukacita dan kesedihan ke atas pemergian Puan Haffizabi bt M E Abdul Majid yang telah kembali kerahmatullah pada jam 3.30 pagi 23 Mei 2021 asbab kanser payu dara yang telah lama dihidapinya.

Allahyarhamah telah berada bersama organisasi UiTO.org sejak dari awal penubuhan (2015) dan sehingga tertubuhnya Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia (2019) di mana beliau telah menjadi salah seorang AJK utama. Sepanjang penglibatannya Allahyarhamah telah menjalankan tugasnya secara sukarela dengan penuh dedikasi dan komited sesuai dengan kemampuannya dan sering memberi kata-kata motivasi untuk dirinya dan juga orang lain.

Sesungguhnya UiTO/Ukhuwah telah kehilangan AJK dan ahli yang sukar dicari ganti apatah lagi pada zaman yang serba mencabar ini di mana semangat, keikhlasan, komitmen dan kerja berpasukan menjadi resipi utama dalam sesebuah organisasi ibarat mencari jarum di tengah padang rumput yang menghijau.

Marilah sama-sama kita berdoa agar Allahyarhamah diampuni segala kesalahan dan dosanya, diberi ganjaran kepada setiap kebaikan dan amal yang dilakukannya serta dicurahkan rahmat oleh Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani untuk memasuki syurga Firdaus-Nya. Aaamin.

Kepada yang berhajat untuk memberi sumbangan/infaq kepada keluarga Allahyarhamah bolehlah bank-in ke:

Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia (PPM004-10-04062019)
Maybank
562058070928
Ruj: khairatFizza

Atau

En Mazlan bin Mohd Khalid
Maybank
151043007930

Jazaakumullahu khayr atas keprihatinan dan sumbangan.
Barakallahu fikum.

Che Ab Rahim bin Mahmood
Pengerusi
Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia
http://www.wasap.my/60175248120/AJKFizza

 

La Tahzan 237: Allah Wali orang Beriman (الله ولي الذين امنوا)

0

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-1: Allah Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Allah ‎ﷻ Pelindung Orang Beriman

العبدُ بحاجةٍ إلى إلهٍ ، وفي ضرورةٍ إلى مولىً ، ولابدَّ في الإلهِ من القُدرةِ والنُّصرةِ ، والحُكمِ ، والغنمِ ، والغناءِ والقوةِ ، والبقاءِ . والمُتَّصِفِ بذلك هو الواحدُ الأحدُ الملكُ المهيمنُ ، جلَّ في علاه

Seorang hamba pasti memerlukan Tuhan, sangat berhajat kepada Pelindung
apa yang dinamakan Tuhan mestilah Maha Berkuasa, mampu memberi pertolongan, memutuskan hukum, memberi kekayaan, kekuatan, dan kekal abadi. Yang memenuhi segala kriteria itu cuma Allah yang Maha Esa, Yang Maha Kuasa, dan Yang Maha Memelihara.

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-2: Allah ‎ﷻ Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Allah ‎ﷻ Pelindung Orang Beriman

فليس في الكائناتِ ما يسكُن العبدُ إليهِ ويطمئنُّ به ، ويتنعَّمُ بالتَّوجُّه إليه إلا اللهُ سبحانه ، فهو ملاذُ الخائفين ، ومعاذُ المُلجئِين ، وغوْثُ المستغيثين ، وجارُ المستجيرين

Tidak ada tempat bergantung di alam semesta ini melainkan Allah ‎ﷻ jua, tempat mendapatkan ketenangan, tempat merasakan nikmat menghadap-Nya.
Dialah tempat kembali orang yang ketakutan, tempat berlindung bagi pelarian, tempat bagi orang yang meminta didekatkan…

Firman Allah ‎ﷻ:

* إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ *

Ketika kamu meminta pertolongan kepada Tuhan kamu, maka diperkenankan

[Al-Anfal: 9]

Juga Firman-Nya:

* لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِ وَلِيٌّ وَلاَ شَفِيعٌ *

Maka bagi mereka tiada sebarang pelindung dan pemberi syafa’at selain Allah

[Al-An’am: 51]

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-3: Allah ‎ﷻ Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Orang yang menyembah selain Allah ‎ﷻ

ومنْ عبد غيْر اللهِ ، وإنْ أحبَّه وحصل له به مودَّةٌ في الحياةِ الدنيا ، ونوعٌ من اللَّذَّةِ – فهو مَفْسَدةٌ لصاحبه أعظمُ منْ مفسدةِ التذاذِ أكلِ الطعامِ المسمومِ

Barangsiapa yang menyembah selain Allah ‎ﷻ, yang mencintai sembahannya dan sembahannya itu dapat memberikan mawaddah (nikmat cinta) dalam kehidupan di dunia, sebenarnya dia telah binasa, lebih dahsyat daripada mati kerana terminum racun.

Firman Allah ‎ﷻ:

لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Jika ada di langit dan di bumi tuhan atau dewata selain Allah, sudah tentu keduanya (langit dan bumi) akan hancur. Mahasuci Allah yang memiliki ‘Arsy, daripada apa yang mereka sifatkan.

[Al-Anbiya’: 22]

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-4: Allah ‎ﷻ Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Tauhid Uluhiyah & Rububiyah

وكلُّ منْ لم يتَّخِذ الله ربّاً وإلهاً ، اتَّخذ غيره من الأشياءِ والصورِ والمحبوباتِ والمرغوباتِ ، فصار عبداً لها وخادماً ، لا محالة في ذلك

Siapa pun yang tidak menjadikan Allah ‎ﷻ sebagai Rabb dan ILah, kemudian mengambil selain Allah ‎ﷻ (benda, imej, foto, apa yang dipuja, yang diredhai atau disenangi) sebagai tuhan, maka dia telah menjadi hamba dan khadam kepada sesuatu itu. Itu memang sudah pasti sebagaimana firman Allah ‎ﷻ:

* أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ *

Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan?

[Al-Furqan: 43]

*وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ آلِهَةً *

Dan mereka telah mengambil tuhan-tuhan selain Allah [Maryam: 81]

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-5: Allah ‎ﷻ Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Hadith Hushain

وفي الحديثِ : (( يا حُصيْنُ ، كم تعبدُ ؟ )) قال : أعبدُ سبعةً ، ستةً في الأرضِ ، وواحداً في السماءِ . قال : (( فمنْ لِرغبِك ولِرهبِك ؟ )) . قال : الذي في السماءِ . قال : (( فاترُكِ التي في الأرضِ ، واعبُدِ الذي في السماءِ ))

Dalam sebuah hadith, Nabi ﷺ bertanyakan Hushain*, “Wahai Hushain, berapa banyak tuhan yang engkau sembah (semasa Jahiliyah).” Hushain menjawab, “Saya menyembah tujuh tuhan, enam di bumi dan satu di langit.” Nabi ﷺ bertanya, “Mana satu yang engkau sukai dan segani?” Jawab Hushain, “Tuhan yang berada di langit”. Lantas Nabi ﷺ bersabda,” Tinggalkan tuhan tuhan di bumi dan sembahlah (Tuhan) yang berada di langit.”

Takhrij/Tahqiq:
HR at Tirmidzi, 3483, Al Bazzar, Musnad Al Firdaus, 3580, At Tabran, Al Kabir, 396.
Penilaian Al Albani, dhaif, dhaif Tirmidzi, 3483.

الراوي : عمران بن الحصين | المحدث : الألباني | المصدر : ضعيف الترمذي

الصفحة أو الرقم: 3483 | خلاصة حكم المحدث : ضعيف
التخريج : أخرجه الترمذي (3483) واللفظ له، والبزار (3580)، والطبراني (18/174) (396)

Dinilai hasan oleh Ibn Hajar, Tahzib, 2/384 (تهذيب التهذيب; الصفحة أو الرقم: 2/384)
hasan menurut Ibn Qayyim dalam Wabil Al Sayyib dan Ibn Khuzaimah dalam sahihnya.

________________________
*⃣ Hushain merupakan Hushain bin ‘Ubaid bin Khalaf Al Khuza’iy, ayah kepada Imran bin Hushain, sahabat Nabi ﷺ.

(حصين بن عبيد بن خلف الخزاعي والد عمران.)

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-6: Allah ‎ﷻ Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

واعلمْ أنَّ فقر العبدِ إلى اللهِ ، أنْ يعبد الله لا يُشركُ به شيئاً ، ليس له نظيرٌ فيُقاسُ به ، لكنْ يُشبِهُ – منْ بعضِ الوجوهِ – حاجة الجسدِ إلى الطعامِ والشرابِ ، وبينهما فروقٌ كثيرةٌ

Ketahuilah, keperluan hamba (manusia) kepada Allah ‎ﷻ hanya dengan menyembah Allah ‎ﷻ dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Perbandingannya (walaupun tidaklah tepat) adalah seperti keperluan tubuh kepada makanan dan minuman.

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-7: Allah ‎ﷻ Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Nilai Hati dan Roh

فإنَّ حقيقة العبدِ قلبُه ورُوحُه ، وهي لا صلاح لها إلا بإلهها اللهِ الذي لا إله إلا هو ، فلا تطمئنَّ في الدنيا إلا بذكْرِه ، وهي كادحةٌ إليه كدْحاً فمُلاقيتُه ، ولابُدَّ لها منْ لقائِه ، ولا صلاح لها إلا بلقائِهِ

Hakikat (sebenar) seorang hamba terletak pada hati dan rohnya. Tidak lurus keduanya (hati/roh) kecuali lurus ketuhanannya terhadap Allah ‎ﷻ (tiada Tuhan melainkan Diri-Nya).
Tiada ketenangan buat hati dan roh di dunia ini melainkan dengan berzikir kepadanya. Jika hati berusaha keras untuk ketemu dengan Tuhannya, pasti dia akan bertemu jua. Semua akan menjadi baik bila hamba dapat bertemu dengan-Nya kelak.

🎵 Sebuah syair arab:

ومنْ لقاء اللهِ قد أحبَّا كان له اللهُ أشدَّ حُبّا
وعكسُه الكارِهُ فالله اسألْ رحْمتهُ فضلاً ولا تتكِلْ

Barangsiapa yang menyukai pertemuan dengan Allah, maka Allah sudah tentu lebih lagi menyukainya;
sebaliknya siapa benci bertemu dengan-Nya, maka mohonlah rahmat kurnia-Nya dan jangan engkau harap kepada selain Dia.

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-8: Allah ‎ﷻ Wali orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Nikmat sebenar

ولو حصل للعبد لذَّاتٌ أو سرورٌ بغيرِ اللهِ ، فلا يدومُ ذلك ، بلْ ينتقلُ منْ نوع إلى نوع ، ومنْ شخصٍ إلى شخصٍ ، ويتنعَّمُ بهذا في وقتٍ وفي بعض الأحوالِ ، وتارةً أُخرى يكون ذلك الذي يتنعَّمُ به ويلتذُّ ، غير منعّمٍ لهُ ولا ملتذٍّ له ، بلْ قد يُؤذيهِ اتّصالُه به ووجودُه عنده ، ويضرُّه ذلك

Selain daripada Allah ‎ﷻ, seorang hamba boleh mendapatkan kenikmatan dan kegembiraan, cuma, ia tidak kekal. Kenikmatan itu berpindah daripada satu ke satu jenis yang lain. Pada suatu waktu dia merasa nikmat dengan yang ini, tetapi kemudian benda yang sama tidak lagi memberi nikmat yang sama seperti sebelumnya, bahkan memudaratkan dia.

وأمّا إلههُ فلابُدَّ لهُ منه في كلِّ حالٍ وكلِّ وقتِ ، وأينما كان فهو معه

Adapun bersama Tuhan yang sebenarnya, maka dia pasti berhajat kepada-Nya pada setiap waktu dan keadaan, di mana sahaja, setiap situasi Allah ‎ﷻ bersamanya.

(Itulah nikmat hakiki)

🪴🪴🪴🪴

La Tahzan 237-9: Allah ‎ﷻ Wali Orang Beriman (اللهُ وليُّ الذين آمنُوا)

Keredhaan adalah puncak segalanya

وفي الحديثِ : (( منْ أرضى الله بسخطِ الناسِ ، رضي الله عليه ، وأرضى عنه الناس . ومنْ أسخط الله برضا الناس ، سخِط اللهُ عليه وأسخط عليهِ الناس ))

Dalam sebuah hadith:
“Barangsiapa yang mencari redha Allah ‎ﷻ sekalipun dengan risiko mendapatkan kemarahan manusia, maka Allah ‎ﷻ akan meredhainya, dan akan menjadikan manusia redha kepadanya, dan barangsiapa yang mencari redha manusia dengan menimbulkan kemurkaan Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ murka kepadanya, dan akan menjadikan manusia murka pula kepadanya.”

Takhrij/tahqiq:
HR Tirmidzi 2414; Ibn Hibban 276, Abdul bin Humaid 1522 perawi akhir adalah Aisyah رضي الله عنها.
Dihasankan oleh Syeikh Syuaib Al Arnaout, takhrij sahih Ibn Hibban 276.

التخريج : أخرجه الترمذي (2414)، وابن حبان (276) باختلاف يسير، وعبد بن حميد (1522) مختصراً من حديث عائشة رضي الله عنه.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : شعيب الأرناؤوط | المصدر : تخريج صحيح ابن حبان

الصفحة أو الرقم: 276 | خلاصة حكم المحدث : إسناده حسن

UKHUWAH bersama PALESTIN

0

📍Pengumuman

UKHUWAH bersama Palestin!

Bismillah…

Dalam situasi penularan COVID-19 yang hebat melanda negara kita sekarang di mana mungkin juga dalam kalangan ahli keluarga kita sendiri ada yang terkena musibah, di kuarantin atau sebagai frontliners, kita juga dikejutkan dengan berita keganasan dan kekejaman yang berleluasa di negara saudara seIslam kita, Palestin.

Sehubungan dengan itu bagi menyahut seruan perjuangan solidariti ini dan demi membantu mereka yang dalam kesengsaraan marilah kita berganding bahu bekerjasama dengan agensi dan NGO lain untuk menyumbang kepada tabung rakyat Palestin. Seruan ini juga bersesuaian dengan hadith daripada Nabi SAW:

دَاوُوا مَرضاكُمْ بِالصَّدقةِ

“Rawatlah pesakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah” (HR Abu Daud)

Ikhtiar dan kebergantungan kepada Allah SWT amat penting dalam saat yang getir ini. Selain dari usaha mematuhi SOP di mana jua kita berada, mungkin dengan sumbangan ikhlas kepada rakyat Palestin ini, Malaysia akan kembali pulih daripada pandemik COVID-19 dengan izin Allah SWT.

Bagi yang ingin menyumbang infaq/zakat kepada Palestin melalui UKHUWAH boleh salurkan sumbangan anda sekarang:

Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia (PPM004-10-04062019)
Maybank
562058070928
Ruj: Palestin
Tarikh tutup: 30 Mei 2021

Kutipan dari sumbangan tersebut akan disalurkan terus ke akaun Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan NGO terpilih.

Moga Allah SWT selamatkan Malaysia!
Moga Allah SWT selamatkan Palestin!

Jazaakumullahu khayr.

Wassalam.

Che Ab Rahim bin Mahmood@Cikgu Rahim
Pengerusi
Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia
http://www.wasap.my/60175248120/Palestin

#savepalestine
#israelnews
#infaq
#ukhuwah
#uito.org

At-Tazkirah Qurthubi – Rupa Malaikat Maut Mencabut Nyawa Orang Mukmin dan Kafir

0

Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Kod/Bab 21: Rupa Malaikat Maut Ketika Mencabut Nyawa Orang Mukmin dan Orang Kafir

(ما جاء في صفة ملك الموت عن قبض روح المؤمن و الكافر)

21-1: Atsar Ikrimah (dhaif)

Perihal kengerian manusia di ambang maut ketika melihat wajah malaikat Maut.

Akan dipaparkan sebahagian khabar mengenai kengerian bila malaikat maut menampakkan dirinya kepada orang yang hampir mati:

روى عن عكرمة أنه قال : رأيت في بعض صحف شيث أن آدم عليه السلام قال : يا رب أرني ملك الموت حتى أنظر إليه ، فأوحى الله تعالى إليه : إن له صفات لا تقدر على النظر إليها و سأنزله عليك في الصورة التي يأتي فيها الأنبياء و المصطفين ،

Diriwayatkan daripada Ikrimah (bekas hamba Ibn Abbas رضي الله عنهما , w.105H) , bahawa beliau berkata, “Aku melihat pada suatu Shuhuf Syith (نبي شيث) atau Seth dalam Bible, bahawa Adam عليه السلام berkata, ‘Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku Malaikat Maut, supaya aku boleh melihatnya.’ Allah ‎ﷻ mewahyukan kepada Adam عليه السلام , ‘Sesungguhnya Malaikat Maut itu mempunyai sifat-sifat tertentu yang membuat kamu tidak mampu melihatnya tetapi Aku akan menurunkan dia kepadamu dalam wujud seperti biasa dilihat oleh para Nabi dan orang-orang pilihan.’

فأنزل الله عليه جبريل و ميكائيل و أتاه ملك الموت في صورة كبش أملح قد نشر من أجنحته أربعة آلاف جناح ، منها جناح جاوز السموات و الأرض ، و جناح جاوز الأرضين ، و جناح جاوز أقصى المشرق ، و جناح جاوز أقصى المغرب ، و إذا بين يديه الأرض بما اشتملت عليه من الجبال و السهول و الغياض و الجن و الإنس و الدواب و ما أحاط بها من البحار و ما علاها من الأجواء في ثغرة نحرة كالخردلة في فلاة من الأرض ، و إذا عيون لا يفتحها إلا في مواضع فتحها ، و أجنحة لا ينشرها إلا في مواضع نشرها ، و أجنحة للبشرى ينشرها للمصطفين ، و أجنحة للكفار فيها سفافيد و كلاليب و مقاريض ، فصعق آدم صعقة لبث فيها إلى مثل تلك الساعة من اليوم السابع ، ثم أفاق و كان في عروفة الزعفران . ذكر هذا الخبر ابن ظفر الواعظ المكنى أبو هاشم محمد بن محمد في كتاب النصائح

Kemudian Allah‎ ﷻ menyuruh Jibril عليه السلام, Mikail عليه السلام dan Malaikat Maut turun menemui Adam عليه السلام . Adapun Malaikat Maut sendiri menemui Adam عليه السلام dalam wujud seekor Biri-Biri biru tua. Beliau membentangkan 4000 sayap daripada sayap-sayap yang dimilikinya. Di antaranya ada sayap yang lebarnya mencapai langit dan bumi, ada yang mencapai seluruh bumi-bumi, ada yang mencapai timur yang terjauh, ada juga sayap yang mencapai barat terjauh. Ternyata bagi Malaikat Maut, bumi dengan segala isinya, seperti gunung-gunung, lembah, hutan, Jin, manusia dan bintang dengan segala jenisnya, laut dan udara dengan segala isinya masing-masing semuanya di lekukan leher Malaikat Maut hanyalah seperti sebutir biji sawi berada di tanah lapang. Dan ternyata, beliau juga mempunyai beberapa mata yang hanya buka di tempat-tempat tertentu saja, dan beberapa sayap yang hanya beliau bentangkan di tempat-tempat tertentu saja. Ada sayap-sayap yang dia bentangkan sebagai khabar gembira bagi orang-orang pilihan, dan ada pula sayap-sayap yang beliau bentangkan kepada orang-orang kafir, di mana terdapat batang-batang besi penusuk, batang-batang besi pengait dan gunting-gunting. Melihat itu semua, Nabi Adam عليه السلام sangat terkejut dan pengsan, dan baru sedar kembali pada waktu yang sama di hari ketujuh sejak peristiwa itu. Dan ketika sedar, terasa seolah-olah beliau baru bangkit daripada ranting-ranting Za’faran yang banyak durinya. (Khabar ini disampaikan oleh Ibnu Zhafar Al-Wa’izh yang lebih dikenal dengan nama Abu Hasyim Muhammad bin Muhammad (w.639H, Damsyiq) dalam kitab “An-Nasha’ih”)

Tahqiq:
Syaikh Abdul Rahman Al Sahim (الشيخ عبدالرحمن بن عبدالله السحيم) Jabatan Dakwah dan Irsyad, KSA, wafat 15 Nov 2020.

ما جاء عن عكرمة لا يَصِحّ ؛ لأنه يرويه عن بعض صُحُف شيث !
وهذا يحتاج إلى إثبات صِحّ تلك الصُّحُف أولاً .
وثانيا يحتاج إلى إثبات ما ورد في صِفة ملك الموت

Khabar daripada Ikrimah tidak sahih kerana ia daripada suhuf Syith, tidak boleh sahihkan apa yang ada dalam suhuf tersebut (tidak tahu kewujudannya); Juga apa yang dikhabarkan akan sifat-sifat Malaikat Maut juga tidak sahih.

21-2: Athar Ibn Abbas رضي الله عنهما (Dhaif)

و روى عن ابن عباس أن إبراهيم خليل الرحمن سأل ملك الموت أن يريه كيف يقبض روح المؤمن فقال له : اصرف وجهك عني فصرف ، ثم نظر إليه فرآه في صورة شاب حسن الصورة حسن الثياب طيب الرائحة حسن البشر فقال له : و الله لو لم يلق المؤمن من السرور شيئاً سوى وجهك كفاه ثم قال له : أرني كيف تقبض روح الكافر فقال له : لا تطيق ذلك قال : بلى أرني ، قال : اصرف وجهك عني فصرف وجهه عنه ، ثم نظر إليه فإذا صورة إنسان أسود رجلاه في الأرض و رأسه في السماء كأقبح ما أنت راء من الصور ، تحت كل شعرة من جسده لهيب نار ، فقال له : و الله لو لم يلق الكافر سوى نظرة إلى شخصك لكفاه

Dan diriwayatkan daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما , bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام pernah meminta Malaikat Maut memperlihatkan kepada dirinya bagaimana rupa wajahnya ketika mencabut nyawa orang mukmin. Maka Malaikat Maut berkata, “Palingkan wajahmu daripadaku.” Ibrahim عليه السلام memalingkan wajahnya. Dan setelah itu beliau melihat Malaikat Maut dalam wujud seorang pemuda yang amat tampan, berpakaian indah, beraroma harum, dengan penampilan yang sangat menarik. Maka Ibrahim عليه السلام berkata kepadanya, “Demi Allah‎ ﷻ , andaikan seorang mukmin tidak mendapatkan kegembiraan apapun, selain melihat wajahmu, nescaya cukuplah.”

Kemudian Ibrahim عليه السلام berkata, “Sekarang, perlihatkan kepadaku bagaimana rupamu ketika mencabut nyawa orang kafir.” “Kamu tidak akan kuat,” jawab Malaikat Maut. “Tetapi perlihatkanlah,” desak Ibrahim. Maka Malaikat Maut pun berkata, “Palingkanlah wajahmu.”
Ibrahim عليه السلام memalingkan wajahnya, kemudian melihat kembali Malaikat Maut, dan ternyata dia berupa seorang manusia berkulit hitam. Kedua kakinya di bumi dan kepalanya di langit. Rupanya buruk sekali, seburuk-buruk rupa yang pernah kamu lihat. Di bawah tiap-tiap helai rambut yang ada di tubuhnya ada nyala api. Maka Ibrahim عليه السلام berkata, “Demi Allah‎ ﷻ , andaikan seorang kafir tidak menerima seksa apapun selain melihat wujudmu, nescaya cukuplah itu.”

Takhrij/Tahqiq:
Dikeluarkan oleh Abdul Haq Al Isybili (w.581H, Andalusia), Al Aqobah, 110; Al Ghazali (w.505, Farsi), Ihya’, 4/395

Tahqiq:
Khabar Israeliyat, Majdi Fathi Al Sayid, tahqiq kitab Manazil Al Arwah oleh Muhammad bin Sulaiman Al Kaafizi Al Hanafi, wafat 879H, منازل الأرواح Syaikh محمد بن سليمان الكافيجي الحنفي‎

21-3: Athar Ibn Abbas رضي الله عنهما (Dhaif): Kisah Kewafatan Ibrahim عليه السلام

و قال ابن عباس أيضاً : كان إبراهيم عليه السلام رجلاً غيوراً ، و كان له بيت يتعبد فيه فإذا خرج أغلقه فرجع ذات يوم فإذا هو برجل في جوف البيت فقال : من أدخلك داري ؟ فقال : أدخلنيها ربها ، قال إبراهيم : أنا ربها ، قال : أدخلنيها من هو أملك بها منك ، قال : فمن أنت من الملائكة ؟ قال : أنا ملك الموت . قال : أتستطيع أن تريني الصورة التي تقبض فيها روح المؤمن ؟ قال : نعم ، ثم التفت إبراهيم فإذا هو بشاب فذكر من حسن وجهه و حسن ثيابه و طيب رائحته فقال : يا ملك الموت لو لم يلق المؤمن عند الموت إلا صورتك لكان حسبه ، ثم قبض روحه صلى الله عليه و سلم

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan pula, bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام adalah seorang yang sangat cemburu. Baginda mempunyai rumah khusus untuk beribadah. Kalau Baginda keluar rumah itu dikuncinya. Pada suatu hari Baginda hendak masuk ke rumah itu, dan ternyata di dalamnya sudah ada seseorang. Baginda bertanya, “Siapa yang mengizinkanmu masuk ke rumahku?”
“Aku disuruh masuk oleh pemiliknya,” jawab orang itu.
“Aku pemiliknya,” kata Ibrahim عليه السلام . Orang itu kembali menjawab, “Aku disuruh masuk oleh Yang lebih memiliki daripada kamu.”
Dengan jawapan itu agaknya Ibrahim عليه السلام maklum, maka Baginda bertanya, “Kalau begitu Malaikat yang manakah kamu?”
“Aku Malaikat Maut.” Kata orang itu memperkenalkan.
Ibrahim عليه السلام berkata, “Dapatkah kamu memperlihatkan diri kepadaku dengan rupa seperti kamu mencabut nyawa orang mukmin?” “Ya,” jawab Malaikat Maut.

Dan setelah Ibrahim عليه السلام menoleh kepadanya, ternyata dia telah berubah menjadi seorang pemuda yang tampan wajahnya, indah pakaiannya dan harum aromanya. Maka Ibrahim عليه السلام berkata, “Hai Malaikat Maut, andaikan orang mukmin pada saat meninggal dunia tidak memperoleh apa-apa selain melihat rupamu, nescaya cukuplah itu.” Kemudian Ibrahim عليه السلام pun dicabut nyawanya.

Takhrij:
Dikeluarkan oleh Abdul Haq Al Isybili (w.581H, Andalusia), Al Aqobah, 140; Ihya Ulumiddin, 4/448
dhaif, kerana Israelliyat.

Tahqiq Syaikh Ali bin Hasan Al Halabi: Tidak ada sanad

منبر الأسئلة والأجوبة لفضيلة الشيخ علي بن حسن الحلبي-حفظه الله-. > منبر الأسئلة التي أجاب عنها فضيلة شيخنا علي بن حسن الحلبي الأثري-حفظه الله-.
تحديث الصفحة ما صحة حديث لقاء إبراهيم-عليه السلام-بملك الموت.
ذكره الغزالي والقرطبي وعبد الحق!
ولم أر له سنداً!!

Allahu a’lam.

La Tahzan 236: Manfaatkan Kesihatan dan Waktu Lapang (الصِّحَّةُ والفراغُ)

0

🕰🕰🕰🕰

La Tahzan 236-1: Manfaatkan Kesihatan dan Waktu Lapang (الصِّحَّةُ والفراغُ)

ينبغي ألا تضيِّع صِحَّة جسمِك ، وفراغ وقتِك ، بالتقصيرِ في طاعةِ ربِّك ، والثِّقةِ بسالفِ عمِلك ، فاجعلْ الاجتهاد غنيمة صحَّتِك ، والعمل فرصة فراغِك ، فليس كلُّ الزمانِ مستعداً ولا ما فات مستدركاً ، وللفراغِ زيْغٌ أو ندمٌ ، وللخْلوةِ مَيْلٌ أو أسفٌ

*⃣ Tidak boleh mensia-siakan kesihatan dan masa lapang melainkan dengan mentaati Allah ‎ﷻ sentiasa
*⃣ Tidak boleh bergantung dengan amalan-amalan silam (perlu sentiasa menambah amal)
*⃣ Manfaatkan ketika masih sihat dan isikan waktu yang terluang
*⃣ Setiap saat tidak dapat memberikan pulangan yang terbaik; setiap masa yang luput tidak boleh ditebus lagi
*⃣ Dalam waktu luang, ada penyimpangan atau penyesalan; ketika bersendirian ada kecenderungan atau keresahan

🕰🕰🕰🕰

La Tahzan 236-2: Manfaatkan Kesihatan dan Waktu Lapang (الصِّحَّةُ والفراغُ)

وقال عمرُ بنُ الخطابِ : الراحةُ للرجالِ غفْلةٌ ، وللنساءِ غُلْمةٌ

Berkata (Amirul Mukminin) Umar Al Khattab رضي الله عنه: “Banyak rehat bagi lelaki adalah kelalaian (ghaflah), sedangkan bagi kaum wanita adalah membaranya hawa nafsu (ghulmah).” (Al Mawardi, Adab Ad Dunya Aa Ddin, 1/100)

Maksudnya:
Bagi orang lelaki, banyak berehat adalah suatu kelalaian; bagi wanita duduk sahaja, tanpa berbuat apa-apa akan mencetuskan hawa nafsunya (ke arah kejahatan) sama ada “membawang” (mengumpat) atau keluar shopping.

🕰🕰🕰🕰

La Tahzan 236-3: Manfaatkan Kesihatan dan Waktu Lapang (الصِّحَّةُ والفراغُ)

وقال بزرجمهرُ : إنْ يكنِ الشغلُ مَجْهَدةً ، فالفراغُ مفْسدَةٌ

Berkata Bazarjamhar (Persian: Bozorgmehr-e Bokhtagan), menteri dan ahli falsafah era Kisra I (empayar sasanid Farsi Lama) berkata, “Jika kesibukan akan membuahkan hasil, maka waktu terluang akan menimbulkan kerosakan.”

وقال بعضُ الحكماءِ : إيَّاكمْ والخلواتِ ، فإنها تُفسدُ العقول ، وتعقِدُ المحلول

Berkata ahli hikmah, “Jauhilah olehmu bersendirian (mengelamun), ia merosakkan pemikiran dan mencelarukan apa yang sudah selesai.”

🕰🕰🕰🕰

La Tahzan 236-4: Manfaatkan Kesihatan dan Waktu Lapang (الصِّحَّةُ والفراغُ)

Kata-kata hikmah

وقال بعضُ البلغاءِ : لا تمضِ يومك في غير منفعةٍ ، ولا تضعْ مالك في غيْر صنيعةٍ ، فالعمرُ أقصرُ منْ ينفَدَ في غيرِ المنافعِ ، والمالُ أقلُّ منْ أنْ يُصرف في غيرِ الصانع ، والعاقلُ أجلُّ منْ أنْ يُفني أيامه فيما لا يعودُ عليه نفعُه وخيرهُ ، ويُنفق أموالهُ فيما لا يحصُل له ثوابُه وأجْرُه

Berkata ahli hikmah yang lain,

🗯 Jangan biarkan harimu berlalu tanpa manfaat
🗯 Jangan kau laburkan hartamu pada sesuatu yang tiada pulangan
🗯 Umur terlalu pendek untuk disia-siakan
🗯 Hartamu terlalu sedikit untuk untuk kau labur dalam pelaburan yang tidak produktif

*⃣ Orang yang genius akalnya tidak patut menghabiskan masanya dengan hal-hal yang tiada memberi manfaat dan kebaikan;
dan membelanjakan hartanya untuk perkara perkara yang tidak menghasilkan pahala.

🕰🕰🕰🕰

La Tahzan 236-5: Manfaatkan Kesihatan dan Waktu Lapang (الصِّحَّةُ والفراغُ)

Sabda Isa Al Masih عليه السلام

وأبلغُ منْ ذلك قولُ عيس ابن مريم ، على نبينا وعليه السلامُ : البرُّ ثلاثةٌ : المنطقُ ، والنَّظرُ ، والصَّمتُ ، فمنْ كان منطقُه في غيرِ ذكرٍ فقد لغا، ومنْ كان نظرُه في غيْرِ اعتبارٍ فقدْ سها ، ومنْ كان صمْته في غيرِ فِكْرٍ فقد لها

Isa Al Masih عليه السلام bersabda, “Kebaikan ada tiga hal: Ungkapan, penglihatan dan diam.

*⃣ Barangsiapa yang ungkapannya selain zikir, maka telah lagha;
*⃣ Barangsiapa pandangannya bukan untuk mengambil iktibar, maka dia telah lalai;
*⃣ Barangsiapa yang diamnya tidak kerana tafakkur maka dia telah sia-sia.

✍ Tahqiq:
Al Mawardi, Adab Ad Dunia Wa Ad Deen, ms 100.
Tanpa sanad (Israeliyat).

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-152 hingga Ke-154

0

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-152

Allah‎ ﷻ telah beritahu yang Dia akan bantu orang Islam dengan berikan perasaan takut orang kafir kepada tentera Islam. Allah‎ ﷻ telah berjanji akan membantu orang Islam dalam peperangan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa kekalahan orang Islam adalah kerana mereka sendiri yang tidak menjaga syari’at.

وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ وَعَصَيتُم مِّن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم ۖ وَلَقَد عَفا عَنكُم ۗ وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.

وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya,

Allah ‎ﷻ sekarang menceritakan keadaan semasa permulaan Perang Uhud. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia telah menunaikan janji yang umat Islam akan mengalahkan orang kafir. Pada peringkat awal, memang tentera Islam telah dapat membunuh tentera Musyrikin Mekah satu persatu. Umat Islam waktu itu sedang berada di atas. Mudah sahaja untuk mereka membunuh orang-orang kafir itu.

حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم

sehingga ke masa kamu lemah

Allah ‎ﷻ telah membantu mereka sehingga ada antara orang Islam itu yang lemah dalam semangat untuk taat kepada Rasulullah ﷺ dan ketua mereka waktu itu, iaitu Abdullah bin Jabir رضي الله عنه. Abdullah رضي الله عنه adalah ketua yang ditugaskan untuk mengetuai pasukan pemanah yang sedang berjaga di atas sebuah bukit yang mengawal tempat strategik dalam peperangan itu.

Abdullah bin Jabir رضي الله عنه sudah pun melarang mereka daripada turun dari tempat memanah itu (seperti yang telah diarahkan oleh Rasulullah ﷺ sendiri). Namun mereka berdegil dan hendak turun juga. Nabi Muhammad ﷺ telah menyusun strategi dengan membahagikan tentera kepada tiga pasukan iaitu pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan musuh. Manakala pasukan pemanah seramai 50 orang telah ditempatkan di atas bukit Uhud. Semua tentera pemanah tidak dibenarkan meninggalkan tempat masing-masing kecuali dengan arahan baginda sama ada kalah atau menang.

وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ

dan kamu berbalah dalam urusan

Dan kerana hendak turun juga dari tempat pemanah, mereka telah berselisih pendapat tentang arahan Rasulullah ﷺ. Ini terjadi antara Abdullah رضي الله عنه dan orang bawahan. Ada yang kata kena duduk tunggu di tempat memanah dan ada yang hendak turun.

Mereka yang hendak turun itu kata, kalau kalah sahaja Rasulullah ﷺ larang tinggalkan tempat itu, tetapi sekarang mereka sudah menang, maka bolehlah mereka turun. Ada yang kata, kalah atau menang, selagi Nabi ﷺ tidak benarkan dan beri arahan untuk turun, jangan turun.

وَعَصَيتُم

serta kamu telah menderhaka

Para sahabat ada yang telah menderhakai arahan. Begitulah mereka yang turun dari tempat memanah itu telah derhaka. Mereka melawan ketua yang dilantik oleh Nabi ﷺ. Mereka dikira telah menderhaka kerana sepatutnya kena taat kepada pemimpin yang dipilih oleh khalifah.

Maka kita kena ingat yang ini adalah ajaran penting dalam agama. Kena ikut arahan kepada pemimpin (selagi dalam perkara yang tidak melanggar syari’at). Ini kita telah diajar dan dilatih dalam ibadah seperti dalam salat, kena ikut imam. Kita telah dilatih dalam salat pun untuk taat kepada pemimpin (dan kalau hendak tegur pun, ada cara untuk tegur dan jangan keluar begitu sahaja). Jadi ini adalah salah satu daripada falsafah salat.

مِن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ

sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai

Mereka jadi goyang daripada taat kerana Allah‎ ﷻ telah menunjukkan kemenangan yang mereka suka. Mereka sangka mereka sudah menang, musuh sudah lari dan harta rampasan perang sudah ada di depan mata.

Apabila tentera musuh telah nampak mereka akan kalah, maka mereka telah bertempeliaran lari meninggalkan medan pertempuran (dan ditinggalkan barang-barang mereka kerana itu akan melambatkan pergerakan mereka). Pasukan pemanah itu pun telah nampak barang-barang yang telah ditinggalkan oleh tentera musuh itu.

Mereka turun itu pun sebab hendak menolong kumpul harta sahaja. Ini kerana bukan boleh ambil lagi pun, tetapi mereka hendak beri khidmat kepada sahabat yang lain. Harta rampasan perang (ghanimah) mesti dikumpulkan dan selepas itu baharu dibahagikan, tidak boleh terus diambil. Jadi kita kena bersangka baik yang mereka sebenarnya hendak tolong berkhidmat kepada orang lain.

Jadi ini bermaksud, mereka hendakkan dunia tetapi untuk tujuan akhirat. Mereka bukanlah berebut-rebut hendakkan harta rampasan itu untuk diri mereka (jangan fikir begitu). Mereka pun nampak tentera Islam tengah menang, musuh pun sedang lari, jadi apa salahnya, (mereka fikir).

Maka, minda dan emosi mereka sedang berlawanan antara suasana dan arahan. Suasana waktu itu mereka sangka membolehkan mereka meninggalkan tempat mereka. Namun arahan daripada Nabi ﷺ sebelum itu, jangan turun. Malangnya, mereka telah kalah dengan suasana. Begitu jugalah kita yang tahu ada arahan dan larangan daripada Allah ‎ﷻ, tetapi kadangkala kalah dengan suasana.

مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ

Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat,

Ada daripada para sahabat yang mahukan dunia dan ada yang mahukan akhirat bersungguh-sungguh. Oleh itu ada yang tetap tunggu di atas bukit walaupun nampak musuh sudah kalah. Mereka taat kepada arahan Nabi ﷺ yang sudah pesan jangan turun. Akan tetapi kerana mereka sudah sedikit, mereka tidak dapat mempertahankan serangan kedua daripada tentera musuh.

ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم

kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji kamu;

Asalnya memang Allah ‎ﷻ telah beri kemenangan kepada Muslim tetapi kemudian Allah ‎ﷻ telah mengalihkan kemenangan yang sedang berada pada pihak Muslimin kepada pihak musuh pula. Tujuannya adalah untuk menguji mereka dan juga ini memberi pengajaran kepada orang Islam supaya lain kali jangan buat begini lagi.

Kesilapan mereka itu memang kesilapan yang besar kerana apabila Khalid al Walid nampak ada pasukan pemanah atas bukit meninggalkan tempat mereka, itu adalah peluang untuk mengambil tempat itu. Ini kerana dia tahu yang tempat itu adalah tempat yang strategik. Dia dan pasukannya telah membunuh sahabat yang masih ada di atas bukit dan mereka pula menyerang tentera Islam dari atas bukit itu.

Sampaikan tentera Islam yang lain pula (yang berada di medan pertempuran) yang kena lari naik ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri. Ini adalah pengajaran yang amat besar. Kekalahan mereka waktu itu adalah kerana tidak taat kepada arahan pemimpin.

وَلَقَد عَفا عَنكُم

dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu,

Dan Allah ‎ﷻ telah memaafkan kesalahan sahabat yang meninggalkan bukit itu. Ini adalah kelebihan sahabat di mana Allah ‎ﷻ telah memaafkan mereka. Dan mereka telah menanggung kesedihan yang amat sangat kerana kesilapan mereka itu. Ini kita kena ingat, yang Allah ‎ﷻ telah maafkan mereka.

Jangan kita kutuk mereka pula. Kesilapan mereka itu menjadi pengajaran bagi kita dan sedikit sebanyak, mereka telah berjasa. Jika kita dalam kedudukan mereka pun entah apa yang kita buat. Jadi kita boleh sahaja belajar daripada ayat ini tanpa mengutuk para sahabat itu.

وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ memberi kelebihan khusus kepada mukminin kerana mereka masih tetap dalam akidah mereka. Selagi kita menjaga syari’at dan menjaga apa yang perlu dijaga, maka Allah ‎ﷻ akan beri bantuan kepada kita. Maka kita tidak akan takut kalau kita serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Namun janganlah serahkan kosong sahaja, kenalah ikut tatacara dan syari’at. Oleh itu kena belajar sebanyak mungkin.

Tafsir Ayat Ke-153

Kesan apabila meninggalkan tanggungjawab ikut arahan ketua.

۞ إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم ۗ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun,

Ayat ini merujuk ketika tentera Muslim pula diserang dengan ganas, keadaan telah menjadi kacau bilau sehinggakan tentera Muslim pula yang terpaksa lari ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri (Bukit Uhud telah ditawan).

Mereka tidak berpaling memandang ke arah lain pun kerana takut sangat. Seperti kita kalau takut sangat, sudah tidak nampak orang lain lagi, tahu hendak lari sahaja. Sampaikan Nabi ﷺ panggil mereka pun mereka tidak pandang. Sepatutnya ketakutan itu pada orang kafir, tetapi mereka pula yang menjadi takut.

وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم

sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu

Sedangkan Nabi ﷺ memanggil mereka untuk kembali meneruskan perjuangan. Rasulullah ﷺ waktu itu masih lagi di medan pertempuran dan tidak melarikan diri tetapi mereka sudah tidak mendengar lagi kerana takut sangat. Jangan kata orang lain panggil, Nabi ﷺ sendiri panggil pun mereka sudah tidak dengar. Walaupun pada waktu itu Nabi ﷺ sedang dikepung oleh musuh. Namun mereka ketika itu hanya teringat untuk selamatkan diri mereka sahaja.

فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ

Oleh sebab itu Allah membalas kamu kesedihan di atas kesedihan

Allah ‎ﷻ telah menimpakan ke atas mereka, kesedihan penyesalan yang bertimpa-timpa. Kesedihan dan penyesalan pertama adalah kerana tidak taat kepada Rasulullah ﷺ dan yang kedua kerana kalah dalam peperangan.

لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم

supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu.

Ada jumlah muqaddar (tidak ditulis dalam teks) di sini; iaitu ia tidak tertera dalam ayat, jadi perlu diberitahu dalam tafsir supaya jelas. Perkara sebegini perlu dijelaskan dengan tafsir. Itulah sebabnya penting belajar tafsir, kerana kalau baca daripada terjemahan sahaja, tidak akan jelas.

Maksud potongan ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menceritakan kisah tentang kesalahan mereka dan kemudian memberitahu bahawa Dia telah memaafkan mereka supaya mereka tidak berterusan dalam kesedihan atas kekalahan perang itu dan musibah yang menimpa mereka. Kalaulah tidak ada ayat tentang Allah ‎ﷻ memaafkan mereka, tentulah kesedihan akan terus berpanjangan dan mereka menjadi murung pula sampai tidak boleh buat kerja lain.

Tafsir Ayat Ke-154

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِّن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُّعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِّنكُم ۖ وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ ظَنَّ ٱلجَـٰهِلِيَّةِ‌ ۖ يَقولونَ هَل لَّنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ ۗ قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ ۗ يُخفونَ في أَنفُسِهِم مّا لا يُبدونَ لَكَ ۖ يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ مّا قُتِلنا هَـٰهُنَا‌ ۗ قُل لَّو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم ۖ وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkan-Nya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini” katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِّن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُّعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِّنكُم

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Dia menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu

Selepas kesedihan dan penyesalan mereka itu, Allah‎ ﷻ tukar perasaan mereka dengan أَمَنَةً – ketenangan. Ini adalah pemberian Allah ‎ﷻ kepada tentera mukmin dalam peperangan.

Perasaan ketenangan itu berbentuk نُعاسًا – rasa mengantuk. نُعاسًا adalah peringkat awal untuk tidur. Waktu itu mata mula hendak terkatup dan badan pun sudah mula lemah. Ini agak pelik kerana waktu itu sedang menghadapi peperangan. Namun dengan cara itu, Allah ‎ﷻ menghilangkan perasaan sedih, perasaan takut daripada hati mereka yang dalam peperangan itu.

Bayangkan, dalam suasana perang yang selalunya kacau bilau, selepas diserang balas dengan teruk oleh tentera musuh, Allah ‎ﷻ bagi rasa tenang seketika, dalam bentuk mengantuk. Kesannya selepas itu, mereka akan rasa segar dan boleh berfikir dengan tajam. Ia boleh dikatakan sebagai “Power Nap”.

Bukan semua orang dapat. طائِفَةً مِنكُم – segolongan daripada kamu sahaja. Hanya orang mukmin sahaja yang dapat perasaan itu.

وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ

sedang segolongan yang lain yang rasa cemas pada diri mereka, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar,

Orang-orang munafik tidak mendapat ketenangan itu. Memang sudah ada golongan munafik yang sudah awal-awal lagi meninggalkan medan perang. Namun masih ada lagi dalam kalangan tentera Islam yang munafik. Mereka tidak pergi balik di awal-awal peperangan itu dan mereka seumpama terperangkap dalam kalangan tentera Mukminin itu.

Oleh kerana mereka ada sifat munafik, mereka tidak mendapat ketenangan yang disebut itu. Mereka sebaliknya dicemaskan dengan perasaan bimbang dan keluh kesah kerana mereka telah membuat kesilapan (dan mereka sedar tentang kesilapan mereka itu). Mereka masih dalam ketakutan kerana takut diserang musuh bertubi-tubi.

ظَنَّ ٱلجَـٰهِلِيَّةِ‌ۖ

seperti sangkaan orang-orang jahiliyah.

Mereka ada sangkaan buruk yang tidak benar kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana sangkaan orang jahiliyah. Padahal mereka sepatutnya sudah meninggalkan fahaman jahiliyah mereka kerana mereka sepatutnya sudah kenal Allah ‎ﷻ, ayat-ayat Al-Qur’an pun telah banyak dibacakan kepada mereka.

Hanya mereka yang tidak kenal Allah ‎ﷻ sepertimana yang diajar dari dalam Al-Qur’an sahaja yang akan berkata begitu. Apakah sangkaan jahiliyah mereka itu? Mereka sangka Allah ‎ﷻ tidak bantu orang Islam. Mereka tidak ada pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah pemahaman yang amat salah. Kita kena letak pengharapan yang tinggi dengan Allah ‎ﷻ, yakin dengan Allah ‎ﷻ. Inilah yang ada pada golongan mukmin sejati. Yang sangsi dengan Allah ‎ﷻ adalah sifat munafik.

يَقولونَ هَل لَّنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ

Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian daripada perkara ini?

Ini adalah kata-kata golongan munafik itu. Mereka bertanya: adakah hak bagi mereka untuk campur tangan dalam urusan peperangan itu sedikit sebanyak?

Ini merujuk kepada kejadian awal ketika proses cadangan untuk berperang dibentangkan kepada para sahabat. Puak munafik telah memberi cadangan untuk bertahan di Kota Madinah sahaja. Namun ada dalam kalangan golongan muda seperti mendesak Nabi ﷺ untuk berperang di luar. Mereka rasa bersemangat kerana mengenangkan kemenangan tentera Islam di Badr di mana mereka tidak berpeluang menyertainya. Mereka berhujah, jika mereka telah bertahan di kota, kalaulah mereka kalah, nanti akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula.

Sedangkan golongan yang tua seperti Saidina Abu Bakr رضي الله عنه termasuk juga puak munafik berpendapat supaya mereka bertahan di Kota Madinah sahaja (bukanlah bermakna Abu Bakr رضي الله عنه dalam kalangan munafik pula). Cara perang begitu pun tidak salah kerana akan senang untuk mempertahankan tempat kalau dekat dengan kubu sendiri.

Cuma orang munafik mahu mereka bertahan di kota sahaja sebab senanglah mereka hendak curi tulang tidak ikut berperang. Mereka boleh menyorok di rumah, dan kalau ditanya mereka berada di mana semasa peperangan, mereka boleh kata masa tu mereka sedang pertahan dekat tempat sana, tempat sini… Walaupun cadangan mereka dan golongan seperti Abu Bakr رضي الله عنه sama, tetapi niat mereka tidak sama.

Jadi, potongan ayat ini adalah tentang persoalan mereka kepada Nabi ﷺ kerana mereka rasa pendapat mereka tidak didengari. Mereka suarakan balik kepada Nabi ﷺ. Mereka hendak ungkit: “Kalaulah ikut pendapat mereka hari itu……”

قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara itu semuanya ditentukan oleh Allah,

Allah ‎ﷻ jawab bahawa segala urusan peperangan itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Semuanya dalam qada’ dan qadar Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang memberi penentuan dan penetapan tentang apa yang akan berlaku. Semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ, jadi jangan rasa kalau ikut itu dan ini, akan selamat.

يُخفونَ في أَنفُسِهِم مّا لا يُبدونَ لَكَ

Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu.

Mereka menyembunyikan apa yang dalam hati mereka, iaitu mereka sebenarnya menentang Islam. Mereka bukannya hendak mempertahankan Islam pun. Yang mereka zahirkan, kononnya hendak beri cadangan.

يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ مّا قُتِلنا هَـٰهُنَا‌ۗ

Mereka berkata: “Kalaulah ada sedikit bahagian kita daripada perkara itu, tentulah kita tidak terbunuh di tempat ini”
Golongan munafik kata, kalaulah cadangan mereka diambil kira dahulu, nescaya mereka tidak akan kalah di medan Uhud kerana mereka kata jika pertahan di Kota Madinah, mereka lebih tahu selok belok kawasan itu. Jadi mereka akan ada kelebihan ke atas pihak musuh.

Ini mengajar kita, kalau keputusan mesyuarat telah dijalankan, dan mesyuarat itu telah dijalankan dengan cara yang sepatutnya, hasil daripada mesyuarat itu tidak boleh diungkit. Selepas keputusan dibuat dan usaha telah dijalankan, yang perlu dilakukan ada tawakal kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau ungkit, itu adalah tanda munafik.

قُل لَّو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم

katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun, nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing

Allah ‎ﷻ kata kalau mereka duduk di rumah mereka pun, mereka akan keluar ke tempat mati mereka juga. Maknanya, kalau mereka bertahan di Madinah pun, tentu mereka akan bertemu dengan orang yang telah ditakdirkan untuk membunuh mereka.

Sama ada orang yang ditakdirkan akan bunuh mereka itu datang kepada mereka, atau mereka sendiri akan keluar bertemu dengan orang yang ditakdirkan akan membunuh mereka. Mati akan tetap mati juga mengikut ketetapan Allah ‎ﷻ. Jangan sangka kamu dapat elak kematian dengan usaha kamu sahaja.

وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم

untuk Allah menguji apa yang ada dalam dada kamu,

Ada jumlah muqaddar di sini: Allah ‎ﷻ jadikan kejadian yang telah terjadi di Perang Uhud itu kerana banyak sebab untuk diambil pengajaran. Antaranya kerana Allah ‎ﷻ hendak uji apa yang ada dalam hati mereka. Selepas diuji, baru jelas siapa yang mukmin dan siapa yang munafik.

وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم

dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu.

Dan supaya Allah ‎ﷻ menghilangkan was-was dalam hati mereka daripada bisikan syaitan. Membersihkan apa yang dalam hati mereka. Golongan yang mukmin akan belajar daripada apa yang berlaku dan akan membersihkan hati mereka.

وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan Allah mengetahui segala yang ada di dalam dada

Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia. Sama ada mereka ada sifat nifak atau tidak. Janganlah rasa boleh sembunyikan isi hati kita daripada Allah ‎ﷻ. Ia tidak akan berlaku.

Allahu a’lam.

Ramadhan dan Syawal: Menjana Taqwa dan Iman Berpanjangan

0

وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَمَثُوبَةٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

“Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala daripada sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui” [ al-Baqarah: 103 ]

#Orang mukmin adalah orang yang merindukan status taqwa. Ini kerana, status taqwa adalah posisi yang sangat tinggi dalam kehidupan manusia. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ…

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)” [ al-Hujurat: 13 ].

#Bukan Sultan, bukan Presiden, bukan Perdana Menteri, bukan wakil rakyat, bukan ahli perniagaan, bukan menteri, bukan gabenor, bukan ustaz yang mulia kedudukannya, tetapi siapa pun dia dan apa pun status dan kerjayanya, jika dia beriman dan bertaqwa, maka pastilah dia menjadi yang termulia pada pandangan Allah SWT. Sayidina Ibnu ‘Abbas r.huma berkata:

كرم الدنيا الغنى، وكرم الآخرة التقوى.

“Mulianya seseorang di dunia adalah kerana kaya. Namun mulianya seseorang di akhirat kerana taqwanya” (Dinukil dalam tafsir al-Baghawi)

#Menjadi orang yang bertaqwa memang luar biasa tinggi darjatnya. Dan orang bertaqwa pastilah orang yang bahagia. Terdapat banyak ayat yang Allah SWT perintahkan kita semua agar benar-benar berusaha menjadi orang yang bertaqwa. Dijanjikan kepada kita, negara kita, bangsa kita, keturunan kita, jika kita bertaqwa, maka kita akan mendapatkan pelbagai curahan barakah dari langit dan bumi.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” [ al-A’raf: 96 ]

#Maka, jika begitu mulia dan nikmatnya menjadi orang yang bertaqwa, tentu rugilah sekiranya puasa dan ibadah kita tidak mampu membawa kita kepada darjat taqwa.

يَا بَنِي آَدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآَتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik” [ al-A’raf: 26 ]

Berusahalah untuk mencapai darjat taqwa. Semoga ibadah puasa, qiyam Ramadhan dan sambutan aidilfitri dapat menjana taqwa dan meningkatkan iman dalam diri kita semua. Aamiiin.

Eid Mubarak 1442H

تقبل الله منا و منكوم
كل عام وانتم بخير

Semoga Allah SWT menerima amal kami dan kamu.
Semoga sepanjang tahun kamu dalam kebaikan.

uito.org

#Stayathome
#staysafe
#kitajagakita

Popular

Iklan

Iklan