Utama Blog Halaman 21

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-34 hingga Ke-36

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-34

إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم ۖ فَاعلَموا أَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم

kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka;

Hukuman kesalahan-kesalahan samun dan rompak itu akan dikenakan kepada mereka yang telah melakukannya, kecuali yang sempat bertaubat sebelum ditangkap. Kalau sudah ditangkap, tidak ada pengecualian kepada mereka, mereka tetap akan dikenakan dengan hukuman.

Dan bukan cukup dengan mereka bertaubat sahaja, mereka kena hantar balik barang yang mereka samun dan rompak itu. Kalau pernah bunuh orang, maka hukum hudud, qisas atau ta’zir (yang mana berkenaan) akan dikenakan kepada mereka.

Allah ‎ﷻ sedang memberi motivasi kepada golongan penyamun untuk bertaubat kerana mereka itu sedang melakukan kerosakan yang besar kepada masyakat, menakutkan masyarakat dan menyusahkan kerajaan. Maka kalau mereka berhenti daripada kerja-kerja mereka itu, ramai yang akan senang.

Dalam sejarah umat Islam, ada kisah golongan penyamun yang bertaubat kerana mendengar ayat ini. Ali Asadi yang menyamun di Madinah telah dimaafkan oleh Khalifah Marwan; manakala Haritha ibn Badr telah diampunkan oleh Saidina Ali رضي الله عنه .

فَاعلَموا أَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Kalau berkenaan kesalahan kepada Allah ‎ﷻ, maka boleh bertaubat sahaja, tetapi tidak lepas kalau kesalahan itu berkenaan dengan manusia. Itu sebab mereka yang bertaubat itu kena pulangkan barang yang mereka ambil dan kena minta maaf. Kena bezakan antara hak Allah ‎ﷻ dan hak manusia.

Tafsir Ayat Ke-35

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita supaya jangan duduk sahaja kerana kalau duduk sahaja tanpa berusaha, iman kita akan dirosakkan oleh orang lain. Ini kerana tentu sekali ada usaha untuk menyesatkan manusia (sama ada dari luar atau dalaman kita), maka kita kena berusaha juga untuk membawa manusia kepada tauhid, dan salah satunya dengan menjalankan jihad perang.

Sebelum ini telah disebut hukum rompak samun dan tidak lama lagi akan disebut tentang hukum mencuri pula. Di antara ayat-ayat hukum jenayah itu, sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang taqwa dan jihad. Allah ‎ﷻ bukan hendak sebut tentang hukuman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ hendak dakwah untuk mengajak kepada apa sebenarnya yang kita perlu buat sebagai manusia.

Dalam ayat ini juga, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kenapa kita berperang. Kita kena ingat bahawa semua yang kita lakukan adalah untuk Allah ‎ﷻ. Jihad itu dilakukan supaya manusia kenal dan sembah Allah ‎ﷻ sahaja.

Ayat ini juga adalah anjuran untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena cari jalan bagaimana untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ sepanjang masa.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah

Pertamanya, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk bertaqwa kepada-Nya. Ini memang selalu diulang-ulang di dalam Al-Qur’an. Oleh itu kena taqwa dan kena tinggalkan segala larangan. Kita kena ingat, kalau sudah beriman, kena taqwa pula.

Maksudnya, iman tidak sama dengan taqwa. Ada orang beriman, tetapi tidak bertaqwa. Taqwa maksudnya kena jaga hukum dan taat kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap sudut dan masa, iaitu dengan membuat apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan meninggalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah larang.

Maka ajakan ini disebut di antara ayat-ayat tentang samun dan curi. Maka orang-orang yang sebenarnya takut dan taqwa kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh meninggalkan amalan salah itu. Bagi mereka, kalau tidak ada hukuman dunia pun, mereka tidak akan melakukan perbuatan yang teruk itu. Hukuman-hukuman keduniaan itu sebenarnya untuk mengawal manusia yang tidak ada taqwa sahaja.

وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ

dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya,

Dan kedua, carilah ‘wasilah’ untuk hampir kepada Allah ‎ﷻ iaitu, carilah jalan yang membolehkan kita menghampiri Allah ‎ﷻ. Ayat inilah yang menyebabkan ramai orang Islam keliru. Ketahuilah, semua kitab tafsir muktabar berkata maksud ayat ini: meninggalkan yang haram dan membuat yang makruf, iaitu jalan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Janganlah ditafsir mengikut fahaman yang karut. Malangnya, ramai yang tafsir dengan cara karut kerana mereka tidak belajar tafsir. Mereka kata yang dimaksudkan dengan wasilah itu adalah ‘perantara’ seperti tok wali lah, Nabi lah dan sebagainya. Oleh kerana itu mereka mengatakan yang ini adalah dalil yang Allah ‎ﷻ menyuruh kita mengamalkan tawaduk dalam ibadah dan doa.

Ini adalah tafsiran orang yang jahil tentang Al-Qur’an dan kita jangan mengikut orang jahil. Memang kalau kita baca sendiri ayat ini dan cuba faham sendiri tanpa belajar tafsir, nampak memang seperti ada suruhan supaya menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah kita dalam ibadat dan doa dan memang ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka bagi mengamalkan tawasul. Namun itu hanyalah kepada mereka yang jahil sahaja.

Apakah maksud ‘wasilah’? Ia adalah cara untuk mendapatkan sesuatu iaitu membuat sesuatu untuk mendekatkan diri dengan seseorang. Dalam ayat ini, ia tentang mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Namun kerana salah faham, ramai yang menggunakan orang alim sebagai wasilah mereka sampai ada yang menggunakan ‘berkat’ ahli kubur dan sebagainya.

Ini sedang banyak diperkenalkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka ‘Habib’ di Malaysia. Mereka memang mengamalkan melawat kubur di tempat asal mereka dan meminta tolong kepada orang dalam kubur (yang mereka dakwa sebagai ‘wali’) dan kerana orang kita ‘import’ mereka datang ke sini, sedikit demi sedikit mereka telah memperkenalkan amalan syirik itu. Ramai yang tertipu dengan perawakan golongan Habib ini.

Wasilah juga bermaksud kedudukan yang tinggi. Oleh itu, ayat ini menganjurkan kita berbuat sesuatu untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi dan dekat dengan Allah ‎ﷻ. Di dalam kitab Sahih Bukhari telah disebutkan melalui jalur Muhammad ibnul Munkadir, daripada Jabir ibnu Abdullah, yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، إلا حَلَّتْ له الشفاعة يوم القيامة”.

Barang siapa ketika mendengar suara azan (yakni sesudahnya) mengucapkan doa berikut: “Ya Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan (Tuhan) salat yang didirikan, berikanlah (kedudukan) al-wasilah dan keutamaan, dan tempatkanlah dia pada kedudukan yang terpuji seperti apa yang telah Engkau janjikan kepadanya, “nescaya syafaat akan diperolehnya pada hari kiamat.

Kedudukan al-wasilah dalam hadith ini adalah khusus kepada Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui hadis Ka’b ibnu Alqamah, daripada Abdur Rahman ibnu Jubair, daripada Abdullah ibnu Amr ibnul As, bahawa dia pernah mendengar Nabi ﷺ bersabda:

“إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ، ثُمَّ صلُّوا عَليّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَليّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا منزلة فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلًّتْ عَلَيْهِ الشَّفَاعَةُ.”

Apabila kalian mendengar suara muazin, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkannya, kemudian bacalah selawat untukku, kerana sesungguhnya barang siapa yang membaca selawat sekali untukku, Allah‎ ﷻ membalas sepuluh kali selawat untuknya. Kemu­dian mohonkanlah al-wasilah untukku, kerana sesungguhnya al-wasilah adalah suatu kedudukan di dalam syurga yang tidak layak kecuali bagi seseorang hamba Allah ‎ﷻ saja, dan aku berha­rap semoga aku adalah hamba yang dimaksudkan itu. Dan barang siapa yang memohonkan al-wasilah buatku, nescaya akan mendapat syafaat (dariku).

Daripada hadith ini, kita dapat tahu bahawa inilah satu cara untuk mendapatkan syafaat daripada Nabi ﷺ, tidak ada lagi cara lain seperti yang banyak diajar oleh guru-guru yang salah. Tidak perlu dan tidak boleh meminta syafaat kepada Nabi ﷺ, kerana Nabiﷺ tidak boleh beri syafaat itu kepada kita. Kena faham yang bagi hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu, bukannya buat keputusan siapa boleh dapat syafaat itu.

Baginda telah ajar kita bagaimana cara untuk mendapatkan syafaat itu, antaranya hadith tentang doa selepas wudhu’ itu. Jadi, amalkanlah cara ini sahaja (dan cara-cara lain yang sahih). Kenapa perlu amalkan cara lain yang tidak diajar oleh Nabi ﷺ? Janganlah ikut puak Habib yang sesat itu yang meminta-minta syafaat daripada Nabi ﷺ dalam lagu Ya Hanana mereka, sampai penuh satu stadium dengan orang-orang yang jahil, melambai-lambai kepada Nabi ﷺ? Mereka memang golongan yang suka mereka amalan-amalan baru dalam agama (amalan bid’ah).

Oleh itu, secara ringkasnya, ayat ini suruh kita bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Dan cara-cara itu telah banyak diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kita pun tahu bahawa banyak sekali amalan-amalan sunnah yang telah diajar oleh baginda. Maka, amalkanlah segala yang diajar itu. Tidak perlu menggunakan cara yang tidak pernah diajar dan diamalkan oleh Nabi ﷺ. Siapa kita untuk memperbaharui agama ini yang telah disampaikan oleh Nabi kita Muhammad ﷺ?

وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ

dan berjihadlah pada jalan-Nya,

Dan antara wasilah yang paling hebat adalah jihad di jalan Allah ‎ﷻ. Selepas disebut tentang wasilah, Allah ‎ﷻ terus sebut tentang jihad menunjukkan keutamaan jihad. Ia adalah salah satu daripada wasilah. Inilah jalan wasilah yang paling hebat.

Sebenarnya kalau tidak disebut pun, jihad fi sabilillah sudah termasuk dalam salah satu wasilah, tetapi Allah ‎ﷻ takhsis (sebutkan secara khusus) lagi kerana hendak menunjukkan kelebihan jihad. Sekurang-kurangnya berjihad itu adalah menyampaikan wahyu kepada orang lain supaya mereka boleh menghampirkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Inilah yang dinamakan ‘jihad lisan’.

Maka kita hendaklah memperkenalkan Allah‎ ﷻ kepada manusia dan ajak mereka mendekati Allah ‎ﷻ. Itulah pentingnya belajar, mengajar dan menyampaikan akidah tauhid dan ajar fahaman Al-Qur’an. Kita kena sampaikan kepada mereka dan ini adalah perkara besar dalam jihad. Inilah asal jihad, iaitu menggunakaan Al-Qur’an dalam dakwah dan menyampaikan Al-Qur’an kepada manusia.

Oleh itu susunan saranan dalam ayat ini: taqwa – wasilah – jihad.

لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

Mudah-mudahan, kalau kita melakukan semua itu, kita akan berjaya. Kalimah فلح adalah jenis kejayaan yang didapati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Maknanya, bukannya dengan goyang kaki boleh dapat kejayaan itu, tetapi kena berusaha bersungguh-sungguh.

Usaha yang pertama adalah belajar wahyu Allah ‎ﷻ. Ini pun ramai yang sudah tidak sanggup kerana ia memerlukan masa, kekuatan minda dan kadang-kadang belanja. Ramai yang tidak sanggup mengharungi perkara ini kerana ramai lebih suka tengok cerekarama sahaja. Budaya melazimi ilmu masih lagi jauh daripada kebanyakan masyarakat kita. Yang rajin belajar itu masih tidak ramai lagi.

Tafsir Ayat Ke-36

Ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لِيَفتَدوا بِهِ مِن عَذابِ يَومِ القِيٰمَةِ ما تُقُبِّلَ مِنهُم ۖ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sekiranya mereka mempunyai apa yang di bumi ini seluruhnya dan mempunyai yang sebanyak itu (pula) untuk menebusi diri mereka dengan itu dari azab hari kiamat, nescaya (tebusan itu) tidak akan diterima dari mereka, dan mereka beroleh azab yang pedih.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا

Sesungguhnya orang-orang yang kafir

Iaitu mereka yang mati dalam kafir dan tidak sempat bertaubat. Tentunya mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

لَو أَنَّ لَهُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا

sekiranya mereka mempunyai apa yang di bumi ini seluruhnya

Kalaulah mereka ada segala harta yang ada dalam dunia ini seluruhnya. Tentulah tidak ada sesiapa pun yang mempunyai harta seluas bumi. Orang kafir sememangnya ramai di antara mereka yang mempunyai harta, tetapi tidaklah harta mereka memenuhi seluruh bumi ini. Jadi ini adalah bidalan sahaja.

وَمِثلَهُ مَعَهُ

dan mempunyai yang sebanyak itu

Atau mereka mempunyai sekali ganda daripada harta sebanyak seluas bumi. Memang lagi tidak masuk akal kalau ada manusia yang ada harta sekali ganda bumi. Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa yang ekstrem di sini untuk menyampaikan maksud yang hendak diberitahu kepada kita.

لِيَفتَدوا بِهِ مِن عَذابِ يَومِ القِيٰمَةِ

untuk menebusi diri mereka dengan itu dari azab hari kiamat,

Kalaulah mereka ada harta sebanyak itu, mereka pasti akan menggunakan harta itu semuanya sekali untuk menebus diri mereka supaya mereka diselamatkan daripada azab neraka. Mereka itu memang sayang sangat kepada harta dan kerana itulah mereka terus kufur, tetapi mereka sanggup memberikan kesemuanya sekali, kerana mereka akan berusaha dengan segala cara untuk menyelamatkan diri kerana mereka sudah dapat lihat betapa dahsyat sangat azab yang menanti mereka.

ما تُقُبِّلَ مِنهُم

nescaya (tebusan itu) tidak akan diterima daripada mereka,

Allah ‎ﷻ memberitahu jika mereka menebus diri mereka dengan harta dua kali ganda luas bumi, tebusan itu tidak akan diterima pun. Harta dunia pada waktu itu tidak bernilai lagi. Kalau mereka beriman dan menginfaqkan harta semasa di dunia, maka itu barulah ada nilainya.

Dan memang tidak ada sesiapa yang ada harta sebanyak itu, jadi maksudnya tidak usahlah bermimpi. Oleh itu, kita hendaklah beringat semasa di dunia ini kerana apa sahaja tebusan pada waktu itu tidak akan diterima. Hanya amal dan iman sahaja yang bermakna ketika itu. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan harta kita langsung. Harta yang kita ada pun, datang daripada Dia juga, jadi apa perlunya Dia kepada harta itu?

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka beroleh azab yang pedih.

Mereka yang mati dalam kufur itu tetap akan dikenakan azab akhirat yang amat pedih kerana perbuatan mereka semasa di dunia. Harta yang banyak tidak akan menyelamatkan mereka sedikit pun. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan harta benda mereka.

Maka ini adalah berita yang penting untuk disampaikan. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang harta yang banyak, tidak ada gunanya kalau akidah dan iman itu lemah. Manusia sahaja yang mementingkan harta dunia, sampaikan boleh menyebabkan mereka menjadi kufur kalau tidak berhati-hati dengannya. Ini kerana harta yang banyak itu tidak mampu untuk menyelamatkan mereka.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

SOAL JAWAB FIQH SUNNAH: Kisah Sahih Rasulullah Berdakwah Ke Thaif

0

🔴 Adakah sahih kisah  Nabi ﷺ berdakwah di sebuah perkampungan yang bernama Thaif dan bagaimana Thaif disebut dalam hadith?

✅ Untuk menjawab soalan ini, perlu ada sebuah kitab sirah. Kitab terbaik yang dicadangkan ialah Rahiq Al-Makhtum oleh Al-Mubarakfuri.

Peristiwa Nabi ﷺ berdakwah ke Thaif itu adalah benar.

Thaif ini lebih kurang 85 kilometer (dari Masjidil Haram) biasanya pakej haji ada yang menawarkan perjalanan ziarah ke Thaif (dikenakan bayaran yang lebih). Thaif ini seperti Genting Highland di Malaysia, dengan ketinggian 2,000 meter daripada paras laut.

Di dalam Sahih Bukhari ada kisah Nabi ﷺ ke Thaif. Imam Bukhari رحمه الله meriwayatkan daripada Urwah:

Bahawa Aisyah رضى الله عنها. Isteri Nabi ﷺ bertanya kepada Nabi ﷺ katanya: ‘Adakah hari lain yang engkau rasakan lebih berat daripada hari Perang Uhud?’ ‘Ya, memang banyak perkara berat yang aku tanggung daripada kaummu itu, dan yang paling berat ialah apa yang aku temui di hari Aqabah dulu. Aku meminta perlindungan diriku kepada Putera Abdi Yalel bin Abdi Kilai, tetapi malangnya dia tidak merestui permohonanku! ‘Aku pun pergi dari situ, sedang hatiku sangat sedih, dan mukaku muram sekali, aku terus berjalan dan berjalan, dan aku tidak sedar melainkan sesudah aku sampai di Qarnis-Tsa’alib. Aku pun mengangkat kepalaku, tiba-tiba aku terlihat sekumpulan awan yang telah meneduhkanku, aku lihat lagi, maka aku lihat Malaikat Jibril عليه السلام berada di situ, dia menyeruku: ‘Hai Muhammad! Sesungguhnya Allah telah mendengar apa yang dikatakan kaummu tadi, dan apa yang dijawabnya pula. Sekarang Allah telah mengutus kepadamu bersamaku Malaikat yang bertugas menjaga bukit-bukit ini, maka perintahkanlah dia apa yang engkau hendak dan jika engkau ingin dia menghimpitkan kedua-dua bukit Abu Qubais dan Ahmar ini ke atas mereka, nescaya dia akan melakukannya!‘ Dan bersamaan itu pula Malaikat penjaga bukit-bukit itu menyeru namaku, lalu memberi salam kepadaku, katanya: ‘Hai Muhammad!’ Malaikat itu lalu mengatakan kepadaku apa yang dikatakan oleh Malaikat Jibril عليه السلام tadi. ‘Berilah aku perintahmu, jika engkau hendak aku menghimpitkan kedua bukit ini pun nescaya aku akan lakukan!’ ‘Jangan… jangan! Bahkan aku berharap Allah ﷻ akan mengeluarkan daripada tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah ﷻ semata, tidak disekutukan-Nya dengan apa pun… ! demikian jawab Nabi ﷺ.

Musa bin Uqbah رحمه الله menyebut di dalam kitab ‘Al-Maghazi’ daripada Ibnu Syihab katanya, “Bahawa Rasulullah ﷺ apabila pakciknya, Abu Thalib, meninggal dia keluar menuju ke Thaif dengan harapan agar penduduknya akan melindunginya di sana. Maka, baginda menemui tiga pemuka Tsaqif, dan mereka itu bersaudara, iaitu: Abdi Yalel, Khubaib dan Mas’ud daripada Bani Amru. Baginda menawarkan mereka untuk melindunginya serta mengadukan halnya dan apa yang dibuat oleh kaumnya terhadap dirinya sesudah kematian Abu Thalib itu, namun bukan saja mereka menolak baginda, tetapi mereka menghalaunya dan memperlakukan apa yang tidak sewajarnya.

(Fathul Bari 6:198 – daripada sumber Ibnu Ishak, Bukhari 1:458, dan berita ini dikeluarkan juga oleh Muslim dan Nasa’i)

#Ilmu#Prihatin#Amal

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-30 hingga Ke-33

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-30

فَطَوَّعَت لَهُ نَفسُهُ قَتلَ أَخيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصبَحَ مِنَ الخٰسِرينَ

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang merugi.

فَطَوَّعَت لَهُ نَفسُهُ قَتلَ أَخيهِ

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya,

Walaupun nasihat telah diberi namun hawa nafsunya Qabil mendorong dirinya membunuh saudaranya sendiri. Dia mengikut kehendak dan pujukan nafsunya, sampai sanggup dia hendak membunuh saudaranya itu. Begitulah, apabila nafsu tidak dididik dengan wahyu maka ia sangat merbahaya sehingga boleh ke tahap membunuh.

فَقَتَلَهُ فَأَصبَحَ مِنَ الخٰسِرينَ

maka dibunuhnya saudaranya itu, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang merugi.

Maka, dia telah termakan dengan nafsunya, sehingga dia telah benar-benar membunuh saudaranya itu dan kerana itu, dia rugi dunia dan akhirat. Dia juga mendapat bahagian daripada semua dosa pembunuhan.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Salamah, daripada Ibnu Ishaq, daripada Hakim ibnu Hakim, bahawa dia pernah menceritakan sebuah riwayat daripada Abdullah ibnu Amr yang telah berkata, “Sesungguhnya manusia yang paling celaka ialah anak Adam yang membunuh saudaranya (yakni Qabil), tiada setitis darah pun yang dialirkan di bumi ini sejak dia membunuh saudaranya sampai hari kiamat, melainkan dia mendapat bahagian daripada seksaannya. Demikian itu kerana dialah orang yang mula-mula melakukan pembunuhan.”

Tidak pasti bagaimanakah cara Qabil membunuh Habil kerana ada beberapa riwayat. Ada yang mengatakan dengan menghempap batu, ada pula yang mengatakan dengan menikam dengan benda tajam, ada juga yang mengatakan dengan mencekik sehingga mati. Caranya tidak penting. Yang penting kita tahu yang Qabil telah membunuh Habil. Inilah kejadian pembunuhan manusia pertama di dalam sejarah kehidupan manusia.

Tafsir Ayat Ke-31

فَبَعَثَ اللهُ غُرابًا يَبحَثُ فِي الأَرضِ لِيُرِيَهُ كَيفَ يُوٰري سَوءَةَ أَخيهِ ۚ قالَ يٰوَيلَتا أَعَجَزتُ أَن أَكونَ مِثلَ هٰذَا الغُرابِ فَأُوٰرِيَ سَوءَةَ أَخي ۖ فَأَصبَحَ مِنَ النّٰدِمينَ

Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?” Kerana itu jadilah dia seorang diantara orang-orang yang menyesal.

فَبَعَثَ اللهُ غُرابًا يَبحَثُ فِي الأَرضِ

Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi

Selepas Qabil membunuh Habil, Qabil tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan mayat saudaranya itu. Allah ‎ﷻ menghantar seekor burung gagak untuk mengajar Qabil apakah harus dibuat dengan mayat saudaranya itu.

لِيُرِيَهُ كَيفَ يُوٰري سَوءَةَ أَخيهِ

untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya.

Qabil tidak tahu apa hendak dibuat dengan mayat Habil kerana inilah kematian yang pertama di dunia. Tidak pernah ada contoh lagi cara mengebumikan mayat manusia. Sekarang Allah ‎ﷻ memperlihatkan bagaimana dua ekor burung gagak berkelahi dan seekor gagak membunuh gagak yang satu lagi.

Burung gagak itu kemudiannya telah menggali lubang dan memasukkan gagak yang dibunuh itu dan mengambus lubang itu. Yang menariknya, sampai ke hari ini gagak selalu dijadikan sebagai simbol kematian dalam beberapa tamadun di dunia ini.

قالَ يٰوَيلَتا أَعَجَزتُ أَن أَكونَ مِثلَ هٰذَا الغُرابِ فَأُوٰرِيَ سَوءَةَ أَخي

Berkata Qabil: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?”

Setelah melihat apa yang dilakukan oleh burung gagak itu, maka Qabil telah mendapat ilham dan telah meniru apa yang dilakukan oleh gagak itu dan mengebumikan mayat saudaranya Habil. Maka sampai sekaranglah kita amalkan perbuatan ini.

فَأَصبَحَ مِنَ النّٰدِمينَ

Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal.

Jadilah dia menyesal sungguh-sungguh di atas tindak tanduknya semasa di dunia. Memang begitulah manusia, kalau mereka telah membunuh, mereka akan rasa bersalah. Ini turut berlaku kepada tentera. Walaupun kerja mereka membunuh, tetapi apabila mereka telah membunuh orang, akan timbul rasa tidak kena dalam diri mereka. Ada gangguan emosi dan trauma walaupun telah sekian lama meninggalkan dunia ketenteraan.

Walaupun Qabil telah menyesal atas perbuatan membunuhnya itu, namun tidak diterima penyesalannya.

Tafsir Ayat Ke-32

Sekarang bertukar cerita kepada Bani Israel pula. Ini adalah teguran kepada mereka kerana mereka telah diberikan kelebihan mendapat wahyu dan sepatutnya mereka menjadi contoh kepada manusia yang lain. Namun, sebaliknya yang mereka lakukan. Di dalam ayat ini juga kita diajar tentang nilai nyawa manusia.

مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا وَمَن أَحياها فَكَأَنَّما أَحيَا النّاسَ جَميعًا ۚ وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُنا بِالبَيِّنٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثيرًا مِّنهُم بَعدَ ذٰلِكَ فِي الأَرضِ لَمُسرِفونَ

Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian ramai  di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.

مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ

Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel,

Kerana pembunuhan inilah Allah ‎ﷻ mengadakan undang-undang qisas (balas bunuh) ke atas Bani Israel. Ia juga masih digunapakai untuk kita sehingga ke hari ini.

أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ

barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain,

Ada jumlah muqaddar (penambahan) di sini. Perlu ditambah di sini: [Membunuh seseorang yang tidak bersalah melakukan pembunuhan.] Di sini perlu ada perbezaan kerana mesti ada kebenaran dalam keadaan tertentu untuk membunuh seseorang.

Sebagai contoh, kalau seseorang itu dibunuh kerana hukuman atas kesalahannya membunuh orang lain (inilah hukum qisas), maka itu dibenarkan. Begitu juga dibenarkan membunuh dalam peperangan.

أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ

atau [bukan] kerana membuat kerosakan di muka bumi,

Atau kerana membuat kerosakan di atas muka bumi iaitu kesalahan yang boleh dihukum bunuh seseorang itu. Kalau ada orang yang membuat kerosakan seperti merompak, lari daripada perang dan lain-lain kesalahan berat yang boleh dihukum bunuh, maka boleh dibunuh mereka itu. Perkara ini mestilah dirujuk dengan Hukum Hudud tentang perkara-perkara yang termasuk dalam hukum bunuh itu.

فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا

maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.

Kalau membunuh bukan kerana sebab-sebab yang dibenarkan, ia adalah seumpama dia telah membunuh seluruh manusia. Ini adalah kerana pembunuhannya itu akan berpanjangan kerana akan ada bunuh balas. Keluarga mangsa yang dibunuh akan membalas dendam dengan membunuh si pembunuh. Kemudian keluarga si pembunuh itu pula akan membalas dendam dan ia akan berbalasan lagi dan akan berterusan lagi dan lagi.

Dan kerana pada Allah ‎ﷻ, satu nyawa sama sahaja dengan nyawa yang lain. Sama sahaja nilai nyawa pada Allah ‎ﷻ. Kalau sewenang-wenangnya membunuh satu nyawa, maka orang yang membunuh itu tidak akan tahu menghargai nyawa yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dia telah menghina Allah ‎ﷻ!

Maka ini mengajar kita untuk menghormati nyawa. Jangan senang-senang sahaja hendak mengambil nyawa orang lain. Mungkin di negara kita, tidak selalu berlaku kerana jarang kita berbunuh-bunuhan. Akan tetapi ada negara yang setiap hari ada sahaja kejadian bunuh di laluan-laluan gelap, kerana hanya disebabkan pertengkaran yang kecil, kerana hendak merompak, kerana tidak puas hati dengan seseorang, dan sebagainya. Mereka senang sahaja hendak membunuh orang lain kerana ia telah menjadi kebiasaan.

Sekali sekala apabila kita dengar kisah pembunuhan kejam di negara kita, kita terkejut. Semoga ia tidak menjadi kebiasaan. Kita takut orang kita sudah terbiasa dengar kisah pembunuhan di negara lain sampaikan mereka anggap nyawa manusia ringan sahaja. Ini kerana jauh daripada kefahaman agama dan norma kemanusiaan.

وَمَن أَحياها

Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia,

Sebaliknya, kalau menyelamatkan nyawa seseorang, ia adalah perkara yang amat besar kerana menghormati nyawa yang telah Allah ‎ﷻ berikan. Contohnya orang yang menyelamatkan orang lain daripada mati lemas, jatuh dari bangunan, kebakaran, kemalangan dan sebagainya. Ini adalah perkara-perkara harian yang kita boleh baca di media massa. Ada sahaja hero-hero harian yang menjadi insan mulia kerana membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Atau seseorang itu membiarkan seseorang itu hidup dengan tidak membunuhnya walaupun ada kesilapan yang membenarkan dibunuh orang itu. Sebagai contoh, dia berhak mengambil nyawa seseorang di mana hukum Qisas dijalankan, tetapi dia mengambil keputusan untuk tidak mengambilnya. Kadang-kadang kita baca ada keluarga yang memaafkan pembunuh yang telah membunuh ahli keluarganya. Ini pun dikira telah menyelamatkan nyawa.

Atau dia menghalang orang lain daripada membunuh orang lain. Ini juga adalah perbuatan berani yang jarang ada pada manusia lain. Namun begitu ada orang yang mempunyai kekuatan jiwa sampai berani berdiri di hadapan raja yang zalim.

فَكَأَنَّما أَحيَا النّاسَ جَميعًا

maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.

Allah ‎ﷻ memuji orang yang menyelamatkan nyawa orang lain. Allah ‎ﷻ memuji di dalam Al-Qur’an, maka ia ada pujian yang tinggi. Allah ‎ﷻ berkata dia itu seumpama dia telah menyelamatkan kehidupan semua manusia. Padahal, satu nyawa sahaja dia selamatkan tetapi oleh kerana dia menghargai satu nyawa itu, maka seolah-olah dia telah menghargai seluruh nyawa dalam alam ini.

وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُنا بِالبَيِّنٰتِ

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas,

Malangnya, Bani Israel itu amat teruk sekali. Mereka telah didatangkan dengan ramai Rasul-Rasul yang membawa keterangan wahyu yang nyata kepada mereka. Rasul-Rasul itu telah menyampaikan ajaran yang benar. Dan mereka tidak datang dengan tangan kosong, tetapi mereka datang dengan membawa bukti yang jelas nyata.

Zaman sekarang kita tidak ada Nabi dan Rasul, tetapi ada golongan pendakwah dan guru yang mengajar dengan membawa dalil yang sahih.

ثُمَّ إِنَّ كَثيرًا مِّنهُم بَعدَ ذٰلِكَ فِي الأَرضِ لَمُسرِفونَ

kemudian ramai di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.

Walaupun telah ada Rasul yang mengajar mereka tentang hukum dan berbuat baik di atas muka bumi, tetap juga mereka langgar. Ada undang-undang pun mereka masih melampau batas. Lihatlah apa yang terjadi di Palestin zaman berzaman. Mereka itu keturunan orang yang memang tidak menghargai nyawa orang lain. Ini kerana mereka sangka mereka itu insan terpilih dan bangsa lain tidak sama taraf dengan mereka, maka mereka sesuka hati boleh membunuh begitu sahaja. Perikemanusiaan mereka telah lama hilang daripada jiwa kebanyakan mereka.

Bukan mereka sahaja sesat tetapi mereka mahu menyesatkan orang lain pula. Sehingga ada yang sanggup membunuh Nabi mereka. Ini memang satu perbuatan yang tidak masuk akal kita, tetapi senang sahaja dilakukan oleh mereka. Otak mereka kita memang tidak dapat hendak membayangkannya.

Dan mereka meneruskan perkara melampau ini sehinggaa sekarang. Ini pun banyak kerana kita dapat banyak berita tentang kejadian di Israel. Kalau hanya seorang daripada mereka dibunuh, mereka akan bunuh satu kampung. Itulah yang dimaksudkan melampau.

Tafsir Ayat Ke-33

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang kepentingan nyawa dengan dibawakan kisah Habil dan Qabil. Kemudian telah diberitahu tentang dosa besar kalau membunuh orang lain. Sekarang disebut hukum yang berkenaan pula.

Disebabkan ada manusia jahil, jika hanya disebut secara teori mereka tidak akan faham, maka kena ada undang-undang untuk mengawal dan menakutkan mereka. Ada orang apabila disebut kepentingan nyawa, mereka tidak akan mengambil nyawa orang. Namun, malangnya ada orang yang hanya apabila ada hukuman membunuh, barulah mereka takut untuk membunuh orang lain. Tetapi Allah ‎ﷻ memulakan dengan menyebut takut dengan hukum Allah ‎ﷻ kerana inilah yang lebih penting. Hukuman manusia, ada yang boleh lari lagi dan boleh selamatkan diri dengan pelbagai cara tetapi kalau dengan Allah ‎ﷻ, hendak lari ke mana lagi?

Dalam syariat, membunuh itu ada masanya boleh, tetapi kenalah dalam lingkungan hukum, bukannya melampau batas yang telah ditetapkan. Lihatlah bagaimana kalau dalam perang pun, walaupun boleh membunuh tetapi tidak boleh berlebihan. Contohnya tidak boleh dikerat-kerat mayat itu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan di mana boleh mengambil nyawa orang lain, iaitu apabila mereka melakukan kesalahan. Waktu ini Islam sudah berkuasa dan sudah mempunyai kerajaan sendiri. Jadi ada banyak ayat-ayat hukum di dalamnya. Sekarang undang-undang sedang dibacakan kepada semua orang – sama ada Islam atau tidak, mereka kena tahu.

Juga disebut hukum tentang mereka yang masih lagi menentang Islam. Maka sebenarnya ini adalah ayat tentang mengawal pergerakan terroris sebelum mereka berkembang dan menjadi lebih teruk.

إِنَّما جَزٰؤا الَّذينَ يُحارِبونَ اللهَ وَرَسولَهُ وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا أَن يُقَتَّلوا أَو يُصَلَّبوا أَو تُقَطَّعَ أَيديهِم وَأَرجُلُهُم مِّن خِلٰفٍ أَو يُنفَوا مِنَ الأَرضِ ۚ ذٰلِكَ لَهُم خِزيٌ فِي الدُّنيا ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar,

إِنَّما جَزٰؤا الَّذينَ يُحارِبونَ اللهَ وَرَسولَهُ

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya

Bermaksud mengambil harta di hadapan tuannya dengan kekerasan – iaitu dengan cara samun. Ini kerana jika curi biasa, harta itu tidak diambil di hadapan tuannya tetapi cara senyap – itulah mencuri namanya, bukan samun. Akan tetapi, kenapa mereka disebut memerangi Allah ‎ﷻ dan Rasul, sedangkan yang mereka mengambil harta itu adalah daripada orang sahaja (manusia)?

Kalimah يُحارِبونَ (daripada kata dasar ح ر ب) digunakan dalam ayat ini dan bukan kalimah قتل (bunuh). Lafaz حرب ialah apabila peperangan atau serangan kerana hendak mendapatkan kekayaan. Ini telah berlaku apabila orang Mekah marah kerana mereka telah diambil punca pendapatan mereka (kerana ditegur datang melawat berhala di Kaabah). Apabila punca pendapatan mereka diganggu sehinggakan mereka sanggup hendak membunuh Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka dikira menentang Allah ‎ﷻ dan Rasul.

Dalam kes ayat ini, ia bukan rompakan dan curi yang biasa-biasa. Ini adalah apabila ia sehingga merosakkan keamanan negara dan penduduk setempat kerana kumpulan yang merompak itu ramai sehingga menyebabkan orang awam dalam ketakutan. Mungkin mereka menggunakan senjata. Maknanya mereka menentang kerajaan yang mengamalkan undang-undang yang sah. Dan kalau undang-undang itu undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan, maka mereka sebenarnya telah menentang Allah ‎ﷻ.

وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا

dan membuat kerosakan di muka bumi,

Maksudnya membuat huru hara di muka bumi dengan mengambil harta orang dan membunuh orang yang diambil harta itu. Hukumannya dibunuh dan kemudian disalib.

Ayat ini asalnya hukuman kepada Yahudi yang menyamun kerana ayat-ayat sebelum ini mengenai orang Yahudi. Ini adalah salah satu keburukan mereka yang selalu menyamun harta orang Islam.

Dua jenis pencurian disebut dalam Al-Qur’an: ada yang kecil dan besar. Yang besar dipanggil samun. Yang kecil adalah pencurian biasa dan disebut dalam ayat ke-78 surah ini nanti.

أَن يُقَتَّلوا أَو يُصَلَّبوا أَو تُقَطَّعَ أَيديهِم وَأَرجُلُهُم مِّن خِلٰفٍ أَو يُنفَوا مِنَ الأَرضِ

mereka itu hendaklah dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri

Kita boleh lihat yang hukum yang dikenakan agak teruk. Ini adalah untuk menakutkan manusia daripada membuat kerosakan dan porak peranda di muka bumi. Hukum samun hendaklah berdasarkan:

Kalau mengambil barang dan membunuh orang yang disamun itu, maka hukumannya, adalah dia mestilah dibunuh dan disalib. Jadi itu adalah cara pembunuhan yang amat berat. Mereka diazab sebelum dibunuh, kerana Tuhan marah sangat dan kerana itu mereka dikenakan dengan hukuman yang paling teruk sekali. Selalunya tidak jadi begini, tetapi kerana ia dikenakan kepada mereka yang membuat perkara jahat. Oleh itu, ia bukannya untuk orang kafir biasa sahaja.

Kalau mengambil barang sahaja, tidak dibunuh orang itu, maka pelakunya mestilah dikerat kaki dan tangan berlawanan. Kerat kaki kanan dan tangan kiri, atau kerat kaki kiri dan tangan kanan.

Kalau menakutkan sahaja orang yang lalu lalang di jalanan, maka akan dikenakan buang daerah. Ada yang tambah, mereka itu diasingkan ke daerah lain dan dipenjara di situ. Ini kerana kalau dibuang daerah sahaja, nanti mereka ganggu tempat lain pula, bukan? Maka hendaklah dipenjara. Saidina Umar رضي الله عنه berpendapat, kalau penjara di situ pun boleh juga, dan ini termasuk ‘buang daerah’ kerana mereka sudah tidak boleh mengganggu orang lain lagi.

Kalau dia membunuh sahaja tanpa mengambil harta, maka dia dibunuh balas sahaja tanpa disalib.

ذٰلِكَ لَهُم خِزيٌ فِي الدُّنيا

Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia,

Hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah satu kehinaan besar di dunia. Ia juga supaya manusia lain takut hendak melakukan kesalahan-kesalahan itu. Islam adalah agama yang praktikal. Ia mengajar bagaimana untuk hidup di dunia ini dengan aman. Islam bukan sahaja mengajar tentang ibadat tetapi mengajar cara memerintah dan mengawal manusia. Kalau tidak ada undang-undang, maka manusia akan hidup porak peranda.

Jadi dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beritahu tentang azab semasa di dunia kalau membuat kesalahan yang mengganggu orang lain. Tetapi mereka bukanlah dikenakan hukum di dunia sahaja.

وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar,

Di akhirat nanti mereka akan mendapat azab yang lebih besar. Ini kerana kalau di dunia, hukuman itu sekejap sahaja, sekali sahaja, akan tetapi di akhirat ia akan berpanjangan. Berterusan mereka akan dikenakan azab itu.

Kalau orang Islam pun buat benda yang sama pun mereka akan dikenakan dengan balasan yang sama walaupun asal ayat ini adalah untuk orang Yahudi. Maka jangan kata ini hukum untuk orang Yahudi sahaja. Mereka tidak baca Al-Qur’an dan menggunakan hukum Al-Qur’an.

Ini mengajar kita yang kalau telah dikenakan dengan hukum hudud di dunia, tidaklah bermaksud dia sudah selamat daripada hukum akhirat. Dia tetap kena juga. Namun begitu, jikalau mereka bertaubat sebelum mereka mati, dan Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah ‎ﷻ. Jika Allah ‎ﷻ menerima taubat itu, maka mereka akan selamat di akhirat.

Allahu a’lam.

#Ilmu

#Prihatin

#Amal

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-25 hingga Ke-29

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-25

Sekarang kita akan masuk kisah bagaimana ada golongan Yahudi yang sesat selama 40 tahun di padang pasir.

قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu”.

قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku.

Ini adalah kata-kata Nabi Musa عليه السلام dalam keadaan ghaflah, sudah tidak boleh buat apa, tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Baginda kata baginda tidak ada kuasa menjaga jiwa manusia. Yang boleh baginda kawal adalah diri baginda dan jiwa saudaranya, Nabi Harun عليه السلام. Ini adalah kerana Nabi Harun عليه السلام pun seorang Nabi juga, jadi memang boleh diharap. Walaupun ada juga Yusha’ dan Kalib yang juga menyokong baginda, tetapi mereka itu bukan Nabi.

Habis ikhtiar baginda untuk berdakwah dan mengajak umatnya yang degil itu. Baginda sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Itulah sebab baginda berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ yang dinaqalkan di dalam ayat ini. Ini mengajar kita untuk sentiasa mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena tahu yang usaha kita terhad sahaja dan sampai masanya, kita hanya dapat berserah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Kita pun tahu yang Nabi Musa عليه السلام itu kuat semangatnya, berjiwa kental serta keras dan kuat hatinya. Akan tetapi kita boleh lihat baginda sudah ghaflah dalam ayat ini. Bayangkan Bani Israel itu sudah diselamatkan daripada Firaun yang sudah lama menindas mereka. Mereka nampak sendiri bagaimana Allah ‎ﷻ telah menunjukkan bantuan-Nya dengan ahli sihir, dibelah laut sampai mereka boleh menyeberang dengan selamat dan kemudian telah menenggelamkan Firaun.

Jadi mereka sebenarnya sudah nampak bantuan Allah ‎ﷻ yang boleh diberikan dengan cara yang tidak disangka-sangka, tidak mampu difikirkan dengan akal. Akan tetapi apabila disuruh menyerang kota itu, mereka enggan dan berani menolak perintah Allah ‎ﷻ pula? Memang jenis degil sangat mereka itu! Barulah kita faham kenapa Nabi Musa عليه السلام pun sudah tidak mampu bertahan dengan mereka lagi.

فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu”.

Baginda memohon supaya dipisahkan hubungan dengan umat mereka yang degil itu. Selepas apa yang dilakukan oleh baginda, mereka masih berdegil juga lagi dan kurang ajar. Untuk masuk ke tempat yang Allah ‎ﷻ telah janjikan kepada mereka pun mereka masih tidak mahu lagi. Oleh itu baginda tidak mahu mempunyai kaitan dengan mereka lagi.

Mengikut tafsir daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, doa ini bermaksud: apa-apa sahaja balasan azab bagi mereka minta diberikankanlah; dan apa-apa sahaja balasan kebaikan yang kami patut dapat, maka minta diberikanlah juga.

Tafsir Ayat Ke-26

Selepas menerima do’a daripada Nabi Musa عليه السلام, Allah ‎ﷻ telah buat membuat keputusan. Maka ini adalah keputusan Allah ‎ﷻ.

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Allah berfirman: “(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu”.

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً

Allah berfirman: “Maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun,

Daerah BaitulMaqdis itu haram dimasuki oleh mereka selama 40 tahun. Generasi mereka yang degil untuk masuk itu tidak akan dapat masuk. Mereka akan mati di Padang Pasir Tih. Dan yang dapat masuk pun adalah generasi selepas mereka iaitu generasi yang lahir semasa mereka sesat dalam padang pasir itu. Oleh kerana lamanya mereka di padang pasir itu, maka akan lahir generasi yang baru.

يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ

mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi

Mereka sesat dalam kawasan yang sempit sahaja tetapi mereka kebingungan untuk mencari jalan keluar. Dalam riwayat mengatakan di sinilah Nabi Musa عليه السلام wafat. Doa Nabi Musa عليه السلام untuk dipisahkan daripada umatnya dimakbulkan dengan diwafatkan baginda.

Begitulah balasan azab yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ telah ‘memenjarakan’ mereka. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan gari dan jaring untuk memenjarakan hamba-Nya. Allah ‎ﷻ penjarakan mereka di padang pasir sahaja. Allah ‎ﷻ mampu buat kerana alam ini semuanya milik Allah ‎ﷻ. Dia boleh jadikan apa sahaja yang Dia kehendaki.

Padang Tiih tempat mereka disesatkan itu bukannya besar pun. Ada tafsir yang mengatakan ia sepanjang 90 batu dan selebar 27 batu. Ada pula tafsir yang kata 30 batu x 18 batu sahaja. Dan bilangan mereka waktu itu dikatakan seramai 600 ribu orang. Kiranya memang tempat yang amat sempit bagi mereka.

Di sinilah yang mereka mendapat naungan awan di atas mereka, apabila dahaga Nabi Musa عليه السلام disuruh untuk memukul batu dan air keluar darinya; dan di sini jugalah manna dan salwa diturunkan bagi mereka. Kisah ini telah disebut di dalam Surah Baqarah.

Mereka tetap mendapat rahmat itu semua kerana dalam kalangan mereka ada Nabi Musa عليه السلام, Nabi Harun عليه السلام, Yusha’ dan juga Kalib. Dan mungkin juga, mereka telah bertaubat dan kerana taubat mereka itu, mereka tetap diberikan dengan rahmat dan nikmat daripada Allah ‎ﷻ.

Mungkin timbul persoalan: bukankah seolah-olah Nabi Musa عليه السلام turut teraniaya di dalam ‘hukuman penjara’ kerana baginda turut sama sesat sekali dengan umatnya yang degil? Bukan begitu. Seperti juga kalau di hospital, pesakit tidak boleh keluar tetapi doktor boleh keluar masuk lagi. Atau keadaan di penjara, di mana warden penjara boleh keluar masuk penjara, cuma banduan sahaja yang tidak boleh keluar. Nabi Musa عليه السلام bagaikan seorang doktor yang tidak sakit dan warden penjara. Jadi tidaklah Allah ‎ﷻ seksa baginda.

Nabi Harun عليه السلام dan Nabi Musa عليه السلام wafat semasa kaum Bani Israel sesat di Padang Tih itu. Malah semua generasi itu meninggal dunia kecuali Yusha’ dan Kalib sahaja. Yusha’ diangkat menjadi Nabi menggantikan Nabi Musa عليه السلام dan bagindalah yang menjadi pemimpin mengeluarkan Bani Israel dari Padang Tih dan memerangi puak Amaliqah di BaitulMaqdis itu.

فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu

Nabi Musa عليه السلام dipujuk: Janganlah berdukacita tentang kaum baginda yang fasik itu. Mereka tidak layak mendapat belas kasihan baginda dan orang mukmin. Memang patut mereka dikenakan dengan balasan itu.

Allah ‎ﷻ menceritakan kisah buruk kaum Bani Israel itu kerana mereka itu mengaku mereka anak dan kekasih Allah ‎ﷻ. Namun beginikah sikap anak atau kekasih Allah ‎ﷻ itu? Jangan perasanlah.

Tafsir Ayat Ke-27

Memberhentikan amar makruf nahi mungkar akan menyebabkan manusia menjadi keras kepala. Oleh sebab itu hendaklah sentiasa ada ingat mengingati sesama manusia. Ini contoh kedua sebagai pengajaran buat kita. Kita akan belajar kisah Habil & Qabil. Kisah ini bukanlah sekadar cerita semata-mata, tetapi ada pengajaran daripadanya yang boleh kita ambil.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ ابنَي ءآدَمَ بِالحَقِّ إِذ قَرَّبا قُربانًا فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِما وَلَم يُتَقَبَّل مِنَ الآخَرِ قالَ لَأَقتُلَنَّكَ ۖ قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ ابنَي ءآدَمَ بِالحَقِّ

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya,

Ini tentang kisah dua anak Nabi Adam عليه السلام. Allah ‎ﷻ suruh sampaikan kisah mereka dengan benar, tanpa ada tokok tambah perkara yang tidak benar. Ia juga bermaksud, cerita dengan bertujuan – iaitu untuk diambil pengajaran, bukan sebagai cerita penglipurlara sahaja.

Kisah mengenai mereka berdua, menurut apa yang telah disebutkan oleh bukan hanya seorang dalam kalangan ulama’ Salaf dan Khalaf, bahawa Allah ‎ﷻ mensyariatkan kepada Adam عليه السلام untuk me­ngahwinkan anak-anak lelakinya dengan anak-anak perempuannya kerana keadaan darurat. Kerana waktu itu, tidak ada keluarga lain lagi selain daripada mereka.

Setiap kali Hawa mengandung, dilahirkan dua orang anak laki-laki dan perempuan (kembar), dan baginda (Adam) mengahwinkan anak perempuannya dengan anak laki-laki yang lahir bukan dari satu perut dengannya (nikah adik beradik kerana tidak ada keluarga lain lagi).

Akan tetapi saudara seperut Habil tidak cantik, sedangkan saudara seperut Qabil cantik berseri. Maka Qabil bermaksud merebutnya dari tangan saudaranya. Namun Nabi Adam عليه السلام menolak hal itu kecuali jika keduanya melakukan suatu korban; barang siapa yang korbannya diterima, maka saudara perempuan seperut Qabil akan dikawinkan dengannya. Ter­nyata korban Habillah yang diterima, sedangkan korban Qabil tidak diterima, sehingga terjadilah kisah kedua-duanya yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ di dalam Kitab-Nya.

إِذ قَرَّبا قُربانًا

ketika keduanya mempersembahkan korban,

Allah ‎ﷻ memerintahkan mereka mempersembahkan korban. Korban daripada lafaz قرب yang bermaksud untuk mendekatkan diri, iaitu kepada Allah ‎ﷻ. Itulah tujuan korban. Ini adalah cara Allah ‎ﷻuji mereka.

فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِما وَلَم يُتَقَبَّل مِنَ الآخَرِ

maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil).

Habil bekerja sebagai penggembala binatang dan dia berikan binatang yang paling baik daripada binatang-binatang ternakannya. Oleh kerana dia memberikan korban itu dari hati yang ikhlas, maka Allah ‎ﷻ menerimanya. Qabil pula seorang petani tetapi dia memberikan yang tanaman layu sahaja sebagai korban.

Cara untuk tahu manakah korban yang diterima adalah diambil dengan api. Ini adalah cara pada waktu itu sebagai tanda Allah ‎ﷻ menerima kurban seseorang. Daripada cara itu maka tahulah yang korban daripada Habil sahaja yang diterima manakala korban daripada Qabil tidak diterima.

قالَ لَأَقتُلَنَّكَ

Dia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”.

Qabil sangat marah kerana pemberiannya tidak diterima dan pertama kali terjadinya dengki dalam sejarah kehidupan manusia. Ini juga mengajar kita bahayanya kalau kita mengikut perasaan sampai dengki. Jangan biarkan perasaan kita mengelabui fikiran kita sampaikan kita ikut perasaan kita, kelak pasti akan menyesal.

Marahnya itu sampai dia hendak membunuh Habil. Ini mengajar kita bahawa kadangkala adik beradik memang ada masalah sesama sendiri. Sampai sekarang masih ada lagi. Kadang-kadang kita dengan orang lain boleh berbaik, tetapi dengan adik beradik sendiri bermasalah pula.

قالَ إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ

Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa”.

Habil menjawab: Allah‎ ﷻ menerima daripada golongan yang bertaqwa iaitu yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Bukan salah dia yang Allah ‎ﷻ tidak menerima pemberian korban daripada Qabil itu. Lihatlah bagaimana jawapan Habil ini amat lembut sekali; tidaklah beliau hendak balas bunuh Qabil tetapi dijawab dengan diberi pengajaran dan nasihat kepadanya.

Ayat ini amat menakutkan kerana Allah ‎ﷻ kata Dia hanya terima amalan daripada orang yang bertaqwa sahaja kerana itulah ulama’ salaf amat takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima.

Daripafa Fudholah bin ‘Ubaid, beliau mengatakan,

“Seandainya aku mengetahui bahawa Allah menerima daripadaku satu amalan kebaikan sebesar biji saja, maka itu lebih kusukai daripada dunia dan seisinya, kerana Allah ‎ﷻ berfirman,

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang-orang yang bertaqwa.” (QS. Al Ma-idah: 27)

Ibnu Diinar mengatakan,

“Tidak diterimanya amalan lebih kukhuatirkan daripada banyak beramal.”

Ini mengajar kita jangan berbangga sangat dengan amalan kita yang banyak kerana belum tentu lagi amalan kita itu Allah ‎ﷻ terima.

Tafsir Ayat Ke-28

لَئِن بَسَطتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقتُلَني ما أَناْ بِباسِطٍ يَدِيَ إِلَيكَ لِأَقتُلَكَ ۖ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam”.

لَئِن بَسَطتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقتُلَني ما أَناْ بِباسِطٍ يَدِيَ إِلَيكَ لِأَقتُلَكَ

“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu.

Habil berkata kepada Qabil, jika Qabil ingin membunuhnya, dia tidak akan membalas balik untuk mempertahankan dirinya. Habil tidak mahu menjadi seperti saudaranya. Keburukan yang dilakukan oleh orang lain ke atas kita, tidak semestinya dibalas dengan keburukan yang sama.

إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam

Habil tidak berani untuk mengangkat tangannya kerana dia takut kepada Allah ‎ﷻ.

Di dalam kitab Sahihain daripada Nabi ﷺ disebutkan bahawa Nabi ﷺ telah bersabda:

“إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: “إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ”.

Apabila dua orang Muslim saling berhadapan dengan pedangnya masing-masing, maka si pembunuh dan si terbunuh dimasukkan ke dalam neraka (dua-duanya). Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, kalau si pembunuh kami maklumi. Tetapi mengapa si terbunuh dimasukkan pula ke dalamnya?” Maka Nabi ﷺ menjawab: Sesungguhnya dia pun berkemahuan keras untuk membunuh temannya itu.

Tafsir Ayat Ke-29

إِنّي أُريدُ أَن تَبوأ بِإِثمي وَإِثمِكَ فَتَكونَ مِن أَصحٰبِ النّارِ ۚ وَذٰلِكَ جَزٰؤا الظّٰلِمينَ

“Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim”.

إِنّي أُريدُ أَن تَبوأ بِإِثمي وَإِثمِكَ فَتَكونَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

“Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka,

Habil tahu bahawa kalau dia dibunuh tanpa sebab, orang yang membunuh itu akan menanggung segala dosanya, dan dia akan kembali ke akhirat dalam keadaan bersih. Sudahlah orang yang membunuh itu kena tanggung dosanya sendiri, dia kena tanggung pula dosa orang yang dibunuhnya itu.

Ada perbincangan tentang perkara ini: sama ada benarkah pembunuh akan menanggung seluruh dosa orang yang dibunuh? Satu pendapat mengatakan yang dosa yang ditanggung oleh pembunuh itu hanyalah dosa perbuatan membunuh itu sahaja, tidaklah dia kena tanggung segala dosa maksiat orang yang dibunuh itu; begitu pun, ada hujah yang mengatakan, nanti di akhirat, Allah ‎ﷻ akan mengadili antara orang yang zalim dan dizalimi.

Yang dizalimi akan ditemukan dengan yang menzaliminya dahulu semasa di dunia. Orang yang dizalimi akan diberikan dengan pahala daripada yang menzalimi, sebagai balasan di atas perbuatan zalimnya dahulu. Dan kalau sudah habis pahala daripadanya, maka yang menzalimi terpaksa menerima dosa orang yang dizalimi itu. Allahu a’lam.

Dan kerana dosa membunuh itu, dia akan masuk ke dalam neraka.

وَذٰلِكَ جَزٰؤا الظّٰلِمينَ

dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim

Dosa Qabil adalah memandang kecil pemberiannya kepada Allah ‎ﷻ, hinggakan dia beri korban yang tidak elok.

Kata-kata Habil ini adalah sebagai nasihat kepada Qabil yang hendak membunuhnya. Habil takutkan saudaranya itu dengan balasan buruk yang akan diterimanya kalau dia meneruskan niat buruknya itu.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

SOAL JAWAB FIQH SUNNAH: Adakah Perlu Bermazhab?

0

🔴 Adakah wajib kita mengikuti mazhab tertentu dan adakah seseorang rakyat Malaysia boleh mengamalkan mazhab lain selain daripada Mazhab Syafi’iy?

✅ Ini isu manhaj atau sistem beragama, atau metod beragama.

Bagi ‘mainstream’ atau ASWAJA iaitu aliran majoriti di nusantara, wajib bermazhab dengan  salah satu mazhab yang empat. Oleh itu, nusantara memilih Mazhab Syafi’iy dan itulah yang disebut sudah menjadi norma agama, bahawa wajibnya bermazhab.

Fiqh As-Sunnah pula, mazhab tidak wajib, sebab asalnya ia tidak ada atau wujud. Sekiranya wujud, maka sahabat Nabi ﷺ yang berjumlah 120,000 orang itu bermazhab apa? Mazhab Hanafi hanya muncul pada tahun 150 Hijrah. Mazhab Syafi’iy pula muncul pada tahun 204 Hijrah.

Yang rajih atau tepat, bermazhab itu harus sahaja kepada orang yang tidak tahu agama, manakala orang yang boleh belajar agama, mazhab tidak wajib ke atasnya.

#Ilmu#Prihatin#Amal

SOAL JAWAB FIQH SUNNAH: Seputar Mengenai Puasa 10 Muharram

0

 

🔴 Assalamualaikum. Mohon pencerahan tentang puasa hari 11 Muharram. Adakah pendapat yang merajihkan tentangnya?

✅ Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنه:

 صُوْمُوْا يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ وَخَالِفُوْا فِيْهِ اليَهُوْدَ ، صُوْمُوْا قَبْلَهُ يوْمًا وَ بَعْدَهُ يَوْمًا (ضعيف. أخرجه أحمد(١/٢٤١) : قال هشيم : أنا ابن أبسى ليلى عن داود بن علي عن أبيه عن جده ابن عباس قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : فذكره.)

“Puasalah pada hari Asyura (10 Muharram), dan berbezalah dengan orang-orang Yahudi, oleh kerana itu puasalah satu hari sebelumnya (9 Muharram) dan satu hari sesudahnya (11 Muharram).

Dha’if yakni dengan tambahan lafadz “satu hari sesudahnya 11 Muharram” munkar.

وقد اختلف العلماء في صحة هذا الحديث ، فحسنه الشيخ أحمد شاكر ، وضعفه محققو المسند .

Oleh kerana  ianya dhaif, maka puasa yang sunnah hanya pada 9 dan 10 Muharram sahaja.

 

🔴 Mohon Ustaz tolong beri pencerahan mengenai puasa awal iaitu pada 1 Muharram; adakah ia sunnah?

✅ Sunnah berpuasa sepanjang bulan Muharram sebab ia adalah salah satu daripada bulan haram yang empat (Muharram, Zulkaedah, Zulhijjah, Rajab)

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ

“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al- Muharram. Sementara salat yang paling utama setelah salat wajib adalah salat malam.” 

(Muslim No.1163, daripada Abu Hurairah)

Maka, boleh sahaja berpuasa pada 1 Muharram. Jika ingin berpuasa sebulan penuh juga dibolehkan tetapi puasa yang paling diutamakan ialah Puasa Asyura iaitu pada 10 Muharram. 

Dalilnya:

قَالَ وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ « يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Nabi ﷺ ditanya mengenai keistimewaan puasa Asyura? Baginda ﷺ menjawab, ”Puasa Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu.”

(Muslim No.1162)

 

🔴 Adakah sebarang riwayat mengatakan sebaik-baik puasa selain puasa Ramadhan adalah bulan Muharram? Dan adakah disunnahkan berpuasa sebulan penuh?

✅ Betul. Ia adalah daripada hadith sahih.

 فعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل ” رواه مسلم 1163

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه ia berkata, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah Al-Muharram. Dan sebaik-baik salat setelah salat fardhu, adalah salat malam.”

(Muslim No.1163)

Tidak ada hadith mengatakan perlu berpuasa satu bulan penuh. Yang disebut adalah puasa pada 10 Muharram atau dinamakan Puasa Asyura.

Dalil:

Daripada Abu Qatadah  رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

 وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

“Dan berpuasa pada Hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya.” 

(Muslim No.1162)

 

🔴 Adakah berpuasa pada 11 Muharram sahaja tidak Sunnah? Adakah benar berpuasa  berturutan 10 dan 11 Muharram baru dikira Sunnah?

  1. Puasa Asyura adalah pada tanggal 10 Muharram. 

Hari Asyura adalah pada tanggal 10 dan bukan 11 Muharram. Jika kita berpuasa pada 11 Muharram maka berlakulah bid’ah sebab menyelisihi sunnah Asyura.

  1. Puasa pada tanggal 9 dan 10 Muharram dinamakan menyelisihi puasa Yahudi. Jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharram maka dilaksanakan pada 10 dan 11 Muharram. 

Dalil:

عَنْ عَطَاء أَنَّهُ سَمِعَ ابْنِ عَبَاسٍ يَقُوْلُ: وَخَالِفُوا الْيَهُودَ صُومُوا التَّاسِعَ وَ الْعَاشِرَ

“Dari Atha’, dia mendengar Ibnu Abbas رضي الله عنه berkata:”Selisihilan Yahudi, berpuasalah pada tanggal sembilan dan sepuluh”

(At-Tahawi, Yarah Ma’ani al-Atsar)

Sahih berpuasa dua hari iaitu pada tanggal 9 dan 10 Muharram atau 10 dan 11 Muharram

صُومُوا يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ وَخَالِفُوا الْيَهُودَ صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

“Berpuasalah pada Hari Asyura dan selisihilah orang Yahudi, puasalah sehari sebelumnya atau sehari setelahnya” 

(Sahih Ibnu Khuzaimah)

#Ilmu#Prihatin#Amal

SOAL JAWAB FIQH SUNNAH: Binaan Mewah Masjid Sebagai Tanda Kiamat Kecil

0

🔴 Apakah yang perlu dijawab pada non-muslim yang bertanya tentang masjid yang dibina secara mewah dengan berhabis-habisan duit sehingga di luar bajet?

✅ Jawapannya terdapat dalam buku 131 Tanda Kecil Kiamat (terbitan Persatuan Ukhuwah Teguh Malaysia) iaitu Tanda No 52: Bermegah- megah dalam membangun dan menghias masjid.

Dalil hadith:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِي الْمَسَاجِدِ

“Tidak berlaku Kiamat sehingga orang ramai bermegah pada masjid mereka.” 

(Abu Daud No.449, Ibn Majah No.379 dan Ahmad No.12379. Al- Albani dan Al-Arnaout mensahihkannya)

Bukhari رحمه الله menyebut, Anas رضي الله عنه berkata:

يَتَبَاهَوْنَ بِهَا ثُمَّ لَا يَعْمُرُونَهَا إِلَّا قَلِيلًا

“Orang ramai bermegah-megah dalam membangunkan masjid, kemudian mereka tidak memakmurkannya kecuali hanya sedikit.”

Ibnu Abbas رضي الله عنه berkata:

لَتُزَخْرِفُنَّهَا كَمَا زَخْرَفَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى

 “Sesungguhnya kamu akan memperindahkan dan menghiasinya sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindahkan dan menghiasi (tempat ibadat mereka).” 

(HR Bukhari)

Bahawasanya, umat Islam terkena penyakit Bani Israel dan Kristian menjelang akhir zaman. Mereka juga berlumba-lumba menghias masjid sebagaimana orang Yahudi menghias Sinagog dan orang Kristian membangun gereja yg indah.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Tahqiq Kitab at Tazkirah Lil Qurthubi: Memilih Tempat Untuk Pengkebumian

0

Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Kod/Bab 34-1: Memilih Tempat Untuk Pengkebumian

(باب ما جاء في اختيار البقعة للدفن )

Hadith Umar رضي الله عنه (dhaif)

أبو داود الطيالسي ، قال : حدثنا سوار بن ميمون أبو الجراح العبدي ، قال : حدثني رجل من آل عمر ، عن عمر ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم ، يقول : من زار قبري ـ أو قال : من زارني ـ كنت له شهيداً أو شفيعاً ، و من مات بأحد الحرمين بعثه الله عز و جل في الآمنين يوم القيامة

Abu Dawud Ath-Thayalisi (Muhaddith Basrah, w. 204H) berkata: Telah menceritakan kepada kami, Siwar bin Maimun Abul Jarah Al-‘Abdi, dia berkata, telah menceritakan kepadaku, seseorang daripada keluarga Umar رضي الله عنه , daripada Umar رضي الله عنه , dia berkata, aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

“Barangsiapa berziarah ke kuburku,” atau beliau bersabda, “Barangsiapa berziarah kepadaku, maka aku menjadi saksi atau pemberi syafaat baginya. Dan barangsiapa meninggal dunia di salah satu Tanah Haram [Makah atau Madinah], maka Allah ‎ﷻ akan membangkitkannya dalam golongan orang-orang yang aman pada hari kiamat.”

Takhrij✍️:
Musnad Abu Daud Ath Thayalisi, no 65, Al Baihaqi, sunan Al Kubra, 10,053, Al Munziri, At Targhiib, 2/212

Tahqiq✍️: Dorar
Komen Al Baihaqi, isnadnya majhul (perawi yang tidak dikenali, komen Al Munziri, terdapat lelaki daripada keluarga Umar yang tidak ada nama, kata Ibn Abdul Hadi, Al Sharim Al Munki (muhadith Damsyiq, w. 744H), tidak sahih, sanad terputus dan perawi yang tidak dikenali, goncang hadithnya.

رواه الطيالسي (ص 12) (65)، والبيهقي (5/245) (10053)، والمنذري في ((الترغيب والترهيب)) (2/212). قال البيهقي: هذا إسناد مجهول، وقال المنذري: [فيه] رجل من آل عمر لم يسم، وقال ابن عبدالهادي في ((الصارم المنكي)) (171): ليس بصحيح لانقطاعه وجهالة إسناده واضطرابه،

✏️Tambahan
Syaikh Al Albani, Dhaif Al-Jami’ [no, 5608] dengan lafaz yang sama, tetapi daripada hadith Riwayat Anas رضي الله عنه ), dhaif .

Hadith Hathib رضي الله عنه (dhaif)

و خرجه الدارقطني عن حاطب . قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : من زارني بعد موتي فكأنما زارني حياً في حياتي ، و من مات بأحد الحرمين ، بعث من الآمنين يوم القيامة .

Hadith yang dikeluarkan pula oleh Ad-Daruquthni daripada Hathib (bin Abi Balta’ah رضي الله عنه ) , sabda Rasulullah ﷺ :

“Barangsiapa berziarah kepadaku sepeninggalanku, maka seakan-akan dia berziarah kepadaku selagi aku masih hidup. Dan barangsiapa mati di salah satu Tanah Haram, maka ia akan dibangkitkan dalam golongan orang-orang yang aman pada hari kiamat.”

Takhrij/Tahqiq✍️:
Sunan Daruqtni, no 2366 ( سنن الدارقطني , رقم الحديث : 2366)
tahqiq Syaikh Al Albani, hadith
batil, silsilah Al Dhaifah, no.1021 .

الراوي : حاطب بن أبي بلتعة | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الضعيفة
الصفحة أو الرقم: 1021 | خلاصة حكم المحدث : باطل .

Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (Muttafaq Alaih)

و خرج البخاري و مسلم ، عن أبي هريرة ، قال : أرسل ملك الموت إلى موسى عليه السلام ، فلما جاء صكه ففقأ عينه. فرجع إلى ربه ، فقال : أرسلتني إلى عبد لا يريد الموت ، قال : فرد الله إليه عينه ، و قال : ارجع إليه ، و قل له : يضه يده على متن جلد ثور ، فله بما غطت يده كل شعرة سنة ، قال : أي رب ، ثم مه ؟ قال : ثم الموت ، قال : فالآن . فسأل الله أن يدينه من الأرض المقدسة رمية حجر فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : لو كنت ثم لأريتكم قبره إلى جانب الطريق تحت الكثيب الأحمر .

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , dia berkata, “Malaikat Maut pernah diutus kepada Nabi Musa عليه السلام [ untuk mencabut nyawanya ]. Ketika dia datang, maka Nabi Musa عليه السلام menumbuknya sampai terkeluar matanya. Maka malaikat itu kembali kepada Tuhannya seraya berkata, ‘Engkau telah mengutus aku kepada seorang hamba-Mu yang tidak mahu mati.’”

Perawi berkata, “Maka Allah‎ ﷻ mengembalikan mata Malaikat Maut dan berfirman, ‘Kembalilah kamu kepadanya dan katakanlah, hendaknya dia meletakkan tangannya pada bahagian luar kulit lembu, dia akan memperoleh tambahan umur satu tahun untuk setiap helai bulu lembu yang ditutupi oleh tangannya.’

Malaikat Maut berkata, ‘Ya Tuhanku, sesudah itu apa?’
‘Sesudah itu mati,’ jawab Allah‎ ﷻ . Malaikat Maut berkata, ‘Sekarang juga aku berangkat.’

Adapun Nabi Musa عليه السلام sendiri kemudian memohon kepada Allah ‎ﷻ agar mendekatkan dirinya kepada Negeri Yang Disucikan  (Al-Ardl Al-Muqaddasah atau Baitul Maqdis) sejauh lemparan batu.

Rasulullah ﷺ bersabda, “Andaikan aku ada di sana, nescaya aku tunjukkan kepada kamu sekalian kuburannya, ada di sebelah jalan, di bawah gundukan(longgokan) pasir merah.”

Takhrij✍️:
Sahih Al-Bukhari [1339], Sahih Muslim [2372] .

Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (Muttafaq Alaih) Bahagian 2

Memahami Hadith Musa عليه السلام menumbuk Malaikat Maut

1⃣. Isu Nabi Musa عليه السلام mencederakan Malaikat yang perkasa, Malaikat Maut

Imam Al Aini (Umdah Al Qari, syarah Sahih Al Bukhari, 8/148) ini antara karomah Musa عليه السلام , di mana Malaikat Maut tidak langsung turun mencabut nyawanya melainkan dalam bentuk ujian di mana Malaikat menjelma dalam bentuk manusia. Oleh kerana Malaikat masuk rumah beliau tanpa izin, maka ia menimbulkan kemarahan Nabi Musa عليه السلام lantas menumbuknya. Ini juga pendapat Ibn Khuzaimah sebagaimana yang dipetik oleh Imam Nawawi (syarah sahih Muslim, 15/106)

Rumusan Al Hafiz Ibn Hajar dalam Al Fath (7/102), Nabi Musa عليه السلام memang memukul Malakul Maut, mencederakannya sehingga terkeluar biji matanya, ini kerana Malaikat datang dalam bentuk manusia, maka sudah tentu Musa عليه السلام tidak percaya bahawa manusia itu adalah Malaikat Maut, bila dia mendakwa ingin mencabut nyawa Musa عليه السلام dan ia masuk rumah Musa عليه السلام tanpa meminta izin terlebih dahulu .

2⃣. Isu Nabi Musa عليه السلام dapat tambahan umur.

Ia adalah khusus buat Musa عليه السلام sahaja dan tidak untuk syariat kita di mana ajal maut memang tidak dapat diinjak atau ditunda. Ia takdir yang sudah ditulis. Walau bagaimanapun tidak dicatat dalam Torah atau Injil bila tarikh sebenar wafatnya Musa عليه السلام selepas kedatangan Malaikat pada kali pertama itu. Jarak antara kedatangan Malaikat pada kali pertama dan kedua tidak dapat dipastikan berapa lama .

3⃣. Isu Musa عليه السلام ingin wafat di tanah suci Baitul Maqdis .

Wawasan Musa عليه السلام ingin wafat di Baitul Maqdis menurut Al Ayni (Umdah, 8/148) tidak kesampaian kerana Musa عليه السلام sendiri takut dengan tabiat Bani Israel yang akan membina masjid di atas kuburan Nabi-Nabi mereka. Maka tempat Nabi Musa عليه السلام dimakamkan adalah tidak diketahui. Cuma sekarang ada dua lokasi satu di Jericho dan satu lagi di bukit Nebo, Jabal Nebu di Amman, Jordan. Yang mengetahui lokasi sebenar makam Nabi Musa عليه السلام ialah Nabi kita Muhammad ﷺ yang berkata, jika beliau sempat ke sana, ke Palestin, maka Nabi ﷺ akan menunjukkan lokasi sebenar makam Musa عليه السلام .

Keutamaan mati di Madinah

Hadith Ibn Umar رضي الله عنهما (sahih)

قال الترمذي ، عن ابن عمر رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال : من استطاع أن يموت بالمدينة فليمت بها ، فإني أشفع لمن مات بها صححه أبو محمد عبد الحق

At-Tirmidzi berkata, daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما , bahawa Nabi ﷺ bersabda:

“Barangsiapa boleh mati di Madinah, maka matilah di sana. Sesungguhnya aku memberi syafaat kepada orang yang mati di sana.” (dinyatakan sahih pula oleh Abu Muhammad Abdul Haqq (wafat 581H, Isybil (Sevilla), Sepanyol)

Takhrij:
HR Termidzi 3917, beliau menilainya hasan sahih gharib, Ibn Majah 3112, Ahmad 5437, dinilai sahih oleh Allamah Al Albani, sahih At Termidzi

من استطاع أن يموتَ بالمدينةِ فليمت بها فإني أشفعُ لمن يموتُ بها
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : الألباني | المصدر : صحيح الترمذي
الصفحة أو الرقم: 3917 | خلاصة حكم المحدث : صحيح
التخريج : أخرجه الترمذي (3917) واللفظ له، وابن ماجه (3112)، وأحمد (5437)

Hadith Umar رضي الله عنه (sahih)

و في الموطأ أن عمر رضي الله عنه ، كان يقول : اللهم ارزقني شهادة في سبيلك و وفاة في بلد نبيك

Dalam Al-Muwatha’ disebutkan, bahawa Umar رضي الله عنه pernah berdoa: “Ya Allah ‎ﷻ , kurniailah aku mati syahid di jalan-Mu, dan wafat di negeri Nabi-Mu ﷺ .”

Takhrij✍️: Sahih Al Bukhari 1804
Syarah Al Zurqani atas Mawatta Al Imam Malik, kitab jihad, jilid 3/58

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : ” اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ ، وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ”
صحيح البخاري :حديث رقم 1804
شرح الزرقاني على موطأ الإمام مالك » كتاب الجهاد »

Athar sahabat
و كان سعد بن أبي وقاص ، و سعيد بن زيد ، قد عهدا أن يحملا من العقيق إلى البقيع مقبرة المدينة فيدفنا بها ، و الله أعلم

Sa’ad bin Abi Waqqash dan Sa’id bin Zaid رضي الله عنه telah berpesan supaya jasadnya kalau mati dibawa dari Al-Aqiq (Wadi Aqiq di barat kota Madinah) ke Al-Baqi’, iaitu kuburan di Madinah, dan supaya dikubur di sana, kerana keutamaannya yang mereka ketahui. Wallaahu a’lam .

Takhrij✍️:
Dikeluarkan oleh Ibn Abdil Bar, At Tamhid, 22/218 .

Keutamaan Madinah
لفضل علموه هناك ، قال : فإن فضل المدينة غير منكور و لا مجهول ، و لو لم يكن إلا مجاورة الصالحين و الفضلاء من الشهداء و غيرها لكفى .

Dan sesungguhnyalah, bahawa keutamaan Madinah tidak boleh diingkari dan tidak samar. Dan andaikan keutamaannya hanya sekadar bertetangga dengan orang-orang soleh dan para syuhada yang utama, itupun cukup .

Athar Kaab bin Al Ahbar (dhaif)

و روى عن كعب الأحبار أنه قال لبعض أهل مصر ، لما قال له : هل لك من حاجة ؟ فقال : نعم ، جراب من تراب سفح المقطم ، يعني : جبل مصر ، قال : فقلت له : يرحمك الله ، و ما تريد منه ؟ قال : أضعه في قبري ، قال له : تقول هذا و أنت بالمدينة و قد قيل في البقيع ما قيل ، قال : إنا نجد في الكتاب الأول أنه مقدس ما بين القصير إلى اليحموم

Dan diriwayatkan daripada Ka’ab Al-Ahbar (tabi’in, w.32H, bekas Yahudi Yaman), bahawa dia berkata kepada salah seorang penduduk Mesir, ketika dia ditanya, “Anda perlu apa?” dia menjawab, “Saya perlu sekantung tanah lereng Al-Muqattham,” maksudnya sebuah gunung di Mesir.
“Semoga Allah ‎ﷻ merahmatimu,” kata si penanya, “Untuk apakah tanah itu?” dia jawab, “Akan aku masukkan dalam kuburku.”
“Kenapa begitu, padahal kamu tinggal di Madinah, dan kata orang, kuburan Al-Baqi’ itu begini-begitu?” tanya orang itu pula. Maka jawab Ka’ab Al-Ahbar, “Kami dapati dalam sebuah kitab kuno, bahawasanya ada tanah suci antara Al-Qushair dan Al-Yahmum.”

Tahqiq✍️:
Ia adalah kisah yang aneh. Kaab bin Al Ahbar adalah tabi’in yang banyak membawa kisah-kisah Israeliyat. Dalam kisah ini Kaab bin Al Ahbar meminta satu beg tanah di lereng bukit Al Muqattham, di Mesir yang pernah dipijak oleh Nabi Musa عليه السلام semasa Musa عليه السلام berada di Mesir dulu. Kaab bin Ahbar ingin memasukkan tanah tersebut dalam kuburnya kelak bila dia mati kerana dia membaca dalam kitab klasik Yahudi akan kesucian bukit Al Muqattham .

Kelebihan dimakamkan di tanah Haram atau tanah suci

Rumusan Al Qurthubi:

: قال علماؤنا رحمة الله عليهم : البقاع لا تقدس أحداً و لا تطهره ، و إنما الذي يقدسه من وضر الذنوب و دنسها التوبة النصوح مع الأعمال الصالحة ،

1⃣. Para ulama kita (ulama Mazhab Maliki) berkata: Sebenarnya tanah manapun tidak ada mensucikan dan membersihkan seseorang. Yang boleh membersihkannya daripada daki dan dosa-dosa tidak lain adalah taubat nasuha dan disertai dengan amal-amal salih.

2⃣. Athar Urwah bin Zubair (w.94H tabiin Madinah)

و قد روى مالك ، عن هشام بن عروة ، عن أبيه ، قال : ما أحب أن أدفن بالبقيع ، لأن أدفن في غيره أحب إلي . ثم بين العلة ، فقال : مخافة أن تنبش لي عظام رجل صالح ، أو نجاور فاجراً ، و هذا تستوي فيه سائر البقاع

(Imam) Malik رحمه الله telah meriwayatkan daripada Hisyam bin Urwah, daripada ayahnya (Urwah bin Az Zubair Al Awwam), dia berkata, “Aku tidak ingin dikuburkan di Al-Baqi’. Aku lebih suka dikuburkan di tempat lain.” Lalu dia jelaskan alasannya, dia katakan, “Kerana aku khuatir, gara-gara aku maka tulang-tulang seorang soleh digali, atau malah bertetangga dengan seorang jahat.”

Tahqiq✍️:
Mustafa A’zami, tahqiq Mustafa A’zami (موطأ مالك- تحقيق الأعظمي) no 795, (Sahih Mauquf) .

3⃣. Semua tanah sama sahaja sebagai tanah kubur .

فدل على أن الدفن بالأرض المقدسة ليس بالمجمع عليه ، و قد يستحسن الإنسان أن يدفن بموضع قرابته و إخوانه و جيرانه ، لا لفضل و لا لدرجة

Ketentuan ini berlaku pada tanah mana saja, semuanya sama. Dan dengan demikian, bererti anjuran mengubur mayit di Tanah Suci bukan hal yang disepakati semua ulama. Bahkan terkadang seseorang lebih baik dikubur di dekat kerabatnya, saudara-saudaranya atau tetangganya .

Mengkaji kes Nabi Musa عليه السلام memukul Malaikat Maut siri 1

فصل : إن قال قائل : كيف جاز لموسى عليه السلام أ ن يقدم على ضرب ملك الموت حتى فقأ عينه ؟ فالجواب من وجوه ستة :

Kalau ada yang bertanya, kenapa Nabi Musa عليه السلام berani memukul Malaikat Maut sehingga matanya terkeluar? Maka jawapannya ada enam pendapat:

*Syarah: Hadith Nabi Musa عليه السلام menumbuk Malaikat Maut yang menyerupai seorang manusia sehingga matanya terkeluar adalah sahih, Muttafaq Alaih (sudah ditakhrij sebelum ini) .

الأول : أنها كانت عيناً متخيلة ، لا حقيقة لها ، و هذا القول باطل . لأنه يؤدي إلى أن ما يراه الأنبياء . من صور الملائكة لا حقيقة لها ، و هذا مذهب السالمية .

1⃣. Mata yang dimaksud adalah imaginasi (khayalan), bukan hakiki. Pendapat ini batil (salah), kerana dengan jawapan ini bererti rupa Malaikat yang dilihat oleh para Nabi tidak ada hakikatnya. Pendapat ini adalah pendapat aliran As-Salimiyah.

* Aliran Al Salimiyah – Ia juga dikenali dengan gelaran Al-Saa’iliyah (السائلية) atau Al Musaalamiyah (المسالمية) yang mengikuti ahli sufi Muhammad bin Ahmad bin Salim Al Bashri. Tokoh sufi Basrah, wafat 350H

الثاني : أنها كانت عيناً معنوية فقأها بالحجة ، و هذا مجاز لا حقيقة له

2⃣. Mata itu adalah mata maknawi, maksudnya, Musa عليه السلام telah menyolok mata Malaikat Maut dengan perdebatan. Ini pun bererti mata yang dimaksud adalah mata majazi (kiasan), bukan hakiki. Ini juga batil .

Mengkaji kes Nabi Musa عليه السلام memukul Malaikat Maut siri 2

الثالث : أنه لم يعرفه ، و ظنه رجلاً دخل منزله بغير إذنه ، يريد نفسه فدافع عنها ، فلطمه : ففقأ عينه ، و تجب المدافعة في مثل هذا بكل ممكن ، و هذا وجه حسن ، لأنه حقيقة في العين و الصك ، قاله الإمام أبو بكر بن خزيمة إلا أنه اعترض بما في الحديث نفسه ، و هو أن ملك الموت عليه السلام لما رجع إلى الله تعالى ، قال : يا رب أرسلتني إلى عبد لا يريد الموت ، فلو لم يعرفه موسى لما صدر هذا القول من ملك الموت

3⃣. Musa عليه السلام pada mulanya tidak mengenali siapa yang datang. Sehingga baginda mengira bahawa yang datang itu seseorang yang masuk rumahnya tanpa izin dan hendak mencederakan dirinya, maka baginda membela diri, lalu menumbuk orang itu sampai terkeluar biji matanya. Membela diri seperti ini memang wajib dilakukan, dengan cara apa pun yang mungkin dilakukan .

Jawapan ini tampaknya boleh diterima, kerana bererti mata yang dimaksudkan adalah mata hakiki, begitu pula pukulan Nabi Musa عليه السلام terhadap Malaikat itu. Pendapat ini dikatakan oleh Imam Abu Bakar bin Khuzaimah*. Hanya saja berlawanan dengan isi hadith itu sendiri, iaitu bahawa Malaikat Maut kemudian kembali kepada Allah ‎ﷻ dan melaporkan, “Ya Tuhanku, Engkau telah mengutus aku kepada seorang hamba-Mu yang tidak mahu mati.” Andaikan Musa عليه السلام tidak mengenalinya, maka tidak ada perkataan ini daripada Malaikat Maut .

——————————————
* Ibn Khuzaimah=Abu Bakar, Imam, muhadith, murid Al Bukhari dan Muslim, w. 311, Khurasan .

Mengkaji kes Nabi Musa عليه السلام memukul Malaikat Maut siri 3

الرابع : أن موسى عليه السلام كان سريع الغضب ، و سرعة غضبه كانت سبباً لصكه ملك الموت ، قاله ابن العربي في الأحكام ، و هذا فاسد ، لأن الأنبياء معصومون أن يقع منهم ابتداء مثل هذا في الرضا و الغضب .

4⃣. Nabi Musa عليه السلام adalah seorang yang cepat marah (baran). Dan cepat marahnya ini menyebabkan dia cepat memukul Malaikat Maut, demikian kata Ibnul Arabi* dalam kitabnya, Al-Ahkam. Tetapi pendapat ini salah, kerana para Nabi terpelihara (maksum) daripada memulai perbuatan seperti itu, baik senang mahupun marah .

——————————————
* Ibn Al Arabi = Abu Bakar, Seville, Sepanyol, wafat 543H, kitabnya Al Ahkamul Qur’an adalah tafsir Al Qur’an daripada pendekatan fiqh .

5. الخامس : ما قاله ابن مهدي رحمه الله : أن عينه المستعارة ذهبت لأجل أنه جعل له أن يتصور بما شاء ، فكأن موسى عليه السلام لطمه و هو متصور بصورة غيره بدلالة أنه رأى بعد ذلك معه عينه

5⃣. Pendapat Ibnu Mahdi رحمه الله *, bahawa mata Malaikat yang dipukul itu adalah mata buatan sementara (untuk tujuan penjelmaan dalam bentuk manusia), dan mata inilah yang hilang. Kerana Malaikat memang diciptakan Allah ‎ﷻ boleh berupa apa sahaja yang dia kehendaki. Jadi, rupanya ketika Malaikat itu dipukul oleh Nabi Musa عليه السلام , dia sedang menjelma dengan rupa orang lain. Buktinya, setelah itu Nabi Musa عليه السلام melihatnya lagi dengan mata yang elok seperti sedia kala .

———————————————
* Ibn Mahdi = Abdul Rahman bin Mahdi, wafat 198H, murid Imam Malik dan Sufyan Atsauri, Basrah .

Mengkaji kes Nabi Musa عليه السلام memukul Malaikat Maut siri 4

السادس : و هو أصحها إن شاء الله ، و ذلك أن موسى عليه السلام كان عنده ما أخبر تبيناً عليه السلام من أن الله تعالى لا يقبض روحه حتى يخيره ـ خرجه البخاري و غيره ـ فلما جاءه ملك الموت على غير الوجه الذي أعلم بادر بشهامته و قوة نفسه إلى أدبه . فلطمت ففقئت عينه امتحاناً لملك الموت . إذ لم يصرح له بالتخير ، و مما يدل على صحة هذا : أنه لما رجع إليه ملك الموت فخيره بين الحياة و الموت . اختار الموت و استسلم ، و الله بغيبه أعلم و أحكم ، و ذكره ابن العربي في قبسه بمعناه و الحمد لله .

6⃣: Inilah yang paling sahih (Insya Allah), iaitu bahawa pemukulan yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام adalah kerana Baginda telah diberitahu sebelumnya, bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan mencabut nyawanya sebelum disuruh memilih, demikian sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan lainnya (Muslim).

Maka ketika Malaikat Maut datang kepadanya tidak dengan cara seperti yang telah diberitahukan kepadanya, dengan kecerdikan dan kekuatan fizikal Nabi Musa عليه السلام segera memberinya pelajaran. Baginda menumbuk Malaikat itu sampai terkeluar (sebelah) matanya, sebagai cubaan baginya, kerana Malaikat tidak memberinya pilihan. Adapun di antara yang menunjukkan kebenaran pendapat ini adalah bahawa ketika Malaikat Maut kembali lagi kepada Nabi Musa عليه السلام , lalu memberinya pilihan antara hidup dan mati, maka Baginda memilih mati dan pasrah. Dan Allah‎ ﷻ tentu Maha Tahu dan Maha Bijak tentang alam ghaib-Nya. Makna daripada pendapat ini dinyatakan pula oleh Ibnul Arabi dalam kitabnya, “Al-Qabas”* dengan redaksi yang berbeza, Alhamdulillah .

——————————
* kitab Al Qabas adalah kitab syarah Al Mawatta, jilid 2/432 .

Mengkaji kes Nabi Musa عليه السلام memukul Malaikat maut siri 5/akhir

و قد ذكر الترمذي الحكيم أبو عبد الله في نوادر الأصول حديث أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال : كان ملك الموت عليه السلام يأتي الناس عياناً حتى أتى موسى عليه السلام فلطمه ففقأ عينه الحديث بمعناه . و في آخره فكان يأتي الناس بعد ذلك في خفية

Sementara itu At-Tirmidzi Al-Hakim Abu Abdillah (sufi Khorasan, w.320H) menyebutkan sebuah hadith dalam Nawadir Al-Ushul, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , daripada Rasulullah ﷺ bahawa beliau bersabda:

“Dulu Malaikat Maut عليه السلام datang kepada manusia secara terang-terangan, hingga akhirnya ia datang kepada Musa عليه السلام , maka dia menghantaminya sampai terkeluar matanya..” pada akhir hadith beliau katakan yang maknanya, “Maka sejak itu Malaikat Maut datang kepada manusia dengan tidak terang-terangan.” (Nawadir Al-Ushul karya Al-Hakim At-Tirmidzi, mukasurat 42) .

Takhrij✍️:
HR Al Haakim dalam Al Mustadrak, no 4072 (الرئيسية المستدرك على الصحيحين كتاب تواريخ المتقدمين من الأنبياء والمرسلين: رقم 4072) komentar beliau, hadith sahih atas syarat Muslim (هذا حديث صحيح على شرط مسلم ولم يخرجاه) , juga Al Musnad no 10904, Az Zahabi tidak komen hadith ini menandakan kedhaifannya.

Tahqiq Syaikh Syuaib Arnaout, dhaif/lemah

(الشيخ المحدث شعيب الأرنؤوط – وهو أشعري عفا الله عنه – في تحقيقه مسند أحمد ح 10904)

Sanadnya dalam Musnad:
حَدَّثَنَا أُمَيَّةُ بْنُ خَالِدٍ، وَيُونُسُ، قَالَا: حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ عَمَّارِ بْنِ أَبِي عَمَّارٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Haddatsana Umayyah bin Khalid, dan Yunus Haddatsana Hammad bin Salamah, daripada Ammar bin Abi Ammar daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ .

Komen beliau: (dhaif)
رجاله رجال الصحيح، وفي أوله نكارة، وهي قوله: “كان ملك الموت يأتي الناس عِياناً”، وهذه اللفظة تفرد بها عمار بن أبي عمار، وعنه حماد بن سلمة، ولكل منهما بعض المناكير، ثم إن الحديث قد اختُلِفَ في رفعه ووقفه

Rijalnyua Rijal Al sahih, tetapi permulaan hadith ini diingkari iaitu “dulu Malaikat Maut datang kepada manusia secara nyata (boleh dilihat)”, lafaz ini menyendiri Ammar bin Abi Ammar daripada Hamaad bin Salamah .

#Ilmu#Prihatin#Amal

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-20 hingga Ke-24

0

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-20

Allah ‎ﷻ menyebut tentang arahan yang diberikan kepada Bani Israel pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah diarahkan untuk memasuki BaitulMaqdis di Palestin. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut yang Bani Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Allah ‎ﷻ. Sekarang disebut salah satu dari perlanggaran itu.

Allah ‎ﷻ telah memberikan contoh apa yang terjadi apabila manusia meninggalkan amar makruf nahi mungkar. Kesannya akan ada golongan yang degil. Hati mereka akan menjadi keras dengan tidak patuh kepada arahan Allah ‎ﷻ. Dan inilah yang telah berlaku kepada golongan Yahudi.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberi contoh kepada kita apa yang terjadi kepada Bani Israel ketika kenabian Nabi Musa عليه السلام. Zaman Nabi Musa عليه السلام sendiri mereka sudah degil. Sebelum mengajak mereka berjihad, Nabi Musa عليه السلام telah mengingatkan mereka tentang banyak nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Inilah disebut dalam ayat ke-20 ini.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun di antara umat-umat yang lain”.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu

Ini adalah kata-kata dakwah daripada Nabi Musa عليه السلام, di mana baginda mengingatkan kepada umatnya dengan nikmat yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada Bani Israel. Memang banyak nikmat yang mereka dapat.

إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ

ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu,

Kemudian baginda menyenaraikan beberapa nikmat yang penting. Pertamanya, baginda mengingatkan mereka dengan betapa banyaknya Nabi yang diangkat dalam kalangan Bani Israel. Telah disebut sebelum ini, seribu Nabi telah diutuskan kepada mereka sahaja.

وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا

dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah,

Sebelum ini telah disebut nikmat dari segi spiritual dan sekarang disebut nikmat keduniaan pula (material). Dalam kalangan mereka juga ada pemerintah yang ramai, iaitu mereka memerintah dalam hal dunia dan juga hal agama. Ini memang pernah berlaku suatu masa dahulu. Mereka telah diberikan kuasa pemerintahan. Tidaklah mereka menjadi raja tetapi mereka jenis yang ada kuasa seperti Nabi Yusuf عليه السلام. Baginda bukan raja tetapi menteri.

Waktu itu mereka memang berkuasa sebab mereka ada Nabi Yusuf عليه السلام dan selepas itu pun mereka menjadi kaum elit di Mesir. Itulah sebabnya mereka ramai di Mesir, sehinggalah kaum Qibti telah menakluki Mesir dan menjadikan Bani Israel sebagai hamba mereka. Oleh itu, apabila Nabi Musa عليه السلام diutuskan kepada mereka, ketika di mana pada waktu itu mereka adalah hamba kepada bangsa Qibti yang diketuai oleh Firaun.

Perbincangan penggunaan bahasa: Semasa menyebut tentang Nabi, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah فيكم (dalam kalangan kamu). Ini memang tepat kerana tentulah Nabi itu dalam kalangan mereka dan Nabi sedikit sedangkan pengikutnya yang ramai. Akan tetapi apabila menyebut kerajaan, digunakan kalimah جعلكم (menjadikan kamu) seolah-olah mereka semua dijadikan sebagai raja, sedangkan kita pun tahu yang raja selalunya seorang sahaja, bukannya kesemua mereka.

Penjelasan: Digunakan kalimah secara kolektif kerana satu-satu kerajaan itu dinisbahkan kepada keseluruhan negeri itu. Contohnya kalau kerajaan Abbasiyah, disebut keseluruhan nama pemerintahan itu, bukannya disebut nama seorang Khalifah, bukan? Kerana memang yang terlibat dalam memerintah bukannya seorang, tetapi ramai.

Ada satu lagi penjelasan daripada kitab tafsir seperti Ibnu Kathir. Disebut ‘malik’ tetapi tidaklah khusus tentang raja sesuatu negeri. Namun ia digunaka secara umum. Bermaksud setiap orang adalah ‘raja’ bagi rumahnya. Maknanya mereka telah diberikan dengan rahmat yang banyak termasuk kesenangan material mereka di rumah mereka.

وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ

dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun di antara umat-umat yang lain

Dan sekarang Nabi Musa عليه السلام menyebut nikmat ketiga dan disebut secara umum sahaja. Ada banyak lagi perkara yang mereka dapat yang tidak diberikan kepada orang lain pada zaman mereka. Ia merangkumi nikmat spiritual dan nikmat material yang lain.

Bukanlah mereka sentiasa mendapat kelebihan itu. Ayat ini hanya menyebut umat yang hidup di zaman Nabi Musa عليه السلام sahaja. Untuk keadaan sekarang, mereka telah ditarik daripada menikmati kelebihan itu. Ini kerana sekarang umat Islamlah yang mendapat kelebihan dan terpilih sebagai umat akhir zaman. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat seperti [ Ali Imran:110 ].

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia

Tafsir Ayat Ke-21

Setelah diingatkan dengan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada mereka, sekarang mereka diberi arahan untuk berjihad. Untuk memasuki kota Palestin, mereka mesti menjalankan jihad. Dan tentunya jihad memerlukan keberanian dan kekuatan hati.

يٰقَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خٰسِرِينَ

Hai kaumku, masuklah ke ‘tanah suci’ yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.

يٰقَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ

Hai kaumku, masuklah ke tanah suci

Ini adalah waktu Nabi Musa عليه السلام diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk mengarahkan Bani Israel supaya masuk ke dalam ‘Kota Suci’. Ini adalah selepas mereka telah menyeberangi Laut setelah mereka diselamatkan daripada Firaun.

Ulama’ tafsir khilaf tentang Kota Suci yang disebut dalam ayat ini. Pendapat yang selalu disebut adalah ia merujuk kepada BaitulMaqdis yang berada di Palestin. Ia adalah Jurusalem.

Ada juga yang kata ia adalah Jericho, iaitu di Syam ketika itu. Di situlah tempat Nabi Ya’kub‎ عليه السلام tinggal sebelum baginda pergi ke Mesir mengikut Nabi Yusuf عليه السلام.

Dan ada lagi beberapa pendapat tentang apakah Kota Suci yang dimaksudkan. Mereka disuruh masuk dan menjadikan tempat itu sebagai ibukota Islam. Waktu itu kota itu ditawan dan didiami oleh puak Amaliqah yang ganas.

الَّتِي كَتَبَ اللهُ لَكُمْ

yang telah ditentukan Allah bagimu,

Allah ‎ﷻ telah menetapkan daerah itu untuk mereka kerana itu adalah tempat asal mereka. Kalau mereka masuk sahaja, mereka akan mendapat kemenangan. Inilah maksud كَتَبَ (telah Dia tuliskan) dalam ayat ini. Allah‎ ﷻ minta mereka masuk sahaja dan mereka pasti akan dapat menewaskan puak Amaliqah itu walaupun mereka itu kuat dan ganas.

وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ

dan janganlah kamu lari ke belakang

Waktu itu sudah nampak mereka takut untuk masuk ke dalam kota itu. Mereka lemah semangat dan takut untuk berperang dengan puak Amaliqah yang sedang berada di kota itu. Maka Nabi Musa عليه السلام telah mengingatkan mereka supaya jangan berpusing balik ke belakang dengan tidak melakukan jihad.

فَتَنقَلِبُوا خٰسِرِينَ

maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.

Kalau kamu berpatah balik, kamu akan rugi dunia akhirat. Rugi dunia kerana daerah yang sepatutnya menjadi hak kamu, kamu lepaskan. Dan rugi akhirat kerana kamu melawan arahan Allah ‎ﷻ dan akan diazab kerana perbuatan itu.

Maka kesalahan besar mereka pada waktu itu adalah kerana tidak menyahut seruan jihad. Mereka degil untuk mengikut arahan.

Tafsir Ayat Ke-22

Inilah kata-kata mereka apabila mendengar seruan jihad daripada Nabi Musa عليه السلام.

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِن يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دٰخِلُونَ

Mereka berkata: “Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya”.

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ

Mereka berkata: “Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa,

Mereka berkata di dalam kota itu pada waktu itu terdapat puak Amaliqah yang gagah perkasa dan ganas. Mereka adalah keturunan salur galur Kaum Aad maka tubuh badan mereka besar.

Umat Nabi Musa عليه السلام itu lemah semangat dan tidak percaya dan yakin dengan janji Allah ‎ﷻ untuk memberi kejayaan kepada mereka. Maka mereka telah menolak untuk memasuki kota itu.

وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا

sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya.

Mereka kata mereka tidak mahu masuk selagi puak Amaliqah itu ada di dalamnya. Inilah alasan yang mereka berikan.

فَإِن يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دٰخِلُونَ

Jika mereka keluar darinya, pasti kami akan memasukinya

Mereka kata: Kalau puak Amaliqah itu sudah keluar, barulah mereka hendak masuk. Sedangkan Allah ‎ﷻ sudah berjanji, kalau masuk sahaja akan diberikan kemenangan kepada mereka. Dalam kes ini, telah bertemu perintah Allah ‎ﷻ dan suasana. Mereka terkesan dengan suasana waktu itu, hingga mereka sanggup menolak arahan Allah ‎ﷻ dan buang ke tepi sahaja janji Allah ‎ﷻ itu.

Mereka sudah menjadi puak yang sudah naik lemak dan keras kepala kerana sebelum itu mereka sudah mendapat pelbagai nikmat sampai mereka berasa mereka itu orang yang istimewa. Bayangkan, mereka pernah diselamatkan dengan dapat menyeberangi laut yang terbelah, memperolehi air yang keluar dari batu, dan terlalu banyak nikmat lagi. Jadi mereka berkehendakkan pemberian yang istimewa lagi. Mereka hendak kaum Amaliqah itu keluar sendiri.

Tafsir Ayat Ke-23

قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غٰلِبُونَ وَعَلَى اللهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: “Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.

قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمَا

Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat ke atas keduanya:

Ada dua orang yang beriman dalam kalangan Bani Israel itu yang berani bercakap. Seorangnya bernama Yusya’ ibnu Nun dan seorang lagi bernama Kalib ibnu Yufana.

Mereka takut dengan Allah ‎ﷻ, iaitu takut untuk tidak mengikut perintah Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ telah mengeluarkan perintah untuk memasuki ke dalam Kota dan berperang.

Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kedua-duanya nikmat kenabian kerana Yusya’ itu akan menjadi Nabi selepas ketiadaan Nabi Musa عليه السلام. Ini juga boleh membawa maksud nikmat tidak membuat dosa.

ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ

Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu,

Mereka mengajak umat Bani Israel untuk menyerang melalui pintu kota. Mereka pun tahu terdapat puak ganas di dalam kota itu tetapi mereka lebih percaya dan yakin dengan janji Allah ‎ﷻ.

فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غٰلِبُونَ

maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang.

Kerana mereka yakin dengan janji Allah ‎ﷻ yang kalau mereka masuk terus dan menyerang, mereka akan mendapat kemenangan. Sedikit sahaja akan berlakunya pertempuran kalau ada pun. Dari segi logik ia memang masuk akal kerana bilangan mereka amat ramai sekali pada waktu itu sehingga mencecah beratus ribu menurut riwayat.

وَعَلَى اللهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman

Mereka mengingatkan orang lain untuk bertawakal kepada Allah ‎ﷻ jika mereka mengaku mereka orang beriman. Tawakal itu maksudnya ikut perintah Allah ‎ﷻ, maka hendaklah ikut sahaja perintah Allah ‎ﷻ dan apa yang akan jadi selepas itu serah sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

TAfsir Ayat Ke-24

Inilah jawapan kaum Bani Israel apabila mereka disuruh untuk memasuki Kota BaitulMaqdis.

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقٰتِلَا إِنَّا هٰهُنَا قٰعِدُونَ

Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja”.

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا

Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya,

Mereka berkata yang mereka tidak akan memasuki kota itu sampai bila-bila. Mereka kata tidak perlu beri kata semangat lagi, buang masa sahaja kerana mereka tetap tidak akan masuk, selagi kaum Amaliqah itu berada dalam kota.

Lihatlah bagaimana mereka menyebut nama baginda Nabi Musa عليه السلام sahaja sedangkan sebelum ini mereka telah diberi motivasi oleh dua orang lain. Namun mereka tidak mengendahkan pendapat yang telah diberikan sebelum ini oleh dua orang lelaki itu.

Mereka bangkang hukum Allah ‎ﷻ yang memerintahkan mereka berjihad dan dalam masa yang sama, menolak arahan daripada Rasul mereka.

Sehubungan dengan hal ini, alangkah baiknya apa yang dikatakan oleh para sahabat رضي الله عنهم pada hari Perang Badar kepada Rasulullah ﷺ, iaitu ketika Rasulullah ﷺ meminta pendapat mereka untuk berangkat memerangi pasukan kaum musyrik yang datang untuk melindungi kafilah yang dipimpin oleh Abu Sufyan.

Ketika kafilah itu terlepas daripada pandangan mereka, dan pasukan kaum musyrik yang terdiri daripada  sembilan ratus sampai seribu orang lelaki bersama semua perbekalan dan persenjataannya mendekati pasukan kaum muslim, maka Abu Bakar رضي الله عنه mengemukakan pendapatnya, dan ternyata pendapatnya itu baik. Kemudian sebahagian daripada sahabat yang terdiri dalam kalangan kaum Muhajirin mengemukakan pula pendapatnya, sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri bersabda:

“أَشِيرُوا عليَّ أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ”.
Berikanlah saranan kalian kepadaku, hai kaum muslim!
Rasulullah ﷺ tidak sekali-kali tidak berkata demikian kecuali untuk memberitahu kepada para sahabat dalam kalangan Ansar, kerana hari itu mereka yang majoriti. Maka Sa’d ibnu Mu’az رضي الله عنه (pemimpin mereka) berkata:
Wahai Rasulullah, seakan-akan engkau menyindir kami. Demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, seandainya engkau hadapkan kami ke laut ini, lalu engkau memasukinya, nescaya kami pun akan memasukinya pula bersamamu, tanpa ada seorang pun yang tertinggal daripada kami. Kami sama sekali tidak segan untuk menghadapi musuh kami esok hari, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang teguh da­lam perang dan pantang undur dalam medan perang. Mudah-mudahan Allah ‎ﷻ menampakkan kepadamu sikap kami yang akan membuat engkau senang hati, maka bawalah kami dengan berkah daripada Allah ‎ﷻ.
Mendengar perkataan Sa’d رضي الله عنه dan semangatnya yang berkobar-kobar untuk menghadapi medan perang, maka hati Rasulullah ﷺ menjadi gembira.

Imam Bukhari رحمه الله telah meriwayatkannya di dalam kitab Al-Magazi dan kitab Tafsir melalui berbagai jalur daripada Mukhariq. Lafaz yang diketengahkannya di dalam kitab Tafsir daripada Abdullah adalah seperti berikut:
Pada hari Perang Badar, Al-Miqdad berkata, “Wahai Rasulullah, kami (orang-orang Ansar) tidak akan mengatakan kepadamu seperti yang pernah dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa عليه السلام, iaitu: ‘kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja’ [ Al-Maidah: 24 ]. Tetapi berangkatlah engkau, dan kami akan bersama denganmu.” Maka seakan-akan Al-Miqdad membuat Rasulullah ﷺ sangat gembira.

فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقٰتِلَا إِنَّا هٰهُنَا قٰعِدُونَ

pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja”.

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka. Mereka dengan berani dan sombongnya berkata Nabi Musa عليه السلامlah sahaja yang pergi sendiri dengan ‘Tuhan kamu’. Seolah-olah Allah ‎ﷻ itu bukan tuhan mereka juga. Lihatlah betapa bongkak dan angkuhnya mereka itu.

Mereka sanggup berkata yang mereka hendak duduk tunggu kemenangan sahaja. Lafaz yang digunakan adalah قَاعِدُ iaitu bukan duduk jenis جلس kerana duduk قَاعِدُ itu bermaksud duduk dengan jangkamasa yang lama.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

SOAL JAWAB FIQH SUNNAH: Adakah Tuntutan Membaca Doa Awal dan Akhir Tahun?

0

🔴 Adakah sahih dan menjadi tuntutan bacaan doa awal dan akhir tahun seperti yang disebar orang ramai?

✅  Penggunaan kalendar atau taqwim tidak berlaku pada zaman Nabi ﷺ iaitu pengiraan tarikh tidak menggunakan mana-mana kalendar. Namun, terdapat beberapa tempat yang dikenal pasti ada menggunakan taqwim. Antaranya:

🔸 Jajahan Rome di Palestine Syria – kalendar Masihi 

🔸 Jajahan Farsi, Iraq dan Negara-negara Teluk – kalendar Nauruz.

Semasa hayat Nabi ﷺ, tiada penetapan perkiraan tahun dipraktikkan. Sehinggalah zaman pemerintahan Umar رضي الله عنه iaitu apabila Islam telah berkembang dengan pesat, barulah ada keperluan untuk mencatat dokumen dan warkah dengan catatan tahun dan bulan. Maka, Umar رضي الله عنه mewartakan penggunaan kalendar Hijrah sebagai kalendar rasmi negara.  Umar رضي الله عنه tidak mewartakan sebarang perayaan atau mencipta sebarang doa pindah tahun baru kerana pada masa tersebut telah sedia ada perayaan pindah tahun iaitu ‘Happy New Year Celebration’ dalam masyarakat Kristian dan Yahudi.  

Oleh itu, sebarang perayaan akhir dan awal tahun termasuk penciptaan doa sempena peralihan tahun baru sudah tentu adalah bid’ah iaitu amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan 4 khalifah Ar-Rasyidin.  Mereka yang beramal dengan amalan demikian iaitu sambutan tahun baru serta membaca doa awal tahun adalah daripada aliran Bid’ah Hasanah kebangsaan yang juga ‘mainstream’ Asyairah dan ASWAJA Melayu.  Oleh yang demikian, cara untuk  membezakan antara aliran ‘mainstream’ Asyairah dan ASWAJA Melayu dengan aliran Tajdid, Sunnah ataupun Salafiyah adalah dengan melihat amalan perayaan awal tahun dan program bacaan doa awal tahun. Inilah cara untuk mengenali golongan Bid’ah Dhalalah vs Bid’ah Hasanah.

Terpulanglah sekiranya ada di antara anda atau ahli keluarga yang menyambut tahun baru Maal Hijrah atau menyertai majlis baca doa akhir/awal tahun kerana ini adalah contoh perbezaan manhaj atau cara beragama. Golongan yang beruntung adalah mereka yang mengikut sunnah Rasulullah ﷺ.

Kesimpulan

Tidak ada istilah doa awal tahun. Golongan yang tertipu oleh Iblis, merayakannya dengan mencipta doa akhir dan awal tahun yang akhirnya meniru tradisi orang-orang kafir.  Antaranya:

🔸 Kristian – sambutan tahun baru kalendar Masihi

🔸 Orang Iran – perayaan tahun Farsi (Nauruz)

🔸 Yahudi – perayaan tahun baru kalendar Yahudi iaitu Rosh Hasanah

🔸 Hindu – perayaan kalendar Tamil (Phutandu)

🔸 Cina – perayaan Chinese New Year atau Gong Xi Fa Chai

…Ini dinamakan Tasyabbuh.

Di Arab Saudi iaitu tempat kelahiran Islam, tidak menganjurkan sebarang sambutan Maal Hijrah serta hari tersebut tidak diwartakan cuti umum seperti di Malaysia dan lebih-lebih lagi tiada majlis bacaan doa selamat.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Popular

Iklan

Iklan