Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-20 dan ke-21

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-20 dan ke-21

335
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-20

Takhwif Ukhrawi

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): “Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ

Dan hari orang-orang kafir didedahkan kepada api neraka

Allah ﷻ hendak menceritakan keadaan mereka yang kafir yang duduk dalam neraka. Mereka akan dipanggang dengan api neraka yang suhunya ribuan juta darjah. Sambil mereka dipanggang itu, mereka akan dihinakan dengan kata-kata para malaikat yang sedang menyeksa mereka.

أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها

“Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya;

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘dikatakan kepada mereka’. Semasa mereka sedang dipanggang itu, mereka diberi syarahan yang menyakitkan hati. Ini adalah takzib rohani – penyeksaan jiwa. Ini untuk menambah azab badan yang mereka sedang terima.

Sudahlah tubuh mereka sedang diazab, jiwa mereka juga diseksa dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Diingatkan kembali kehidupan mereka di dunia yang menyebabkan mereka jadi sesat dan tidak bersedia untuk menghadapi akhirat – mereka dulu bersuka ria dalam dunia, menghabiskan masa dengan nikmat kehidupan sahaja.

Dunia telah melalaikan mereka sampai mereka tidak sempat meluangkan masa untuk mencari kebenaran, tidak beramal dengan amal yang soleh.Tentang dunia mereka hebat, tetapi tentang agama mereka ambil mudah sahaja. Mereka tidak kisah kalau mereka jahil tentang agama, asalkan kehidupan mereka senang lenang.

Macam orang kita juga yang pakai ilmu agama yang mereka dapat di sekolah rendah sahaja. Tidak berubah sampailah mereka sudah dewasa dan sudah tua. Mereka tidak ‘upgrade’ ilmu agama mereka. Ini juga celaan kepada manusia yang makan segala rezeki pemberian Allah ﷻ, tetapi tidak taat kepada-Nya.

Sebenarnya segala nikmat yang kita gunakan ini adalah percuma kalau kita taat kepada Allah ﷻ tetapi kalau tidak taat, maka akan ditanya apakah yang mereka lakukan semasa di dunia. Hendak bayar macam mana segala oksigen dan segala makanan yang kita sudah makan?

Ada satu lagi maksud ayat ini: segala perbuatan baik orang kafir itu telah Allah ﷻ balas semasa di dunia. Mereka pun ada buat baik juga, tetapi perbuatan baik itu Allah ﷻ telah balas di dunia lagi. Jadi mereka tidak dapat hendak tuntut perbuatan baik mereka itu di akhirat kerana mereka tidak ada pahala.
فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ

maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina

Ini kerana mereka lalai dari agama dan leka dengan dunia, sekarang mereka akan merasai azab yang menghinakan di neraka. Dulu mereka di dunia, hebat sekali – semua orang kenal, semua orang takut dan hormat kepada mereka, apa sahaja yang mereka hendak, mereka boleh dapat.

Kalau ada sesiapa yang mereka tidak setuju, siaplah orang itu kerana akan susah kehidupannya. Namun, terbalik sekali dengan nasib mereka di neraka – mereka jadi orang yang hina sehina-hinanya.

Dulu semasa di dunia, mereka mungkin hina orang lain, tetapi di akhirat nanti mereka akan dihinakan sehina-hinanya.

بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ

kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar,

Kenapa mereka dihinakan dengan teruk sekali? Ini kerana mereka dulu sombong tidak mahu menerima kebenaran. Apabila kebenaran disampaikan kepada mereka, mereka sombong hendak terima.

Mereka juga sombong hendak belajar, macam tidak penting sahaja pelajaran agama itu sampaikan mereka hendak luangkan masa pun tidak layak. Kita ajaklah banyak kali ajak datang kelas, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.

Mereka tolak kebenaran tanpa hak – tanpa beri dalil bukti pun kenapa mereka tidak terima. Mereka tolak mentah-mentah sahaja dan sombong pula untuk terima ajaran tauhid yang disampaikan kepada mereka. Mereka tolak itu kerana mereka degil sahaja, bukan sebab lain.

وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”

Dari segi perbuatan mereka pula, mereka berbuat fasik – fasik maksudnya keluar dari taat. Apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat, mereka tidak mahu buat tetapi perbuatan dosa mereka selalu dan banyak pula dibuat.

Inilah apabila tidak ada ilmu agama. Mereka sudah tidak kisah halal haram lagi. Semuanya mereka redah sahaja. Maka, kerana sebab-sebab inilah mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Tafsir Ayat ke-21

Sekarang masuk kepada kisah yang baru. Ini adalah Dalil Naqli Tafsili dari kisah Nabi Hud عليه السلام dan juga mengandungi Takhwif Duniawi.

Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada Musyrikin Mekah dan kita juga, apakah kesan kalau tidak ikut ajaran Rasul.

وَاذكُر أَخا عادٍ إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”, – sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya – (dengan berkata): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)”.

وَاذكُر أَخا عادٍ

Dan ingatlah peristiwa saudara kaum Aad,

‘Saudara’ Kaum Aad yang dimaksudkan adalah Nabi Hud عليه السلام. Baginda adalah seorang Nabi dari kalangan bangsa Arab. Jadi Musyrikin Mekah memang kenal baginda. Kaum Aad ini adalah kaum yang ada selepas Banjir Besar Nabi Nuh.

Selepas banjir itu, semua manusia yang ada adalah beriman belaka. Melalui merekalah keturunan manusia bercambah membiak. Akan tetapi lama-kelamaan, manusia kembali melakukan syirik. Jadi, kaum Aad ini adalah antara kaum yang awal menolak tauhid.

إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ

ketika ia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”,

Nama surah ini diambil dari ayat ini: ahqaf (bukit-bukit pasir). Kaum Aad tinggal di daerah Ahqaf. Ia terletak antara kawasan Yaman dan Hadramawt.

Tempat itu dinamakan begitu kerana ada bukit-bukit pasir yang tinggi. Menurut Ikrimah, Al-Ahqaf ertinya bukit-bukit dan gua-gua. Musyrikin Mekah memang kenal dengan peninggalan mereka kerana telah melalui kawasan peninggalan kaum Aad itu dalam safar mereka.

وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ

dan telah berlalu Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya

Terdapat banyak rasul-rasul yang telah menyampaikan dakwah dan akan ada lagi rasul-rasul lain. Ada Rasul yang sezaman dengan Nabi Hud عليه السلام dan ada yang datang pada zaman sebelum.

Nanti akan ada Nabi lain yang akan datang sesudah baginda. Semua Nabi-nabi itu menyampaikan mesej tauhid yang sama.

Apakah mesej semua Nabi dan Rasul?

أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ

“Janganlah kamu menyembah melainkan Allah,

Mesej yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu sama sahaja pada dasarnya. Mereka mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah ﷻ sahaja dalam sembahan dan dalam seruan doa.

Jangan taat kepada selain dari Allah ﷻ dan meminta kepada selain Allah ﷻ. Selain itu jangan amalkan tawassul yang salah dan jangan minta kepada Nabi, wali dan malaikat.

Maknanya, semua Nabi-nabi dalam dunia ini menyampaikan mesej yang sama. Itulah yang hendak disampaikan kepada Musyrikin Mekah dan manusia seluruhnya.

إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

sesungguhnya aku bimbang ke atas kamu akan beroleh azab hari yang besar

Ini adalah jumlah ta’liliyah. Kenapa Nabi Hud عليه السلام sampaikan dakwah Tauhid itu? Ini kerana baginda takut mereka kena azab dan baginda sayang kepada kaumnya itu kerana baginda dalam kalangan mereka.

Begitulah kita juga bagi peringatan kepada keluarga dan kawan-kawan kita kerana kita sayang kepada mereka. Kita takut mereka dikenakan azab nanti kerana tidak tahu mereka ada melakukan perbuatan yang salah.

Sebagai contoh, ramai yang tidak tahu amalan doa bertawassul itu adalah syirik. Oleh kerana diajar oleh guru-guru yang salah, ramai yang melakukannya. Maka kitalah yang kena terangkan kepada mereka.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat ke-20 dan ke-21 )

📍 Adakah berjumpa bomoh dan minta buat rawatan untuk kita adalah tawassul?

🔵 Itu sudah termasuk khurafat.

📍Adakah banjir besar sewaktu zaman Nabi Nuh berlaku setempat atau satu dunia?

🔵 Banjir itu dialami satu dunia.

📍Boleh tunjukkan contoh doa yang bertawassul?

🔵 Dengan berkat Nabi Muhammad…

📍Bertawassul ini maksud yang meminta kepada Allah melalui perantaraan kubur wali-wali, Nabi-nabi dan malaikat? Adakah sebelum minum ubat kita berselawat juga adalah tawassul? Apakah lagi jenis tawassul yang masyarakat kita masih buat?

🔵Benar semua contoh-contoh itu. Terdapat banyak cara tawassul dan susah hendak disenaraikan. Salah satu antaranya memanggil tok imam surau membaca doa juga termasuk tawassul.

📍Adakah termasuk tawassul kalau di sekolah, ustaz akan membaca doa sebelum mesyuarat atau apa-apa majlis?

🔵 Ini adalah bid’ah jika dibiasakan. Zaman Nabi dan sahabat juga ada majlis, bukan? Apakah doa yang mereka baca? Sudah ada amalan membuka majlis iaitu memuji-muji Allah (Khutbah Hajah). Ini yang patut dilakukan, bukannya baca doa beramai-ramai. Kalau sekali sekala bolehlah dilakukan.

📍 Mengapa termasuk dalam contoh bid’ah?

🔵Ia adalah contoh bid’ah, sebab tidak diletakkan kelebihan pada pembaca doa itu. Namun, kalau panggil khusus ustaz sebab rasa doa dia makbul, ya itu tawassul. Ia tidak termasuk syirik.

📍Maksudnya jika panggil ustaz khusus untuk membaca doa adalah tawassul dan amalan ini bukan syirik?

🔵 Kalau panggil ustaz khusus atau tok guru yang dikatakan sebagai makbul doanya. Dalam hati mereka: kalau ustaz ini baca doa pasti Allah dengar dan terima. Maka ini sudah tawassul dengan dia. Selalunya kalau ada majlis, dipilih sahaja siapa yang nampak pandai baca doa. Ini tidaklah tawassul. Cuma jadi ketua (leaders) untuk baca doa.

📍Adakah termasuk syirik amalan membaca ayat kursi atau apa-apa ayat dalam al-Quran untuk penyembuh penyakit?

🔵 Al-Quran bukan penyembuh penyakit tetapi yang menyembuhkan adalah Allah SWT. Jadi, syirik jika ada yang iktikad ayat Al-Quran itu menyembuhkan. Ayat-ayat Al-Quran dibaca dalam ruqyah kerana bertawassul dengan amalan membaca Al-Quran itu dan kemudian doa kepada Allah SWT. Ini tawassul yang dibenarkan. Cuma kenalah ayat yang bersesuaian.

📍Kalau ketua (leader) yang disuruh bacakan doa setiap kali majlis dari bulan Januari sampai habis sekolah (November) ialah orang yang sama dan tidak pernah di gilirkan oleh orang lain, adakah boleh begitu? Tidak ke macam ada “rasa-rasa si fulan tu aje yg reti berdoa”?

🔵 Pertama, membaca doa sebegitu bukanlah sunnah kerana dibuat berterusan, malah ia jadi bid’ah. Namun, kalau sekali sekala boleh. Cuma kalau cakap nanti jadi viral pula sebab tidak bagi orang baca doa.

Kedua, selalunya yang disuruh jadi tekong itu sebab ala-ala ustaz. Hanya kerana itu sahaja sebab sudah dapat seorang ‘mangsa’ tukang baca doa, jadi sudah tidak ubah.

Alternatif lebih baik, dimulakan majlis itu dengan Khutbah Hajah. Siapa yang mula cakap, boleh baca khutbah hajah itu ataupun memang ustaz sekolah itu. Selalunya ustaz lah yang baca doa.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan