Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-99 hingga Ke-102

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-99 hingga Ke-102

370
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah

Tafsir Ayat Ke-99

Tugas Rasul adalah menyampaikan dan tidak memaksa sesiapa. Begitu jugalah tugas kita dalam berdakwah kepada manusia. Kita hanya menyampaikan sahaja, dan jika manusia tidak mahu terima, ia di luar bidang kuasa kita.

مّا عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ

Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.

مّا عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ

Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan,

Tugas baginda adalah menyampaikan sahaja ajaran wahyu yang Allah ‎ﷻ telah beri kepada baginda. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh menghukum sesiapa yang tidak mahu mengikut dakwah yang disampaikan. Baginda memang tidak boleh hukum, tetapi ingat, Allah ‎ﷻ tetap akan hukum. Tidak boleh lari daripada Allah ‎ﷻ. Lari daripada Nabi boleh lagi, namun tidak boleh lari daripada Allah ‎ﷻ.

Bagi kita yang menyambung tugas Nabi menyampaikan dakwah kepada manusia pun sama juga, kita hanya boleh sampaikan sahaja. Jika ada yang tidak mahu dengar, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Kita boleh tegur majlis bid’ah yang manusia lakukan, tetapi hanya setakat tegur sahaja. Jika mereka masih hendak buat juga, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa.

وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ

dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.

Allah ‎ﷻ yang tahu apa sahaja yang kamu zahirkan dengan tubuh kamu dan perkataan kamu atau yang kamu simpan dalam hati. Sama ada zahir atau batin, sama sahaja bagi Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ tahu kesemuanya. Maka, ini mengingatkan kita supaya jangan membuat dosa kerana nanti akan dibalas di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Ke-100

Kita janganlah terpengaruh dengan ramainya orang yang buat sesuatu amalan yang salah. Ada yang akan berhujah: “Eh, ramai orang yang buat sesuatu amalan itu, takkan salah…?!”

Itu bukanlah dalil tetapi hujah tin kosong sahaja. Sama ada ramai atau tidak yang mengamalkannya, jika tidak ada dalam syarak, ia tetap dikira salah. Kena tahu bahawa ramainya orang yang mengamalkan, bukanlah dalil untuk mengatakan betulnya sesuatu perkara itu. Ingatlah yang ada Nabi yang tidak ada pengikut langsung dan yang ramai dalam kalangan mereka yang mengamalkan syirik.

Adakah itu sebagai dalil untuk mengatakan yang mereka (para Nabi itu) tidak benar dan orang yang ramai itu yang benar? Tentulah tidak, bukan? Oleh itu, benar atau tidak sesuatu fahaman atau amalan itu hanyalah mengikut neraca Allah ‎ﷻ sahaja. Sebarang amalan ibadah, mestilah ada dalil. Maka, seorang Muslim hendaklah belajar unuk meminta dalil untuk mana-mana amalan yang ada. Dan dalil itu mestilah daripada Al-Qur’an dan Sunnah (hadith yang sahih yang menjadi ikutan). Ini adalah sangat penting kerana tidak sama antara amalan yang ada dalil dan yang tidak ada dalil.

قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ ۚ فَاتَّقُوا اللَّهَ يٰأُولِي الأَلبٰبِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.

قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ

Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik,

Ingatlah yang tidak akan sama amalan yang buruk yang datang daripada nafsu dan perkara yang baik yang datang daripada wahyu. Kita kena belajar supaya dapat membezakan manakah yang baik dan manakah yang buruk. Hanya dengan mempelajari wahyu, barulah kita akan dapat membezakannya.

Lafaz الخَبيثِ bermaksud apa-apa sahaja yang dilarang oleh Allah ‎ﷻ. Maka ia adalah perkara yang diharamkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia juga boleh merujuk kepada manusia yang mempunyai sifat yang buruk.

Lafaz الطَّيِّبُ pula merujuk kepada perkara yang baik iaitu yang dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia juga boleh merujuk kepada manusia yang mempunyai sifat yang baik.

Yang baik itu tidak akan sama dengan yang buruk. Di dalam sebuah hadith disebutkan:

“مَا قَلَّ وكَفَى، خَيْرٌ مِمَّا كَثُر وألْهَى”.

Sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan.

(HR Ahmad No. 21721) Sanadnya hasan menurut Syeikh Al-Arnaut

Termasuk dalam perkara ini adalah harta atau pendapatan yang haram dan halal. Ia tidak sama walaupun mungkin kita terkesan dengan banyaknya harta yang haram. Namun, Allah ‎ﷻ beritahu di sini bahawa yang haram walaupun banyak, ia tidak bernilai di sisi Allah ‎ﷻ. Kerana itu tidaklah diterima infaq daripada harta yang haram, sebagaimana hadith di bawah:

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “

Rasulullah ﷺ bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya Allah ‎ﷻ bersifat at-Thoyyib dan Dia tidak menerima melainkan yang Thoyyib sahaja. Allah ‎ﷻ memerintahkan orang yang beriman sepertimana diperintah kepada para utusan Allah dengan berkata: Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51). Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah (Al-Baqarah: 172)
Kemudian diceritakan tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut, berdebu, menadah tangannya ke langit kemudian berkata Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makan dengan yang haram, justeru itu bagaimana dimakbulkan doanya?

(HR. Muslim No. 1015)

وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ

meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu,

Kita kena tetap berpegang dengan dalil, walaupun kadang-kadang hati kita dipengaruhi juga oleh banyaknya orang yang mengamalkan sesuatu perkara itu.

Bayangkan, berapa ramai yang mengamalkan salat Hajat berjama’ah dan mengadakan Majlis Tahlil, zikir beramai-ramai dan sebagainya. Inilah hujah yang selalu digunakan oleh pengamal bid’ah. Mereka kata: “Ramai orang yang buat, takkan semua mereka salah; takkan semua mereka nak masuk neraka pula!”

Dan jangan kita terkeliru dengan banyaknya benda yang tidak ada dalam syarak. Rasa bagaikan sudah tidak dapat dielakkan lagi kerana terlalu banyaknya perkara yang dibuat oleh manusia. Jangan terpengaruh dan jangan patah semangat. Kita kena tetap berpegang teguh dengan amalan-amalan yang sahih sahaja kerana yang sahih itu sahajalah yang diterima.

Yang menjadi masalah dengan jiwa kita ini, ialah jika perkara yang buruk itu sudah terlalu banyak, kadang-kadang kita rasa seolah-olah sudah tidak ada apa masalah lagi dengannya, mungkin kerana sudah lali. Sebagaimana kita lihat orang tidak menutup aurat – sudah rasa seperti biasa sahaja berjalan di luar dan melihat orang tidak tutup aurat padahal benda itu adalah benda yang salah. Ingat, yang salah tetap salah walaupun ramai yang melakukannya.

Begitu juga, kita kadang-kadang sudah rasa biasa dengan percakapan yang kotor atau yang kurang ajar kerana sudah biasa sangat kita dengar. Inilah bahaya kalau kita tidak berhati-hati dan prihatin dengan kebenaran. Sekali lagi: yang salah tetap salah walaupun ramai yang buat.

Oleh kerana itulah kita kena jaga hati kita dengan kuat sekali. Kena ada usaha daripada kita sendiri dan tidak boleh kita biarkan sahaja. Kita kena pastikan yang kita mengamalkan agama Islam yang tulen. Inilah jihad (usaha yang kuat) yang kita kena lakukan.

فَاتَّقُوا اللَّهَ يٰأُولِي الأَلبٰبِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan

Takutlah kepada Allah ‎ﷻ, wahai orang yang mempunyai akal waras. Dalam melakukan amalan, fikirkanlah, bukan payah pun. Kena guna akal yang cerdik sikit, bukan ikut orang sahaja. Maka, kena belajar dan belajar, fikir dan fikir. Memang begitulah hidup kita. Allah ‎ﷻ telah beri otak dan minda kepada kita, maka kita kena gunakan. Kita bersusah payah menggunakan minda kita untuk belajar dan berfikir ini, semuanya akan diberi pahala oleh Allah ‎ﷻ.

Mudah-mudahan kamu akan beruntung di dunia dan di akhirat. Di dunia pun kita hendakkan untung, lebih-lebih lagi di akhirat. Jadi jangan salah dalam membuat amalan kerana ia merugikan masa di dunia dan nanti lebih teruk lagi kita akan disoal di akhirat kelak (kenapa kamu buat perkara tidak ada dalil?).

Tafsir Ayat ke-101

Allah ‎ﷻ melarang bertanyakan perkara yang tidak memberi faedah. Begitulah ramai juga yang suka mengkaji perkara yang tidak perlu dikaji. Itu semua adalah perkara yang membuang masa, sedangkan kita bukan lama hidup di dunia. Bertanya itu memang digalakkan untuk belajar, tetapi pertanyaan tentang perkara yang tidak berfaedah itu adalah perbuatan membuang masa sahaja.

Sebab itu kita katakan, dalam beragama ini kenalah cerdik, kenalah rebut perkara yang jelas membuahkan hasil. Dan jangan buat perkara yang sia-sia. Oleh itu, jangan tanya perkara yang sia-sia. Apabila soal benda yang sia-sia, jawapan yang dapat pun adalah sia-sia juga. Contohnya, tanya arah kiblat jika salat di bulan. Padahal bukan dia hendak ke bulan pun esok atau lusa.

Maka, para sahabat dahulu pun sudah ditegur oleh Allah ‎ﷻ di atas soalan-soalan mereka. Jangan buang masa mereka dan jangan buang masa Nabi ﷺ. Dan kadangkala soalan mereka itu boleh menyusahkan mereka pula.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم وَإِن تَسئلوا عَنها حينَ يُنَزَّلُ القُرءآنُ تُبدَ لَكُم عَفَا اللَّهُ عَنها ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

wahai orang-orang yang beriman

Ini adalah nasihat kepada orang-orang yang sudah beriman. Kena beri perhatian kalau hendak menjadi orang yang beriman.

لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم

janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu

Orang beriman dinasihatkan supaya jangan bertanya perkara yang sia-sia. Itulah maksudnya di dalam ayat ini kerana sekiranya diberitahu kepada kamu perkara itu, ia hanya akan menyusahkan kamu.

Ada riwayat yang mengatakan bagaimana ada sahabat yang bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ, siapakah ayahnya. Memang ada yang Nabi ﷺ jawab. Tetapi mereka yang bertanya itu tidak sedar yang dia itu mungkin anak zina. Itu memang ada kemungkinan kerana sebelum itu mereka adalah jahiliyah dan pada zaman waktu jahiliyah, penzinaan memang berleluasa. Dari dia tidak tahu dia anak zina, sekarang dia sudah menjadi resah sebab sudah pasti dia anak zina. Allah ‎ﷻ melarang kerana soalan itu tidak memberi faedah.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُطبة مَا سَمِعْتُ مِثْلَهَا قَطُّ، قَالَ “لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا” قَالَ: فَغَطَّى أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وُجُوهَهُمْ لَهُمْ حَنِينٌ. فَقَالَ رَجُلٌ: مَنْ أَبِي؟ قَالَ: “فَلَانٌ”، فَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ}

Daripada Anas ibnu Malik yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah mengemukakan suatu khutbah yang belum pernah kudengar hal yang semisal dengannya. Dalam khutbahnya itu antara lain beliau ﷺ bersabda: Sekiranya kalian mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kalian benar-benar sedikit tertawa dan benar-benar akan banyak menangis. Anas ibnu Malik melanjutkan kisahnya, “Lalu para sahabat Rasulullah ﷺ menutupi wajahnya masing-masing, setelah itu terdengar suara esakan mereka. Kemudian ada seseorang lelaki berkata, ‘Siapakah ayahku?’ Maka Nabi ﷺ menjawab, ‘Si Fulan.” Lalu turunlah firman-Nya: Janganlah kalian menanyakan (kepada nabi kalian) banyak hal [ Al-Maidah: 101 ] (HR. Bukhari No. 4621)

Pernah juga terjadi, sahabat bertanya, adakah mengerjakan Haji itu wajib setiap tahun? Nabi ﷺ menoleh tidak menjawab. Ini adalah kerana soalan itu bukanlah soalan yang bagus. Kalau Allah ‎ﷻ tidak menetapkan ia perlu dikerjakan setiap tahun, terimalah itu sahaja. Kerana kalau ditanya-tanya dan Nabi ﷺ jawab kena buat setiap tahun, bukankah akan menyusahkan umat Islam pula? Bayangkan kalau kita sekarang kena pergi buat Haji setiap tahun?

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا} [آلِ عِمْرَانَ: 97] قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ،كُلَّ عَامٍ؟ فَسَكَتَ. فَقَالُوا: أَفِي كُلِّ عَامٍ؟ فَسَكَتَ، قَالَ: ثُمَّ قَالُوا: أَفِي كُلِّ عَامٍ؟ فَقَالَ: “لَا وَلَوْ قُلْتُ: نَعَمْ لَوَجَبَتْ”، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ} إِلَى آخَرِ الْآيَةِ.

Daripada Ali yang menceritakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yakni firman-Nya: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah [ Ali Imran: 97]  Lalu mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ diam, tidak menjawab. Mereka bertanya lagi, “Apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ tetap diam. Kemudian mereka bertanya lagi, “Apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ baru menjawab: Tidak, dan seandainya kukatakan ya, nescaya menjadi wajib; dan seandainya diwajibkan (tiap tahunnya), nescaya kalian tidak akan mampu. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian menanyakan (kepada nabi kalian) hal-hal yang jika diterangkan kepada kalian nescaya menyusahkan kalian. [ Al-Maidah: 101] , hingga akhir ayat.
(Musnad Ahmad. Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi dan Ibnu Majah melalui jalur Mansur ibnu Wardan dengan lafaz yang sama).

Pada zaman sekarang, ramai yang mula belajar agama dan mereka hendak tahu mengenai pelbagai perkara. Mereka selalunya akan tanya adakah haram atau halal sesuatu perkara itu.

Dan apabila dijawab yang ia adalah haram, mereka tidak berpuas hati pula dan mereka akan pergi tanya orang lain pula, sampailah ada yang kata ia adalah halal. Itu maknanya dia itu bukanlah ikhlas hendak tahu tetapi kerana hendak mendapatkan kelulusan perkara yang dia sendiri hendak buat.

Ini bukanlah menutup pintu untuk bertanya soalan pula. Kalau kita memang ikhlas hendak tahu sesuatu hukum itu, maka bolehlah bertanya untuk mendapatkan kepastian. Contohnya soalan yang berbunyi ‘bagaimana hendak buat?’ adalah bagus; tetapi jika ditanyakan soalan: ‘kenapa kena buat?’ adalah tidak bagus.

وَإِن تَسئلوا عَنها حينَ يُنَزَّلُ القُرءآنُ تُبدَ لَكُم

dan jika kamu menanyakan di waktu Al-Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu,

Dan sekiranya para sahabat bertanyakan perkara itu ketika wahyu masih lagi diturunkan (Nabi ﷺ masih hidup), nescaya akan dizahirkan apakah jawapan yang sebenar.

Ini adalah kelebihan yang ada kepada para sahabat. Mereka sahaja yang boleh mengamalkan ayat ini kerana Rasulullah ﷺ berada dalam kalangan mereka. Mereka yang duduk dengan Nabi ﷺ dan dapat berinteraksi dengan baginda secara langsung. Dan pertanyaan mereka itu menjadi sandaran agama buat kita yang di belakang ini.

Namun begitu Allah ‎ﷻ telah memberi peringatan kepada mereka supaya berjaga-jaga. Dalam surah Baqarah sudah diterangkan tentang kisah Yahudi dan lembu yang perlu disembelih. Lihatlah bagaimana mereka terus bertanya tentang lembu apa yang perlu disembelih dan setiap kali mereka bertanya, lembu yang dicari itu menjadi semakin sukar untuk dicari. Itu sudah menyusahkan mereka, sedangkan kalau disuruh sembelih lembu dan mereka terus sembelih, mereka boleh ambil mana-mana lembu sahaja.

Oleh itu, generasi umat Nabi Muhammad ﷺ yang awal diingatkan supaya tidak menyusahkan hidup mereka dan orang-orang yang selepas mereka. Mereka sebagai generasi pertama memang mempunyai tanggungjawab yang berat kerana apa yang mereka lalui menjadi agama bagi orang selepas mereka. Jadi Allah ‎ﷻ suruh mereka berhati-hati.

Di dalam sebuah hadith telah disebutkan:

“أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرّم فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ”

Orang muslim yang paling besar dosanya ialah seseorang yang menanyakan sesuatu yang tidak diharamkan, lalu menjadi diharamkan kerana pertanyaannya itu.(HR. Bukhari No. 7289)

Selepas wafatnya Nabi ﷺ, wahyu tidak turun lagi. Jadi tidaklah ada lagi hukum baru yang timbul. Akan tetapi, bertanya soalan-soalan yang tidak perlu masih lagi dilarang berdasarkan ayat ini, kerana ia adalah perbuatan yang membuang masa. Buang masa orang yang bertanya dan orang yang ditanya.

Orang kita rajin mencari maklumat perkara yang tidak perlu. Contohnya ada yang bertanya apa nama sebenar ibu Nabi Musa عليه السلام, berapa panjangkah bahtera Nabi Nuh عليه السلام, dan lain-lain seumpama itu. Apa perlunya maklumat ini? Kenapa buang masa hendak tahu? Salah satu kepandaian pelajar ilmu adalah tidak menyibukkan dengan maklumat yang tidak perlu dan bermanfaat.

عَفَا اللَّهُ عَنها

Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu.

Allah ‎ﷻ memaafkan mereka terhadap soalan yang lepas-lepas, yang tidak patut itu. Jangan buat lagi.

Atau, ia bermaksud, hal-hal yang tidak disebutkan Allah ‎ﷻ di dalam kitab-Nya, maka hal tersebut termasuk yang dimaafkan. Kerana itu, diamlah kalian sebagaimana Nabi ﷺ diam terhadapnya. Di dalam hadith sahih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“ذَرُونِي مَا تُرِكْتُم؛ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَثْرَةُ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ”.

Biarkanlah aku dengan apa yang kutinggalkan untuk kalian, kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kalian telah binasa hanyalah kerana mereka banyak bertanya dan sering bolak-balik kepada nabi-nabi mereka (yakni banyak merujuk).

(HR. Ibnu Hibban No. 3704) Disahihkan oleh Syeikh al-Arnauth.

Maknanya, kalau perkara yang tidak disebut, maka lapangkanlah dada, jangan dicari-cari lagi.

Di dalam hadith sahih yang lain disebutkan pula:

إِنَّ اللَّهَ فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضيِّعُوها، وحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وحَرَّم أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ غَيْرَ نِسْيان فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا”.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ telah menetapkan hal-hal yang fardu, maka janganlah kalian menyia-nyiakannya; dan Dia telah menetapkan batasan-batasan, maka janganlah kalian melampauinya; dan Dia telah mengharamkan banyak hal, maka janganlah kalian melanggarnya. Dan Dia telah mendiamkan (tidak menjelaskan) banyak hal kerana kasihan kepada kalian bukan kerana lupa, maka janganlah kalian menanyakannya. (HR. Ad-Daruquthni 4/183, Al-Hakim dalam Mustadraknya No. 7114) (Hadith hasan menurut Syeikh al-Albani dan al-Arnauth)

وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.

Allah ‎ﷻ memaafkan kerana Allah itu Maha Pengampun. Dan Dia juga al-halim – maksudnya Dia tahu apa yang mereka lalui. Allah ‎ﷻ tahu isi hati mereka. Memang hati manusia suka bertanya, tetapi sekarang diajar kenalah berhati-hati dalam bertanya.

Tafsir Ayat ke-102

Memang tabiat orang dahulu yang tidak berjaya, mereka suka bertanya soalan dan kemudian tidak amalkan.

قَد سَأَلَها قَومٌ مِّن قَبلِكُم ثُمَّ أَصبَحوا بِها كٰفِرينَ

Sesungguhnya telah ada segolongan manusia sebelum kamu menanyakan hal-hal yang serupa itu (kepada Nabi mereka), kemudian mereka kufur dengannya.

قَد سَأَلَها قَومٌ مِّن قَبلِكُم

Sesungguhnya telah ada segolongan manusia sebelum kamu menanyakan hal-hal yang serupa itu (kepada Nabi mereka),

Kaum lain sebelum kamu, telah bertanya soalan sia-sia itu. Kita telah belajar bagaimana puak Yahudi bertanya tentang sapi betina itu. Itu adalah salah satu contoh. Pertanyaan mereka itu telah menyebabkan kesusahan bagi diri mereka.

ثُمَّ أَصبَحوا بِها كٰفِرينَ

kemudian mereka kufur dengannya.

Dan apabila mereka tanya, dan telah diberitahu jawapan kepada soalan mereka, mereka tidak boleh buat apa yang mereka tanya itu, maka jadilah mereka ingkar kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana mereka mendapat jawapan yang tidak kena dengan jiwa mereka.

Jadi, ada juga dalam kalangan kita yang bertanyakan tentang hukum. Namun apabila diberitahu hukumnya, mereka tidak mahu terima kerana tidak kena dengan kehendak mereka. Mereka mungkin akan bertanya kepada asatizah yang lain, sehinggalah mereka jumpa jawapan seperti yang mereka kehendaki. Ini dinamakan ‘shopping for fatwa’.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan