Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula SnJ mengenai wudhu’

SnJ mengenai wudhu’

258
0
Iklan

🍀SESI SOAL JAWAB☘️
=======================

1. Bolehkah membaca bismillah atau tasmiyah ketika wudhu’ di dalam tandas?

🔵 Isunya yang mungkin menghalang masyarakat kita membaca bismillah sebelum berwudhu’ adalah kerana selalunya kita mengambil wudhu’ di dalam tandas, benarkan?

Oleh kerana tidak boleh menyebut nama Allah di dalam tandas, maka ramai yang takut membaca bismillah.

Sebenarnya larangan menyebut nama Allah adalah di dalam tandas yang ada najis di dalamnya.

Begitulah keadaan tempat membuang air di zaman Nabi Muhammad SAW atau zaman P. Ramlee.

Zaman sekarang tandas kita tidak semestinya ada najis di dalamnya. Ini kerana semua najis sudah dinyahkan.

Maka, tiada salah sekiranya membaca bismillah di dalam tandas di zaman sekarang.

2. Andaikata kita terlupa membaca bismillah / tasmiyah sebelum wudhu’, bolehkah dibaca ketika wudhu’ atau tidak mengapa jika terlupa untuk membacanya?

🔵Bacaan tersebut boleh dibaca di pertengahan wudhu’.

3. Jika membasuh anggota wudhu’ lebih dari tiga kali atau kurang dari tiga kali, adakah ianya dikira sunnah?

🔵Membasuh anggota wudhu’ dalam bilangan satu, dua atau tiga kali adalah sunnah. Selain daripadanya tidak boleh.

4. Sebagai contoh, membasuh muka sebanyak tiga kali, tangan dua kali, kepala sekali sahaja, adakah dibolehkan?

🔵Ya, ianya dibolehkan

5. Berkumur dan memasukan air ke dalam hidung, adakah perlu dilakukan serentak atau berasingan?

🔵Boleh melakukannya dengan kedua-dua cara tersebut. Tetapi yang lebih menghampiri kepada sunnah adalah dengan cara melakukannya serentak.

6. Apakah di dalam pendapat mazhab Asy-Syafi’iy berkumur dan istinsyaq adalah sunat?

🔵Ya. Walaupun begitu, ia bukan menjadi halangan untuk meninggalkan
berkumur dan istinsyaq secara mutlak.

7. Ketika berwudhu’, adakah perlu meratakan air pada setiap anggota wudhu’ dengan tangan atau sekadar dilalukan air ke atasnya?

🔵Mengikut pandangan mazhab Malik ianya adalah wajib untuk sapukan air ke atas anggota wudhu’ menggunakan tangan, tetapi di dalam mazhab Asy-Syafi’iy ianya tidak wajib.

8. Apakah menyela janggut itu dilakukan setelah membasuh muka atau bersamaan ketika membasuh muka sebagaimana melakukan berkumur dan sedut air ke dalam hidung?

🔵Ia bergantung pada ketebalan janggut. Jika janggutnya tipis dan air boleh sampai ke dagu, maka boleh dibasuh bersama-sama wajah.

Jika janggutnya tebal, maka perlu mengambil air lain untuk menyela janggut sehingga sampai air ke bahagian dagu.

9. Adakah sah wudhu’ jika tidak mengikut tertib.

🔵Mengikut pandangan jumhur ulama, melakukan wudhu’ dengan tertib adalah wajib tetapi mengikut pandangan
Imam Al-Bukhari, ia tidak wajib.

10. Adakah wanita juga perlu menyapukan air ke dagunya sebagaimana lelaki yang mempunyai janggut menyela janggutnya hingga sampai air ke dagu?

🔵Wanita tidak mempunyai janggut, oleh yang demikian cukuplah menyapu keseluruhan mukanya sahaja

11. Apakah yang perlu dilakukan jika terdapat anggota wudhu’ yang tidak boleh terkena air?

🔵Ambillah wudhu’ dengan cara menyapukan air pada bahagian yang boleh dikenakan air sahaja.

12. Adakah boleh bertayammum pada anggota yang tidak boleh terkena air?

🔵Tayammum hanya dilakukan jika kesemua anggota wudhu’ tidak boleh terkena air langsung. Jika ada sebahagian yang boleh terkena air dan bahagian tidak boleh, maka cukup sekadar membasuh bahagian yang boleh dikenakan air. Bahagian yang tidak boleh terkena air adalah dimaafkan.

13. Andaikata pada tempat yang tidak boleh terkena air tersebut dibalut, apakah perlu disapu air ke atas balutan atau tidak menyapu air langsung?

🔵Berkenaan masalah ini, kitab mempunyai dua pendapat iaitu:-
1. Tidak menyapu air pada balutan tersebut.
2. Menyapu air pada balutan tersebut. Qiyas kepada hukum menggunakan khuf.

14. Jika terlupa turutan mengambil wudhu’, adakah perlu diulangi semula wudhu’nya?

🔵Ya, wudhu’nya perlu diulangi semula.

15. Jika khuatiri tertelan air yang disedut semasa berpuasa, adakah boleh meninggalkan berkumur dan istinsyaq?

🔵Perlu melakukan berkumur dan istinsyaq juga tetapi dengan sedutan yang lebih perlahan.

16. Adakah perlu melakukan berkumur dan istinsyaq ketika mandi hadas?

🔵Ya. Ghusl dalam istilahnya.

17. Jika janggutnya panjang ke bawah hingga ke dada, adakah basuhannya perlu sampai hujung janggut?

🔵Bahagian yang perlu dikenakan air adalah dagu kerana itulah perlunya menyela janggut.

18. Bolehkah berwudhu’ dengan cara air itu disimbah ke muka tanpa disapu?

🔵Mengikut pendapat mazhab Asy-Syafi’iy ia boleh dilakukan manakala mengikut pendapat mazhab Maliki tidak sah wudhu’ dengan cara demikian.

Sebaiknya adalah dengan menyapu air ke muka ketika berwudhu’.

19. Cedok air menggunakan tangan kanan, dimasukkan ke dalam mulut sedikit untuk berkumur, kemudian air dari tapak tangan yang sama disedut masuk ke dalam hidung menggunakan hujung nafas dan akhir sekali menghembus keluar air kembali dengan tangan kiri. Adakah ini teknik yang betul?

🔵Ya teknik yang betul, perkara amali sebegini perlu dipraktikkan supaya lebih faham.

20. Bolehkah airnya disedut masuk hidung, keluar melalui mulut?

🔵Tidak boleh dan perlu mengulanginya semula wudhu’.

21. Manakah yang perlu dikeluarkan dahulu ketika berkumur dan istinsyaq?

🔵Boleh memulakan dari mana-mana bahagian dahulu.

22. Selepas berwudhu’, saya berbual sehingga sampai satu jam. Tidak dapat dipastikan adakah ada perkara yang membatalkan wudhu’ sepanjang berbualan itu tadi. Adakah boleh saya terus menunaikan solat dengan wudhu’ tersebut?

🔵Berdasarkan kaedah fiqh al-Yaqiin la Yuzaal bil al-Syak (Keyakinan tidak hilang dengan keraguan). Ia bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada.

Kita gunapakai mana yang yakin. Jika diyakini masih ada wudhu’, maka boleh teruskan solat. Jika diyakini wudhu’ terbatal, maka perlu mengulangi wudhu’. Keraguan dan syak tidak boleh digunakan di dalam hal ini.

23. Adakah menyentuh kemaluan membatalkan wudhu’ dan apakah dalilnya?

🔵Perbahasan ini ada khilaf di kalangan ulama tetapi yang rajihnya, menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhu’.

Dalil tidak batalnya wudhu’ adalah hadith dari Tholq bin ‘Ali di mana ada seseorang yang mendatangi Rasulullah ‎ﷺ lalu bertanya,

مَسِسْتُ ذَكَرِى أَوِ الرَّجُلُ يَمَسُّ ذَكَرَهُ فِى الصَّلاَةِ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ قَالَ « لاَ إِنَّمَا هُوَ مِنْكَ

“Aku pernah menyentuh kemaluanku atau seseorang ada pula yang menyentuh kemaluannya ketika shalat, apakah ia diharuskan untuk wudhu?” Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Kemaluanmu itu adalah bagian darimu.” (Hadith riwayat Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ibn Majah dan al-Daruqutni. Hadis ini diklasifikasikan sebagai sahih oleh Amru bin Ali al-Falas, Ibn Hibban, at-Tabrani dan Ibn Hazm).

Dalil batalnya wudhu’ adalah hadith dari Busroh binti Shofwan,

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Barangsiapa yang menyentuh kemaluannya, hendaklah ia berwudhu’.” (Janganlah menunaikan solat sebelum berwudhu’ bagi sesiapa yang menyentuh kemaluannya. (Hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, al-Nasa’i, Abu Daud dan Ibn Majah. At-Tirmizi mensahihkannya).

24. Adakah masih sah wudhu’ atau mandi hadas jika kita lap air daripada badan dengan tuala sehingga kering?

🔵Sah wudhu’nya dan tiada masalah hendak lap air wudhu’ atau mandi hadas. Ini adalah kerana air wudhu’ yang kering sendiri atau dilap tidak membatalkan wudhu’ atau mandi hadas.

25. Adakah berkumur dan istinsyaq semasa berpuasa boleh membatalkan puasa jika tidak sengaja tersedut air berlebihan?

🔵Jika tidak sengaja adalah dimaafkan.

26. Sunnah bangun tidur untuk berintisyaq. Dari Abu Hurairah ‎رضي الله عنه, Rasulullah ‎ﷺ bersabda,

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيَاشِيمِهِ

Apabila kalian bangun tidur, hendaknya menghirup air ke dalam hidung lalu membuangnya sebanyak 3 kali. Karena syaitan bermalam di rongga hidungnya. (HR. Bukhari 162 dan Muslim 238).

Bolehkah melakukan intisyaq ketika bangun pagi satu kali sahaja?

🔵Ya boleh tetapi adalah sunnah untuk melakukan dua atau tiga kali.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan