Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-6 dan ke-7

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat ke-6 dan ke-7

2564
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat ke-6

Dalil yang kedua kenapa kita kena sembah Allah ﷻ sahaja. Ini adalah jenis Dalil Aqli Anfusi – Allah ﷻ memberi lagi dalil kepada kita, takut-takut kita tidak berpuas hati: iaitu sekarang berkenaan penciptaan manusia pula.

Ayat sebelum ini adalah tentang penciptaan langit dan bumi. Ini pula adalah jenis Dalil Aqli Anfusi – selepas Allah ﷻ suruh lihat alam, Allah ﷻ suruh kita melihat diri kita pula.

خَلَقَكُم مِّن نَّفسٍ وٰحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنها زَوجَها وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ الأَنعٰمِ ثَمٰنِيَةَ أَزوٰجٍ ۚ يَخلُقُكُم في بُطونِ أُمَّهٰتِكُم خَلقًا مِّن بَعدِ خَلقٍ في ظُلُمٰتٍ ثَلٰثٍ ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُصرَفونَ

Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Nabi Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya – isterinya (Hawa); dan Ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina). Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga kegelapan. Yang demikian ialah Allah Tuhan kamu; bagi-Nyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan?

خَلَقَكُمْ مِّنْ نَفْسٍ وٰحِدَةٍ

Dialah yang menciptakan kamu daripada jiwa yang satu,

Jiwa yang satu itu adalah Nabi Adam عليه السلام yang dicipta dari tanah. Kita pula dicipta dari sperma yang ada dalam air mani. Apabila kita renungkan yang diri kita ini, asal dari keturunan yang sama, maka kita sepatutnya melihat kepada persamaan antara kita. Jangan kita melihat kepada perbezaan.

Maka, sepatutnya kita dapat merasa apakah kesusahan yang dialami oleh orang lain dan bangsa lain. Walaupun mereka dari negara lain, berlainan bangsa, bahasa, agama dan cara hidup, tetapi tentunya masih ada persamaan antara kita semua.

Janganlah kita menindas mereka tidak tentu pasal. Janganlah kita pandang serong kepada mereka. Ini kerana kita semua adalah bersaudara belaka, asal dari punca yang satu: Nabi Adam عليه السلام. Apabila kita faham konsep ini, maka akan timbul sifat perikemanusian yang tinggi dalam diri kita.

Orang Islam sepatutnya mempunyai perikemanusiaan yang tinggi. Kita sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada agama lain kerana agama lain mungkin tidak ada diajar perkara begini. Lihatlah bangsa Israel yang tanpa rasa perikemanusian sanggup menindas dan membunuh penduduk Palestin. Mereka seperti berhati binatang.

Maka, jangan pula kita orang Islam pun begitu juga. Ini kerana ada juga orang Islam yang berfikiran begitu. Ada yang mempunyai orang gaji dan melayan orang gaji mereka seperti binatang juga – paksa buat itu dan ini, pukul dan merogol mereka – padahal mereka itu orang Islam. Sikap mereka seperti tidak ada agama pula.

ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا

Daripada jiwa yang satu itu, Kami jadikan pasangannya

Yang dimaksudkan adalah Hawa, ibu kita semua. Untuk kita, dijadikan pasangan dari bangsa manusia juga. Itulah maksud مِنْهَا dalam ayat ini – dijadikan dari bangsa yang sama. Ini kerana ada fahaman yang kata, Hawa dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam عليه السلام- ini kurang tepat.

Apabila kita sedar yang kita semuanya dijadikan dari satu sumber, maka tidak ada perbezaan yang ketara antara lelaki dan perempuan. Sama sahaja hak untuk keduanya melainkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Quran dan Hadith Nabi. Selain dari itu, mereka juga mempunyai hak yang sama dengan orang lelaki.

Islamlah agama yang menitik beratkan kepentingan menjaga hak wanita kalau dibandingkan dengan agama-agama lain. Dalam agama lain menidakkan hak wanita, Islam telah membela hak mereka dari dulu lagi. Amat menyedihkan kerana sekarang ada yang mengatakan Islam telah menidakkan hak kaum wanita. Kalau agama selain Islam kata macam itu, kita faham tetapi kalau ia datang dari orang Islam sendiri, ini amat menyedihkan.

Lihatlah apa yang dikatakan oleh persatuan ‘Sisters in Islam’ yang dengan jelas telah menolak hukum-hukum yang Allah ﷻ sendiri telah tetapkan. Ini semua kerana mereka tidak belajar agama mengikut sumber yang benar.

Mereka terus lihat fahaman barat yang memberi kepentingan kepada wanita sebagai terbaik, sedangkan Islam telah lama memberi kedudukan kepada wanita dari dulu lagi.

Ini kerana kedudukan itu dibahagikan oleh Allah ﷻ, dengan cara Allah ﷻ, maka tentu itu lebih baik daripada fahaman yang direka dan dicipta dari orang kafir. Manakah yang lebih baik, daripads Allah ﷻ atau daripada manusia?

وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِّنَ الْأَنْعٰمِ ثَمٰنِيَةَ أَزْوٰجٍ

Kami turunkan untuk kamu daripada binatang-binatang ternak lapan jenis pasangan.

Kalimah وَأَنْزَلَ bermaksud ‘menurunkan’ dari segi bahasa dan ada ulama kata dalam ayat ini ia bermaksud ‘mempermudahkan’.

Allah ﷻ telah berikan binatang ternak kepada manusia iaitu lapan jenis binatang yang berpasangan (diterangkan dalam surah [ al-An’am ] – iaitu unta jantan betina, lembu jantan betina, domba jantan betina dan kambing jantan betina) sebagai makanan utama umum seluruh manusia. Memang ada makanan yang lain, tetapi binatang jenis ini di mana-mana seluruh dunia ada dijadikan sebagai makanan.

Seperti mana manusia ada lelaki dan perempuan, begitu juga Allah ﷻ jadikan untuk binatang ternak itu, jantan dan betina. Pasangan itu kena ada, kerana dengan ada pasangan, baru boleh membiak ternakan itu. Semua kehidupan ada pasangan masing-masing. Cuma yang tidak ada pasangan hanyalah Allah ﷻ sahaja.

📍Perkataan أَنْزَلَ dari segi bahasa bermaksud ‘menurunkan’ – tetapi dalam ayat ini ia bermakna ‘menciptakan’. Digunakan lafaz ‘turun’ kerana ia adalah satu rahmat dari Allah ﷻ, seperti juga rahmat Allah ﷻ dalam penurunan hujan. Bukan dalam ayat ini sahaja penggunaan begini digunakan tetapi dalam ayat-ayat lain juga seperti:

[ A’raf: 26 ] أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا Kami telah menurunkan kepadamu

[ Hadid: 25 ] وَأَنزَلنَا الحَديدَ dan Kami telah menurunkan besi

Allah ﷻ dengan sifat Rahman-Nya telah memberikan binatang-binatang ini sebagai binatang ternak supaya mudah kita mengendalikannya. Kita juga boleh mengambil manfaat dari empat pasangan binatang itu untuk mendapat daging dan susunya, jadikan sebagai kenderaan dan berbagai lagi kegunaan untuk kehidupan kita.

يَخْلُقُكُمْ فِي بُطُونِ أُمَّهٰتِكُمْ خَلْقًا مِّنْ بَعْدِ خَلْقٍ

Dialah yang menciptakan kamu dalam perut ibu-ibu kamu, satu ciptaan ke satu ciptaan lain.

Allah ﷻ boleh sahaja jadikan anak itu terus tanpa melalui proses 9 bulan dalam perut ibunya tetapi bukan begitu cara yang Allah ﷻ pilih. Allah ﷻ jadikan anak itu melalui banyak proses satu persatu daripada air mani, kemudian menjadi darah. Selepas itu, dari darah menjadi daging, dari daging menjadi tulang dan seterunya menjadi bentuk yang lain. Kemudian baru ditiupkan roh.

Tidak dibuat sekaligus macam malaikat dan bidadari. Kita dijadikan melalui dua ibu bapa, disimpan dalam rahim ibu. Salah satu hikmahnya supaya seorang ibu dapat melalui proses itu sedikit demi sedikit. Tidaklah terus sahaja anak besar dalam perut tetapi sedikit demi sedikit, dari halus tidak nampak sampailah boleh pegang bentuk bayi itu dari luar.

Dalam ayat lain, disebut bagaimana kejadian berperingkat itu. Kejadian manusia pada mulanya berbentuk nutfah, kemudian beralih bentuk menjadi ‘alaqah, lalu menjadi segumpal daging, kemudian membentuk rupa daging, tulang, dan otot-otot serta urat-urat, lalu ditiupkan roh ke dalam tubuhnya sehingga jadilah ia makhluk yang berbentuk lain.

Ini adalah salah satu mujizat Al-Quran ini yang menjadi dalil benarnya Al-Quran ini daripada Allah ﷻ. Ini kerana tidak mungkin seorang lelaki yang tinggal di Tanah Arab lebih seribu tahun dahulu tahu tentang proses kejadian manusia itu, kalau tidak disampaikan oleh Allah ﷻ.
فِي ظُلُمٰتٍ ثَلٰثٍ

dalam tiga kegelapan:

Apakah yang dimaksudkan ‘dalam tiga kegelapan’? Bayi duduk dalam tembuni, tembuni duduk dalam rahim dan rahim pula duduk dalam perut. Ketiga-tiga tempat simpan itu adalah gelap.

Allah ﷻ jadikan penciptaan manusia yang hebat dan mulia ini tersimpan dalam tempat yang tersembunyi. Tidaklah macam pembuatan kereta di kilang yang semua orang boleh tengok dan pegang. Ini kerana manusia mulia, maka kejadiannya juga mulia.

Kita sekarang memang tahu perkara ini kerana ilmu sains sudah maju dan kita tahu apa yang terjadi dalam perut ibu mengandung itu. Namun, bayangkan apabila ia pertama kali diberitahu kepada Arab Mekah itu. Ini adalah satu berita baru bagi mereka.

ذَٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ

Yang berkuasa mencipta segala sesuatu, itulah Allah, Pencipta, pemelihara kamu semua, milik-Nya segala kerajaan.

Allah ﷻ sahaja yang ada sifat-sifat yang telah disebutkan itu. Oleh itu tidak ada yang patut dipuja, melainkan hanya Allah ﷻ jua. Allah ﷻ lah yang mencipta dan memelihara kita. Selepas Dia cipta kita, Dia lah yang akan memberikan segala keperluan untuk kita hidup seperti juga kalau kita tangkap burung dan masukkan dalam sangkar, maka kitalah yang kena memberi makan kepada burung itu.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tiada ilah melainkan Dia

Tidak ada apa-apa entiti yang ada sifat tuhan yang boleh disembah sama ada Nabi, wali, malaikat, benda seperti cincin, keris keramat dan sebagainya. Oleh itu, perlukah kena sembah mereka, puja mereka dan buat ibadat kepada mereka? Adakah mereka boleh mencipta apa-apa? Tentu tidak kerana hendak mencipta nyamuk seekor pun tidak boleh.

فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

Maka macam mana lagi kamu boleh terpaling?

Dengan begitu banyak dalil yang diberikan, bagaimana lagi manusia tidak mahu puja Allah ﷻ betul-betul? Bagaimana lagi boleh terpaling dari akidah yang bena? Bagaimana mereka boleh minta tolong kepada selain daripada Allah ﷻ? Kenapa ramai yang buat ibadat kepada selain Allah ﷻ? Padahal hanya Allah ﷻ sahaja yang ada sifat Tuhan. Kalau kita menggunakan akal kita yang sihat, tentunya kita akan sampai kepada satu pegangan – hanya Allah ﷻ yang patut disembah.

Namun, amat malang sekali kerana kadang-kadang ada antara kita yang mengaku muslim ini, lebih kurang sahaja akidah dengan agama-agama lain. Lebih-lebih lagi dalam hal berdoa – masih lagi meminta kepada selain dari Allah ﷻ. Kita tahu Allah ﷻ itu Tuhan, tetapi kita minta pertolongan kepada selain dari Allah ﷻ. Kita pakai perantaraan (wasilah) makhluk untuk berdoa kepada Allah ﷻ kerana salah faham kita tentang Allah ﷻ.

Maka setelah faham perkara ini, janganlah kita minta tolong kepada selain daripada Allah ﷻ, walaupun kepada Nabi Muhammad ﷺ sekalipun. Dia hanyalah manusia seperti kita juga. Beza baginda dengan kita, Allah ﷻ memberi wahyu kepada dia. Nabi ﷺ adalah perantaraan antara kita dan Al-Quran – melaluinya kita telah mendapat Al-Quran dan tugas baginda menyampaikan Al-Quran itu telah selesai.

Tidaklah sekarang Nabi Muhammad ﷺ menjadi perantaraan kita dan Allah ﷻ untuk menyampaikan hajat kita kepada Allah ﷻ pula – tugas baginda ﷺ sudah selesai buat masa ini. Oleh itu, apa sahaja hajat keperluan kita, terus doa kepada Allah ﷻ sahaja.

Tafsir Ayat ke-7

Takhwif Ukhrawi.

Ramai manusia yang walaupun telah diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, mereka masih menolak juga ajaran tauhid.

إِن تَكفُروا فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنكُم ۖ وَلا يَرضىٰ لِعِبادِهِ الكُفرَ ۖ وَإِن تَشكُروا يَرضَهُ لَكُم ۗ وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۗ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّكُم مَّرجِعُكُم فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Kalaulah kamu kufur ingkar, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya); dan Ia tidak redhakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur; dan jika kamu bersyukur, Ia meredhainya. Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

إِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنْكُمْ

Sekiranya kamu masih lagi kufur, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya, serba cukup, tidak perlu kekufuran kamu

Kalau manusia kufur, tidaklah merugikan Allah ﷻ sedikitpun. Ibadat kita pun Allah ﷻ tidak perlukan. Kalau satu alam ini tidak menyembah-Nya, tidaklah kurang kedudukan Allah ﷻ. Allah ﷻ masih lagi bersifat seperti sifat kemuliaan-Nya.

Maka, dalam ayat ini, Allah ﷻ telah cabar manusia, buatlah apa pun, Allah ﷻ tidak terjejas dengan kekufuran kita. Allah ﷻ tidak memerlukan kita, tidak memerlukan ibadat kita. Kita sahaja yang memerlukan Dia.

Lebih-lebih lagi, Allah ﷻ tidak perlukan ibadat syirik manusia. Maknanya, Allah ﷻ tidak terima pun ibadat syirik manusia dan jin.

✍🏻Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui salah satu hadithnya yang mengatakan:

“يَا عِبَادِي، لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ، كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ مِنْكُمْ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا”

Hai hamba-hamba-Ku, seandainya orang-orang yang pertama dan orang-orang yang terakhir daripada kalian, dari jenis manusia dan jin, mereka semuanya durhaka sebagaimana seseorang yang paling durhaka di antara kalian, tidaklah hal tersebut mengurangi kerajaan­-Ku barang sedikit pun.

وَلَا يَرْضَىٰ لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ

Tapi Allah tidak redha hamba-hamba-Nya yang kufur,

Walaupun Allah ﷻ tidak memerlukan kita dan ibadat kita, tetapi kalau kita kufur engkar, Dia tidak redha. Jangan pula kita kata, kalau Allah ﷻ tidak perlu kepada ibadat kita, Dia tidak kisah sama ada kita buat ibadat atau tidak – ini fahaman yang sesat.

Memang ramai yang kufur, tetapi Allah ﷻ tidak redha. Jangan ada salah faham antara ‘kehendak’ dan ‘redha’ Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ benarkan orang kufur, tidaklah bermaksud Allah ﷻ redha.Tidak akan terjadi apa-apa tanpa qadr Allah ﷻ. Orang jadi kufur pun kerana Allah ﷻ izinkan tetapi Allah ﷻ tidak redha.

Ini penting kerana ramai yang salah faham tentang perkara ini. Mereka sangka, kalau Allah ﷻ tidak suka, tentulah Allah ﷻ tidak benarkan ia terjadi. Mereka yang buat kufur, akan tetap tinggal dalam neraka. Allah ﷻ tidak memerlukan ibadat dan iman kita, tetapi Allah ﷻ tidak suka kalau kita tidak beriman.

Oleh kerana itu, Allah ﷻ telah menurunkan kitab, mengutus Rasul-rasul dan Nabi-nabi dan memberikan pendakwah-pendakwah kepada kita supaya kita menjadi orang yang beriman. Mereka telah menyampaikan ancaman Allah ﷻ yang akan diberikan kepada mereka yang engkar.

Allah ﷻ memberi peringatan kepada manusia dan jin kerana Allah ﷻ tidak suka menyeksa hamba-hamba-Nya dan tidak suka mereka masuk ke dalam neraka. Allah ﷻ hendak melihat kita selamat, jadi Dia telah berikan amaran dan juga nasihat terlebih dahulu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan