Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-267 hingga Ke-269

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-267 hingga Ke-269

681
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-267

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ ۖ وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Dengarlah wahai orang-orang yang beriman. Ini adalah ajaran daripada Allah ‎ﷻ tentang cara infak.

أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم

Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik,

Ini syarat yang kena ada. Barang yang kita infaq itu mestilah barang yang baik-baik. Barang yang boleh digunakan dan masih boleh dipakai lagi. Boleh digunakan oleh orang yang diberi. Ia juga kenalah sesuai dengan orang yang diberi. Jangan beri baju perempuan kepada orang lelaki, contohnya.

Jangan berikan infaq daripada harta yang haram, contohnya hartanya yang didapati dengan cara yang haram. Malangnya, dalam masyarakat, ada yang dapatkan harta dengan cara haram dan konon hendak bersihkan harta itu, mereka derma sedikit.

Ada juga orang Islam (di negara lain) yang jual arak, selamba sahaja dan sekali sekala mereka akan derma dan sedekah kepada masjid. Sepatutnya tidak boleh diterima infaq itu kalau kita tahu dari mana sumbernya.

وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ

dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Berikanlah daripada sumber rezeki yang Allah ‎ﷻ sendiri yang telah beri kepada kita. Allah ‎ﷻ berikan rezeki yang banyak kepada kita supaya kita dapat salurkan kepada orang lain yang memerlukan.

وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ

Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu infaqkan

Jangan sengaja memilih yang buruk daripada barang yang hendak diberi itu. Contohnya, sengaja pilih kambing yang buruk-buruk daripada banyak-banyak kambing atau baju yang buruk-buruk yang kita memang hendak buang pun, yang tidak boleh dipakai lagi.

وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ

padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, kecuali dengan memejamkan mata padanya.

Jangan beri barang yang kita sendiri pun tidak mahu kalau diberi oleh orang. Kita terima pun dengan pejam mata kerana tidak suka dengan apa yang diberi. Maksudnya, barang itu kalau diberikan kepada kita pun, kita tidak mahu terima, tetapi ambil sahaja sebab orang sudah beri.

Atau, pejam mata itu adalah daripada pihak yang memberi kerana dia sendiri malu kepada pemberi. Dia malu sebab dia sendiri tahu barang yang dia beri itu tidak ada nilai. Namun jangan kata: “Tapi aku bagi orang itu ambik!” Kena faham yang orang yang diberi itu kadangkala ambil juga sebab orang sudah beri, ambil jugalah. Itulah maksudnya. Maknanya, buruk sangat benda yang diberikan itu tetapi ambil kerana jaga hati orang yang memberi sahaja.

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Allah ‎ﷻ Maha Kaya dan tidak perlukan infaq kita itu, bukan Allah ‎ﷻ hendak pakai pun. Allah ‎ﷻ suruh infaq itu bukan kerana Dia yang mahu. Tetapi Allah‎ ﷻ hendak beri peluang kepada kita untuk buat dan kumpul pahala.

Allah ‎ﷻ sudah sempurna dan tidak perlukan ibadat kita. Kalau kita tidak buat amal ibadah pun Allah ‎ﷻ tetap mulia. Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk infaq untuk kebaikan kita sebenarnya. Maka, ambillah peluang itu.

Tafsir Ayat Ke-268

Ayat ini memberitahu kita, kalau tidak infaq, termasuk dalam golongan syaitan.

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan

Syaitan bisik kepada kita: [kalau kita beri sedekah, infaq, derma, nanti duit kita akan habis. Keadaan ekonomi susah sekarang, baik simpan duit. Jangan tolong orang sangat… bukan orang tolong kita pun….] dan macam-macam lagi hasutan daripada syaitan supaya kita tidak infak.

وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ

dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji

Syaitan hanya menyuruh kepada melakukan perbuatan dosa dan perkara yang memalukan. Dalam ayat ini bermaksud ‘kedekut’ kerana memang kedekut adalah satu sifat yang memalukan. Ini kerana ia suatu sifat yang tidak patut ada pada orang yang baik. Satu dunia tahu yang kedekut adalah sifat yang buruk, hatta orang kafir pun tahu.

Lihatlah dalam ayat ini, disebut syaitan ‘menyuruh’, maknanya memberi arahan kepada manusia. Maknanya, Syaitan sudah boleh beri arahan kepada orang itu. Mula-mula dia hanya boleh bisikkan sahaja tetapi kalau sudah selalu sangat ikut bisikan dan saranan syaitan, sampai satu masa syaitan sudah boleh beri arahan terus.

وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ

sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya

Allah ‎ﷻ beri keampunan kepada kita apabila kita infaq. Kita tentunya banyak dosa, maka infaq itu dapat membersihkan dosa-dosa kita.

وَفَضلًا

serta kurniaan-Nya.

Maksudnya, Allah ‎ﷻ akan beri taufik kepada kita untuk mengerjakan amal ibadat. Taufik adalah kekuatan untuk melakukan perkara yang Allah ‎ﷻ suruh. Kadang-kadang ada manusia yang hidayah sudah sampai kepada dia – dia tahu dia kena buat amal ibadat, tetapi dia tidak buat kerana dia tidak dapat taufik. Tidak ada kekuatan pada diri dia.

وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

Allah ‎ﷻ akan balas dengan beri tambahan ganjaran di akhirat. Dia Maha Tahu siapakah yang beri infaq dan Dia akan balas infaq itu dengan pahala yang lebih baik daripada infaq yang kita beri itu. Allah ‎ﷻ boleh beri ganjaran yang berganda-ganda kerana rahmat-Nya amat luas.

Tafsir Ayat Ke-269

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Orang yang infaq akan diberi kefahaman agama yang benar. Antara yang diberi adalah kefahaman yang betul tentang infaq iaitu kita faham kenapa kita kena infaq.

Kefahaman (ilmu) ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu apakah kelebihan dan kepentingan infaq dalam Islam. Ini adalah kerana mereka tidak belajar. Apabila tidak belajar, mereka akan terkesan dengan bisikan syaitan yang menjanjikan kemiskinan kepada mereka kalau mereka infaq. Maka ramai yang tidak infaq.

Hikmah adalah ilmu bermanfaat yang diamalkan. Kalau setakat tahu ilmu sahaja tetapi tidak buat, itu bukan hikmah, itu setakat ilmu sahaja. Sebagai contoh, banyak orang sudah tahu mereka tidak patut membazir tetapi bila dapat gaji, membazir juga.

Bukannya mereka tidak tahu membazir itu tidak elok, tetapi mereka buat juga. Apabila gaji mereka bazirkan, maka mereka sudah tidak ada duit untuk infaq sebab sudah dihabiskan ke tempat yang tidak berfaedah.

وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا

Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.

Amat beruntung sekali mereka yang diberikan dengan hikmah itu. Oleh kerana mereka dapat kefahaman yang betul, maka mereka akan infaq dengan banyak dan hasilnya, mereka akan jadi kaya raya di akhirat. Malah di dunia lagi mereka akan mendapat balasan baik.

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Maksud ‘ulul albab’ adalah orang yang sempurna akalnya. Allah‎ ﷻ selalu sebut perkataan ulul albab ini dalam Al-Qur’an. Ia bermaksud orang yang bijak. Surah Ali Imran akan menjelaskan siapakah mereka.

Kita pun boleh jadi ulul albab kalau kita tahu dan kita berusaha untuk mencapai darjat itu. Janganlah kita sangka yang ia adalah kedudukan yang tidak boleh dicapai.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan