Utama At-Tazkirah Qurthubi Tahqiq Kitab At-Tazkirah Lil Qurthubi Bab 47: Pencabutan Roh dan Keadaan Kubur

Tahqiq Kitab At-Tazkirah Lil Qurthubi Bab 47: Pencabutan Roh dan Keadaan Kubur

206
0
Iklan

Tahqiq Kitab At Tazkirah lil Qurthubi

Kod/Bab 47: Hadith Al Barra’ yang masyhur seputar Pencabutan Roh dan keadaan Kuburnya

(باب ذكر حديث البراء المشهور الجامع لأحوال الموتى عند قبض أرواحهم و في قبورهم)

47-1 Hadith Al Barra’ bin Azib (Bahagian 1)

أخرجه أبو داود الطيالسي و عبد بن حميد في مسنديهما و علي بن معبد في كتاب الطاعة و المعصية . و هناد بن السرى في زهده . و أحمد بن حنبل في مسنده و غيرهم .
و هو حديث صحيح له طرق كثيرة تهمم بتخريج طرقه علي بن معبد . فأما أبو داود الطيالسي فقال : حدثنا أبو عوانة عن الأعمش . و قال هناد و أحمد : حدثنا أبو معاوية عن الأعمش عن المنهال عن عمرو ، و قال : أبو داود : حدثنا عمرو بن ثابت سمعه من المنهال بن عمرو عن زاذان عن البراء ـ يعني ابن عازب ـ و حديث أبي عوانة أتمهما

Dikeluarkan oleh Abu Daud Al Thayalisi (Basrah, w. 204H, Musnadnya No 753) dan Abd bin Humaid (murid Abu Daud Al Thayalisi, w. 249H, Basrah) dalam musnadnya (tidak wujud hadith ini dalam musnad Abd bin Hamid) dan Ali Al Ma’bad (Muhaddith Mesir, w. 218H) dalam kitabnya At Ta’ah Wal Maksiat, Hannad Al Sirri (w.243H, Kufah), kitab Az Zuhud, No 339; Imam Ahmad bin Hanbal (Musnad, No. 18,557), dan lain-lain.

Kata Al Qurthubi, ia hadith sahih, banyak sanad dan telah ditakhrij oleh Ali bin Ma’abad.
🔺Sanad Abu Daud Al Thayalisi daripada sanad Abu Awanah daripada Al A’masy.
🔺 Sanad Hannad dan Ahmad daripada sanad Abu Mu’awiyah daripada Al A’masy daripada Al Minhal daripada Amru.

Abu Daud (Al Thayalisi) berkata,”Diceritakan daripada ‘Amru bin Thabit daripada Al Minhal bin Amru daripada Zaazan daripada Al Barra bin Azib; Sanad Abu Awanah lebih lengkap”.

47-1 Hadith Al Barra’ bin Azib (Bahagian 2)

Pencabutan nyawa si mukmin

قال البراء : خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه و سلم في جنازة رجل من الأنصار فانتهينا إلى القبر ، و لما يلحد ، فجلس رسول الله صلى الله عليه و سلم و جلسنا حوله ، كأنما على رؤوسنا الطير ، قال عمر بن ثابت : وقع و لم يقله أبو عوانة ، فجعل يرع بصره و ينظر إلى السماء و يخفض بصره و ينظر إلى الأرض ، ثم قال : أعوذ بالله من عذاب القبر قالها مراراً ثم قال : إن العبد المؤمن إذا كان في إقبال من الآخرة و انقطاع من الدنيا ، جاءه ملك فجلس عند رأسه فيقول اخرجي أيتها النفس الطيبة إلى مغفرة من الله و رضوان فتخرج نفسه فتسيل كما يسيل قطر السقا قال : عمرو في حديثه ، و لم يقله أبو عوانة و إن كنتم ترون غير ذلك . و تنزل ملائكة من الجنة بيض الوجوه ، كأن وجوههم الشمس ، معهم أكفان من أكفان الجنة ، و حنوط من حنوطها . فيجلسون منه مد البصر فإذا قبضها الملك لم يدعوها في يده طرفة عين قال : فذلك قوله تعالى : توفته رسلنا و هم لا يفرطون قال : فتخرج نفسه كأطيب ريج وجدت ، فتعرج به الملائكة فلا يأتون على جند بين السماء و الأرض إلا قالوا : ما هذه الروح ؟ فيقال : فلان ، بأحسن أسمائه حتى ينتهوا به أبواب سماء الدنيا فيفتح له ، و يشيعه من كل سماء مقربوها حتى ينتهي إلى السماء السابعة ، فيقال : اكتبوا كتابه في عليين و ما أدراك ما عليون * كتاب مرقوم * يشهده المقربون فيكتب كتابه في عليين

Berkata Al Barra’: Pernah kami keluar bersama Rasulullah ﷺ menghantar jenazah seorang lelaki Anshar. Kami tiba di kuburan ketika liang lahad belum siap lagi. Maka Rasulullah ﷺ duduk dan kami juga turut duduk di sekeliling baginda dan kami tunduk seolah-olah ada burung di atas kepala-kepala kami. (Ini versi daripada perawi Amr bin Thabit tetapi tidak ada dalam versi Abu Awanah); Rasulullah ﷺ memandang ke langit dan kemudian memandang ke bumi kemudian berucap,” Aku berlindung kepada Allah ‎ﷻ daripada azab kubur” diulangi beberapa kali, kemudian menyambung,” Seseorang hamba yang mukmin yang sudah sampai ajal (akan meninggalkan dunia dan menempuhi akhirat), maka datanglah Malaikat dari arah kepalanya (Malakul Maut) yang menyeru,” Keluarlah hai jiwa yang suci menuju ampunan dan keredhaan-Nya.” Maka keluarlah rohnya seperti titisan air daripada bejana (ini lafaz Amr, tiada dalam versi Abu Awanah)
****
Kemudian turunlah para Malaikat yang berwajah putih laksana matahari membawa kain kafan dan wangian dari Syurga. Mereka duduk di tempat mayat sejauh mata memandang. Apabila Malakul Maut selesai mencabut roh mereka (para Malaikat yang baru turun) tidak membiarkan (roh itu) berada di tangan (Malakul Maut) walaupun sekejap.

Ini maksud firman Allah‎ ﷻ ‎: {تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ} Ia diwafatkan oleh Malaikat-Malaikat Kami, dan Malaikat-Malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajipannya.” [ Al An’am ayat 61 ]

Nabi ﷺ meneruskan,” Lalu roh si mukmin keluar dengan mengeluarkan bau yang paling harum di dunia, lalu dibawa naik oleh Malaikat dan setiap kali melewati kumpulan Malaikat yang berada di antara langit dan bumi, mereka akan bertanya, roh siapakah ini?” Maka Malaikat pembawa akan berkata roh si fulan dengan nama yang paling bagus. Roh itu akan dibawa Malaikat Muqarabbin melewati setiap pintu langit daripada yang terendah hingga yang tertinggi (langit ke-7) di sana akan dititahkan,” Tulislah buku catatannya di Illiyin.”
Firman Allah ‎: { وَمَا أَدْرَاكَ مَا عِلِّيُّونَ (19) كِتَابٌ مَرْقُومٌ (20) يَشْهَدُهُ الْمُقَرَّبُونَ (21)} Tahukah kamu apakah ‘Illiyyin itu? (Iaitu) kitab yang bertulis, yang disaksikan oleh Malaikat-Malaikat yang didekatkan (kepada Allah ‎ﷻ ).” [ Al Mutaffifin ayat 19-21 ]; Maka dicatat buku catatannya pada Illiyin.

47-1 Hadith Al Barra’ bin Azib (Bahagian 3)

ثم يقال : ردوه إلى الأرض فإني وعدتهم أني منها خلفتهم ، و فيها نعيدهم ، و منها نخرجهم تارة أخرى ، قال : فيرد إلى الأرض ، و تعاد روحه في جسده ، فيأتيه ملكان شديدا الانتهار فينتهرانه و يجلسانه ، فيقولان من ربك ؟ و ما دينك ؟ و من نبيك ؟ فيقول ربي الله و ديني الإسلام ، فيقولان : فما تقول في هذا الرجل الذي بعث فيكم ؟ فيقول : هو رسول الله . فيقولان : و ما يدريك ؟ فيقول : جاءنا بالبينات من ربنا فآمنت به و صدقت قال : و ذلك قوله تعالى : يثبت الله الذين آمنوا بالقول الثابت في الحياة الدنيا و في الآخرة قال : و ينادي منادي السماء أن قد صدق عبدي فأفرشوه من الجنة و ألبسوه من الجنة و أروه منزله منها و يفسح له مد بصره . و يمثل عمله له في صورة رجل حسن الوجه طيب الرائحة حسن الثياب فيقول : أبشر بما أعد الله لك ابشر برضوان من الله و جنات فيها نعيم مقيم فينقول : بشرك الله بخير ، من أنت فوجهك الوجه الذي جاء بالخير ؟ فيقول : هذا يومك الذي كنت توعد ، أو الأمر الذي كنت توعد أنا عملك الصالح فو الله ما علمتك إلا كنت سريعاً في طاعة الله بطيئاً عن معصية الله فجزاك الله خيراً . فيقول يا رب أقم الساعة كي أرجع إلى أهلي و مالي

“Kemudian diperintahkan,”Kembalikan dia ke bumi kerana Aku telah berjanji kepada mereka bahawa dari bumi Aku ciptakan mereka, kepada bumi Kami kembalikan dan dari (perut) bumi Kami bangkitkan dia semula.” Maka roh dikembalikan ke bumi yakni dimasukkan kembali kepada jasadnya. Kemudian datanglah dua Malaikat yang menengking dengan keras supaya mayat itu duduk dan mengemukakan beberapa soalan: “Siapa Tuhan kamu, Apa agamamu, siapa Nabi-mu? Lantas dia (si mayat) menjawab: “Allah‎ ﷻ Tuhanku, Islam agamaku.” Kemudian Malaikat bertanya lagi,” Apa yang kamu ketahui tentang lelaki yang diutus kepada kamu?” Dia menjawab,” Beliau adalah Rasulullah ﷺ ” Malaikat bertanya lagi,” Bagaimana kamu mampu mengetahuinya?” mayat menjawab,” Beliau datang membawa bukti-bukti (kenabian dan risalah) dan aku beriman dan membenarkannya.”
Malaikat berkata,” Itulah maksud firman Allah ‎ﷻ: Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; [ Surah Ibrahim ayat 27 ]

يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ

Kemudian terdengar seruan dari langit,“Benarlah hamba-Ku, maka hamparkanlah hamparan dari Syurga, berikan dia pakaian Syurga dan pratontonkanlah tempatnya di Syurga itu.”

Kemudian kuburnya dilapangkan sejauh mata memandang. Amal solehnya ditukar menjadi seorang lelaki yang kacak, harum badannya dan bagus pakaiannya. Lelaki itu berkata kepada mayat, “Bergembiralah dengan apa yang Allah ‎ﷻ sediakan buat kamu, bergembiralah dengan keredhaan Allah‎ ﷻ dan Syurga yang kekal nikmatnya

Mayat bertanya, “Allah ‎ﷻ telah menggembirakan kamu dengan kebaikan, tetapi siapakah kamu? wajah kamu wajah yang membawa kebaikan”

Lelaki itu menjawab,“Inilah hari yang pernah dijanjikan buat kamu dulu, aku adalah amal solehmu, demi Allah‎ ﷻ aku hanya mengenal kamu sebagai orang yang cepat melakukan ketaatan dan lambat dalam bermaksiat kepada-Nya. Semoga Allah ‎ﷻ membalas dengan baik kepadamu.”

Kemudian si mayat berkata,” Wahai Tuhanku, datangkan (segerakanlah) Kiamat supaya aku dapat bertaut kembali kepada keluargaku dan harta ku.”

#Ilmu
#Amal
#Prihatin

 

 

Komen dan Soalan