Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-178

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-178

776
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-178:

Kita sudah masuk bahagian kedua Surah Al-Baqarah.

Bahagian pertama sebelum ini tentang tauhid dan risalah. Bahagian kedua ini sampai akhir adalah tentang umur munazimah dan umur muslihah dan juga ada tentang jihad dan infaq.

Maka, selepas ini, dalam Surah Al-Baqarah ada empat perkara yang dibincangkan:

1. Umur muslihah
2. Umur munazimah
3. Jihad
4. Infaq

Ayat yang kita akan baca ini adalah jenis yang dipanggil umur munazimah: iaitu cara-cara untuk mendapatkan kesempurnaan hidup di antara manusia.

Ayat ini berkenaan dengan hukum Qisas dan Diyat. Bagi orang Yahudi, hanya ada Qisas sahaja dalam hukum agama mereka. Kepada orang Nasara, hanya ada Diyat sahaja.

Dalam ayat ke-177 sebelum ini, ia adalah tentang taqwa – taqwa itu menjaga diri dari melakukan kesalahan yang tidak disukai Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar bagaimana menjaga hubungan dengan masyarakat. Ia amat penting untuk dijaga supaya tidak terjadi pembunuhan yang berleluasa dalam masyarakat.

Sebenarnya, kalau manusia telah menerima ayat ke-177 (Ayatul Birr) itu, tidaklah perlu dijalankan hukum seperti hukum Qisas ini. Namun Allah ‎ﷻ sudah tahu bahawa manusia ini ada banyak jenis.

Ada manusia yang banyak masalah maka berlaku juga pembunuhan dalam kalangan manusia. Maka kena ada hukum kalau terjadi pembunuhan.

Ayat ke-178 hingga ayat ke-188 adalah berkenaan hukum Qisas, Wasiat, Rasuah dan lain-lain.

Umur munazimah dalam Surah Al-Baqarah ini dimulakan dengan hal kehakiman. Sepatutnya umat Islam tidak berbunuhan sesama sendiri. Namun ada juga yang terjadi kerana ada yang degil dan sebagainya.

Maka kena ada sistem untuk menghentikan perkara itu daripada berlarutan sampai boleh menyebabkan peperangan.

Maka kena ada pengadilan yang dapat memuaskan hati manusia dan ia mesti adil supaya tidak berpanjangan lagi perkara itu.

Kalau tidak adil, masalah akan berpanjangan kerana akan ada yang tidak berpuas hati dan mahu membalas dendam.

Apabila itu berlaku, ada yang membalas dendam lebih daripada yang sepatutnya. Dari seorang sahaja yang mati, boleh sampai terjadi dua orang atau lebih akan mati apabila ada yang balas dendam.

Dari berkelahi satu kampung boleh menjadi satu negeri bermasalah. Kalau jadi begitu, negara kita sendiri hancur dari dalam, tidak perlu orang kafir serang kita pun.

Hal duit manusia boleh maafkan lagi, tetapi bab nyawa manusia sanggup mati untuk mempertahankan dan membalas dendam.

Maka kena ada undang-undang yang adil. Yang penting, hujungnya kita kena bersatu supaya kita dapat menjalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ ٱلقِصَاصُ فِى ٱلقَتلَى‌ۖ ٱلحُرُّ بِٱلحُرِّ وَٱلعَبدُ بِٱلعَبدِ وَٱلأُنثَىٰ بِٱلأُنثَىٰ‌ۚ فَمَن عُفِىَ لَهُ ۥ مِن أَخِيهِ شَىءٌ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلمَعرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيهِ بِإِحسَـٰنٍ۬‌ۗ ذَٲلِكَ تَخفِيفٌ مِّن رَّبِّكُم وَرَحمَةٌ۬‌ۗ فَمَنِ ٱعتَدَىٰ بَعدَ ذَٲلِكَ فَلَهُ ۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman;

Kita juga termasuk dalam ayat ini kerana kita adalah orang-orang yang beriman. Maka mereka yang mengaku beragama Islam, kena ikuti undang-undang ini.

Ia juga memberitahu kita yang undang-undang ini hanya akan diterima pakai oleh mereka yang benar-benar beriman sahaja kerana kalau tidak beriman, mungkin mereka rasa undang-undang rekaan manusia yang lebih baik daripada apa yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ

difardhukan ke atas kamu hukum Qisas;

Inilah undang-undang keadilan. Qisas ini termasuk dalam hukum hudud. Ia adalah tentang bunuh balas yang sama rata. Kena ada persamaan dari segi balas bunuh. Ini ada diterangkan selepas ini.

Maklumat lanjut kena belajar fiqah di mana akan diterangkan dengan panjang lebar.

فِي الْقَتْلَى

dalam kes pembunuhan;

Ayat ini menerangkan tentang Qisas dengan cara pendek sahaja, oleh itu bagaimana menjalankannya, Nabi ﷺ telah menjelaskan mana yang tidak jelas. Kita juga boleh lihat bagaimana amalan para sahabat untuk kita lebih memahaminya.

الْحُرُّ بِالْحُرِّ

Orang merdeka dengan merdeka;

Kalau membunuh itu seorang yang merdeka, maka balas bunuh dengan orang yang merdeka juga. Ia bukan bermakna, kalau dibunuh seorang yang merdeka daripada satu kaum, kena cari seorang yang merdeka dari kaum yang membunuh itu juga. Kena cari orang yang membunuh itu.

Kalau kita lihat dari perkataan yang digunakan, ada ال sebelum setiap perkataan itu. Ini bermaksud orang yang spesifik. Ia adalah orang yang sama. Tidak boleh kalau seorang yang merdeka membunuh seseorang, dia suruh diambil nyawa seorang hamba pula.

Ini penting untuk diketahui kerana ini pernah terjadi semasa zaman Jahiliyyah dulu. Yang membunuh seorang merdeka, tetapi apabila tiba masa balas bunuh, dia serahkan nyawa hamba pula. Tidak pasal-pasal, hamba yang tidak bersalah itu yang dibunuh.

وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ

Hamba dengan hamba;

Tidak boleh diganti dengan hamba yang lain. Kena diambil nyawa hamba yang membunuh juga.

وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ

Perempuan dengan perempuan;

Kalau yang membunuh itu seorang perempuan, perempuan itu yang perlu dibunuh kembali.

Dalam ayat ini, ada yang keliru. Ada yang sangka, kalau yang dibunuh itu orang merdeka, maka yang kena dibunuh orang merdeka pula. Bukan begitu. Takkan kalau yang membunuh itu seorang hamba, dan yang dibunuh pula orang merdeka, kena cari balas bunuh orang merdeka pula. Yang kena bunuh adalah hamba yang membunuh itulah.

Adalah penting untuk diberi pilihan kepada ahli keluarga untuk membalas balik kerana dengan cara itu, boleh memuaskan hati ahli keluarga. Ini adalah fitrah dalam diri manusia. Kalau tidak dibenarkan, maka akan tersimpan perasaan dendam dalam diri ahli keluarga itu.

Malangnya, inilah yang terjadi dalam undang-undang bukan Islam pada hari ini. Ada yang telah disahkan telah membunuh, tetapi mereka tidak dibunuh, mereka hanya dipenjarakan sahaja (atau dikenakan denda sahaja). Apabila ini berlaku, tidak akan rasa aman dalam diri keluarga mereka yang dibunuh. Itu bukan keadilan.

Yang disebut di atas adalah cara bunuh balik atau balas bunuh. Islam ada tiga cara bagaimana satu pembunuhan itu dibalas.

Pertama, dengan bunuh balik.

Kedua, dengan bayar diyat.

Ketiga, dengan memberi maaf. Keputusan ada di tangan ahli keluarga.

فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ

Barangsiapa yang dapat maaf daripada keluarga waris si mati apa pun;

Apabila telah disabitkan kesalahan pembunuh itu, hakim akan tanya kepada waris, apakah yang mereka hendak buat. Ada waris yang memberi maaf kepada pembunuh, maknanya diberi maaf daripada diambil nyawanya. Pembunuh itu memang sudah bunuh orang, tetapi keluarga yang dibunuh tidak memilih untuk balas bunuh tetapi hendak meminta gantirugi ataupun dimaafkan terus. Ada maaf seratus peratus dan ada maaf yang kena bayar denda.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz أَخِيهِ (saudaranya) kerana orang Islam adalah saudara seagama. Oleh kerana memikirkan yang kita semua satu agamalah yang menyebabkan waris si mati itu boleh beri maaf.

Dalam fiqah, telah ditetapkan, kalau kemalangan, terputus satu jari – lima ekor unta. Gigi sebatang pun lima ekor unta juga. Semua telah ada harga yang diletakkan oleh undang-undang Islam. Semua diceritakan dalam kitab hadith dengan terperinci.

Maknanya, kita kena jaga-jaga jangan sampai menyebabkan kecederaan kepada orang lain. Kalau orang yang melakukan kesalahan itu tidak dapat bayar, keluarga dia yang kena bayar. Jadi, kita sebagai ahli keluarga kena ambil tahu keadaan saudara mara kita. Sebab kita juga bertanggungjawab di atas perbuatan mereka. Namun sekarang kita tidak buat kisah apa mereka buat. Itu kerana kita tidak faham undang-undang Islam.

Kalau hamba abdi, diyat yang dikenakan adalah 50% daripada diyat orang merdeka.

فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ

maka hendaklah disusuli dengan cara makruf;

Kemaafan itu hendaklah disusuli dengan cara yang makruf. Maka wali si mati itu kena susuli kemaafan itu dengan tuntutan yang makruf. Jangan maafkan tetapi tuntut ganti rugi 200 juta. Mati hidup balik pun pembunuh itu tidak boleh bayar.

Makruf itu bermaksud tuntutan itu kena sesuai dengan pembunuh. Kena tengok sama ada dia boleh bayar atau tidak. Antara sebab dikenakan bayaran ganti rugi itu adalah supaya pembunuh itu menyesal dan tidak melakukannya lagi.

وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحۡسَـٰنٍ۬‌ۗ

dan hendaklah ditunaikan pembayaran kepada penerima sebaik-baiknya;

Pembunuh itu pula kena tunaikan dengan cara ihsan. Kena bayar dengan cara baik. Dia pun sudah setuju hendak bayar jadi jangan tidak beri pula. Atau beri dengan cara tidak sepatutnya, dengan cara kurang ajar, bayar pakai duit 5 sen dan sebagainya.

Pembunuh itu yang kena bayar sendiri kalau dia mampu. Mungkin waris si mati minta sebanyak seratus ekor unta dalam harga 1.5 Juta Ringgit iaitu bagi yang mati tersalah bunuh. Seperti kemalangan, 50 ekor dari 100 ekor unta mesti unta betina yang bunting. Kalau tidak boleh dibayar, kena ambil daripada kalangan lelaki dari keluarga dia yang lelaki. Bermula dengan ayah, kemudian adik beradik lelaki, atuk, bapa saudara dan seterusnya.

Kalau tidak boleh bayar, kena masuk jel semua sekali. Kena cari duit untuk bayar daripada keluarga lelaki termasuk sepupu sepapat pun. Kena kutip cari sampai cukup. Asalkan lelaki, mereka akan kena bayar. Maka yang keluarga lelaki itu pun akan beringat supaya jangan jadi lagi sebab mereka kena bayar sekali. Mereka kena berjaga-jaga dengan ahli keluarga mereka kerana mereka tahu yang kalau ada ahli keluarga mereka buat pasal, mereka pun terbabit susah sama.

ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَّبِّكُمْ

Yang demikian itu adalah keringanan dari Tuhan kamu;

Makna Allah ‎ﷻ meringankan adalah diberi pilihan kedua dan ketiga untuk keluarga yang dibunuh. Mereka boleh memilih untuk mengambil diyat atau mereka boleh memaafkan terus kerana cara yang sepatutnya adalah dengan balas bunuh. Namun Allah ‎ﷻ beri kelonggaran dan keringanan.

وَرَحْمَةٌ

dan sifat belas dari Tuhan kamu;

Kerana hukum asalnya adalah kena bunuh balik tetapi Allah ‎ﷻ memberikan jalan keluar kerana sifat Rahmah-Nya.

فَمَنِ اعْتَدَىٰ

Sesiapa yang melampaui batas;

Ini terjadi kalau selepas keluarga itu meminta diyat, dan apabila sudah dibayar diyat itu, kemudian dibunuh juga pembunuh itu. Jadi, pembunuh kedua ini tidak ada hukum diyat kepadanya. Maknanya, dia kena bunuh balas sahaja kerana dia telah melampaui batas.

بَعْدَ ذَٰلِكَ

selepas keputusan itu

Selepas keputusan sudah dibuat dan semua pihak telah setuju. Maka kena dapatkan persetujuan daripada semua pihak. Kerana itu, keputusan untuk tidak balas bunuh mestilah didapatkan daripada semua ahli keluarga. Kalau seorang sahaja tidak setuju, maka ia tidak akan terjadi.

فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ

bagi mereka azab yang pedih

Sesiapa yang tidak ikut keputusan selepas itu akan mendapat azab yang pedih.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan