Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-54 hingga Ke-58

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-54 hingga Ke-58

2603
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imaran

Tafsir Ayat Ke-54

Sekarang kita lihat tentang pihak lawan pula.

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ

Dan mereka merancang tipu daya dan Allah pun merancang

Ini adalah tentang rancangan pemuka Yahudi yang jahat. Mereka telah membuat rancangan yang halus dan terperinci. Kalimah مَكَرَ tidak semestinya untuk rancangan yang jahat sahaja. Cuma dalam ayat ini mengenai rancangan jahat mereka untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام.

Mereka menghasut Raja Rom dengan menuduh Nabi Isa عليه السلام dan kumpulan baginda membuat perancangan untuk mengguling kerajaan. Mereka hendak membunuh Nabi Isa عليه السلام tetapi tidak mampu untuk membunuhnya sendiri. Maka ‘orang dalam’ yang duduk bersama dengan halaqah Nabi Isa عليه السلام sendiri telah menjadi dalang semata-mata untuk menjadi saksi (saksi palsu) yang kononnya Nabi Isa عليه السلام ada berkata sesuatu yang boleh dijadikan sebagai bukti baginda ingin menggulingkan kerajaan Rom.

Perkara sebegini biasa juga berlaku pada zaman sekarang. Ada yang sanggup menjadi tali barut, ‘api dalam sekam’ demi untuk mengalahkan pergerakan umat Islam.

Allah ‎ﷻ pula merancang dan tentunya Allah ‎ﷻ lebih licik lagi dalam merancang.

وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ

dan Allah sebaik-baik yang merancang

Rancangan mereka belum tentu berjaya tetapi rancangan Allah ‎ﷻ sudah pasti akan berjaya. Akhirnya nanti Allah ‎ﷻ memberikan keselamatan kepada Nabi Isa عليه السلام.

Maka bergantunglah sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Orang kafir yang menjadi musuh Islam mungkin banyak rancangan mereka hendak menjatuhkan Islam, yang kita pun tidak tahu. Apa lagi yang kita boleh buat selain daripada mengharap dan menyerahkan segala urusan kepada Allah ‎ﷻ? Ingatlah bahawa rancangan mereka tidak akan berjaya kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan.

Tafsir Ayat Ke-55

Ini adalah Ayat Tasliah untuk memujuk hati Nabi Isa عليه السلام. Ini sebelum baginda diangkat ke langit.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ وَرافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ ۖ ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu daripada orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutimu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan”.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna,

Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia akan ambil semua sekali roh dan jasad Nabi Isa عليه السلام. Itulah maksud lafaz مُتَوَفّيكَ dalam ayat ini. Ayat ini sebagai dalil yang Allah ‎ﷻ tidak mematikan Nabi Isa عليه السلام tetapi telah mengangkat baginda ke langit.

Malangnya ada pula yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk hujah dangkal mereka untuk mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati. Kalau yang kata itu orang kafir, tidaklah mengapa, kita tahu mereka bagaimana tetapi apabila orang Islam yang kata begitu, kita kena jelaskan.

Yang mereka salah faham adalah kerana penggunaan lafaz مُتَوَفِّيكَ yang datangnya dari kata dasar وفي yang boleh membawa banyak maksud. Maksud yang selalu digunakan dalam Al-Qur’an adalah ‘beri dengan penuh’ atau ‘ambil dengan penuh’. Orang yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati itu keliru kerana mereka kata perkataan وفي itu bermaksud ‘wafat’. Memang kalimah ‘wafat’ digunakan juga untuk mati, tetapi ia adalah lafaz kiasan sahaja (untuk mati dan untuk tidur). Maknanya, tidur pun ada Allah ﷻ gunakan kalimah ‘wafat’ juga.

Ini tidak benar kerana kalau hendak memberikan makna mati, dalam Al-Qur’an digunakan perkataan mawt/maut. Apabila mawt, Allah ‎ﷻ tidak ambil semua sekali, kerana Allah ‎ﷻ akan tinggalkan jasad di bumi, bukan? Namun, dalam kes Nabi Isa عليه السلام, Allah ﷻ ambil roh dan jasad sekali.

وَرافِعُكَ إِلَيَّ

dan mengangkatmu ke sisi-Ku,

Allah ‎ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام kepada-Nya. Ini juga dalil yang Allah ‎ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام ke langit (untuk satu tempoh). Yang kata Nabi Isa عليه السلام telah mati itu berhujah, ayat ini kononnya bermaksud ‘darjat’ Nabi Isa عليه السلام yang diangkat.

Ini tidak benar kerana kalau darjat yang dimaksudkan, perkataan ‘darjat’ akan diletakkan sekali seperti yang ada dalam banyak ayat-ayat tentang darjat. Namun begitu tidak ada kalimah ‘darjat’ digunakan dalam ayat ini, kerana Allah ‎ﷻ kata Dia angkat baginda ke sisi-Nya sahaja.

Oleh itu, berhati-hatilah apabila membaca ajaran atau teori yang pelik-pelik walaupun datang daripada orang Islam sendiri kerana ada yang keliru kerana salah belajar. Tambahan pula sekarang banyak sangat maklumat yang dibaca di internet yang tidak dipantau oleh ilmuan yang layak.

Dalam akidah ahli sunnah, kita berakidah yang Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan diturunkan semula. Ini disokong oleh hadis-hadis yang amat banyak. Baginda bukan turun sahaja tetapi diberitahu yang baginda akan membunuh Dajjal. Jadi walaupun ia adalah termasuk dalam furu’ aqidah (cabang akidah), namun inilah akidah yang benar. Pandangan yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah wafat adalah pandangan yang amat lemah.

وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا

dan membersihkanmu daripada orang-orang kafir,

Allah ‎ﷻ mensucikan Nabi Isa عليه السلام daripada tohmahan orang kafir Yahudi yang kata baginda adalah anak zina. Golongan Yahudi kata baginda bukan Nabi, sebaliknya adalah anak zina kerana lahir tanpa bapa. Padahal itu adalah mukjizat Nabi. Maka, dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ telah membersihkan nama Nabi Isa عليه السلام.

Dan berbagai-bagai lagi tuduhan yang tidak benar tentang baginda yang dibersihkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an. Antaranya, tuduhan Nasara yang mengatakan baginda itu tuhan atau anak tuhan. Itu pun disucikan oleh Allah ﷻ.

‘Sucikan’ juga bermaksud Allah ‎ﷻ menyucikan baginda dalam kalangan mereka yang menentang baginda. Allah ‎ﷻ mengangkat baginda dalam kalangan mereka yang jahat itu. Allah ﷻ selamatkan baginda daripada golongan yang hendak membunuh baginda. Kemudian nanti baginda akan diberikan dengan golongan yang lebih baik daripada mereka.

وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir, hingga ke hari kiamat.

Allah ‎ﷻ akan meninggikan kedudukan mereka yang mengikuti baginda lebih daripada orang kafir. Mereka yang ikut Nabi Isa عليه السلام akan menjadi ahli syurga dan selamat di akhirat kelak. Apakah maksudnya? Ini penting ditafsirkan kerana kalau tidak, kalau dibaca literal sahaja, akan menyebabkan kekeliruan pula. Memang ayat ini disebut-sebut oleh golongan Kristian bila berhujah dengan umat Islam.

Kalau pada zamannya, mereka yang dimaksudkan adalah pengikut baginda seperti golongan Hawariyyun itu. Untuk zaman kita pula, yang dimaksudkan adalah pengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Isa عليه السلام pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ juga nanti apabila baginda diturunkan kembali ke dunia.

Kalau Nabi Isa عليه السلام sendiri pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka yang mengaku sebagai pengikut Nabi Isa عليه السلام pun kenalah begitu juga. Sedangkan dalam Kitab Injil sendiri pun ada tertulis, yang apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat sebagai Rasul, semua kena ikut Nabi Muhammad ﷺ. Kita dapat tahu tentang perkara ini sebab ada disebut di dalam Surah Saff. Kalau dalam Bible sekarang, mungkin tidak jelas kerana Bible sekarang bukanlah Kitab Injil yang sebenar.

Jadi jangan percaya dengan kaum Kristian yang mengatakan ini bukti merekalah yang benar. Mereka menggunakan ayat ini dan mereka kata mereka lebih tinggi daripada orang Yahudi kerana mereka pengikut Nabi Isa عليه السلام. Mereka juga berhujah, ‘Lihatlah dalam Qur’an pun kata kedudukan mereka tinggi sampai Hari Kiamat’.

Namun ini adalah sangkaan mengarut mereka sahaja kerana mereka langsung tidak mengikut ajaran Nabi Isa عليه السلام, malahan membuat syirik dengan memuja baginda pula. Lalu bagaimana pula boleh dikatakan mereka mengikut baginda? Memang mereka sayangkan baginda, tidak dinafikan, tetapi mereka tidak mengikut pun ajaran baginda. Ada beza antara ‘sayang’ dan ‘ikut’.

ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم

Kemudian kepada Aku-lah tempat kembalinya kamu,

Allah ‎ﷻ mengingatkan semua manusia dan jin bahawa akhirnya kita semua akan mati dan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ akan lakukan terhadap kita waktu itu?

فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

lalu Aku memberi keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan

Allah ‎ﷻ akan membuat keputusan secara ‘amali’ (secara praktikal, bukan secara teori) dan memisahkan mana pihak yang benar dan mana yang salah. Jadi perselisihan ini adalah antara golongan engkar dan golongan yang di atas al-haq (kebenaran). Yang benar akan dimasukkan ke syurga dan yang salah akan dimasukkan ke neraka.

Itulah cara amali untuk tunjuk mana yang benar dan mana yang salah. Waktu itu, tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi, kerana kalau kita berada di pihak yang salah, kita tidak dapat kembali ke dunia untuk memperbetulkannya kerana itu sudah di akhirat dan tidak akan kembali lagi ke dunia.

Namun secara teori, Allah ‎ﷻ telah menunjukkan mana benar dan mana yang salah dalam Al-Qur’an. Ini penting, kerana tidak mungkin hendak kena tunggu di akhirat nanti baru tahu mana yang benar dan mana yang salah, bukan? Allah ‎ﷻ sudah beritahu di dunia lagi, dengan sejelas-jelasnya (kepada yang belajar) maka tidak perlu tunggu sampai akhirat untuk tahu mana yang benar.

Kalau ikut hujah yang disampaikan oleh Al-Qur’an semasa di dunia, maka akan masuk syurga. Maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an dengan kemas, supaya ia menjadi hujah dan panduan bagi kita.

Tafsir Ayat Ke-56

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.

فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Adapun orang-orang kafir, maka Aku akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat,

Ini pula adalah nasib mereka yang kafir kerana kedegilan mereka menolak kebenaran. Mereka juga tidak hiraukan ilmu wahyu maka mereka jadi sesat di dunia. Mereka akan diseksa di dunia dan di akhirat.

Di dunia lagi mereka akan mendapat seksaan jiwa secara individu dan secara kelompok, mereka akan dikalahkan dalam peperangan. Hati mereka juga tidak tenang kerana mereka menolak kebenaran yang sudah ada dalam diri mereka.

وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong

Tidak ada sesiapa pun yang akan membantu mereka apabila Allah ﷻ telah buat keputusan terhadap mereka. Ramai yang salah sangka termasuklah golongan Kristian/Nasara. Mereka sangka Nabi Isa عليه السلام tentu akan bantu mereka kerana mereka sentiasa memuja baginda, namun itu semua adalah sangkaan yang tersasar jauh.

Tafsir Ayat Ke-57

Ini pula adalah ayat tabshir.

وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka;

Sekali lagi digunakan kalimah ‘wafat’ dalam ayat ini. Maksudnya adalah pemberian yang sempurna. Balasan kebaikan akan diberi dengan sempurna – malah akan diberi lebih daripada amalan hamba itu. Bayangkan, kita hidup 60 tahun sahaja di dunia dan beramal pun bukan sepanjang kita hidup pun, tetapi kita dapat tinggal di syurga selama-lamanya. Memang lebih sangatlah apa yang ahli syurga dapat.

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Iaitu zalim yang tidak meletakkan perkara pada tempatnya. Zalim yang biasa kita faham adalah seperti menindas orang lain. Namun begitu, zalim yang paling besar adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan mendapat balasan yang buruk.

Tafsir Ayat Ke-58

Ayat ini adalah jenis yang dinamakan Jumlah Mu’taridah. Iaitu dimasukkan perkara yang seperti tidak ada kena mengena dengan rentetan ayat-ayat yang sebelumnya. Tiba-tiba sahaja semasa sebut kisah Nabi Isa, masuk kepada firman Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Allah hendak menegaskan bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah benar seorang Rasul kerana kalau baginda bukan Nabi, baginda tidak akan tahu kisah-kisah ini semua. Orang biasa tidak akan dapat tahu kisah ini.

ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ وَالذِّكرِ الحَكيمِ

Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian daripada hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan daripada Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat – (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).

ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ

Demikianlah, Kami bacakan ke atas engkau daripada ayat-ayat

Segala kisah yang telah disampaikan itu diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai hujah baginda berhadapan dengan Kristian Najran. Allah telah beri hujah-hujah kepada baginda daripada wahyu-Nya.

وَالذِّكرِ الحَكيمِ

dan daripada Al-Qur’an yang penuh dengan hikmah-hikmah

Ia hujah yang datang daripada Al-Qur’an yang mengandungi kebijaksanaan. Ia mengandungi jawapan-jawapan yang bernas terhadap pertanyaan dan tohmahan daripada Kristian Najran yang datang hendak berhujah dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Dengan mempelajari ayat-ayat itu, sepatutnya orang Kristian tahu bahawa apa yang mereka anuti itu adalah salah sama sekali. Maka kerana itu ramai orang Kristian yang masuk Islam setelah diberikan dengan hujah-hujah wahyu.

Ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi nasihat-nasihat yang bijaksana tentang kebenaran dan bagaimana cara menjalani kehidupan di dunia ini dengan baik. Maka hendaklah kita mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Al-Qur’an ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan