Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-53

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-53

4566
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-53

Ini adalah ayat yang ditujukan bagi orang yang telah pernah berbuat amalan syirik atau orang yang pernah membuat dosa yang banyak sebelum ini. Ini adalah sebagai pengumuman dari Allah ‎ﷻ sebagai rahmat dan galakan kepada tauhid.

Ulama’ Tafsir menyebut yang ayat ini adalah ayat yang paling memberi harapan kepada manusia dalam Al-Qur’an.

Kalau orang yang dalam kesedihan dan berputus asa dalam hidupnya, suruh dia baca ayat ini dan fahami maksud dia. (bukan buat zikir pula… orang Melayu bab reka zikir memang pandai).

Baca dengan faham dan selami maknanya kerana kalau baca berulang-ulang untuk dapatkan sesuatu, itu sudah termasuk sihir (sihir menggunakan ayat Al-Qur’an).

۞ قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ

Katakanlah, wahai hamba-Ku sekalian yang telah melampaui batas kepada diri sendiri

‘Melampau batas’ dalam ayat ini adalah perbuatan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Perbuatan itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka. Kadang-kadang kita berbuat syirik kerana kita tidak tahu perbuatan itu adalah perbuatan yang syirik kerana kita tidak belajar.

Apabila jahil, mereka tidak tahu yang amalan mereka selama hari ini adalah amalan yang salah – sama ada bid’ah atau syirik. Tetapi apabila mereka telah belajar, maka mereka takut dan rasa gelisah kerana perbuatan mereka dahulu, bukan?

Orang-orang yang buat syirik akan masuk neraka, dan kemudian akan kekal di dalamnya, kalau mereka tidak sempat bertaubat kepada Allah ‎ﷻ sebelum mereka mati. Salah faham dalam masyarakat Islam kita adalah, mereka sangka selama mereka Islam, kalau pun mereka masuk neraka, mereka sangka mereka akan masuk syurga akhirnya.

Mereka tidak tahu bahawa kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah dosa syirik, mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila, walaupun nama mereka Islam dan mereka telah mengucap syahadah. Orang Islam yang masuk neraka dan selepas sekian lama dalam neraka dan dipindahkan ke syurga adalah mereka yang ada dosa, tetapi bukan dosa syirik.

Perkataan أَسْرَف juga bermaksud ‘berlebihan’. Ini adalah maksud yang lebih umum. Iaitu berlebihan sampai melampau. Mereka berlebih dalam tidur, buat maksiat, main game, berpolitik dan sebagainya. Sampaikan memberi kesan buruk kepada mereka. Ramai dari kalangan kita yang macam itu.

Mereka sangka apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan diri mereka tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk mereka dan telah memberi kesan kepada mereka. Sebab itulah perkataan yang digunakan adalah عَلَىٰ. Itu bermaksud perbuatan melampau mereka itu telah memberi kesan buruk kepada mereka.

Sebagai contoh, kalau berlebihan dalam berpolitik, akan menyebabkan kita berbuat dosa dengan menjatuhkan orang lain dan sebagainya.

Dalam ayat ini tidak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah lampaukan. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia melampau. Jadi Allah ‎ﷻ biarkan dalam bentuk umum.

Juga bermaksud mereka yang telah ‘jatuh’. Hilang pekerjaan dan sebagainya. Mereka sampai ada yang telah berputus asa. Maka, kepada mereka ini juga, Allah ‎ﷻ hendak berikan harapan.

لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ

Jangan sekali-kali kamu putus asa dari rahmat Allah.

Ayat ini mengatakan bahawa kita masih lagi ada peluang untuk mendapat keampunan daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya, ada peluang untuk bertaubat lagi walaupun kita sudah berbuat dosa maksiat, walaupun kita sudah berbuat syirik. Walau bagaimana banyak pun dosa kita Tuhan akan mengampunkan dosa kita walaupun kita telah berbuat syirik.

Syaratnya, kenalah memohon keampunan itu sendiri, tidak boleh orang lain mintakan kalau dosa itu adalah dosa syirik. Dan untuk meminta keampunan itu hendaklah dilakukan semasa hidup. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Kalau anak-anak isteri kita meminta keampunan untuk kita yang sudah berbuat syirik, itu tidak akan diterima. Kita kenalah meminta ampun sendiri.

Namun begitu, kalau dosa selain dosa yang syirik, walaupun kita sudah mati, ahli keluarga dan orang lain masih boleh meminta keampunan bagi pihak kita. Ini adalah kerana memang ada larangan daripada Allah ‎ﷻ untuk meminta ampun kepada orang yang mati dalam syirik.

Ayat ini memberi kita harapan bahawa tidaklah Allah ‎ﷻ terus melupakan kita. Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada kita, walau berapa banyak dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ amat sayang kepada kita. Sifat rahmah Allah ‎ﷻ amatlah besar sekali. Ada orang yang sangka yang dosa mereka terlalu banyak sampai mereka kata Allah ‎ﷻ tidak akan ampunkan mereka.

Itu adalah sangkaan mereka sahaja, Allah ‎ﷻ tidak pernah berkata begitu, mereka sahaja yang memandai-mandai. Jangan kita ada sangkaan seperti itu langsung. Inilah juga bisikan daripada syaitan untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tidak minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Syaitan bisikkan: “Dosa kamu dah banyak sangat, Allah takkan ampun dan pandang kamu dah, baik kamu teruskan sahaja apa yang kamu telah lakukan itu”.

Oleh itu, sentiasalah kita meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Sebelum kita tidur setiap malam, mintalah ampun kepada Allah ‎ﷻ di atas segala dosa kita, termasuklah dosa syirik yang mungkin kita telah lakukan tanpa kita sedar. Kerana kita tidak tahu, entah-entah kita akan dimatikan malam itu dan roh kita tidak dikembalikan kepada tubuh kita lagi.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Rahmat-Nya dalam ayat ini. Oleh itu, para pemberi khutbah, penceramah pun, janganlah hanya menceritakan azab yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada kita kalau berbuat salah. Mereka kuat menceritakan tentang dosa manusia, sampai mereka lupa untuk cerita tentang rahmat Allah ‎ﷻ.

Sampaikan orang yang mendengar khutbah akan berasa yang mereka hanya layak untuk masuk neraka sahaja. Lama kelamaan manusia akan rasa mereka akan terus masuk neraka dan tidak ada harapan untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan rasa tidak ada gunanya lagi untuk berbuat baik kerana mereka sudah tidak ada harapan lagi untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan terus berbuat dosa.

Kepada mereka yang telah diberikan dengan ujian, jangan berputus asa dengan Allah ‎ﷻ. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ supaya kita dikeluarkan dari masalah itu. Putus asa bukanlah satu sifat yang baik. Ia adalah satu sifat yang buruk. Jangan sekali-kali berputus asa.

إِنَّ اللَهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

Sesungguhnya Allah sanggup mengampun dosa kamu semua sekali.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ itu sanggup mengampuni dosa kamu semua sekali kalau kamu meminta pengampunan daripada-Nya. Tidak semestinya Allah ‎ﷻ wajib mengampuni dosa itu, tetapi Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan, kalau Dia mahu.

Ada muqaddar di sini, iaitu tidak diletakkan iaitu dengan syarat, kita kena meminta ampun. Kalau tidak minta ampun, maka tidak dapat. Kitalah yang perlu meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ sendiri. Kalau kita sudah mati, dan ahli keluarga memohon pengampunan kepada kita atas dosa syirik kita, tidak akan diterima.

Kalau dosa selain dosa syirik, Allah ‎ﷻ masih lagi terima, kalau Allah ‎ﷻ mahu. Kalau dosa selain dari dosa syirik, orang lain masih boleh mintakan ampun bagi pihak kita.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk mengampunkan semua sekali dosa kita, bukan hanya sedikit. Bukan dosa yang kecil sahaja, tetapi dosa yang besar sekalipun. Maka kalau Allah ‎ﷻ sudah berkata yang Dia sanggup untuk menerima taubat itu, maka mintalah ampun semasa hidup di dunia ini. Janganlah tunggu di akhirat kelak yang mana taubat tidak diterima lagi.

إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Belas Kasihan.

Kenapa Allah ‎ﷻ sanggup untuk memberi keampunan kepada kita? Kerana sesungguhnya Dia itu adalah Dzat yang amat pemberi pengampunan. Sifat asal Allah ‎ﷻ adalah Maha Pengampun. Dia boleh mengampunkan dan Dia boleh melupakan dosa yang kita buat. Sampaikan tidak ada lagi yang akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut.

Kita sebagai manusia, tidak boleh melupakan kesalahan orang lain kepada kita, walaupun kita sudah memaafkannya. Hati kita masih ingat lagi walaupun kita sudah memaafkannya dengan mulut dan kita pun telah cuba untuk maafkan orang itu dalam hati kita.

Namun, bagi Allah ‎ﷻ, bila Dia ampunkan, Dia tutup dosa itu. Dan Dia tidak akan azab hamba-Nya itu dalam neraka atas kesalahan itu. Jangan degil untuk meminta ampun.

Dia sanggup mengampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hamba-Nya.

Kita kena faham apakah makna الْغَفُورُ ini. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan banyak mana pun dosa makhluk itu. Namun begitu, tidaklah bermaksud Dia sentiasa memaafkan.

Jangan pula kita rasa Allah ‎ﷻ akan sentiasa memaafkan kesalahan kita, kita tidak risau untuk berbuat dosa pula kerana kita sangka Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja memaafkan. Bagaimana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita?

Jadi kita jangan senang hati sangat dan rasa boleh sahaja berbuat dosa, nanti minta ampun, dan Allah ‎ﷻ maafkanlah. Itu adalah salah faham seperti yang dihadapi oleh orang Kristian.

Pada mereka, kalau mereka menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan, mereka akan diampunkan segala dosa mereka. Dan kalau mereka ada berbuat dosa, mereka pergi berjumpa paderi dan mengaku kesalahan mereka, maka mereka sudah selamat.

Dalam Islam tidak begitu. Kita memang kena meminta ampun dan berharap Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita, tetapi dalam masa yang sama, kita kenalah berhati-hati. Jangan kita salah gunakan ayat ini untuk beri tiket percuma untuk berbuat dosa pula.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan