Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-64 hingga Ke-66

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-64 hingga Ke-66

231
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-64

Ajakan dakwah kepada Ahli Kitab.

Ayat ini menyuruh kita ajak Ahli Kitab kepada Kitab yang sebenarnya iaitu Al-Qur’an. Ajak mereka kepada perkara yang tidak ada perselisihan antara kita dan mereka. Oleh itu kena ajak kepada tauhid, kerana kalau lihat kepada syariat, Taurat lain, Injil lain dan Al-Qur’an pun lain namun ketiga-tiga kitab ini mempunyai persamaan dari segi akidah.

Apabila mengajak mereka, jangan pula menggunakan fatwa ulama’ mereka yang salah kerana salah mereka bukanlah pada kitab itu, kerana kitab itu benar tetapi ulama’ mereka yang telah menyelewengkan agama dengan memberi syarah yang lain daripada yang sepatutnya.

Oleh itu, jangan gunakan fatwa yang melawan wahyu. Begitu juga dengan masyarakat kita, kena gunakan fatwa yang selari dengan wahyu. Kena bandingkan kata-kata manusia dengan wahyu. Kalau selari dengan wahyu barulah boleh boleh digunakan.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain  Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,

Ajak mereka kepada kalimah akidah yang sama kerana sebenarnya akidah kita sepatutnya sama sahaja dengan mereka. Walaupun bangsa Arab daripada keturunan Nabi Ismail عليه السلام dan mereka daripada keturunan Nabi Ishak عليه السلام, tetapi akidah Nabi-Nabi mereka dan Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Kalau dilihat dalam ajaran Nabi mereka dan dalam kitab-kitab suci mereka, pun ada perkara yang sama dalam hal akidah. Nabi Muhammad ﷺ tidaklah pernah tahu atau pernah baca apa yang ada dalam kitab-kitab mereka, tetapi Allah ‎ﷻ telah beritahu baginda bahawa ada persamaan dalam hal akidah antara kita dan mereka. Alhamdulillah, ulama’-ulama’ kita yang mengkaji kitab-kitab suci mereka, walaupun yang ada sekarang, masih ada lagi lafaz-lafaz ajaran tauhid di dalamnya.

Kalaulah mereka boleh menerima ajakan ini, maka tidaklah ada permusuhan antara agama lagi.

Lafaz ‘Ahli Kitab’ juga boleh dikatakan mereka yang ada pengetahuan agama; bukan sahaja Yahudi dan Kristian. Oleh itu, ia boleh merujuk kepada ustaz-ustaz dan ulama’ Islam di negara kita. Mereka pun kita kena ajak juga. Kadangkala kerana mereka sudah lama belajar ajaran pondok dan sudah jauh daripada ajaran wahyu, mereka pun sudah lari daripada akidah yang benar. Antaranya, ramai yang ajar bertawassul dengan para wali pula. Ini tidak boleh.

Apakah perkara-perkara yang sama dalam agama kita dan mereka?

أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ

iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah,

Apa yang sama? Iaitu kita semua sepatutnya hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kepada Yahudi dan Nasara, ingatkan mereka supaya jangan puja Nabi Uzair عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام. Jangan seru dan minta pertolongan dengan mereka.

Ia juga boleh didakwah kepada Musyrikin Mekah juga kerana nama Allah ‎ﷻ ini sudah lama digunakan oleh orang Arab dahulu. Sampai sekarang, orang Arab Kristian juga menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka (God the Father).

Kalau kepada ahli agama negara ini, kita ajak mereka berdoa terus seru kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan seru para Nabi, wali dan malaikat dalam berdoa.

وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا

dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun;

Jangan campur pujaan kepada Allah ‎ﷻ dengan pujaan kepada yang lain. Maknanya, jangan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, kita sendiri kena faham apa tauhid dan syirik, baru boleh dakwah kepada mereka.

Ramai orang Islam sendiri yang tidak faham tauhid dan apakah syirik itu. Kerana itulah ramai yang melakukan perbuatan dan mempunyai fahaman syirik kerana mereka tidak faham. Ini semua kerana jauh daripada pengajaran wahyu. Manusia sudah tidak kaji wahyu Al-Qur’an dan apa yang dimaksudkan dengan tauhid yang sebenarnya.

وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ

dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain sebagai rabb-rabb selain daripada Allah

Jangan sembah dan puja makhluk-makhluk Allah ‎ﷻ sebagai rabb. Juga jangan jadikan mereka sebagai ‘wakil Tuhan’. Mereka pun manusia macam kita juga. Itulah maksud ‘sebahagian daripada kita’ – merujuk kepada makhluk-makhluk Allah ‎ﷻ.

Namun mereka ada juga berdalih. Mereka kata mereka tidak jadikan selain Allah ‎ﷻ itu, tuhan yang lain. Maka kena belajar tafsir baru faham ayat ini. Ini kerana maksud أَرْبَابًا dalam ayat ini adalah ulama’ dan ahli ibadat. Kalau tidak, memang akan keliru.

Oleh sebab itu mereka berhujah yang mereka kata mereka tidak sujud pun kepada ulama’-ulama’ mereka itu. Mereka sangka kalau ‘sembah’ itu hanya dengan sujud sahaja. Inilah hujah yang diberikan oleh Adi bin Hatim رضي الله عنه, seorang sahabat yang asalnya adalah Kristian. Beliau kata, dalam agama Nasara, mereka tidak menjadikan rahib dan pendeta mereka sebagai tuhan tetapi Nabi ﷺ kata mereka ikut fatwa yang dikeluarkan oleh mereka, dan fatwa itu tidak sama dengan kitab suci mereka. Barulah Adi bin Hatim رضي الله عنه faham dan bersetuju masuk agama Islam.

Begitulah penganut agama mereka susah hendak dibaiki sebab mereka memegang kata-kata daripada ulama’ mereka dan tidak belajar sendiri kitab suci mereka sendiri. Sama jugalah dengan orang kita yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Apa-apa sahaja yang dikatakan oleh ulama’ dan ustaz, mereka terima bulat-bulat dan tidak periksa dengan apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an kerana mereka sendiri tidak faham disebabkan tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Allah ‎ﷻ berfirman tentang kaum Nasrani dan Yahudi;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” (At Taubah : 31)

Ayat ini ditafsirkan dengan hadith Adi bin Hatim Ath Thoo-i  رضي الله عنه di mana Rasulullah ﷺ membacakan ayat tersebut kepada beliau. Kemudian beliau berkata : “Wahai Rasulullah, kami tidaklah beribadah kepada mereka”. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda,

أليس يحلون لكم ما حرم الله فتحلونه، ويحرمون ما أحل الله فتحرمونه؟

“Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa yang Allah haramkan sehingga kalian pun menghalalkannya, dan mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan sehingga kalian mengharamkannya?”. Beliau (Adi bin Hatim) berkata : “Benar”. Maka Rasulullah ﷺ bersabda,

فتلك عبادتهم

“Itulah (yang dimaksud) beribadah kepada mereka”

Mereka sampai sekarang mengambil “saints” yang mereka kata boleh menyelamatkan mereka. Mereka ada “saints “untuk menjaga keselamatan mereka, “saints” yang pelbagai lagi. Mereka percaya yang “saints” itu menjaga mereka kalau mereka memuja mereka.

Kalau dalam agama Islam pula, “saints” ini umpama seperti para wali. Ada golongan sesat kata ada wali jaga masa, jaga kutub utara, jaga kutub selatan, jaga Malaysia, jaga daerah ini dan sebagainya. Inilah ajaran karut yang telah masuk dalam kalangan umat Islam Malaysia kerana sudah lama jauh daripada wahyu.

Kalau pada zaman dahulu, kekuatan institusi keagamaan puak Nasara amat kuat sampaikan Paus (Pope) boleh mengampunkan dosa orang lain. Mereka mempunyai tanah dan seperti ada kerajaan sendiri. Mereka sehingga menindas orang-orang yang memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan gereja menyebabkan terjadinya revolusi yang mengakibatkan kuasa mereka telah dikurangkan.

Itu semua asalnya kerana mereka meletakkan kuasa ketua agama mereka terlalu tinggi hinggakan menyebabkan perubahan kepada agama. Kita juga kena berhati-hati dengan apa yang terjadi kepada mereka, supaya kita pun tidak terjadi seperti mereka. Kata-kata ulama’ tidak bernilai sama sekali kalau ia bercanggah dengan nas daripada Al-Qur’an dan Sunnah tetapi entah berapa ramai yang bila berhujah, menggunakan nama manusia (Ulama’ dan ustaz itu dan ini).

فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

Kalau mereka tolak juga, suruh mereka bersaksi yang kita adalah muslimin iaitu kita muwahhidun – yang menjaga tauhid. Kita tidak sama dengan mereka. Maknanya, kita tetapkan pendirian kita, kalau mereka tidak mahu ikut, itu terpulang kepada mereka. Mereka hendak buat apa, buatlah, tetapi kita tetap berserah diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ.

Ini adalah peringatan kepada kita, jangan terima langsung agama mereka. Kalau mereka tidak terima, janganlah kita pula yang cuba hendak bersama dengan mereka. Ini kerana sekarang sudah ada gerakan yang hendak menyatukan agama Islam, Kristian dan Yahudi. Antaranya golongan Liberal yang kata: ‘Sama sahaja semua agama’.

Bukan begitu cara yang Allah ‎ﷻ mahu. Kita ajak mereka, tetapi kalau mereka tidak mahu, tidaklah kita kena cari persamaan dengan agama mereka dan duduk bersama dengan mereka. Selama-lamanya agama mereka tidak akan dapat diterima oleh kita. Hanya ada satu agama yang diterima oleh Allah ‎ﷻ, iaitu Islam.

Tafsir Ayat Ke-65

Ayat-ayat seterusnya akan menyebut lima kedegilan Ahli Kitab yang menghalang mereka untuk menerima tauhid setelah diajak kepada tauhid. Selepas diberitahu dengan dalil-dalil yang sah, mereka masih berdegil juga. Antara sebab mereka susah hendak ikut itu adalah kerana lima kemusykilan ini.

Pertama, mereka kata agama Islam ini adalah agama rekaan Nabi Muhammad ﷺ . Mereka susah untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ. Mereka memperkecilkan baginda kerana mereka melihat bangsa Arab Mekah sebagai bangsa yang buta huruf, tidak tahu membaca, tidak ada Kitab suci dan tidak ada agama sebelum itu. Mereka rasa mereka sudah pandai dan tidak pandang apa-apa sahaja yang datang daripada orang Arab.

Sekarang Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang agama Nabi Muhammad ﷺ inilah yang sama dengan agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka pun terima Nabi Ibrahim  عليه السلام juga sebagai salah seorang Rasul yang besar dan utama. Maka mereka kena terimalah yang Bangsa Arab itu tidaklah hina kerana orang Arab pun keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام dan juga daripada jaluran Nabi Ismail عليه السلام.

Sekarang kita dengar rungutan Allah ‎ﷻ tentang sifat degil mereka. Mereka itu memang degil sejak dahulu lagi.

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرٰهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ ٱلتَّورَٮٰةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرٰهِيمَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani berhujah tentang Nabi Ibrahim,

Teguran pertama kepada mereka adalah: kenapa berdalil dengan menggunakan Nabi Ibrahim عليه السلام? Ini adalah kerana masing-masing Yahudi dan Nasara kata yang Nabi Ibrahim عليه السلام itu agama Yahudi atau Nasara. Mereka berbantah sesama mereka. Mereka hendak tuntut Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mereka sahaja. Mereka hendak kata amalan mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام (padahal tidak pun).

Dikatakan bahawa ayat ini diturunkan ketika terjadi pertemuan antara tiga pihak – Islam, Nasrani dan Yahudi ketika kedatangan puak Nasrani dari Najran itu. Puak Yahudi kata Nabi Ibrahim عليه السلام itu Yahudi dan puak Nasrani Najran pula kata yang Nabi Ibrahim عليه السلام itu Nasrani. Masing-masing hendak mengaku pula bagi pihak Nabi Ibrahim عليه السلام.

وَمَا أُنزِلَتِ ٱلتَّورَٮٰةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ

padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan selepasnya;

Bagaimana mereka hendak berhujah yang Nabi Ibrahim عليه السلام itu Yahudi atau Nasara, sedangkan Taurat dan Injil turun selepas wafatnya Nabi Ibrahim عليه السلام. Bagaimana hendak kata baginda ikut Taurat atau Injil? Sedangkan Yahudi dan Nasara itu agama rekaan mereka dan Nabi Ibrahim عليه السلام tidak tahu menahu pun. Baginda sudah lama wafat sebelum itu. Jadi tidak ada kena mengena dengan baginda.

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

kenapa kamu tidak mahu menggunakan akal?

Allah ‎ﷻ tegur mereka: Mereka itu tidak fikir dan menggunakan akalkah? Kenapa guna hujah yang amat bodoh? Maka dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ minta mereka tolonglah guna akal. Cuba fikir balik hujah kamu itu.

Tafsir Ayat Ke-66

هَـٰٓأَنتُم هَٰؤُلَاءِ حٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.

هَـٰٓأَنتُم هَٰؤُلَاءِ حٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ

Kamu semua telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya

Tolong dengar wahai Ahli Kitab semua. Sepatutnya kamu semua berhujah pada perkara yang kamu tahu. Itu pun kamu sudah berbantah-bantah sesama kamu. Benda yang patut kamu tahu pun (sebab sudah ada dalam kitab kamu) kamu berbantah.

فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ

maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun dengannya?

Kenapa berhujah pada perkara yang kamu tidak ada ilmu? Antaranya mereka berbantah tentang Nabi Ibrahim عليه السلام seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

Ini mengajar kita supaya apabila hendak berhujah, mesti ada dalil, mesti pada perkara yang kita ada ilmu tentangnya. Namun, memang golongan Ahli Kitab itu suka berbantah. Yang mereka tahu pun mereka berbantah sesama sendiri, ditambah pula dengan perkara yang mereka tidak ada ilmu tentangnya.

Apakah hujah mereka? Mereka kata Nabi Isa عليه السلام boleh diseru dan ia adalah ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Yahudi kata begitu juga tentang Nabi Uzair عليه السلام. Masing-masing menggunakan hujah Nabi Ibrahim عليه السلام untuk membolehkan amalan salah mereka. Mereka memandai-mandai sahaja mereka dalil.

وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang mereka itu sebenarnya tidak tahu mazhab Nabi Ibrahim عليه السلام bagaimana. Mereka hanya memandai-mandai sahaja memperkatakan sesuatu yang mereka tidak ada ilmu tentangnya. Mereka reka amalan dan kemudian kata itu ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Maknanya mereka menfitnah Nabi Ibrahim عليه السلام dengan mengatakan yang Nabi Ibrahim عليه السلام buat sama seperti apa yang mereka lakukan. Ini sama dengan golongan agama masyarakat kita yang reka amalan baru dan kata ia sebahagian daripada agama. Bila dimintakan dalil, maka dalil yang mereka sendiri reka mereka gunakan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan