Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Sahabat di Dalam Kehidupan seorang Muslim

Sahabat di Dalam Kehidupan seorang Muslim

2427
0
Iklan

5 Peranan Penting Sahabat di Dalam Kehidupan Seorang Mukmin

Selain keluarga, kehadiran sahabat juga akan mempengaruhi kehidupan seseorang menjadi lebih positif.

Peranan penting sahabat di dalam hidup seseorang nyatanya dapat membuat kita bahagia.

Sahabat menjadi orang yang selalu ada ketika kita memerlukan bantuan, baik dalam masa sukar mahupun senang.

Apa saja alasan mengapa sahabat itu penting untuk menjadi penasihat untuk kesenangan hidup di dunia dan juga di hari akhirat.

  1. Sahabat tidak pernah menghukum dan buruk sangka ( su’uzan)

Sahabat sejati tidak pernah menghukum atau buruk sangka. Segala yang buruk pada diri kita akan diberikan nasihat dan akan dikatakan dengan jujur dan baik, sehingga tidak ada kesan mengganggu emosi. Apa pun yang membuat kita baik dan senang, maka sahabat akan selalu memuji serta menghargai. Tak lupa, sahabat akan selalu membantu dengan tulus ikhlas.

Disebut dalam sebuah Hadis al-Qudsi, bahawa di dunia dahulu terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israel. Salah seorangnya sangat baik manakala seorang lagi sangat jahat. Suatu hari yang baik menggelarkan yang jahat sebagai ahli neraka dan dosanya tidak mungkin akan diampunkan Allah. Lalu Allah mematikan kedua-duanya serta memanggil mereka menghadap-Nya. Akhirnya Allah memasukkan yang jahat ke dalam syurga manakala yang baik dicampakkan ke dalam neraka.

Berikut adalah nas sebenar hadis yang dinyatakan dalam kisah di atas:

كَانَ رَجُلَانِ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ مُتَوَاخِيَيْنِ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالْآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ فَكَانَ لَا يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الْآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ فَيَقُولُ أَقْصِرْ فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ فَقَالَ لَهُ أَقْصِرْ فَقَالَ خَلِّنِي وَرَبِّي أَبُعِثْتَ عَلَيَّ رَقِيبًا فَقَالَ وَاللَّهِ لَا يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ أَوْ لَا يُدْخِلُكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ فَقَبَضَ أَرْوَاحَهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَقَالَ لِهَذَا الْمُجْتَهِدِ أَكُنْتَ بِي عَالِمًا أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ اذْهَبْ فَادْخُلْ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي وَقَالَ لِلْآخَرِ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى النَّارِ

“Pada zaman dahulu, terdapat dua orang lelaki dari kalangan Bani Israel yang bersaudara tetapi berbeza karakternya, salah seorangnya pelaku dosa dan seorang lagi rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah ini melihat saudaranya berbuat dosa, ia menyuruhnya untuk berhenti dari perbuatan dosanya. Pada suatu hari ahli ibadah itu berkata lagi; “Berhentilah dari berbuat dosa.” Pelaku dosa itu menjawab; “Biarkan aku, Allah telah menetapkan aku bahawa engkau diutus-Nya untuk mengawasi apa yang aku lakukan.” Lantas ahli ibadah itu menempelaknya; “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni-Nya atau kamu tidak mungkin dimasukkan Allah ke dalam syurga.”Kemudian Allah mencabut nyawa kedua-dua lelaki itu dan mengumpulkan keduanya di hadapan Allah Rabb al-‘Alamin. Allah berfirman kepada lelaki ahli ibadah itu; “Apakah kamu lebih mengetahui daripada Aku? Adakah kamu dapat mengubah apa yang telah berada dalam kekuasaan tangan-Ku?,”Kemudian Allah berfirman kepada pelaku dosa itu pula;“Masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat-Ku.”Sementara kepada ahli ibadah itu dikatakan; Masuklah orang ini ke neraka.” [Hadis Riwayat Abu Daud]

Pengajaran daripada hadis ini tidak boleh seseorang menghukum sahabatnya sebagai munafik, fasik, sekular, kufur dan sebagainya. Tidak boleh mengungkapkan kata- kata taubat seseorang tidak diterima.

  1. Sahabat Tidak Pernah Meninggalkan Sahabatnya Ketika Susah

Dalam keadaan apa pun, baik sedih, kesepian, dan senang, sahabat akan selalu ada bersama kita untuk memberi sokongan atau ikut bahagia atas apa yang kita capai. Ketika menangis, mereka akan berusaha membuat kita kembali tertawa.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,

“Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang Mukmin, maka Allâh melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barang siapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allâh Azza wa Jalla memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allâh akan menutup (aib)nya di dunia dan akhirat. Allâh senantiasa menolong seorang hamba selama hamba tersebut menolong saudaranya.” [Hadis Riwayat Muslim no. 2699].

  1. Sahabat Selalu Mendengar Dengan Baik

Seperti yang sudah dijelaskan sebelumnya, sahabat juga akan selalu mendengarkan segala cerita kita. Sahabat memberikan pendapatnya, sehingga kita boleh saling bertukar ide atau pengalaman untuk mendapatkan solusi terbaik pula dalam masalah tertentu.

Firman Allah SWT :

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

“Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya, mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah golongan ulul albâb.”  [ Surah Az-Zumar: 18 ].

  1. Sahabat Selalu Memberikan Sokongan Dan Menggalakkan

Apa pun tujuan terbaik serta membuat kita bahagia, sahabat pasti akan memberikan motivasinya dan membantu kita untuk mencapai hal baik yang kita inginkan.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

“Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan keadaan, saling menyedarkan satu sama lain dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan).” [ HR Ad Dailami ].

Sesungguhnya teguran dan saling menasihati merupakan Rahmat Allah yang amat besar buat diri sahabat yang ditegur. Mungkin juga selama ini dia tidak menyedari kekhilafannya, lalu Allah menunjukkan jalan untuk dia kembali ke jalan yang benar melalui nasihat sahabatnya.

Dengan adanya amalan menasihati sesama sahabat dan atas dasar saudara se Islam, setiap muslim dan mukmin itu akan menjadi lebih baik dan tidak akan jauh tersasar dari landasan hidup yang benar, InsyaAllah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya.” [ HR Al-Bukhari ].

 Sesungguhnya sahabat yang menyayangi sahabat yang lain akan sentiasa ingin sahabatnya elok dan baik.

Sahabat yang menyayangi tidak akan suka melihat calit aib noda pada sahabatnya. Maka kerana itu teguran dan nasihat amat dianjurkan dalam persaudaraan Islam.

  1. Sahabat Dapat Di Percaya

Selain keluarga, sahabat juga menjadi orang yang mengetahui banyak hal peribadi kita. Ketika berada dalam tahap persahabatan, maka sahabat tidak akan melanggar kepercayaan kita. Semua ditunjukkan dengan sikap jujur serta tulus.

Itu dia peranan penting sahabat di dalam hidup. Bagaimana pun, menjalin persahabatan dengan seseorang memang tidaklah mudah, kerana tetap memerlukan waktu untuk saling memahami satu sama lain.

Kesimpulannya:

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Tidak akan masuk syurga orang yang suka mendengar-dengar berita rahsia orang lain.” [HR Al-Bukhari].

Seorang mukmin perlu bijak menilai dan menegur sahabat yang melakukan kesalahan. Teguran hendaklah dibuat dengan penuh kelembutan dan kasih sayang serta caranya halus dan berhikmah.

Mukmin juga perlu berhati-hati jangan sampai sahabatnya terasa terhina atau diaibkan di hadapan orang lain. Maka sebaik-baiknya teguran hendaklah dibuat ketika bersendirian dengan sahabat.

Namun, jika ada keperluan untuk menegur secara umum, nasihat hendaklah dilakukan secara berhikmah dan sebolehnya tidak ditujukan spesifik kepada orang tertentu sahaja kerana dibimbangi orang itu akan berasa malu dan terluka dengan tindakan kita.

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan