Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-67 hingga Ke-69

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-67 hingga Ke-69

265
0
Iklan

Tafsir Surah al-An’am
Tafsir Ayat Ke-67

لِّكُلِّ نَبَإٍ مُّستَقَرٌّ ۚ وَسَوفَ تَعلَمونَ

Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.

لِّكُلِّ نَبَإٍ

Untuk setiap berita (yang dibawa oleh Rasul-Rasul)

Kalimah نَبَإٍ adalah berita-berita penting yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. ataupun melalui Nabi ﷺ. Ia adalah tentang perkara-perkara agama, perkara yang kita tidak nampak, atau perkara yang hanya akan berlaku di masa hadapan.

Sebagai contoh, tentang syurga, tentang neraka, tentang azab kubur, tentang Mahsyar, Titian Sirat dan sebagainya. Semua perkara-perkara itu tidak akan dapat diketahui melainkan melalui berita-berita yang disampaikan oleh Nabi ﷺ sahaja.

مُّسْتَقَرٌّ

ada (waktu) terjadinya

Kalimah مُّسْتَقَرٌّ daripada kata dasar ق ر ر yang bermaksud ‘stabil’. Kalimah مُّسْتَقَرٌّ bermaksud tempat dan masa yang tetap iaitu ia adalah sesuatu yang telah ditetapkan.

Ayat ini bermaksud segala berita yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ itu pasti akan berlaku pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Contohnya, berita-berita seperti berita Mahsyar, berita masuk syurga, berita masuk neraka dan sebagainya. Apabila sampai waktunya, iaitu apabila manusia telah mati, maka semua perkara-perkara yang dijanjikan itu akan berlaku.

Ada Musyrikin Mekah yang kata, kalau betul berita itu benar, maka bawalah ia dengan segera. Mereka mengejek Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka tidak percaya. Maka, Allah‎ ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa ia pasti akan berlaku, tetapi pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh-Nya. Bukanlah Nabi Muhammad ﷺ boleh menentukan bilakah terjadinya kejadian-kejadian itu.

Maknanya Allah ‎ﷻ bukan memberi amaran kosong. Allah ‎ﷻ tekankan semua yang telah disampaikan itu pasti akan berlaku. Janganlah mereka sangka apabila mereka mencabar Nabi ﷺ untuk mempercepatkan kejadian berita-berita itu, dan Nabi ﷺ tidak bawakan, bermakna ia tidak akan terjadi.

وَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

dan kelak kamu akan mengetahui.

Bilakah semua yang dijanjikan itu akan berlaku? Sebaik sahaja seseorang manusia itu mati. Waktu itu semua manusia akan nampak dan akan mengetahui dengan pasti.

Pertama sekali mereka akan bertemu dengan alam kubur. Waktu itu awal-awal lagi mereka akan dikejutkan dengan kedatangan Munkar dan Nakir yang akan bertanya beberapa soalan kepada mereka.

Bukan berita-berita besar itu sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ tetapi semua perkara telah ditetapkan masanya oleh Allah ‎ﷻ. Sama ada lahirnya manusia, atau pun bila matinya, ataupun bila dia akan mendapat rezeki. Jika kita kelam kabut untuk mendapatkan sesuatu, tidaklah ia akan dapat mempercepatkan rezeki itu.

Selalunya kita mahukan sesuatu itu berlaku dengan segera tetapi ia tidak akan berlaku kerana masanya telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia hanya akan menyebabkan kita berasa kelam kabut saja. Akan menyebabkan kita jadi gundah gulana sahaja.

Dan akan menyebabkan kita rasa tidak bersyukur kerana benda yang kita tunggu itu tidak jadi-jadi lagi. Selagi apa yang kita harapkan berlaku, tidak terjadi, maka kita seharusnya bersabar dan menumpukan perhatian kepada perkara yang kita boleh lakukan.

Sebagai contoh, ada perempuan yang hamil yang tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan anaknya sampaikan mereka jadi resah gelisah. Tetapi tentulah dia tidak dapat mempercepatkan kelahiran bayinya itu kerana ia telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini Musyrikin Mekah meminta-minta supaya dipercepatkan azab ke atas mereka, Itu adalah kerana mereka tidak tahu apa yang mereka minta itu. Mereka mengejek-ngejek Nabi ﷺ sebenarnya dalam permintaan mereka itu. Mereka tidak percaya yang apa yang diberitahu oleh Nabi ﷺ itu perkara yang benar. Mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ menipu sahaja.

Selepas ia terjadi nanti kepada mereka, barulah mereka akan akan tahu dan akan rasa menyesal yang amat sangat. Segala apa yang mereka ejek itu akan terjadi.

Tafsir Ayat Ke-68

Ayat ini ada persamaan dengan ayat [ Nisa:140 ]. Ia adalah tentang subahat. Jika kita tahu seseorang itu melanggar undang-undang, tetapi kita terus bersama dengan dia tanpa melakukan apa-apa, itu bermaksud kita telah bersubahat dan boleh dimasukkan bersama dengan dia dalam penjara jika ditangkap polis.

Kita tidak boleh menggunakan alasan yang kita tidak terlibat walaupun kita berada di situ kerana kita tahu apa yang dia buat itu salah, dan kita tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Begitulah juga jika ada kawan kita yang melakukan dosa kepada Allah ‎ﷻ. Tidak boleh kita duduk-duduk bersamanya semasa dia melakukan maksiat itu. Kena tinggalkan dia kalau kita tidak dapat halang dia atau tidak nasihat dia pada waktu itu.

وَإِذا رَأَيتَ الَّذينَ يَخوضونَ في ءآيٰتِنا فَأَعرِض عَنهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ وَإِمّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيطٰنُ فَلا تَقعُد بَعدَ الذِّكرىٰ مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

وَإِذَا رَأَيْتَ

Dan apabila kamu melihat

Iaitu melihat apa yang dilakukan oleh manusia pada zaman sekarang. Kita kena peka dengan apa yang terjadi. Allah ‎ﷻ suruh kita perhati apa yang dilakukan oleh manusia, sama ada baik atau tidak.

الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي ءآيٰتِنَا

orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami,

Kalimah يَخُوضُونَ berasal daripada kata dasar خ و ض menjadi خوض yang asalnya bermaksud ‘terjun ke dalam air’. Apabila seseorang telah masuk ke dalam air, sedang mandi manda, tentunya mereka tidak mahu keluar dari air itu kerana mereka sudah selesa dan suka berada di dalam air itu.

Dan apabila seseorang berada di dalam air kolam contohnya, mereka boleh bergerak ke sana dan ke sini. Jadi kalimah يَخُوضُونَ juga bermaksud mereka yang sedang leka di dalam sesuatu perkara. Mereka melompat daripada satu perkara kepada satu perkara.

Jadi يَخُوضُونَ ialah seseorang yang leka dengan sesuatu dan dalam ayat ini bermaksud mereka leka dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Bukankah itu sesuatu yang baik? Akan tetapi dalam ayat ini ianya bermaksud sesuatu yang tidak baik, kerana mereka bukanlah memikirkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ (untuk mencari kebenaran) akan tetapi sebenarnya mereka sedang leka memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ dalam majlis mereka.

Mereka waktu itu sedang mempersendakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka berbincang tentang ayat-ayat Allah ‎ﷻ sambil mencari-cari kesalahan-kesalahan yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka buat begitu untuk suka-suka sahaja.

Sebagai contoh, mereka kata: “Qur’an cakap manusia akan dapat bidadari dalam syurga? Berapa bidadari?” dalam nada cara bertanya hendak memperolok-olok sahaja. Allah ‎ﷻ suruh jangan layan mereka kerana kalau dilayan, mereka lagi suka kerana kita sudah masuk perangkap mereka (bercakap perkara sia-sia). Yang mereka hendak adalah kawan lawan bercakap sahaja.

Kita mungkin sangka dengan kita melayan mereka itu kita dapat memperbetulkan mereka, tetapi mereka bukannya hendak mencari kebenaran, mereka hendak suka-suka sahaja. Mereka jenis orang yang tidak kisah hal agama. Ini boleh terjadi sama ada dalam kalangan orang kafir atau mereka yang mengaku Muslim pun.

Perbuatan memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu boleh dilakukan sama ada dalam bentuk perbuatan ataupun perkataan. Sebagai contoh, kita telah tahu bahawa Allah ‎ﷻ telah melarang kita minum arak. Katakanlah seorang manusia lain sedang minum arak. Waktu itu dia sebenarnya sedang mempersendakan ayat Allah ‎ﷻ yang melarang meminum arak.

Kalau kita duduk bersamanya tanpa melarangnya maka itu bermakna kita telah bersubahat dengannya dan kita juga akan mendapat dosa minum arak itu walaupun kita sendiri tidak minum arak. Berapa banyak orang yang tidak faham perkara ini dan mereka mendapat dosa dengan percuma sahaja? Kononnya mereka itu berfikiran terbuka sampai tidak kisah dengan perkara itu.

Kadang-kadang kita memang tidak buat dosa itu, tetapi kita tolong orang lain membuatnya. Sebagai contoh, kita tolong bawa mereka ke tempat maksiat itu. Itu pun sudah dikira kita bersubahat dan kita pun dapat dosa juga perbuatan maksiat itu.  Bukan itu sahaja, kalau kita tolong tunjuk pun kita sudah dapat saham daripada dosa itu.

Sebagai contoh, ada orang yang datang kepada kita dan bertanya di manakah dia boleh beli nombor ekor 4D? Kita memang tidak main nombor ekor, tetapi kita tahu di mana kedai itu. Kalau kita tunjuk sahaja, kita sudah mendapat dosa seperti juga orang itu yang berjudi.

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ

maka tinggalkanlah mereka

Sepatutnya apa yang kita lakukan ialah meninggalkan mereka semasa mereka berbuat dosa itu (bukan tinggalkan terus kerana mereka keluarga kita). Tidak kira sama ada mereka itu keluarga kita, kawan kita, ketua kita dan apa-apa sahaja, kita kena tinggalkan mereka kerana ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak suka kita berada bersama-sama dengan mereka pada waktu itu.

Kita dikira berdosa juga kalau duduk di situ kerana dosa itu boleh jadi kerana kita melakukan sendiri, atau kita lihat orang lain melakukannya.

Ini kerana jika duduk dalam majlis yang sama, Allah ‎ﷻ akan menghubungkan hati mereka yang duduk dalam majlis yang sama. Allah ‎ﷻ akan hubungkan antara yang bercakap dan yang mendengar kerana itulah yang mengumpat itu berdosa, dan yang mendengar pun berdosa juga.

Jika tidak mampu meninggalkan kerana ada sebab-sebab lain, maka hendaklah menyibukkan diri dengan hal lain daripada menyertai mereka dan memberi tumpuan kepada mereka. Akan tetapi bagi orang yang menjadi contoh dalam hal agama seperti ustaz dan sebagainya, mereka tidak ada pilihan. Mereka tetap kena tinggalkan kerana ditakuti adalah menjadi ‘dalil bagi orang yang jahil’. Orang awam mungkin nampak ustaz itu di majlis bid’ah dan nanti mereka akan kata: “eh tu ustaz duduk sekali dengan mereka.. maknanya tak salahlah amalan itu….kan?”

حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain.

Tinggalkan mereka sehinggalah apabila mereka tidak lagi melakukan dosa itu. Kalau mereka sudah tidak bercakap tentang perkara yang merendahkan Al-Qur’an, memperolokkan Al-Qur’an, kita sudah boleh campur dengan mereka. Apabila mereka sudah selesai majlis bid’ah mereka seperti Majlis Maulud, kita masih boleh makan dan minum dengan mereka lagi. Asalkan mereka sedang tidak buat majlis bid’ah itu.

Kita hendaklah berlepas diri daripada apa sahaja perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Maksudnya, kalau majlis Thaipusam orang Hindu itu, kita tidak boleh duduk tengok-tengok bersama mereka. Itu adalah majlis syirik kepada Allah ‎ﷻ dan kalau kita ada bersama dengan mereka, kita pun dikira terlibat sama melakukan syirik.

Sama juga kalau orang Islam buat majlis Maulud Nabi. Ini kerana perbuatan bid’ah adalah menentang ayat-ayat Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ sudah melarang buat perkara bid’ah di dalam Al-Qur’an. Jika kita ada bersama mereka atau kita pergi ke majlis mereka, maka kita pun sudah dikira melakukan bid’ah mungkar itu. Sepatutnya kita larang, tetapi kalau kita tidak mampu larang maka kita kena tinggalkan majlis itu.

Sama juga sekarang ini kita boleh lihat selepas salat berjama’ah ramai yang akan ‘salam keliling’. Ini ada bid’ah terbaru yang sebenarnya diperkenalkan oleh kumpulan tertentu. Kita tidak boleh campur bersama mereka, oleh itu kita kena terus lari keluar daripada bersama dengan mereka.

Apabila mereka hendak buat salam keliling sambil baca selawat Nabi itu, kita kena potong barisan mereka dan tinggalkan mereka. Bid’ah-bid’ah baru yang seperti ini jangan langsung diberi peluang untuk terus bercambah kerana apabila telah lama dilakukan maka ia akan menjadi susah untuk dimatikan nanti.

Kenapakah kita disuruh meninggalkan mereka dan tidak berada di dalam majlis yang memperolok-olokkan ayat-ayat? Bayangkan kalau kita menghormati seseorang dan ada orang yang mengutuk beliau, tentunya kita tidak selesa dan tidak mahu bersama-sama duduk dengan mereka kerana kita hormat orang yang dikutuk itu. Begitu juga kalau orang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, malah lebih lagi sepatutnya kita marah.

Kita amat sayangkan Allah ‎ﷻ. Maka kerana itu kalau ada yang tidak menghiraukan arahan daripada Allah ‎ﷻ, memperolokkan apa yang Allah ‎ﷻ telah arahkan kita untuk tinggalkan, maka sepatutnya kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu. Ini kerana mereka sedang memperolokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطٰنُ

Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini),

Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan kawan-kawan ataupun ahli keluarga kita yang menyertai majlis syirik dan bid’ah. Sebagai contoh, ada kawan atau ahli keluarga yang menghadiri Majlis Maulid Nabi ataupun Majlis Tahlil. Kita sebenarnya tahu bahawa majlis itu adalah majlis yang salah tetapi syaitan telah berjaya melupakan kita tentang perkara itu.

Syaitan memang suka menyebabkan kita lupa tentang agama dan tentang arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita terlupa sedikit pun mereka sudah dikira berjaya.

فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ

maka janganlah kamu duduk sesudah teringat (akan larangan itu)

Maka apabila kita terlupa dan tiba-tiba kita teringat tentang kesalahan majlis itu, maka hendaklah kita terus meninggalkan majlis itu. Jangan kita terus duduk bersama dengan mereka. Jangan kita takut dan malu untuk meninggalkan mereka.

Terlupa itu biasa sahaja, seperti orang yang termakan di siang hari dalam Ramadhan. Teapi apabila sudah termakan, janganlah teruskan makan, kenalah berhenti. Janganlah pula fikir: [alang-alang dah makan ni, aku habiskanlah satu pinggan!]

Kita kena terus tinggalkan majlis itu walaupun mungkin kita malu apabila kita telah lama duduk. Kita mungkin bercakap dalam hati kita: “Alang-alang sudah duduk sekali ni, eloklah kita teruskan sahaja“. Allah ‎ﷻ tidak membenarkan kita berbuat begitu. Apabila kita teringat sahaja, kita kena tinggalkan majlis itu. Syaitan sudah menjadikan kita lupa, tetapi kemudian Allah ‎ﷻ telah mengingatkan kita balik, maka kenalah ikut peringatan daripada Allah ‎ﷻ‎ itu.

Perkataan بَعْدَ الذِّكْرَىٰ juga boleh bermaksud ‘selepas memperingatkan mereka’ iaitu selepas kita beritahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah, maka tinggalkan mereka selepas itu. Ini kerana kita telah menjalankan tugas kita memperingatkan mereka.

Ini bermaksud kalau kita boleh memperingatkan mereka dengan kesalahan mereka itu, maka hendaklah kita melakukan. Kadang-kadang kita rasa kita tidak mampu. Ini bergantung kepada keadaan. Kita kena lihat adakah kita berada pada kedudukan yang mampu memberi peringatan tanpa membahayakan diri kita. Kena berhemah dalam hal ini.

Ayat ini juga menyatakan kepada kita kalau kita terlupa sesuatu perkara dalam agama dan kemudian baru kita teringat, hendaklah kita melakukan perkara yang betul selepas itu. Sebagaimana kalau kita sedang makan tetapi terlupa membaca basmallah. Setelah lama makan, baru teringat kita tidak membaca basmallah, maka kita hendaklah terus membaca basmallah.

Mungkin kita terlupa kerana syaitan telah menyebabkan kita terlupa dan Allah‎ ‎ﷻ telah mengingatkan kita kembali, maka hendaklah kita memperbetulkan perbuatan kita itu. Apabila kita teringat, bermakna Allah ‎ﷻ sayangkan kita dan mengingatkan kita tentang perkara itu.

مَعَ الْقَوْمِ الظّٰلِمِينَ

bersama orang-orang yang zalim itu

Ini bermakna, mereka yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ adalah orang yang zalim. Jangan kita duduk bersama dengan mereka ketika mereka melakukan perbuatan syirik dan bidaah itu.

Hendaklah kita mencari peluang untuk memberitahu kepada mereka tentang kesalahan yang mereka lakukan itu. Mereka mungkin melakukan perkara itu kerana mereka tidak tahu yang ia adalah salah. Maka kita kena cari peluang untuk mengingatkan mereka.

Tafsir Ayat Ke-69

Kesinambungan dari majlis bid’ah dan syirik yang dibuat oleh mereka yang tidak berilmu. Dalam ayat sebelum ini, kita dilarang daripada duduk bersama-sama dengan mereka.

Setelah ayat ke-68 tadi diberikan kepada para sahabat, mereka pun kerisauan kerana kalau tidak boleh duduk berdekatan orang yang sedang melakukan penghinaan kepada ayat-ayat Allah ‎ﷻ, bagaimana mereka boleh salat di Ka’bah pada waktu itu? Kerana waktu itu puak syirik yang menguasai Masjidil Haram dan ada banyak berhala di situ?

Maka Allah‎ ﷻ jawab kerisauan mereka dalam ayat ke-69 ini.

وَما عَلَى الَّذينَ يَتَّقونَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَلٰكِن ذِكرىٰ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ

Dan tidak atas orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Mereka tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ. Mereka akan berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Mereka tidak campur dengan majlis-majlis yang syirik, bid’ah dan yang memperolok-olokkan hukum Allah ‎ﷻ. Mereka akan mennggalkan majlis-majlis yang sebegitu. Itulah maksud taqwa, iaitu berhati-hati dengan segala perbuatan kita.

مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

ada pertanggungjawaban sedikit pun terhadap dosa mereka;

Orang yang bertaqwa tidak bertanggungjawab di atas dosa mereka yang memperolokkan ayat-ayat Allah‎ ﷻ itu. Namun begitu, mereka kena keluar dari majlis itu dan tidak boleh duduk bersama dengan mereka.

Sebelum ini disebut Nabi ﷺ tidak bertanggungjawab di atas amalan manusia, dan manusia juga tidak bertanggungjawab di atas amalan Nabi ﷺ. Sekarang diberitahu dalam ayat ini yang manusia juga tidak bertanggungjawab di atas amalan manusia yang lain. Sedikit pun tidak. Masing-masing akan dihisab atas amalan sendiri.

Jadi kalau para sahabat pergi ke Masjidil Haram atas sebab yang benar, maka mereka tidak bertanggungjawab atas kesalahan mereka yang buat salah kerana mereka pergi atas tujuan yang benar. Mereka tidak sertai pun perbuatan syirik golongan itu.

Maka ini menjawab persoalan golongan Sunnah yang risau untuk pergi ke masjid-masjid yang ada membuat amalan syirik dan bid’ah. Kita boleh sahaja pergi ke sana untuk salat jama’ah dan amalan-amalan soleh yang lain kerana kita pergi atas tujuan yang benar. Cuma jangan sertai sahaja amalan salah mereka itu.

وَلَٰكِن ذِكْرَىٰ

akan tetapi (kewajipan mereka ialah) mengingatkan

Cuma, mereka yang bertaqwa itu hendaklah memberikan peringatan kepada mereka yang telah berbuat salah dalam agama. Mudah-mudahan mereka yang mendengar nasihat itu akan menjadi takut.

Jadi, ada dua perkara yang perlu dilakukan oleh orang yang bertaqwa:

1. Tinggalkan majlis yang memperolokkan ayat Allah ‎ﷻ.

2. Beri peringatan dan tazkirah kepada mereka yang telah membuat salah itu.

Inilah yang berat, kerana manusia memang tidak suka jika ditegur. Mereka tetap mahu kekal dalam angan-angan yang amalan mereka itu benar belaka. Jadi kalau ada yang menegur, mereka tidak boleh terima dan mungkin akan marahkan kita pula.

Jadi kena pandai untuk memberi peringatan. Bukan dalam suasana mereka sedang bercakap-cakap sambil menentang ayat Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, katakanlah mereka sedang mempertikaikan ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi ﷺ satu majlis. Kita jangan terus beri peringatan kepada mereka di situ.

Waktu itu mungkin tidak sesuai. Dia mungkin ada kawan yang akan menyokongnya, orang pun ramai waktu itu dan kita pun tidak bersedia untuk memberikan hujah yang kemas pada waktu itu. Oleh itu, kena cari masa yang lain. Persiapkanlah apa yang kita hendak cakap dan kita cari dia untuk sampaikan peringatan.

Begitu juga kalau dengan majlis syirik dan majlis bid’ah. Jika kita tegur mereka waktu mereka sedang menjalankan majlis itu, mungkin mereka tidak dapat terima. Maka, carilah masa yang sesuai dan tabligh kepada mereka kenapa kita tinggalkan majlis itu dan kenapa kita tidak boleh bersama dengan mereka pada waktu itu.

Ayat ini memberitahu kepada kita, kita hanya tinggalkan mereka sekejap sahaja. Semasa mereka sedang melakukan kesalahan itu. Selepas itu ada kewajipan kepada kita untuk memberi peringatan kepada mereka. Maknanya, bukan kita boikot terus mereka.

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

agar mereka bertaqwa.

Semoga mereka mendengar apa yang kita nasihatkan kepada mereka dan sedar tentang kesalahan yang mereka telah lakukan itu dan menjadi orang yang bertaqwa. Kita hanya boleh sampaikan sahaja peringatan, tetapi selebihnya kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan