Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-75 dan Ke-76

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-75 dan Ke-76

1558
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-75

Sekarang, Allah ﷻ hendak memberitahu kelemahan-kelemahan golongan Yahudi dalam hal agama. Antaranya, mereka itu belajar Kitab Taurat tetapi mereka tidak berapa faham. Maknanya, mereka lemah kefahaman dalam ilmu agama.

Selepas ini Allah ﷻ sebutkan lima perangai buruk mereka. Mereka itulah yang merosakkan agama. Kita sebutkan dahulu jenis-jenis kumpulan dalam kalangan Yahudi itu kelemahan dan keburukan itu supaya senang kita ikuti perbincangan selepas ini:

1. Dalam ayat ke-75 ini, yang dimaksudkan adalah ulama dan ahli ibadat Yahudi.
2. Ayat ke-76 adalah berkenaan golongan munafik Yahudi.
3. Ayat ke-78 pula adalah berkenaan orang awam Yahudi.
4. Ayat ke-79 adalah tentang ulama Yahudi yang mempersendakan agama sendiri.
5. Ayat ke-80 adalah tentang anak-anak bangsawan dan anak-anak ulama Yahudi.

أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم وَقَد كانَ فَريقٌ مِنهُم يَسمَعونَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفونَهُ مِن بَعدِ ما عَقَلوهُ وَهُم يَعلَمونَ
(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?

أَفَتَطْمَعُونَ

Apakah kamu menaruh harapan besar 

Kitab ayat ini adalah kepada para sahabat Nabi. Allahﷻ sedang bercakap kepada mereka dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak kata: Kamu berharap mereka hendak jadi sahabat kamu dan memperjuangkan Islam seperti kamu? Jangan harap. Kalimah أَفَتَطْمَعُونَ dari طمع yang dalam bahasa kita: tamak. Iaitu hendak sangat kepada sesuatu.

Boleh jika kamu hendak berdakwah kepada mereka, tetapi jangan harap sangat yang mereka akan ikut kamu. Agama mereka pun mereka tidak jaga, apatah lagi kalau agama baru. Allah ﷻ kepada para sahabat supaya mereka jangan anggap golongan Yahudi itu boleh senang-senang hendak beriman kepada Islam. Ini kerana para sahabat sangka, tentu golongan Yahudi itu senang terima Islam kerana mereka sudah ada kitab wahyu sebelum itu.

أَنْ يُؤْمِنُوا لَكُمْ

mereka akan beriman kepada kamu semua?

Ini adalah sebagai peringatan kepada orang Islam Arab Madinah yang sangka Bani Israil akan senang masuk Islam. Sebab mereka sangka Bani Israil itu sudah ada kitab wahyu dan sudah lama beragama, jadi mereka sangka mereka senanglah puak Yahudi itu hendak beriman dengan Nabi.

Tidak semudah itu. Allah ﷻ hendak bagi para sahabat sedar. Dan Allah ﷻ hendak beri mereka pujukan kerana tentu mereka hairan kenapalah Yahudi tidak terima Islam? Sedangkan dulu mereka itulah yang banyak ajar Arab Madinah tentang agama, tentang Nabi dan sebagainya. Namun, apabila benar-benar Nabi yang mereka tunggu telah datang, mereka tidak beriman pula.

وَقَدْ كَانَ فَرِيقٌ مِنْهُمْ

sedangkan sesungguhnya ada satu puak di kalangan mereka

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan ulama, pembesar dan ahli agama dalam kalangan orang Yahudi. Mereka mendengar Kitab Taurat dibacakan. Mereka itu memang ada belajar Kitab Taurat.

يَسْمَعُونَ كَلَامَ اللَّهِ

mendengar ayat-ayat Allah;

Mereka dengar Kitab Taurat dibacakan. Tok nenek mereka dahulu pernah lihat sendiri yang Allah ﷻ turunkan Taurah apabila mereka dibawa oleh Nabi Musa as naik Bukit Thur.

Jadi Allah ﷻ  ingatkan kepada orang Islam – kamu sangka mereka hendak dengar kata-kata kamu? Kata-kata Allah ﷻ mereka tidak dengar, apatah lagi kata-kata manusia.

ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُ

kemudian mereka mengubah-ubahnya

Mereka berani ubahsuai Kitab Taurat dengan tangan mereka. Ini memang jenis orang yang amat teruk, sampai sanggup ubah Kitab Allah ﷻ . Seteruk-teruk orang Islam, memang tidak berani hendak ubah al-Qur’an.

مِنْ بَعْدِ مَا عَقَلُوهُ

setelah mereka faham apa yang mereka baca itu;

Mereka ubahsuai Kitab Taurat itu setelah mereka faham apakah yang disampaikan dalam kitab itu. Ada manusia yang ubahsuai agama sebelum mereka faham kerana mereka golongan jahil. Ulama-ulama Yahudi ini lagi teruk, kerana mereka ubahsuai Kalam Allah ﷻ itu setelah mereka faham yang disampaikan oleh Kitab Taurat.

Kenapa mereka ubahsuai? Kerana apa yang disampaikan dalam Kitab itu tidak sesuai dengan nafsu mereka.

Ayat ini merujuk kepada tok guru ahli agama dari kalangan puak Yahudi. Mereka ubah Kalam Allah dengan perkataan yang tidak datang daripada Allah ﷻ . Begitu jugalah yang terjadi zaman sekarang. Ada yang ubahsuai agama setelah mereka memahaminya kerana apa yang disampaikan dalam al-Qur’an tidak sama seperti apa yang mereka hendak.

Sedangkan Nabi telah menyuruh manusia supaya mengikut apa yang telah diajarnya dan dibawa oleh sahabat-sahabat. Tetapi ada pula golongan yang menyatakan bahawa sahabat-sahabat itu yang sesat. Itulah yang dikatakan oleh puak Syiah. Ini hanya sebagai satu contoh. Ada lagi yang lain.

Sebagai contoh, dalam al-Qur’an, telah jelas melarang bertawwasul dengan para wali, para Nabi dan Malaikat. Namun, ada juga golongan agamawan yang tafsir dengan maksud yang lain. Mereka tidak dapat ubah al-Qur’an, tetapi mereka ubah tafsir al-Qur’an itu. Mereka kata maksud ayat itu adalah maksud yang lain.

Ada golongan yang mengubah kerana mereka mendapat imbuhan dengan apa yang mereka ubah itu. Maknanya, mereka sanggup jual agama untuk mendapat upah yang sedikit.

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedangkan mereka tahu;

Mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Tetapi kerana nak cari makan, mereka akan ubah kepada maksud yang lain. Sebagai contoh, kalau anak murid itu jenis yang suka bertawwasul dengan para wali, mereka tidak tegur pun kerana kalau mereka tegur dan kata ia salah, tentu anak-anak murid itu tidak setuju dengan mereka dan sudah tidak ajak mereka mengajar lagi.

Apabila mereka tidak dapat mengajar, mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Sudah tidak dapat ‘sampul putih’. Padahal mereka tahu bahawa bertawwasul dengan para wali yang sudah mati itu adalah salah dan dilarang oleh Allah dalam al-Qur’an namun mereka sanggup tidak tegur kerana takut dengan anak murid.

Jadi, walaupun ayat al-Qur’an ini adalah berkenaan ulama Yahudi, tetapi ia juga boleh merujuk kepada ahli agama Islam zaman sekarang. Ini termasuk ustaz-ustaz yang mengajar agama di masjid dan surau-surau. Kalau mereka buat perangai golongan agamawan Yahudi ini, maka mereka pun kena nasib yang sama juga.

Tafsir Ayat Ke-76

Ayat ini merujuk kepada Yahudi munafik di zaman Nabi Muhammad.

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلا بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ قالوا أَتُحَدِّثونَهُم بِما فَتَحَ اللَّهُ عَلَيكُم لِيُحاجّوكُم بِهِ عِندَ رَبِّكُم ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”; dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: “Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya sebagai hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?”

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan Yahudi munafik. Mereka golongan bawahan yang ada berurusan dengan sahabat dalam perniagaan, contohnya. Mereka ada bertemu dan berkomunikasi dengan sahabat-sahabat Nabi. Kalau golongan ulama mereka tidak buat macam tu.

قَالُوا آمَنَّا

mereka berkata: kami beriman;

Mereka kata mereka beriman apabila mereka berjumpa dengan sahabat-sahabat Nabi. Ini kerana apabila mereka berjumpa dengan orang beriman, dan mereka menceritakan tentang apakah yang telah disebut dalam al-Qur’an, mereka kata semua itu pun sudah ada dalam Kitab Taurat mereka.

Jadi mereka mengiyakan apa yang diceritakan oleh sahabat-sahabat Nabi. Mereka kata, mereka pun beriman sama seperti apa yang disebutkan dalam al-Qur’an itu.

وَإِذَا خَلَا بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ

Dan apabila setengah mereka pergi berjumpa dengan setengah yang lain;

Iaitu apabila mereka berjumpa dengan ketua-ketua agama mereka, atau berjumpa dengan golongan Yahudi yang lain.

قَالُوا أَتُحَدِّثُونَهُمْ

mereka (ketua-ketua mereka) berkata: Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam)

Apabila golongan munafik Yahudi itu bertemu dengan ulama mereka, ulama mereka itu telah memarahi golongan munafik itu kerana kadang-kadang mereka cerita benda-benda yang benar daripada Taurat. Sahabat pun kata apa yang mereka sampaikan itu sama dengan apa yang ada dalam al-Qur’an.  Hinggakan mereka ada beritahu kepada para sahabat yang akan datang Nabi akhir zaman yang akan duduk di Yathtib.

Marahlah ulama Yahudi bila mereka tahu yang golongan bawahan itu telah beritahu perkara-perkara terebut. Ia seolah-olah rahsia mereka dan ada pula golongan mereka yang sampaikan rahsia itu kepada umat Islam.

بِمَا فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ

dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu;

Iaitu dengan memberitahu tentang apa yang ada di dalam Kitab Taurat yang memang ada menceritakan tentang kedatangan Nabi, kebenaran Nabi, dan sebagainya. Pendita Yahudi memarahi pengikut mereka memberitahu tentang kebenaran tentang Nabi Muhammad yang memang disebut dalam Kitab Taurat.

لِيُحَاجُّوكُمْ بِهِ عِنْدَ رَبِّكُمْ

yang nanti mereka akan menggunakannya sebagai hujah mengalahkan kamu di sisi Tuhan kamu nanti?

Mereka takut nanti sahabat yang beriman akan guna balik kitab Taurat untuk lawan berdebat dengan mereka. Mereka takut nanti orang-orang Islam akan kata: memang orang Yahudi sendiri telah kata semua benda itu telah ada dalam kitab mereka.

Jadi, mereka takut orang Islam akan berhujah begitu untuk menyalahkan mereka. Dan mereka tidak mahu perkara itu akan menjadikan orang-orang beriman semakin kuat iman mereka kerana persamaan yang ada dalam kitab-kitab yang terdahulu.

Golongan ulama itu juga takut yang hujah ini nanti akan digunakan di hadapan Allah ﷻ kerana nanti golongan Muslim akan berkata: “Ya Allah, memang golongan Yahudi ini telah tahu tentang Islam kerana dia sendiri beritahu saya tentang itu dan ini….”

Ini kerana mereka hendak guna hujah: “Kami tidak kenal Muhammad ini.. kalau kami kenal, tentu kami beriman…” Tetapi nanti para sahabat akan jadi saksi pula ke atas mereka: “Mereka bukan tidak kenal, tapi mereka memang kenal. Kerana mereka sendiri cakap dengan kami.”

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Apakah kamu tidak boleh berfikir?

Mereka marah pengikut mereka. “Kamu tak fikir kah yang ini akan menyebabkan kita susah nanti?”

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan