Utama Blog Halaman 28

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-147 hingga Ke-151

0

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-147: Apa pula doa mereka?

وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا وَإِسرافَنا في أَمرِنا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata:

Allah ‎ﷻ ajar kita apakah doa yang mereka lafazkan semasa mereka sedang berjihad. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang mengajar cara lafaz doa. Doa-doa itulah yang patut kita amalkan (dalam keadaan yang sesuai).

Namun janganlah pula pakai tangkap muat ayat Al-Qur’an dan dijadikan doa. Kena tengok sama ada ayat itu ayat doa ataupun tidak. Orang kita yang jahil dengan wahyu dan konsep doa, suka mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai doa tetapi ayat itu bukan doa pun dan tidak kena mengena dengan hajat mereka. Ini adalah penyalahgunaan ayat-ayat Al-Qur’an sebenarnya.

رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا

Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami

Tutuplah dosa-dosa kami dan apa-apa kesalahan yang telah kami lakukan. Manusia memang tidak lari daripada melakukan dosa selagi mereka hidup.

Mereka minta diampunkan dosa walaupun mereka sedang melakukan jihad fisabilillah. Ini adalah kerana dosa adalah perkara yang akan menyebabkan kesusahan kepada kita. Antaranya, kerana dosalah yang akan memasukkan kita ke dalam neraka. Walaupun kita beriman, tetapi kalau kita ada dosa, maka kena dicuci terlebih dahulu dosa itu di neraka. Setelah sekian lama, barulah dimasukkan ke dalam syurga. Takkan kita tidak takut?

Ini juga adalah adab dalam berdoa. Hendaklah kita memohon ampun atas dosa kita dahulu (sebelum minta perkara yang lain) kerana kita pun tahu, kita ini banyak dosa. Janganlah terus minta pelbagai perkara namun dalam masa yang sama, kita sendiri tahu yang dosa kita banyak.

Dosa juga menyebabkan doa tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ. Maka, sebelum meminta apa-apa, mintalah Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita. Sebanyak mana pun dosa kita, Allah ‎ﷻ masih boleh ampunkan. Kalau kita kurang dosa, maka makin lancarlah doa kita itu.

وَإِسرافَنا في أَمرِنا

dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami,

Tutuplah kesalahan kami yang mana kami telah melampaui batas. Mungkin kita sebagai manusia, ada buat terlebih daripada yang sepatutnya. Mungkin kita sudah buat benda yang baik, tetapi kadang-kadang tanpa kita sedari, kita buat benda yang tidak patut pula.

Dalam konteks peperangan, mungkin ada buat benda yang tidak patut dengan musuh; atau ada cakap benda yang tidak patut. Contohnya, cakap besar, sombong dan sebagainya. Kita minta Allah ‎ﷻ ampun dan tutupkan kes itu semua supaya kita tidak malu di akhirat kelak.

وَثَبِّت أَقدامَنا

dan teguhkanlah tapak pendirian kami

Teguhkanlah kaki-kaki kami dalam peperangan ini. Jangan sampai kami takut sehingga kami lari. Memang peperangan amat menakutkan sesiapa sahaja. namun, kalau seorang itu telah yakin dengan agama dan dengan perjuangan, kaki mereka akan teguh.

Kaki yang lari itu adalah kerana hati mereka sendiri yang tidak teguh. Maka, kita kena kuatkan keyakinan dalam hati dulu dan ini pun memerlukan pertolongan daripada Allah ‎ﷻ untuk menetapkan pendirian kita. Kalau setakat kita hendak kuatkan diri kita, rasanya tidak cukup kuat lagi.

وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

Mereka meminta pertolongan daripada Allah ‎ﷻ untuk mengalahkan musuh (orang kafir). Ini kerana kalau tanpa bantuan Allah ‎ﷻ, tidaklah akan menang. Kalau bukan daripada bantuan Allah ‎ﷻ, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Ini kerana kalau kita ramai, kelengkapan perang pun kuat dan banyak, tetapi kalau Allah ‎ﷻ tidak bantu, adakah akan menang dan berjaya? Tentu tidak! Maka jangan lupa minta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Para Mujahid dahulu pun cakap begitu juga. Kita telah dengar doa yang sama dalam Surah Baqarah apabila tentera Talut bertemu dengan tentera Jalut dahulu. Inilah doa yang kita kena ingat.

Tafsir Ayat Ke-148

Apakah balasan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka?

فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا

Oleh itu, Allah memberikan mereka balasan di dunia

Allah ‎ﷻ beri kelebihan kepada mereka kerana doa mereka itu. Begitulah, senjata yang paling hebat adalah doa. Allah ‎ﷻ beri balasan di dunia lagi dengan kepuasan iman. Mereka tidak kaya raya tetapi mereka rasa puas dengan apa yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka dan itulah nikmat yang paling besar.

وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ

dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya

Mereka akan mendapat balasan di akhirat yang lebih baik. Tentulah balasan di akhirat itu jauh tersangat-sangat baik daripada apa yang kita boleh dapat di dunia. Sebab itu kita kena pentingkan akhirat. Dunia jangan dilupakan, cuma kena dilebihkan akhirat.

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Allah ‎ﷻ amat suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik. Allah ‎ﷻ suka mereka yang hati ikhlas. Allah ‎ﷻ suka mereka yang memperbaiki diri mereka. Maka kita kena sematkan dalam diri kita untuk sentiasa melakukan kebaikan.

Tafsir Ayat ke-149

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Allah ‎ﷻ berikan nasihat kepada orang-orang yang mengaku beriman. Dengarlah nasihat ini.

إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا

Jika kamu taat kepada orang-orang yang kafir

Orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini termasuk juga golongan munafikin. Luaran mereka nampak Islam, tetapi hati mereka kufur. Allah‎ ﷻ mengingatkan supaya jangan mengikut cadangan mereka yang bercanggah dengan akidah.

يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم

nescaya mereka akan membalikkan kamu kembali kepada kekufuran,

Ia adalah amat bahaya sebab boleh menyebabkan murtad. Para sahabat yang mukmin telah beriman dengan sebenarnya, tetapi kalau mereka terikut-ikut dengan kata-kata dan cadangan orang-orang Munafik, boleh menyebabkan mereka kembali kufur.

فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ

lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

Rugi maksudnya segala usaha kita tidak mendapat bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka rugi kerana ada peluang untuk mendapat kebaikan di akhirat tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Mereka akan menyesal dengan penyesalan yang amat tinggi nanti. Waktu itu tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi.

Tafsir Ayat Ke-150

بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم ۖ وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ

(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.

بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم‌

Bahkan Allah Pelindung kamu,

Yang kita harapkan dan dambakan adalah perlindungan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat melindungi kita dengan sebenarnya dan kerana Allah ‎ﷻ sahaja pelindung kita, maka kenalah kita jaga syari’at. Janganlah taat dan ikut kepada golongan munafik itu tetapi ikutlah Allah ‎ﷻ. Jagalah syari’at kerana mereka tidak dapat menolong kamu sedikit pun, tetapi Allah ‎ﷻ sahaja yang menjadi penolong kamu nanti.

وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ

dan Dia lah sebaik-baik Penolong.

Tidak ada sesiapa lagi pun yang boleh membantu sebagaimana Allah‎ ﷻ boleh bantu kita. Kalau ada orang hendak bantu, tetapi Allah ‎ﷻ tidak benarkan, tidak akan terjadi juga. Namun kalau Allah ‎ﷻ hendak bantu kita, walaupun semua makhluk menghalang daripada bantuan itu sampai, maka ia tidak akan terjadi.

Allah ‎ﷻ boleh membantu kita dengan cara yang paling baik. Allah‎ ﷻ tahu apa yang kita perlukan dan Dia akan beri yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita sangka kita mahukan satu perkara terjadi, tetapi Allah ‎ﷻ lebih tahu, maka Dia boleh jadikan perkara lain yang terjadi, dan ia pasti lebih baik untuk kita.

Sebagai contoh, tentulah para sahabat mahukan kemenangan dalam Perang Uhud itu, tetapi Allah ‎ﷻ telah berikan kekalahan kepada mereka. Tentu ada kebaikan dan kelebihan daripada perbuatan Allah ‎ﷻ itu. Allah‎ ﷻ telah menjelaskan banyak sebab kenapa Dia lakukan perkara itu. Yang kita perlu buat adalah percaya dengan tindakan Allah ‎ﷻ. Belajar redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ lakukan.

Tafsir Ayat Ke-151

Ini adalah contoh bantuan yang Allah ‎ﷻ beri.

سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًا ۖ وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ ۚ وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ

Kami akan campakkan ke dalam hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun,

Allah ‎ﷻ akan campakkan rasa takut yang amat sangat ke dalam hati orang-orang kafir, sampai mereka takut kepada umat Islam walaupun bilangan mereka ramai dan tentera Islam itu sedikit sahaja. Ini boleh terjadi kalau tentera Islam itu mengamalkan apa yang sepatutnya (taat Allah ‎ﷻ, taat pemimpin dan sebagainya). Memang ada kisah orang kafir (kemudian masuk Islam) menceritakan yang dahulu mereka takut sangat dengan tentera Muslim.

بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًا‌ۖ

disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya.

Kenapa Allah ‎ﷻ beri mereka perasaan takut kepada orang Islam? Kerana mereka membuat syirik. Apa yang mereka buat itu tidak ada dalil daripada Allah ‎ﷻ. Bila syirik bertemu tauhid, pengamal syirik akan kalah dan mereka akan berasa takut.

Begitulah juga, puak-puak orang Islam yang mengamalkan syirik di negara ini – amalan mereka itu tidak ada dalil daripada Allah ‎ﷻ atau Nabi. Sebagai contoh, banyak amalan-amalan puak tarekat tidak ada dalil. Mereka reka dengan amalan yang mereka dapat daripada ilmu khayalan guru-guru mereka yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kalau hendak tahu, tanya sahaja manakah dalil daripada amalan mereka itu.

Malangnya orang-orang kita yang jahil agama (terutama sekali jahil dengan wahyu), mudah terikut kerana nampak seperti mudah sahaja untuk mendapat kedudukan tinggi dalam agama, kononnya dapat maqam itu dan ini. Mereka mencari jalan pintas, tetapi itu semua adalah karut sahaja.

Satu lagi masalah besar adalah golongan silat di negara kita. Banyak sangat amalan-amalan untuk kuasa kuat, laju, dapat perlindungan dan sebagainya. Mereka ada mentera-mentera yang mereka baca, tetapi malangnya itu semua adalah untuk memanggil jin belaka.

وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ

tempat kembali mereka ialah neraka,

Puak-puak yang mengamalkan syirik, akan dimasukkan ke dalam neraka. Sama ada puak syirik dalam kalangan orang kafir atau dalam kalangan orang yang mengaku Muslim pun. Amatlah menyedihkan sekali. Mereka bertungkus lumus mengamalkan amalan salah mereka, namun akhirnya masuk neraka. Mereka sangka masuk syurga dengan mudah, tetapi mereka akhirnya masuk neraka.

وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

Orang yang mengamalkan syirik dikatakan orang-orang zalim. Lafaz مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.
Kalimah zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah menzalimi Allah ‎ﷻ iaitu tidak diberikan kedudukan yang sepatutnya kepada Allah ‎ﷻ: itulah dosa besar melakukan syirik.

Allahu a’lam.

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta (Sambungan)

0

[Sekarang kita lihat antara contoh nama-nama Allah ‎ﷻ. Nanti kita akan belajar nama-nama ini satu persatu.]

Nama Allah Al-Hamid Al-Majid (Yang Maha Terpuji) mencegah dari ditinggalkan manusia dalam keadaan sia-sia, tidak diperintah dan tidak dilarang, tidak diberi pahala atau seksa.

[Allah ‎ﷻ amat terpuji dan Dia memuji kalau kita buat benda baik. Allah‎ ﷻ terpuji maknanya Dia tidak akan buat perkara yang tidak layak bagi-Nya. Semua benda Allah ‎ﷻ buat pasti kita sanjung sebab terlalu hebat. Ini termasuklah penciptaan kita, tidaklah lahir, hidup dan kemudian mati begitu sahaja.

Kalau manusia yang membuat sesuatu, kadangkala kita pun kehairanan (“Eh kenapalah dia buat macam ini?”) Namun Allah ‎ﷻ tidak akan berbuat begitu. Segala penciptaan-Nya dipuji dan kita tidak akan terfikir ia adalah sia-sia sahaja. Jika difikirakan kalau perkara itu adalah sia-sia maka itu salah satu sifat yang cela.]

Demikian pula nama Allah “Al-Hakim” (Yang Mahabijaksana) tidak sejalan dengan hal tersebut.

[Kalau Allah ‎ﷻ bijaksana, maka tentulah apa sahaja yang Allah‎ ﷻ buat adalah baik dan hebat. Cuma kita sahaja kadangkala tidak faham. Kerana itulah ada manusia yang mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ‎ telah takdirkan. Contoh seperti Presiden Trump dilantik menjadi Presiden Amerika, ada yang hairan dan persoalkan kenapalah dia boleh menjadi Presiden? Semuanya dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak faham kenapa Allah‎ ﷻ takdirkan begitu. Tentu ada perkara yang Allah ‎ﷻ telah rancangkan.

Sebagaimana kita berdakwah kepada orang, tetapi dia tidak mahu terima. Mungkin kita hairan kenapa orang itu tidak terima. Namun bayangkan, manusia terbaik iaitu Nabi Muhammad ﷺ berdakwah pun ada yang tidak terima. Maka jangan salahkah cara, teknik atau apa-apa sifat daripada pendakwah kerana Allah ‎ﷻ yang belum memberikan hidayah kepadanya.]

Dan nama Allah “Al-Malik” (Yang Maharaja) dan “Al-Hayyu” (Yang Mahahidup) mencegah dari ditiadakannya perbuatan dari Allah. Bahkan hakikah kehidupan itu sendiri adalah perbuatan, setiap yang hidup itu pasti berbuat. Keberadaan Allah Ta’ala sebagai Sang pencipta dan Yang Maha Berdiri Sendiri merupakan konsekuensi dari hidupnya.

[Sebagaimana seketul batu yang kita katakan tidak hidup sebab tidak berbuat apa-apa. Jadi kita kenalah terima apa-apa yang terjadi adalah kerana perbuatan daripada Allah ‎ﷻ. Cuma kita sahaja tidak faham kenapa Allah ‎ﷻ buat dan bagaimana Allah ‎ﷻ buat.]

Nama Allah “As-Samii” (Yang Maha Mendengar) dan “Al-Bashir” (Yang Maha Melihat) mengharuskan ada yang Dia dengar dan Dia lihat.

[Bila Allah ‎ﷻ mendengar dan melihat, tentulah ada benda yang Allah ‎ﷻ dengar dan lihat. Maka kita kena hati-hati dengan segala perbuatan dan percakapan kita]

Nama Allah “Al-Khaliq” (Yang Maha Mencipta) mengharuskan adanya makhluk ciptaan-Nya, “Ar-Razzaq” (Yang Maha Memberi Rezeki) dan “Al-Malik” (Yang Maha Merajai) mengharuskan adanya kerajaan, pengaturan, pemberian dan pencegahan, kebaikan, keadilan, pahala dan siksa.

[Bila Allah ‎ﷻ yang memberikan rezeki, maka Dia juga yang menyekat rezeki. Namun kadang-kadang kita berikan kuasa itu kepada manusia pula kerana ada yang kata menteri menyebabkan kami miskin dan sebagainya.

Bila Allah ‎ﷻ jadi Raja, tentulah ada perkara yang dirajai, diarah, dikawal]

Nama Allah “Al-Barru” (Yang Mahabaik), “Al-Muhsin” (Yang Mahabaik), “Al-Mu’thi” (Yang Maha Memberi) dan “Al-Mannan” (Yang Maha Memberi) dan selainnya mengharuskan adanya pengaruh dan dampaknya.

[Yang memberi nikmat kepada kita seperti matahari, udara dan sebagainya semua datang daripada Allah ‎ﷻ. Mudah sahaja kita mendapat semua perkara itu. Ini kerana sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang baik dan beri kebaikan kepada kita. Ada haiwan yang kita senang sahaja dapat kawal walaupun binatang-binatang itu lebih kuat dan besar daripada kita.

Allah ‎ﷻ yang memudahkan kehidupan ini bagi kita kerana kita bukanlah makhluk terkuat, terpantas dalam dunia ini. Namun begitu Allah ‎ﷻ menjadikan kita yang paling bijak. Supaya kita dapat hidup di dunia ini.]

Nama Allah “Al-Ghaffar” (Yang Maha Mengampuni), “At-Tawwab” (Yang Maha Menerima Taubat), “Al-‘Afwa” (Yang Maha Memaafkan) mengharuskan adanya perbuatan dosa manusia yang diampuni-Nya, adanya taubat yang diterima, dan kejahatan yang dimaafkan, demikianlah keadaan semua nama Allah yang baik.

[Apabila Allah ‎ﷻ sebut Dia Maha Pengampun, maka tentulah ada kebarangkalian makhluk-Nya ada yang berdosa. Kalau tidak, buat apa Allah ‎ﷻ menjadi Maha Pengampun dan Pemaaf? Sebagaimana riwayat hadith seperti di bawah menyatakan, kalaulah kita tidak berdosa dan tidak meminta ampun, maka Allah ‎ﷻmenghapuskan kita dan menjadikan makhluk lain yang akan berdosa dan akan meminta ampun. Ini kerana sifat Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi ﷺ:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ، وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ ، فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

“Demi Dzat yang diriku berada ditanganNya, jika kalian tidak berbuat dosa Allah akan hilangkan kalian dan Allah akan datangkan kaum lain yang berdosa, lalu mereka pun minta ampun kepada Allah, Allah pun ampuni dosa mereka.” (HR. Imam Muslim 2.749)

Maknanya, kita semua akan pasti membuat dosa. Allah ‎ﷻ pun sudah ada makhluk yang tidak membuat dosa, iaitu para malaikat. Jadi Allah ‎ﷻ tidak perlu membuat makhluk yang tidak berdosa lagi. Maka Allah ‎ﷻ menjadikan kita supaya kita ada membuat kesalahan dan akan meminta ampun kepada-Nya kerana Dia suka kita minta ampun kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ memuji manusia yang taat kepada-Nya di hadapan malaikat. Malaikat tidak pelik kalau mereka taat dan takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka nampak benda-benda ghaib. Namun kita yang tidak nampak Allah ‎ﷻ dan tidak nampak alam kerajaan Allah ‎ﷻ ini, bila kita takut kepada-Nya dan taat kepada-Nya, memang ia adalah sesuatu yang hebat.

Semua nama-nama Allah ‎ﷻ ada maksud di sebaliknya yang kita kena belajar dan perhalusi. Bukanlah nama kosong sahaja sebagaimana nama rekaan manusia. Contoh Parti Keadilan, tidak semestinya parti itu adil. Ada orang bernama Nur Islam, tidak semestinya melambangkan Islam. Ada yang nama Qawwi, tidak semestinya kuat.]

[Memanglah kita tidak suka musibah yang terjadi ke atas kita tambahan pula yang bertimpa-timpa. Anak meninggal, suami isteri meninggal, cerai berkali-kali, bertunang asyik putus, siapa yang mahu? Namun ketahuilah yang ada hikmah di dalamnya kerana apa sahaja yang Allah ‎ﷻ lakukan, tentulah ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak nampak.

Namun begitu, kadangkala kita akhirnya nampak juga setelah sekian lama, mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Pada ketika itu mulalah kita berkata: “Patutlah aku tak jadi tunang dengan A, dapatlah aku kenal dengan B, lagi baik insannya; dengan ibubapa A dua-dua meninggal, dia kena duduk dengan pakcik dia. Tapi pakcik dia orang senang, dapatlah bagi pendidikan yang lebih kat dia.. sekarang dah jadi doktor dah.. kalau dengan ibubapa dia, mungkin tak mampu…. etc.”

Namun begitu, ketika dugaan itu menimpa diri, memang kita akan berasa amat perit dan pedih serta sedih sekali tetapi kalau kita yakin dengan perancangan Allah ‎ﷻ, kita pasti akan dapat menerimanya. Walaupun kita mungkin tidak faham lagi pada waktu itu kenapa sesuatu itu terjadi.]

Barangsiapa yang merenungkan nama-nama dan sifat-sifat Allah dalam alam semesta, maka hal tersebut akan menunjukkan hamba kepada iman terhadap kesempurnaan Rabb Ta’ala dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta perbuatan-perbuatan Allah yang terpuji.

Allah Ta’ala, dalam setiap takdir-Nya memiliki hikmah yang mendalam, tanda-tanda kekuasaan-Nya yang jelas dan pengenalan kepada hambaNya tentang nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Selain itu, menyeru mereka untuk mencintai, mengingat, bersyukur, dan beribadah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya yang baik.

[Sebagai contoh lihat Rum: 48 – 50

ٱللَّهُ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُۥ فِى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ يَشَآءُ وَيَجْعَلُهُۥ كِسَفًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَٰلِهِۦ ۖ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.

Ini merupakan sejenis awan yang dikenali sebagai ‘Stratus’ iaitu awan yang rata. Hujan yang turun tidak diikuti dengan petir dan kilat. Sebab itu ada hujan tiba-tiba turun sahaja tanpa kilat dan petir. Jadi ini merupakan sejenis hujan yang tenang sahaja.

وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيْهِم مِّن قَبْلِهِۦ لَمُبْلِسِينَ

Dan Sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.

فَٱنظُرْ إِلَىٰٓ ءَاثَٰرِ رَحْمَتِ ٱللَّهِ كَيْفَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi yang sudah mati. Sesungguhnya (Tuhan yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Hati manusia yang sugul pun boleh bertukar menjadi gembira apabila hujan diturunkan kepada mereka. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ juga boleh menghidupkan hati yang mati. Ini terjadi kalau dapat dilihat pada kesan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Ia berlaku apabila kita melihat perbuatan Allah ‎ﷻ dalam alam ini.]

Setiap nama mengandung ibadah khusus di dalamnya -baik secara ilmu, pengenalan dan keadaan. Hal ini tidak terwujud, kecuali dengan perenungan, persaksian yang bermanfaat tentang nama yang sesuai dengannya. Orang yang paling sempurna peribadahannya adalah orang yang melaksanakan konsekuensi nama-nama dan sifat-sifat yang telah dikhabarkan-Nya kepada manusia.

[Manusia yang sempurna adalah yang mengenali nama-nama Allah ‎ﷻ dan mengambil pengajaran daripada nama-nama itu. Makin banyak tahu, maka makin banyak penyerahan kepada Allah ‎ﷻ, makin banyak pemahaman tentang Allah ‎ﷻ.]

Dia tidak terhalang oleh salah satu nama dalam melaksanakan konsekuensi nama yang lain. Contohnya: ketika dia melaksanakan konsekuensi nama Allah ‘Al-Qadiir” (Yang Mahakuasa) dia tidak tercegah untuk beribadah atau melaksanakan konsekuensi nama Allah yang lain iaitu “Al-Halim” (Yang Maha lembut) dan “Ar-Rahim” (Yang Maha Pemurah), dan tidak terhalang oleh nama Allah “Al-Mu’thi” (Yang Maha Pemberi) dari pengamalan nama Allah “Al-Maani” (Yang Maha Pencegah) dan tidak terhalang oleh pengamalan nama Allah yang bersifat kecintaan, kebaikan, kemuliaan, kelembutan dan pemberian keutamaan dari pengamalan nama Allah yang bersifat keadilan, kemuliaan, keagungan, kebesaran dan lain sebagainya.

Inilah metode orang-orang sempurna yang berjalan menuju kepadaNya dan itulah jalan yang bersumber dari metode Al-Qur’an.

[Maksudnya di sini dia terima SEMUA nama-nama Allah ‎ﷻ. Dia tidaklah menolak mana-mana nama Allah ‎ﷻ. Sebagaimana penganut Kristian yang sudah menjadi pening kerana hanya menerima Tuhan bersifat rahman sahaja… sedangkan Allah ‎ﷻ ada juga mempunyai sifat menghukum, sifat keras dan sebagainya. Pada orang yang alim, dia tahu Allah ‎ﷻ mempunyai banyak sifat dan tidaklah melihat sifat-sifat itu berlawanan. Ada masa sifat ini yang lebih, ada masa lain sifat lain pula yang lebih.

Contohnya Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi Dia bersifat lembut dengan hamba-Nya. Tidaklah hanya buat begitu sahaja. Memang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi apa yang Allah‎ ﷻ lakukan adalah dalam bentuk lemah lembut dan kasih sayang. Jika manusia diberikan kuasa untuk boleh berbuat apa sahaja, mesti ada yang menggunakan kuasa itu dengan kekerasan, bukan?

Sebagaimana kita dengan emak ayah kita. Memang ada kalanya mereka garang tidak memberi kita makan apa sahaja yang kita hendak makan. Namun, kalau kita selalu meminta dan merayu kepada mereka, akhirnya mereka akan beri juga. Mereka memang ada kuasa ke atas kita, tetapi kerana kita merayu, maka mereka berilah juga. Ini kerana mereka juga ada sifat belas kasihan kepada kita. Allah‎ ﷻ tentu lebih lagi kasih dan sayang kepada hamba-Nya.

Kalau kita lihat sifat Allah ‎ﷻ yang boleh berbuat apa sahaja, agaknya kita rasa tidak perlu untuk kita meminta apa sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi dalam masa yang sama, kalau kita ingat yang Allah‎ ﷻ ada sifat Halim dan Rahim itu, maka kita tergerak untuk meminta kepada-Nya. Sifat-sifat Allah ‎ﷻ seiringan, bukanlah satu mengalahkan yang lain.

Satu lagi sifat Allah‎ ﷻ adalah memberi tetapi dalam masa yang sama Allah ‎ﷻ menahannya pula. Ini seolah-olah seperti berlawanan pula, bukan? Kedua-dua sifat Allah ‎ﷻ ini bekerja sebenarnya. Ini kerana ada masa Allah ‎ﷻ memberi dan ada kala Allah ‎ﷻ menyekat. Sebagai contoh, kita tahu yang memberi rezeki adalah Allah ‎ﷻ; tetapi kadangkala kita lupa yang menahan rezeki itu juga Allah ‎ﷻ.

Kadangkala Allah ‎ﷻ memberi pangkat, tetapi kadangkala Allah ‎ﷻ menahan kita daripada naik pangkat. Yang bagi pangkat, Dia, yang tahan pun Dia juga. Janganlah pula salahkan orang lain.

Para ustaz pun kadangkala ada masalah untuk memahami perkara ini. Bila anak murid ramai, dia suka tetapi bila ada ustaz lain mengajar dan mengambil anak muridnya, dia marah pula. Sedangkan yang memberikan anak murid itu adalah Allah ‎ﷻ dan yang memberikan anak murid kepada ustaz lain pun, Dia juga. Maka kalau kita faham hal ini, tidaklah kita gelabah dan terasa hati.

Apabila gagal untuk memahami akan hal inilah yang menyebabkan kita marah kepada kerajaan apabila ekonomi merudum, seolah-olah kerajaan pula yang menyekat rezeki kita. Sedangkan Allah ‎ﷻ juga yang menyekat rezeki kita, bukan? Itu adalah suasana berbeza yang Allah ‎ﷻ wujudkan sebagai ujian bagi kita. Jadi, janganlah kita lihat satu sifat sahaja, tetapi lupa kepada sifat yang lain pula. Jika kita beriman dengan satu nama sahaja, maka kita akan ada masalah nanti, akan murung pula nanti.

Semua ini adalah atas sifat keadilan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ itu maha adil. Namun ada yang tidak faham. Ada yang tanya kalau Allah ‎ﷻ adil, kenapa tidak diberikan ganjaran syurga sahaja kepada semua manusia? Jawabnya cuba lihat contoh keadaan situasi universiti kita. Kalaulah semua yang masuk universiti itu diberi kelulusan yang sama, sama ada yang ada belajar atau tidak, adakah itu adil? Tentulah tidak. Ia hanya layak kepada yang belajar dan berusaha sahaja. Cuba bayangkan seseorang itu memasuki universiti untuk menjadi doktor, tetapi dia tidak belajar pun, adakah anda yakin untuk mendapat rawatan dan nasihat perubatan daripadanya ?]

وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا

“Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna.” (Al-A’raaf: 180).

Kata-kata doa di dalam ayat ini mencakup doa mas’alah (permintaan) dan doa ibadah. Allah Ta’ala menyeru hamba-hamba-Nya untuk mengenal diri-Nya melalui nama-nama dan sifat-sifat-Nya, dan untuk memuji diri-Nya dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya, serta beribadah kepada-Nya sesuai dengan konsekuensi nama-nama dan sifat-sifat tersebut.

[Selepas mengenali nama-nama Allah ‎ﷻ itu, ada reaksi kita terhadap nama-nama itu. Ada nama yang kita kena takut, ada yang kena berharap, ada yang kena redha, ada yang kena merayu, ada yang kena doa dan pelbagai reaksi lagi]

Allah Ta’ala mencintai nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta mencintai pengaruhnya dalam ciptaan-ciptaan-Nya, kerana sesungguhnya hal ini merupakan kelaziman kesempurnaan-Nya. Allah Ta’ala membukakan bagi hamba-hamba-Nya, pengenalan terhadap-Nya serta pemahaman tentang nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Allah menyeru hamba-hamba-Nya di dalam Al-Qur’an untuk mengenal-Nya melalui dua jalan:

1) Memperhatikan makhluk-makhluk ciptaan-Nya, kerana hal tersebut lebih memahamkan manusia kepada nama-nama dan sifat-sifat-Nya.

2) Merenungkan ayat-ayat Allah.

Pertama memperhatikan tanda-tanda kekuasaan Allah yang tersirat.

Kedua, merenungkan ayat-ayat Allah yang tersurat.

Kedua-duanya merupakan pintu yang luas dalam mengenal Rabb Yang Maha Terpuji dan Sesembahan Yang Maha mulia. Maha suci Allah yang telah memperkenalkan DiriNya kepada makhlukNya dengan semua bentuk pengenalan dan menunjukkan mereka kepadanya dengan berbagai macam metode serta membuka bagi mereka semua jalan dan Allah menancapkan baginya jalan yang lurus, memperkenalkan dan menunjukkan kepadanya,

[Kalimah ‘ayat’ itu bermaksud ‘tanda’ sebenarnya. Di sini kita dapat tahu yang ayat itu ada dua jenis: ayat yang dilihat dan ayat yang dibaca. Yang dilihat itu adalah tanda pada alam dan yang dibaca itu adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Kita menggunakan kedua-dua jenis ayat ini untuk mengenal Allah ‎ﷻ.

Semua ada peluang untuk mengenal Allah ‎ﷻ dengan tahap mereka. Pelajar dengan cara mereka, orang awam dengan cara mereka, seorang Professor mungkin lebih lagi kefahamannya. Namun yang penting mereka cuba memahami Allah ‎ﷻ. Kita kena berusaha mengenal Allah ‎ﷻ dengan cara melihat alam dan dengan cara tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an.

Perkara ini perlu dilakukan berterusan dan bukannya apabila sudah terkena musibah baru hendak terfikir. Dalam keadaan senang dan susah kena ingat kepada Allah ‎ﷻ dan mengambil pengajaran daripada apa sahaja yang berlaku. Jangan dalam masjid sahaja ingat Allah ‎ﷻ. Ia dimulai dengan mempelajari nama-nama Asmaul Husna ini.]

لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ

Iaitu agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu dengan keterangan nyata (pula). Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Anfal:42)

[Kalau seseorang itu kufur bukan kerana kecelaruan agama tetapi kerana dia sendiri tidak mengambil peluang. Ini kerana dia tidak mengikut keterangan yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Mereka sebenarnya tahu mana yang baik, tetapi cuma degil tidak mahu ikut sahaja. Kita sahaja sangka mereka jahil tidak tahu, tetapi sebenarnya mereka tahu.

Orang-orang yang masuk Islam itu beritahu yang dulu semasa mereka luar Islam pun mereka sudah tahu kebenaran, tetapi mereka sahaja yang menolaknya.

Namun sebaliknya orang yang berjaya adalah kerana mereka mengikut keterangan yang Allah ‎ﷻ telah berikan dalam wahyu. ]

Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 5/2021

0

Minum Sambil Berdiri

Soalan 1:

Doktor, benarkah kenyataan seperti didalam gambar tersebut?

Jawapan:

Tiada kajian saintifik mengenai perkara tersebut.

[Merujuk kepada kenyataan Pejabat Mufti Wilayah yang berpandangan hukum makan dan minum sambil berdiri hukumnya adalah makruh tanzihi, yang tidak sampai ke tahap haram. Ini berdasarkan kepada tarjih Imam Al-Nawawi yang menganggapnya sebagai makruh tanzihi.

Namun begitu, mengambil kira banyaknya hadith yang melarang, dan sebahagian ulama yang mengharamkannya, maka kami menasihati agar menjauhi amalan makan dan minum sambil berdiri ini semampu yang mungkin. Makan dan minum dalam keadaan duduk secara tertib juga merupakan satu adab Islam yang perlu dipelihara.]

https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2797-al-kafi-914-hukum-makan-dan-minum-sambil-berdiri

 

Masalah Kutil dan Biji Kolesterol

Soalan 2:

Doktor, bagimanakah cara mahu menhilangkan kutil dan biji kolesterol pada leher?  Adakah sebarang ubat untuk menghilangkan kutil tersebut dan adakah ia berpunca daripada faktor pemakanan?

Jawapan:

Anda disarankan untuk berjumpa dengan pakar Estetik atau Pakar Kulit untuk membuang kutil tersebut.

[Kutil ialah sejenis tumor kulit yang terhasil akibat lapisan luar kulit yang tebal dan berlebihan.  Kutil berpunca daripada ‘Human Papilloma’ Virus (HPV), yang menyerang kulit apabila berlakunya pembentukan kutil terdiri daripada pelbagai saiz, sama ada sekecil pasir hinggalah sebesar biji kacang.

Pakar sains mengenal pasti lebih daripada 100 jenis virus unik dan kebanyakan orang pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu kutil biasa dalam hidup mereka, biasanya pada tangan.]

https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/06/60910/kutil-hodohkan-kulit

 

Masalah Pedih Ulu Hati

Soalan 3:

Doktor, apakah rawatan untuk pedih Ulu Hati, saya rasa tidak selesa untuk bernafas?

Jawapan:

Anda perlu membuat pemeriksaan, ada kemungkinan anda menghadapi masalah Refluks Asid.

[Penyakit GERD (Gastroesophageal Reflux Disease) juga dikenali sebagai Asid refluks adalah keadaan di mana asid di dalam perut mengalami refluks dan naik semula ke dalam saluran esofagus.]

https://thediagnosa.com/asid-refluks-gerd-punca-simptom-rawatan/

 

Masalah Demam pada Kanak-Kanak

Soalan 4:

Doktor, anak saya mengalami demam hari ke-2 dengan suhu badan mencecah 38°. Telah diberi ubat demam dan masih aktif. Adakah perlu di bawa berjumpa doktor?

Jawapan:

Kanak-kanak yang demam tetapi jika masih belum sembuh selepas hari ke 2 atau ke 3, adalah lebih baik dibawa untuk mendapat rawatan untuk mengetahui punca demam tersebut.  Jika dibiarkan berterusan, dibimbangi kanak-kanak tersebut akan terdedah kepada risiko terkena sawan/tarik akibat demam yang terlampau tinggi.

[Demam pada kanak-kanak merupakan cara badan melawan jangkitan kuman dan suhu badan akan kembali normal setelah jangkitan kuman tersebut sembuh. Demam adalah apabila suhu badan melebihi 38 darjah Celsius. Suhu normal kanak-kanak selalunya kurang daripada 38 darjah Celsius. Suhu yang tinggi tidak semestinya menunjukkan keadaan seseorang kanak-kanak itu dalam bahaya. Kebanyakan demam pada kanak-kanak selalunya tidak merbahaya dan ia sebenarnya membantu menguatkan imun sistem badan.

Demam selalunya disebabkan jangkitan virus dan jarang disebabkan jangkitan bakteria. Demam yang disebabkan jangkitan virus tidak memerlukan pengambilan antibiotik ini kerana antibiotik tidak akan membunuh virus. Hanya jangkitan kuman yang disebabkan bakteria sahaja yang dirawat menggunakan antibiotik.] 

https://thediagnosa.com/demam-pada-kanak-kanak/

SIRI TAZKIRAH PUASA: FRP 5.0 – Hukum Mencium Isteri di siang hari Puasa Ramadhan

0

🕌🌙

SIRI TAZKIRAH PUASA

Fatwa-fatwa Rasulullah ﷺ seputar Puasa (فتاوى تتعلق بالصوم)

Petikan Kitab (: إعلام الموقعين عن رب العالمين)

FRP 5.0: Hukum Mencium Isteri di siang hari Puasa Ramadhan

عَنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ
أَنَّهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُقَبِّلُ الصَّائِمُ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَلْ هَذِهِ لِأُمِّ سَلَمَةَ فَأَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَتْقَاكُمْ لِلَّهِ وَأَخْشَاكُمْ لَهُ

Daripada Umar bin Abu Salamah bahawa ia pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ, bahawa apakah baginda pernah mencium isterinya saat berpuasa. Maka Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya: “Tanyakanlah perkara ini kepada Ummu Salamah.” Maka Ummu Salamah pun mengabarkan kepadanya bahwasanya Rasulullah ﷺ melakukan hal itu. Kemudian Umar bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan juga yang akan datang. “Maka Rasulullah ﷺ pun bersabda: “Demi Allah, aku adalah orang yang paling bertaqwa dan paling takut kepada Allah di antara kalian.”

(HR Muslim No. 1863)

Versi Imam Malik dalam Muwatta’:

حَدَّثَنِي يَحْيَى عَنْ مَالِك عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ
أَنَّ رَجُلًا قَبَّلَ امْرَأَتَهُ وَهُوَ صَائِمٌ فِي رَمَضَانَ فَوَجَدَ مِنْ ذَلِكَ وَجْدًا شَدِيدًا فَأَرْسَلَ امْرَأَتَهُ تَسْأَلُ لَهُ عَنْ ذَلِكَ فَدَخَلَتْ عَلَى أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَتْ ذَلِكَ لَهَا فَأَخْبَرَتْهَا أُمُّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ فَرَجَعَتْ فَأَخْبَرَتْ زَوْجَهَا بِذَلِكَ فَزَادَهُ ذَلِكَ شَرًّا وَقَالَ لَسْنَا مِثْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُ يُحِلُّ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا شَاءَ ثُمَّ رَجَعَتْ امْرَأَتُهُ إِلَى أُمِّ سَلَمَةَ فَوَجَدَتْ عِنْدَهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا لِهَذِهِ الْمَرْأَةِ فَأَخْبَرَتْهُ أُمُّ سَلَمَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أَخْبَرْتِيهَا أَنِّي أَفْعَلُ ذَلِكَ فَقَالَتْ قَدْ أَخْبَرْتُهَا فَذَهَبَتْ إِلَى زَوْجِهَا فَأَخْبَرَتْهُ فَزَادَهُ ذَلِكَ شَرًّا وَقَالَ لَسْنَا مِثْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُ يُحِلُّ لِرَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا شَاءَ فَغَضِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَتْقَاكُمْ لِلَّهِ وَأَعْلَمُكُمْ بِحُدُودِهِ

(MALIK – 568): Telah menceritakan kepadaku Yahya daripada Malik daripada Zaid bin Aslam daripada ‘Atha bin Yasar, bahawa ada seorang lelaki yang mencium isterinya, padahal dia sedang berpuasa pada bulan Ramadhan. Setelah itu dia sangat tertekan, lalu dia mengutus isterinya agar menanyakan tentang hal itu. Isterinya kemudian menemui Ummu Salamah رضي الله عنها, isteri Nabi ﷺ dan menceritakan hal itu padanya. Ummu Salamah رضي الله عنها lantas memberitahukan kepadanya bahawa Rasulullah ﷺ juga pernah menciumnya padahal baginda sedang berpuasa. Sang isteri tersebut kemudian memberitahu suaminya tentang hal itu, namun dia tidak terima dan berkata, “Kita tidak seperti Rasulullah ﷺ! Allah menghalalkan bagi Rasulullah ﷺ apa yang Dia kehendaki.” Isterinya kemudian kembali menemui Ummu Salamah رضي الله عنها, sementara Rasulullah ﷺ sedang bersamanya. Rasulullah ﷺ bertanya, “Ada apa dengan perempuan ini?” Ummu Salamah رضي الله عنها menceritakan tentangnya. Rasulullah ﷺ kemudian bersabda: “Tidakkah kamu khabarkan kepadanya? Sesungguhnya aku juga melakukannya.” Ummu Salamah رضي الله عنها menjawab, “Aku telah memberitahunya.” Wanita itu lalu pergi menemui suaminya dan menceritakan kepadanya, namun suaminya tidak terima dan berkata; “Kami tidak seperti Rasulullah ﷺ, Allah telah menghalalkan baginya apa yang Dia mahu.” Rasulullah ﷺ marah dan bersabda: “Demi Allah, aku adalah orang yang paling bertaqwa kepada Allah di antara kalian. Aku adalah orang yang paling tahu tentang batasan-batasan-Nya di antara kalian!”

Tahqiq:
Disahihkan oleh Al-Haithami dalam Al-Majma’ dan Syeikh Masyhur Hasan Al-Salman, Muhaqqiq Kitab I’lam, 6:309

Fiqh hadith:
Kata kitab sahih fiqh sunnah, jilid 2:111, dibolehkan mencium atau mencumbui isteri di bulan Ramadhan berdasarkan dalil di atas yang tegas memboleh

SIRI TAZKIRAH PUASA: FRP 4.0 – Hukum Memakai Celak (kohl) ketika Berpuasa

0

🕌🌙

SIRI TAZKIRAH PUASA

Fatwa-fatwa Rasulullah ﷺ seputar Puasa (فتاوى تتعلق بالصوم)

Petikan Kitab (: إعلام الموقعين عن رب العالمين)

FRP 4.0: Hukum Memakai Celak (kohl) ketika Berpuasa

وسأله صلى الله عليه وسلم رجل، فقال قد اشتكيت عيني، أفأكتحل وأنا صائم ؟ قال ( نعم ) ذكره الترمذي

RasuluLLah ﷺ ditanya oleh seorang lelaki, “Mataku sakit, lantas apakah saya boleh bercelak sedangkan saya berpuasa?” Jawab baginda, “Boleh”.

(HR Tirmidzi)

Takhrij:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ اشْتَكَتْ عَيْنِي أَفَأَكْتَحِلُ وَأَنَا صَائِمٌ قَالَ نَعَمْ
قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ أَنَسٍ حَدِيثٌ لَيْسَ إِسْنَادُهُ بِالْقَوِيِّ وَلَا يَصِحُّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذَا الْبَابِ شَيْءٌ وَأَبُو عَاتِكَةَ يُضَعَّفُ وَاخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي الْكُحْلِ لِلصَّائِمِ فَكَرِهَهُ بَعْضُهُمْ وَهُوَ قَوْلُ سُفْيَانَ وَابْنِ الْمُبَارَكِ وَأَحْمَدَ وَإِسْحَقَ وَرَخَّصَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ فِي الْكُحْلِ لِلصَّائِمِ وَهُوَ قَوْلُ الشَّافِعِيِّ

(TIRMIDZI – 658) :

Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dan berkata, mataku sedang sakit, bolehkah saya bercelak ketika sedang berpuasa? Baginda menjawab: “Ya.” Hadith semakna diriwayatkan daripada Abu Rafi’. Abu ‘Isa berkata, hadith Anas sanadnya tidak kuat dan tidak ada hadith yang sahih tentang hal ini, Abu ‘Atikah adalah dhaif.
Para ulama’ berbeza pendapat mengenai masalah ini, sebahagian mereka iaitu Sufyan, Ibnu Mubarak, Ahmad dan Ishaq membenci orang yang bercelak ketika berpuasa, sedangkan Syafi’iy membolehkan orang berpuasa untuk bercelak. (lidwa)

Tahqiq: Imam Abu Isa mendhaifkan hadith ini.

Fiqh hadith:
Hukum memakai celak (kohl) ketika puasa:
1⃣ Harusnya lelaki bercelak untuk rawatan mata (Syeikh Ibn Uthaimin)

2⃣ Pendapat terkuat menurut Imam Ibn Taymiyah ialah tidak batal kerana kedhaifan hadith dalam bab ini. (Majmu` Fatawa, 25:244)

3⃣ Juga tidak batal menggunakan penitis mata seperti Eyemo. (Syeikh Uthaimin, syarah mumti’, jld 6)

 

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-143 hingga Ke-146

0

Tafsir Surah Ali Imran

Tafsir Ayat Ke-143

Apabila para sahabat mendengar ayat-ayat jihad, mereka terdorong sangat untuk menjalankannya kerana diberitahu kalau mati syahid, masuk syurga terus.

Memang semua hendak berjihad, tetapi masa hendak mengamalkannya, ada yang menghadapi masalah. Sudah tentu ada keberatan kerana jiwa tidak suka kepada kesusahan. Sahabat pun begitu juga.

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati

Yang dimaksudkan mati dalam ayat ini adalah ‘Mati Syahid’. Para sahabat pernah bercita-cita untuk mati syahid, kerana mereka sudah tahu, dengan cara mati syahid boleh masuk syurga terus.

Kalimah تَمَنَّونَ daripada kata dasar منو yang bermaksud ‘mahukan sesuatu yang kita tidak pasti apakah ia’. Iaitu apabila kita tidak tahu apakah kesan daripada kemahuan itu. Bukan mereka sahaja teringin, kita yang telah membaca ayat-ayat jihad ini pun, rasa terbangkit untuk berjihad (dan mati syahid), namun adakah kita tahu apakah hakikat jihad itu?

مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ

sebelum kamu menghadapinya.

Itu sebelum mereka menghadapi kematian, mereka amat teringin hendak mati syahid dan terus melakukan jihad. Itu sebelum mereka tengok dengan mata mereka sendiri, kematian yang banyak di medan jihad. Bila mereka sudah lihat suasana sebenarnya, tentu mereka ada yang sudah takut mati.

فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang merenungnya

Sekarang kamu sudah nampak sebab untuk mati syahid itu sudah ada di hadapan mata (hendak mati syahid, kena sanggup berperang). Bukankah sebelum ini kamu sudah mahukannya? Allah ‎ﷻ berfirman dalam ayat ini, kerana para sahabat ada yang terkejut dan merenung lama suasana perang itu kerana terkejut.

Itulah maksud dibandingkan نظر dengan رأي. Kalau kalimah رأي sahaja yang digunakan, ia hanya merujuk kepada perbuatan melihat biasa sahaja. Perkataanنظر bermaksud ‘staring’ atau ‘merenung’ lama dan jauh.

Ini adalah tentang para sahabat yang masih muda dan tidak menyertai Perang Badr dahulu. Mereka telah mendengar kisah kemenangan semasa di Perang Badr itu. Apabila datang berita akan berlaku lagi peperangan dengan puak Musyrikin Mekah lagi, mereka sudah bersemangat untuk berperang. Mereka sangka tentu mereka akan menang besar lagi.

Semasa sampai berita yang tentera musyrikin Mekah akan menyerang Madinah, Nabi ﷺ telah bertanya kepada sahabat sama ada mereka akan keluar bertemu tentera musuh di luar kota atau mempertahankan di dalam kota sahaja. Abu Bakr رضي الله عنه adalah antara yang berpendapat mereka patut bertahan sahaja di kota. Nabi ﷺ pun rasa begitu juga. Termasuk yang mahu mereka bertahan di kota sahaja adalah puak munafik.

Namun begitu, mereka yang muda merasakan mereka kuat sebab tentera Islam baru sahaja menang besar di Badr, dan mereka bersemangat untuk mati syahid kononnya. Mereka kata kalau bertahan di kota, akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula. Nabi ﷺ telah mengikut pendapat mereka walaupun baginda lebih suka untuk bertahan di kota sahaja. Ini kerana mereka nampak bersemangat sekali.

Namun begitu, apabila mereka nampak peperangan di hadapan mata mereka yang sedang benar-benar terjadi, baru mereka terkejut melihatnya. Baru mereka sedar apa yang mereka ingin-inginkan dahulu bukannya semudah yang mereka sangkakan.

Selalunya kita kalau kata hendak jihad, atau buat sesuatu yang besar, kita mulanya semangat membara tetapi apabila sudah tahu apakah yang harus dibuat, mulalah kita fikir balik. Begitulah yang selalu terjadi kepada golongan muda itu. Kalau orang yang ada pengalaman, mereka lain sedikit, kerana mereka sudah tahu hakikat perang yang sebenar.

Tafsir Ayat Ke-144

Semasa dalam Perang Uhud itu, ada sampai berita kepada para sahabat yang sedang berperang itu bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Begitulah, dari dulu lagi sudah ada berita palsu yang disampaikan manusia. Jadi jangan terus gelabah kalau dengar berita dalam media sosial terutamanya. Kebanyakan berita adalah tidak benar.

Namun orang kita kebanyakannya kelam kabut, terus sahaja hendak ‘forward mesej’ sehingga menyebabkan kecoh dalam masyarakat. Sedangkan itu adalah perkara dosa (menyampaikan perkara yang belum pasti). Apabila kita tanya dan tegur mereka yang bodoh akan jawab: “Aku forward jer.. kot-kot betul….”. Semua ingin menjadi ‘Raja Forward’.

Apabila mereka dengar yang Nabi ﷺ sudah wafat, maka peritlah rasa hati para sahabat. Ia lebih perit daripada kalah dalam peperangan sehinggakan ada dalam kalangan orang Islam yang munafik berkata: “Sudah habislah agama Islam”. Mereka sebenarnya suka kerana mereka hendak kembali keadaan asal sebelum kedatangan Islam. Sehinggalah Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia, kalau Nabi ﷺ wafat pun, ingatlah yang baginda itu pun manusia (yang tetap akan mati akhirnya). Allah ‎ﷻ mengingatkan yang agama Islam ini hak Allah ‎ﷻ, bukan hak Nabi. Tuan kepada agama ini tidak mati pun. Maka Allah ‎ﷻ menegur mereka. Takkan kalau Nabi ﷺ‎ wafat, kamu mahu menjadi murtad pula?

Walaupun berita Nabi ﷺ‎ wafat itu tidak benar, tetapi Allah ‎ﷻ turunkan juga ayat ini kerana berita itu telah menggugat hati para sahabat. Ingatlah yang dalam agama Islam ini, kita tidak bergantung kepada sesiapa, tetapi kita bergantung hanya kepada Allah ‎ﷻ.

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم ۚ وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا ۗ وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Nabi Muhammad ﷺ itu hanyalah seorang Rasul, bukannya Tuhan. Memang baginda pasti akan mati sebab baginda merupakan seorang manusia.

Ini juga tempelak kepada golongan yang menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai tuhan. Jangan terkejut kerana memang ada golongan ini di dalam masyarakat Muslim di Malaysia dan negara-negara lain. Sebagaimana umat dahulu menjadikan Rasul dan Nabi mereka sebagai Tuhan, dalam kalangan umat Islam pun ada juga begitu, iaitu mereka yang jauh daripada wahyu.

قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ

yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul

Telah ada sebelum ini rasul-rasul lain. Mereka pun wafat juga. Kalau namanya manusia, memang akan tetap mati. Nabi Khidr عليه السلام pun wafat juga dan inilah pandangan yang rajih. Golongan yang termakan dengan diayah Syiah sahaja yang mengatakan Nabi Khidr عليه السلام masih hidup.

أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم

kalau ia mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik atas tumit kamu?

Kalau Nabi wafat biasa (ماتَ) atau wafat dibunuh (قُتِلَ), adakah kamu akan murtad daripada agama Allah ‎ﷻ dan kembali kepada agama kamu dahulu? Kalau begitu, amat bodoh sekali kamu.

وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا

Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun;

Sesiapa yang murtad, tidak akan membahayakan Allah ‎ﷻ sedikit pun kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman dan amal kita. Tidaklah Allah ‎ﷻ menjadi lemah kalau sedikit sahaja yang menyembah-Nya. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman kita pun. Namun mereka kena tahu bahawa mereka telah membahayakan diri mereka sendiri.

وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur

Allah ‎ﷻ akan membalas sesiapa yang bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Antaranya, bersyukur dengan nikmat dimasukkan ke dalam agama Islam – ini adalah nikmat yang tidak ada tandingannya.

Ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila tersebar berita yang Nabi Muhammad ﷺ telah wafat dalam Perang Uhud, Saidina Umar رضي الله عنه telah terduduk kerana beliau sangat terkesan dengan berita itu dan beliau tidak boleh meneruskan lagi untuk berperang.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ benar-benar telah wafat, sekali lagi Saidina Umar رضي الله عنه tidak dapat menerima kenyataan itu dan menghunuskan pedang dan hendak memenggal sesiapa yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah wafat. Saidina Abu Bakr رضي الله عنه telah membacakan ayat ini kepada beliau dan barulah beliau redha. Beliau berkata apabila Saidina Abu Bakr رضي الله عنه membacakan ayat ini, ia seolah-olah seperti baru pertama kali mendengarnya. Ini adalah kerana Saidina Umar رضي الله عنه sangat cintakan baginda.

Tafsir Ayat Ke-145

Memang kematian itu akan ditempuh oleh semua orang. Kalau tidak mati semasa berjihad, boleh mati dengan cara yang lain. Yang kita kena fikirkan adalah bagaimana untuk menggunakan nyawa ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ kerana mati memang tetap akan mati, hanya menunggu masa sahaja.

Kalau kita gunakan masa hidup kita ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, semoga kita akan dapat mati syahid. Sebab itulah para sahabat menghabiskan harta dan nyawa untuk agama kerana mereka diberi kefahaman yang mendalam tentang agama. Mereka takut mati mereka sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini, kalau manusia mati semasa dalam jihad, itu adalah mati yang terbaik sekali. Jadi jangan takut mati dalam jihad. Hati kita kena ada harap kepada jihad.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها ۚ وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah,

Mati itu terjadi hanya dengan izin Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ yang menentukan bilakah seseorang itu mati. Kalau semua orang hendak membunuh satu-satu makhluk, tetapi tidak akan terjadi jika Allah ‎ﷻ tidak izinkan. Ramai yang hendak bunuh diri pun tidak mati-mati sebab bukan masa yang Allah ‎ﷻ tentukan.

كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا

iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya

Bilakah terjadinya kematian itu adalah keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Bila sampai masa, akan mati juga, tidak akan tertangguh lagi walau sesaat. Kita tidak boleh hendak tahu, jadi kena bersedia sahaja. Ada orang pergi melawat orang sedang nazak di hospital, tetapi bukan orang yang nazak itu yang mati, namun dia pula yang mati.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها

Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari dunia itu

Sesiapa yang hendak pulangan dunia sahaja, Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri. Kalau orang yang berusaha gigih hanya kepada dunia, Allah ‎ﷻ akan beri berdasarkan usahanya. Sebab itu kita lihat orang kafir banyak yang kaya raya, kerana mereka memang berusaha untuk dunia sahaja, mereka tidak memikirkan akhirat. Segala usaha dan fikiran mereka untuk dunia, mereka menggunakan segala jenis teknik, maka Allah ‎ﷻ berikan kekayaan kepada mereka.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها

dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu;

Namun bagi sesiapa yang hendakkan pulangan di akhirat, Allah ‎ﷻ akan beri juga iaitu yang berusaha dan beramal untuk mendapat pulangan di akhirat. Fikiran mereka sentiasa ingatkan akhirat. Inilah yang paling bagus untuk difikirkan kerana untuk menjadi kaya belum tentu, tetapi jumpa akhirat sudah tentu.

وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Allah ‎ﷻ akan beri balasan tambahan kepada mereka yang pandai bersyukur atas nikmat Allah ‎ﷻ. Maknanya, kita ada pilihan sama ada hanya hendakkan dunia sahaja atau hendakkan akhirat sekali. Allah ‎ﷻ suka kepada mereka yang mahu kepada akhirat. Janganlah kita hanya hendakkan kepada dunia sahaja.

Namun harus diingatkan, kita bukannya menolak terus dunia, tetapi kita sebagai mukmin, harus melebihkan akhirat daripada dunia. Dunia ini tempat kita hidup dan mencari pahala, maka tentulah kita kena kisah juga. Namun apa sahaja yang buat di dunia ini, kena timbang dengan kesannya di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Ke-146

Kalau tidak berjuang bersama Nabi Muhammad ﷺ, tidak ada Nabi lain lagi yang akan datang selepas itu. Maka, kenalah ambil peluang untuk berjuang bersama-sama dengan baginda kerana penyokong-penyokong Nabi terdahulu, mereka berjuang bersama dengan Nabi mereka.

Allah ‎ﷻ sebut sifat-sifat mereka dalam ayat ini. Maka kita pun kenalah ikut mereka juga dengan mempunyai sifat-sifat sebegini.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ وَما ضَعُفوا وَمَا استَكانوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

Dan berapa banyak daripada Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah,

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang-orang Mukmin, entah berapa banyak Nabi dahulu yang berjuang bersama mereka itu penyokong-penyokong mereka yang ramai yang berhubungan dengan Allah ‎ﷻ – mereka digelar Rabbaniyyun. Mereka itu semua berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

Nabi mereka telah ditugaskan untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, dan mereka membantu nabi-nabi mereka. Mereka tidak melarikan diri, mereka tidak berpeluk tubuh. Mereka tidak seperti orang-orang Munafik yang meninggalkan medan peperangan seperti yang berlaku semasa Perang Uhud itu.

فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah

Mereka tidak berasa lemah semangat atas musibah yang menimpa mereka ketika mereka berjuang di jalan Allah ‎ﷻ. Musibah dan kesusahan adalah perkara biasa, kerana perjuangan adalah ujian. Kalau sudah dinamakan ujian, tentunya perkara yang susah. Mereka terima segala kesusahan dan ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka.

Malangnya kita yang dituduh Wahabi pun sudah mula takut untuk buka mulut untuk menyampaikan dakwah. Bila dakwah orang tidak terima pun, patah semangat. Sedangkan bukannya ancaman nyawa pun diberikan kepada kita sekarang.

وَما ضَعُفوا

dan mereka juga tidak lemah tenaga

Dan tubuh badan mereka tidak berasa lemah semasa berjuang. Tidaklah mereka mengadu sakit badan, tidak jadi hendak pergi berperang. Tidaklah mengadu demam, asthma dan sebagainya. Tidaklah penat dan hendak berehat bersama anak bini sahaja.

وَمَا استَكانوا

dan tidak pula mahu tunduk

Dan tidak sekali-kali tunduk kepada orang kafir. Maksudnya mereka tidak biarkan sahaja orang kafir hendak berbuat apa yang mereka suka. Ini kerana kalau dibiarkan sahaja, tentulah orang kafir itu akan menjadi lebih zalim, sebab mereka sudah rasa kalau mereka buat apa-apa sahaja, mereka tidak akan dapat kesan apa-apa pun. Maka mereka itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Orang-orang Mukmin itu tidak takut dengan ancaman daripada orang kafir kerana mereka lebih takut dengan ancaman Allah ‎ﷻ. Tidaklah seperti kita sekarang, hendak tegur negara luar pun takut kalau mereka tidak beri bisnes kepada kita.

Dalam masyarakat pula, takut sangat hendak tegur kerana takut dipulau. Kalau ada majlis bid’ah seperti majlis tahlil, bila tidak pergi pun rasa berpeluh satu badan. Padahal tidak pergi sahaja pun, bukannya menegur. Sepatutnya kena tegur, tetapi tegur tidak, hendak tahan diri daripada pergi pun takut.

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

Allah ‎ﷻ amat suka kepada hamba-hamba yang ada sifat sabar seperti ini. Sifat sabar amat penting. Sabar itu hanya ada pada mereka yang redha sahaja dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Ini bagi mereka yang sedar, bahawa diri ini hanya hamba sahaja, dan Allah ‎ﷻ itu Rabb kita, tuan kita, Tuhan kita. Dia boleh buat apa-apa sahaja kepada kita. Kita tidak layak untuk mempersoalkan apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak kita buat.

Sabar itu maksudnya sabar dalam taat. Ini kerana untuk terus taat, memerlukan kesabaran yang tinggi, kerana ia tentu tidak senang. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi dan perlu menempuh ranjau sepanjang jalan.

Allahu a’lam.

Tahqiq Kitab At-Tazkirah Qurthubi: Kenapa Malaikat Maut Ditugasi Mencabut Nyawa

0

At-Tazkirah Qurthubi
Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Bab 23: Kenapa Malaikat Maut Ditugasi Mencabut Nyawa

(باب ما جاء في سبب قبض ملك الموت لأرواح الخلق)

23-1: Seputar nama Izrail athar Az Zuhri (Israeliyaat)

روى الزهري و وهب بن منبه و غيرهما ما معناه : إن الله أرسل جبريل عليه السلام ليأتيه من تربة الأرض فأتاها ليأخذ منها فاستعاذت بالله من ذلك فأعاذها ، فأرسل ميكائيل فاستعاذت منه فأعاذها ، فبعث عزرائيل فاستعاذت منه فلم يعذها فأخذ منها ، فقال الرب تبارك و تعالى : أما استعاذت بي منك ؟ قال : نعم . قال : فهلا رحمتها كما رحمها صاحباك ؟ قال : يا رب طاعتك أوجب علي من رحمتي إياها . قال الله عز و جل : اذهب فأنت ملك الموت سلطتك على قبض أرواحهم فبكى فقال ما يبكيك ؟ فقال : يا رب إنك تخلق من هذا الخلق أنبياء و أصفياء و مرسلين ، و إنك لم تخلق خلقاً أكره إليهم من الموت ، فإذا عرفوني أبغضوني و شتموني

Az-Zuhri (tabi’in Madinah, w.124H), Wahab bin Munabbih (tabiin Yaman, murid Ibn Abbas. w.110H) dan lainnya telah menyampaikan sebuah riwayat yang ertinya, “bahawa Allah ‎ﷻ telah memerintahkan Jibril عليه السلام supaya datang kepada-Nya membawa sedikit tanah dari bumi. Maka datanglah ia ke bumi untuk mengambilnya. Tetapi ternyata bumi minta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada perbuatan itu, dan Jibril عليه السلام tidak jadi mengambilnya.

Lalu Allah ‎ﷻ memerintahkan Mikail عليه السلام untuk tugas yang sama. Kali ini pun bumi meminta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada hal itu, dan Mikail عليه السلام juga tidak jadi mengambilnya.

Lalu Allah ‎ﷻ memerintahkan Izrail untuk melakukan tugas tersebut. Bumi pun minta perlindungan, namun kali ini Izrail tidak memberinya perlindungan, sehingga dia mengambil sebahagian tanah dari bumi.

Allah ‎ﷻ bertanya kepada Izrail, “Apakah bumi meminta perlindungan kepada-Ku darimu?” “Ya,” jawab Izrail.
“Kenapa kamu tidak kasihan kepadanya, seperti yang dilakukan oleh kedua temanmu itu?” tanya Allah‎ ﷻ kepada Izrail, dan dijawab olehnya, “Ya Tuhanku, ketaatanku kepada-Mu lebih wajib aku tunaikan daripada kasihanku kepadanya.”

“Pergilah,” seru Allah‎ ﷻ , “Kamu adalah Malaikat Maut. Aku kuasakan kepadamu untuk mencabut nyawa-nyawa mereka.”

Tetapi Izrail menangis. Maka Allah‎ ﷻ bertanya, “Mengapa engkau menangis?”
“Ya, Tuhanku,” jawab Izrail, “Sesungguhnya Engkau menciptakan daripada makhluk ini para Nabi, orang-orang pilihan dan para utusan. Sesungguhnya Engkau tidak menciptakan suatu makhluk yang lebih mereka benci selain kematian. Maka, apabila mereka mengerti akulah yang mencabut nyawa, mereka pasti membenciku dan memakiku.”

Allah ‎ﷻ menjawab, “Sesungguhnya Aku akan jadikan untuk kematian beberapa sebab dan alasan, sehingga mereka menisbatkan kematian kepada sebab itu, dan tidak menisbatkannya kepadamu.”

Oleh kerananya, Allah‎ ﷻ menciptakan berbagai penyakit dan segala macam lainnya yang menyebabkan kebinasaan.

Tahqiq:
Islam Web (https://www.islamweb.net/ar/fatwa/146415/)

فإن هذه القصة لم نجد ما يدل على صحتها ولعلها من قصص بني إسرائيل

kisah ini tidak ketahui akan kesahihannya dan kemungkinan ia berasal daripada Bani Israel.

Juga ulasan Ibn Rajab Al Hanbali, Lathaif Al Maarif, 3/16. Nama Izrail adalah Israeliyat
لطائف المعارف (16/3)

23-2: Atsar Ibn Abbas رضي الله عنهما (dhaif/Israeliyat)

و قد روى هذا الخبر عن ابن عباس ، قال : رفعت تربة آدم من ستة أرضين و أكثرها من السادسة و لم يكن فيها من الأرض السابعة شيء ، لأن فيها نار جهنم قال : فلما أتى ملك الموت بالتربة قال له ربه : أما استعاذت بي منك

Khabar ini diriwayatkan oleh Ibnu Abbas رضي الله عنهما , dia berkata, “Tanah untuk menciptakan Adam عليه السلام diangkat dari enam jenis tanah. Yang terbanyak dari tanah di lokasi keenam. Tidak ada tanah yang berasal dari tanah ketujuh, kerana di sana terdapat neraka jahanam.”

Dan dia katakan pula, “Ketika Malaikat Maut datang dengan membawa tanah, maka Allah ‎ﷻ bertanya kepadanya, “Apakah bumi tidak meminta perlindungan kepada-Ku darimu?”

Tahqiq: Dr Sadiq Ibrahim, muhaqqiq at tazkirah, Israeliyat, dhaif.

23-3: Athar Al Qutaibi (dhaif/Israeliyat)

الحديث بلفظه و معناه ذكره القتيبي و زاد فقالت الأرض : يا رب خلقت السماوات فلم تنقص منها شيئاً و خلقتني فنقصتني .
فقال لها الرب : و عزتي و جلالي لأعيدنهم إليك برهم و فاجرهم ، فقالت : و عز تك لأنتقمن ممن عصاك .
قال : ثم دعا بمياه الأرض مالحها و عذبها و حلوها و مرها و طيبها و منتنها فسقى منه تربة آدم ، فأقام يخمره أربعين صباحاً ، و قال آخرون : أربعين سنة لم ينفخ فيه الروح ، فكانت الملائكة تمر به فيقفون ينظرون إليه ، و يقول بعضهم لبعض : إن ربنا لم يخلق خلقاً أحسن من هذا و إنه خلق لأمر كائن و يمر به إبليس اللعين فيضرب بيده عليه فيسمع له صلصلة ، و هو الصلصال الفخار ، فقال إبليس : إن فضل هذا علي لم أطعه ، و إن فضلت عليه أهلكته ، هذا من طين و أنا من نار .

Hadith itu juga disebutkan oleh Al-Qutaibi (atau Ibn Qutaibah, Kufah, Iraqi, w. 276H) dengan tambahan, “Maka berkatalah bumi, ‘Ya Tuhanku, Engkau telah menciptakan langit tanpa mengurangi apa-apa darinya.’
Demi kejayaan-Ku dan keagungan-Ku,’ jawab Allah‎ ﷻ , ‘Aku akan kembalikan mereka kepadamu, yang baik mahupun yang jahat.’
Maka bumi pun berkata, ‘Demi kejayaan-Mu, akupun akan menghukum siapa pun yang derhaka kepada-Mu.’”

Al-Qutaibi mengatakan pula, “Maka Allah‎ ﷻ menyuruh datangkan segala bentuk air di bumi; masin, tawar, manis, pahit, harum mahu pun busuk. Semuanya disiramkan ke tanah bahan penciptaan Adam عليه السلام . Lalu didiamkan bercampur selama 40 hari, selain Al-Qutaibi mengatakan 40 tahun dalam keadaan belum ditiupkan roh. Para Malaikat melalui tanah itu. Lalu mereka berdiri melihatnya seraya berkata semuanya, ‘Sesungguhnya Tuhan kita tidak menciptakan makhluk yang lebih indah daripada ini. Sesungguhnya Dia menciptakannya untuk suatu perkara yang pasti terjadi.’”

Sesudah itu maka lewatlah Iblis la’natullah ‘alaihi. Tiba-tiba ia memukulnya, maka terdengarlah suara, yakni suara dentingan tembikar. Maka Iblis berkata, ‘Kalau dia lebih dimuliakan daripada aku, maka aku tidak akan mematuhinya dan kalau aku lebih dimuliakan daripada dia, maka aku akan menghancurkannya. Makhluk ini daripada tanah sedang aku daripada api.’”

Tahqiq: Israeliyat (dhaif)

23-4: Athar Penciptaan Adam عليه السلام (dhaif/Israeliyat)

و قد قيل : إن الذي أتى بتربة الأرض إبليس و إن الله بعثه بعد ملكين ، فاستغاثت بالله منه ، فقالت : إني أعوذ بالله منك ، ثم أخذ منها و صعد إلى ربه فقال : ألم تستعذ بي منك ؟ فقال : بلى يا رب . فقال الله عز و جل : و عزتي لأخلقن مما جنت يداك خلقاً يسؤوك

Tetapi ada yang mengatakan, bahawa yang membawa tanah untuk dijadikan Adam عليه السلام adalah Iblis. Allah‎ ﷻ mengutusnya setelah dua malaikat terdahulu. Maka bumi minta perlindungan kepada Allah‎ ﷻ daripadanya seraya berkata, “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah‎ ﷻ daripadamu.” Namun Iblis tetap mengambil sebahagian daripadanya, lalu naik menemui Tuhannya. Maka Allah‎ ﷻ bertanya kepadanya, “Tidakkah bumi berlindung kepada-Ku daripadamu?”
“Benar, ya Tuhanku,” jawab Iblis.

Maka Allah‎ ﷻ berfirman, “Demi kejayaan-Ku, Aku pasti menciptakan daripada apa yang telah diambil oleh tanganmu, suatu makhluk yang akan membuatmu susah.”

Tahqiq: Dr Sadiq Ibrahim:Israeliyat, tidak ditemui akan sanadnya.

Allahu a’lam.

SIRI TAZKIRAH PUASA: FRP 3.0 – Sesiapa yang buka puasa sunat, berazam untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain

0

🕌🌙

SIRI TAZKIRAH PUASA

Fatwa-fatwa Rasulullah ﷺ seputar Pu:asa (فتاوى تتعلق بالصوم)

Petikan Kitab (: إعلام الموقعين عن رب العالمين)

FRP 3.0: Sesiapa yang buka puasa sunat, berazam untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain

FRP 3.1 Hadith Ummu Hani’

ودخل صلى الله عليه وسلم على أم هاني فشرب، ثم ناولها فشربت، فقالت إني كنت صائمة، فقال

( الصائم المتطوع أميرُ نفسه، إن شاء صام، وإن شاء أفطر ) ذكره أحمد

Rasulullah ﷺ masuk menemui Ummu Hani (ketika Fath al-Mekah) dan dihidangkan minuman. Baginda minum dan mempelawa juga Ummu Hani minum tetapi Ummu Hani menyatakan beliau sedang berpuasa. Lantas baginda bersabda, “Seorang yang berpuasa sunnah adalah pemimpin bagi dirinya, jika dia mahu maka dia berpuasa jika dia mahu maka dia boleh berbuka.” 

(HR Ahmad)

👁‍🗨 Komen Imam Abu Isa at-Tirmidzi, dalam jami’nya No. 664 (Lidwa)

قَالَ وَحَدِيثُ أُمِّ هَانِئٍ فِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ وَالْعَمَلُ عَلَيْهِ عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَغَيْرِهِمْ أَنَّ الصَّائِمَ الْمُتَطَوِّعَ إِذَا أَفْطَرَ فَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ إِلَّا أَنْ يُحِبَّ أَنْ يَقْضِيَهُ وَهُوَ قَوْلُ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ وَأَحْمَدَ وَإِسْحَقَ وَالشَّافِعِيِّ

“Pada sanad hadith Ummu Hani’ terdapat cela, namun hadith ini diamalkan oleh para ulama baik dalam kalangan para sahabat mahupun setelah mereka, bahawa orang yang membatalkan puasa sunnah tanpa uzur, maka dia tidak wajib mengqadha’ puasanya kecuali jika dia ingin melakukannya, perkataan ini juga termasuk pendapatnya Sufyan As Thauri, Ahmad, Ishaq dan Syafi’i.

Hadith ini adalah dhaif.

Tahqiq Imam Abu Isa, mengatakan hadith ini dhaif tetapi fiqhnya diamalkan kaum salaf.

Yakni orang yang berpuasa sunat, boleh berbuka jika terdapat jemputan makan dan boleh menggantikannya di hari yang lain.

FRP 3.2 Hadith 2: Jamuan di rumah Abu Said al-Khudri رضي الله عنه

وذكر الدارقطني أن أبا سعيد صنع طعاما، فدعا النبي صلى الله عليه وسلم وأصحابه، فقال رجل من القوم إني صائم، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم

( صَنَعَ لك أخوك طعاما وتكلَّف لك أخوك ! أفطِرْ وصُمْ يوما آخر مكانه )

Dituturkan oleh Al-Daruqutni, bahawa Abu Said (Al-Khudri) menyediakan makanan kemudian menjemput Nabi ﷺ dan sebilangan sahabatnya. Salah sorang daripada undangan tersebut berkata, “Saya sedang berpuasa”. Maka, Nabi ﷺ bersabda, “Saudaramu telah bersusah payah membuat makanan untukmu dan menghidangkan pula. Maka berbukalah dan berpuasalah pada hari lain untuk menggantikannya.”

Tahqiq:

Daruqutni berkata ia adalah mursal (dhaif)

الراوي:إبراهيم بن عبيد المحدث: الذهبي – المصدر: تنقيح التحقيق – الصفحة أو الرقم: 1/392
خلاصة حكم المحدث: مرسل ، ومحمد بن أبي حميد ضعيف

Tahqiq al-Zahabi, juga mengatakannya dhaif.

FRP 3.3: Atsar Hafshah dan Aisyah buka puasa sunat

وذكر أحمد أن حَفْصَة أهْدِيَتْ لها شاة، فأكلت منها هي وعائشة، وكانتا صائمتين، فسألتا رسول الله صلى الله عليه وسلم عن ذلك، فقال ( أبدلا يوما مكانه )

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Hafsah (ummul mukminin) dihadiahkan daging kambing, lalu dimakannya bersama Aisyah padahal kedua-duanya berpuasa pada hari itu. Lantas keduanya mengajukan soalan kepada Rasulullah ﷺ akan hal tersebut. Baginda ﷺ bersabda, “Gantilah pada hari yang lain.

(HR Ahmad)

Tahqiq:
Didhaifkan oleh Al-Bukhari.

الراوي:عائشة المحدث: البخاري – المصدر: العلل الكبير – الصفحة أو الرقم: 119
خلاصة حكم المحدث: لا يصح

Walaupun hadithnya dhaif, tetapi fiqhnya diamalkan, yakni orang berpuasa sunat boleh berbuka dan mengqadha’nya pada hari yang lain.

Kaedah penting dalam mazhab Hanbali, walaupun hadith-hadith dhaif tetapi fiqhnya diamalkan oleh para salaf.

 

SIRI TAZKIRAH PUASA: FRP 2.0 – Beza puasa Ramadhan vs Puasa yang lain

0

🕌🌙

SIRI TAZKIRAH PUASA

Fatwa-fatwa Rasulullah ﷺ seputar Puasa (FRP) (فتاوى تتعلق بالصوم)

Petikan Kitab (: إعلام الموقعين عن رب العالمين)

FRP 2.0: Beza puasa Ramadhan vs Puasa yang lain

وسألته صلى الله عليه وسلم عائشة رضى الله عنها فقالت يا رسول الله، دخلت عليّ وأنتَ صائم، ثم أكلت حَيْسا، فقال ( نعم، إنما منزلة من صام في غير رمضان أو قضى رمضان في التطوع بمنزلة رجل أخرجَ صدقة من ماله فَجَاد منها بما شاء فأمضاه، وبَخل بما شاء فأمسكه ) ذكره النسائي،

Aisyah, ummul mukminin, رضي الله عنها, menceritakan, “Dan telah dihadiahkan hais (makanan yang dibuat daripada kurma dan susu, lalu dijadikan bubur) untuk kami, lalu aku datang dengan membawa makanan tersebut, kemudian baginda ﷺ memakannya, maka aku hairan kerananya! Aku bertanya; “Wahai Rasulullah ﷺ, engkau masuk menemuiku dalam keadaan berpuasa, kemudian engkau makan bubur hais?” Baginda bersabda: “Ya, wahai Aisyah, kedudukan orang yang berpuasa selain Ramadhan atau selain mengqadha’ puasa Ramadhan, atau puasa sunnah, seperti seorang yang mengeluarkan sedekah hartanya, lalu ia menjadi orang yang dermawan dengan keinginannya, lalu ia meneruskannya dan menjadi kikir dengan -sesuatu- yang masih tersisa, lalu ia menahannya.”

(HR Nasa`iy, No. 2284, Lidwa)

Tahqiq:
Syaikh Masyhur Hasan Al-Salman, Muhaqqiq I’lam al Muwaqqi’ien, katanya, Isnadnya sahih atas syarat Muslim (I’lam, 4:303)

الراوي: عائشة المحدث: الألباني – المصدر: صحيح النسائي – الصفحة أو الرقم: 2322
خلاصة حكم المحدث: حسن

Al-Albani, hadith hasan

🔏 Fiqh Fatwa Nabi ﷺ:
Orang yang sedang berpuasa sunat boleh berbuka, tetap tidak boleh untuk orang berpuasa Ramadhan atau nazar.

 

SIRI TAZKIRAH PUASA: FRP 1.0 – Puasa Paling Utama

0

🕌🌙

SIRI TAZKIRAH PUASA

Fatwa-fatwa Rasulullah ﷺ Seputar Puasa (FRP) (فتاوى تتعلق بالصوم) 

Petikan kitab (: إعلام الموقعين عن رب العالمين) “I’lam al Muwaqqi’ien ‘an Rabbil ‘Aalamin” oleh Syeikhul Islam Ibn Qayyim رحمه الله (w. 751H, Syria)

🗯 Syarah:
Fatwa-fatwa Rasulullah ﷺ bermaksud terdapat dua jenis nas; ada yang berasal daripada wahyu dan jika tidak ada wahyu, maka ia berasal daripada fatwa-fatwa Nabi ﷺ yang dinamakan sunnah.

Kitab I’lam al Muwaqqi’iien yang bermaksud deklarasi sang mujtahid adalah kitab usul fiqh ahli hadith dan atsar yang perlu dikhatami oleh ahli fiqh dan ahli fatwa.

Pada siri ini yang dipetik daripada Jilid 4, bab akhir, tentang beberapa contoh Fatwa-fatwa RasuluLlah ﷺ.

FRP 1.0 Puasa Paling Utama

وسئل صلى الله عليه وسلم أي الصوم أفضل ؟ فقال ( شعبان لتعظيم رمضان ) قيل فأي الصدقة أفضل ؟ قال

( صدقة رمضان ) ذكره الترمذي

Daripada Anas, ia berkata : Nabi ﷺ pernah ditanya : “Puasa apakah yang paling utama setelah Ramadhan ?” Baginda menjawab : “Sya’baan untuk memuliakan Ramadhan”. Dikatakan : “Lalu sedekah apakah yang paling utama ?” Baginda menjawab : “Sedekah di bulan Ramadhan”.

Tahqiq:
Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi No. 663, Ibnu Abi Syaibah 3/103, Abu Ya’laa No. 3431, Ath-Thahaawiy dalam Syarh Ma’aanil-Aatsaar 2/83, dan Al-Baghawiy No. 1778; dari dua jalan (Muusaa bin Ismaa’iil dan Yaziid bin Haaruun), daripada Shadaqah bin Muusaa, daripada Tsaabit Al-Bunaaniy, daripada Anas secara marfu’. Sanad hadith ini lemah kerana kelemahan daripada Shadaqah bin Muusaa. Dhaif, Masyhur Hasan Salman, tahqiq, I’lam, 6:303.

🗯 Syarah:
Maka tidaklah muktamad dalam pencarian puasa sunat apakah yang paling utama, kerana puasa Sya’ban bukanlah yang paling utama kerana hadithnya dhaif.

Mengenai puasa Sya’ban, terdapat khilaf, sama ada kita kena berpuasa penuh dan bagaimana larangan berpuasa selepas 15 Sya’ban.

👁‍🗨 Penjelasan Imam Tirmidzi رحمه الله:

1⃣ Maksud berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Sya’ban adalah sahih tetapi tidaklah maksud satu bulan penuh. Ini merupakan balaghah atau tatabahasa, maksud puasa sebulan Sya’ban itu ialah banyak hari berpuasa seolah-olah berpuasa satu bulan.

2⃣ Larangan berpuasa selepas 15 Sya’ban pula bermaksud larangan ditujukan kepada orang yang tidak banyak berpuasa sunat, maka ditegah berpuasa 15 hari sebelum Ramadhan.

FRP 1.0 Puasa Paling Utama (Bahagian 2)

والذي في الصحيح أنه سئل أي الصيام أفضل بعد شهر رمضان ؟ فقال ( شهر الله الذي تَدْعُونه المحرم ) قيل فأي الصلاة أفضل بعد المكتوبة ؟ قال ( الصلاة في جَوْف الليل )

Terdapat dalam al Sahih (HR Muslim),
RasuluLlah ﷺ pernah ditanya, “Puasa apakah yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan?” Nabi ﷺ menjawab: “Puasa di bulan Allah yang engkau sebut bulan Muharam”. Ditanya seterusnya, “Salat apa apakah yang paling utama (selepas salat fardu)?”,jawab baginda:” “Salat di tengah malam (yakni 1/3 malam yang akhir).”

(HR Muslim) No. 1163 daripada perawi akhir Abu Hurairah رضي الله عنه.

🗯 Syarah:
Kata Ibn Rajab رحمه الله, apabila Allah ‎ﷻ menisbahkan sesuatu kepada Diri-Nya, ia membawa maksud kemuliaan dan keutamaan. Maka bulan Muharam dinamakan Bulan Allah, masjidil haram dinamakan baitillah, Muhammad pula dinamakan abdillah; iaitu hamba Allah.

Maka puasa yang paling utama selepas Ramadhan ialah puasa di bulan Muharam, khususnya puasa 10 Muharam atau Asyura. Berbeza dengan agama syiah, bulan Muharam adalah bulan bersedih kerana peristiwa karbala.

 

Popular

Iklan

Iklan