Terjemahan:
“Di dalam hadith ini terdapat anjuran untuk mengucapkan ucapan yang baik seperti doa , istighfar,meminta kelembutan dan rahmat Allah SWT untuknya dan yang semisalnya”
NOTA FIQH DOA MUSTAJAB 22
22. 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
Dalil hadith:
Dari Ibnu Abbas ra,
مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ أَفْضَلُ مِنَ الْعَمَلِ فِيْ هَذِهِ
Terjemahan:
“Tidak ada amalan yang lebih utama dari amalan disepuluh hari pertama Zulhijjah ini.”
Maka 10 hari bulan Zulhijjah doanya mustajab sekali. Perbanyakkan berpuasa, berzikir, tilawah dan berdoa.
Nota:
Disalin dari Dr Abu Ammar Yasin Qadhi, kitab doa: Silahul Mukmin.
Sahabat di Dalam Kehidupan seorang Muslim
5 Peranan Penting Sahabat di Dalam Kehidupan Seorang Mukmin
Selain keluarga, kehadiran sahabat juga akan mempengaruhi kehidupan seseorang menjadi lebih positif.
Peranan penting sahabat di dalam hidup seseorang nyatanya dapat membuat kita bahagia.
Sahabat menjadi orang yang selalu ada ketika kita memerlukan bantuan, baik dalam masa sukar mahupun senang.
Apa saja alasan mengapa sahabat itu penting untuk menjadi penasihat untuk kesenangan hidup di dunia dan juga di hari akhirat.
- Sahabat tidak pernah menghukum dan buruk sangka ( su’uzan)
Sahabat sejati tidak pernah menghukum atau buruk sangka. Segala yang buruk pada diri kita akan diberikan nasihat dan akan dikatakan dengan jujur dan baik, sehingga tidak ada kesan mengganggu emosi. Apa pun yang membuat kita baik dan senang, maka sahabat akan selalu memuji serta menghargai. Tak lupa, sahabat akan selalu membantu dengan tulus ikhlas.
Disebut dalam sebuah Hadis al-Qudsi, bahawa di dunia dahulu terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israel. Salah seorangnya sangat baik manakala seorang lagi sangat jahat. Suatu hari yang baik menggelarkan yang jahat sebagai ahli neraka dan dosanya tidak mungkin akan diampunkan Allah. Lalu Allah mematikan kedua-duanya serta memanggil mereka menghadap-Nya. Akhirnya Allah memasukkan yang jahat ke dalam syurga manakala yang baik dicampakkan ke dalam neraka.
Berikut adalah nas sebenar hadis yang dinyatakan dalam kisah di atas:
كَانَ رَجُلَانِ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ مُتَوَاخِيَيْنِ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالْآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ فَكَانَ لَا يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الْآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ فَيَقُولُ أَقْصِرْ فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ فَقَالَ لَهُ أَقْصِرْ فَقَالَ خَلِّنِي وَرَبِّي أَبُعِثْتَ عَلَيَّ رَقِيبًا فَقَالَ وَاللَّهِ لَا يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ أَوْ لَا يُدْخِلُكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ فَقَبَضَ أَرْوَاحَهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَقَالَ لِهَذَا الْمُجْتَهِدِ أَكُنْتَ بِي عَالِمًا أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ اذْهَبْ فَادْخُلْ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي وَقَالَ لِلْآخَرِ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى النَّارِ
“Pada zaman dahulu, terdapat dua orang lelaki dari kalangan Bani Israel yang bersaudara tetapi berbeza karakternya, salah seorangnya pelaku dosa dan seorang lagi rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah ini melihat saudaranya berbuat dosa, ia menyuruhnya untuk berhenti dari perbuatan dosanya. Pada suatu hari ahli ibadah itu berkata lagi; “Berhentilah dari berbuat dosa.” Pelaku dosa itu menjawab; “Biarkan aku, Allah telah menetapkan aku bahawa engkau diutus-Nya untuk mengawasi apa yang aku lakukan.” Lantas ahli ibadah itu menempelaknya; “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni-Nya atau kamu tidak mungkin dimasukkan Allah ke dalam syurga.”Kemudian Allah mencabut nyawa kedua-dua lelaki itu dan mengumpulkan keduanya di hadapan Allah Rabb al-‘Alamin. Allah berfirman kepada lelaki ahli ibadah itu; “Apakah kamu lebih mengetahui daripada Aku? Adakah kamu dapat mengubah apa yang telah berada dalam kekuasaan tangan-Ku?,”Kemudian Allah berfirman kepada pelaku dosa itu pula;“Masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat-Ku.”Sementara kepada ahli ibadah itu dikatakan; Masuklah orang ini ke neraka.” [Hadis Riwayat Abu Daud]
Pengajaran daripada hadis ini tidak boleh seseorang menghukum sahabatnya sebagai munafik, fasik, sekular, kufur dan sebagainya. Tidak boleh mengungkapkan kata- kata taubat seseorang tidak diterima.
- Sahabat Tidak Pernah Meninggalkan Sahabatnya Ketika Susah
Dalam keadaan apa pun, baik sedih, kesepian, dan senang, sahabat akan selalu ada bersama kita untuk memberi sokongan atau ikut bahagia atas apa yang kita capai. Ketika menangis, mereka akan berusaha membuat kita kembali tertawa.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,
“Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang Mukmin, maka Allâh melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barang siapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allâh Azza wa Jalla memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allâh akan menutup (aib)nya di dunia dan akhirat. Allâh senantiasa menolong seorang hamba selama hamba tersebut menolong saudaranya.” [Hadis Riwayat Muslim no. 2699].
- Sahabat Selalu Mendengar Dengan Baik
Seperti yang sudah dijelaskan sebelumnya, sahabat juga akan selalu mendengarkan segala cerita kita. Sahabat memberikan pendapatnya, sehingga kita boleh saling bertukar ide atau pengalaman untuk mendapatkan solusi terbaik pula dalam masalah tertentu.
Firman Allah SWT :
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
“Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya, mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah golongan ulul albâb.” [ Surah Az-Zumar: 18 ].
- Sahabat Selalu Memberikan Sokongan Dan Menggalakkan
Apa pun tujuan terbaik serta membuat kita bahagia, sahabat pasti akan memberikan motivasinya dan membantu kita untuk mencapai hal baik yang kita inginkan.
Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan keadaan, saling menyedarkan satu sama lain dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan).” [ HR Ad Dailami ].
Sesungguhnya teguran dan saling menasihati merupakan Rahmat Allah yang amat besar buat diri sahabat yang ditegur. Mungkin juga selama ini dia tidak menyedari kekhilafannya, lalu Allah menunjukkan jalan untuk dia kembali ke jalan yang benar melalui nasihat sahabatnya.
Dengan adanya amalan menasihati sesama sahabat dan atas dasar saudara se Islam, setiap muslim dan mukmin itu akan menjadi lebih baik dan tidak akan jauh tersasar dari landasan hidup yang benar, InsyaAllah.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya.” [ HR Al-Bukhari ].
Sesungguhnya sahabat yang menyayangi sahabat yang lain akan sentiasa ingin sahabatnya elok dan baik.
Sahabat yang menyayangi tidak akan suka melihat calit aib noda pada sahabatnya. Maka kerana itu teguran dan nasihat amat dianjurkan dalam persaudaraan Islam.
- Sahabat Dapat Di Percaya
Selain keluarga, sahabat juga menjadi orang yang mengetahui banyak hal peribadi kita. Ketika berada dalam tahap persahabatan, maka sahabat tidak akan melanggar kepercayaan kita. Semua ditunjukkan dengan sikap jujur serta tulus.
Itu dia peranan penting sahabat di dalam hidup. Bagaimana pun, menjalin persahabatan dengan seseorang memang tidaklah mudah, kerana tetap memerlukan waktu untuk saling memahami satu sama lain.
Kesimpulannya:
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Tidak akan masuk syurga orang yang suka mendengar-dengar berita rahsia orang lain.” [HR Al-Bukhari].
Seorang mukmin perlu bijak menilai dan menegur sahabat yang melakukan kesalahan. Teguran hendaklah dibuat dengan penuh kelembutan dan kasih sayang serta caranya halus dan berhikmah.
Mukmin juga perlu berhati-hati jangan sampai sahabatnya terasa terhina atau diaibkan di hadapan orang lain. Maka sebaik-baiknya teguran hendaklah dibuat ketika bersendirian dengan sahabat.
Namun, jika ada keperluan untuk menegur secara umum, nasihat hendaklah dilakukan secara berhikmah dan sebolehnya tidak ditujukan spesifik kepada orang tertentu sahaja kerana dibimbangi orang itu akan berasa malu dan terluka dengan tindakan kita.
Wallahu a’lam.
Sirah Nawabiwah – Haji Perpisahan (Wada’) – Zulqaedah 10 Hijrah
Sirah Nabawiyah
Haji Perpisahan (Wada’) – Zulqaedah 10 Hijrah
Seluruh Ahli ilmu secara ijmak menamakan peristiwa haji ini sebagai Haji Perpisahan (Wada’)
Ketika ini Rasulullah SAW berumur 62 tahun 8 bulan. Rasulullah SAW bersama semua isteri-isteri baginda dan 10,000 ahli Madinah bersiap untuk melakukan Haji.
Inilah Haji Pertama dan Terakhir yang ditunaikan baginda Rasulullah SAW.
Perjalanan menaiki unta dan disertai oleh haiwan untuk sembelihan dari Madinah ke Mekah bukanlah perkara yang asing bagi masyarakat Arab kerana amalan Haji ini telah diamalkan dari zaman Nabi Ismail AS.
Rasulullah SAW menunjukkan dan mensyiarkan Haji bagi umat Islam setelah segala bentuk kesyirikan dan tanda-tanda jahiliyyah dibersihkan dari Fathul Makkah dan rombongan Haji Abu Bakar r.a pada tahun sebelumnya.
Rasulullah SAW mensyiarkan amalan-amalan (manasik) Haji.
Tanda syiarnya baginda adalah dengan tawaf menggunakan haiwan tunggangan.
“Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Malik, dari Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Naufal, dari ‘Urwah bin Az Zubair, dari Zainab binti Abu Salamah, dari Ummu Salamah berkata, “”Aku mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa aku mengalami rasa sakit. Beliau kemudian bersabda: “”Tawaflah di belakang orang dengan berkenderaan.”” Maka aku pun melakukan tawaf, sedangkan Rasulullah SAW solat di sisi Ka’bah dengan membaca: “”WATHTHUUR WA KITAABIM MASTHUUR (Demi bukit, dan Kitab yang ditulis) ‘ (Qs. Ath Thuur: 1-2).”
[ Hadis Riwayat Al -Bukhari dalam hal keharusan tawaf berkenderaan ].
Ya, sahabat Nabi SAW menunaikan Haji berkali-kali, ada yang lebih 20 kali. Rujuk Sifatusofwah İbn al Jawzi.
Haji Perpisahan
4 Zulhijjah 10H Rasulullah SAW sampai di Zu Thuwa’. Rasulullah SAW masuk ke kota Mekah setelah solat Subuh. Rasulullah SAW melaksanakan tawaf qudum kemudian bersai tanpa tahalul kerana Rasulullah SAW melaksanakan Haji Qiran.
8 Zulhijjah 10H – Rasulullah SAW pergi ke Mina bermula dari waktu Zohor hingga waktu Subuh.
Pada 9 Zulhijjah setelah matahari terbit baginda SAW bergerak ke Arafah.
Baginda SAW menginap di khemah sehingga matahari tergelincir, lalu keluar menunggang unta baginda pergi ke tengah-tengah Padang Arafah, memberi khutbah baginda kepada 100 ribu lebih umat Islam di situ.
Ada banyak versi (kandungan) khutbah yang diriwayatkan oleh penulis kitab hadis.
Dalam satu hadis riwayat Muslim dalam khutbah baginda Rasulullah SAW telah menunjukkan jari telunjuk baginda ke langit lalu baginda berkata:
Ya Allah saksikanlah.
Ya Allah saksikanlah.
Ya Allah saksikanlah.
ketika itu telah turun ayat Al-Qur’an. Ayat ke-3 dari Surah Al-Maidah:
“Pada hari ini aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah kucukupkan nikmat-nikmat-Ku ke atas kamu dan Aku telah redha Islam sebagai agama bagi kamu.”
Rasulullah SAW menyelesaikan segala rukun haji dan tahalul pada 9 Zulhijjah.
Pada hari raya Korban 10 Zulhijjah 10Hijriyyah.
Rasulullah SAW mengimamkan solat Ied dan memberikan khutbah di atas baghal berwarna kelabu, dan Ali R.A menjadi ‘pembesar suara’ yakni dengan cara mengulang ucapan Rasulullah SAW dengan suara yang lantang.
Antara isi khutbah Yaum An Nahr ini direkodkan dalam Sahihain:
“Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Al Mutsanna, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahhab, telah menceritakan kepada kami Ayyub, dari Muhammad, dari Ibnu Abu Bakrah, dari Abu Bakrah, dari Nabi SAW “”Waktu berputar sebagaimana keadaannya semula ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Tahun terdiri dari dua belas bulan, empat di antaranya adalah bulan suci, tiga berurutan, yaitu Dzulkaedah, Dzulhijjah dan Muharram dan yang ke empat adalah Rejab yang dinamai sebagai penghormatan terhadap suku Mudlar, terletak di antara bulan Jumadah (Al Tsaniyah) dan Sya’ban.”” Kemudian Nabi SAW berkata, “”Bulan yang mana ini?”” kami berkata; “”Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”” mendengar jawaban itu Nabi SAW terdiam agak lama sehingga sempat berfikir bahawa Nabi SAW akan memberi nama yang lain. Lalu Nabi SAW berkata; “”Bukankah sekarang bulan Dzulhijjah?”” kami menjawab; “”Ya.”” Kemudian Nabi SAW berkata: “”Kota apa ini?”” Kami menjawab; “”Allah dan Rasul-Nya lebih tau?”” Mendengar hal itu, Nabi SAW termenung agak lama sehingga kami sempat berfikir bahawa Nabi SAW akan memberinya nama lain. Lalu Nabi berkata: “”Bukankah ini kota Makkah.”” Kami menjawab; “”Ya”” Kemudian Nabi SAW berkata: “”Hari apa ini?”” Kami menjawab, Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”” Nabi termenung agak lama sehingga kami sempat berfikir bahawa Nabi SAW akan memberinya nama lain. Lalu Nabi berkata,: “”Bukankah hari ini hari Nahr (kurban)?”” kami menjawab; “”Ya.”” Maka Nabi SAW berkata: “”Maka darahmu, hartamu, kehormatanmu adalah suci satu sama lain seperti sucinya hari milikmu ini, di kotamu ini, di bulanmu ini; dan sesungguhnya, kalian akan berjumpa dengan Tuhan kalian dan Dia akan menanyakan perbuatan-perbuatan kalian. Hati-hatilah! Jangan kembali menjadi orang-orang sesat sepeninggalanku, saling memenggal leher satu sama lain. Sudah menjadi kewajiban mereka yang hadir (di sini hari ini) untuk menyampaikan pesanku ini kepada mereka yang tidak hadir. Mungkin mereka yang tidak hadir akan lebih memahami (pesan ini) dari pada mereka yang hadir pada saat ini. -Muhammad (perawi) ketika menyebutkan Hadits ini selalu berkata; ‘Sungguh benar Nabi SAW. Nabi SAW kemudian berkata dua kali: “”Ketahuilah! Bukankah telah ku sampaikan (pesan Allah) kepadamu?”””
Riwayat Al Bukhari dalam sahihnya.
Rasulullah SAW telah menetap di Mina pada hari Tashrik (11-13 Zulhijjah) dengan memberikan ta’lim dan tausiyah kepada para sahabat yang hadir.
Rasulullah SAW melakukan Tawaf wada’ pada 14 Zulhijjah sebelum bergerak pulang ke Madinah.
Sedikit sedutan dari bab Haji Wida’ untuk menceritakan dengan terperinci adalah sangat banyak peristiwa yang berlaku terutama berkenaan isteri-isteri baginda SAW ketika menunaikan haji, yang mana dengan peristiwa itu telah banyak umat ini mendapat rukhsah ketika menunaikan Haji.
Allahu a’lam.
Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-52
Tafsir Surah Asy-Shura
Tafsir Ayat Ke-Ayat 52
Ini adalah Dalil Wahyi – titah khas dari Allah SWT untuk menyampaikan ajaran tauhid dalam Al-Quran ini kepada manusia.
وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ روحًا مِّن أَمرِنا ۚ ما كُنتَ تَدري مَا الكِتٰبُ وَلَا الإيمٰنُ وَلٰكِن جَعَلنٰهُ نورًا نَّهدي بِهِ مَن نَّشاءُ مِن عِبادِنا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهدي إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad SAW) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad SAW) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,
وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَ
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh dari perintah Kami;
Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu kepada kita bagaimanakah cara Allah SWT memberikan wahyu-Nya kepada manusia. Dan begitulah juga cara yang telah digunakan Allah SWT untuk menyampaikan wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad SAW.
Ketiga-tiga cara penyampaian wahyu yang disebut dalam ayat sebelum ini telah pernah dialami oleh baginda. ‘Roh’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Quran. Kenapakah pula Al-Quran disebut sebagai ‘roh’? Kita pun faham serba sedikit tentang roh itu, bukan?
Jika tiada roh di dalam tubuh kita, maka tentunya kita sudah mati. Tubuh badan itu sudah tidak bermakna lagi dan orang-orang yang masih hidup akan menanam tubuh itu di dalam tanah kerana tidak lama selepas itu, tubuh itu akan menjadi busuk dan manusia pun tidak tahan dengan baunya lagi. Mereka akan cepat-cepat tanam mayat yang tidak ada roh. Maknanya, tubuh kita memerlukan roh untuk jadi bermakna.
Begitulah juga dengan Al-Quran itu. Jikalau hidup kita mengikut ajaran Al-Quran, maka hidup kita akan bermakna dan jikalau tiada Al-Quran dalam hidup kita, maka hidup kita tiada makna.
Itulah sebabnya Al-Quran itu diibaratkan sebagai ‘roh’. Secara ringkasnya, Al-Quran itu adalah roh kepada roh jasad kita. Sepertimana jasad kita tidak bermakna tanpa ada roh, begitu juga roh kita tidak akan bermakna kalau tidak ada Al-Quran di dalamnya. Roh jasad yang tidak ada Al-Quran tidak bermakna dan layak dimasukkan ke dalam neraka sahaja.
Kalimat [مِّنْ أَمْرِنَا Dari perintah Kami] Ayat ini memberi isyarat bahawa segala perintah agama mestilah datang daripada wahyu Allah SWT. Sama ada dalam bentuk Al-Quran ataupun Hadis.
Ini adalah dua sumber utama agama Islam. Dua sumber inilah yang perlu diutamakan sebelum sumber-sumber lain. Sebelum kita rujuk kepada apa kata ulama, apa yang ditulis dalam kitab karangan manusia, hendaklah kita merujuk kepada Al-Quran dan Hadis.
Kalau ada sumber dalil yang berlawanan dengan apa yang disampaikan dalam dua wahyu ini (Al-Quran dan Hadis), maka ia tertolak dengan sendiri. Untuk merujuk kepada keduanya, memerlukan pengetahuan. Itulah sebabnya kena belajar tafsir Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Ramai yang terus rujuk kepada kitab karangan manusia kerana mereka tidak tahu tentang tafsir Al-Quran dan syarah hadis. Ramai yang tidak belajar lagi tafsir Al-Quran dan tidak pernah terfikir untuk belajar tafsir ini. Begitu juga, ramai yang tidak memberikan perhatian kepada pembelajaran hadis.
Padahal hadis itu adalah sumber kedua selepas Al-Quran. Malangnya, pembelajaran hadis di negara kita ini amat kurang. Itulah sebabnya banyak percanggahan pendapat di kalangan agamawan negara ini kerana apabila diberitahu sesuatu perkara, orang yang tidak belajar hadis tidak tahu kewujudan hadis yang berkenaan, kerana mereka tidak belajar. Mereka sangka mereka pandai ataupun, mereka tahu hadis itu, tetapi kerana mereka tidak belajar, maka mereka mentafsir maksud hadis itu ikut pemahaman mereka. Ini adalah amat bahaya.
Aqidah dan ibadat mesti datang dari dalil nas yang sahih. Tidak boleh kita menggunakan dalil atau pendapat dari mana-mana sumber yang lain. Ramai yang kata mereka menggunakan qiyas dan ijmak ulama’.
Kebanyakan masa, mereka yang mengatakan begitu adalah mereka yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan qiyas dan ijmak ulama. Kita tidak mahu membincangkan dengan panjang lebar dalam hal ini kerana ini adalah perbincangan yang panjang dan perlu diberikan contoh-contoh supaya lebih faham. Perkara ini hendaklah dipelajari dalam pengajian usuluddin.
مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتٰبُ
engkau tidak pernah mengetahui apakah Kitab (Al-Quran) itu
Sebelum Al-Quran itu diwahyukan kepada Nabi SAW, baginda tidak tahu apakah Al-Quran itu. Tambahan pula, bangsa Arab adalah bangsa yang tidak mempunyai Kitab. Jadi, Nabi Muhammad SAW sendiri juga tidak tahu. Nabi Muhammad SAW memang tidak pandai membaca dan menulis sebelum menjadi Nabi.
Begitu jugalah kita dalam mempelajari Tafsir Al-Quran ini. Sebelum kita mempelajarinya, kita pun tidak tahu apakah kepentingan mempelajarinya. Kita sangka apabila kita sudah beriman, sudah mengucap dua kalimah Syahadah, kita pun sudah mengaku orang Islam, buat ibadat seperti orang Islam yang lain, kita sangka kita sudah selamat dan sudah tahu tentang agama.
Namun, apabila kita mula belajar tafsir Al-Quran, maka barulah kita tahu betapa bernilainya Al-Quran ini sebagai panduan hidup kita. Barulah kita sedar yang selama ini kita tidak tahu apa-apa pun tentang agama walaupun sudah lama belajar.
Kita juga hairan bagaimanakah mereka yang tidak belajar tafsir Al-Quran ini boleh memahami agama ini tanpa mempelajari tafsir Al-Quran kerana di dalamnya mengandungi pengajaran-pengajaran yang amat penting diketahui.
Jika tidak belajar, tentu akan ada kesalahan dalam agama. Mereka yang tidak belajar tafsir Al-Quran memang ada masalah dengan akidah. Oleh itu, kita amat menggalakkan mereka yang prihatin tentang agama, prihatin dengan keadaan mereka di akhirat kelak, untuk mempelajari tafsir Al-Quran.
وَلَا الْإِيمٰنُ
dan tidak juga mengetahui apakah iman itu;
Dan sebelum Nabi Muhammad SAW diberikan wahyu, Nabi SAW sudah beriman tetapi tidak tahu iman secara terperinci. Baginda SAW tidak tahu pecahan iman lagi atau baginda tidak tahu dengan sepenuhnya kerana mungkin ada saki baki peninggalan ajaran Nabi Ibrahim yang baginda tahu mengenainya.
Namun, yang pasti tidaklah sempurna pengetahuan baginda SAW tentang iman itu tetapi baginda SAW sendiri tidak mengamalkan syirik langsung kerana para Nabi diselamatkan dari mengamalkan amalan syirik. Ini menunjukkan kepentingan Al-Quran tersebut kerana iman ini hanya dapat dipelajari dari Al-Quran dan setelah memahaminya, barulah iman kita akan mantap.
Dan iman itu sendiri adalah perkara yang amat penting kerana ia adalah dasar pada agama ini. Tidak bermakna langsung segala amal ibadat yang kita lakukan jikalau iman kita tidak lengkap lagi. Letih sahaja beramal ibadat, tetapi kalau kita ada fahaman syirik, segala amal ibadat kita itu tidak bernilai langsung.
وَلَٰكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا
akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi,
Sebelum ini disebut Al-Quran sebagai ‘Roh’ dan sekarang disebutkan sebagai ‘cahaya’ pula. Sebagaimana cahaya diperlukan untuk kita melihat dalam alam ini, begitu juga kita perlukan Al-Quran untuk melihat apakah jalan agama yang benar.
Sebagaimana apabila adanya cahaya, baru mata kita boleh nampak manakah jalan yang di hadapan kita. Semasa kita berada di dalam kegelapan, jikalau ada jalan di hadapan kita, kita tidak akan nampak jalan itu dan kita akan teraba-raba dan jika jalan juga, berkemungkinan kita akan tersasar jauh.
Oleh itu, ‘nur’ (cahaya) itu adalah sebagai isyarat kebaikan. Ia adalah lawan kepada kegelapan yang buruk. Begitu juga kalau Al-Quran ada di dalam hati kita – baru kita nampak jalan yang benar dan kalau kita tidak belajar tafsir Al-Quran, kita pun tidak nampak kebenaran walaupun ia ada di depan kita.
Kalau setakat baca sahaja Al-Quran itu setiap hari, tetapi tidak memahaminya, tidaklah bermakna kerana kita mungkin langgar apa yang dilarang dalam Al-Quran itu. Al-Quran juga diibaratkan sebagai ‘cahaya’ kerana ia menerangkan dan mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik dan kekufuran. Kegelapan kufur dan syirik hanya boleh dihapuskan dengan cahaya Al-Quran.
نَّهْدِي بِهِ مَن نَّشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا
Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki dari hamba-hamba Kami.
‘Dengannya’ bermaksud ‘dengan Al-Quran’. Dalam ayat ini, Allah SWT mengajar Nabi Muhammad SAW untuk menggunakan Al-Quran untuk memberi hidayah dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan dan kesyirikan. Dari mula baginda diangkat menjadi Nabi hingga berhijrah ke Madinah, baginda akan menggunakan Al-Quran sebagai metod dakwah baginda.
Maka begitulah juga kita perlu menggunakan Al-Quran untuk mengajar manusia bagaimana untuk menjalani kehidupan ini supaya selamat di dunia dan di akhirat. Maka pertama sekali, jalan dakwah dan pengajaran agama kepada manusia hendaklah menggunakan Al-Quran. Ajarlah agama dengan mengajar mereka pemahaman Al-Quran. Bukanlah dengan menggunakan kitab-kitab yang lain dan ajaran-ajaran yang lain yang bukan berdasarkan kepada Al-Quran.
Sebelum kita belajar ilmu-ilmu agama yang lain, maka hendaklah kita mempelajari Al-Quran dan selepas itu mempelajari hadis. Bukan kita menghalang dari membaca kitab-kitab lain, tetapi hendaklah dimulai dengan mempelajari Al-Quran dan Hadis. Apabila kita telah kemas pemahaman Al-Quran dan Sunnah, barulah apabila kita membaca kitab-kitab lain, kita akan dapat menilai sama ada tulisan dalam kitab itu benar atau tidak.
Malangnya, ramai penyebar-penyebar agama tidak menggunakan Al-Quran tetapi mereka menggunakan cara-cara yang lain seperti nasyid, syair, tulisan khat, Qasidah, kitab, amalan zikir dan macam-macam lagi.
Mereka kata manusia itu ada yang suka lagu dan hiburan, ada yang suka tulisan, ada yang suka syair dan sebagainya. Maka, mereka kononnya menggunakan cara-cara itu untuk memikat manusia kepada Islam. Itu adalah pemahaman yang salah. Bukan begitu cara membawa manusia kepada agama.
Kalaulah cara-cara itu baik, maka tentunya Nabi SAW, para sahabat, tabein dan golongan salaf akan menggunakan cara-cara itu. Tetapi tidak. Mereka sebaliknya menggunakan al-Quran dan Hadis Nabi SAW untuk menyampaikan ajaran agama dan dakwah kepada manusia.
وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memberi petunjuk ke jalan yang lurus,
Nabi SAW memberi petunjuk dengan cara bacakan wahyu dan ajar wahyu itu kepada manusia. Bukanlah Nabi SAW yang beri hidayah terus kepada manusia kerana yang beri hidayah secara mutlaq adalah Allah SWT sahaja. Nabi Muhammad SAW itu berada di atas jalan yang lurus dan baginda SAW mengajak kepada jalan yang lurus juga.
Oleh kerana Nabi Muhammad SAW itu mengajak kita kepada jalan yang lurus, maka kita sebagai umat baginda hendaklah mengikuti apa yang dibawa oleh baginda. Dan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah Al-Quran dan hadis baginda.
Nabi Muhammad SAW tidak boleh membawa umatnya ke jalan yang lurus. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW juga tidak boleh memberi hidayah. Sebab itulah dalam ayat ini digunakan perkataan إِلَىٰ yang bermaksud baginda SAW hanya boleh ‘menunjuk kepada’ jalan yang lurus sahaja.
Terpulang kepada mereka yang ditunjuk itu sama ada hendak ikut atau tidak. Ini adalah kerana kita tidak boleh memaksa keimanan kepada sesiapa pun. Walaupun anak kita sendiri, kita tidak boleh paksa mereka beriman. Mereka kena belajar sendiri dan mereka kena beramal sendiri.
Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah ini. Kita hanya boleh menunjuk dan mengajak sahaja. Kita tidak boleh memastikan mereka untuk ikut petunjuk itu atau untuk mendapat hidayah itu. Itu adalah kerja Allah SWT. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh memberi hidayah kepada mereka.
Kalau Nabi SAW boleh memberi hidayah, tentulah baginda akan memberikan hidayah kepada bapa saudaranya, Abu Talib kerana baginda SAW amat sayang kepada bapa saudaranya itu dan beliau telah banyak menolong baginda dalam perjuangan baginda, cuma tidak mahu masuk Islam sahaja. Bukannya beliau tidak percaya yang Nabi SAW itu Rasul, tetapi tidak mahu terima hanya kerana malu sahaja dengan kaum musyrikin Mekah yang lain.
Jalan yang paling senang diberi penerangan adalah jalan yang lurus. Bayangkan kalau kita kena beri petunjuk jalan kepada orang lain: “kau nak pergi ke Madrasah? Senang sahaja. Ikut sahaja jalan ini lurus, jalan belok kanan atau kiri”.
Maka, jalan agama yang lurus ini senang sahaja. Tidak perlu belok-belok. Ikut sahaja Al-Quran dan Sunnah. Ia mudah sahaja dipelajari sebenarnya.
Allahu a’lam.
NOTA FIQH DOA MUSTAJAB 21
21. Ketika melontar Jamarat di Mina.
Masih berkaitan lagi tempat mustajab berdoa jika anda mengerjakan haji.
Dalil hadith:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، أَنَّهُ كَانَ يَرْمِي الْجَمْرَةَ الدُّنْيَا بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ يُكَبِّرُ عَلَى إِثْرِ كُلِّ حَصَاةٍ ، ثُمَّ يَتَقَدَّمُ حَتَّى يُسْهِلَ مُسْتَقْبِلا الْقِبْلَةَ فَيَقُومُ طَوِيلا وَيَدْعُو ، وَيَرْفَعُ يَدَيْهِ ثُمَّ يَرْمِي الْجَمْرَةَ الْوُسْطَى ، ثُمَّ يَأْخُذُ ذَاتَ الشِّمَالِ فَيُسْهِلُ ، وَيَقُومُ مُسْتَقْبِلا الْقِبْلَةَ ، ثُمَّ يَدْعُو وَيَرْفَعُ يَدَيْهِ ، وَيَقُومُ طَوِيلا ، ثُمَّ يَرْمِي جَمْرَةَ ذَاتِ الْعَقَبَةِ مِنْ بَطْنِ الْوَادِي وَلا يَقِفُ عِنْدَهَا ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ ، وَيَقُولُ : هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُهُ (رواه البخاري)
Terjemahan:
Menurut hadith sesungguhnya Ibnu Umar pernah melontar Jumrah Dunia (Ula) dengan 7 biji batu sambil bertakbir setiap melempar batu, lalu maju ke tempat yang mendatar, lalu berdiri lama menghadap kiblat sambil berdoa dengan mengangkat kedua tangannya. Kemudian melontar Jumrah Wustha, lalu mengambil arah ke kiri dan pergi ke tempat yang mendatar, lalu berdiri menghadap kiblat kemudian berdoa dengan mengangkat kedua tangannya dan berdiri lama. Kemudian melontar Jumrah Aqobah dari tengah lembah dan tidak berdiri di situ kemudian beredar dan berkata: Begitulah saya lihat Rasulullah SAW berbuat.
(HR. Bukhari, no 1753)
Fiqh hadith:
Ketika melontar tiga jamrah pada Hari Tasyrik, Ibnu Umar ra menjelaskan manasik haji Nabi SAW ketika di Mina. Nabi SAW cuma berdoa ketika Jamrah Ula dan Wushta sahaja, manakala selepas Jamrah Aqobah, baginda SAW tidak berdoa lagi.
Nota:
Disalin dari Dr Abu Ammar Yasin Qadhi, kitab doa: Silahul Mukmin.
NOTA FIQH DOA MUSTAJAB 20
20. Berdoa di puncak Safa dan Marwah (tempat Sa’ie)
Masih berkaitan lagi tempat mustajab berdoa jika anda pergi mengerjakan haji.
Berdoa pada Hari Arafah.
Dalil hadith:
Dari ‘Amr bin Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya, Nabi saw bersabda,
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِى لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Terjemahan:
“Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah. Dan sebaik-baik yang kuucapkan, begitu pula diucapkan oleh para nabi sebelumku adalah ucapan “laa ilaha illallah wahdahu laa syarika lah lahul mulku walahul hamdu wa huwa ‘ala kulli sya-in qodir (tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah SWT semata, tidak ada sekutu bagi-Nya. Miliki-Nya segala kerajaan, segala pujian dan Allah SWT yang menguasai segala sesuatu).”
(HR. Tirmidzi no. 3585; Ahmad, 2:210. Al-Albani, sahih, Silsilah Al-Ahadits Ash-Sahihah, no. 1503)
Fiqh hadith:
1. Menurut al-Mubarakfuri, tanggal 9 Zulhijjah adalah Hari Arafah dan waktu terbaik untuk berdoa atau berzikir. Zikir terbaik bukan terhad sepertimana zikir di atas sahaja, ia bersifat umum.
2. Isu apakah ia khusus untuk orang pergi mengerjakan haji atau umum untuk semua orang Islam?
Jawaban:
Ia khilaf, jumhur ulama bependapat, ia untuk orang yang mengerjakan haji sahaja, manakala fatwa Arab Saudi, ia untuk semua umat Islam di mana sahaja, mereka hendaklah berpuasa sunat Hari Arafah dan banyakkan berdoa (Dari sumber Dr Soleh Al Munajjid, Al-Islam Soal wa al-Jawab fatwanya no. 70282)
Nota:
Disalin dari Dr Abu Ammar Yasin Qadhi, Du’a: Silahul Mukmin
Tafsir Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-50 dan Ke-51
Tafsir Surah Asy-Shura
Tafsir Ayat ke 50
Ini sambungan tentang anak dalam ayat sebelum ini:
أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنٰثًا
Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan,
Allah SWT boleh sahaja memberikan setiap ibu bapa itu anak-anak lelaki dan perempuan. Ada yang diberikan dengan kelebihan itu. Maka, mereka dapat merasai bagaimana bezanya anak perempuan dan anak lelaki kerana tidak sama antara anak lelaki dan anak perempuan.
Apabila ibu bapa dapat kedua-dua anak lelaki dan perempuan, maka mereka dapatlah merasa kelebihan perbezaan antara anak lelaki dan perempuan. Selalu kita dengar bagaimana ibu bapa teringin untuk mendapat ‘sepasang’ cahaya mata, ada anak lelaki dan anak perempuan.
Kalau anaknya berderet lelaki, dia teringin sangat untuk mendapatkan anak perempuan pula. Maka dia akan mencuba untuk mendapatkan anak lagi, entah-entah dia dapat anak perempuan pula. Begitulah lumrah naluri manusia.
وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيمًا
dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.
Ada juga pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan anak langsung. Itu adalah ‘rezeki’ mereka. Ini pun tidak dapat dipersoalkan kerana ia adalah dalam keputusan Allah SWT. Bila Allah SWT tidak beri rezeki dalam bentuk anak, Allah SWT akan beri rezeki dalam bentuk lain. Ada yang tidak ada anak tetapi mereka dapat banyak kekayaan.
Mandul ini bukanlah terjadi pada perempuan sahaja tetapi lelaki juga ada yang mandul. Ini kita sebutkan di sini, kerana selalunya, ‘mandul’ ini selalu disalahkan kepada perempuan sahaja.
Apabila pasangan tidak mendapat anak, orang ramai selalunya akan terus menyangka yang sang isteri itu yang mandul. Mereka tidak pun terfikir bahawa suami itu yang mandul. Itu adalah satu ketidakadilan. Jangan hanya menyalahkan perempuan sahaja kalau pasangan itu tidak dapat anak.
Janganlah kita rasa kekurangan sangat jikalau kita tidak mendapat anak. Lihatlah bagaimana isteri-isteri Nabi SAW pun ada yang tidak mempunyai anak seperti Saidatina Aisyah.
إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ
Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Kalimah عَلِيمٌ bermaksud Allah SWT tahu keperluan manusia. Allah SWT beri anak atau tidak adalah atas ilmu-Nya. Kita tidak layak untuk mempersoalkan. Pengetahuan kita tidak sampai langsung untuk mempersoalkan. Allah SWT tahu bagaimana hendak menguji hamba-Nya – kita cuma perlu taat sahaja dan belajar untuk tidak mempersoalkan perbuatan Allah SWT.
Kalimah قَدِيرٌ bermaksud Allah SWT berkuasa untuk buat keputusan-Nya sama ada kita suka atau tidak. Buatlah apa sahaja untuk mendapatkan anak, tetapi kalau ditakdirkan tidak mendapat anak, memang tidak akan dapat. Ini adalah kerana Allah SWT boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, kita tidak boleh persoalkan.
Tafsir Ayat Ke-51
Ayat ini adalah cara Allah SWT menurunkan wahyu kepada para Nabi. Ada tiga jenis cara yang disebut dalam ayat ini.
Ayat ini ada kena mengena dengan maksud kedua surah ini. Seperti yang kita tahu, wahyu diberikan untuk kita kenal Allah SWT. Kalau telah kenal Allah SWT, seseorang itu tidak akan buat syirik. Kalau ada buat syirik juga, itu memang tidak kenal Allah SWT kerana tidak kenal wahyu.
Seperti yang selalu kita tekankan, ajaran tauhid ini ada dalam wahyu. Kena ada sumber wahyu yang qat’ie barulah boleh digunakan sebagai hujah dalam akidah. Jadi kalau ada yang bawa dalil yang menunjukkan boleh buat syirik, boleh amal tawasul, boleh buat amal ibadat kepada selain Allah SWT, kita kena tahu yang itu adalah dalil palsu.
Boleh terus tolak kerana kita sudah pasti, kalau ia berlawanan dengan pemahaman wahyu yang ada, mesti dalil itu tidak boleh digunakan.
Jika diperiksa, akan dibuktikan yang ia adalah palsu. Orang bodoh yang jahil dan tidak berilmu sahaja yang akan terpesona dan tertipu dengan dalil itu. Orang yang belajar, boleh tolak terus, tidak perlu buang masa hendak semak.
وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ ٱللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِن وَرَآئِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِىَ بِإِذْنِهِۦ مَا يَشَآءُ ۚ إِنَّهُۥ عَلِىٌّ حَكِيمٌ
Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia yang Allah SWT berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah SWT akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana.
وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ إِلَّا وَحْيًا
Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu
Di awal surah ini Allah menyebut tentang wahyu yang diberikan-Nya. Sekarang Allah SWT menceritakan bagaimana wahyu itu diberikan kepada manusia. Allah SWT menyebut tentang pemberian wahyu selepas menceritakan tentang anak kerana bayi-bayi yang di dalam perut juga ada menerima wahyu dari Allah SWT.
Tetapi, ayat ini menjurus kepada wahyu yang diberikan kepada para Rasul. Ayat ini hendak menjawab hujah Musyrikin Mekah yang kata, kenapa mereka sendiri tidak dapat wahyu? Kalau Nabi Muhammad SAW boleh dapat wahyu, kenapa mereka tidak boleh dapat juga? Bukankah senang kalau mereka dapat juga? Supaya tidaklah ada perbalahan benar atau tidak wahyu itu.
Maka Allah SWT jawab dalam ayat ini yang tidak layak manusia hendak bercakap terus dengan Allah SWT dan mendapat wahyu begitu sahaja. Bukan semua manusia boleh mendapat wahyu melainkan yang terpilih sahaja. Perumpamaan macam kita dalam gelap, tiba-tiba ada orang suluh lampu ke mata kita. Tentu kita tidak mampu untuk melihat.
Kita tidak mampu hendak bercakap dengan seratus orang pada satu masa kerana itu adalah kekurangan kita sebagai manusia. Itu baru bercakap dengan sesama makhluk kita sudah tidak boleh, apatah lagi kalau hendak berkomunikasi terus dengan Allah SWT, lagi tidak boleh.
Ada kena mengena dengan Dakwa kedua surah ini. Jika bawa selain dari wahyu, maka itu adalah tipu. Kalau hal agama sahaja, kena ada asas dalam wahyu. Jangan dipermudahkan. Kalau bawa juga bukan dari wahyu, maka itu adalah kerana rasa wahyu tidak cukup atau tuduh kitab Allah Al-Quran ini tidak ada nilai. Tentunya Allah SWT murka jika rasa begitu.
Tidak mungkin Allah SWT akan berkata-kata dengan manusia secara berdepan kecuali Allah SWT berkomunikasi dengan cara wahyu. Wahyu adalah berita yang diberikan oleh Allah SWT. Wahyu itu diberikan sama ada secara mimpi atau terus dimasukkan ke dalam hati Rasul dengan cara ‘ilham’ iaitu Allah SWT beri ilham terus ke dalam hati Nabi SAW.
Oleh itu, kalimah ‘wahyu’ itu perlu diterjemahkan ‘ilham’ baru senang hendak faham. Tetapi, apabila diberikan kepada Nabi SAW , ia dikira sebagai ‘wahyu’, iaitu wahyu jenis ilham. Mereka yang bakal jadi Nabi juga boleh dapat wahyu pada umur 40 tahun.
Jika kepada selain daripada Nabi, maklumat yang mereka dapat dari Allah SWT itu dipanggil ‘ilham’. Ini seperti yang Allah SWT beri kepada emak Nabi Musa a.s. Bukan sahaja manusia, tetapi binatang juga boleh dapat. Ada di dalam Al-Quran disebut bagaimana lebah dan sebagainya yang mendapat ilham dari Allah SWT. Allah SWT gunakan kalimah ‘wahyu’ juga dalam Al-Quran, tetapi maksudnya adalah ‘ilham.
Kita juga boleh mendapat ilham yang baik di dalam bentuk mimpi yang baik. Itu ilham biasa sahaja dan bukan macam wahyu yang Nabi terima. Akan tetapi kena hati-hati, kalau kita dapat suatu ilham dalam bentuk keagamaan, kena bandingkan dengan wahyu yang telah sedia ada.
Kalau ilham yang kita dapat itu sama dan sejajar dengan wahyu (Al-Quran dan Sunnah), maka itu adalah ilham yang baik. Oleh itu, kena kenal pasti dulu baru boleh diterima-pakai. Jangan terus terima sahaja kerana kalau tidak sama dengan wahyu yang sudah ada, itu bermakna itu adalah ilham yang tidak baik dan bukan datang dari Allah.
Ini penting untuk diberitahu dan dipelajari kerana banyak ajaran sesat dalam dunia ini timbul kerana ilham buruk seperti ini. Mereka dapat ilham dari syaitan tetapi mereka mengaku dan sangka itu adalah ilham dari Allah SWT. Maka sesatlah mereka. Ini semua kerana jahil dengan wahyu yang sudah ada. Kalau tidak belajar tafsir Al-Quran, senanglah mereka ditipu oleh syaitan.
Kembali kepada wahyu yang diberikan kepada para Rasul. Telah disebut di dalam ayat lain bagaimana Nabi Ibrahim a.s menerima wahyu di dalam tidurnya. Ini disebut dalam [ Saffat: 102 ]:
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
Selain daripada itu, Allah SWT boleh terus memberi wahyu secara terus ke dalam hati manusia yang hendak disampaikan-Nya. Hanya mimpi dan ilham para Nabi sahaja yang boleh diterima. Kalau ilham dan mimpi selain para Nabi, itu bukanlah hujah.
Berapa banyak orang kita menerima hujah ‘orang itu mimpi itu dan ini’ dan mereka sudah rasa itu adalah pegangan dalam agama. Itu adalah salah sama sekali. Mimpi yang dialami oleh manusia tidak boleh dijadikan sebagai sumber syariat. Jadi, kalau guru apa sekali pun yang mimpi, itu bukanlah dalil.
Allah SWT beri ilham jika perlu. Kadangkala Allah SWT biarkan Nabi SAW buat keputusan dahulu dan tegur kemudian kerana Allah SWT hendak beri pengajaran. Semuanya adalah perancangan Allah SWT.
أَوْ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ
atau dari sebalik tabir
Ada kalanya Allah SWT berkata-kata terus dengan Rasul, tetapi Rasul itu tidak dapat melihat Allah SWT kerana Rasul itu didindingi dengan hijab yang menghalangnya untuk melihat Allah SWT. Seperti dengan Nabi Musa di Bukit Thur yang berkata-kata terus dengan Allah SWT.
Namun, tidaklah baginda melihat Allah SWT. Disebut dalam [ an-Nisa’: 164 ]:
وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا
Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah SWT telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).
Begitu juga Nabi Muhammad SAW telah berkata-kata secara terus dengan Allah SWT sewaktu Mikraj di mana semasa baginda SAW menerima arahan untuk mendirikan solat tetapi baginda SAW tidak dapat melihat Allah SWT waktu itu. Apabila ditanya sama ada baginda SAW melihat Allah SWT, baginda menjawab bahawa baginda SAW dihijab oleh ‘Nur’.
أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا
atau dengan mengutuskan utusan
Rasul yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Rasul yang berupa malaikat. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa malaikat mendapat gelaran ‘Rasul’ juga. Malaikat yang dimaksudkan adalah Jibrail kerana dialah yang selalu menyampaikan wahyu kepada para Nabi.
Ada juga yang mengatakan Mikhail juga pernah menyampaikan wahyu kepada Rasul. Cara penyampaian wahyu dengan cara ini adalah cara yang paling banyak disampaikan kepada para Nabi.
فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ
lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah SWT akan apa yang dikehendaki-Nya.
Malaikat hanya menyampaikan apa sahaja yang Allah SWT hendak sampaikan. Mereka tidak akan tambah dan tidak akan kurangkan. Malaikat tidak akan menurunkan wahyu lagi selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Jadi, kalau ada yang mengaku mereka ada terima wahyu selepas kewafatan Nabi SAW itu adalah bohong semata-mata.
Jadi, ada tiga cara yang disebut dalam ayat ini:
- Wahyu dalam bentuk ilham
- Di sebalik tabir
- Dihantar malaikat untuk menyampaikan wahyu itu.
Jika selain dari tiga cara ini, bukanlah wahyu dan tidak boleh dipakai. Oleh itu, kalau ada yang bawa dalil selain dari wahyu dan bercanggah dengan wahyu, boleh terus tolak.
إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana.
Lafaz عَلِيٌّ digunakan di dalam ayat ini kerana wahyu itu diturunkan kepada Nabi SAW dari Allah SWT yang Maha Tinggi kedudukan-Nya.
Wahyu itu pula sentiasa datang daripada atas dan amat tinggi kedudukan-Nya penuh padat dengan حَكِيمٌ (hikmah kebijaksanaan) di dalamnya. Allah SWT Maha Tinggi tetapi Allah SWT beri cara untuk manusia kenal Dia, iaitu dengan belajar wahyu Dia.
Itulah sebabnya kita kena belajar Tafsir Al-Quran supaya kita dapat faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT kepada kita.
Allahu a’lam.













