Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-41 dan Ke-42

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-41 dan Ke-42

771
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-41:

وَءآمِنوا بِما أَنزَلتُ مُصَدِّقًا لِمّا مَعَكُم وَلا تَكونوا أَوَّلَ كافِرٍ بِهِ ۖ وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا وَإِيّايَ فَاتَّقونِ

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Qur’an) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.

وَءآمِنُوا بِمَا أَنْزَلْتُ

Dan berimanlah dengan apa yang Aku turunkan kepada kamu;

Mereka hendaklah beriman dengan al-Qur’an sekarang. Bukan kembali kepada Taurat pula. Tidak boleh hendak perbaiki balik Taurat itu dan kembali kepadanya kerana syariat Taurat telah mansukh. Mereka mestilah guna al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Ayat ini sekarang mereka diajak beriman kepada al-Qur’an kerana apabila al-Qur’an sudah diturunkan, mereka kenalah beriman sepenuhnya dengan al-Qur’an.

Dan untuk beriman dengan al-Qur’an, hendaklah mereka beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, kerana al-Qur’an itu diturunkan melalui Nabi Muhammad ﷺ. Tidak boleh hendak percaya kepada al-Qur’an tanpa percaya kepada Nabi ﷺ. Ini penting kerana zaman sekarang, ada yang hendak percaya kepada al-Qur’an tetapi tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Padahal, bagaimana hendak percaya al-Qur’an tanpa Nabi?

Bagi kaum Yahudi dan Nasrani, mereka berkata mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah salah kerana untuk percaya kepada Allah ‎ﷻ, kita perlu juga percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ .

مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُمْ

yang membenarkan apa yang ada dengan kamu;

Al-Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat. Mereka telah ada kitab Taurat di tangan mereka. Dan al-Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat itu. Terdapat persamaan ajaran yang di dalam Taurat dan al-Qur’an. Dan sekarang, mereka kenalah meninggalkan Taurat dan mengambil al-Qur’an sebagai Kitab pedoman yang baru.

Al-Qur’an itu membenarkan isi tauhid yang ada dalam kitab Taurat dan Injil kerana memang serupa apa yang disampaikan berkenaan akidah. Akidah tauhid tidak bertukar dari dahulu sampai sekarang. Serupa sahaja yang dibawakan oleh setiap Nabi. Kalau kita biasa lihat ceramah daripada mereka yang mahir dengan ilmu perbandingan agama seperti Dr. Zakir Naik, mereka telah tunjukkan yang memang ada ajaran tauhid dalam kitab mereka sendiri.

Antara yang dibenarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah tahu bahawa akan datang Nabi akhir zaman dan Nabi itu akan datang ke Madinah. Sebab itulah mereka telah siap menunggu di Madinah. Jadi, mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi yang baru itu. Cuma mereka tidak boleh terima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda datang dari bangsa Arab.

وَلَا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ

Dan janganlah kamu jadi orang yang pertama-tama engkar dengannya;

Allah ‎ﷻ berpesan kepada mereka supaya jangan menjadi yang mula-mula engkar dengan al-Qur’an. Kerana bila mereka engkar, akibatnya pengikut-pengikut mereka akan menjadi kufur juga. Bila jadi begitu, mereka akan menerima akibat kufur mereka dan juga pengikut-pengikut mereka itu. Mereka bukan menanggung dosa diri mereka sahaja, tetapi dosa pengikut-pengikut mereka sekali.

Orang Yahudi sekarang tidak menerima Islam kerana mereka lihat apa yang tidak diterima oleh puak Yahudi zaman mereka. Mereka lihat orang Yahudi itu duduk dengan Nabi Muhammad ﷺ tetapi tidak beriman, mereka sangka tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan Islam sampaikan tok nenek mereka dahulu tidak masuk Islam.

Jadi, ada pendeta Yahudi yang menghalang pengikutnya daripada belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan menanggung dosa pengikut-pengikut mereka juga kerana pengikut mereka menolak Islam semenjak zaman berzaman lamanya adalah disebabkan oleh mereka.

Kita pula, sebagai contoh, akan menjadi begitu juga jika kita menyekat orang dari belajar tafsir al-Qur’an. Maka, orang yang tidak belajar tafsir itu akan berdosa kerana mereka tidak tahu tentang agama. Orang yang menyekat mereka juga akan mendapat dosa yang sama dengan mereka yang tidak belajar itu kerana kesalahan menyekat mereka dari belajar. Ini kerana ada guru agama yang memberitahu anak murid tidak boleh belajar tafsir al-Qur’an kerana akan menyebabkan kekeliruan, mereka tidak cukup ilmu untuk faham tafsir, tidak wajib belajar tafsir dan macam-macam lagi alasan.

Kalau sepuluh orang yang kita sekat, maka gandaan dosa kepada kita adalah sepuluh juga. Begitu juga orang yang menyebar, akan mendapat pahala orang yang mengikut saranan mereka itu juga. Oleh itu, kita galakkan manusia untuk belajar tafsir.

Kenapa mereka diingatkan jangan jadi yang pertama sekali engkar? Bukankah yang pertama engkar kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah Quraish? Yang dimaksudkan pertama-tama adalah: janganlah mereka yang berada di hadapan sekali yang engkar.

Mereka sebagai kaum yang telah menerima agama sebelum ini, sepatutnya telah tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah ajaran agama yang benar. Kalau Quraish engkar, kita boleh faham juga kerana mereka tidak pernah menerima agama dari langit. Sudah lama Nabi Ismail عليه السلام meninggalkan mereka, jadi mereka sudah jauh dari agama. Tetapi bagi Yahudi, mereka sepatutnya masih lagi memegang pegangan agama. Sepatutnya mereka nampak yang ajaran yang Nabi Muhammad ﷺ bawakan ini adalah ajaran yang benar.

Ini adalah sifat pertama orang Yahudi. Mereka engkar dengan al-Qur’an dan tidak membenarkan pengikut mereka belajar al-Qur’an. Jadi kalau ada guru agama yang buat begitu, maka guru agama itu sama sahaja perangai dengan Pendeta Yahudi. Dia sahaja yang tidak perasan, kerana dia sendiri pun tidak belajar tafsir al-Qur’an dan tidak tahu pun yang al-Qur’an sedang menceritakan tentang dirinya.

وَلَا تَشْتَرُوا بِئآيَٰتِي

Dan jangan kamu jual ayat-ayat Kami

Jangan kamu tukar agama dengan menolak ayat al-Qur’an untuk upahan dan habuan dunia yang sedikit. Jual beli itu bermaksud ‘tukar’. Ada yang tukar ayat al-Qur’an dengan habuan benda atau pengaruh. Mereka fikirkan periuk nasi dan perut mereka.

Mereka takut kedudukan mereka jatuh dan makan minum mereka tergendala dan pengaruh dalam masyarakat akan hilang. Mereka takut masyarakat sudah tidak hormat mereka lagi. Walaupun mereka tahu yang wahyu Nabi ﷺ bawa itu adalah benar.

ثَمَنًا قَلِيلًا

dengan upah yang sikit;

Maknanya, jangan tukar ayat-ayat Allah ‎ﷻ dengan upah yang sedikit. Contohnya, macam zaman sekarang, ada yang mengambil upah untuk mengajar ayat-ayat al-Qur’an. Ada yang mengambil upah untuk membaca ayat-ayat al-Qur’an. Ada yang ambil upah baca al-Qur’an di kuburan selepas orang mati. Ada yang ambil upah menjadi imam Solat Terawih semasa Ramadhan. Sampai ada kisah berebut tempat kerana ada tempat bayar lebih dari tempat lain. Ada yang ajar baca tajwid di atas kapal terbang pun ada.

Allah ‎ﷻ membuka rahsia orang Yahudi dalam ayat ini. Mereka sebenarnya telah tahu tentang kedatangan dan kebenaran Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi mereka telah sorok kebenaran itu. Mereka takut mereka hilang kedudukan. Waktu itu mereka ada kedudukan yang menyebabkan mereka boleh monopoli agama.

Apa-apa sahaja yang mereka kata, akan diterima oleh anak murid dan pengikut mereka. Ini kerana mereka menjadi sumber rujukan daripada masyarakat. Mereka mendapat upah dari ilmu yang mereka ada itu. Mereka takut kalau kebenaran diketahui, mereka tidak dipandang orang lagi.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa akan ada sahaja manusia yang memakai topeng agama memutar belitkan agama supaya kedudukan mereka terpelihara. Mereka sanggup menyembunyikan kebenaran supaya mereka masih lagi dipandang tinggi oleh masyarakat. Dan mereka boleh cari makan dengan agama.

Mereka akan hanya menceritakan kepada manusia perkara-perkara yang menyedapkan hati manusia sahaja. Mereka tidak mengingatkan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan masyarakat kerana takut kalau mereka cerita, masyarakat tidak sanggup untuk mendengarnya dan masyarakat tidak datang kepada mereka lagi. Apabila masyarakat sudah tidak mencari mereka, maka mereka akan hilang punca pendapatan.

Contohnya, masyarakat sudah tidak panggil mereka lagi untuk beri kuliah agama, mereka tidak dipanggil lagi untuk membaca doa selamat, masyarakat tidak panggil mereka lagi untuk menjadi ketua bacaan tahlil dalam Majlis Tahlil dan macam-macam lagi kerana itu semua adalah punca pendapatan mereka. Mereka menjual agama sebenarnya.

Mereka menjual itu pula dengan harga yang sedikit kerana apa sahaja upah yang mereka dapat itu adalah amat murah kalau dibandingkan dengan nilai agama yang besar. Kita hairan kenapa mereka sanggup buat macam itu. Semoga kita diselamatkan daripada orang-orang yang sebegitu. Mereka ini menjadikan agama sebagai komoditi yang boleh dijual beli.

Hasilnya, masyarakat tidak tahu bahawa apa yang mereka faham dan amalkan adalah salah, dan mereka terus bergelumang di dalam kesalahan itu. Mereka sangka mereka sudah benar, sebab guru mereka tidak menegur pun apa yang mereka lakukan itu. Maka kerana itu lebih baik tidak mengambil upah mengajar kerana apabila kita tidak bergantung kepada bayaran anak murid, kita boleh menegur tentang semua perkara.

Kalau mereka tidak mahu panggil mengajar lagi, kita pun tidak rugi apa-apa dari segi kewangan kerana tujuan kita hendak menyampaikan kebenaran dan mana yang perlu ditegur, kita tegur. Namun memang kebiasaan manusia, tidak suka ditegur walaupun mereka salah. Mereka itu manja, hendak dipujuk-pujuk, dipuji-puji sahaja. Bila kena tegur sedikit, mulalah nak menjuihkan mulut. Jadi tidak tahu lah siapa yang boleh menegur mereka, kena tunggu Nabi Isa عليه السلام turun baliklah agaknya baru hendak dengar kata.

Ini adalah sifat kedua Yahudi, iaitu mereka menjual ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

وَإِيَّٰيَ فَاتَّقُونِ

Dan hanya kepadaKu sahajalah kamu bertaqwa;

Mereka diajak takut kepada Allah ‎ﷻ. Hendaklah takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan hirukan kata-kata dan ancaman manusia. Ini penting kerana ada yang takut dengan manusia lain, sampaikan tidak berani untuk menyampaikan ajaran dari ayat-ayat al-Qur’an.

Hendaklah kita bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada kita. Kepada Allah ‎ﷻ sahaja hendaknya kamu takut. ‘Takut’ di sini maksudnya dengan melakukan amalan yang benar. Oleh kerana itu kena ikutlah Nabi Muhammad ﷺ.

Maka perasaan takut itu hendaklah diikuti dengan menjadi orang bertaqwa. Bukannya setakat takut dan menggigil sahaja tetapi tidak berbuat apa-apa. Itu takut orang yang gila.

Jadi ini adalah jenis takut yang kedua. Ini beza dengan takut yang mula-mula telah disampaikan sebelum ini iaitu farhabun.

Tafsir Ayat Ke-42

Ini adalah sifat ketiga Pendeta Yahudi. Sifat pertama adalah menyekat pengikut mereka dari berjumpa dengan Nabi ﷺ. Yang kedua, mereka mengambil peluang dengan menjual agama.

Allah ‎ﷻ keluarkan lagi rahsia kejahatan Yahudi. Orang Islam yang berperangai Yahudi pun macam inilah sifat mereka. Segala perkara yang Allah ‎ﷻ sebut dalam al-Qur’an, ada dalam kalangan manusia kerana al-Qur’an ini adalah panduan sampai Kiamat.

Yang pertama kita kena lakukan adalah periksa diri kita dengan sifat-sifat Yahudi itu. Kita periksa sama ada kita ada sifat-sifat itu. Dan apabila sampaikan kepada orang lain, orang lain itu pun akan periksa dirinya sendiri.

وَلا تَلبِسُوا الحَقَّ بِالبٰطِلِ وَتَكتُمُوا الحَقَّ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ

Jangan kamu campur adukkan yang haq dengan yang batil;

Ini adalah larangan Allah ‎ﷻ supaya jangan campurkan yang benar dengan yang salah. Allah ‎ﷻ menegur golongan Yahudi: “Yang mudah-mudah kamu amal, tetapi yang lainnya kamu tukar. Kamu ganti dengan amalan yang kamu reka sendiri – itulah yang bathil.” Jadi amalan mereka ada yang diambil dari Taurat, tetapi ada yang ringan yang mereka reka sendiri. Maknanya, bukanlah mereka tolak semua sekali Taurat itu.

Contohnya adalah apa yang diamalkan dalam masyarakat kita dalam upacara tahnik (belah mulut budak yang baru lahir). Memasukkan kurma atau buah yang manis ke dalam mulut bayi. Ia memang sunnah dilakukan. Apa yang Nabi ﷺ ajar adalah menggunakan buah kurma.

Yang ditambah oleh orang kita adalah menggunakan gula batu dengan harapan supaya budak itu nanti ‘manis mulut’nya. Supaya kalau perempuan, mudah dapat suami, dan kalau lelaki, senang dapat kerja. Ini adalah perbuatan yang syirik dan khurafat kerana mereka percaya bahawa akan dapat kelebihan-kelebihan itu kalau dibuat.

Ada juga yang menggunakan garam buku supaya mulut budak itu ‘masin’. Supaya anak itu apabila besar nanti akan menjadi tok guru, tok wali dan sebagainya. Padahal, untuk menjadi guru kenalah belajar al-Qur’an dan Hadith. Dan macam-macam lagi yang digunakan oleh masyarakat kita. Ada yang guna asam keping, ada yang guna cincin emas, cincin perak dan sebagainya lagi.

Inilah yang dinamakan ‘mencampurkan yang benar dengan yang salah’. Melakukan tahnik itu sudah betul, tetapi dicampur pula dengan perbuatan yang salah. Perbuatan ini dinamakan talbis iaitu mencampurkan yang benar dengan yang salah. Bila kita tegur, mereka pandai pula kata: “eh kan tahnik Nabi ada buat?” Ya, memang buat tetapi bukan macam cara kamu buat!

Satu lagi contoh: memberi orang makan di rumah kita adalah digalakkan dalam Islam. Tetapi mengadakan upacara bid’ah seperti bacaan Doa Selamat dan Majlis Tahlil, itu adalah tidak benar. Itu pun dikira mencampur adukkan yang benar dengan yang salah.

Dalam pengajaran pula, ada yang menyelitkan benda yang salah dalam ajaran mereka. Ajaran yang bukan datangnya dari agama Islam, tetapi dari pendapat-pendapat manusia, kitab dan sebagainya. Mereka memang ada menceritakan kebenaran dari al-Qur’an dan Sunnah, tetapi ada juga yang mereka selitkan yang bukan dari Islam. Ini pun dipanggil mencampuradukkan haq dan batil.

وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ

Kamu sembunyikan yang benar

Kamu sembunyikan yang haq itu daripada diajar kepada orang. Sedangkan kamu tahu yang kamu telah sembunyikan iaitu apabila mengajar Taurat, apabila sampai kepada yang syariat yang payah, mereka tafsir dengan tafsir yang mereka buat sendiri. Mereka tidak mengubah matan teks Taurat itu, tetapi apa yang mereka syarah itu yang mereka reka sendiri. Mereka campur adukkan yang benar dan yang salah.

Perkara inilah yang terjadi kepada ulama-ulama Su’ – ulama-ulama jahat. Mereka tidak menukar matan al-Qur’an, tetapi mereka takwil dan tafsir dengan makna yang lain. Sedangkan maknanya bercanggah dengan ayat-ayat al-Qur’an. Mereka buat mengikut apa yang mereka kehendaki. Mereka sembunyikan yang benar dan ini adalah amat jahat sekali.

Anak murid pula memang takut untuk menegur tok guru. Apa sahaja yang guru beritahu, mereka sangka ia adalah benar belaka, maka mereka akan terima sahaja. Itulah dikatakan yang ulama: العوام كالأنعام (orang awam macam binatang ternak). Maknanya mereka akan ikut sahaja apa yang dikatakan oleh agamawan. Dan ini amat bahaya kerana kalau guru itu salah, bagaimana? Asalnya kesalahan yang dilakukan oleh guru agama sahaja, tetapi apabila dipanjangkan oleh pengikut yang jahil, maka ia jadi berleluasa.

Sampai sekarang ada masjid yang memberikan amaran kepada ustaz (oleh AJK Masjid) supaya jangan sembang tentang perkara ini dan itu. Contohnya tentang bid’ah, jangan sentuh. Maknanya AJK itu suruh sembunyikan kebenaran. Disuruh ajar perkara-perkara yang tidak menimbulkan kontroversi sahaja. Kalau ajar juga, alamatnya pendeklah masa ustaz tersebut di masjid itu kerana tidak akan dijemput lagi.

Ini adalah bisikan dari syaitan. Apabila tidak dibenarkan beritahu yang benar, maka lama kelamaan memang masyarakat akan terus berada di dalam kejahilan. Mereka yang berkata begitu dan ustaz yang mengikut sahaja cakap AJK Masjid itu tidak sedar yang mereka itu sendiri sudah mempunyai perangai Yahudi. Ini sangat teruk kerana kita pun tahu yang Yahudi dilaknat Allah ‎ﷻ maka takkan kita pun mahu dilaknat juga?

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Dan kamu menyembunyikan yang benar; Pendeta Yahudi itu tahu apa yang mereka amalkan itu adalah salah. Ini sama macam ustaz kita yang tahu mana-mana amalan syirik dan bid’ah yang diamalkan masyarakat kerana mereka telah belajar agama. Tetapi mereka sanggup menyembunyikannya.

Sebagai contoh, tok guru itu sebenarnya tahu yang sebetulnya tahnik itu menggunakan buah kurma sahaja tetapi dia membiarkan sahaja orang berbuat macam-macam lagi perkara tambahan, kerana dia hendak mendapatkan upah yang sedikit.

Sebab mereka akan dapat upah kalau mereka melakukan upacara tahnik itu. Kalau mereka tegur, mereka takut nanti masyarakat sudah tidak panggil mereka menjadi ketua acara majlis itu lagi. Jadi, kalau ada tok guru yang melakukan sebegini, maknanya mereka sudah menjadi seperti Pendeta Yahudi. Mereka mempunyai sifat-sifat Pendeta Yahudi.

Ada juga guru ugama yang apabila mengajar tentang agama, mereka tidak menceritakan sepenuhnya tentang kesalahan-kesalahan masyarakat. Takut nanti ada yang terasa. Mereka lebih hendak menjaga hati manusia daripada kehendak Allah ‎ﷻ. Seolah-olah mereka lebih takutkan manusia daripada takut dengan Allah ‎ﷻ?

Ataupun ada yang tidak membacakan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh golongan Ahli Kitab sebab mereka hendak menunjukkan kononnya Islam itu liberal – agama Islam sama sahaja dengan agama lain yang mementingkan kebaikan. Maksudnya, semuanya ‘boleh buat belaka’.

Mereka takut kalau dibacakan ayat-ayat itu, takut orang bukan Islam nampak Islam ini hanya hendak menyalahkan orang lain sahaja. Padahal ayat-ayat itu ada dalam al-Qur’an. Kalau mereka tidak menceritakannya, itu menunjukkan mereka menyembunyikan kebenaran. Itu adalah jenis orang yang takut dengan orang kafir. Mereka takut orang lain terasa hati dengan agama Islam pula.

Ada juga yang benci sangat kepada orang bukan Islam sampai mereka hanya menekankan ayat-ayat memerangi orang kafir. Mereka tidak baca pula ayat-ayat yang menekankan keamanan dan berbaik dengan orang-orang bukan Islam. Ini adalah hasil dari perasaan benci kepada orang bukan Islam.

Dalam Islam, tidak boleh ada dua perasaan itu. Tidak boleh ada perbuatan dan pengajaran kita didorong oleh takut dan marah. Kita kena jujur dengan al-Qur’an. Jangan kita sembunyikan ayat-ayat al-Qur’an. Kalau diajar dengan betul, tidak ada apa yang hendak kita takutkan dengan ayat-ayat al-Qur’an itu. Semua ayat al-Qur’an adalah berguna dan perlu disampaikan kepada manusia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan