Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-181 dan Ke-182

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-181 dan Ke-182

1488
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-181

Kalau tidak dijaga isu-isu harta, boleh menyebabkan perpecahan antara keluarga. Sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan dalam hal ini.

Wasiat tentunya cuma boleh jalan kalau ada orang dengar wasiat yang disampaikan oleh si mati itu. Selepas diberitahu tentang wasiat, perlaksanaan wasiat itu adalah atas budi bicara orang yang mendengarnya. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah beritahu cara dan hukum kepada mereka yang mendengar wasiat itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang berdosa kalau ubahsuai wasiat itu dan dosanya ke atas orang yang ubahsuai.

فَمَنۢ بَدَّلَهُ ۥ بَعدَمَا سَمِعَهُ ۥ فَإِنَّمَآ إِثمُهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ

Maka barangsiapa yang mengubah setelah dia mendengar wasiat itu;

Ayat ini tentang mereka yang mendengar wasiat itu, tetapi telah mengubah wasiat yang telah ditetapkan oleh yang memberi wasiat itu.

فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ

maka dosa itu adalah hanya kepada orang yang mengubah wasiat itu;

Hakim membuat keputusan berdasarkan apakah yang diberitahu oleh saksi. Kalau pendengar wasiat yang menipu, hakim tidak berdosa, yang berdosa adalah orang yang menipu itu.

Mereka yang mengubah wasiat itu akan dibalas kesalahan mereka itu di akhirat kelak.

إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar;

Allah ‎ﷻ mendengar segala perancangan jahat manusia. Jangan sangka Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang dilakukan oleh manusia.

عَلِيمٌ

dan Maha Mengetahui;

Allah ‎ﷻ mengetahui siapa yang menukar wasiat itu. Manusia dan hakim mungkin tidak tahu, tetapi Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.

Tafsir Ayat Ke-182

فَمَن خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَو إِثمًا فَأَصلَحَ بَينَہُم فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

فَمَنْ خَافَ مِنْ مُّوصٍ

Barangsiapa yang takut terhadap orang yang hendak memberi wasiat itu;

Ini berkenaan orang yang memberi wasiat, iaitu orang yang sudah hampir mati itu.

جَنَفًا

tidak adil;

Mungkin orang yang memberi wasiat itu tidak adil, contohnya ada ayah yang tidak mengaku anak dia sampai dia wasiat supaya anak dia tidak dapat apa-apa daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana anak kandung memang sudah layak menerima harta pusaka dan tidak boleh dihalang daripada menerimanya. Anak itu akan dapat juga bahagian faraid.

Atau mungkin pemberi wasiat itu hendak memberikan harta dengan secara tidak adil – dia hendak beri salah seorang lebih daripada orang lain contohnya.

أَوْ إِثْمًا

atau orang itu memang hendak buat dosa;

Mungkin ada yang hendak beri wasiat itu jahil. Jadi, dia buat wasiat dengan perkara yang salah. Contohnya, dia mewasiatkan sebahagian daripada hartanya untuk jalan keburukan – contohnya dia mewasiatkan belanja arak kepada orang lain apabila dia sudah mati nanti.

Atau, dia wasiatkan lebih dari 1/3 dari hartanya. Ini tidak boleh kerana telah melebihi had.

فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ

maka dia yang memperbaiki kesilapan itu di antara mereka;

Jika ada yang tahu bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau hendak berbuat dosa, maka orang itu kena cari penyelesaian demi kebaikan penerima pusaka yang sebenar.

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

maka tidak berdosalah ke atasnya;

Orang yang memperbaiki wasiat itu tidaklah bersalah. Memang itu yang dia patut lakukan.

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih kepada makhluk.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ itu Maha Menerima Ampun dari hamba-Nya. Mereka yang telah diterima ampun mereka tidak akan diazab di akhirat kelak.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan