Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ahqaf – Pengenalan, Ayat Pertama dan Kedua

Tafsir Surah Al-Ahqaf – Pengenalan, Ayat Pertama dan Kedua

1916
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ahqaf
Pengenalan:

Surah ini hendak menjawab tentang kekeliruan dalam berdoa. Terdapat salah faham dalam masyarakat kita yang selalunya menggunakan ‘tawassul’ yang dilarang dalam urusan doa mereka.

Surah ini adalah salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk potongan ayat إِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Al-Fatihah. Surah-surah hawamin itu adalah tentang ‘doa’ di mana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah ﷻ, tanpa menggunakan perantaraan yang dilarang. Perantaraan itu dalam bahasa Arab dipanggil tawassul.

Sepanjang kita belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Ini telah diberitahu dalam Surah Ghafir. Dakwa surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain – Tauhid dalam berdoa dan istianah.

Surah ini mempunyai ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid di dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul di dalam fikiran manusia. Maka Allah ﷻ turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu.

Surah Ahqaf ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

✒️Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka katakan apabila menyeru selain dari Allah ﷻ, mereka mendapat apa yang mereka kehendaki. Allah ﷻ beritahu di dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

✒️Selepas itu, Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua. Ada yang dakwa kononnya ada dalil-dalil menyatakan bahawa seruan selain kepada Allah ﷻ itu boleh. Surah Syura ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu sahaja. Maka selain dari dalil itu, yang membenarkan melakukan perkara dilarang di dalam wahyu adalah tertolak.

✒️Kemudian, Surah Zukhruf telah menjawab kekeliruan yang ketiga: Ada yang berhujah kata mereka tidak meminta kepada selain Allah ﷻ itu tetapi hanya menyeru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat. Mereka berharap supaya doa itu dimakbulkan dan mendapat syafaat di akhirat kelak.

Mereka kata mereka tidak meminta terus kepada seruan-seruan itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita juga ada fahaman sebegini, maka mereka turut sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

✒️Surah Dukhan telah menjawab kekeliruan yang keempat: Kesamaran tentang doa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah ﷻ, ada makhluk lain yang boleh mendengar juga doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka berkata begitu kerana akidah syirik mereka.

Mereka katakan ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka. Mereka beranggapan Allah ﷻ telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemuliaan makhluk itu, sampai boleh mendengar seruan manusia.

Walaupun sudah mati sekurang-kurangnya, apa yang diseru itu boleh membawa doa kepada Allah ﷻ dan memberi keberkatan kepada mereka. Allah ﷻ telah menjawab dalam surah Dukhan bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita, dan kerana itu kita harus doa dan seru hanya kepada Allah ﷻ .

✒️Surah Jathiyah pula telah menjawab kesamaran yang kelima. Ada yang kata, kalau Allah ﷻ hendak, Dia boleh beri ilah lain seperti Nabi dan wali itu boleh mendengar doa dan seruan mereka itu. Allah ﷻ jawab yang dalam syariat Allah ﷻ, tentang akidah ini tidak ada sebarang kemungkinan atau agak-agak.

Syariat tentang akidah memang sudah jelas kerana ia adalah dalil yang qat’ie – dalil yang jelas, tidak ada kemungkinan lain. Allah ﷻ sudah larang seru kepada selain dari Dia dalam doa dan penyembahan dan terdapat dalam banyak ayat-ayat dalam Al-Quran. Lalu bagaimana Allah ﷻ benarkan perkara yang Dia sudah larang? Ini tidak mungkin.

Surah Ahqaf adalah surah terakhir dalam rentetan Surah-surah Hawameem. Ia diturunkan untuk memperbetulkan kesamaran ke-enam dan terakhir dalam hal doa.

✍🏻Maksud atau Dakwa surah ini adalah pada ayat 28 surah ini:

فَلَولا نَصَرَهُمُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ قُربانًا آلِهَةً ۖ بَل ضَلّوا عَنهُم ۚ وَذٰلِكَ إِفكُهُم وَما كانوا يَفتَرونَ
Mengapa tidak mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Puak yang tidak faham tauhid mengatakan: selain Allah ﷻ, walaupun mereka tidak mendengar dan tidak dapat selesai masalah yang didoakan kepada mereka, sekurang-kurangnya boleh memberi berkat kerana kedudukan mereka yang rapat dengan Allah ﷻ.

Mereka kata dari pengalaman banyak yang sudah menjadi. Oleh kerana itu mereka terus membuat amalan syirik itu. Malah mereka pertahankan amalan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan bertawassul dalam doa itu.

Allah ﷻ kata selesai masalah bukan tanda perbuatan itu benar. Allah ﷻ memang boleh memberi apa yang mereka hendak walau telah seru selain Allah ﷻ. Orang kafir memang banyak yang kaya dan berkuasa tetapi Dia humban mereka semua masuk neraka dan akan kekal dalam neraka.

Begitulah mereka terus sesat kerana mereka hidup senang di dunia. Amalan syirik pun menjadi juga apabila mereka amalkan.

Allah ﷻ tanya dan tempelak mereka: Kenapa roh-roh yang mereka seru itu tidak membantu mereka di akhirat? Tidak dapat menyelamatkan mereka dari kekal dalam neraka, kenapa? Maknanya, sudahlah yang diseru itu tidak dengar, tetapi kalau dengar pun, mereka TIDAK DAPAT membantu!

✍🏻Lafaz قُربانًا bermaksud: ingin menghampirkan diri kepada Allah ﷻ. Ini ada disebut dalam surah [ Zumar: 3 ].

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Oleh kerana tidak faham tauhid, ramai manusia yang mengambil selain Allah ﷻ sebagai ilah. Banyak kali kita telah jelaskan, ilah itu adalah sebagai penyelesai masalah, penyempurna hajat, tempat sandaran hati manusia.

Segala sembahan-sembahan dan tempat seruan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat akan hilang daripada membantu mereka. Mereka puja dan mereka seru sembahan-sembahan itu tetapi tidak ada pun yang akan menolong mereka.

Ini kerana yang diseru dan disembah itu tidak tahu pun yang mereka diseru dan disembah (kerana mereka telah mati). Malangnya, mereka hanya tahu bila di akhirat sahaja nanti dan waktu itu sudah terlambat.

Mereka kata apa yang telah dilakukan dalam seruan dan sembahan selain Allah ﷻ itu benar kerana menjadi – itu adalah إِفكُهُم – pembohongan kamu sahaja.

Amalan yang mereka lakukan itu adalah يَفتَرونَ – yang mereka ada-adakan sahaja. Mereka reka cara macam-macam untuk seru dan ibadat kepada selain Allah ﷻ itu. Sebagai contoh, mereka guna daun itu ini, garam, bertih, lada hitam dan sebagainya. Memang mereka kena reka sendiri kerana tidak ada dalam wahyu atau amalan dari Nabi atau sahabat.

Malah yang ajar dan suruh mereka buat begitu adalah jin. Jin itu mengajar dan membisikkan cara-cara yang salah sebab mereka sendiri memang memuja jin tanpa pengetahuan mereka. Mereka bukannya puja roh Nabi, wali, malaikat tetapi sebenarnya memuja jin. Untuk melihat perkara ini terjadi sekarang, tengoklah bagaimana puak Habib ajar masyarakat kita dengan ajaran-ajaran sesat mereka.

Khulasahnya, di akhirat nanti mereka tidak akan selamat dan yang penting adalah keselamatan kita di akhirat nanti. Jangan tengok zahir dunia sahaja. Surah Ahqaf ini hendak mengajar kita untuk lihat kepada hujung hidup kita – di akhirat nanti.

Jangan kita selamat di dunia sahaja, tetapi kita juga hendak selamat di akhirat juga. Dunia hanya sementara dan akhirat yang akan kekal abadi. Kalau kita kekal dalam neraka, alangkah malangnya, tidak ada yang lebih malang dari itu!

Dalam surah ini banyak diberikan dalil-dalil supaya kita mengambil pengajaran, termasuk dalil dari kata-kata jin. Mereka pun ada yang beriman setelah mereka kenal dengan Al-Quran.

Jangan tertipu dengan hal jin ini. Ramai yang menggunakan khidmat jin sedangkan jin, termasuk jin Islam pun, tidak jumpa manusia dan tidak ada hubungan dengan manusia. Hinggakan Nabi Muhammad ﷺ juga menyekat para sahabat dari berjumpa dengan mereka. Kalau Nabi ﷺ berjumpa dengan jin, Nabi ﷺ akan pergi sendiri sahaja.

Maka, jangan percaya kalau ada yang kata mereka berkawan dengan jin, menggunakan jin untuk kebaikan, jin mereka beritahu itu dan ini dan sebagainya.

Ramai yang tertipu dengan jin, kononnya mereka kata jin-jin itu boleh dipercayai kerana itu Jin Islam. Namun, mana boleh percaya benda sebegitu, kerana bukan ada IC untuk menunjukkan yang mereka benar-benar Jin Islam.

Tafsir Ayat Pertama
حم

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah ﷻ tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa.

Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ juga tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi ﷺ memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’ dan mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Ini kerana mereka mungkin rasa malu dan takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu.

Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun tahu maklumat itu tidak tepat.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’ dan mempunyai fikiran yang kosong untuk bersedia menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar.

Jadi, apabila Al-Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ia adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Quran yang Allah ﷻ telah turunkan untuk kita.

Tafsir Ayat ke-2

Ayat Muqaddimah kepada surah ini.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ
Diturunkan Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

تَنزيلُ الكِتٰبِ
Turunnya Al-Quran ini,

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memperingatkan kita bahawa Al-Quran itu diturunkan oleh-Nya. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Quran ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini.

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Quran itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya.

مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ
dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Quran ini bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali lain. Ia daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Quran ini kepada kita, oleh itu Al-Quran itu bukanlah dari kata-kata Rasul itu.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Al-Quran ini daripada Allah ﷻ, bukan dari orang lain. Oleh itu, jangan kamu mempermainkannya dan buat tidak endah kepadanya. Kenalah kamu belajar Al-Quran itu dan tafsirnya sampai kamu faham.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Ahqaf ( Pengenalan, Ayat 1-2 )

📍Adakah dalam setiap surah 7 hamim mesti ada 1 surah dakwa?
🔵Semua Surah Hawameen ini berkongsi Dakwa yang sama: Doa terus kepada Allah ﷻ. Cuma setiap surah ada ‘maksud’ tersendiri. Maksudnya ‘sub-set’ kepada Dakwa Surah yang utama.

📍Bolehkah jika berkata doa ibu bapa membawa berkat? Ada ceramah katakan dibolehkan berbual dengan ibu bapa yang meninggal di dalam kubur sebab boleh memberi berkat.
🔵 Ada hadis doa ibu tidak terhalang. Maka bolehlah hendak berharap. Namun, kalau berbual-bual dengan ibu bapa yang sudah meninggal, tidak ada. Maka itu berbual dengan siapa pula tu? Ini rekaan sahaja.

📍Bolehkah kita bertawassul dengan kebaikan kita seperti kisah 3 orang pemuda yang terperangkap dalam gua tu?
🔵 Boleh, itu tawassul yang dibenarkan bersama tawassul dengan iman dan nama-nama Allah ﷻ. Amalan yang dilarang adalah tawassul dengan perantaraan Nabi, wali, malaikat dan jin. Itulah perbincangan dalam Surah Hawameen ini. Maka, ada tawassul yang dibenarkan dan tawassul yang tidak dibenarkan.

📍Adakah maksud “mereka ”ini adalah jin? Jika manusia itu tidak mengaji Al-Quran (tadabbur) bolehkah kita samakan sikap itu seperti jin ego?
🔵 Ya, mereka yang dimaksudkan adalah jin. Kalau tidak mahu beriman dengan Al-Quran, lagi teruk dari jin lah sebab jin pun ada yang beriman dengan Al-Quran selepas dengar Al-Quran dibacakan kepada mereka.

📍Mengapa Nabi ﷺ menyekat para sahabat berjumpa dengan jin?
🔵 Sebab manusia dan jin tidak ada perhubungan. Tidak ada faedah antara satu sama lain. Dua makhluk berbeza yang tidak ada hubungan. Oleh kerana itu Nabi tidak kenalkan jin kepada sahabat. Bila Nabi ﷺ dakwah dan ajar jin pun, Nabi ﷺ tidak bawa sahabat pergi. Selalunya kalau pergi jumpa orang lain, Nabi ﷺ sentiasa sahaja bawa tetapi bila dengan jin, baginda tidak bawa.

Maka, kalau ada berkawan dengan jin tu, pelik lah.. memang sudah terkeluar dari norma kemanusian, sebab norma manusia, tidak kawan dengan jin.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan