Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-179 dan Ke-180

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-179 dan Ke-180

1044
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-179

Allah ‎ﷻ menitahkan kepada pemerintah pula. Menjadi tanggungjawab mereka untuk menjalankan hukum Qisas kerana tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan dalam negara.

Allah ‎ﷻ memberitahu yang ada kebaikan di dalamnya kerana jika kita tidak ikut saranan Allah ‎ﷻ inilah yang menyebabkan institusi negara menjadi kacau bilau. Sampaikan manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh orang lain kerana undang-undang yang ringan diberikan kepada mereka.

وَلَكُم فِى ٱلقِصَاصِ حَيَوٰةٌ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلبَـٰبِ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَوٰةٌ

Dan untuk kamu dalam Qisas itu ada kehidupan;

Manusia akan hidup dengan aman jikalau hukum Qisas ditegakkan. Manusia boleh hidup tanpa tumpah darah. Mereka boleh hidup yang sebenar iaitu tanpa ketakutan. Tidak ada lagi pembunuhan dengan cara yang berleluasa. Begitulah indahnya hukuman yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Namun guru sekarang kebanyakannya hanya bercerita tentang hukum puasa, salat, wudh’u dan sebagainya. Hanya berulang-ulang diajar bahagian itu sahaja. Tidak belajar benda-benda yang baru termasuk tentang hukum-hukum Hudud ini. Maka ramai yang jahil akan bab ini.

Maknanya masyarakat kita banyak tidak belajar benda yang mereka patut belajar. Anak-anak murid sangka mereka sudah belajar banyak, tetapi sebenarnya tidak. Sampaikan ada yang tidak tahu pun ada hukum Hudud dalam Islam. Sampaikan mereka sanggup untuk tolak hukum Hudud ini.

Yang dimaksudkan dengan hukum Qisas itu adalah ‘bunuh balas’. Itu adalah hukum utama. Bukan Diyat dan bukan kemaafan yang utama. Kalau semua masyarakat tahu bahawa jikalau mereka membunuh orang lain, mereka akan dibunuh balik, tentu mereka takut untuk mengambil nyawa orang lain.

Kalau masyarakat sentiasa sahaja mengambil langkah menerima Diyat atau memaafkan pembunuh, maka manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh kerana mereka tahu mereka ada peluang untuk membayar nyawa itu dengan diyat atau mereka boleh dimaafkan.

Oleh itu, Allah ‎ﷻ menasihatkan kita untuk mengamalkan hukum Qisas – balas bunuh. Memang kita dinasihatkan untuk selalu memaafkan secara individu, namun dalam hal Qisas, kita sepatutnya menjalankan hukum Qisas.

يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ

wahai orang-orang yang berfikiran waras

Maka kamu sebagai kerajaan yang menguruskan kehidupan rakyat kena tetapkan hukum Qisas ini.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat bertaqwa.

Allah ‎ﷻ telah beri banyak pengajaran dan hukum kepada kita supaya kita ambil tahu. Tujuannya supaya kita dapat menjaga hukum dan dengan itu kita dapat menyelamatkan diri kita dan negara daripada porak peranda.

Tafsir Ayat Ke-180

Hukum umur munazimah yang kedua adalah tentang harta benda. Cuma ada sedikit kesulitan dengan ayat ini kerana ada ulama’ berkata yang ayat ini adalah antara ayat yang telah dimansukhkan.

Apabila terjadi kematian, maka yang penting adalah tentang pembahagian harta pusaka dan tentang wasiat. Ini penting untuk menjaga keamanan di dalam keluarga supaya tidak berbantah dalam hal harta.

Oleh itu, kita boleh lihat, bagaimana perubahan fokus dalam Al-Qur’an. Dalam ‘ayatul birr’, ia adalah tentang individu – apa yang individu kena buat. Kemudian dalam Qisas, ia adalah tentang menjaga keamanan negara.

Al-Qur’an menyentuh segenap kehidupan masyarakat Islam, daripada individu ke sebesar-besarnya, iaitu negara. Sekarang tentang yang pertengahan, iaitu dalam hal keluarga.

كُتِبَ عَلَيكُم إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلمَوتُ إِن تَرَكَ خَيرًا ٱلوَصِيَّةُ لِلوَٲلِدَينِ وَٱلأَقرَبِينَ بِٱلمَعرُوفِ‌ۖ حَقًّا عَلَى ٱلمُتَّقِينَ

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

كُتِبَ عَلَيْكُمْ

Ditetapkan ke atas kamu

Ia adalah satu hukum yang telah ditetapkan kepada kita. Kena ambil tahu tentang hukum ini.

إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

ketika telah sampai tanda-tanda kematian salah seorang dari kamu,

Iaitu apabila sudah sampai isyarat-isyarat hendak mati. Bukannya ‘sudah mati’. Kalau ada terjemah apabila sudah mati, itu adalah terjemahan yang salah. Maka wasiat mesti dilakukan sebelum mati.

إِنْ تَرَكَ خَيْرًا

jika dia ada meninggalkan harta,

Selalunya, seseorang itu mempunyai sedikit sebanyak harta yang telah dikumpulkannya. Harta itu kalau tidak dibahagikan dengan sebaiknya dan mengikut apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka boleh menimbulkan kacau bilau dalam keluarga.

Kita pun sudah tahu bagaimana hal harta benda ini boleh memecah belahkan ahli keluarga yang terdekat. Kesannya amat besar sekali. Maka kena berhati-hati dalam hal harta juga.

الْوَصِيَّةُ لِلوَٲلِدَينِ

hendaklah dia berwasiat kepada kedua ibubapanya

Jika dia akan meninggalkan harta, dia kena pesan dan wasiat bagaimana harta itu hendak dibahagikan.

Ini terjemahan pertama ayat ini: seseorang yang hampir mati kena wasiat supaya harta dibahagikan mengikut faraid. Dia kena ingatkan orang yang menguruskan hartanya supaya membahagikan hartanya itu mengikut hukum Faraid.

Jangan pula ikut cara lain seperti pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, jangan beri sama rata kepada ahli keluarga dan sebagainya. Oleh kerana undang-undang pembahagian harta telah ditetapkan, maka kena ikut.

وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ

dan kerabatnya yang terdekat dengan cara yang makruf;

Ayat ini adalah antara ayat yang dikatakan telah dimansukhkan kerana ada ayat lain yang berkata wasiat kepada penerima pusaka sudah tiada kerana telah dimansukhkan dengan ayat yang lain. Ini kerana ibu bapa memang akan terima pusaka pun. Ayat ini yang mula-mula diturunkan sebelum ayat yang mengatakan penerima pusaka tidak boleh menerima wasiat.

Namun begitu, ayat ini masih boleh digunakan jikalau wasiat itu ditujukan kepada ahli keluarga yang bukan Islam kerana jikalau ada antara ahli keluarga yang bukan Islam, mereka tidak berhak menerima pusaka daripada orang Islam. Tetapi kalau anak yang telah Islam hendak memberikan wasiat kepada ahli keluarganya yang tidak Islam, masih boleh lagi iaitu dengan cara wasiat.

Maka, mansukh ayat itu adalah secara teknikal sahaja. Sekarang pun ada lagi kes seperti ini. Masih banyak yang masuk Islam daripada keluarga Cina atau Hindu atau agama lain. Maka mereka boleh menggunakan ayat ini untuk memberikan wasiat kepada ahli keluarga mereka.

Jadi, ini adalah tafsiran kedua bagi ayat ini. Dua tafsir ini sahaja yang ada. Tafsiran pertama tadi mengatakan kena wasiat (kena pesan bagi ingat) supaya ahli keluarga ikut Hukum Faraid.

Tafsir kedua ini mengatakan, kalau keluarga dia ada yang kafir, masih boleh wasiat harta kepada mereka. Namun kena ingat yang ia hanya boleh diwasiatkan kepada ashabul furu’ sahaja. Iaitu mereka yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka itu kalau mereka itu Muslim. Patutnya dia dapat tetapi tidak boleh terima disebabkan berlainan agama. Janganlah wasiat kepada orang lain pula.

Ada juga pendapat yang kata boleh wasiat kepada sesiapa sahaja. Sebagai contoh, kepada anak tiri, anak angkat.

Perkataan لْمَعْرُوفِ bermaksud boleh wasiat kepada ahli keluarganya yang kafir itu, namun setakat 1/3.

Penerima pusaka tidak boleh terima wasiat. Maka, kalau ada wasiat kepada anak beranak, wasiat itu tidak sah kerana hukum pembahagian harta pusaka sudah ada dalam ayat Al-Qur’an yang lain.

Ini dinamakan Hukum Faraid. Malangnya, ada juga yang tidak mengikut pembahagian harta pusaka mengikut faraid. Sebagai contoh, ada negeri yang mengamalkan pembahagian harta mengikut Adat Perpatih.

Maka, ketahuilah bahawa adat perpatih itu adalah syirik kufur kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka memberikan harta kepada waris perempuan sahaja. Adat Perpatih itu sebenarnya telah menolak beberapa ayat Al-Qur’an. Tetapi kerana tidak mementingkan ayat Al-Qur’an, maka ramai yang tolak dengan begitu sahaja.

Kalau harta itu diberi semasa hidup, tidak termasuk dalam harta pusaka (ini dipanggil hibah). Kalau hendak beri berapa banyak pun tidak mengapa. Jadi kalau hendak beri kepada sesiapa yang kita kehendaki, berilah semasa kita hidup lagi. Jangan tunggu sudah hendak mati baru teringat hendak beri.

Namun begitu, eloklah kita ingat apakah yang sepatutnya kita ingatkan kepada anak-anak kita apabila kita sudah hampir mati. Ingatlah apa kata Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya dalam ayat-ayat yang lepas. Baginda tanya kepada anak-anaknya: “Apakah yang akan kamu sembah selepas aku tiada nanti?” Itu adalah soalan yang amat baik untuk ditanya.

Kerana kata-kata terakhir yang kita kata akan pegang dan diingati oleh anak-anak lama selepas kita tidak ada. Maka kena ambil peluang itu untuk mengingatkan mereka tentang agama. Jangan hendak ingat tentang harta benda sahaja.

حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Ini adalah satu ketetapan ke atas orang-orang yang bertaqwa;

Ini adalah tanggungjawab bagi orang yang takut dengan Allah ‎ﷻ. Mereka akan jaga tentang pembahagian harta supaya ikut undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Oleh itu, ayat ini masih lagi tentang taqwa. Perbincangan Surah Baqarah tidak lari daripada perjalanan mencapai taqwa.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan